Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, November 3, 2013

kisah terakhir budak bulu-bulu

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah.  Senyum.

Sebenarnya mahu senyum lebar.  Tetapi biarlah ucapan syukur kepada Allah lebih banyak lebih mendalam lebih indah dari senyuman yang lebar. 

In shaa Allah saya akan mencatat, kembali mencatat di sini.  Setelah lebih kurang 8 bulan, akhirnya Allah mengizinkan saya 'kembali'. 

Terlalu banyak kenangan yang berlepas pergi.  Hanya ingatan yang jelas berbaur kabur masih ada untuk dikongsikan.

Allah berbuat sekehendakNya.  Saya dan anda semua hanyalah hamba Allah yang tidak berdaya.  Lemah dan amat memerlukan Dia. 

Hari ini kompas hidup berubah lagi buat sekian kali.  Bergerak jarumnya mengikut kehendak Illahi.  Saya tidak berdaya, hanya akur dan patuh kepada jadual yang sudah ditetapkan sejak azali.  In shaa Allah tentu sahaja semua itu ada hikmah tersembunyi walau sedalam mana saya cuba mencungkil dan mengoreknya dari sangkaan dan jangkaan yang menggunung tinggi.  Hanya Dia yang Maha Mengetahui.  Dan Dia Maha Pengasih.

Kisah Budak Bulu-bulu sudah berakhir.  Semua kisah makhluk Allah yang satu ini kini menjadi mimpi indah yang entah kan berulang lagi, wallahualam.

Putam masih bersama saya.  Minggu ini dia meraung-raung mencari sesuatu.  Mungkin dia mencari Cantek kesayangannya.  Muezza muncul dalam mimpi saya malam tadi.  Kucing istimewa yang penyayang dan lembut itu saya dukung.  Sayangnya di alam nyata Muezza sudah lebih seminggu menghilangkan diri.  Risau, tetapi tak dapat berbuat apa-apa melainkan berdoa dan yakin Allah sentiasa menjaganya. 

Miza tinggal di rumah lama.  Adik-adiknya, Cheetah, Faryna dan Sheeba juga tinggal.  Hanya Comel yang mengikut saya kerana baru beranak dua hari sebelum kami berpindah. 

Anak-anak Miza ~ Kitty, Mizi dan Tupai kembali kepada Pencipta satu persatu kerana diserang selsema kuat.  Sungguh tragis saya rasakan.  Tak pernah saya melalui keadaan anak-anak kucing yang sedang segar dan lincah tiba-tiba berhingus pekat.

Ayu, baru beranak seminggu sebelum kami berpindah.  Dia di kampung.  Mak yang mahu menolong saya berpindah risau Ayu akan memindahkan anak-anak entah ke mana, membawa Ayu datang ke rumah.  Kucing berbulu tebal ini tenang dan tidak endah langsung suasana kelam-kabut orang mengangkat barang-barang.  Malam pertama kami di rumah baru, Ayu dan Comel ditinggalkan bermalam di rumah lama. 

Esoknya barulah kedua-dua kucing yang 'dalam pantang' ini kami bawa ke kediaman.  Ayu mula berubah.  Hanessa yang berangan-angan menjadi doktor haiwan menemui seekor anak Ayu mati kesejukan.  Sejak itu Ayu semakin lemah dan monyok.  Dia menyorok diri di dalam almari baju kosong.  Anak-anaknya yang dua ekor tidak diendahkan.  Bimbang anak-anak kucing yang belum bukak mata dan bersuara tu turut kaku, saya letakkan mereka di dalam kotak Comel.

Syukurlah ibu kucing yang muda ni memang comel dan baik.  Anak-anak Ayu menjadi anak Comel.  Kemudian mak pulang ke kampung membawa Ayu untuk kali terakhir. 

Rasa agak terbeban perasaan dengan kematian.  Hatta seekor kucing.  Apatah beberapa ekor kucing!  Satu persatu bermula dengan Mizi yang terbaik buat kami.  Sebelum itu kehilangan Muzi yang periang dan nakal. 

Terakhir, seekor anak Ayu yang menyusu pada Comel mengikut ibunya.  Tau tau dah sejuk.  Mungkin tak cukup susu walaupun nampak paling aktif.

Kini hanya ada Putam dan Comel serta anak-anaknya termasuk Boboi, anak Ayu.

Boboi, kucing kuning ekor pendek yang menjadi penjaga kedai juga entah apa khabarnya.  Mungkin dia kembali ke rumah tuannya, dan bertarung dengan taiko di situ.  Entahlah ... Allah Maha Penjaga dan Dia sebaik-baik penjaga. 

Berjela aku mencatat kisah Budak Bulu-bulu ini.  Mungkin ini catatan terakhir tentang mereka, mahkluk Allah yang lembut, nakal, manja, periang dan membuat aku riang juga dengan keletah mereka.  Hatta membuat airmata mengalir mengenangkan mereka yang terpaksa aku tinggalkan begitu saja. 

In shaa Allah menyusul kisah yang lebih bermanfaat, aku mengharapkan begitu. 

Kini aku bergelumang dengan pelajar-pelajar madrasah berusia 8-14 tahun.  Catatan sebelum ini aku tulis dari telefon bimbit yang sangat menyeksakan jiwa menulisnya.  Itulah catatan pertama tentang mereka. 

Allah sebaik-baik Perencana.  Ini memang di luar dugaan.  Aku tidak berdaya upaya tetapi jadual Tuhan selalu memeranjatkan dan luar biasa.

Anak-anak yang terpaksa berjauhan dari keluarga tersayang demi untuk mencari redho Illahi di sini.  Akulah yang menjadi ibu mereka.  Semuanya kerja Allah. 

Ya Allah, aku tidak berdaya upaya melakukan ini semua.  Hanya kepadaMu tempat kumengadu dan memohon pertolongan dan kekuatan.  Tolonglah aku mengikhlas diri dan hati untuk ini.  Mungkinkah ini jalan untuk aku memberi pinjaman yang baik kepadaMu?  Berilah aku faham, ya Allah.  Kerana Engkau sahaja yang boleh memberi faham, bukan selainMu. 

Hanya kepadaMu berserah diri.

~ In shaa Allah jumpa lagi~

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing