Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, February 19, 2014

Sebenarnya hidayah Allah memang mahal

Aku membaca komen Anon di blog seseorang, yang menyatakan dia di dalam kemurungan dan sedang preskripsi ubat untuk dirinya dengan cara istiqamah solat lima waktu. Ternyata dia sedang berjuang untuk melengkapkan solat lima waktu sehari semalam, jika tidak dia akan didatangi kesakitan pada jiwanya. Menangis, marah-marah dan berdendam (seperti yang dinyatakannya) dengan kata lain lahir dari kekecewaan dia untuk mempertahankan mujahadahnya. Harapannya untuk pergi ke satu tempat dan bergaul dengan orang-orang yang kuat rohani dan aku tak faham sambungan ayatnya iaitu ... dia mengatakan 'keadaan ini' tidak membenarkan dia berbuat demikian. Tak mengapalah. Aku pernah melaluinya. Mungkin hampir sama atau lebih baik sedikit, atau agak teruk sedikit. Bingung melihat dunia. Walau waktu itu aku berada di sebuah perkampungan yang tenang. Kalau tak nak berfikir pun tak mengapa. Semuanya mudah. Atau seperti mudah. Atau aku ambil mudah. Entah, itu dulu. Sudah lama dulu. Dan satu ketika aku membuat keputusan akan melakukan sesuatu yang diistilahkan 'kesilapan' supaya aku mengetahui apa pula yang diistilahkan 'kebenaran'. Syukur kepada Allah, kerana tidak menarik nyawaku saat itu. Saat ini juga, kerana aku tetap takut pada kematian. Tapi andai saat itu aku menemuiNya, sedang aku berada di medan 'kesilapan' yang aku cipta sendiri ... arghh, membayangkannya sungguh mengilukan. Di dalam daerah 'kesilapan untuk mencari kebenaran' itu, aku berubah dari aku yang selalunya aku. Yang selamanya sebelum itu adalah aku. Ia mengejutkan. Tapi aku tak mau ambil tahu siapa yang terkejut. Aku hanya mahu mencari kebenaran, walhal bukan itu jalannya. Dan aku mencari sambil menelusuri jalan kehidupan. Di satu ketika, setahun kemudian, aku berubah lagi namun masih ada saki-baki sikap 'buat salah untuk tau yang benar' itu. Ah, sedih mengenangkan kejahilan dan kebodohan diri. Aku mendatangkan dilema kepada insan-insan yang hampir. Akhirnya aku bernikah, selepas melalui pelbagai pancaroba dan tekanan yang menyakitkan. Di dalam ikatan pernikahan, ada suka ada duka. Ada senyum ada tawa. Ada tangis ada airmata. Ada segala rencahnya. Walau belum cukup sempurna. Perlahan-lahan aku didewasakan oleh kisah dan cerita kehidupan. Adindaku yang akrab dengan satu kumpulan tarikat yang sering menarik minat pihak pemerintah untuk menggempur mereka, kerap mengajak aku untuk terlibat di dalam aktiviti mereka. Dan beberapa kali aku mengambil ijazah untuk diamalkan (putus, ambil lagi). Hanya aku hairan, mengapa aku tak dapat-dapat 'diterima masuk sepenuhnya' ke dalam kumpulan mereka. Tak ubahnya seperti melukut di tepi gantang. Walhal adindaku isteri anggota keluarga terdekat dengan pemimpinnya. Maka aku belajar istilah 'berdiri atas pagar' sehingga aku benar-benar yakin untuk turun dari pagar dan bergerak ke daerah yang mana. Sehingga satu ketika aku menukilkan sepucuk surat ke Tanah Suci Mekah, entah kepada siapa. Aku titipkan kepada seorang sahabat, dengan pesanan surat itu letakkan di celah-celah kitab suci al-Quran di Masjidil Haram. Aku tak tahu mengapa berbuat demikian. Mungkin lambang kepada mesej 'untukMu Tuhan, tolonglah daku yang kebingungan'. Aku berharap ada seseorang yang akan membacanya dan mendoakan aku. Aku nyatakan nama sebenar juga tetapi kandungannya sudah lama hilang dari ingatan. Sehingga akhirnya, suatu hari aku diajak seorang kakak untuk pergi rumah kawan dia. Itulah majlis Taklim. Di situ aku direzekikan mendengar bayan. Aku terpaku, kagum dan terharu. Bagai mahu menitik airmataku. Mendengar kata-kata yang jelas dan satu-persatu itu, di celah-celah wanita-wanita dari Indonesia (kalau aku tak silap), aku menarik nafas yang panjang. Semua persoalan selama berpuluh tahun terjawab dalam seketika. Ya, jawapan yang aku cari di merata-rata. Antaranya, di dalam buku motivasi. Di dalam buku tentang 'Siapa manusia pertama?'. Di dalam buku nukilan ustaz-ustaz. Buku kisah-kisah sufi dan para wali. Buku Hamka. Buku kumpulan sajak sufi yang memeningkan aku. Tafsir al-Quran yang aku tak cukup dapat mengerti maksudnya. Jelas, pintu hatiku dibuka Allah saat itu untuk mengerti dan memahami untuk apa hidup ini sebenarnya. Asbab bayan dari jemaah Indonesia itu. Subhanallah! Maka, sehingga hari ini, aku mengakui dengan hati yang yakin bahawa usaha dakwah adalah usaha yang benar. Jemaah dakwah adalah jemaah yang benar. Mereka adalah orang-orang yang dipilih Allah untuk meneruskan legasi Rasulullah SAW. Itulah maksud hidup yang sebenar. Bukan belajar tinggi-tinggi dan kerja bagus-bagus yang dipanggil kejayaan. Bukan kawin dengan doktor jurutera arkitek anak raja itu kejayaan. Bukan kumpul harta banyak-banyak pergi melancong sana-sini bina rumah besar itu kejayaan. Itu hanya daki dunia. Daki yang kotor. Yang tak boleh diangkut masuk kubur. Aku mengenang dan cuba membayang-bayangkan. Andai jemaah datang mengetuk pagar rumah moyang aku dulu. Andai jemaah datang mengetuk pagar rumah atok aku. Andai jemaah datang mengetuk pintu rumah ayah aku. Tapi di kampung yang di kelilingi hutan banat, siapa yang nak datang? Itu kampung moyang dan atuk aku. Rumah ayah aku di pekan Tangkak, tak pernah berjumpa jemaah yang datang rasanya. Satu ketika aku didatangi rasa tercari-cari kelibat orang berjubah serban. Tetapi amatlah susah nak ditemui. Andai terpandang seorang, rasa seronok menerpa diri. Ada rasa lega, ada rasa ... tak tau nak dikata. Di sela masa, sekali lagi aku melakukan kesilapan yang tak sepatutnya aku lakukan. Sebuah perangkap yang aku bina tanpa sedar. Dan lagi. Dan lagi. Sungguh aku manusia yang amat lemah dan hina. Akhirnya aku memikirkan, ini semua adalah peringatan dari Allah. Juga ujian dan dugaan hidup. Tidak diuji seseorang itu melainkan dengan had kemampuannya untuk menghadapi. Dan setiap insan pasti akan diuji Allah. Dunia memang tempat ujian. Itulah keyakinan aku. Pasti ada hikmahnya. Hanya Allah yang Maha Tahu. Sehingga hari ini. Aku masih kurang mengerti tetapi sebahagian besar kekalutan serta persoalan yang sedemikian lama bermain di fikiran hampir sirna. Ketika melihat wanita-wanita anggun yang berpapasan, aku bersyukur ke hadratNya dan semoga mereka diberi hidayat juga. Ketika membaca khabar yang berbagai nada di mana-mana, aku bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada aku dan keluargaku yang kecil ini. Walaupun dugaan terus menimpa, ia datang bersama rasa insaf dan sadar. Bahawa Allah berhak melakukan apa sahaja, dan aku hanya insan yang mahu berteduh di bawah lembayung kasih sayang dan rahmatNya. Sebenarnya hidayat Allah amat mahal, memang mahal. Demikian, aku azam wakafkan diriku, suamiku, anak-anakku, semua keturunanku hingga hari kiamat untuk meneruskan jihad fisabilillah di jalan Allah ini. Ya Allah, jadikanlah tulisan ini sebagai doaku padaMu dan makbulkanlah ya Allah. Semoga jadi asbab hidayat diri dan alam. Aku masih kurang mengerti dan jahil, Kau tunjuki dan ajarlah ya Allah. Terima dan pilihlah kami sebagai pembantu agamaMu ya Allah. Kami berdosa ampunilah kami ya Allah. Kami lalai dan sudah lama leka, janganlah biarkan kami terus kerugian dalam kelalaian. Ya Allah, terimalah kami. Kami malu, sebab kami lambat. Susah nak faham. Berat nak buat. Ampunilah kami kerana Kau Yang Maha Pengasih Maha Penyayang Maha Pengampun Maha Penerima Taubat Maha Lemah-Lembut Maha Penyantun Maha Adil Maha Sempurna Maha Penguasa dan hanya DiriMu yang dapat memuji DiriMu sendiri. Aameen ya Rabbal alaameeen. Ya Allah, berilah faham yang lebih baik kepada si pengadu yang sedang resah gelisah itu walau di mana dia berada bahkan sesiapa juga yang sedang resah gelisah, di mana saja. Allah sebaik-baik Teman di kala ramai dan bersendirian. Pilihlah dia dan mereka semua untuk turut sama membantu agamaMu, menjadi daieMu bersama bertebaran di bumi yang kian tua ini. Dengan berkat baginda Rasulullah SAW, kabulkanlah doa ini ya Allah. Aameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing