Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, November 2, 2012

perginya seorang insan

Anak gadis tinggi lampai tunduk menyalami tanganku.  Dia terus terduduk menekup muka di pangkuan. Tangisannya tak kedengaran, tetapi aku tau dia sedang menangis.  Aku rasa agak serba-salah.  Tentu mata-mata yang ada memandang kami.  Aku mengusap bahunya.

"Sabar ya Umi ... kita nak yang terbaik untuk ayah Umi.  Sekarang ayah Umi dah selamat.  Umi ambil wuduk dan baca Yassin untuk ayah, ya."  Aku bersuara dengan nada halus. 

Menjelang Isyak semalam, 31 Oktober 2012, seorang kenalan kami di taman perumahan sebelah telah selamat kembali ke rahmatullah setelah kira-kira 7 tahun menderita sakit.  Allahyarham Yussaini bin Yusuf, meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 7, 14 dan 18 tahun.

Seorang yang lemah-lembut dan mudah mengukir senyum, mudah mesra dan simple ... pemergiannya amat dirasai oleh semua.  Aku pernah dua kali berborak panjang dengan Yus.  Ketika itu aku melepak di kedai, menemani anak-anak yang nak makan nasi goreng. 

Kata Yus, dia agak buntu duduk di rumah.  Jadi dia datang menjenguk muka di kedai dan tolong-tolong angkat pinggan dan cawan.  Aku sebenarnya tak pernah berbual sedemikian dengan orang lelaki.  Aku err ... pemalu.  Sahih!  Tapi dengan Yus, aku tak fikir suami aku akan cemburu dan marah.  Dia pun ada di situ.  Yus orang sakit.  Aku sekadar cuba berbuat sebaiknya.  Tambahan lagi, aku rasa ada persamaan yang boleh dikongsikan.  Arwah kakakku juga menghidap sakit yang sama dengan Yus ... kanser.  Cuma arwah kakakku diserang kanser tulang tengkuk.  Yus menderita kanser esofagus atau usus, wallahualam.

Jadi, aku khabarkan kepada Yus tentang susu berkhasiat tinggi yang pernah arwah kakakku gunakan.  Aku tunjukkan simpati pada rintihan Yus.  Aku cuba menjadi pendengar yang baik kepada setiap patah perkataan Yus.  Aku bukan seorang yang sangat ramah, sekadarnya aku beramah.  Hingga akhirnya aku mohon diri untuk berbual lagi di lain kali bersama titipan doa semoga Yus akan sembuh sediakala.

Dari situ, Yus menceritakan ... sikap orang Melayu ... yang tak senang melihat orang senang.  Ada phD ~ penyakit hasad dengki.  Pengalaman membuka perniagaan menggunting rambut di masjid Al-I'tisam, TTDI Jaya, melalui saranan suamiku ketika kami baru kenal Yus sebaik berpindah ke Sijangkang.  Alhamdulillah, kedai gunting Yus mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga akhirnya Yus mampu mengupah dua orang pekerja untuk membantunya.  Sejak itulah, penderitaan Yus bermula dalam senyap.

Semakin lama Yus semakin kurus.  Ada sesuatu yang sedang berlaku di dalam proses pembiakan sel-sel tubuh Yus.  Ada yang mencelah dan menimbulkan gangguan dalam diam.  Wallahualam.  Allah Maha Mengetahui.  Kini Yus telah pun pergi, tanda Allah lebih menyayangi dia.  Urusan Yus sudah selesai.  Tugas Yus sudah pun tamat.  Tinggallah kita yang masih dipinjamkan nyawa olehNYA ... untuk meneruskan setiap saat yang dipinjamkan.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Yus, melimpahi rahmatNYA dan menempatkan Yus bersama golongan orang-orang yang soleh.  Semoga pusara Yus akan menjadi satu pintu dari pintu-pintu syurga.  InsyaAllah. 

Kini anak-anak Yus telah bergelar anak yatim, isteri Yus bergelar balu.  Semoga Allah memberi mereka ketabahan dan sentiasa melindungi mereka.  InsyaAllah aameen.

***
Yus mengingatkan aku supaya berhati-hati selalu.  Kata Yus, bila bukak perniagaan, kita perlukan ilmu.  Bukan sahaja ilmu selok-belok berniaga, tetapi juga ilmu ugama dan kerohanian untuk membentengi diri dari sebarang angkara jahat yang ingin memusnahkan.

Sejak Yus terlantar sakit dalam dua minggu ini, setiap hari pulang bekerja isterinya akan mengambil jalan pulang melintasi kedai suamiku.  Kata isterinya, setiap hari Yus akan bertanya tentang kedai ini.  Siapa yang ada di kedai, ada pelanggan yang datang dan sebagainya.   Terharu, Yus masih mengambil berat tentang kehidupan ketika dia sudah terlantar kesakitan.  Dia seorang sahabat yang prihatin.  Suamiku benar-benar merasai sebuah kehilangan ... hilangnya seorang sahabat yang akrab walaupun baru kenal dalam 7 tahun sahaja.

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMU itu ... terangilah kuburnya dengan cahaya rahmatMU, luaskanlah kuburnya seluas mata memandang, berikanlah dia sebaik-baik teman yang menemaninya sehingga hari kiamat, sebarkanlah haruman dari syurga memenuhi pusaranya.  Ya Allah, kasihanilah dia ... kami semua merasai kehilangannya.  Apatah lagi kaum keluarganya.  Permudahkanlah segala urusan keluarga ini.  Cukupkanlah keperluan mereka dan rahmatilah mereka.   Berilah mereka kesabaran dan pahala atas kesedihan ini.  Semoga mereka terus tabah dan redha demi keredhaanMU.  Aameen.

*Al-Fatihan buat saudara Yussaini Yusuf yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Oktober 2012 pada usia 46 tahun.




No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing