Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 5, 2013

Maafkan Kakak


Cerpen ini diterbitkan di Dewan Pelajar, Oktober 2009.

Oleh : Nor Mazzuin Mf Hassan
Wardina terpaku menatap wajah Qayyum yang terbaring kaku. Sejak dua hari lepas, mata Qayyum dilihatnya masih tertutup rapat. Tiub jernih yang membekalkan oksigen masih terselit di mulut Qayyum. Wardina membetul-betulkan selimut putih yang menutup tubuh Qayyum separas dada itu agar lebih kemas. Suasana di dalam bilik ICU itu dirasakannya begitu hening.
Maafkan kakak, dik! Getus hatinya sayu sambil matanya terus-menerus menatap tubuh kecil adiknya itu. Tanpa disedarinya, air matanya perlahan-lahan berlinangan di pipinya.
Wardina tersentak apabila mendengar suara ibunya bercakap dengan seseorang. DIa segera menyeka air mata dan menoleh. Dilihatnya ibunya sedang bercakap-cakap dengan Dr. Aizat yang merawat Qayyum sejak Qayyum dimasukkan ke bilik ICU itu.
“Macam mana keadaan anak saya, doktor?” soal ibunya dengan wajah penuh kebimbangan.
“Sabar, puan. Kami semua sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Qayyum. Sebentar lagi dia akan menjalani imbasan untuk memastikan kedudukan darah beku di kepalanya itu. Mungkin dia akan dibedah.” Doktor Aizat menjelaskan satu persatu. Wardina menghela nafas mendengar kata-kata Dr. Aizat. Dia benar-benar dilanda sedih dengan keadaan yang menimpa satu-satunya adiknya itu. Wardina dapat merasakan perasaan ibu dan ayahnya pun demikian juga.
Selepas Dr Aizat pergi, Wardina kembali merenung tubuh adiknya itu. Tak semena-mena, peristiwa dua hari lalu datang menerjah mindanya.
“Yeh…yeh… banyaknya belon! Kak, nak belon tu!” Qayyum terkinja-kinja keriangan. Jari telunjuknya lurus ditujukan ke arah belon-belon berwarna-warni yang tergantung di sudut pintu utama.
“Heh, yang itu dah digantung. Nah, ambil yang ini tiup sendiri!” kata Wardina lantas menghulurkan belon yang belum ditiup walaupun dia tahu adiknya yang berumur empat tahun itu belum pandai meniup belon.
“Kakkkk… tolonglah tiupkan,” rengek Qayyum.
“Hishhh, janganlah kacau. Kakak tengah sibuk,” hendak tak hendak saja dia mencapai belon di tangan Qayyum lalu meniupnya.
Mata Qayyum bulat memerhatikannya. “Yeh…yeh… belon Qayyum besar! Belon Qayyum besar!”
Setelah Qayyum pergi bermain belonnya, Wardina menyambung kerjanya menggantung belon dan riben berwarna-warni di dinding rumah. Kemudian dia duduk di atas sofa yang ada di ruang tamu rumahnya itu. Dia tersenyum melihat ibunya yang sedang mengubah bunga-bunga plastik di dalam pasu bunga menjadi jambangan yang indah. Ayahnya pula sedang mengalih-alihkan kerusi kemudian menyusunnya di sepanjang ruang tamu. Mereka sedang membuat persiapan untuk majlis hari lahirnya yang ke-12. Majlis ini akan diadakan dua hari lagi. Kad-kad jemputan sudah diedarkan kepada kawan-kawannya. Wardina merasa tidak sabar menanti hari istimewa itu. Dia telah menulis pelbagai denda lucu di atas kepingan kertas-kertas kecil untuk acara kotak beracun. Wardina tersenyum-senyum sendirian mengenangkan pelbagai denda lucu yang direkanya untuk mengenakan kawan-kawannya. Nahaslah siapa yang terkena nanti, bisiknya di dalam hati.
Tiba-tiba Wardina teringat baju yang akan dipakainya pada majlis itu nanti. Serta-merta dia bangun dan berjalan menuju ke biliknya. Dia membuka almari pakaian lalu mengeluarkan sehelai baju kebaya merah jambu berbunga kuning penuh dan berlabuci. Dia membelek-belek baju itu dan mengacu-acukan ke tubuhnya. Kemudian dia menciumnya. Wangi! Masih berbau kedai. Hatinya puas. Wardina mula terbayang-bayang bagaimana cantiknya dia pada majlis itu nanti. Baju kebaya itu akan dipadankan dengan tudung putih berbunga kuning agar sedondon. Ibunya telah berjanji akan menghias wajahnya secantik mungkin. Wardina tersenyum-senyum lagi.
Wardina terkejut apabila Qayyum muncul tiba-tiba, sambil memegang sebatang aiskrim coklat yang semakin cair dan mula menitik-nitik di atas lantai.
“Kakak, cantiknya baju kakak,” kata Qayyum memerhatikan baju di tangannya.
“Baju ni kakak nak pakai esok,” Wardina cepat-cepat mahu menyimpan baju itu di dalam almari semula.
“Qayyum nak tengok!” tiba-tiba saja Qayyum menarik baju itu.
‘Jangan!” jeritnya tetapi sudah terlambat. Baju itu telah pun berada di tangan Qayyum. Aiskrim turut tertumpah di atasnya.
“Qayyum!!! Apa yang kamu buat ni!” langsing jeritannya sambil menjengilkan matanya ke arah Qayyum. Dia teramat marah mendapati baju kebaya yang belum sempat dipakai itu telah dikotori aiskrim Qayyum. Lantas dengan terburu-buru dia mengejar Qayyum untuk mencubitnya. Qayyum pula cepat-cepat mencampakkan baju kebaya merah jambu ke atas lantai lalu terus berlari melepasi pintu rumah yang sedang terbuka luas menuju ke jalan raya. Wardina sempat mengerling ke arah sebuah kereta mewah yang sedang bergerak laju menghala ke arah mereka.
Tiba-tiba… bang!!! Kedengaran bunyi brek kereta dengan kuat sekali.
Wardina menjerit sekuat-kuat hatinya. Adiknya telah dilanggar oleh kereta mewah itu di hadapan matanya sendiri. Tubuh adiknya terpelanting di atas jalan raya dan berlumuran dengan darah.
Tanpa disedari, Wardina menangis tersedu-sedu. Tidak sanggup rasanya dia membayangkan peristiwa ngeri itu. Jika dia tidak mengejar Qayyum waktu itu , pasti kemalangan ini tidak akan berlaku. Wardina terus menyalahkan dirinya. Hatinya bertambah luka apabila majlis hari lahirnya yang telah dirancang dengan rapi terpaksa ditangguhkan. Dia tidak tahu bilakah majlis itu dapat diadakan. Kini mereka sekeluarga berada di hospital. Pemandu kereta mewah yang melanggar Qayyum turut datang memohon maaf di atas kejadian yang berlaku walaupun sebenarnya dia tidak bersalah. Perlahan-lahan Wardina menyeka airmatanya dengan tudungnya.
Matanya merenung kosong. Adik, bangunlah dik…bangunlah cepat. Kakak maafkan adik. Kakak tak kisah baju kakak kotor kena aiskrim. Kakak dah tak marah adik… Perlahan-lahan tangannya mengusap-usap rambut adiknya.
Mata Wardina kembali berkaca-kaca. Tudungnya kian lencun dilapkan ke airmata. Dia amat berharap Qayyum akan kembali sedar dan sihat semula. Dalam usia semuda itu, dia merasa sangat tersiksa menghadapi keadaan sedemikian. Dia tidak sanggup membayangkan seandainya Qayyum tidak bangun sampai bila-bila.
Setelah tangisnya reda, dia menoleh ke arah ibunya yang sejak tadi memerhatikannya tanpa disedarinya. Mata mereka bertentangan. Ibunya mengukirkan senyuman yang agak hambar. Perlahan-lahan ibunya mendapatkan Wardina lantas memeluknya.
“Wardina jangan menangis ya. Mari kita baca Surah Yassin bersama-sama sambil berdoa kepada Allah Taala, semoga Qayyum cepat sembuh,” kata Puan Nora perlahan. Wardina menganggukkan kepala lantas berlalu untuk mengangkat wuduk di tandas.
Wardina membaca Surah Yassin dengan suara yang perlahan dan begitu kusyuk sekali. Kemudian sambil memejamkan mata, dia menadah kedua-dua tangannya berdoa agar Allah Taala menyembuhkan adiknya semula.
Tiba-tiba bahunya ditepuk perlahan. “Wardina, bila adik dah sihat nanti, ibu bercadang untuk mengadakan majlis kesyukuran di rumah kita, bersekali dengan majlis hari lahir Wardina,” kata ibunya.
Perlahan-lahan Wardina tenggelam dalam lamunan. Dia melihat suasana majlis yang meriah sedang berlangsung di rumahnya. Ramai kawan-kawannya yang datang membawa hadiah. Dia kelihatan begitu cantik dengan kebaya merah jambu berbunga kuning dan berlabuci serta bertudung putih berbunga kuning. Harapannya kian memuncak dengan perasaan yang mula berbunga-bunga.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing