Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, January 30, 2014

Bonda Operasi Mata

Alhamdulillah, bonda R selesai menjalani operasi mata di Hospital Kuala Pilah kelmarin, 28 hb.  Allah jua yang mengizinkan dan memudahkan segala urusan, sehingga bonda selamat keluar dari perkarangan hospital menjelang Maghrib hari tersebut.  Syukur dan jazakillahu khoir katheera kepada kekanda Hajjah Noraini Hassan suami isteri yang menguruskan segalanya sejak dari cadangan, temujanji sehinggalah pembayaran dan operasi dijalankan.  Semuanya dengan izin Allah jua, yang memberi kekuatan kepada kekanda berdua demi untuk meneruskan bakti dan bukti cinta kepada bonda.  Alhamdulillah allahumma aameen.

Menurut khabar kekanda, semasa ujian penghlihatan dilakukan sebelum bonda diizinkan pulang ke rumah, ada kejayaan diberikan Allah pada hasil operasi pembedahan kecil di mata kanan bonda itu.  Bonda boleh melihat huruf-huruf yang ditunjukkan.  Tetapi apabila pulang ke rumah, bonda merungut kecil tentang kos pembayaran yang dianggapnya mahal.

"Macam biasa yo ni ha ..."  Begitulah jawapan bonda seperti yang disampaikan kekanda kepadaku.

Dan sebaik sampai di rumah, bonda yang sudah 73 tahun terus menuju dapur untuk melakukan rutin sebagaimana biasa.  Walhal bonda sepatutnya berehat untuk membantu mata kanan yang masih terluka urat-urat halusnya.  Tiga bulan bonda mesti berehat sepenuhnya.  Tetapi ... mampukah bonda menahan diri?

Ya Allah, mudahkanlah segala urusan bondaku.  Juga mudahkanlah segala urusan kekandaku sekeluarga.  Semoga Allah memberi bonda dan kekanda kesabaran yang seiring sehingga masa pantang berlalu dengan selesa.  Semoga ganjaran yang didambakan di sisiNya akan menanti di akhirat nanti.  InsyaAllah.

Dan aku juga melalui situasi yang lebih kurang juga.  Melintasi kedai optik yang berkilau-kilau, tergerak pula hati mahu menyinggahi.

Ketika bonda operasi mata, aku pula operasi kanta huhu ...

"Bang, nak check mata boleh?"  tanyaku pada suami yang menemani membeli keperluan harian.

Sudah lama aku bercerita kepadanya tentang tahap penglihatan yang kian kabur.  "Ohh tu sebab lama sangat mengadap laptop tu ..."  kadang-kadang begitu tanggapan si suami yang baru menukar kanta kacamatanya beberapa bulan lepas.

"Hmm tak pe la ... lain kali je."  Ewah, itu hanya satu taktik.

"Ok boleh jugak check je kan ..."  sahutnya begitu lalu memberhentikan langkah di hujung kedai optik, sudah menghampiri pintu keluar pasaraya.  Troli yang sarat diketepikan untuk memudahkan laluan pejalan kaki yang hilir mudik.

100; 125.

Berbanding power pada kanta lama, 50; 25.  Macam tak percaya je.  Rasanya lebih lagi, tapi aku tak pernah kisah untuk mengingati.  Perlahan-lahan satu dari nikmat yang diberi Allah mula ditarik kembali.  Yang penting tidak silau dan penglihatan seimbang apabila memandang.  Dan selepas hampir 5 tahun, angka itu bertambah seiring dengan pertambahan angka usia.  Dan nampaknya harus pula aku menempah kanta baru di kedai optik yang berkilau-kilau itu.  RM100 sahaja untuk sepasang kanta baru dipasang semula ke bingkai merah hati yang sudah berusia lima tahun.

Esoknya tatkala mencuba kanta baru berbingkai lama merah hati ini, aku terkesima.  Pandangan jauh jelas nyata tetapi mengapa kabur apabila melihat telefon bimbit di tangan?

"Ohh itu rabun  jauh je la tu.  Dah tua, Yang ... Macam abang la, nak membaca kena bukak spek."  suara suami di speaker telefon bimbit memberitahu.  "Kena multi-focal."

"Abih tu camana?  Lecehnya ... spek lama tak yah bukak pun.  Mahal la sikit."

"Hehehe ... camtu la. Nak tengok dekat kena la bukak spek tu, Yang.  Pakai tali la ... senang nak pakai nak bukak."

Di kedai optik lain, di pasaraya lain pula.  Di hari esoknya.  Aku bertanya kepada anak muda iras wajah Cina.  "Dik, ada tali spek tak?"

Dia memandang aku dan bingkas bangun setelah mengalu-alukan dengan sopan.  "Ada satu je tinggal."

Tangannya mencapai sesuatu yang digantung di tepi dinding, berdekatan dengan tempatnya duduk.  Aku mengerling sekeliling.  Kedai optik yang berkilau-kilau juga.  Bersih dan berkilat.

"Satu je?  Tak ada pilihan lain ke?  Fesyen lain ke?"  tanya aku naif.  Mataku jarang melihat orang memakai tali kanta melainkan ... yang benar-benar emas warganya.

"Tak de kak,  ni je ada."  Tangannya meregang-regang sehelai tali halus berwarna merah muda.

"Hmm boleh la .... berapa ringgit?"

"Seringgit."

Boleh la, RM1 je.  Nurhanessa tercengang.  Aku buat-buat biasa.

"Camana nak pasang?"

Anak muda iras Cina meminta kacamata dan memasangnya semudah ABC.  "Hmm pakai purdah cantik pakai spek macam ni."

Sempat pulak orang muda ni mencuit hati sambil mempromosi produk, 2 in 1, hatiku berkata.

Untuk menyembunyikan rahsia hati, aku segera bertanya.  "Awak ni Muslim ke bukan?  Macam Chinese look."

Mata sepetnya semakin sepet tersenyum.  "Err nenek saya Cina.  Eh bukan bukan ... moyang saya Cina campur Belanda."

"Oo, Indonesia eh? Jadi awak ni non-Muslim la?  Awak Indon ke?"

"Ehhh saya Islam kak. Saya orang sini kak.  Lahir kat sini. "

"Ohh, hehe ... ok la terima kasih ya.  Assalamualaikum."

Menuju pintu kedai optik berkilau-kilau, aku menjeling cermin di penjuru sambil membetulkan kacamata.  Ada tali berwarna pink melilit longgar dari telinga ke telinga.



Tuesday, January 28, 2014

Hani oh Hani

"Mama, saya dah balik!" 

Hani mendapatkan aku yang berdiri di pintu dapur, dengan wajah riang.  Senyumannya lebar dan hmm ... ceria macam selalu. 

Gonjol!

Anak-anak yang lain pun turut 'menyebuk'.  Layan saja la. 

Hani merungut-rungut tentang ustaz hensem yang merawatnya.  Aksi gadis 13 tahun tetapi sekelimbas pandang seperti 17 tahun ini membuatkan aku sama ketawa.  Hai hai ... memang menjadi-jadi kalau dilayan.

Itu tengahari tadi.  Menjelang Asar, ketua pelajar datang dengan wajah rusuh.  Gadis berbulu mata lentik ini memberitahu Hani mula mengasingkan diri bersendirian di dalam bilik. 

"Jangan biarkan dia sorang-sorang.  Ajak ke hall.  Jangan sekali-kali ..."  Aku mengerut dahi.  Hani tak boleh dibiarkan.  Aku menghantar perkembangan terkini kepada ustaz dan grup berkenaan.  Mereka perlu dimaklumkan, mereka juga perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Tengahari tadi, ketika aku sedang melayan keletihan, tiba-tiba ada panggilan masuk.  Aku dikhabarkan tentang kepulangan Hani dan kakaknya ke madrasah.  Ringkas sahaja pemberitahuan yang disampaikan, tetapi disebaliknya aku harus siaga malam ini.

Beberapa perkara disiapkan.  Beberapa pesanan diturunkan untuk aku termasuk perlu bermalam bersama pelajar.  Entah, ada juga gurauan barangkali apabila diselitkan limau sekotak mesti diagihkan juga.  Huhu ...

Hani memang keresahan.  Ketika pulang dari pasaraya Econsave, aku mendengar bunyi pintu diketuk berkali-kali.  Ah, rupa-rupanya Hani sudah mengurung diri di dalam tandas.  Setelah dia muncul (selepas pintu diketuk berkali-kali oleh pelajar) aku menyuruh kawan-kawannya membawa masuk ke dalam.  Aku rasa dia masih sedar sepenuhnya tetapi gangguan sedang cuba menguasai.  Wallahualam.

"Mama, tadi saya nampak benda lalu kat tingkap."  adu Ain.  Gadis ini kadang-kadang dibuka Allah hijabnya hingga pernah menjadi gangguan pada diri dan keluarganya. 

Aku tidak mengendahkan, walaupun masih meminjamkan pendengaran pada Ain yang beria-ia bercerita.  Dia begitu payah mahu mencari masa, kerana ada sahaja yang mahu menyelit memasang telinga.  Hehe ...

Hani terus gelisah. 

Aku memilih lima pelajar yang mampu membaca lancar untuk tadarus surah Al-Baqarah seperti yang ada dalam pesanan di grup Asatizah. 

"Yang lain istighfar banyak-banyak."  Sebahagian besar pelajar masih tidak tidur di tilam masing-masing.  Hanya seorang dua sahaja yang tidak terkesan dengan suasana yang agak mendebarkan.  Aku buat-buat mahu mencubit peha Ana dan Ainul yang bergegas kembali ke tilam.  Payah benar nak tidur ya!

Tatkala pelajar terakhir menghabiskan bacaan surah Al-Baqarah, Hani sudah lena benar.  Dia tersandar di bahu Ain dengan kaki terlipat.  Perlahan-lahan dia dibaringkan dengan sempurna.  Alhamdulillah syukur, semua dengan izin Allah jua.

Aku menghabiskan surah-surah yang biasa dibaca sebelum tidur.  Kadang-kadang aku miss membacanya, alhamdulillah malam ini Allah bagi kekuatan.  Nurhanessa yang merengek sakit kaki sudah lena.  Aisyah yang tidur di sebelah Hani sedang menggoyang-goyangkan kaki, mahu memberitahu dia masih berjaga agaknya.  Sehingga ayat terakhir surah Al-Mulk, semua sudah lena. 

Perlahan-lahan aku bangun, menyimpan al-Quran dan keluar dari rumah merah muda yang sudah tenang.  InsyaAllah semoga Allah menjaga semua penghuninya sampai pagi nanti dalam keadaan terpelihara dari sebarang gangguan.

Bunyi burung hantu galak benar beberapa malam ini.  Aku membaca Ayat Kursi.  "Allah Maha Kuasa makhluk tiada kuasa."  Aku tidak sudi memandang wajah ngeri, namun masih sempat menebar pandangan ke langit hitam.  Ke bumbung rumah dan serata kawasan. 

Alhamdulillah, Allah menguji hambaNya sesuai dengan kemampuan yang diberiNya.  Tidak melebihi kekuatan yang dibekalkan.  Ujian menjadi asbab mendekatkan diri kepada Dia, asbab dosa diampunkan, darjat ditinggikan, dan ganjaran dipersiapkan.  Sesungguhnya Dia yang menguji, Dia juga yang memberi penyelesaian.  Setiap penyakit ada ubatnya.  Setiap masalah ada penyelesaiannya. 

Selesaikan masalah dengan solat dan sabar.  InsyaAllah.

* Khabar dari Dengkil ~ Naqib dilantik sebagai security madrasah pula.  Tahniah buat anakanda, juga dengan peningkatan pencapaian dalam peperiksaan tempohari.  Esok insyaAllah anak ini akan khatam juz 8 dari belakang.  Semoga Allah pilih kita menjadi tetamuNya tahun ini ya, insyaAllah.

Allahumma Aameen.


Monday, January 27, 2014

Dakwah Hidayat

"Ada abang-abang dari Sri Petaling datang ke madrasah, ma."  Dia memulakan ceritanya sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.  

Gembira tentunya, dijemput bawa balik ke rumah.  Alasan ~ bibir sakit kering merekah pecah.  Kasihan juga ada, melihat bibir anak yang berkuping.  Tetapi dalam hati terdetik sama, ntah-ntah sengaja tak minum air sampai bibir kering begini rupa ... tapi cepat-cepat dicampak jauh-jauh prasangka.

"Abang-abang tu cerita pasal dajal.  Ada sorang abang ni cerita nanti orang Mukmin akan berperang dengan orang kafir dan dajal.  Bla bla bla ..."

Anak ini memang suka sangat kisah peperangan.  Tetapi memikirkan hakikat yang bakal berlaku di satu masa nanti, aku ngeri sendiri.  Bilakah zaman itu?  Sudah pasti ia semakin menghampiri ... ya Allah!

Aku pinjamkan telinga cuba mendengar dengan teliti sambil fokus pemanduan.  Mengiyakan dan membenarkan, dan sesekali membetulkan.  Berita asas yang pernah aku baca dan ketahui dari guru di zaman persekolahan dan pengajian.

Perlahan-lahan ceritanya berubah pengisian. 

"Ma, cuba mama jawab ni.  Mama buat baik untuk apa?"  tiba-tiba aku diajukan soalan begini.

Hmm ... hmm ... dalam terfikir-fikir andai ada jerangkap samar yang perlu dielakkan, dia memberi jawapan.

"Abang tu tanya kat kitorang.  Semua jawab nak pahala.  Tapi kan ma, abang tu kata bukan pahala yang penting.  Allah boleh je bagi pahala banyak-banyak tapi kalau Allah tak redha, tetap ke neraka.  Kalau tak de pahala pulak atau pahala sikit je, tapi Allah redha boleh je masuk syurga.  Jadi kan ma, yang penting bila buat apa-apa pun, yang penting ialah dapatkan KEREDHAAN ALLAH."

Aku diam menghadam.  "Err ... dah pandai dakwah ye?"

"Boleh la sikit-sikit."  jawab Hidayat.  

Alhamdulillah, ada improvement.  Dulu dia pernah memberitahu segan dan tak pandai nak bercakap apabila tiba giliran untuk berdakwah kepada kawan-kawan.  Kali ini ada pembaikan nampaknya, syukurlah.

Nadanya tenang.  Bicaranya lancar dan berkeyakinan.  Tidak tersangkut-sangkut.  Seperti faham apa yang dirinya sampaikan. 

"Ma, nanti cakap dengan abah supaya berhenti merokok.  Merokok tu tak baik.  Macam bakar duit.  Membazir.  Orang Yahudi yang buat rokok pun tak merokok sebab tak baik untuk kesihatan.  Abang-abang tu cerita, kat Israel ada satu kawasan orang Islam.  Kat situ ada jual rokok.  Kat situ je.  Kat tempat lain takde.  Nanti mama cakap dengan abah eh, berhenti merokok."

Aku tarik nafas.  "Kamu la cakap.  Mama dah pernah cakap dah.  Mungkin kalau kamu yang cakap, abah dengar kot."  Dia kan anak kesayangan abah.  Semuanya disayang, tapi yang seorang ni dilayan lebih sedikit sebab agak lebih pula kerenahnya huhu ...

"Hmm insyaAllah nanti Hidayat bagitau abah."

Anakku Hidayat dah mula pandai dakwah kawan-kawan dan mama.  Semoga Allah pilih Muhammad Hidayatullah sebagai pembantu agamaNya sehingga hari kiamat.  InsyaAllah.

Allahumma Aameen.




Friday, January 24, 2014

Unic Doa Rabitah Lirik

Dalam sunnah ada kejayaan

Episod 1

Naqib makan dengan tenang.  Wajahnya tenang.  Dua adik yang masih ada juga bertenang.

"Ehmmm ... haa ni ... mama nak cakap sikit ni.  Along." 

Aku bersuara.  Nasi bercampur lauk cebisan ikan Kerisi garing, sambal tumis dan sayur Kobis Cina di dalam pinggan aku pandang separuh sedih.  Upas @ mata ikan di bawah lidah ini sangat menyakitkan.  Terkena cebisan makanan yang sesat ke daerah bawah lidah, aduhai ... semoga menjadi kifarah dosa-dosaku yang tak terkira :'(

Naqib terus menyuap dengan tenang.  'Dengar ke tak dengar ni ...'

"Mama nak anak-anak mama kawin muda."  Aku menelek reaksi Naqib.

Kunyahannya terhenti seketika.  Dia tersengih memandang aku.  "Ma ... tak yah la cakap pasal kawin ma ..."

Aku sambut senyumannya.  Teringat azam remaja yang baru menyambut hari lahir ke 17 pada Disember lepas, tidak mahu terlibat dengan kancah percintaan remaja.

"Along tak nak ada makwe, ma.  Along kesian tengok member-member yang balik madrasah frust-frust pasal makwe."

Iskk ... dorang ada makwe jugak ke?

"Ada la mama ... ala mama ni ..."

Semua ada ke?

"Err tak semua la mama.  Tapi ramai jugak la ... bila balik dari cuti, memacam arr citer dorang pasal makwe ni."

Ish ish ish ...

Ehmm, betul ke Along tak de?  Saja je tanya.  Kalau tengok zahirnya, macam tak ada.

"Ish, mana ada ma ..."

Hmm ... kamu jangan susah-susah hati nak fikir pasal jodoh ke makwe ke hapa ke ... Nanti mama uruskan insyaAllah.  Haa dengar sini, mama azam ni, semua anak-anak mama kawin muda.  Kamu, lagi 3 tahun dah boleh dah."

Hidayat yang sejak tadi makan dengan tekun mula memberi respon.  Dia mula tersenyum-senyum.  "Dayat boleh kawin jugak ma?  Lagi tiga tahun?"

Ish kamu lagi tiga tahun baru 15.  Baju pun tak pandai cuci lagi. 

Aku pandang Naqib semula yang sudah selesai makan.  Ehmm ... kalau ikut sunnah Nabi SAW, umur 21-25 tu ok la tu.  Mama suka kat dia tu.  Bukan sebab wajahnya, tapi sebab ... ehmm ... dia ada ciri-ciri perempuan yang solehah.

Bayangan wajah mulus putih bersih bermain di mata.  Kelmarin dia ikut pulang ke rumah, sekadar mahu menghabiskan masa hujung minggu yang agak membosankan di madrasah.  Mulanya aku berat hati memberi izin tatkala si puteri memberitahu perihal dia mahu mengikut pulang.  Tetapi di hadapan pagar madrasah, aku bertukar fikiran sekelip mata.  Dia yang menjenguk dari celah daun pintu terus aku pelawa balik bersama.  Manis sekali senyuman yang dihadiahkan kepadaku.

"Ehmm ... kamu amalkan doa ni.  Hafal surah Al-Furqan?  Ayat 74."

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Naqib mengangguk-angguk.  Tersenyum-senyum.  "Tapi ma ... belajar alim camane?  Masih belajar la mama."

Lho, tak pe belajar tu belajar la.  Nikah tu nikah la.  Nanti cari la rumah sewa dekat-dekat situ.  Pinggan mangkuk periuk belanga tu jangan risau.  Kecikkan dunia, besarkan Allah.  

Aku teringat pesanan mak kepada si puteri. 
Ni semua untuk kamu adik-beradik.  Bila wan dah tak de sok, ambik la, angkut la ... tak yah beli macam mama kamu tu.  Wan pun dah menyesal beli macam-macam ni.  Tapi tak pakai.  Ikutkan nafsu.  Ni semua untuk cucu-cucu wan.  Pakai la nanti.

"InsyaAllah la mama ... "  sahut anak sulungku ringkas.  Dia bangun membawa pinggan ke sinki.  Ehmm ... setakat hari ini aku rasa sangat mudah berurusan dengan anak ini.  

Zaman payah sudah berlalu.  Itulah zaman yang akan dikenang sehingga bila-bila bersama senyuman di hati.  Zaman ketika dia enggan melepaskan jari-jemarinya pada pintu kereta, dan terpaksa dicungkil jari itu satu-persatu oleh sang guru yang sudah menunggu dengan wajah merah padam menahan rasa.  Tetapi jari itu bertaut semula bahkan lebih padu lagi.  

'Tak mengapa la makcik bawa la dia balik berehat dulu.'  Akhirnya sang guru yang masih muda memberi kata putusnya.

Ini bukanlah perkara baru dalam diri.  Ia semuanya adalah pecahan-pecahan fikiran yang menerawang sejak azali.  Semenjak aku pandai berfikir dengan izin Allah.  Sejak aku boleh melihat sama dan beza dengan izin Allah.  Semenjak aku mampu menilai dengan izin Allah.  

Bahawa dalam kehidupan ini, ada satu role model yang hebat.  Remeh mahupun perkara besar.  Ada panduan dan teladan.  

Dan paling aku suka, tagline berbunyi 'dalam sunnah ada kejayaan.'  

Anda mahu berjaya?  Jom ikut sunnah tanpa ragu-ragu.  

Episod 2

Ya Allah, saya tak main-main.

Ya Allah, saya serius.

Ya Allah, permudahkanlah jangan susahkan.

Ya Allah, saya tak suka orang main-main.

Ya Allah, saya beristikaroh kepadaMu.

Ya Allah, yang baik dekatkanlah.  Yang tidak, jauhkanlah.

Ya Allah, Engkau maha mengetahui segala yang nyata dan yang sembunyi.

Ya Allah, hanya kepadaMu tempat mengadu dan berserah diri.

Ya Allah, Engkau maha mengabulkan doa.

Ya Allah.  Ya Allah.  Ya Allah.  Ampunilah dosa-dosa kami.  

Allahumma aameen.




Thursday, January 23, 2014

Allahumma Aameen akhirnya

Allah izin aku menjengah semula ke ruang ini.

Amaran buat diri : tulislah sesuatu yang bermanfaat terutama yang dapat membantu membaiki diri dan menambah iman.  Dapat saham di akhirat, gembira di akhirat.  Di dunia jadi asbab hidayat.

Laptop yang dah lama tak diservis.

Last few years aku dikhabarkan ada virus yang enggan dimusnahkan bermukim di dalam laptop ini.  Tapi dengan izin Allah, ia dapat juga berkhidmat hingga hari ini.

Aku dihalang masuk ke blog oleh antivirus, bermakna link blog aku ni membawa virus.  Cuba dan cuba, masih gagal juga.

Dan sepatutnya sudah 7 minit aku bergerak dari sini, ziarah si dara yang sedang sakit tekak.  Tapi masih melekat di depan lappy sebab teruja dah boleh masuk blog yeayy ...

Ok la kak long, aameen berkat doa awak la ni kan.

InsyaAllah free nanti i update dengan story paling uhmm ... jeng3!




Saturday, January 18, 2014

Tiba-tiba perasan jiwang

apabila aku membaca deretan kata-kata puitis dari fb seorang teman.  Ohh tolong, aku bukan seorang sentimental.  Tetapi bak kata Ibnu Batoota, dalam hati tetap ada taman bunga :P

Kasar dan garang.  Tetapi aku selalu cuba menyelami hati orang.  Mungkin ada la sedikit keistimewaan.  Selalu aku didatangi sang pengadu yang meluahkan isi hati.  Sejak remaja semakin berakhir.  Ada juga yang belum aku kenali.  Mungkin ada secebis keselesaan.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui.


Menelek diri sendiri.  Mencari bagaimana, siapa dan mengapa.  Aku mengenali dua jenis manusia. 

Satunya suka melontar ke luar segala isi hati.  Begitu telus dan jelas.  Hmm ... tetapi memeningkan juga sekiranya apa yang diberikan itu sarat dengan masalah yang berpusing-pusing umpama pusaran air yang menenggelamkan.  Kasihan, apabila penyelesaian masih belum kenampakan.  Hanya kata-kata, tindakan entah bila.  Insan begini, tiada sesiapa dapat membantunya melainkan dia sendiri memohon pertolongan Allah SWT.  Segala masalah dariNya, akrab bersama segala hikmah yang tak tercapai dek akal.  Mintalah padaNya jalan keluar dan penyelesaian yang harmoni.  Selagi belum berjumpa titik akhir, bersabarlah dan teruskan doa di malam hari. 

Sayangnya, jika tak dapat melihat dengan mata hati.  Menyalahkan sana sini semata.  Tak dapat melihat gajah di depan mata, kuman seberang lautan dipandang jelas.  Semoga Allah SWT yang Maha Pengasih memberi petunjuk dan hidayah, aameen.

Manusia kedua, sebaliknya.  Sangat berhati-hati dan mengawal diri.  Jangan harap nak meninjau isi hatinya.  Semua tersimpan rapi.  Sepatah ditanya, titik noktah diberi.  Kadang-kadang dijawab dengan icon mewakili suara hati.  Banyak tanya, faham-fahamlah sendiri. 

Dah makan ke lom?  Makan apa tadi?
bikin sakit hati je








Jadi, untuk apa talian komunikasi?  Tak perlu la ...






dasar tutup pintu?

Hmm ...








Ok tenang-tenang saja dan balik ke rumah pangkal jalan

Arwah ayahandaku Hj Manaf juga tergolong dalam kumpulan kedua ini.  Dia mendidikku berakhlak mulia dan berhati-hati apabila berbicara.  Usah semua dikhabarkan dengan sewenang-wenangnya.  Namun semakin dewasa menuju tua, aku mendapati ada garis panduannya.  Ada yang perlu dikongsikan, ada yang patut disembunyikan.  Semuanya untuk tujuan kemaslahatan.

Maka fahamlah aku semula.  Mengapa ada insan yang sedemikian.  Allah Maha Kuasa menjadikan segala makhluk termasuk manusia dengan kepelbagaian.  Maha Hebat Allah SWT.


Thursday, January 16, 2014

Monday, January 13, 2014

Akhirnya Allah izin aku mendengar

Bayan Maghrib secara live di masjid Sri Petaling.

Maaf sangat, aku tak berkesempatan nak menunjukkan muka ke rumah Ahlia Mansor (Mamu). Sabtu itu benar-benar satu perjalanan yang mendebarkan dalam diam.

Aku cuba buat persiapan makan tengahari seawal mungkin.  Tetapi tetap juga dapat bergerak hanya sekitar jam 2.30 pm. 

Orang perempuan surirumah tentu maklum sangat betapa runcingnya situasi diri mengejar masa dengan begitu banyak perkara remeh-temeh yang harus diselesaikan di dapur sebelum keluar dari rumah.  Fuhh, memang berpeluh-peluh dibuatnya kannnn ...

Lewat setengah jam dari waktu yang ditetapkan oleh suami untuk memulakan perjalanan, kami menuju ke Dengkil dengan aku menyimpan sepenuh harapan.  Semoga Allah memudahkan segala urusan ini.  Teringat kerenah pelajar saat mahu berangkat.

"Mama,  mama nak gi mana.  Kitorang nak beli."

"Mama ada hal nak ziarah atok.  Nak ziarah Naqib.  Nak gi masjid Sri Petaling.  Sapa nak beli tulis nama kat sini nanti dua orang datang ambik barang."

Pentingnya bermesyuarat sebelum melakukan apa-apa.  Suami menganjurkan kami ziarah abah hari ini.  "Tunjuk muka je dalam setengah jam.  Suka hati orang tua tu kang."  kata suami lembut.  Tentu dia tahu gelora dalam hati aku.  "Kita solat Maghrib kat mana yang sempat la."

Aku mendapat ide untuk melancarkan pelajar membeli apa yang ada dijual.  Ramai pulak yang nak membeli aiskrim roti ...  agak leceh ni.

"Mama, tak jual air ke?  Tak de tulis air pun kat buku order ni?"  

Aku yang semakin kelam nak mengejar masa hanya angkat dahi, "Ada, lupa nak tulis je.  Air, aiskrim kendian.  Settle yang order ni dulu."

Singgah di Giant Banting membeli barang keperluan yang dihajatkan Naqib, kereta dipecut ke madrasah.  Naqib muncul dengan wajah mamai baru bangun tidur.  Barang-barang diserahkan.  Tak sempat nak bawa dia keluar, semua barang yang agak-agak dia perlu sudah dibeli siap-siap.  Kami memulakan perjalanan ke Seremban.

Suami ketawa bercerita.
"Woi Onn .. Onn ... bangun la bapak ko sampai.  Woii Onn bangun la."  si badan besar mengejutkan Naqib yang sedang lena.
"Onn sini la!" 
"Tak de pakcik, senang nak panggil dia macam tu."  Gelak-gelak.

Saudah dan Ainul menawarkan diri dengan sukacita nak membantu mengambil order.  Dan aku menyebut barang yang ditempah sekaligus menolak duit dari akaun peribadi.  "Err ni ada yang hutang lom bayar ni ... pi kabar kat dia."

Selesai urusan dengan pelajar.  Tetapi aiskrim dan air kotak yang mahu dibeli belum aku serahkan.  Aku menyiapkan diri untuk bergerak segera.

Kringgggggggg!  Loceng penggera ditekan.  Beberapa wajah muda remaja menjenguk di tingkap madrasah.

"Saudah dengan Ainul."  aku memanggil dua nama tadi.  "Ambil semua air kotak ni.  Aiskrim ni dah tak banyak, bawak ke sana.  Minta semua doakan mama dan pakcik ya."

"Air free ke mama?" 

Aku teringat Mummy Zaleha yang memberi duit tempohari.  Dia mendengar pelajar selalu membeli air kotak.  "Ngko bagi sorang satu air kotak.  Mintak doakan mak ya.  Biar mak sihat nak beramal ibadah."

"Err air ni tak cukup dua.  Nanti mama bagi kendian.  Aiskrim ni pandai-pandai la bagi.  Ambik roti ni jugak.  Ok.  Mama nak pergi dah ni.  Malam baru balik insyaAllah."

Dari Dengkil, kereta dipecut ke Hospital Kuala Pilah.  Melihat abah terbaring senyum di atas katil.  Beberapa keluarga turut menziarahi abah yang tiada selera makan.  Entah apa sakit sebenarnya, mungkin gejolak dalaman.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui.  Semoga abah bersabar dan sembuh semula, insyaAllah Allahumma aameen.

Beberapa minit melepasi jam 6.  Kami bergerak semula ke Selangor.  Tenang-tenang sahaja.  Namun masih juga hati diuji Allah.  Masuk status di Whatsapp memberitahu Hidayat sedang menunggu aku pulang untuk masuk ke dalam rumah.  Ujian untuk suami juga.  Dia mahu ke mana kini?  Pulang atau meneruskan perjalanan ...

Semoga Allah memudahakan segala urusan dan hajat disampaikan.  Alhamdulillah kami sampai jua di perkarangan masjid Sri Petaling, sudah gelap benar. Kenderaan diparkir hampir dengan masjid.  Nombor telefon ditinggalkan dan gear kereta difreekan.  Jemaah sudah usai solat.  Entah di mana kolah yang dimaksudkan untuk ke ruang solat muslimah.  Aku mengekori suami.  Di mana-mana adalah muslimat.

Bayan Maghrib sudah dimulakan.  'Ooo inilah dia bayan yang selalu aku dengar dari RIN tu ...'  Kini sudah lama tidak berpeluang mendengar siaran RIN di laptop.  Hari ini diizinkan Allah mendengar secara langsung.

Aku sama meninjau dari lubang-lubang dinding memerhati ke bawah, meniru wanita Pakistan yang ada hiasan di pelepah hidungnya.  Ramainya ... hampir semua berjubah putih.  Sungguh menarik!

'Sila bangun bagi nama ... sila bangun.  MasyaAllah.  MasyaAllah.'

Selesai urusan membeli kitab yang dihajatkan, juga rotan panjang yang halus (mama beli yang halus, lagi halus lagi best ... kata Hanessa hehe) perjalanan pulang dimulakan.  Hati kembali teringatkan anak yang sedang menunggu di luar rumah.  Dia pulang selepas Asar, bermakna akan 9 jam dia bergelandangan di luar rumah.  Pengajaran supaya lain kali jangan suka-suka nak balik rumah.

(Berjumpa anak ini hampir jam 12 malam.  Dia sedang tersengih membaca kitab di rumah ustazah di sebelah, baru je masuk sebab suami ustazah pun baru balik dari Sri Petaling.)

Syukur kepadaMu Ya Allah.  Benar sekali, Kau Maha Mengabulkan doa dan Maha Pengasih.  Maha Lemah-Lembut dan Maha Mengetahui segala isihati.


Tahun 2014 ini, ada beberapa hajat yang sudah disampaikan kepadaMu ya Allah.  Semoga Kau mudahkan segala urusan ini.  InsyaAllah Allahumma aameen.














Friday, January 10, 2014

"Siapa rasa dirinya lebih layak

nak jadi ketua, sila buat pengakuan sekarang."  Tiada jawapan.  Aku tebar pandangan ke setiap wajah yang sudah bersih dan siap bertelekung putih.  Mereka sudah bersedia dalam bulatan besar untuk bercakap tentang kebesaran Allah petang ini. 

Ketika aku sedang mengetik-ngetik huruf di hp melayan muzakarah tentang air Holy Water yang sedang diedarkan dengan berleluasa sekarang bersama adik ipar di Whatsapp, aku mendengar keributan kecil di rumah merah muda Lil Banat.  Ia serta-merta menarik perhatianku.  Tidak pernah ada keributan sebegitu.  Kedengaran nada suara yang tinggi sedang berkata sesuatu.  Apa sudah jadi?

Menarik nafas panjang, aku mengatur langkah nan gagah ewahh ...

"Assalamualaikum."Salam kuberi dengan suara jelas.  Ternampak susuk Zakiah sedang memegang penyapu sambil membebel dengan nada hampir menangis. 

"Ada apa ni?"  Tiada jawapan. 

Aku menghidu sesuatu.  Aduan dari ketua pelajar semenjak dia dilantik bersama raut wajahnya yang tidak berseri, kini sudah terbukti. Ada penentangan dalaman dari pelajar yang memiliki kroni tersendiri.  Kuasa tidak sah yang didapati melalui hadiah makanan sudah mengambil tempat dalam diri. 

"Hmm ... mama dapat tau ada komplen tidak puas hati pasal perlantikan ketua pelajar.  Jadi mama nak tanya sekarang, ada sesiapa yang rasa dirinya lebih layak menjadi ketua?  Beritahu sekarang."  Tiada jawapan.  Siapa nak mengaku pulak.  Saja je aku provoke sikit.  Biar empunya diri yang kuat menentang terasa apa yang telah dibuatnya tidak membantu bahkan merosakkan keadaan.

Aku tahu siapa dia tetapi aku langsung tidak memandang ke arahnya. 

"Rozana?"  Gadis Kemboja yang baru kembali setelah pulih dari gangguan geleng kepala. 

"Nasihah?  Awak nak jadi ketua ke?"  dia mengangguk-angguk tersengih.  Faham ke tak ni... "Awak nak jadi ketua??"  Aku ulang pertanyaan dengan bersungguh.  Nasihah geleng pula.  Macam faham macam tak faham rakan sekampung Rozana ni.

"Ruqoiyah?  Awak nak jadi ketua?"  Gadis tinggi lampai yang baru menjadi yatim itu tersenyum sambil geleng kepala.

"Hanani?"  Anak kepada Setiausaha Kerabat Sultan Selangor itu tersengih.

"Sesiapa yang paling tua umurnya termasuk yang besar saiznya, siapa nak jadi ketua?  Atau umur kecik badan kecik tapi suara besar, boleh juga kalau nak jadi ketua.  Anis Sabrina?"  Aku terus mengasak dengan pertanyaan.

"Eh mama, saya tak suka jadi ketua sebab bila saya jadi ketua semua orang benci kat saya."  sahut Anis Sabrina dengan suaranya yang serak-serak basah.  Aku pula yang tersengih.

Tiba-tiba Zakiah yang berdiri di belakangku mencuit tanganku memberi isyarat mahu bercakap. Dan dia mula bercakap dengan emosi yang meruntun, dan akhirnya menangis.  Alamak ... "Ok dah dah ..."

"Untuk pengetahuan kamu, perlantikan ketua ni bukan suka-suka.  Ustazah dan mama dah berbincang dan bersetuju melantik dia.  Tentulah ada alasan dan sebab-musababnya.  Bukan main hentam je.  Mama dah tanya banyak kali ni kalau sesapa yang rasa dia layak, tapi tak ada yang mengaku.  Ok, kalau segan boleh datang ke rumah mama dan bercakap dengan mama personally. Err personally tu secara peribadi kita berdua je.  Boleh?"

Anak mudir yang dari tadi sekejap mengangguk sekejap menggeleng menyampuk, "Mama, kita tutup mata je.  Dia boleh mengaku sekarang."  Haihh ...  aku menghadiahkan segaris senyum sumbing.

"Ok masa pun dah suntuk.  Kejap lagi azan.  Kamu belum buat bercakap kebesaran Allah.  Lepas ni mama tak nak hal macam ni berulang lagi.  Ingat, kat dalam diri kita ni ada nafsu yang nak ditundukkan.  Kat luar ada syaitan yang membisik-bisik di telinga.  Kita kena ingat-mengingatkan.  Yang penting mesti ada kasih-sayang.  Barulah hati lapang nak belajar pun senang."  Aku beri salam dan melangkah laju pulang ke rumah. 

Sekelumit kisah anak-anak yang sedang berjuang melawan runtunan nafsu dan hasutan syaitan, yang kadang-kadang jauh lebih hebat serangannya.  Semoga berkat doa ulama dan para ibu bapa yang sentiasa mengiringi, mereka akan berjaya jua mencapai matlamat.  Perjalanan masih jauh dan warna-warni pelangi terus dilakarkan mencorak  kehidupan. 

Nota : dialog di atas tu tidak sepenuhnya diucapkan seperti yang ditulis melainkan mahu mematuhi kehendak Bahasa Melayu Tinggi semata-mata.  Ada juga sedikit bahasa pasar untuk menjadikan ia lebih real hehe ... dengan kata lain masih skema tapi aku tak kisah pun.

tak cukup

Alangkah manisnya saling berpesan-pesan kepada kebaikan.  Saling ingat-mengingatkan kepada Yang Maha Esa.  Saling tegur-menegur dengan akhlak yang sopan dan untuk kemaslahatan.

Alangkah manisnya pula pesan-pesanan itu diterima dengan hati terbuka.  Saling ingat-mengingatkan kepada Yang Maha Esa diakui dengan tulus.  Tegur-menegur disambut dengan lapang dada.

"Assalamualaikum mama.   Mama ooooo mama ... lapar lagi la."

Kek pisang kukus terpaksa dikukus lagi.  Air panas ditambah lagi.  Api tungku dibesarkan lagi.  Kek yang nampak gebu rupa-rupanya masih mentah di tengahnya.

"Kenapa, tak kenyang ke makan roti kaya bakar?"

Wajah dikerut dengan raut manja.  "Saya kalau kat rumah makan lima pinggan mama!"

Subhanallah.  "Biar betul.  Badan cekeding je."

"Betul mama.  Lepas tu saya mesti pergi toi...  sebab tu saya makan banyak tak boleh gemuk."

Amboii ...

"Mama, nak sambal tu boleh?"  Yang seorang lagi meninjau bawah tudung saji.

"Tak boleh,  Tu karang mama nak sira ikan goreng."

"Ala, plis la mama.  Satu sudu je ... eh dua ... lebih pun tak pe ..."

Aku buka freezer kaca.  Satu periuk bertangkai panjang dibawa ke tungku untuk dipanaskan.

"Ni ada lauk tahun lepas ni.  Boleh makan dengan nasi."

"HAHH! TAHUN LEPAS?!"

Ketika hati rasa rengsa, aku dapat juga tersengih melayan kerenah pelajar ini.  "Caya?  Jangan tak caya."

Si manis yang suka makan banyak berkerut dahi, "Ni lauk kelmarin kita makan kan?"  Dia memegang talam hampir dengan periuk berisi ikan asam bening yang hampir mencair kuah bekunya.

Pelajar putih kuning bermata bening warna hazel garu kepala.  Tiada jawapan.

"Hihi ... ni lauk mama dengan nanny kelmarin la.  Tak habis.  Simpan dalam freezer." 

Alhamdulillah tiada pembaziran.  Nasi dicurah kuah asam pedas cair dan dua ekor ikan kembung mabung dicedok ke atas nasi.  "Okeh, dah boleh balik ..."

Pelajar bermata bening masih tercegat tidak berganjak.  Dia memandang dan buat muka kesian.  "Mama, nak sambal ... dua sudu eh."

*** Hari ni sarapan roti kaya bakar.  Tapi rupa-rupanya tidak cukup mengenyangkan.  Mereka mahu yang padat juga.  Hmm anak-anak yang sedang membesar ...  Roti tu ada backupnya iaitu kek kukus tapi terpaksa tangguh sebab kek belum cukup masak.  Huhu ...


Thursday, January 9, 2014

Jangan Marah

Komen aku kena delete lerrr

Aku seorang yang low profile ... tak percaya sudah.  Aku malas nak komen wall orang kecuali yang terpilih je ... perasan tak pe.

Hari ni komen aku dah kena delete.  Alhamdulillah aku belajar berlapang dada.  Komen aku tak penting.  Tapi andai sesiapa beruntung sempat membacanya, ia dakwah untuk diri aku sendiri khasnya dan semoga menjadi asbab hidayat jua.

Aku tak sempat nak copy sebab tak sangka ia akan dibuang oleh empunya wall yang dihormati.  Tau-tau dapat inbox begini ...

Puan, saya akan delete komen puan kerana ia ada unsur samada mengumpat atau memfitnah.Rujuk paparan hadis dlm post saya sebelum ini.Saya nasihatkan puan bermuhasabah.

Sungguhkah aku telah menulis sesuatu yang ada unsur mengumpat atau memfitnah?  Aku cuba bermuhasabah.  InsyaAllah.

Aku tulis lebih kurang begini.  

Ya benar tuan haji.  Tuan haji memberi pandangan sendiri  untuk melepaskan diri dari soalan di akhirat nanti.  Saya juga mempunyai pandangan dan pendirian saya.  Cuma saya sarankan kepada ibu yang telah menghantar anak ke tahfiz supaya mendapatkan kepastian dengan solat istikharoh.  Dalam kehidupan kita terpaksa banyak membuat keputusan yang kadang-kadang mengelirukan.  Selain bertanya kepada manusia, beristikharoh lah juga seperti yang dianjurkan oleh ugama kita.  Mungkin tuan haji boleh naikkan status untuk solat istikharoh di lain kali.  Anak-anak saya semuanya di madrasah.  Yang bongsu akan berusia 9 tahun.  Semenjak anak sulung masih kecil saya sudah berazam untuk menghantar dia ke tahfiz.  Saya tak memikirkan pun tentang apa dia nak kerja nanti dan tak fikir pasal peperiksaan yang perlu dia ambil.  Sefaham saya setelah bertemu ramai al-hafiz dan al-hafizah, mereka mengambil peperiksaan SPM setelah tamat belajar al-Quran.  Sebenarnya apabila sudah menguasai hafalan, insyaAllah matematik sains dsb menjadi senang.  Kerana al-Quran itu ilmu dari langit.  Selainnya hanyalah maklumat.  Ada banyak madrasah yang memerlukan tenaga pengajar.  Kebanyakan orang nak kerja gomen sebab nak pencen dan kerja senang.  Maafkan saya.  Wallahualam. 

Lebih kurang begitulah.  Aku tak dapat nak ingat satu persatu ayatnya.  

Ayat yang ada 'kerja gomen' tu ke yang fitnah agaknya ...

Mengumpat tang mana?  

Ok tak mengapalah.  Aku nak rekod je ni.  Dan sesiapa yang tak sempat nak baca komen aku tu , macam itulah lebih kurangnya.  

Rekod terbaru komen aku kena delete. Tak pernah kena delete. Menyusuli rekod kena block pertama kali dalam riwayat FB aku oleh seseorang yang lain.  Tapi perlukah aku kisah?  

Tak perlu pun.  

Ok aku dapat inbox lagi.  Benarlah seperti yang aku sangka.  


Anda menatakan mereka yg bekerja dg kerajaan samada nak kan pencen atau nak kerja mudah..Itu satu penghinaan.Terpulang pada puan.Saya minta hentikan perkara ini fisini, jangan dlm page saya kerana tak elok orang lihat.Saya minta maaf.

Aku mohon ampun maaf.  Biasanya bila orang nak mohon kerja kerajaan, dia sebut "nanti senang ada pencen."  Dan apabila mendengar orang yang berurusan di kaunter pejabat kerajaan, aku dengar "ni la dia kalau berurusan dengan gomen.  Lembap.  Janji habis time kerja boleh balik.  Hujung bulan dapat gaji.  Hujung tahun dapat bonus." 

Mungkin aku salah faham.   

Cuma aku harap Tuan Haji yang berpelajaran tinggi dan pernah menjadi pegawai pendidikan ini juga berlapang dada.  Aku tatkala membaca postingnya kali ini rasa menggeletar badan dan jantung aku berdegup laju.  Entah mengapa aku merasa tidak suka benar pada tulisan beliau.  Ya benar, tuan haji mengakuinya sendiri dalam komennya bahawa mungkin dia agak pedas kali ini.  

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui segala isi hati.  

Tolong jangan ada pihak yang buat aduan hingga blog aku pulak kena block ... sebab aku sayang blog ni.  Ini hanyalah blog picisan.  Ada banyak story kat sini.  Sajak-sajak aku dalam blog ni belum dikumpulkan lagi nak buat antalogi sajak untuk diterbitkan huhu ... Dan aku tak mahu tiba-tiba jadi terkenal pulak.  Zaman ni nak jadi terkenal melatop macam mudah je.  

Ya Allah, aku niat dakwah untuk diriku.  Dakwahku tak menambah hidayahMu.  Engkaulah Yang Pemberi Hidayah.  Dakwahku tak menambah penduduk syurgaMu dan tak mengurangi penghuni nerakaMu.  Sedangkan aku sendiri tak tahu akan ke manakah aku ... Ya Allah ...







semuanya salah saya

Pertama kali aku mendengar ayat ini, aku tercengang.  Kemudian di Whatsapp dan FB, muncul juga ayat yang serupa.  Dan sekarang aku hampir lali dengan 'semuanya salah saya'.

Ayat ini diikuti dengan 'saya tak cukup buat dakwah. Saya tak cukup jaga amal.'

Cepat je aku buat perbandingan dengan apa yang selalu ditekankan di dalam motivasi diri.  Ada banyak jugak buku motivasi dalam simpanan.  Dalam suratkhabar dan majalah juga ada ruang motivasi diri.   Waktu itu aku diambang peralihan usia dari remaja menuju dewasa, dan selalu pening.  Waktu itu aku fikir aku perlukan motivasi diri.  Betapa jahilnya aku.

Kembali kepada 'semuanya salah saya'.

DI dalam buku motivasi diri, aku dapati kita tak boleh menyalahkan diri sendiri.  Tak betul tu.  Kita tak boleh ada rasa bersalah apabila sesuatu berlaku. Rasa bersalah itu akan menyebabkan kita lemah dan mengutuk diri.  Kita akan diselubungi rasa bersalah sepanjang masa dan merosakkan kegembiraan yang sepatutnya kita miliki.  Jadi ia adalah sesuatu yang tidak bagus. 

Maka pertama kali aku mendengar ayat tersebut, aku tercengang sendiri.  Ini lain.  Kenapa mesti menyalahkan diri kita?  Sikit-sikit 'semuanya salah saya huhu :'( '...   Sikit-sikit 'saya tak jaga amal huhu :'( ...
Sikit-sikit 'saya tak cukup buat dakwah huhu :'( ...'

Aku tak faham.

Ya Allah berilah daku faham.  Ya Allah berilah daku faham.  Ya Allah mudahkanlah daku faham.  Lapangkanlah dadaku dan bersihkanlah hatiku.  Robbi Yassir Wala Tu'assir.  Allahumma aameen.

Lama-lama aku rasa macam faham dan cuba pulak cakap macam tu.  Tapi satu hal, aku takut nak mengaku aku faham.  Karang ada otai yang kata 'saya belum lagi faham-faham ini semua huhu :'( ..."  Aik takkan aku yang junior dah faham. 

Sesudah itu aku baca buku kecil tentang 1000 Kisah Hadraji.  Dan aku mula rasa sedikit faham mengapa mereka kata mereka belum faham juga usaha agama ni. 

Setakat ini je yang boleh aku tulis pasal 'semuanya salah saya'.  Aku tak faham kenapa susah sangat aku rasa nak menulis malam ni.  Sebenarnya aku nak cerita pasal pelajar madrasah je.  Huhu :'(

Semuanya salah aku.  Pelajar macam anak ayam kehilangan ibu.  Tiga hari berlalu sesudah tamat percutian sinagkat ini, baru hari ini aku tau ada gelombang tsunami dengan skala kecil yang tidak berbahaya sedang melanda udara rumah bercat merah muda Lil Banat ini.

Gelak tawa dan kelincahan mereka, menyembunyikan riak yang sedang berombak.

Semuanya salah aku.  Aku membiarkan mereka dengan hati leka.  Aku tak jaga amal asyik dengan blog dan fb dan whatsapp.  Aku sudah jarang memperuntukkan masa menziarahi anak-anak ini walaupun hanya 10 langkah saja aku ke sana.

Semuanya salah aku huhuhuhu ... :'(

Ini lebih baik dari saranan motivasi diri tu.  Aku menyalahkan diri sendiri dan ada alasannya.  Biarlah hati rasa derita dan rengsa.  Ada jalan keluarnya.  InsyaAllah.

Jalan keluar yang sepatutnya.  Jalan keluar yang fitrah.  Jalan keluar yang digariskan oleh Maha Pencipta untuk diikuti.  Tiada keraguan.

Lampu sudah ditutup.  Samar.  Tetapi pelajar berteromba mendapatkan aku yang berada di pintu, baru menemani ustazah pulang ke rumah.  Kepoh dan kecoh.

Aku melangkah ke dalam ruang.  Aku tau ada yang sedang mengunyah di atas tilam.

"Jap.  Mama terbau bau jajan ni!  Sesapa yang makan jajan lebih baik bangun gi kumur-kumur sekarang!"

Anak mudir yang seperti sudah lena tiba-tiba duduk sambil tertawa besar.  Dia mengunyah-ngunyah sesuatu di dalam mulut.

"Cepat bangun.  Karang dah kawin beranak sorang tanggal satu gigi.  Beranak lima orang tanggal lima gigi.  Masa tidur ni bakteria pun kunyah gigi kamu ngan makanan terselit-selit celah gigi tu."

Tiga empat pelajar bingkas bangun menuju sinki.  Haihh!

Memang aku harus beredar segera dari ruang ini.  Jam sudah menghampiri 11 malam.  Selagi aku berada di situ, pelajar berteromba tak tentu hala entah mengapa.  Entah apa yang nak dicakapkan kepada aku.  Tak penting pun rasanya.

"Ok ok.  Esok semua bangun jam 4.30.  Mama balik dulu."

"Hahh! alamak 4.30!" ... Macam la tak tau.  Itu jadual harian pun.

Tiba-tiba, "adoii".  Aku mendengar bunyi kepala terhantuk ke dinding.  Arghh mereka tergelak-gelak lagi dalam samar cahaya lampu jalan terutama mangsa yang terhantuk kepala ke dinding.  Ya, macam-macam fiil ada.

Aku cepat-cepat keluar.  Terasa kurang segar.  Tak sempat nak mandi huhu ... Semuanya salah aku.  Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk membaiki diri.  Ya Allah ampunilah kami semua.  Kasihanilah kami.  Pilihlah kami sebagai daie daieyahMu hingga akhir hayat hingga hari kiamat.  Allahumma aameen.

 * setakat ini, inilah yang aku faham sikit.  Ada banyak lagi yang perlu aku belajar dan faham.  Apa yang ditulis ni pun mungkin ada cacat-celanya di mana-mana.   Aku mohon maaf sekiranya ada salah silap dalam tulisan ini.  Mohon doa juga semoga Allah mudahkan aku dan keluarga untuk mengikut jalan ini.  Semoga Allah pilih kita semua.  Allahumma aameen.



Wednesday, January 8, 2014

kadang-kadang

.






hati memang terasa gundah.
Gulana tanpa asbab.

Buat itu macam tak mengena.
Fikir, kalau begini ... ishh tak kena juga.
Kalau macam tu ... macamana pulak?  Pun tak kena gaya.
Buat ini macam tak kena.

Jom kita 



Jom kita



InsyaAllah







                                                                                         

Dari Abu Said Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)

Tuesday, January 7, 2014

Menantu Mama

"Sapa masuk dia menantu mama.  Memang sah menantu mama!"  kata gadis renceng yang lincah.  Dia tergelak-gelak sambil berpusing-pusing di luar pintu.  Lincah sungguh.

Kata-katanya disambut kawan-kawan yang sedang mengelilingi meja di ruang dapur dengan pelbagai nada.  Ada yang tergelak sama.  Ada yang menafikan.  Ada yang mengaku dengan nada nakal.  Ramai yang sanggup dan suka menjadi menantu mama.  Usah tidak percaya!

"Boleh je.  Tapi lapan je.  Sebab anak lelaki mama hanya ada dua."  Aku menambahkan lagi gula dan garam secukup rasa dan perisa.

Gadis renceng mula menyebut nama-nama yang 'sesuai dan layak', yang sering menjenguk aku di dapur.  Kawan-kawan yang disebut namanya sekali lagi beriak dengan pelbagai nada.

Sudah tiga bulan berlalu.  Usikan 'Menantu Mama' masih menjadi topik yang belum reda.  Apatah lagi apabila sesekali anak-anak lelaki aku pulang ke sini.  Gadis renceng itu bukan sahaja nakal tetapi juga berani menyuarakan isi hatinya kepada aku.

Sebenarnya, paku dulang paku serpih.  Itulah dia.  Mengata orang dia yang lebih.

Usianya bakal menginjak 12 tahun.  Dia memang lain dari yang lain di sini.  Dalam keluarga juga khabarnya, dia memiliki aura tersendiri.  Gadis manis bakal al-hafizah berlesung pipit di sisi dagu ini mempunyai hari depan yang penuh warna-warni.  Itulah yang aku rasakan.  Perjalanannya akan jauh melangkau sempadan.  Semoga dia menjadi pilihan Allah sebagai daieyahNya.  Allahumma ameen.

Namun aku tidak pernah menaruh secubit harapan kepada segala ini.  Hari depan yang masih jauh.  Hidayat?  Arghh, dia masih keanak-anakan.  Masih menangis di hari pulang ke madrasah.  Masih menyimpan azam mahu berulang-alik rumah-madrasah, walhal adiknya sendiri duduk di madrasah sepenuh masa walaupun hanya beberapa langkah dari rumah.

Bayangkanlah bagaimana Hidayat!

Tetapi tiada yang mustahil di dunia fana.  Allah Maha Kuasa menjadikan segala harapan kepada kenyataan.  Aku hanya mahu yang terbaik untuk kehidupan yang penuh kesementaraan ini.

Kini aku berubah lagi.  Adat manusia dan makhluk yang serba baru.  Berubah dan berubah menuju yang baik, begitulah hendaknya.  InsyaAllah.

Sunnah adalah kebaikan.  Sunnah adalah kejayaan.  Meniru dan mengikut sunnah Rasulullah SAW bermakna serba baik dan serba berjaya. Tiada keraguan dan usah meragukan.  Itulah hakikat yang sudah ditetapkan Allah SWT.

Antaranya adalah pernikahan pada usia muda.  InsyaAllah aku berazam untuk melaksanakannya.  Demi keredhaan Allah dan mengikut sunnah Rasulullah SAW.  Semoga Allah permudahkan.

Aku menjangka Naqib akan tersengih gembira.  Ketika aku mula menyuruhnya mencari calon untuk adik perempuannya, dia segera bertanya, "Untuk Along ada tak mama?"

Waktu itu aku hanya memikirkan anak perempuan mesti dinikahkan segera tetapi anak lelaki harus menyiapkan diri terlebih dahulu.  "Ehh kamu jangan nak ngengada.  Habihkan belajar dulu baru boleh nikah."  Tetapi serentak itu hati aku merasa kurang enak.  Sebenarnya menafikan kehendak sunnah memang tidak menggembirakan walaupun di luar kesadaran.  Kasihan kepada si anak yang perlu menghabiskan pelajaran sekitar 10 tahun lagi baru boleh bernikah.  Walhal waktu itu nanti usia sudah sesuai untuk memikul tanggungjawab sebuah keluarga.  Uh ...

Sebenarnya aku sudah lama dalam pencarian senyap untuk anak sulung ini.  Perkara yang menjadi rencana rahsia di antara aku dan si puteri merebak serta-merta gara-gara mulut si adik yang tidak dapat dikawal.  Budak kecik memang tak boleh tahu rahsia penting!  Dia yang lebih-lebih teruja mahu menghebahkan.  Kasihan kepada mangsanya yang tak tahu apa-apa tiba-tiba menjadi usikan.

Tetapi memang manis.  Tak salah pilihan.  Senyumnya.  Tutur katanya.  Lembut dan halusnya.  Ilmunya.  Walaupun rahsia sudah tiada rahsia.  Si dia tetap meraikan aku setiap kali bersua.  Selebihnya biarlah Allah sahaja yang menentukan. 

Beberapa detik ini.  Aku membaiki keputusan dengan azam untuk menjulang sunnah di pundak kehidupan.  Allahumma ameen.  Semoga apa yang aku harapkan akan ditukar Allah kepada sebuah kenyataan.  Hanya Allah yang Maha Kuasa, selainNya tiada sepicingpun kekuatan. 

Ketika rindu menjelma
Ketika kasih dianyam
Ketika sayang disulam

Kasih
Benar-benar kasih

Sayang
Benar-benar sayang

Rindu
Benar-benar rindu

Semoga Allah izinkan perasaan disimpan di cembul yang tiada noda dan dosa

Umpama rindu kasih dan sayang Ainatul Mardhiah
Yang terus-terusan mengerling dari sudut terindah
Sebuah syurga mutiara berongga
Bersama harumnya bayu membelai jiwa

Kasih
Sayang
Rindu

Biarkan ia mengusap rasa 
Sesudah tangan bersambut
Berpaut utuh pada akadnya
Diselimuti redho berlapis redho
Dinaungi tirai indah sakinah, mawaddah dan barokah
Maka muncullah CINTA.

InsyaAllah.
Allahumma Aameen.







Mummy Zaleha sudah pulang

Dulu, hampir 16 tahun lepas, mummy menemani dan merawat aku yang baru bersalin anak kedua.  Mummy mengaku sudah mula tidak larat tetapi menyambut jua pelawaan kami untuk berkunjung ke rumah.  Waktu itu kami di Brunei Darussalam yang permai indah.

Aku hanya mahu bersikap baik dan adil.  Anak sulung, my mummy datang. Anak kedua mummy Zaleha.  Sudah ura-ura menjemput mummy Ramlah dan Uwan Halibah (arwah) juga tetapi waktu itu belum berkesempatan.  Ongkosnya dong.  Sementelah bersalinkan puteri ini, aku diuji dengan hati bengkak dan mendapat sakit kuning.  Dia yang disyakki perlu rawatan disimpan di dalam kotak kaca walhal sebenarnya aku yang sedang menderita dalam diam tak diketahui sesiapa.  Entah hari ke berapa barulah aku disorong dengan wheel chair oleh suami menjenguk puteri kecil yang berselirat wayar di tubuhnya.  Waktu itu tayar kerusi terlanggar bendul lantai lift pun rasa macam nak terbang nyawa, punya sakitnya rasa.  Dan dah siap-siap mintak maaf pada bibik Saidah yang selalu kena marah :( ...  Sehinggalah kawan-kawan yang datang berziarah membuka langsir untuk menjenguk persisiran pantai di luar, baru disedari betapa kuningnya keseluruhan aku ...

Kali ini, buat sekian kali, mummy datang lagi untuk berada bersama kami.  Asbab mummy membawa hati hehe ... kena marah sebab terlalu rajin membersihkan kawasan longkang yang sebentar lagi akan diganti dengan saluran longkang baru mengelilingi kawasan.  Mummy yang ada darah tinggi dan mudah terkejut penat memang tak dibenarkan buat kerja teruk.  Namun, mana mungkin mummy duduk diam memerhati sahaja.  Dia mencuci dengan klorox sebab katanya ada sedikit lumut di situ dan segan pada orang yang datang buat kerja nanti. 

Aku yang biasanya ajak-ajak ayam mempelawa mummy datang ke rumah, tiba-tiba sedikit kaget apabila suami memberitahu mummy akan ikut kami balik, pada pagi itu.  Ajaib!  Maka mummy ikut kami balik Kuala Pilah sehingga selesai kenduri Yassin dan tahlil.  Mummy J so happy dengan kehadiran mummy Zaleha.  Tanpa disangka anak ketiga mummy Zaleha datang bersama isteri dan ibu mertuanya memenuhi jemputan mummy J.  Memang mengharukan!

Setelah sampai di rumah dan hilang lelah, barulah teringat nak bertanya pada suami tentang keputusan mummy.  Rupanya mummy yang mahu mengikut sendiri. 

Asbab sahaja kan.  Alasan mummy, mahu melihat pelajar madrasah dan kegiatan mereka seharian.  Mummy seperti teruja.  Mummy mendengar dan melihat kerenah lawak pelajar.  Mummy melihat kerenah cucunya Hanessa yang memanjakan diri sendiri.  Mummy berkenalan dengan ustazah al hafizah.  Dan mummy tolong kemaskan dapur aku. 

Hari ini aku agak keletihan dan mohon berehat usai urusan tengahari bersama pelajar.  Ketika petang masuk ke dapur semula aku rasa ada kelainan.  Lantai dapur ini macam bersih je, fikirku.  Maknanya seperti lebih bersih dari bersih yang biasa.

Ketika minum petang, aku bertanya.  "Mak, tadi saya tidur mak mop dapur eh?"

Mummy gelak kecil dan tak menjawab.  Dia menyisihkan aku dan memandang kaca tv.  Dia minum air dan tukar topik.  "Ni biskut ni memang banyak jenis ke?"  menunjuk isi tin biskut yang pelbagai.

Aku mengiyakan.  "Mak, tadi mak mop lantai dapur ehhh ...?"  aku tak puas hati terus bertanya lagi.  Sebenarnya mummy sudah menjawab pun dari gerak-gerinya tapi aku mahu dia mengaku saja dengan kata-kata.

Tak ada respon.  "Tak yah la buat mak.  Susah je mak ni teruk buat keja." 

"Alah, takpe le."

Sahih, mummy lap lantai dengan kain bukan dengan mop.  "Mop dengan klorox bersih lantai tu nanti."  kata mummy.

Itulah yang aku buat, bersama air panas berasap.  Mummy terkejut.  "Rosak lantai nanti."

"Tak pe mak,  mati kuman."  Cumanya aku akan mop tidak setiap hari. 

Mummy yang kebosanan selalu menjenguk aku di dapur.  Bukan selalu peluang ini ada.  Aku ambil kesempatan bertanya.

"Mak dulu bernikah umur berapa mak?"

"15 ..." jawab mummy ringkas.  Wah, menarik ni.

"Abah umur berapa mak?"

"Abah ngko 20."

"Mak dah pandai masak tak masa tu?"

Butir perbualan selanjutnya biarlah antara aku dan mummy je.  Apa yang pasti, Allah sudah tetapkan jodoh mummy pada usia 15.

Serta-merta aku teringat si puteri yang bakal mencecah 16 pada Mac ini.

"Memang elok nikah awal ye mak.  Mak long dulu umur 9 tahun bernikah kan mak?"  Aku minta kepastian.

"Mak long (arwah) tu salin tikar.  Arwah ayah mak yang setuju dia bernikah.  Isteri pertama meninggal dalam pantang."

Ya, benar.

~ sehingga jumpa lagi.  Aku masih sukar nak menulis untuk bahagia di sana.  Semoga bahagia di sana masih ada di ruang lain dengan asbab yang lain.  InsyaAllah.  Allahumma ameen.

*  aku memang menyokong pernikahan muda.  Perkara ini sangat menarik perhatianku.  Allah jua yang memberi aku keyakinan ini.  Asbab pada pengalaman sendiri dan melihat situasi masyarakat mutakhir ini.  Ya Allah, jadikanlah kami asbab hidayat seluruh alam.  Pilihlah kami sebagai pembantu agamaMu.  Berilah kami faham maksud hidup dan usaha atas iman.  Berilah kami kekuatan untuk menelusuri perjalanan yang ditinggalkan Rasulullah SAW dan para sahabat r.hum.  Pilihlah kami jangan biarkan kami walau sesaat.  Ke mana lagi hendak pergi jika tidak kepadaMu ya Allah ... :'(

~ Sehingga bersua lagi mummy ... bila pulang tentu longkang sudah siap dan tak ada apa lagi yang mummy nak bersihkan.  Banyakkan berehat sambil zikrullah semoga Allah memelihara mummy dan abah, sentiasa dalam pandangan rahmatNya insyaAllah Allahumma ameen.


Sunday, January 5, 2014

Allahumma ameen

Allah izin aku berblogging malam ini.  Sedangkan kredit broadband ini sepatutnya sefaham aku sudah khalas.  Sedemikian lajunya ia menuju khalas sangat mengejutkan, sehingga aku terpaksa membeli pakej yang lain tadi petang.  Sebenarnya sudah rindu mahu menulis.  Sepanjang menahan hati beberapa hari ini, seperti ada saja yang mahu dicatatkan.  Waktu ini, semuanya sudah hilang :'(

Ibu mertua sedang bersama aku.  Tetapi esok dia akan berangkat ke rumah anak bongsu pula.  Pertama kali mummy menginjak pondok kami.  Sewajarnya dia lebih aku istimewakan daripada mummies aku sendiri (dua mummy).  Tadi petang mummy mengemas dapur.  Akhir sekali ketika aku pulang dari pasaraya bersama anak-anak, dapur ada kesan dibersihkan dengan air.  Waduhh!  Aku rasa terperli sendiri.  Tiba-tiba teringat mummy J.  Biasanya mummy J yang tak kering tangan setiap kali dia datang.  Betapa bertuahnya aku ya ... mummy Z datang pun serupa.  Betapa mereka sangat mengerti bagaimana aku ... uh.

Tadi petang juga, aku menghantar anak-anak pulang ke madrasah.  Hurilain sudah siaga dengan persiapan dan tidak merengsakan.  Dia semakin matang, walaupun masih sempat buat muka sebentar tadi.  Sabar saja.

Namun, rengsa menjadi-jadi dengan kerenah Hidayat.  Dia, seperti biasa, mahu berulang-alik.  Aduhai, andai abah ada!  Aura si bapa masih terasa apabila Hidayat bersiap-siap juga akhirnya, selepas aku khabarkan gertakan abahnya melalui telefon.  Tentulah dengan hati bengkak.  Ini semua, aku salahkan diri sendiri.  Dia begitu asyik dengan gadget.  Memang salah aku.  Salah abah dia jugak.  Ok, memang ada aku beri amaran akan merosakkan tab murah itu (gertak je). 

"Jangan harap nak tengok mende tu lagi sampai kamu tamat madrasah!"  Aku simpan ia dalam mikrowave.  Oh tidak, di dalam laci saja sambil memikirkan tempat lain yang lebih rahsia.  Dia sangat asyik.  Beberapa kali dia menunjukkan kemahiran yang agak menghairankan.  Sayangnya fokus ini tidak aku harapkan.

Hanessa pun 'kembali' ke madrasah.  Dia sempat minta tilam nipis dari kampung kerana dia tiada tilam di madrasah, hanya menumpang di tilam milik kawan.  Tadi petang, dia mengajak nanny Z menghantarnya ke madrasah yang hanya beberapa tapak di sebelah rumah.  Yup, Atuk Leha sudah menjadi Nanny pulak.  Nanny ketawa saja.  Perangai cucu saling berbeza.  Sebenarnya ini pertama kali nanny meluangkan masa yang agak lama bersama keluarga Meon.  Bersama menantu perempuannya ini.  Ah, biasa je.  Sama je.  Tak ada beza rasanya.  Dan melihatlah nanny akan tingkah cucu-cucu anak Meon ini.  Beragam jua.

Manuskrip.
InsyaAllah mengikut kata editor Tuan Johariz di Whatsapp, novel akan dipastikan berada di pesta buku pada Mac 2014.  InsyaAllah.  Semuanya dengan izin Allah.  Apa tajuknya?  Seindah Doa Bonda?  Macam tak kena je ... sudah lupa ...  betul ke?

Sudah tua.

Hmm InsyaAllah betul tu.  Macam betul tu.  Allahumma ameen.  Alhamdulillah.

Hmm ...  

Antara mencatat dan merekod.  

Merekod dan merepot.


Merakam dan menghadam.

Apa asbab di sini untuk gembira di sana?

Sepertinya membazir masa

Tiada apa-apa

Kosong belaka

Astaghfirullah

Ya Allah!

Apakah ini semua hanya ...

Apa ini semua?

ketika magma semakin panas

aku masih alpa dan lupa

ketika lahar semakin membuak

aku masih terkesima tanpa arah

sampai bila?

Ya Allah! 

apa ertinya ini semua.

Allahumma ameen.

Kepada Allah berserah.





 

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing