Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, August 21, 2014

"Mama..mama..Ustazah panggil.  Ustazah baru tu dah datang.  Nak mintak tolong translate."  Tiba-tiba anak bongsu menggoyang-goyangkan bahuku.  Aku yang sedang terbaring di dalam telekung mengetik tasbih semula.  Kelopak mata yang masih berat tertutup perlahan.  "Tapi ustazah kata kalau mama tidur, tak pe la..."  sambung si bongsu lalu beredar.  Aku berhijrah semula ke alam mimpi.

Itu kisah selepas Zuhor semalam.

Aku tau ustazah baru dari Bangladesh sudah berada di madrasah.  Suaminya yang mengabarkan ketika aku membuat tuntutan pembayaran barangan di pejabat madrasah semalam.  Tetapi aku terlupa itu semua ketika si bongsu tiba-tiba mengejutkan aku dari tidur.

Ketika pelajar khidmat taam datang mengambil makanan sahur pagi tadi, tak semena-mena pintu diketuk beberapa kali dari luar.  Aku dan Nurul Ain berpandangan.  Kes sesuatu tanpa jasad mengetuk pintu pernah berlaku.  Hanya bunyi ketukan tetapi orangnya tiada.

'Takkan pagi-pagi buta pun nak ketuk jugak... salah time nih.' desis hatiku. 'Dah nak subuh kejap lagi.'

Tiba-tiba ketukan berbunyi lagi, lebih kuat dari tadi.  Serta-merta aku nampak bayangan tak jelas di celah dinding yang renggang seperti memerhatikan kami yang masih tercegat, tenang-tenang saja.  Seorang pelajar keluar dari dalam madrasah meninjau di celah dinding yang renggang selebar sejengkal.

"Sapa pulak tuh?" soal aku.  "Nah ambik kunci ni bukak mangga pintu tapi jangan bukak pintu dulu."  Nurul Ain berlari ke pintu pagar dan membuka mangga kunci.

"Mama, ustazah baru dah datang!" jerit pelajar yang meninjau di celah dinding yang renggang.

Ohh ... ahlia Maulana yang baru bernikah tu rupanya.  Pasangan pengantin ni baru tiba kelmarin dari Bangladesh.  Maulana Qayyum sudah beberapa tahun mengajar dan telah pun bernikah pada 3 Syawal lepas.  Ahlia beliau juga hafizah dan akan mengajar di Lil Banat.  Inilah ustazah yang sepatutnya aku temui petang semalam, atas arahan mudirah.

Selepas selesai semua urusan sarapan pagi, aku pun pergi ke pejabat untuk berkenalan dengan ustazah baru ni.  Dari jauh dalam samar cahaya lampu pagi tadi, nampak tinggi lampai orangnya.  Semakin aku menapak mendekati pintu pejabat yang terbuka, semakin jelas aku melihat perempuan berpakaian serba hitam sedang bercakap di telefon.  Akhirnya aku berdiri di ambang pintu.  Dia serta-merta menoleh dan menyudahkan percakapannya.  Dia bangun dan kami bersalam cium pipi.  Alahai, kecil molek benar orangnya.  Seorang gadis muda yang baru sahaja bergelar isteri.  Aku agak beza usianya dengan maulana sekitar 10 tahun.  Membandingkan dirinya dengan puteriku si bidadari, seperti jari kelengkeng dengan jari hantu.  Andai si bongsu pula yang berdiri di samping gadis ini, tinggi mereka lebih kurang sahaja rasanya.

Berkenalan lebih kurang, aku mohon diri.  Dia tidak mahu bersarapan.  Pagi ini ada ibu pelajar yang muncul tiba-tiba membawa mee sup dan sedikit kuih-muih.  Memang jauh benar dengan selera orang Bangladesh yang sukakan masakan kari yang hangat pedas.  Aku sudah bercadang nak masak kari ayam esok.  Mungkin dia sudi menjamah.

Sebelum berlalu pergi, dia memandang aku dan tangannya memegang pipiku.  Entah apa dia nak cakap, aku tak tau.  Sebab dia kurang mahir Bahasa Inggeris.  Kata maulana, dia sudah mengajar sedikit-sedikit Bahasa Melayu kepada isterinya, dan selebihnya "akak tolong la yer..."  Itulah katanya semalam.  Aku pun pegang pipinya pula dan ucapkan ,"Beautiful!"  Ustazah baru yang comel ini tersenyum mendengarnya.

* ya Allah, mudahkanlah urusan kami.  Baikilah urusan kami dan kasihanilah kami, ampunilah kami dan terimalah kami.  Ya Allah, hanya kepadaMu tempat kami mengadu dan berserah diri.  Aameeen.


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing