Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, November 17, 2014

Penat dan agak mengantuk.  Namun menggagahi diri untuk mencatat sesuatu.
Esok, anakanda akan menghadapi detik-detik mendebarkan, untuk menyelesaikan muka terakhir hafalan al-Quran, iaitu muka terakhir surah Al-Baqarah.  Semoga Allah memudahkan dia, dengan iman dan tenang.

Semalam aku ke Bukit Changgang menjemputnya.  Merungut juga, "dah tentu tinggal satu muka, masih mau bercuti balik rumah.."

"Iye la mama ... nak bincang sebab tu balik."  Jawabnya dengan suara yang semakin dewasa.  Sudah lama 'pecah suara'.

Semalam, dia menelefon sebuah madrasah berdekatan.  Buat pertanyaan.  Petangnya hadir kuliah dan diberikan set borang untuk diisi.

"Along cenderung hati ke mana sebenarnya?"  aku bertanya.  Aku tidak mahu dia rasa terpaksa.
"Along cenderung ikut mama."  Laa ... mudah benar keputusannya tetapi aku pula rasa serba salah.

Sikapnya begitu, akhirnya membawa kepada perbualan dan perbincangan panjang.  Aku mula memikirkan gerak hati dan tujuan sebenar.  Aku berkitar di tempat-tempat yang pernah aku dan suami bincangkan untuk dia melanjutkan pengajian.

Aku merasakan sesuatu.  Ketika perjalanannya masih jauh, aku berkobar-kobar mahu dia "pergilah belajar jauh-jauh.  Anak lelaki kena lasak dan bersemangat waja.  Carilah ilmu sampai ke negeri China."  walaupun tentu bukan ke sana maksudku.  "Ikut macam abah.  Abah pun kata anak lelaki mesti jauh berjalan tak mengapa."

Namun aku merasakan sesuatu, apabila esok dia akan khatam muka terakhirnya, "hati mama goyang pulak la ..." sambil tersengih-sengih dengan kejujuran sendiri.  Sempat air mata menitis sebelum dia balik ke rumah semalam.  Touching sendiri.

Mak pula berkata, "itu la jantung hati mak, buah hati mak, kalau jauh susah la nak jumpa.  Entah-entah tak jumpa.  Mak tak tau la bila .. mak dah tua ..."  Alahaii ...

"Tak mengapalah, kita buat istikharah.  Keputusan dengan solat istikharah, Allah yang tanggung semuanya.  Kita buat tiga malam."  Namun aku terlalu mengantuk malam tadi, selepas terhoyong-hayang ke dapur dan picit loceng untuk membangunkan pelajar hampir jam 5 pagi, aku terlelap walaupun sempat memberi amaran pada diri untuk bangun semula jam 6.  Tiada rezeki untuk tahajjud dan istikharah.

Lalu terkenang beberapa keputusan penting yang dibuat sebelum ini.  Termasuk ketika mencari keyakinan untuk calon suami dulu.  Apapun yang berlaku, pasti ada hikmah yang tak tercapai akal memikirkannya.  Yang penting, redha.

Semasa memasak, aku dan anak ini asyik bercakap.  Berbual tak habisnya.  Dia menceritakan 'hal-hal yang along tak pernah cerita kat mama/ along tak pernah cerita kat sesiapa/ hanya along bertiga dengan dot dan dot sahaja  yang tau pasal ni/ along simpan je selama ni/ bla bla bla ...'

"Apa tajuk cerita kamu ni?"  Kisah yang banyak flashback dan pelbagai watak.
"Tajuknya SAHABAT, mama."

Semakin aku faham dia.  Anak sendiri tu.  Masih manusia tersendiri yang sulit dimengerti.  Sambil mendengar, sambil berbicara, aku berusaha mencari nilai.

Timbul kisah-kisah lampau yang menjadi pengajaran pada diri.  Aku persembahkan kepada dia sebagai teladan dan sempadan.

Seperkara, hati nan seketul di dada setiap insan, benar-benar Allah jadikan ia satu wadah yang berkuasa membentuk diri manusia.  Hati nan seketul itu sangat dalam bicaranya, sangat terkesan dan berkesan menguasai tindak-tanduk dan upaya fikiran.  Kisah manusia adalah sangat akrab dengan hati.

Kami berbicara seperti dua kawan yang akrab.  Sampai ayam masak semur melekat di dasar kuali dan menjadi kerak, dek asyiknya bercakap.  Yang tentunya andai ada sang bapa bersama, pasti dan pasti akan dapat teguran berbisa.  Pedass ... mujur dia jauh di selatan.  Hangus ke hitam je aku rileks je.

Sepanjang perjalanan menghantar dia balik ke Bukit Changgang, masih lagi berbincang-bincang.  Keputusan seperti sudah dicapai tetapi belum muktamad.

"Jadi, mama nak suruh along ke situ la?"  tanyanya minta kepastian.

Aku tidak suka memaksa.  "Lebih kurang la.  Ia madrasah besar dan antarabangsa.  Biar la orang lain bangga anak belajar jauh-jauh, mama tak peduli.  Mama pun dah tau kenapa along nak beredar cepat.  Fikir macam ni saja, setiap sesuatu tu ada hikmahnya.  Mungkin kita boleh fikirkan sedikit ikut kemampuan kita,  sejauh mana kita merenung dan termenung.  Tetapi mungkin ada hikmah lain yang tersembunyi, yang mungkin lagi sehari baru muncul, atau seminggu, atau sebulan, atau setahun, atau bertahun-tahun, mungkin sahaja apabila kita dah tak ada baru jelas hikmahnya, mungkin untuk keturunan kita, mungkin untuk ugama kita, mungkin untuk apa sahaja yang Allah tetapkan.  Tapi percayalah, tetap ada hikmahnya.  Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Bersikap jual mahal.  Means jaga maruah diri.  Mengharap pada manusia, kita akan kecewa.  Mengharaplah kepada Allah.  Pasti tidak kecewa.  Mengadu pada manusia dia hanya mendengar.  Dia pun ada masalah nak mengadu.  Mengadu pada Allah, Allah Maha Mendengar dan Maha Tahu rahsia hati kita.

Biar orang buat kita, kita jangan buat orang.  Kamu ni jenis penyimpan macam abah kamu.  Suatu ketika ..."

Cerita lama pun dibuka.  Kisah-kisah pendek dalam hal persahabatan yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk menghadapi pelbagai kerenah kawan-kawan yang menggugat hati.  Aku mahu dia jadi strong, dan tidak terkesan dengan suasana.

InsyaAllah.

Yang penting keputusan yang dibuat tidak menjadikan dia tertekan dan terbeban.

Sampai di hadapan madrasah, barang-barang keperluan dibawa ke dalam.  Dia masuk semula ke dalam kereta, duduk di sebelah aku.  Dan kami sambung berbicara lagi.

"Okay, mama nak balik.  Karang sampai rumah maghrib ni."

"Lama lagi la mama ..."

Aku mendengar dan dia bercakap.  Aku bercakap dan dia mendengar.  Sambil itu dia melayan watsapp di telefon.

Aku jeling jam di dashboard.  Lima belas minit ke pukul 6.

Aku jeling jam lagi.  Sudah lima belas minit melepasi jam 6.

Aku pandang jam lagi, alamak ... sahih sampai rumah waktu syaitan sedang banyak berkeliaran.

Salam cium pipi.  Dia keluar dan pergi ke pintu tempat aku duduk.  Bercakap lagi basa-basi, salam cium pipi lagi.  "Pakai scrub yang mama belikan tadi tu sampai habis, lepas tu baru pakai pencuci yang lagi satu tu tau.  Pagi-pagi tak payah pakai, cuci je macam biasa.  Pakai tiga kali, tengahari, petang dan malam masa nak tidur."  Aku beri arahan dan terus undur kereta perlahan-lahan.

Dari jauh aku melihat sekilas pandang.  Wajahnya tetap tenang.  Seperti kata kawan-kawannya, Naqib tak pandai merajuk.  Sangat pintar dan kemas menyembunyikan rahsia dalam jiwa.  Semoga Allah mengizinkan aku sentiasa ada untuk mendengar apa yang tersimpan dalam dadanya, sehingga sampai saat yang ditentukan.  Semoga dia akan berbicara lagi, supaya hilang gundahnya dan datang ketenangan dari Allah buatnya.  Semua dengan izin Allah belaka.  Tiada sebaik-baik pendengar dan yang memahami melainkan Allah Subhanahu Wa Taala semata-mata.  Aku hanyalah hambaNya.

* semoga Allah memudahkan urusan anakanda tersayang. InsyaAllah aameeen.

* demi orang-orang tersayang.  Semoga Allah memberkati keputusan ini dan menetapkan anakanda di dalam senarai pilihanNya hingga akhir zaman aameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing