Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, December 1, 2014

"Bila mula dapat tempias nak berhijrah?"  tanyanya.

Aku pun dengan bersemangat mahu mengulang cerita lama, kisah di Brunei negara aman sentosa, ketika Allah mengizinkan sebuah pertemuan, asbab anak-anak yang berada di madrasah di Malaysia.  Tetapi, belum pun sempat aku menyudahkan baris ayat pertama, ketika baru mahu menarik nafas untuk menyambungnya, tiba-tiba, "Haa ... kami la yang berdoa masa tu." (ayat tergantung, sebab aku tak ingat apa lagi yang dicakapnya sebutir sebutir).

Aku tersentak lalu terdiam.  Hilang semua nikmat mahu berkongsi cerita di pihak aku, bagaimana asal mulanya asbab aku berhijrah beberapa tahun lepas.

Dia bercerita kepada suami; jumpa sekali je masa rawatan refleksologi dulu tu ... dan malam ini pertemuan kali kedua kiranya.

Ya dia datang bersama pakar urutan refleksologi (dijemput dari komplek sukan Bukit Jalil) untuk merawat lutut kiri aku yang terkucil tiba-tiba tanpa sebab, tiga hari sebelum menaiki pesawat ke Brunei.  Asbab urutan itu dengan izin Allah dapatlah aku berjalan dengan lebih selesa hinggalah mendaki tangga kapalterbang pada keesokan harinya.  Tidak perlu menggunakan tongkat kepala naga milik suami lagi. MasyaAllah aku tidak pernah menduga ada orang yang sudi menitipkan doa buat kami, yang aku kira doa khusus, hanya dengan sekali pertemuan dan aku tidak pernah mengendahkannya dengan berlebihan.

Akhirnya aku menjadi pendengar bisu.  Tetamu leka bercerita dengan mak.  Rancak benar.  Aku dah tersengguk sengguk bersandarkan dinding.  Sesekali mataku nampak tetamu mengerling memandang tetapi nampaknya keadaan aku yang begitu tidak mengundang sebarang rasa padanya.  Dari bersimpuh aku bersila. Akhirnya aku berlunjur kaki.  Perlahan-lahan kesopanan yang aku pertahankan beransur pergi.  Aku sudah mengantuk tetapi menahan diri dari memanjangkan leher meninjau jam dinding yang terhalang dek tv bisu. Namun aku amat pasti, embun dinihari mula berkumpul di hujung dedaun.

"Bang, urutkan tapak kaki ni," aku mengangkat tangan suami dan meletakkan di kakiku, sekadar mahu mengusir kebosanan sebagai tuan rumah yang menjadi pendengar setia semata-mata.  Aku tidak dapat mencelah.  Perbualan mereka ni berkisar di kampung dengan kisah watak-watak yang aku tak kenal.  Tetamu lelaki itu seorang karkun.  Isterinya memakai purdah tetapi dibuka dengan izin suaminya.  Maka sang suami itu ada memberi tasykil kepada suamiku.  Dia menyebut tentang jhor, mesyuarat, keluar masturat termasuk pengalaman keluar dari keretapi melalui tingkap semasa di India.  Dia menyebut nama-nama syura Malaysia.  Aku tiba-tiba menyampuk menyebut satu nama yang aku tahu, yang sepatutnya tak perlu aku menyampuk begitu, "bukan, dia bukan syura."  Yelah aku tak tahu.

Sehingga saat ini aku masih terngiang-ngiang akan bicara sang suami itu.  Dia mendoakan kami.  Alhamdulillah.  Aku lantas terkenangkan saat  berlegar sebagai seorang perempuan yang agak bingung di ijtimak Sepang 2009.  Bingung melihat perhimpunan yang begitu padat dengan khemah-khemah yang bersaiz jumbo, dan nama-nama negara di pintu setiap khemah.  Ia amat luar biasa bagiku waktu itu.  Mungkinkah di situ ada juga doa yang dititipkan ke hadrat Allah untuk perempuan ini?  InsyaAllah.

Bagaimana pula dengan sepucuk surat tiada beralamat yang aku titipkan melalui bakal tetamu Allah di Tanah Suci Mekah beberapa belas tahun lampau.  Manifestasi luahan hati yang sarat padat, "akak letak la kat mana-mana, kat celah-celah al-Quran ke" tanpa membenarkan dia membacanya (aku rasa-rasa).   Siapakah yang membaca surat itu, dan mungkinkah ada doa siapapun yang membacanya untuk si pengirim yang turut menyertakan nama penuhnya itu?  InsyaAllah.

Doa kesemua bonda-bondaku?  Ayahanda-ayahandaku? 
Doa guru-guruku?
Doa orang-orang soleh?
Doa suamiku?  Doa anak-anakku?
Doa saudara-saudaraku? Sahabat-sahabatku?
Doa sesiapa yang mengasihi aku?

MasyaAllah, indahnya kehidupan andai disirami doa sepanjang masa.  Doa yang baik-baik belaka.  Doa hidayat.  Doa husnul khotimah.  Doa kebahagiaan hingga ke Jannah.

Terima kasih kerana mendoakanku.  Doa adalah ibadat yang disukai Allah.  Allah menyuruh kita sentiasa memanjatkan doa ke hadratNya.  Dan setiap doa pasti akan dikabulkan.  Berdoakalah dengan penuh keyakinan dan pengharapan.  Bukan doa separuh hati dan tiada rasa ia akan dikabulkan.  Doa sudah siap dalam perjalanan sebelum ia dilafazkan di bibirmu.

Berdoalah untuk saudaramu.  Antara doa yang sangat makbul adalah doa untuk saudara kita tanpa pengetahuannya.

Yang pasti, doa Baginda Rasulullah SAW Habibullah bersama air mata suci baginda di setiap malam sehingga saat-saat akhirnya sentiasa mengiringi kita semua. Alhamdulillah.  Allahuakhbar. 


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing