Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, November 29, 2013

yang tidak berharga

aku memanggil anak kucing kurus itu berkali-kali.  Namanya Boboy.  Mak yang beri nama tu dulu.  Semasa Boboy masih dua beradik menumpang menyusu pada mak angkatnya Comel yang baru beranak beberapa hari.  Kisah ibu Boboy, Ayu yang sakit semasa kami berpindah ada aku catatkan di sini.

Anak angkat Comel ini sangat lincah.  Dia lahir seminggu awal, maka saiznya lebih besar dari anak-anak Comel.  Bila mak menelepon, tak lupa dia bertanyakan Boboy.  Mak sayang sangat pada ibunya Ayu yang katanya paling istimewa dalam dunia.  Hmm ... hampir semua kucing mak dipuji-puji begitu.  Semua ada keistimewaan masing-masing.  Dan semuanya tak kekal lama.  Kebanyakannya hilang tapi Ayu mati dalam pengetahuan mak.

Panjang juga umur Boboy.  Dia bertahan hampir dua minggu.  Perlahan-lahan tubuhnya semakin kurus.  Hingus menempel di hidung dan matanya bertahi hijau.  Beberapa hari ini aku mula mengelap Boboy setiap hari.  Aku menetapkan akan membersihkan mukanya beberapa kali kerana hingusnya banyak.  Comel pun tak berdaya nak membersihkan Boboy.  Kasihan.

Dia semakin lemah tidak ceria.  Kadang-kadang Boboy diajak bermain oleh adik-adik angkatnya yang lasak.  Boboy mengalah saja dikerjakan begitu.

"Tak lama ni,"  kata suamiku apabila aku adukan kisah Boboy.

Tengahari semalam hujan terlampau lebat.  Atap zink dapur berbunyi bising sekali.  Beberapa tempat mula bocor di dalam rumah.  Aku sedang dididik bermujahadah oleh Allah SWT.

Petangnya, hujan pun reda.  Tapi hingga melepasi Isyak bayang Boboy tak kelihatan.  Suami di Muar menyuruh aku terus mencari, bimbang Boboy sudah tiada.  Aku terus memanggil-manggil namanya.  Fahamkah anak kucing berumur 2 bulan lebih ini akan namanya?

Menjelang waktu tidur, aku ternampak susuk Boboy duduk di sebelah bekas biskutnya.  Tiba-tiba menjelma idea.  Aku mahu membantu Boboy bernafas lebih baik dan melegakan selsemanya, seperti yang aku baca di blog pencinta kucing.  Setengah bekas air panas aku titiskan minyak geliga dan aku masukkan bersama Boboy di dalam sangkar.  Sangkar itu aku tutup dengan kain.  Mata Boboy aku titiskan eyemore yang dibeli semalam untuk Hanessa.  Mudah-mudahan berjaya melegakan Boboy, begitulah doaku.

Demikianlah.  Pagi ini aku menjenguk anak kucing kurus coklat kelabu ini.  Dia duduk berdekatan dengan bekas air panas beraroma serai wangi itu yang sudah sejuk.  Aku buka sangkar dan tarik kain yang menutupinya.  Aku biarkan begitu sahaja.

Dan aku mula sibuk dengan rencana buat kuih Kasoi.  Leka, akhirnya tiba masa untuk bersarapan.  Waduhh!  Kenapa kuih aku keras???

Makanya pagi ini aku agak kelam-kabut sedikit.  Terpaksa keluar mencari pengganti sarapan pelajar. 

Boboy nazak.  Aku mengadu di Whatsapp kepada suami.
       Al-Fatihah.  
Kenapa kuih Kosui saya keras???
      Kurang air
      Kurang lama kukus
     Lebih kaporrr ...
     Kui kui kuiii

Arghh ...

Akhirnya pelajar bersarapan lewat 40 minit dari kebiasaan.   Dan aku makan bersama-sama, bersama rasa bersalah sebab lambat siapkan sarapan :(. Hmm ... Usazah pun sampai semasa suapan terakhir ke mulut hehe ...

Sesudah itu, aku mendekati anak kucing yang semakin nazak.  Benarlah, dunia ini memang tiada nilainya.  Boboy sudah berbau.  Matanya terbuka sedikit dan sudah tiada respon.  Mulutnya terbuka menampakkan gigi-gigi halus yang runcing.  Dia terbaring, terkulai di pintu sangkar.  Aku angkat dan letak di atas kain.  Aku perhatikan teliti bahagian abdomen yang masih berdenyut perlahan.  Sesekali Boboy mencungap mencari nafas.

Sungguh benar, dunia ini tidak bernilai di sisi Allah.

Aku tak mahu mati seperti ini.  Berbau dan nazak begini.

Ya Allah, permudahkanlah perjalanan anak kucing ini.

"Mama janganla menangis,"  Hanessa membelai aku.  Err ... mama tak nangis pun.  Sungguh, aku tak menangis.  Bahkan aku mahu Boboy segera pergi.  Biar hilang segala deritanya itu.  Tak sampai hati aku melihat dia tersentak-sentak mencari nyawa.

Ketika Hanessa akan ke madrasah, tiba-tiba dia menangis.  Oh, rupa-rupanya dialah yang sedang menahan hati.  Boboy anak kucing kesayangannya sejak lahir.  Sejak Ayu tiada.  Sejak Boboy menumpang ibu susu pada Comel.  Boboy sangat lincah dan menghiburkan.  Begini rupanya akhir seekor Boboy.

"Janganlah menangis.  Lap airmata tu."  aku peluk gadis kecil ini.  "Dia akan ke syurga.  Biarlah dia pergi cepat.  Kat sana dia jumpa ibunya Ayu, adik-beradiknya juga.  Mizi pun ada."  Cepat-cepat Hanessa mengesat airmata dengan tudung hitam labuhnya.  Dia mengerling.  Nampak matanya kemerahan. 

"Nanti kalau ada apa-apa mama bagitau ya."

Aku mengangguk.  Kasihan anak ini.  Semoga dia menjadi seorang solehah yang cukup tabah dan bertaqwa.  InsyaAllah ameen.

"Kita semua akan mati.  Macam Boboy.  Kat sana tak ada lagi kematian.  Belajar rajin-rajin.  Hafaz sungguh-sungguh.  Orang yang hafal al-Quran insyaAllah tempatnya di syurga.  Kat sana tak ada lagi sedih-sedih. Ya!"

Hanessa mengangguk-angguk.  Aku cium pipinya kiri dan kanan dan tiup dahinya perlahan.  Dia malu-malu, "Ustazah tengok."  Hehe...


Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing