Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 5, 2013

Alif Naik Pelamin

Cerpen diterbitkan di Dewan Pelajar  terbitan Februari 2011.

(Oleh : Nor Mazzuin Manaf Hassan)
Pang, pang, kepang, kepang, kepang…

Kedengaran suara kompang bergema bertalu-talu tanpa nyanyian. Alif kian berdebar-debar. Jari-jemarinya dirasakan dingin, perasaannya gelisah. Sesekali Alif memegang hulu keris kecil yang terselit di celah kain sampin songketnya. Kadang-kadang Alif menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aduh, saspennya. Bisik Alif sendirian.“Okey, naik,” arah Pak Cik Azman seraya duduk bertinggung di sisi Alif.
“Pak Cik… Alif rasa gementar,” Alif memohon simpati sambil memandang pakciknya.
“Buat biasa sahaja, Alif. Bacalah selawat banyak-banyak,” jawab Pak Cik Azman. “Cepat, kompang dah lama menunggu tu. Tetamu pun sudah tidak sabar nak lihat pengantin,” gesa Pak Cik Azman apabila melihat Alif masih teragak-agak.
Matanya melingas ke sekitar. Alif terpandang wajah Anuar dan Kamal di celah-celah kanak-kanak yang berhimpit-himpit di hadapannya, seolah-olah sedang melihat sesuatu yang pelik. Anuar dan Kamal tersengih-sengih. Anuar mengacungkan dua jari telunjuknya ke udara membuat aksi sedang memotong sesuatu. Kemudian Anuar dan Kamal tertawa terbahak-bahak. Mata Alif tunak memerhatikan aksi Anuar. Ada rasa ngilu yang tajam menyelinap ke sanubarinya apabila melihat perlakuan dua kawan sepermainan yang suka menyakat itu.
Huh! Tidak lama lagi giliran kau akan tiba juga. Waktu itu aku akan potong timun dengan pisau depan kau. Tunggu sahajalah! Gerutu Alif di dalam hati. Alif memanjat ke tengkuk Pak Cik Azman. Pak Cik Azman membetulkan kedudukan Alif agar lebih kemas dan bangkit perlahan-lahan. Mereka menuju ke rumah Alif. Kumpulan kompang mengiringi langkah Pak Cik Azman. Kumpulan kanak-kanak berjalan mengekori Alif dan pakciknya.
Perasaan Alif silih berganti antara gerun dan seronok . Dia gerun membayangkan sesuatu yang bakal dilaluinya usai majlis yang meriah ini. Pada masa yang sama, hatinya kembang apabila diberikan sepenuh perhatian oleh seisi keluarganya. Terbayang-bayang di ruang matanya kereta kawalan jarak jauh yang hebat dan alat mainan PS3 yang telah dijanjikan oleh ayahnya tempohari. Tanpa sedar Alif mengukir senyum sendiri. Alif seperti di awang-awangan. Mata Alif silau dek cahaya kamera yang tidak henti-henti merakamkan gambarnya.
Dari jauh Alif melihat pelamin yang dihias indah sudah menunggu di bawah khemah.
Serta-merta wajah Latifah bermain di benaknya. Alif tersenyum-senyum lagi. Pelamin itu begitu indah dengan bunga-bungaan berwarna putih, merah dan biru bertaburan di kain tabirnya, secantik langsir tingkap rumah Latifah, seindah warna bunga Kembang Pagi di pasu-pasu bunga di sepanjang pagar rumah Latifah. Sebuah kerusi kayu yang berukir indah diletakkan di tengah-tengah pelamin. Pelamin itu beralas dengan karpet merah. Terdapat dua pasu bunga telur warna biru putih di kiri kanan pelamin. Di sudut kiri pula diletakkan bekas-bekas tembaga berisi beras kuning, air mawar, inai dan daun kaduk yang sudah berikat kemas, buat menepung tawar Alif nanti. Alif kian gementar.
”Tak mahu turun ke Alif?” tiba-tiba suara Pak Cik Azman menerjah telinga Alif.
Rupa-rupanya Pak Cik Azman sudah lama duduk bertinggung betul-betul di hadapan pelamin. Sambil tersipu malu, Alif turun dari tengkuk Pak Cik Azman. Alif kebingungan sebentar. Kerusi berukir indah di pelamin seolah menggamitnya namun untuk terus menuju ke situ sendiri, Alif begitu silu.
“Tunggu apa lagi, naik cepat ke pelamin tu,” sergah Kak Anom tiba-tiba.
Telinga Alif menangkap suara tawa di sekitarnya. Wajah Alif merona merah. Aduh, mengapa nenek buat pelamin ni, gerutu hati Alif lagi. Perlahan-lahan Alif memanjat pelamin lalu duduk di kerusi berukir. Kak Anom berdiri di sebelah Alif, seperti pengapit pengantin. Kak Anom juga berpakaian indah, baju kebaya berlabuci warna pinang masak sedondon. Haruman Kak Anom menerpa hidung Alif membuatkan dia tenang seketika.
“Mana pengantin perempuan, Alif?” kedengaran suara bertanya, entah suara siapa.
Alif tersengih. Mata Alif melingas mencari seseorang. Matanya menangkap kelibat gadis ayu di sebalik tiang bertentangan dengan pelaminnya.
“Tu!” Alif memuncungkan mulutnya ke arah Latifah. Sungguh ayu Latifah berbaju kurung merah muda dan bertudung warna krim. Latifah tersenyum malu, wajahnya jadi kemerah-merahan.
“Ha ha ha ha…” kedengaran suara ramai tertawa dengan jawapan Alif.
“Kenapa tak naik pelamin sama?” Tanya suara lain pula.
“Kerusi ada satu je…” jawab Alif lurus. Kedengaran lagi gelak ramai.
“Sementara nak tunggu kau cukup umur, Latifah dah kawin dah,” terdengar suara lain menyahut.
Alif mula berasa seronok. Dia melayan sahaja usikan demi usikan menjadikan suasana bertambah rancak. Kedengaran suara Pak Cik Azman membuat ucapan pendek seterusnya menjemput nenek memulakan majlis menepung tawar. Nenek mengatur langkah membawa tubuhnya yang gempal mendekati pelamin. Senyum nenek menguntum di bibirnya. Wajah nenek begitu gembira. Alif membalas senyuman nenek lantas mencium tangan nenek. Nenek mencampakkan beras kuning ke arah Alif. Nenek ambil lagi segenggam beras kuning dan mencampakkan kepada tetamu di sekitar pelamin. Kemudian nenek mencalitkan inai ke tapak tangan Alif. Akhir sekali nenek mencapai bekas tembaga berisi air mawar lalu merenjis-renjis sehingga aroma mawar menguasai udara.
Selesai menepung tawar, Kak Anom menghulurkan setangkai bunga telur berwarna biru muda kepada nenek. Acara menepung tawar diteruskan oleh ibu dan ayah. Moyang Alif yang bertongkat dua juga dijemput. Orang tua itu terpaksa menggagahkan diri memanjat pelamin Alif untuk menunaikan hajat menepung tawar cicit lelaki tunggalnya itu.
Tiba-tiba, “Batang pisang! Dah ambil batang pisang? Tok Mudim dah sampai,” kedengaran suara-suara agak riuh.
Alif terpandang Pak Tamnya sedang menjunjung batang pisang melintas di sisi pelamin lantas menghilang di dalam rumah. Alif merasakan jantungnya bagai berhenti berdenyut.
“Ke tepi! Ke tepi! Tok Mudim nak lalu.”
Alif melihat seorang tua muncul di hadapannya. Kali ini Alif serasa ingin pengsan apabila bertentang mata tanpa sengaja dengan orang tua itu yang menjinjing sebuah beg kulit di tangannya. Misainya tebal melintang dan raut wajah yang serius menambah gelora di jiwa Alif. Anak mata Alif mengekori orang tua itu yang turut menghilang di dalam rumah.
“Alif…. Zasssss!” muncul kelibat Anuar dan Kamal lagi di hadapan Alif sambil menunjukkan aksi yang sama.
Alif tidak terkata apa, perasaan takut lebih hebat daripada rasa geram kepada kawan-kawannya itu. Alif merapatkan kedua pehanya yang dirasakan kaku. Alif meramas-ramas jari-jemarinya yang semakin dingin. Alif berperang dengan perasaannya sendiri, antara takut dan semangat ingin menjadi lelaki sejati.
Kata-kata ayah terngiang-ngiang di telinganya. Ayah memberitahu selepas berkhatan, Alif boleh solat Jumaat di sebelah ayah. Alif tidak perlu lagi ke barisan kanak-kanak di belakang. Dirinya sudah suci dan tidak akan memutuskan saf solat. Ayah sudah menerangkan bahawa berkhatan adalah wajib ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syaratnya kerana ia mengandungi kebaikan meliputi rohani dan jasmani seseorang Ayah juga memberitahu terdapat orang bukan Islam yang berkhatan kerana ingin mendapatkan kebaikannya.
Perlahan-lahan perasaan Alif kian tenang. Jiwanya membara semula.
`Aku tak takut berkhatan. Aku ingin menjadi Muslim yang baik. Aku ingin menjadi seperti ayah!'
Kelibat Latifah sedang melontarkan senyum ayu menjelma di ruang matanya. Senyum terukir kembali di wajah Alif.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing