Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, June 26, 2013

Jaga Mata

Assalamualaikum.
Semakin lama semakin jarang online.  Atas asbab yang terjadi, saya bersyukur dan merasa satu kelegaan yang besar.  Berbanding sebelum ini, saya sangat suka membawa diri di hadapan laptop sehingga saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.  Tetapi sikap sebenarnya ialah 'tidak mahu memberitahu tetapi mahu memberitahu'.  Entah apa-apa la kan.  Macam la sikap seseparuh orang yang 'tak mahu dilihat tapi mahu dilihat'. 

Saya jarang berhubung dengan kenalan di FB dan Whats App (sudah expired dan tak update). Hati masih teringat tetapi rasanya tak ada apa yang penting dan urgent.  Hanya FB membuat sesuatu perkara itu seperti penting dan membuat kita sibuk tentangnya.  Walhal kalau dibiarkan, tak jadi hal pun.  Demikian juga jaringan yang lain.  Ada perkara penting pada kebanyakan manusia, tetapi masih juga sampai ke pengetahuan.  Memang dunia akhir zaman ini jarak menjadi pendek dan masa menjadi singkat.  Satu kebaikan mengawal dan menjauhinya, ada perkara lebih penting yang boleh kita lakukan ~ menyiapkan diri untuk bekalan ke perkampungan abadi.  Itupun kelam-kabut juga!   Semoga Allah menetapkan saya dan kita semua di atas jalan keredhaanNya sampai akhir hayat ameen.

Alhamdulillah walaupun tak istiqamah, tetapi saya agak semakin kerap dapat menghadiri majlis ilmu bersama Tuan Guru Ustaz Fadhil Al-Yamani.  Terakhir minggu lepas beliau telah menjelaskan tajuk kecil 'Menjaga Pandangan Mata' dari kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali.  Penerangan beliau sangat mengesankan.  Paling ketara, kini saya tak rasa rugi pun tak menyebarkan pandangan jauh-jauh (walaupun masih sukar mengawal mata - kelemahan diri).  Celaka juga apabila masih bertembung pandang dengan mata-mata yang tak perlu dan tak sepatutnya.  Ini semua kelemahan saya.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa sepasang mata dan memimpin kita semua ke jalan yang diredhaiNya ameen.

Cuma satu kegemaran saya masih suka melihat awan dan langit.  Di angkasa tempat saya juga banyak awan tetapi jarang bergerombolan seperti di Brunei yang saya kagumi.  Pelangi ada tetapi sangat jarang.  Kalau ada pelangi, anak-anak menjadi sibuk dan suka kerana jarangnya ia muncul.  Di sini langit seperti sempit kerana dihalang oleh pokok dan selebihnya binaan tinggi.   Kadang-kadang saya masih diperli-perli, "eh eh tengok tu awan tu sebijik macam awan Brunei kan.  Awan tu kat Brunei je ada.  Kat Malaysia mana ada."  Sabar saja la, sebab gurau senda membawa bahagia hehe ...

Suatu hari saya khabarkan kepada anak-anak.  - Apabila melihat awan, kini pandangan mama menjangkau lebih jauh melihat apa yang ada di sebalik awan.  Apa yang ada di sebalik langit yang biru?  Apa yang ada di luar lapisan ozon yang mengelilingi bumi?  Apa yang ada nun jauh dan sangat jauh?

Di sebalik awan sana, ada satu alam yang tidak bising seperti di bumi.  Tidak tercemar oleh dosa dan maksiat.  Tidak tercemar oleh jerebu asap dan jerebu iman.  Satu alam yang terpelihara dan sangat rahsia.  Dan kita semua sentiasa dalam perhatian Allah yang Maha Pencipta.  Dan ada alam lain, di sana berkumpul roh-roh yang telah kembali kepada Tuhannya.  Ada alam lain, yang sentiasa bertambah ahlinya iaitu alam malaikat dengan tak terhingga-hingga dan hanya Allah yang Maha Mengetahui bilangannya.  Wallahu'alam.

Set 7 buah buku Para Wali Allah (ensiklopedia) yang saya beli di Sri Petaling, alhamdulillah selesai dibaca semalam.  Buku 1 sedang dipinjam oleh Syed (staf).  Buku 4 dibawa anak ke madrasah untuk menyelesaikan projek scrab book dengan pesanan sungguh-sungguh, 'tolong jaga jangan hilang atau lunyai!  Inilah reta mama ... huhu ...' 

Kisah-kisah di dalam buku itu walaupun ringkas tetapi juga sangat mengesankan.  Kehidupan para kekasih Allah yang dicintaiNya dan mencintaiNya sangat luar biasa hebat dan menggetarkan.  Terkadang membuatkan bulu roma naik menggerinding bersama rasa kagum, dan melihat diri yang tersangat lemah jahil serta banyak berdosa.  Astaghfirullah alazim!  Betapa hebatnya mereka ini menguruskan kehidupan dengan sangat sederhana dan memperuntukkan setiap saat berzikir menyebut nama Allah.  Tidak lupa walau sesaat.  Sehingga mendengar sepotong kalimah dari al-Quran boleh sahaja membuatkan mereka pengsan ketakutan bahkan sampai melayang roh ke hadratNya.  Dan Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang meninggikan darjat mereka, sehingga apa yang terlintas di hati muncul serta-merta di hadapan mata.  Sehingga penderitaan dan kesakitan yang menimpa diri mereka tidak berbekas kerana cinta ini.  Dan Allah tunjukkan hal-hal luar biasa pada diri mereka. 

Seperkara lagi, saya cuba menekuni ayat-ayat al-Quran yang disarankan oleh Rasulullah SAW untuk dijadikan zikir harian.  Ia untuk keselamatan diri dari pelbagai gangguan terutamanya jin dan syaitan, sihir dan kesulitan lain dengan izin Allah.   Zikir adalah caranya untuk mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah.  Itulah yang difahamkan oleh Ustaz Fadhil. Setakat yang termampu dan kebanyakan orang ada mengamalkannya.  Itupun ada tertinggal oleh kesibukan yang datang tiba-tiba.  Yang menarik adalah kesannya tak banyak sedikit sangat terasa.  Kepada sesiapa yang istiqamah berzikrullah, tentu memahaminya.  Pada emosi, pada fikiran, pada sikap dan keseluruhan.  InsyaAllah. 

Rasanya cukuplah saya mencatat setakat ini.  Ingin saya berpesan supaya jangan berlama-lama di sini.  Hargai masa yang ada, baca laju-laju dan buat la kerja lain yang lebih berfaedah.  Harapan saya semoga catatan ini ada baiknya untuk diambil pengajaran.  Mana yang tersalah mohon dimaafkan.  Dan sama-sama kita menjaga pandangan mata supaya hati menjadi bersih dan mudah sampai ilmu ke dalam hati insyaAllah.

Wassalam.


Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing