Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, January 26, 2012

pelan-pelan cik, sakittt

 aku masuk terus berdiri depan kaunter tapi terpaksa beralih ke tepi.  Staf sedang menyiapkan ubat dan sekarang memberi penerangan kepada orang lelaki di depan kaunter.  Selepas dia berlalu, aku segera unjuk kad pengenalan tapi tak diusik lalu aku ambil dan pegang.  Hilang naya!  

Staf : siapa sakit?

aku : anak (tunjuk Hidayat)

staf : pernah datang sini?

aku : err tak pernah (macam keliru.  Lepas menjawab fikir sejenak.  Oo dulu tu bawak kakak dan abah dia pernah bawak Naqib.  Hidayat tak pernah.)

staf : siapa nama?

aku :  Muhammad Hidayatullah.

Staf:  ejaan.

aku : bagi kertas saya tulis.

Staf mencapai cebis kertas berpotong warna pink dalam bekas dekat tepi kaunter dan bagi pen.  aku tulis nama MUHAMMAD HIDAYATULLAH BIN HASMEON dengan huruf besar.  'MEON' tu sangat jelas dan lebih besar sikit sebab aku tak mau dia silap tulis.  Hari tu aku check nama kat senarai kelas sekolah ugama, nama abah dia bertukar jadi Hasmingun, punya jauh!  Kalau nama Naqhuhines tu keliru wajar juga sebab pelik sikit.  Lepas serah keratan kertas pink, aku ajak Hidayat dan Hanessa duduk.  Aku selak Kesaksian Seorang Pilot dan tenggelam timbul di sana.  Kapalterbang dah take off.

Hidayat :  doktor lelaki ke perempuan? (sambil ayun kaki perlahan-lahan depan belakang)

aku : doktor lelaki.

hidayat : melayu ke india

aku : dulu masa bawak kakak, doktor india.

hidayat : betul ke lelaki, bukan perempuan?

aku : betul lelaki.  kalau perempuan pun apa salahnya.

hidayat : tak mau perempuan.  tak boleh.  aurat.

aku : hmm doktor lelaki laa.

Hidayat : napa mama suruh Dayat pakai kain samping?

aku : bukan kain sampin la, kain pelikat.

Hidayat : ala asyik tersasul je.

aku : senang doktor nak tengok kang.

Hidayat terus bertanya macam-macam.  Hanessa tak boleh duduk tenang lama-lama.  Dia mahu keluar ke kaki lima klinik tapi aku tak benarkan, hanya sampai pintu aje dan dia mula tunjuk belang.  Aku pun tunjuk ketegasan sebab dalam kepala anggap kawasan ni bukan kawasan yang benar-benar selamat tambahan pula aku berseorangan tanpa suami bersama.  Tapi Allah sentiasa ada bersama kan, so tawakkal.  Perlahan-lahan aku baca Ayat Kursi.

Pintu 3 terbuka.

wanita India muda memakai stetoskop di leher:  Muhammad Hidayatullah!

Aku bangun dan melangkah.  Hidayat dan Hanessa mengekori.  Di pintu, kami terhenti.

wanita India : sakit apa?

aku : dia kena kudis (sambil tunjuk kepada Hidayat)

wanita India : oh kalau kudis puan kena jumpa doktor kudis.  Maaf ya (tersenyum mesra).

aku : oh tak mengapa.

Aku duduk balik.  Tempat duduk tadi dah kena isi dengan lelaki tua bertongkat yang gemuk, Cina.  Aku duduk di bangku panjang depan pintu 3, tak selesa.  Span kerusi dah mendak.

Pintu 2 terbuka.  Wanita India muda muncul memanggil nama lain.  Aku fikir kalau pintu 1 terbuka muka dia juga di situ.  Pintu 3 terbuka, muka dia juga, sah!  Dia ni doktor ke hapa?  Kenapa dia yang panggil nama pelanggan klinik.  Bukan pula urusan aku nak fikir.  Jangan sibuk hal orang.

Pintu 1 terbuka.

Wanita India : Muhammad Hidayatullah.

Aku bangun dan melangkah.  Hidayat dan Hanessa mengekori. Di pintu kami tak berhenti, terus masuk.

Wanita India :  sila duduk dulu ya.  (Dia berlalu.  Staf bergaun coklat dan ungu ulang alik di belakang aku.)

Di luar tadi aku baca Kesaksian Seorang Pilot.  Kapalterbang sudah tabrakan di udara India.  Aku berderau dan berdebar.  Duduk melongo buat aku bosan.  Aku buka Kesaksian Seorang Pilot semula.  Tiba-tiba aku insaf.  Lalu aku tutup Kesaksian Seorang Pilot, letak tepi meja doktor yang sesak dengan barang-barang dan monitor nipis (dengan wayar berselirat atas lantai) dan baca Ayat Kursi dan berselawat ke atas nabi saw.  Al-Insyirah.  Mata aku meliar.  Aku tak suka tengok patung kecik muka gajah tanpa baju dengan banyak tangan mengawang di tingkat teratas dalam kabinet kecil sebelah kerusi pusing doktor.

aku : mana doktor? (dalam hati). (ada orang perempuan berborak di telefon kat belakang dinding, belakang kerusi doktor). Sibuk betul doktor ni layan panggilan (dalam hati tapi lepas tu aku sedar dia bukanlah doktor sebenar)

Aku dah mengira masa menggunakan telefon bimbit.  Hidayat capai Kesaksian Seorang Pilot dan sambung bacaannya pula.  Hanessa mengendap bilik kaunter dan tanpa sengaja belajar dua patah perkataan Tamil yang bermaksud 'sapu' dan ... aku lupa. 

Tiba-tiba aku nampak kelibat doktor India lelaki berambut ketak-ketak kerinting di bilik 2.  Dia mengerling kepada kami yang tercongok di tepi meja doktor.

Selepas 8 minit.  Doktor lelaki rambut keriting agak berumur dan nampak sangat profesional datang duduk di kerusi pusing.

doktor :  ya akak ada masalah apa?

aku : dia kena kudis (sambil tunjuk arah Hidayat)

doktor : mana kena?

aku bangun dan arah Hidayat bangun.  Aku suruh sambil tolong buka kain samping pink dia.  Doktor belek-belek.

doktor : kxnxk ada kena tak?  cuba lihat.

aku : bukak depan pulak tunjuk doktor.

Hidayat macam enggan tapi terpaksa buka juga.

doktor : sudah berapa lama kena?  siapa lagi kena?

aku : semua kena kecuali saya.  kakak dia duduk asrama pun kena.

doktor belek-belek tangan Hanessa.  Hanessa angkat tunjuk tapak kaki kiri walaupun kudis di celah bawah jari sudah sembuh.

doktor : berapa berat?  pergi timbang.

aku dorong Hidayat ke penimbang manual di tepi dinding.

doktor : 34kg.  Ok pergi bilik sebelah mau inject.

hidayat : hah inject?  tak mau!

keadaan agak kelam-kabut dalam bilik doktor yang kecil.  aku dorong hidayat ke bilik sebelah melalui pintu yang sentiasa terbuka.  doktor wanita muda dan staf-staf keluar masuk.

doktor : naik atas katil.

aku : dayat, naik katil.  kaki sana kepala sini.  baring meniarap!

Hidayat naik terkial-kial.  aku singkap kain pelikat pink dan buka seluar kuning separas punggung.  Badan Hidayat mengeras.

hidayat: tengok jarum besar tak? kat mana nak inject ni? (risau)

aku : kecik je.  meniarap betul-betul (sambil tekan badannya dengan lembut supaya tak dapat bangun)

doktor datang sapu ubat pelali dan cucuk punggung Hidayat.

doktor :  jangan kasi keras, adik. (jarum dicucuk ke punggung)

aku : lembut ... lembut ... (sambil separuh tunduk peluk kepala Hidayat)

Hidayat menangis.  Airmata menitik-nitik atas pelapik getah berwarna hitam.  Doktor tekan sedikit tempat suntikan dengan kapas kecil dan berlalu.  Aku pulak sapu-sapu tempat suntikan dengan kapas yang sama.

Hidayat :  adoiii sakit la!  Jangan la tekan-tekan.  Kenapa inject?  Dayat tak nak inject.

aku : alah sikit aje.  dah tak sakit kan.

Hanessa :  haah abang Dayat, nyamuk gigit lagi sakit.

hidayat :  sakit la (menangis menungkup muka atas tapak tangan sambil meniarap)

doktor : jangan bangun dulu (menghilang lagi)

doktor wanita datang menyuruh kami keluar dari pintu 2.

aku : itu doktor suruh tunggu.

doktor wanita :  sudah selesai akak.  (kelam-kabut.  Ada staf lalu)

aku :  tapi itu doktor suruh tunggu.

doktor wanita menghilang, aku ingat dia tanya doktor lelaki tu dan kemudian muncul semula.

doktor wanita :  naik katil balik doktor mau cuci.

aku :  cuci kudis ke?

doktor wanita : ya

aku pandang Hidayat dan suruh dia naik katil balik.  Hidayat macam risau.

Hidayat : nak buat apa lagi ni?  (sambil kesat-kesat mata dengan leher baju.  Staf gaun ungu dengan subang kecil di hidung sengih kat aku)

aku :  doktor nak letak ubat.

Hidayat naik semula dengan hati yang berat.  doktor wanita datang dengan tangan bersarung sarung tangan getah putih.  dia mula menyental punggung Hidayat dengan kain kasa putih.

Hidayat :  adoi adoiii cik, cik, pelan-pelan cik, sakit cik!  adoi adoii!  sakit cik! (punggungnya bergerak-gerak dan dia mengereng sedikit)

aku :  bukan cik la, doktor!  err u doktor kan? (serba-salah tapi mahu kepastian.  dia ada stetoskop tersangkut di tengkuk tapi nampak macam kurang pengalaman).  heh meniarap la betul-betul, doktor nak bersihkan tu.

doktor wanita : ya (sambil terus mengelap punggung Hidayat).  Baring betul-betul adik.

Hidayat :  doktor sakit doktor!  sikit-sikit je doktor!  Pelan-pelan la doktor!  Sakit!  adoi!  adoii! adoiiii!

aku lihat nanah dan kulit berkuping di punggung Hidayat dah hilang. Yang tinggal adalah lebih kurang 10 bulatan-bulatan kecil yang merah jambu warnanya.  Kain kasa bertukar kehitam-hitaman, ada kulit melekat di situ.  Aku tau, memang sakit kena kerjakan begitu.  Teringat balik kes kena jahit hidup-hidup yang membuatkan aku serik dan bertaubat nak melahirkan lagi sesudah Hanessa.  Ya Allah ampunilah aku yang lemah ini.

Hidayat tersedu-sedu.  doktor wanita spray air jernih ke sekitar punggung Hidayat dan menghilang.  kemudian dia datang lagi dan menyapu punggung Hidayat dengan krim putih menggunakan stick kayu.

doktor wanita :  ok sudah siap.

aku :  ni terus pakai seluar ke?

doktor wanita :  ya pakai saja.

tiba-tiba Hidayat terpandang kelibat kanak-kanak perempuan sebaya hanessa berbaju merah berdiri di pintu tengah antara bilik 1 & 2.

hidayat : ada budak pempuan tu!  tutup la sikit.

aku segera menghadang tubuh Hidayat sambil membelakangkan pintu tengah.  doktor wanita serta-merta menarik pintu lipat.  dia berdiri di celah pintu dan berkomunikasi dengan doktor lelaki.

aku :  tapi krim ni kena seluar macamana?

doktor wanita : tak mengapa

aku :  tapi ... boleh kasi plaster tak?

doktor wanita menghilang, aku agak dia consult dengan doktor lelaki kat sebelah.  dia datang semula dan mengambil keratan-keratan kain kasa putih dari bawah kabinet tepi dinding dan menyusunnya atas punggung Hidayat.  Kemudian dia menampak tiga jalur plaster pula.

aku : ok bangun.  Dah siap.

Hidayat bangun dan mengesat airmata dengan leher baju.  nampak trauma. Aku betulkan kain pelikatnya.  doktor wanita dan staf baju ungu yang keluar masuk berbalas senyum dan geleng-geleng kepala.  aku senyum nipis.  doktor wanita unjuk jari ke pintu bilik 2 tempat kami berada.

aku : saya mahu ikut sana sebab kasut saya kat sana (sambil tunjuk bilik 1 tempat kami masuk tadi)

doktor wanita : akak keluar sini, sana ada patient.

aku : saya mahu ikut sana, kasut saya kat sana.

doktor wanita :  sana ada patient akak.

aku ; oo ada patient (macam tak tau) ok saya ikut sini.

Hanessa keluar dulu dan nak capai kasut aku.

aku : tak pe tak pe, kotor la!  (terimbau sikap cerewet mak tentang kebersihan sambil tak peduli langsung orang ramai yang duduk berderet di kerusi lalu duduk di kerusi kosong depan kaunter)

hidayat : sakit la ma!

aku : biasa la sakit sikit je tu.

Hidayat : napa kena inject? tak inject tak boleh ke?  sakit la (muka sugul)

aku :  along dulu pun kena inject gak.  tak pe biar cepat baik insyaAllah.

staf wanita India akhir remaja atau awal dewasa kurus cekeding dalam bilik kaunter sibuk bergerak ke sana-sini.  Dia bagi isyarat.  aku bangun dan letak tangan atas papan putih di ambang tingkap kaunter.  Papan itu bergerak-gerak macam nak tercabut.  Toleh kiri, hanessa sedang berusaha nak menjenguk ke dalam.

aku : jangan gayut!  tercabut benda alah ni karang.

Staf letak beberapa botol ubat pelbagai saiz dan beri penerangan ringkas. semua ubat dimasukkan ke dalam dua beg plastik kecil putih.  aku baca tulisan Reiki Baba di dada kiri bajunya.

aku :  berapa? saya mahu sijil sakit juga ya.


staf :  RM211.  mc untuk bila?


aku :  untuk hari ni dia sekolah petang.  RM211?  Mahal jugak.  Saya ada satu ratus je ni.  Injection berapa?


Staf meneliti skrin pc dan angkat bahu.


aku :  abih macamana?  saya tak cukup duit nak bayar ni?  saya tak ada duit lain.  tak sangka pulak mahal macam ni.  suami saya kat KL.  Karang dia balik saya suruh dia bayar boleh?

staf menghilang ke dalam.  aku agak dia jumpa doktor lelaki india tadi.  kemudian dia muncul semula.


staf :  tak apa nanti bayar kemudian.

aku : abih ubat ni? (aku tak tau sama ada nak tinggalkan je ubat dan datang ambil selepas habis bayar atau bayar seratus dulu dan ambil ubat satu beg dulu)

staf : ambil la

aku :  eh awak percaya kat saya?  (nada tinggi sikit sebab terkejut beruk)

staf :  ya saya percaya (senyum)

aku : klinik tutup pukul berapa? hmm saya datang pukul 8?  (dalam hati nak sebut lepas Maghrib tapi tak jadi)


staf :  klinik bukak 24 jam.


aku :  abih ubat ni macamana?  (serba-salah)


staf : tak apa (senyum)


aku :  abih karang saya datang mau cakap apa?  ada apa-apa untuk reference?

staf : saya ada di sini sampai pukul 11


staf ambil sekeping keratan kertas pink di tepi kaunter dan tulis baki serta nama dia.  Kertas pink diunjuk dan aku ambil.


aku : ok ambil seratus ni dulu.


aku capai ubat dua beg plastik kecil dan keluar dari klinik dengan satu perasaan pelik. 


Balik rumah aku telefon suami dan bagitau kena bayar baki bil untuk rawatan kudis Hidayat.  Kami semua pergi semula ke klinik Reiki Baba sekitar jam 6.30 pm selepas suami balik rumah.

suami : cuba la mintak diskaun.  Dapat tu.  jangan lupa mc.  mintak la untuk tiga hari.

aku :  boleh ke mintak diskaun?

suami :  boleh.  cuba la.

aku patuh walaupun dalam hati aku kurang setuju sebab aku jenis agak pemalu dan kurang yakin klinik akan bagi diskaun kat pesakit macam kedai tudung bagi diskaun kat aku.  aku bukak pintu kereta.

aku : abang je la yang pegi.  abang mintak la diskaun.

suami : eh pergi la.  tak dapat tak pe.

aku masuk dan berdiri tepi kaunter.  ada orang sedang hulur not ringgit, terima not ringgit dan ambil ubat.  aku segera ke tengah kaunter nak menguasai ruang sebelum ada orang lain datang.  staf baju ungu bertindik di hidung pandang.  staf kurus cekeding yang baik hati terdongak terangguk bila nampak muka aku.

aku :  saya bayar baki.  err mintak diskaun boleh tak?  saya nak mc tiga hari jugak ya.

staf ; diskaun?  (gelak kecil).

staf buat sesuatu mungkin nak print sijil cuti sakit dan tanya aku untuk kepastian tarikh cuti.

aku :  bagi la kurang sikit. 

staf : satu ringgit boleh la (senyum)

aku :  sebelas ringgit la (senyum jugak)

staf :  satu ringgit boleh la (sambil jelir lidah sikit)

aku pun seluk poket keluarkan not merah sepuluh ringgit yang standby, satukan dengan dua keping not lima puluh dua keping kat tangan dan hulur kat dia.  dia hulur kertas iaitu sijil cuti sakit untuk Hidayat sampai hari Jumaat. 

aku teringat wajah doktor lelaki India tu.  Andai dia seorang Muslim, aku fikir dia seorang yang warak.  Semoga Allah memberi hidayat kepadanya satu hari nanti tak lama lagi untuk menjadi seorang Muslim yang bertakwa insyaAllah.

* kekadang aku rasa menulis satu pengalaman yang cuma beberapa minit dalam bentuk karangan terlalu berjela, lagipun tak semua dapat dimasukkan dalam cerita.  Ini hanya satu percubaan menulis dalam bentuk dialog sebab aku tak boleh lupakan dialog-dialog Hidayat di atas katil berlapik pelapik getah hitam tu.  Tapi ada juga dialog yang aku adjust sikit.   aku juga rasa nak gunakan 'aku', dan bila macam ni aku teringat sangat-sangat kat Nawal Jameelah, anak saudara yang menegur penggunaan 'aku' dalam entri awal blog ni dulu.  Hmm mungkin Nawal Jameelah pun dah lama tak jenguk blog ni, so cuma teringat kat dia aje.  Lagi satu aku tak kuasa nak betulkan huruf besar yang sepatutnya di awal ayat walaupun sebenarnya aku kurang suka melanggar teknik penulisan yang diajar cikgu Bahasa Melayu kat sekolah rendah dulu, sebab cik abang aku yang baru balik dah ajak masuk bilik nak borak-borak (dia baru balik dari tugas sebagai salah seorang anggota masyarakat yang prihatin dengan masalah baru timbul melibatkan jiran, nampaknya macam kes berat sikit.  Tak masuk book kat sini tapi semoga misteri yang muncul ni selesai dengan jayanya insyaAllah.)

Jumpa lagi insyaAllah.  Dah pukul 1.08 am rupanya woyy ...

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing