Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, February 16, 2013

nenda kembali ke pangkuan Illahi

Hajah Halibah binti Paan kembali ke rahmatullah pada 12 Februari 2013 bersamaan hari Selasa selepas Asar pada usia 88 tahun kerana sakit tua (kegagalan buah pinggang, jangkitan paru-paru, wallahua'lam)

Baru seminggu kami bersua muka kerana pulang menziarahi ibu saudara yang kembali ke sisiNya pada Isnin (4/2/2013) sebelumnya.  Naqib dan Hidayat pun ada.  Tetapi anak-anak perempuan tak dibawa bersama kerana menghormati pengajian yang mereka ikuti.  Naqib sedang dalam urusan untuk pindah madrasah, Hidayat pula cuti sakit kerana batuk dan semput (mild).  Jadi dapatlah anak-anak berdua ni bertemu onyang. 

Namun uwan masih menyebut-nyebut nama anak-anak perempuan juga, yang rajin melayan celotehnya (kakak) dan menjadi usikannya (si bongsu). 

"InsyaAllah hujung bulan Mac nanti semua balik berkumpul sebab ada cuti," begitulah aku dan suami memberitahu uwan.

"Uhh entah ada umur ntah tidak, lamo laie ..." sahut uwan selamba.  Aku tak memikirkan apa-apa.

***

Aku dapat khidmat membantu memandikan jenazah uwan yang gemalai bersama 7 orang yang lain termasuk cucu-cucu dan anak saudara uwan, selain makcik tukang mandi jenazah.  Ketika jenazah didudukkan, aku sama membantu mengurut abdomen uwan yang nampak bengkak.  Ada tanda-tanda kemerahan di leher kanan uwan dan lengannya.  Entah tanda disebabkan apa.  Kepala uwan bergoyang-goyang perlahan. 

"Mandi yo wan, " kata Kak Tam sebak.  Aku pun sama sebak bahkan airmata mengalir di balik niqob.

Ketika makcik mula menjirus air ke wajah uwan yang seperti tidur, aku rasa lemas.  Kini air yang menyusup masuk ke rongga hidung dan mulut uwan tidak lagi membuatkan dia tercungap, aku yang tercungap. 

Ketika menggosok sabun ke tubuh uwan, menyelinap perasaan takut kepada mati.  Aku tak mahu dimandikan begini.  Ini kali kedua aku membantu memandikan jenazah, selepas arwah kakak yang pulang ke rahmatullah 4 tahun lepas.  Hanya aku pernah menjadi model jenazah yang dikapankan atas dasar sukarela sekitar 10 tahun lepas.

 Alhamdulillah, segala urusan dibantu Allah, berjalan lancar hingga jenazah uwan dikebumikan sebelum waktu Zohor Rabu 13 Februari 2013, diikuti kenduri tahlil dan bacaan Yassin di surau Tanah Wakaf dua malam berturut. 

Pergilah sudah waris tertua keluarga kami mematuhi sunnatullah, menyusuri jalan yang sama seperti arwah ibunya, nenda Hajah Sariah Ibrahim yang pulang ke rahmatullah 17 tahun lepas. 

Semoga Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun mengampuni segala dosa-dosa uwan, dan menempatkan rohnya bersama golongan orang-orang yang beriman serta mencucuri rahmat ke atas rohnya, dan menjadikan pusaranya satu pintu dari pintu-pintu syurga.  InsyaAllah aameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing