Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, May 2, 2012

Wahai Binti Ramlah


Wahai Binti Ramlah. 
Wahai Binti Ramlah. 

Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah, yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Ingatlah wahai Binti Ramlah. Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Munkar dan Nankir, maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berduka cita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai Binti Ramlah bahawasanya Mungkar dan Nankir itu hamba Allah Ta’ala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Ta’ala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.

Mereka berkata:
  • Siapakah Tuhan kamu?
  • Siapakah Nabi kamu?
  • Apakah agama kamu?
  • Apakah kiblat kamu?
  • Siapakah saudara kamu?
  • Apakah pegangan iktikad kamu?
  • Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah. Biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:
  • Allah Ta’ala Tuhanku.
  • Muhammad Nabiku.
  • Islam agamaku.
  • Baitullah itu kiblatku.
  • Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudara aku.
  • Kitab suci Al-Quran ikutanku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
  • Dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap, “La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah”.
Wahai Binti Ramlah, tetapkanlah hatimu. Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di alam Barzakh sehingga sampai satu masa kelak. Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai Binti Ramlah. Bahawasanya mati ini adalah benar. Soalan malaikat Munkar dan Nankir di dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di kolam air Nabi adalah benar. Ada Syurga dan Neraka adalah benar. Bahawasanya Hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal pada kamu di sisi Allah Ta’ala. Semoga Tuhan akan memberi kesejahteraan kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala menjinakkan hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

“Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izzati amma ya sifun wassalum alalmursalin walhamdulillahi rabbil alamin”.

Setiap yang bernafas, pasti akan merasai mati – “Kullu nafsin zaa iqatul maut”.

Firman Allah SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” – Surah Al-A’sr




No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing