Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 5, 2013

Alif Tidak Mahu Gemuk

Kerana kecuaian sendiri, aku ingat-ingat lupa majalah apa yang menerbitkan cerpen ini :( 

(Oleh : Nor Mazzuin Manaf Hassan)

Alif sedang berada di hospital menziarahi datuknya. Datuk Alif diberi rawatan setelah mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Setelah beberapa ketika berada di sisi datuknya, perlahan-lahan Alif mengatur langkah. Dia ingin melihat-lihat keadaan pesakit di wad itu. Wad itu ialah wad pesakit am. Pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan rawatan lanjut ditempatkan di situ. Alif terus berjalan sambil melihat pesakit yang berbaring di atas katil masing-masing.
Tiba-tiba Alif terpandang seorang budak lelaki yang bertubuh gempal sedang berbaring sambil membaca majalah. Ada seorang wanita setengah baya sedang duduk di sisinya. Alif memerhatikan budak itu dengan cermat. Wajahnya ceria dan tidak kelihatan seperti orang sakit.
Alif berasa hairan. Situasi budak itu berbeza dari situasi pesakit lain di wad tersebut. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dirinya. Lantas Alif memberanikan diri menghampiri budak itu, “Assalamualaikum,” kata Alif sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Saya Alif.”
“Waalaikumussalam. Saya Azam. Ini ibu saya,” jawab Azam menyambut salam sambil memperkenalkan ibunya kepada Alif.
“Apa khabar, makcik?” Alif berbahasa dengan sopan kepada ibu Azam.
Ibu Azam tersenyum, “Khabar baik, Alif. Kamu menziarahi siapa?” tanya ibu Azam lagi.
Alif menerangkan perihal datuknya serba ringkas kepada Azam dan ibunya.
Kemudian Alif bertanya dengan perasaan yang tidak sabar, “Azam, saya lihat awak sihat. Mengapa awak dimasukkan ke hospital?”
Azam dan ibunya ketawa mendengar soalan Alif. “Saya nampak sihat tetapi sebenarnya saya kurang sihat,” jawab Azam sambil membetul-betulkan duduknya.
Dahi Alif berkerut. Dia tidak memahami maksud Azam. Sihat tapi sakit?
Azam ketawa melihat Alif yang terpinga-pinga dengan jawapannya. “Cuba awak lihat saya betul-betul, tentu awak faham,” kata Azam lagi seperti mahu berteka-teki.
Alif membelek-belek tubuh Azam. Tidak ada tanda-tanda luka. “Tidak ada sebarang kecederaan pada awak!” seru Alif. Dia merasa tidak puas hati. Dia cuba lagi memeriksa tubuh Azam.
Azam ketawa melihat perbuatan Alif, dada dan perutnya bergoyang-goyang ketika dia ketawa. “Cukuplah Alif, jangan periksa tubuh saya lagi,” kata Azam sambil termengah-mengah menahan ketawa. “Sebenarnya saya mengalami obesiti yang serius,” kata Azam dalam ketawa yang mula reda.
Alif semakin hairan mendengar penjelasan Azam. “Setakat obesiti awak perlu tinggal di hospital?”
Azam menyeringai, “Sebenarnya ini kali kedua saya dimasukkan ke wad ini.” “Saya cepat penat. Saya juga selalu diserang asma” sambung Azam.
Alif mendengar dengan cermat. “Berapa umur awak?” tanya Alif. Dia menduga Azam berumur 12 tahun, sebaya dengannya.
“Saya baru berumur 10 tahun.”
“Tetapi tubuh awak besar seperti berumur 12 tahun.”
Azam ketawa lagi. Dia seorang budak yang periang dan peramah.
“Apa yang menyebabkan awak menjadi gemuk seperti ini? Ibu awak tidak gemuk seperti awak.”
“Saya…”
Tiba-tiba muncul seorang perempuan muda yang bertubuh langsing di sisi Azam sambil memberi salam. Dia bersalam dengan ibu Azam. “Apa khabar, Bulat?” sapa perempuan itu kepada Azam sambil menghulurkan sebungkus roti.
Azam tersengih, “Ini kakak saya, Azimah,” dia memperkenalkan Azimah kepada Alif.
Ibu Azam menyampuk, “Hanya Azam yang gemuk, anak-anak makcik yang lain kurus belaka.”
Azimah mencubit pipi Azam sambil berkata, “Dia tidak suka makan masakan ibu. Tiap-tiap hari makan makanan ringan yang tidak berkhasiat itu.”
“Adoi…!” jerit Azam sambil mengusap-usap pipinya yang merah kesan cubitan Azimah. “Saya amat gemar makanan ringan dan makanan segera. Rupa-rupanya makanan itu tidak baik untuk kesihatan kita,” kata Azam.
Alif mendengar dengan tekun. “Adakah makanan sedemikian mampu menggemukkan?”
“Ya, makanan segera diproses daripada campuran pelbagai lemak haiwan dan sedikit daging. Makanan ringan pula mengandungi garam dan gula yang tinggi. Ia boleh merosakkan fungsi organ dalaman kita seperti ginjal dan buah pinggang,” Azam menerangkan dengan bersungguh-sungguh.
“Saya semakin faham sekarang,” Alif mengangguk-angguk.
Azam tersenyum. “Di sini, saya diajar cara memilih makanan yang sihat oleh pakar pemakanan. Makanan berprotin seperti ikan dan daging merah diutamakan manakala makanan berlemak dihadkan.”
‘Alif, Azam, lebih bagus kita mengambil kismis sebagai kudapan. Ia penuh khasiat untuk tubuh dan otak. Kurma juga. Sekarang kurma boleh diperolehi sepanjang tahun, bukan di bulan Ramadhan sahaja,” sampuk Azimah.
Azam membuka laci kabinet di tepi katilnya lantas mengambil sesuatu. “Tengok gambar ini,” Azam mengunjukkan sekeping gambar kepada Alif.
Alif memerhatikan gambar itu. “Ini awak? Wah, gemuknya!” Alif memandang gambar itu dan Azam silih berganti.
Azam mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. “Gambar itu diambil dua bulan lepas. Saya sudah kehilangan berat badan sebanyak 8 kilogram,” ada nada bangga dalam suara Azam. “Kuantiti makanan disukat mengikut keperluan sebenar tubuh saya. Waktu makan juga ditetapkan. Jadi saya tidak rasa letih dan lapar keterlaluan.”
Alif mengangguk-angguk mendengar penerangan Azam. ‘Makanan ringan memang sedap, rupa-rupanya ia membawa mudarat kepada kita.’ Alif terbayang-bayang beberapa peket makanan ringan yang disimpan di kabinet dapur rumahnya.
“Ya Alif, makanan segera juga mengandungi lemak tepu. Makanan kita memang banyak menggunakan minyak ditambah dengan lemak makanan segera, awak bayangkanlah sendiri.”
“Makan banyak sayur dan buah-buahan. Budak-budak sekarang selalu ketepikan sayur dan kurang makan buah-buahan. Pengambilan makanan mereka tidak seimbang, sebab tu gemuk,” sekali lagi Azimah menyampuk sambil mencubit dada Azam pula. Azam menjerit kesakitan. Alif tertawa melihat telatah Azam dan Azimah.
“Saya akan lebih berhati-hati memilih makanan, saya tidak mahu gemuk seperti awak,” kata Alif sambil ketawa.
Pengambilan lemak dan minyak yang tinggi di dalam menu harian menyebabkan pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan. Cara hidup masyarakat masa kini yang kurang menggunakan tenaga menyebabkan lemak ini terus tersimpan sehingga menimbulkan masalah kegemukan.
Azam mengambil sepotong kecil roti gandum kasar yang dibawa oleh Azimah lantas menyuap ke dalam mulutnya. “Roti ini bagus. Ia mengandungi serat yang tinggi, banyak bahan mineral dan vitamin,” kata Azam sambil mengunyah perlahan.
Alif melirik kepada roti di tangan Azam, “Saya lebih suka roti gandum halus, roti ini menyebabkan saya rasa tercekik.”
Azam ketawa mendengar kata-kata Alif. “Kunyahlah perlahan-lahan, awak akan terasa nikmatnya,” kata Azam dengan nada seperti iklan di televisyen.
Alif turut ketawa.
“Baiklah, saya mohon diri dahulu. Terima kasih di atas maklumat yang sangat berguna ini. Semoga awak segera sembuh,” Alif menghulurkan tangan bersalaman dengan Azam. Dia ingin berkongsi cerita mengenai Azam dan keburukan makanan ringan dengan datuknya. Alif berazam untuk mengawal dirinya daripada mengambil makanan ringan dan makanan segera. Dia tidak mahu menjadi gemuk seperti Azam. Alif juga merasa tidak sabar hendak berkongsi maklumat mengenai kebaikan pengambilan makanan yang sihat dan berkualiti kepada kawan-kawannya.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing