Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, December 3, 2014

"Mama, sini jap."  Siti Hajar seperti mahu berbisik di hadapan kawan-kawannya.
Aku merendahkan kepala, menyua telinga.  Dalam hati berkata, entah apa nak dibisikkan, ada saja bendanya.  Terasa bersalah melayan bisik-bisikan.  Tak baik berbisik di hadapan orang.

Tiba-tiba sebuah kucupan singgah ke pipiku.  Haihh!  Ia agak mengejutkan.  Siti Hajar tertawa-tawa berpusing terus berjalan menuju madrasah bercat merah muda. Malu agaknya.

"Hai, ingatkan nak bisik apa la ..." aku tersenyum di hadapan yang lain yang memerhatikan dan menunggu  peluang untuk berkongsi rahsia.

Dan dia mengulanginya kali kedua, juga di luar sangka.

Satu tengahari, dia mengadu tentang mimpi di siang hari.  Katanya mama akan pergi entah ke mana tak akan kembali lagi, kami semua, pelajar semua menangis-nangis.

Kataku, "Napa, macam mama dah meninggal dunia je."

"Ishh jangan la cakap macam tu mama."

"Yelah, dah awak kata pergi tak kan kembali lagi.  Pergi meninggalkan dunia ini la maksudnya tu."

Siti Hajar tertawa comel.  Giginya putih bersih berbaris indah.  Matanya mengecil sama tertawa.

Hmm ...  sampai termimpi-mimpi dibuatnya.

***

"Mama, bila boleh tolong mama berkemas ni mama?" tanya Ika.

"Eh jangan la tanya macam tu, macam nak halau mama je ..." sampuk yang lain.

"Bukan la ... nak tolong mama berkemas je lah!" Ika separuh mendengus.  Geram agaknya.

"Nanti la, mama lom ada masa nak berkemas ni."  Hanya ada lima kotak kosong, kotak kipas dinding yang baru dibeli.  Ah, malasnya nak berkemas.  Malasnya nak berpindah lagi.  Sudah lebih 10 kali kami berpindah-randah semenjak bernikah, termasuklah pindah ke Brunei.  Dan di sana pun kami berpindah-randah juga.  Masih belum dapat mengambil iktibar supaya tidak mengumpul banyak barang.  Masih ...

Tetapi kali ini, ia perlu dilakukan.  Cermat dan berhati-hati memilih barang keperluan.  Rupa-rupanya mengemas rumah juga perlukan ilmu.  Apabila pandai mengemas, pandai juga memilih barang, lebih panjang akal dan banyak idea, aku fikir begitu.  Semalam mengumpul beberapa blog tentang mengemas rumah.

Aku katakan pada suami, "Abang, kat rumah baru nanti tak mau banyak barang. Barang-barang kerja abang tu ... hmm hmm ..."  Dalam hati berharap dia mendapat mesej walaupun ayat aku tergantung.  "Ayang azam nak berkemas selalu, insyaAllah."  Azam mesti mau ada.  Macam biasa, suami hanya ada telinga tetapi pendengarannya kadang-kadang entah di mana.  Namun dia memberi respon di masa yang lain.  Respon yang sangat menyukakan hati aku.  Cadangan aku untuk mendapatkan perabut yang jimat ruang mendapat sambutannya.  Kami sedang mencari masa untuk melaksanakannya insyaAllah.

Tidak mahu serabut lagi.  Tidak mahu penuh dinding dengan segala ayat al Quran yang dijadikan hiasan.  Azam, al Quran di hati bukan di dinding.  Tidak mahu kabinet tv besar.  Aku memang tak tengok tv.  Tapi abah kata nanti dia nak masukkan Astro pulak aduhai ... Tidak mahu set sofa sebab nak amalkan sunnah duduk atas lantai.  Tapi kerusi sample untuk istana (projek terlepas) dulu tu suami kata tetap nak angkut jugak, ikut je la.  Mahu kosong dan lapang.  Semua perabut aku senaraikan sebagai serabut.  Belajar dari pemerhatian.  Cukuplah yang sudah-sudah.  Kami jumpa kedai perabut terpakai di Kapar.  Sebelum mak sampai, semua perabut yang patut ditolak akan cuba diuruskan segera ke sana.  Sebelum mak sampai, kami akan cuba berpindah secepat mungkin.  Jadi mak akan masuk ke rumah baru sahaja.  (rumah baru = rumah sewa yang baru siap, kami penghuni pertama).  Sebab kami tak nak serabut.  Kami rasa mak tidak bersetuju sangat kami tolak perabut ke kedai barang terpakai, "pakai je la apa yang ada ni," kata mak.

Jadi, kalau boleh, sebelum mak muncul lagi kami mesti selesaikan urusan pindah-randah ini dengan sempurna.  Tak mau mak risau dan bersusah-payah membantu.  Mak abah datang rehat sahaja.  Mak abah senyum sahaja.  Azam, nak ajak mak Ramlah dan mak Leha serta abah Mat Arbak melapangkan masa berehat-rehat di sini juga, di masa hadapan.  Semoga mereka sudi.  InsyaAllah.


***

Semua ni salah aku, hati berbisik.  Mengaku dengan perasaan luruh.  Aku membuka tab dan membaca surah Yasiin, seperti yang selalu dilakukan, hanya kali ini menggunakan tab bukan al Quran .  Wanita berumur di bangku sebelah sana tidak aku endahkan.  Dia pun jauh jaraknya.  Setiap orang yang lalu-lalang tidak aku perdulikan.  Air mata bergenang-genang.  Semuanya salah aku, mengaku sahaja.

Aku hilang sekejap sahaja.  Seboleh-boleh, nafsu mengajak aku mencari juga lampu berdiri yang telah menawan hati.  Setiap belokan aku camkan supaya dapat kembali ke tempat suami dengan mudah.  Melangkah laju dan pantas.  Akhirnya aku tetap tersesat di dalam showroom yang berbelok-belok dan banyak bahagian.  Pertama kali datang, aku rasa sepuluh kali datang barulah aku benar-benar mahir berjalan di situ.

Telefon berdering, sebaik sahaja aku menghantar pesanan ringkas kod lampu tidur berdiri yang telah berjaya aku jumpai. 

"Kat mana?  Tak boleh duduk diam ke?"

Kebetulan aku bertemu escalator, "Kat escalator."

"Turun bawah."

Masa semakin suntuk.  Aku perlu berada di madrasah untuk menyiapkan minuman malam.  Maghrib sudah lama berlalu, waktu Isyak pula menjelma.  Suami tiada masa untuk mencari aku.  Dia pun mungkin sudah kelaparan.  Hai, mengapa aku tidak menahan diri sahaja?  Mengapa aku tidak memikirkan kemungkinan akan tersesat?  Mengapa aku tidak memikirkan masa yang semakin suntuk untuk membiarkan diri hilang arah di pusat perabut yang besar ini?  Semuanya salah aku.

Hati berdebar.  Naluri mengatakan pasti semuanya sudah batal.  Suami sudah angin kuskus padaku kerana menghilangkan diri, sedang dia menunggu giliran untuk membuat tempahan perabut yang kami sama-sama pilih sebentar tadi.  Sebentar tadi yang suasana cuaca sangat ceria dan saling memahami.  Tiba-tiba angin sepoi-sepoi seperti akan tsunami.  Semua salah aku, bisik hati lagi.  Sambil membaca Yasiin, air mata yang kering bergenang semula.  Semua salah aku, desis hati berkali-kali.  Tetapi andai aku sentiasa difahami, alangkah bagusnya, nafsu pula berbicara.  Ah!  menyampuk saja.  Beri betis nak peha maknanya.

Kecilkan dunia besarkan akhirat, kecilkan dunia besarkan akhirat kecilkan dunia besarkan akhirat.  Terasa lemahnya iman saat ini, Allahuakhbar.  Istighfar istighfar istighfar.

"Tak payah la beli lampu tu."  aku menghantar pesanan ringkas lagi.  Nadanya seperti hampa.  Haha ... padan muka aku.  Nafsu pun terasa luka.  Padan muka kau!

Suami muncul juga akhirnya.  Aku buat-buat tak nampak, terus menatap tab walaupun sudah selesai membaca Yasiin.

"Yang, tak jadi.  Banyak out of stock.  Kereta kita tadi kat mana ea?  Ingat tak?"





4 comments:

AMIIZAA said...

salams :)

macam novel bila dtg kesini:)

NaqHuHiNes said...

haha Mieja, novel kehidupan :D

nor laila said...

assalamu'alaikum warohmatulloh
sahabat dan saudariku
tak sangka saudariku bejaya mencapai impian hidup TAHNIAH
tulisan yang sangat mantap gaya persembahan bahasa yang cantik dan indah orang berjiwa seni memang kaya dengan ayat-ayat puitis yang membuakan sesiapa membaca rasa terpesona maintain jiwa seni tu ye

NaqHuHiNes said...

Waalaikumussalam warohmatullahi wabarakatuh
sahabat dan saudariku Nor Laila
semoga doamu dimakbulkan Allah
jazakillahu khoyr katheera
dan doa yang sama untukmu jua.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing