Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, April 2, 2014

Dia Seorang Pelarian

Tidak ...
dia bukanlah seorang pelarian
yang melarikan diri dari permasalahan.

Aku agak mengenalinya.  Semenjak lahir, katanya dia selalu beroleh cinta walaupun dia tidak mengerti apakah maknanya cinta.  Namun dia sangat bahagia.  Dikasihi dan disayangi dalam keluarga dan di mana saja berada.  Kasih sayang membuatkan fikirannya tenang, dadanya lapang dan jiwanya senang.  Begitulah ceritanya.

Lalu dia membesar umpama sekuntum bunga mawar terindah yang menjadi idaman banyak sang kumbang.  Wajahnya halus dan perangainya tulus.  Sehingga perkhabaran tentang dirinya cukuplah membuatkan hati menjadi rawan.  Hingga dia beroleh perutusan dari kejauhan, tidak pernah bertemu tidak pernah kan berpisah, dengan hati yang hairan.  Begitulah ceritanya.

Hatinya keras tidak mudah terusik.  Andai tercalar, disimpan diam-diam.  Andai terkena imbasan perasaan, tidak mendatangkan kesan.  Hingga satu jeda di usia remaja.  Matanya menangkap satu bayangan yang menerbitkan rasa luar biasa di jiwa.  Entah mengapa ... Dan begitulah bermula ceritanya umpama Laila, sebuah kisah yang semakin panjang. 

Aku pun hairan.

Dia tidak pernah menyenaraikan sebarang permintaan dan harapan.  Baginya semua adalah tiba-tiba.  Kini dia adalah selautan perasaan yang sungguh dalam dan mengasyikkan.  Tidak mungkin termampu insan yang tercebur selamat hingga ke tepian.  Pasti akan tenggelam ... tenggelam dalam kemabukan yang melalaikan.

Aku bertambah hairan.

Ketika dia menggapai impian, tiba-tiba dia mendapat kejutan.  Bagai baru terjaga dari lena yang terlalu panjang.  Dia mencari-cari tetapi tidak menemui.  Masakan ada, kerana dia tidak pernah teringat mahu memikirkan.  Dia tiada simpanan senarai yang panjang.  Dan dia berkali-kali menyesali diri.  Sayangnya masa sudah berlalu pergi tidak akan kembali.  Yang pasti, adalah keterlaluan menganggap dirinya seperti Asiah yang dizalimi.

Kini aku mula mengerti.

Harus kukhabarkan pada dia.  Bahawa itu semua ketentuan Illahi jua.  Sebaik pena diletakkan dan dakwat pun kering.  Takdir sudah siap untuk dijalani.  Bersedialah dan bersabar selalu.  Andai dia lautan, pasti ada gelombang.  Semoga hatinya pun demikian.  Serangkai doa yang tidak pernah diketahuinya, kini direzekikan Allah untuk diucapkan bersama harapan tinggi yang tidak berkesudahan.  Bukankah Allah benar-benar Maha Kuasa dan Maha Mengabulkan doa?

Begitulah ceritanya tentang dia.

Kini dia masih di sana.  Dia tidak ke mana-mana.  Dia bukan seorang pelarian yang tiada arah tujuan.  Cuma mungkin hatinya yang selalu mengembara dalam pencarian.  Entah apa yang dicarinya ...  mungkin permata cinta kepada Penciptanya.  Kadangkala dia umpama seorang Zulaikha yang derita.  Semoga dia akan memperolehinya, tidak lama lagi, di suatu hari yang kian dekat.  Di sini, tiada sesiapa yang dapat menyelami rahsianya.  InsyaAllah bahagian yang ditangguhkan pasti menantinya di sana.  Di daerah yang lapang dan luas, tiada lagi persoalan dan kekusutan.  Tiada lagi rahsia dan ketakutan. 

Kudoakan semoga hajat dan hasratnya disampaikan oleh Allah Yang Maha Luas Pemberiannya. Dunia ini luas.  Alam cakrawala ini luas dan semakin luas.  Alam akhirat itu benar-benar luas.  Langit pertama dibandingkan dengan langit kedua, umpama sebutir cincin di tengah padang pasir  yang tandus.  Demikian tamsilannya sehingga langit yang ketujuh.  Tak terbayangkan dek akal dan perasaan yang dimiliki manusia melainkan dengan ilham dariNya jua.  

Mengakhiri ini semua, bicara iman di sela masa yang ada untuk meningkatkan iman yang sifatnya di akhir zaman ini pagi dan petang tidak serupa, adalah lebih afdal dilakukan.  Ia seperti busur panah yang terlepas dari dada anak Adam di akhir zaman, mafhum hadis nabi SAW.  Bagaimana andai Izrael muncul menjemput tatkala iman sedang terlepas dari jiwa?  Nauzubillahi minzalik.

Apa yang pasti, mati itu benar.  Alam kubur itu benar.  Alam akhirat itu benar.  Padang Mahsyar itu benar.  Syurga itu benar.  Neraka itu benar.  Allah itu Tuhan sekelian alam yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui, Maha Penyayang lagi Maha Pemgampun.  Dan Rasulullah SAW itu nabi dan rasul terakhir yang menjadi kekasih para kekasihNya. 

Aku mencintaimu dan aku mahu mengikutimu.  Ya Rasulullah.
Allahumma aameeen.  InsyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing