Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, August 24, 2011

Selamat Hari Lahir ke 8, Hidayat!

napa nangis?

Uwaaa ...!!!!!

Mama: "Napa?  Napa?  Napa???"

Uwaaa ...!!!!

Hidayat: "Ko napa ha budak???

Uwaaa ...!!!!!!!

Kakak: "Dah! Dah! Jangan nangis kuat-kuat.  Karang kena amuk sume ni" (kerling ke luar)

Uwaaa ...!!!!!  Nak megi goreng!

Mama: "Oooo ... adik tengok kawan-kawan makan megi ya?"

Angguk-angguk.  Cemik.  Perasaan tersangat sayu.

Mama: "Bang, kedai bukak lagi tak?"  Jam dinding sudah hampir 10 malam.

...

Mama: "Haa, cam ni.  Esok mama datang masa rehat bawak megi goreng ya."

Geleng.  Enggan.  Cemik.

Mama: "Tak pe la.  Kalau buat pagi esok, pun makan masa rehat gak.  Nanti pagi sok, mama beli megi kat kedai, masak masak masak lepas tu bawak gi sekolah."

Angguk-angguk.

Tiba-tiba, Uwaaa ...!!!!!!!

Kakak: "Eh, napa?  Nangis lagi?"

Hidayat: "Diamlah budak!"

Mama: "Eh sabarlah!  Kita tanya napa dia nangis lagi."

Mama kawan-kawan Adik datang hari-hari kat sekolah masa rehat ...

Ohhhh alamak.  Aduhhssss!


Sambung buat biskut biru

acuan asal biskut susu.  warna tetap biru. macam keras je kan.  tapi ia rangup dan cair dalam mulut gitu.  nak kena adjust marjerin lagi ni agaknya, biar lembap dan lembut sikit, bukan lembik.
 Sejarahnya macam ni ~ mula-mula teringin nak ajak anak-anak dara saya buat biskut.  Dah bertahun-tahun tak buat biskut.  Seingat saya, pertama dan terakhir kali buat biskut sejak dah kahwin ialah semasa Naqib berumur setahun lebih.  Saya buat biskut tepung kastard bersama-sama Saidah (maid) masa tinggal di Sengkurong dulu.  Bayangkan dah berapa lama, Naqib pun dah nak masuk 15 tahun sekarang.  Tempat putar kek dan segala peralatan bikin biskut dan kek masih tersimpan rapi, angkut setiap kali pindah.

Yang paling mengesankan, bila buat biskut walaupun mudah je resepinya, budak-budak yang datang suka makan.  Siap puji-puji lagi, sedapppp ...  Biskut kastard dulu tu saya jumpa resepinya kat kotak tepung tu jugak, dan ternyata memang sedap dan mudah.  Masih ingat Aiman dan Wani puji biskut saya hehe ...

Kali ni mood yang sama datang kembali.  Tentu mereka seronok buat biskut, fikir saya.  Kemahiran menggentel tepung dah ada, sebab selalu main playdoh yang macam-macam warna tu.  Apa kata kita gunakan kemahiran tu kat biskut pulak ya.  Biskut boleh makan, playdoh tak boleh makan ...

Buah tangan dari sekolah sempena hari raya ni, kot.  Terima kasih.  Dulu tak pernah dapat macam ni.  Entah dapat lain kot, dah tak ingat ...
  Err tersesat pulak gambar-gambar yang tak berkaitan langsung.  Dah terselit celah gambar biskut, masukkan ajelah.  Ini gambar Hanessa bersama hamper dari sekolahnya.


aik, gambar bapak Hanessa pulak!  Kaki posing gak gamaknya ...

Nak hantar Hidayat ke sekolah ugama.

 Hanessa sedang dalam proses nak menerap biskut.  Kalau ikut resepi, biskut ni gentel bulat-bulat aje.  Nak bagi seronok lebih, saya cari acuan dalam almari.  Wah, memang makin teruja dia.  Kakaknya pun sama.  Still blue!
 Mula-mula testing aje sepeket.  Lepas tu rasa macam sedap, bolehlah tambah lagi.  Lepas tu tengok pewarna biru ada banyak, kena la buat lagi.  Kalau tak entah bila nak sambung, lama-lama pewarna tu expired pulak.  Jadi, memang kena beli tepung lebih sikit dan buat lebih-lebih, boleh la bawak balik kampung.  Kampung ada tiga ya, jangan lupa. 

Abang tarik kangkung darat kat depan sana nun, segar.

yang bulat-bulat tu 1 batch.  yang kiri tu guna acuan kuih tart.

baru keluar dari mikrowave, tapi dah tinggal empat je ... sapa punya angkara nih?

Ada lagi satu acuan, kecik sikit.  Tukang terap dua orang, tapi acuan tak cukup.  Jadi kena la pakai apa yang ada.  Bila keluar dari mikrowave, yang kecik sikit tu macam kuning hangus.  Laa ... baru teringat pesanan manual, supaya pastikan saiz biskut mesti sama, jarak antara satu sama lain pun sama supaya masak rata.  Ni tak, satu tray acuan biskut besar satu lagi acuan kecik.  Gasaklah ...

Ada empat peket tepung lagi!  Budak dua orang ni macam dah boring je pulak.  Macamana ni?  Apakah makcik akan bertapa sorang-sorang di dapur selepas ini??

Esok Naqib balik dari madrasah.  Cadangnya nak buat surprise, nak buat kek lembap coklat, nak pakai resepi baru dapat dari blog Ummu Solehah tu.  Ia macam resepi kek lembap Filipina tu jugak, tapi agak mudah.  Sebab tak ada kena putar putih telur, masuk je telur semua.  Insyaallah, kejutan yang tak mengejutkan, sebab budak perempuan dua orang ni dah maklum dah.

Ya Allah, bantulah daku mengusaikan semua ini.  Sembuhkanlah sakit kat bahu kiriku ini.  Mudah-mudahan dapat le bawak balik biskut susu biru ni ke kampung.  Yeehaa, tak pernah-pernah bawak balik biskut buatan sendiri ... apakah biskut susu biru ni akan mendapat sambutan nanti?  Wallahualam.

Monday, August 22, 2011

Secebis kisah

(Semalam)
Achoo!
Achoooo!!
Achoooommmmm!!!
Alhamdulillah.
Waduh ... tak berhenti saya terbersin sejak pagi tadi.  Siap dengan air hidung yang jernih meleleh sepanjang masa.  Perlahan-lahan ada denyutan di pelipis.  Tapi, tak ada pulak rasa nak demam.  Mungkin askar-askar antibodi saya sedang berjuang melawan serangan di dalam badan.  Yeah, teruskan perjuangan, saya mesti sembuh segera.  Kalut rasanya srooot srooot srootttt semasa solat.  Mengaji pun terhenti-henti dek bersin berselang seli dengan mengelap hidung.


Ya Allah, sembuhkanlah daku dan kembalikanlah kesihatanku yang baik.  Ampunilah dosa-dosaku dan jadikanlah aku orang yang sabar.  Berikanlah daku hidayah untuk mengikut jalan yang Engkau redhai.  Amiin.

Dalam pada melayan hidung dan bersin, saya juga melayan FB.  Di Masturat, saya temui seorang Muslimah blogger yang memiliki blog menarik sekali dan penuh dengan pengisian bermanfaat.  Seorang surirumah yang berpendidikan tinggi.  Baru memiliki dua cahayamata, tentu dia seorang yang masih muda.  Dan saya melekat di blog itu, sambil melayan hidung dan bersin. 

Achoooommm!!!

***
(Hari ini)
Acho!
Bersin dah slowHingus air hidung pun dah hampir kering.  Alhamdulillah.  Tapi mata masih berair, macam orang menangis.  Anak-anak pun musykil je, bila pandang mata mamanya yang basah, nak nak masa bersalam selepas solat.  Masing-masing pakat tanya dengan wajah risau dan siap ambilkan tuala, "Mama nangis ke?"  Tu soalan yang jarang-jarang ditanya tapi kekadang boleh pecah rahsia mama.  Oooo tu time hati rusuh, termenangis la hehe ... 

Bila terasa agak kurang fit macam ni, saya kurang mood nak mengadap laptop.  Ambil buku yang terhenti dua hari lepas, dan mula membaca dengan santai.  Wah, susah juga nak membaca dengan airmata yang meleleh gini.  Cik abang pulak spend time membaca e-novel dari blog Tuan Kadi Kluang yang baru dijumpainya entah bagaimana.  Bukan main tekun lagi, tak sangka pulak begitu hebat tarikan novel Tuan Kadi tu.  Saya tumpang baca sesikit aje.  Katanya kisah benar.  Kisah percintaan penjual burger dan gadis pujaannya yang dihalang oleh keluarga.  Lum habis lagi tu, kata suami saya.  Dia pun masuk group bloggers yang ternanti-nantikan ending cerita benar tu hehe ...

Kawan - Hijjaz. Sambil tulis sambil dengar halwa telinga.  Tiba-tiba ...

"Ma, nak nasi lagi!"

Dah dua kali saya cedokkan nasi untuk Hanessa, ni nak lagi?  Aikk!!  Nasi kosong curah kuah asam rebus ikan kembung.  Kuah aje tu! 

Jangan naik badan macam kakak dan abang kamu, sudahlah!  Naqib dan Hurilain mula datang selera makan seusia 9 tahun gitu.  Nampak gaya, nak kena kontrol sikit Hidayat dan Hanessa ni.  Bulan puasa ni, boleh tahan juga selera masing-masing.  Kalau era Naqib dan Hurilain dulu, atok Segamat memang suka benar melihat cucu-cucu yang balik sesekali ke kampung, makan bertambah-tambah.  Atok masak asam pedas ikan mayong memang kelasss gitu.  Dan diorang pun makan siap hirup-hirup kuah lagi.  Kalau sampai tengah malam ke sana pun disuruh mentong, cari apa yang ada kat dapur. 

Itu zaman atok Leha masih gagah.  Sekarang ni, dengarnya abah beli aje lauk kat kedai.  Makannya berdua.  Kalau masak pun tak berbaloi.  Kakak ipar yang kerja Giant tu, dah tentu makan kat luar.  Balik tengah malam dah penat.  Mungkin mungkin kalau dia offday, barulah berasap dapur agaknya. 

Raya balik kampung mana, tanya Sal kat shoutmix.
Sebenarnya saya bersyukur sangat sebab cik abang awal-awal dah dapat memahami keadaan bini dia ni.  Anak tunggal.  Mesti la balik kampung saya dulu.  Tapi ada juga kes terpencil yang nangis-nangis dulu masa bincang nak balik kampung.  Bukan nak pilih balik kampung mana dulu, tapi nak tetapkan berapa malam kat kampung saya dan berapa malam pulak kat kampung dia.  Tak kira hari berbuka puasa dan bersahur di Segamat dulu, baru balik kampung saya pulak.  Yang susah sikit saya nak tolerate ialah apabila dia beria-ia nak balik sana pada hari raya pertama tu juga.  Walaupun balik awal, sempatlah berbuka puasa dan bersahur dengan mak, tapi saya tak sampai hati nak tinggalkan mak sorang-sorang dengan uwan pada petang raya pertama tu.  Bayangkan, lepas hiruk-pikuk dengan cucu-cucu dia, lepas tu senyap satu rumah.  Meleleh air mata beb!

Alhamdulillah, lepas mak kawin dengan abah yang sama tarikh dengan Siti Nurhaliza & Datuk K tu, anak-anak mak pun dah bertambah (pakej all in one ~ suami & anak menanti cucu).   Beban perasaan saya semasa hari raya pun jadi berkurangan, sebab mak tetap sibuk dikunjungi oleh keluarga anak-anak tirinya selepas kami pulang ke Segamat.  Sibuk mak berlarutan melayan tetamu selepas abah dilantik menjawat Datuk Semaharaja Suku Mungkal, datuk-datuk dan cik puan-cik puan pula berkunjung ke rumah.   Saya makin lega, tapi kasihan pula pada mak sebab terpaksa melayan tetamu sorang-sorang.  Pokoknya mak tak sedih sangat bila cucu-cucunya hilang dari pandangan. 

Lagi best, semenjak adik-adik ipar saya bernikah, masing-masing sama-sama plan balik Segamat biasanya pada raya kedua atau ketiga.  Makanya, kalau kami balik petang raya, lum ada sesiapa kat rumah tu melainkan mak abah dan kakak ipar aje.  Ikut adat, datang awal kena balik awal, sebab ikut jadual seterusnya kat Sijangkang pulak.  Jadi, kalau nak beramai-ramai riuh-rendah kat rumah tu, lebih baik balik raya kedua aje.  Itupun tujuan suami saya, nak bergaul-gaul dengan adik-beradiknya dan tengok perangai anak-anak sedara yang kecoh-kecoh.

Sudah jam 11 malam.  Sehingga ketemu lagi.  Secebis kisah Jurnal Naqhuhines.  Ach achh achoMM!




Hantar kad raya ke SRMA Seria

Akhirnya kad raya yang dikirimkan sampai ke penerimaan Cikgu Dayang Lily Rabizah, guru besar Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.  Beliau memaklumkannya semalam di wall saya di FB.

Lily Rabizah Hj Ibrahim Salam, Puan Mazuin... I just received ur SHR card from ur kids... so terharu di atas ingatan the kids... We miss them too... Thank u 4 the lovely card ... Sampaikan salam peluk cium we all to the kids...13 hours ago · · 1 person 

Saya pun rasa terharu uhhuuu ... tarik nafas panjang ... sekolah yang cool di pekan yang cool dengan langit yang biru, dan kenalan yang baik-baik belaka.  :( cedih pulak rasanya.

Catatan pada hari mengepos kad tersebut;

Hari ni hari mengepos kad raya.  Semalam, saya  membantu anak-anak membuat kad raya untuk dihantar kepada cikgu dan kawan-kawan di Seria.  Sebenarnya, idea dari saya, dan saya juga yang lebih-lebih membuatnya, ohh ...  Bukan apa, tiba-tiba baru tersedar dah 11 hari kita berpuasa.  Minggu hadapan sekolah kat sana dah cuti (kot).  Pagi semalam, saya menerima sms daripada Mil, wanita Kadazan yang tinggal sama sebumbung tu.  Dia bertanya khabar dan memberitahu anaknya Steward sudah menyambung persekolahan semula di sekolah lamanya di Limbang.  Kemudian saya tumpang guna hp suami (rate 011 rendah) untuk menaliponnya.  Okey la, hampir 10 minit bercakap baru RM3 sahaja. Dari dialah saya mengetahui sekolah di sana akan bercuti minggu hadapan.

Inilah rupanya kad raya yang dibikin sendiri tu.

nak cepat punya pasal, main gunting aje huruf dari akhbar dan majalah.  Hanessa tanya, corak apa ni?  Abstrak ... sebenarnya hantam keromo aje le, tapi macam menarik gak hehe ...

saya dan Hurilain mereka empat buat pantun untuk ditampal di kad ini.  Hias sikit dengan tampalan love dari beg kertas Hanessa yang dikorbankan sebelum dia balik dari sekolah.  Kalau dia dah balik karang tak dapat nak ambik love tu.  Beg kertas tu pemberian cikgu dia yang diisi dengan teddy bear putih, yang diberikan semasa kami nak ke Brunei tahun lepas.  Kalau simpan je karang buat umpan anai-anai lagi, ohh makcik tak sanggup!!!

semuanya main tampal-tampal aje.  Saya cadangkan Hidayat dan Hanessa salin serangkap pantun dan Hurilain tulis yang selebihnya, hmm ... akhirnya makcik jugak yang tolong sudahkan.  Dah siap!  Akhir sekali kertas A4 yang sudah siap lubang untuk binding ni saya satukan menggunakan tali.  

Haa, inile pantun yang direka tu.  Err amacam, okey ke?

Ke rumah panjang berehat dan makan,
Jangan lupa baca Bismillah;
    Selamat Hari Raya kami ucapkan,
    Maafkan segala silap dan salah.

(* rumah panjang = dewan terbuka untuk pelajar makan semasa waktu rehat)

Namanya Sekolah Rendah Muhammad Alam,
Cikgu Dayang Rabizah guru besarnya;
    Dua purnama sudah meninggalkan Negara Brunei Darussalam,
    Masih ingat cikgu dan kawan semua.

Ke Pantai Lumut memasang pukat,
Ikan dicari tanpa jemu;
    Doa cikgu doa yang berkat,
    Titipkan nama kami dalam doamu.

Pagi Jumaat ke pasar tamu,
Membeli sekilo buah delima;
    Wahai cikgu, terima kasih atas tunjuk ajarmu,
    Akan diingat selama-lama.

(* pasar tamu di Seria setiap hari Jumaat, macam-macam ada)

Laa lupa pulak nak ambik gambar sampul suratnya.  Sampul biasa yang ditampal kertas A4 berwarna merah dan dihias dengan tampalan bunga bersama lebah berwarna kuning.  Ketika akan dipos pagi tadi, sampul itu sudah penuh dengan tampalan bentuk hati besar dan kecil, Hurilain dan Hanessa punya kerja.  Hidayat?  Hurmm ... dia menulis di kad untuk Cikgu Ikhwan dan kawan-kawan di kelas 1 Ba Sekolah Ugama Anak Puteri Rashidah Saadatul Bolkiah.  Tapi apabila diminta menulis rangkap pantun, aduhai ... dia menulisnya seperti menulis karangan, tak ada rangkap.  Taulah saya, hatinya melekat ke pc, main games la tu!  Iya tak ya jugak, dia tengah main games saya minta berhenti dan menulis kad raya hehe ...  Penyudahnya, makcik jugak yang sudahkan ...

Dan pagi tadi sebelum jam 10, beberapa kad sudah diposkan di Mini Post Sijangkang.  Mak oii ...  rupa-rupanya setem untuk pos dalam negeri dah naik sekali ganda menjadi 60 sen, tahun lepas dah naik harga.  Ke luar negara pula RM1, yang ni saya tak pasti tapi rasanya naik gak la tu.  Dan kad raya bikinan sendiri tu kena timbang dan dikenakan setem RM3.70.  Setahun sekali, okey la tu.  Alamat kawan-kawan dalam simpanan pun tak banyak.  Yang ada hanya nombor telefon.  Jadi hantar kepada dua tiga orang kawan-kawan yang ada alamat lengkap, termasuklah kepada KDYM Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Tahun ni kali pertama saya menulis kad raya untuk Baginda Sultan menggunakan nama sendiri.  Tahun-tahun sudah, suami sahaja yang rajin menghantar.  Dan Baginda Sultan pun tak pernah miss membalasnya.  Terima kasih ke bawah Duli Tuanku di atas kesudian membalas :).



Friday, August 19, 2011

Juadah paling simple

Juadah berbuka puasa hari ini teramat sederhana.  Saya cuma memasak nasi dan menggoreng ikan kembung kecil.  Kemudian mencuci daun salad untuk ulaman, bersama hirisan timun bersama celery kegemaran Wonder Pet.  Ada juga beberapa helai pucuk ulam Seribu Nyawa yang saya ambil dari belakang dapur mak mertua di kampung kelmarin. 

Letih benar rasanya.  Pagi tadi kami terlewat bangun sahur buat kali kedua (berturut-turut).  Hanya berlebih lima minit dari azan Subuh.  Dapatlah masing-masing seteguk dua air masak mati yang diminum agak tergesa-gesa.  Pagi semalam saya sempat menjamah seulas kurma.  Pagi tadi langsung tak sempat.  Alahai ... niat sudah ditanamkan untuk qiamullail awal, di 10 malam terakhir Ramadan ini.  Mengajak si anak dara yang susah dibangunkan itu.  Dia nampaknya setuju benar, selepas mendengar kuliah mufti di laptop sambil bermain games.  Besar benar dugaan dan ujian untuk mengikut jalan orang-orang yang ingin mendapatkan malam yang amat istimewa itu, malam al-Qadar. 

Mujurlah cik abang pun selalu berlebih kurang dalam hal makan-minum.  Dia pun tak ada semangat nak masuk ke dapur, kerana setengah hari dia sudah keluar ke Shah Alam atas urusan kerjanya.  Balik jam 5, letih lepak nampaknya.  Ohh alamak, saya dah janji nak hidangkan dia secawan air susu semasa berbuka tadi, tapi dah terlupa sangat.  Sebaliknya saya menyiapkan seteko tinggi susu untuk diri saya sendiri (wow jangan tak caya), yang diperah dengan empat biji limau kasturi.  Teringatkan minuman lassi, tentu sedap walaupun hanya menggunakan susu Everyday aje.  Peram pun tak lama.  Tapi subhanallah, semasa berbuka tadi maaflah ya, saya sorang aje tiga mug yang err ... hampir satu teko la selesai.  Heheh ... Dan dipadankan dengan sedikit mee goreng + kue teow yang cik abang beli di pasar ramadan.  Itu sahaja yang saya jamah.  Ohh ... haus betul, dan sedap sungguh air susu ni!  Eh, tak lupa juga seulas kurma yang lembut dan enak lagi berkah, alhamdulillah. 

Cik abang hanya meminta saya menyiapkan air gula melaka yang agak pekat (tapi dah tercair la, maaf ye :)).  Rupa-rupanya dia mahu minum air soya bersama sirap gula melaka.  Hmm sedap la juga.  Wangi pula tu.  Saya hanya menjamah seteguk dua kerana alahai ... mengah air dah ni.  Huh, mujahadah mujahadah mujahadah!!!  Dan macam biasa, air teh panas mesti ada juga.  Itu pun tak larat nak diminum.  Tapi selesai solat Maghrib tadi, saya minta anak dara masukkan satu mug air teh ke dalam peti ais.  Usai mengaji, saya pun meneguk la air teh yang sejuk tu, aduhai ... nyamannya subhanallah!

Banyak sungguh nikmat yang diberi Allah sehari-hari.  Hingga tak tersebutkan dan tak tersenaraikan segalanya.  Alhamdulillah, syukur kepadaMu ya Allah di atas segala-galanya.  Pimpinlah kami, janganlah biarkan kami.  Kasihanilah kami dan ampuni dosa-dosa kami, ya Allah.  Hanya kepadaMu kami kembali dan berserah diri. 

Saya sudah mula bertadarus beberapa malam sebelum Ramadan menjelma.  Kononnya cepatlah selesai nanti sebelum Ramadan berlalu pergi.  Baca perlahan dan satu atau dua muka surat sahaja.  Waduhh ... hingga hari ini saya lihat masih ada baki setebal satu inci lagi al-Quran kulit hijau pemberian sekolah ugama anak-anak di Brunei itu.  Congak sepintas lalu, macam tak sempat nak habis aje nih!  Beberapa hari ni, saya pun pulunlah membaca beberapa muka surat, dan bila dah surah-surah belakang ni agak pendek-pendek, saya cuba pula menghabiskan satu surah selepas solat Maghrib dan Subuh.  Itulah kemampuan yang ada.  Lepas Isyak, saya surrender.  Semoga di tahun-tahun akan datang, dapatlah saya khatam al-Quran paling tidak sekali di bulan Ramadan ini.  Dah cakap dengan anak dara saya dah, tahun depan kita bertadarus berdua.  Hmm dia angguk setuju.  Alhamdulillah, semoga masih ada rezeki untuk melakukannya pada tahun depan, sambil membaiki lagi bacaan.  Saya berharap Ustaz Aizat dapat membantu mencarikan seseorang yang berkemampuan datang ke rumah mengajar kami membaca al-Quran.  Saya mahu serius dengan al-Quran ~ ia adalah cahaya hati dan jiwa insan.  Dan dapat pula memahaminya melalui tafsiran yang betul dengan berguru, bukan sekadar membaca sendiri dan memahamkan sendiri dari kitab tafsir yang ada.  Bimbang digurui oleh syaitan, nauzubillah.

Di kesempatan yang masih ada.  Ingin mengikut jejak dan fikir Rasulullah SAW.  Sedang masa terus berlalu pergi.  Meninggalkan kita tanpa sisa.  Agar hidup yang sebentar ini tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.  Tiada pula penyesalan hati di hari yang kekal abadi nanti.    Melainkan syukur dan gembira di atas segala limpahan rahmat Illahi, keampunanNya dan kasih sayangNya, syurgaNya dan pertemuan denganNya.  InsyaAllah.




Kad raya! Kad raya!

 Saya mula buat-buat sibuk mengirim kad kat fb.  Sebenarnya dah mula menerima kiriman kad dari kawan-kawan.  Jadi bila dah terima, eloklah dibalas macam kita membalas kad kiriman pos tu juga.  Dan alang-alang balas, saya hantar terus kepada kawan-kawan dalam list.  Tapi mata tak tahan nak menelek dan mengetik satu persatu nama.  Tak hantar semua, yang patut-patut aje.  Lepas tu macam dulu-dulu jugak, dah selesai sekali hantar tak boleh hantar lagi tunggu esok pulak.  Alahai ... buat ponat eden mengetik jo hai! 

Ada yang kata lagu raya dah mula berkumandang di radio.  Ye ke?  Saya belum mendengar lagi.  Kadang-kadang berebut minta anak yang asyik main games kat laptop lama saya tu buka siaran Nur Islam terutama pada jam 7.30 pagi dan 5 petang untuk mendengar Kuliah Mufti Brunei.  Kat Nur Islam belum kedengaran lagu raya pun.  Wah, dalam diam diam dah hampir menjelang hari raya kita ni ya.  Jadi bermakna 10 malam terakhir sudah tiba.  Macamana?  Ada menanam azam untuk bertahajjud dan iktikaf di masjid atau surau?  Kuliah mufti hari ini turut menyentuh tentang 10 malam terakhir Ramadhan serta al-Quran sebagai cahaya penyuluh Ketuhanan kepada hati dan jiwa kita.  Selain daripada itu, berkenaan dengan solat Tahajjud sebagai ubat, pakaian dan penyeri istimewa buat orang-orang yang istiqamah melaksanakannya.  Saya sangat suka mendengar kuliah dari Tuan Mufti Brunei ini.  Ia sangat mengesankan, biarpun kadang-kadang berulang-ulang diperdengarkan.  Kemudian terkadang saya posting petikan dari kuliah itu ke FB untuk diri sendiri dan kawan-kawan.

Hari tu saya bercadang nak menambah lagi Biskut Susu yang dah dibuat tu.  Alhamdulillah, anak-anak macam suka, dah nak habis pun!  Tapi belum lagi dapat membeli bahannya.  Bukan apapun, cuma tepung jagung dan susu pekat manis.  Marjerin atau planta tak pakai banyak, sikit aje masih ada tu.  Hmm ... buat ke tak?  Buat ke tak?  Tak ke buat?  Buat? Tak? Buat? Takkk kot!  Kalau betul-betul tak buat, berangan aje le nak bawak balik kampung.  Nasib baik tak hebah-hebahkan kat sesiapa, heboh sendiri aje kat sini hihihi ...  Tapi mr.H ada menyebut Biskut Suji.  Saya pun suka biskut tu dan ia mudah dibuat.  Cuma beli tepung suji dan minyak sapi.  Pun kaedahnya sama dengan Biskut Susu, gentel-gentel bulat dan bakar.  Tengoklah dulu!  Kalau ada rezeki insyaAllah dapatlah dibuat.  Kalau tak, beli kerepek aje.  Kalau tak pun, lepas cuti raya buat le kot hehehe ...

Err takkan posting kad raya kat FB je kan?  Kat sini nak le juga. 

khat yang cantik.  Gambar profile saya kat fb untuk Ramadan ini :)

cool ~ masjid Shah Alam.  Cantik!

Simple gitu, pun cantik!

Spesel ~ gambar Mekah

Simple tapi cantik gak!

Ada banyak e-kad yang cantik-cantik, tak larat den nak nengok semuo eh!  Ha, semua kad-kad tu khas untuk rakan-rakan bloggers yang telah sudi berkunjung ke sini, dengan ucapan Selamat menyambut kemenangan menundukkan nafsu dalam diri, dan semoga beroleh kegembiraan ketika bertemu Allah Taala di akhirat nanti, ketika menjelangnya Aidil Fitri tak lama lagi.  Juga saya mohon ribuan jutaan kemaafan jika ada ayat-ayat cinta merapu entah apa-apa kekadang makcik main hentam aje dah tua yang terpapar di sini yang tak kena dek hati dan tak menyenangkan mata membacanya.  Sebenarnya selalu juga saya menulis tanpa draf, kata orang putih on the spot aje.  Itu biasanya berlaku macam sekarang ni, bila tak ada apa-apa yang tersimpan dalam kepala.  Kalau tak, pernah saya cerita dulukan, macam-macam perkara yang berputar dalam kepala yang perlu dikeluarkan di sini.  Err bukan apa pun, mungkin banyak sangat idea nak merapu hehehe ... macam bagus je pulak, tak de de.

Eh dah nak pukul 1 pagi ruponyo.  Time to sleep.  Mano cik abang lum balik meeting lagi nih ...  Mohon diri dulu, karang terlewat sahur pulak macam pagi tadi, tersedar lagi 5 minit nak azan Subuh.  Sempat teguk air segelas dan kunyah kurma seulas je.  Alhamdulillah syukur, semoga ada keberkatan dalam sahur yang teramat ringkas itu, insyaAllah. 

Jumpa lagi, wassalam.

Thursday, August 18, 2011

Masak nasi aje

Sibuk upload koleksi gambar-gambar pemandangan di sekitar Seria di http://bruneimakmurindah.blogspot.com untuk tatapan semua.  Baru ni nak menjenguk blog naqhuhines.  Tak ada apa nak ditulis dalam keadaan tergesa-gesa ni, err ... lagi beberapa minit azan menandakan masuknya waktu berbuka puasa bagi kawasan Sijangkang dan yang sewaktu dengannya akan berkumandang di udara.  Semua dah siap atas meja. 

Menariknya hari ni saya masak nasi aje.  Ain masak air, untuk buat air teh.  Itu memang tugas dia setiap  hari.  Lauk-pauk dari dalam peti ais dipanaskan aje.  Malam tadi ada majlis berbuka puasa untuk taman kediaman kami ni.  Macam selalu, banyak hidangan daripada tetamu.  Makanya kami yang tolong membungkus ni membawa balik apa yang patut, untuk memudahkan tuan rumah berkemas.  Dan itulah hidangan berbuka puasa keluarga hari ini.  Ada lauk rendang ayam yang sedap rasanya.  Dan ... macam-macam lagilah.

Selamat berbuka puasa kepada anda juga.  Saya cadang nak ambil lauk dan sayur aje.  Boleh tak agak-agaknya?? Err, ambil nasi sesudu dua okey la jugak kot.  Ishhh, aku mesti kuruskan kurangkan berat badan untuk mencapai berat ideal.  Mesti mesti mesti insyaallah.

Jom ke dapur!!!

Wednesday, August 17, 2011

Balik Kelang tengah malam

As salam dan apa khabar?  Dah 17 hari kita mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia lagi penuh berkah ini.  Ada yang terrrr...???  Kalau ada, janganlah buat-buat lupa pulak, kenalah diganti tu! Dan usah dilewat-lewatkan, bimbang terlupa. 

Keinginan menulis agak hambar.   Mungkin kerana kepenatan yang masih belum hilang.  Kelmarin petang Selasa, ketika menunggu waktu berbuka puasa, saya menerima panggilan daripada adik ipar (Izun) mengabarkan berita duka.  Sepupu sebelah suami saya telah mendapat kemalangan dan meninggal dunia.  Beliau, Mazlina binti Rahmat, dalam perjalanan membeli juadah berbuka puasa dan telah terbabas menyebabkan kereta  yang dipandunya terbalik.  Baru berusia 38 tahun dan beliau meninggalkan tiga cahayamata, ketiga-tiganya perempuan.  Yang sulung, sepatutnya menduduki peperiksaan percubaan PMR pada waktu ini.  Yang kedua, 13 tahun dan yang bongsu baru 9 tahun. 

Memang mengejutkan semua ahli keluarga.  Dan yang paling terasa selain ahli keluarga arwah, adalah kakak ipar saya yang sama-sama bekerja di Giant Segamat.  Namun, syukurlah pemergian arwah di dalam bulan yang baik, dalam keadaan berpuasa pula (belum sempat berbuka puasa, kemalangan berlaku sekitar jam 5 lebih), semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama golongan orang-orang soleh.  Ameen.  Ramai yang datang berziarah, jiran dan saudara-mara jauh dan dekat.  Berkebetulan ayah arwah adalah ketua kampung Kg. Paya Lebar.  Semoga berkat doa sekalian yang hadir dan juga yang tidak dapat hadir, semoga doa-doa yang dipanjatkan untuk arwah diterima Allah.

Saya dan suami mengambil kesempatan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama-sama mak dan abah.  Perancangan awal, kami akan pulang beberapa hari sebelum hari raya untuk berbuka puasa di sana nanti.  Namun dengan situasi yang tidak diduga seperti ini, dapatlah kami bersama-sama mak abah berbuka puasa lebih awal.  Bagi meringankan kesedihan keluarga bapa saudara (Pak Usu Rahmat) yang mendapat musibah, suami saya membuat keputusan membantu menyiapkan hidangan nasi ayam untuk jemaah yang bertahlil berbuka puasa di surau.  Pihak Giant Segamat telah berkesudian menyedekahkan 10 ekor ayam untuk dimasak.  Alhamdulillah, menjelang jam 6.30 pm masakan siap dan terus ambil oleh keluarga Pak Usu untuk dihidangkan kepada jemaah. 

Terima kasih kepada Mar yang membantu hingga selesai (sepenuh masa di dapur).  Sharifah pun membantu juga, bila anaknya Hidayah tak meragam.  Ngah pun turun tangan.  Mak tolong kopek bawang.  Anak dara saya, Ain pun ada juga.  Dan ketua memasak tak lain orang biasa, Chef M :).

Selesai semuanya, jam 9 malam kami bergerak balik ke Kelang melalui pekan Tangkak dan masuk ke Nilai.  Di Tangkak, sayaa menjenguk semula memori lama zaman remaja dulu tatkala memandang rumah arwah abah, yang kini disewa dua pelajar lelaki.  Dapat pula menziarahi jiran selang satu pintu dengan rumah arwah abah, Kak Siti dan Abang Yusof.  Rasa-rasanya, mula-mula tu Kak Siti tak camkan saya, err ada la perubahan sikit.  Saya agak-agak, dia lebih camkan suami saya.  Dah lama betul tak jumpa, umur Hidayat kot, sembilan tahun.  Dia dah bermenantu seorang.  Dua lagi anaknya masih belajar di IPT. 

Bergerak semula memasuki highway Tangkak jam 11.30 malam.  Singgah dua kali di dua R&R kerana suami terlampau mengantuk.  Akhirnya kami tiba di rumah jam 4 pagi.  Sempat juga singgah membeli dua bungkus nasi goreng yang dimakan bersama mee goreng yang diangkut dari rumah tadi.  Sebungkus harganya RM2.50, dibeli oleh Ajib dan abah di pasar Ramadhan, tapi kalau ditengok kuantitinya,  mau RM3 /RM4 kalau di Sijangkang ni.  Jualan di pasar Batu Anam masih murah dan hmm ... sedap pula.  Sampai di rumah, teruslah kami bersahur, alhamdulillah.

Rasanya tak ada apa yang nak ditulis lagi.  Macam menulis laporan la pulak.  Puasa macam ni, kurang teruja nak menulis.  Tak ada terbayang dalam kepala apa yang nak ditulis.  Hmm agak-agaknya kad raya ke Sekolah Rendah Muhammad Alam dah sampai kot.  Nanti nak bertanya guru besar kat FB.   Agak sibuk upload gambar di FB, untuk tatapan kawan-kawan berkenaan.  Sehingga ketemu lagi, wassalam. 




Wednesday, August 10, 2011

Buat biskut raya

Dah 10 hari berpuasa, alhamdulillah.  Ahad kelmarin saya search resepi biskut paling mudah dalam dunia, dan terjumpa resepi Biskut Susu di sini.  Memang mudah je bahannya, tak yah nak timbang-timbang atau sukat-sukat.  Agak-agak aje lee ... Banyak pulak testimoni.  Jadi lepas buat ulangkaji  di situ, hari ni tadi lepas lega-lega sikit menjelang ke tengahari, saya pun memulakan operasi.  Kalau menjadi, insyaallah biskut ni bakal menjadi kepala biskut raya tahun ni.  Mula la bercita-cita nak buat lebih untuk rumah mak, rumah mak Batu Kikir dan rumah mak Leha (mertua).  Juga nak buat untuk Naqib bawa balik ke madrasah.  InsyaAllahhhhhhh ... semoga Allah permudahkan, ameen.

mula-mula adun susu pekat dengan tepung jagung

mula menjadi doh

hmm ... okeh la, macam jadi je, yakin yakin yakin insyaAllah

pilih warna biru, sebab tengok biskut testimoni biru cantik.  mula-mula nak pilih hijau epal tapi tak jadi ambik.

mula menggentel.  Bab paling digemari Hanessa, macam main playdoh hehe ...


susun dalam dulang, saiz dan jarak satu sama lain mesti sama.  Kita akan bakar ia dalam mikrowave.  Semak lagi kaedah membakar.  Ohh sonang jo, pilih menu nombor 13 lepas tu picit kat start.  20 minit je.  Masa ni baru teringat dah lupa nak letak baking powder ...   tawakkal Allallah.

dah masak!  Besar jadinya. Ada pulak yang terselit macam tu ... sapa punya kojo ni?

Bila tengok menjadi, timbul rasa yakin nak habiskan baki tepung jagung tu.  Petang tadi saya adun lagi kali kedua.  Kali ni, bahagian berwarna di ambil sedikit sahaja (suku) berbanding setengah bahagian kali pertama tadi.  Pewarna itu direnjis-renjis sahaja menjadi warna batik dan nampak lebih cantik.  Sekali pandang macam bentuk bumi kita kalau dilihat dari satelit hahaha ...  Kali ni saya tak lupa letakkan setengah sudu baking powder macam dalam resepi tu.  Dan digentel comel-comel aje. 

Hmm rasa-rasanya bolehlah kalau nak jadikan biskut ni biskut raya tahun ni ... dan bolehlah bawak balik ke rumah mertua sebagai ole-ole hihihi ... insyaAllah.  Buat sementara ni, nak fokus buat biskut mudah ni aje walaupun hasrat di hati nak buat memacam lagi biskut mudah lain.  Ohh sukanya hati sebab memang mikrowave tu boleh gak buat bakar biskut.  Jadi tak le ralat sangat cermin oven pecah :)

Oh ya terima kasih kepada pemilik blog myresepi.com.  Saya memang mencari resepi mudah dan saya sukakan resepi ini.  Hurilain dan Hanessa pun enjoy membantu sama.

Catatan Jun 2011

Abah Naqhuhines - dah hantar surat letak jawatan.
Naqib - beritahu hanya mampu hafaz satu setengah muka mushaf sahaja sehari. Alhamdulillah.
Hurilain - sudah isi borang untuk berhenti sekolah.
Hidayat - sempat bertangisan dan ditangisi dek kekawan kamceng bila pecah berita nak balik Malaysia.
Hanessa - tak ada effect sangat, macam biasa aje. Tak sabar nak balik kot.
Saya - pening tapi bersyukur kerana sifu terus sudi membimbing.

Kami akan pulang ke Malaysia pada 4 Julai 2011 ini. Datang pertengahan tahun, balik pun pertengahan tahun. Hmm ... ramai la yang terpinga. Kami pun sama, sebenarnya. Apa-apa pun, semua Allah jua yang merencana. Kami menurut kesudahanNYA. Semoga semua selamat ke akhirnya, insyaAllah, ameen.

Monday, August 8, 2011

Membersihkan kabinet buku

Apa khabar?  Macamana puasa kita hari ni?  Mudah-mudahan diterima Allah, ameen. Hari ini, bermakna dah lapan hari kita menjalani ibadah berpuasa.  Alhamdulillah, saya belum lagi meluangkan masa ke pasar Ramadhan berhampiran.  Hanya suami dan anak-anak sahaja.  Itupun bukan beli apa sangat, hanya air (air jugak tu! dah pesan dah ... hmmmm) atau mee goreng dan sedikit kuih manis.  Hidangan kami sederhana macam selalu, ada lauk dan sayur.  Cuma semalam agak sedap dari biasa, suami yang diminta Haji Hamid membantu melapah daging lembu, telah memasak LAMPAP (err betul ke perkataan ni, tak pasti pulak, tolong betulkan sekiranya salah) daging.  Ia menggunakan santan yang tidak perlu pekat, serai, kunyit dan cili (semua ni bahan asas lemak cili api).  Selain itu dia juga menambah jintan manis, buah keras, lengkuas, dan beberapa bahan lain juga.  Rasanya memang sedap sangat-sangat.  Masakan LAMPAP memang sangat sering digunakan untuk memasak daging panas, iaitu daging sembelihan yang belum kena air batu (belum masuk peti ais la tu).  Saya yang mencadangkan masakan tu (hehe ... bagi cadangan nombor 1).  Kalau di kampung saya, memang selalu masakan ini dihidangkan terutama semasa kenduri-kendara.  Memang sedappppppp!!!  Tapi tak pasti sangat pula sama ada bahan yang ditambah oleh suami saya (yang kreatif dalam bab masak-memasak) ni memang ada dalam masakan yang sama di kampung.  Tak mengapalah, hingga sahur tadi, tinggal semangkuk kecil sahaja untuk orang yang tak berpuasa (ada dua orang yang tak puasa ...).


Cuaca kat sini kadang-kadang redup berangin, kadang-kadang panas garing.  Ketika ini saya sedang mengambil sedikit masa untuk mencoret di sini.  Nak cover entri yang lepas tu sebenarnya.  Kebiasaannya, saya selalu merasakan apa yang saya catatkan di sini sebenarnya kurang best, dan saya mahu tulis yang lain pula.  Itulah ... makanya saya jadi rajin menulis.

Saya sedang mengemaskan kabinet buku (dibeli siap) sebenarnya.  Semasa mencari manual mikrowave tempohari (nak buat biskut tapi oven yang dibawa balik dari Brunei telah pecah kacanya, sungguh mendukacitakan.  Jadi saya nak cari manual mikrowave ni untuk ulangkaji cara membakar biskut dan kek.  Jenis yang dibelikan oleh suami saya ni boleh mengril juga) saya lihat ada sarang anai-anai di sepanjang tepi tingkat kedua kabinet ini, yang berisi buku-buku dan fail-fail lama.  Aduhhhh ... mujurlah bila diperhatikan dengan teliti, serangga itu telah mati.  Tetapi bahagian tepi beberapa buku di situ telah rosak.  Jadi, saya memunggah semua buku di situ dan memindahkan ia ke kabinet buku pasang siap (yang juga telah sempat diserang anai-anai tetapi tidak banyak).  Manakala fail-fail lama itu pula saya semak semula dan asingkan mana-mana bahan lama yang sudah tidak diperlukan lagi seperti hal-hal berkaitan nurseri kanak-kanak yang saya kendalikan dulu. Macam-macam pula yang saya jumpa.  Mana-mana yang dirasakan penting saya ketepikan untuk dikumpulkan bersama dokumen-dokumen peribadi di dalam fail khas.

buku nota@personal diary@ untuk mencoret semasa di ITM Melaka dulu



bila bukak!!! 
hanya ini yang dapat dilihat ~ catatan dari ustaz, yang lain dah melekat ngeri nak dibuka
jangan tak caya, fail sekolah cik abang tahun 1987 pun ada lagi!!!  Dia musykil je kalau saya dah mengemas hehe ...

tak tau la anak yang mana punya masterpiece nih!  Rasa-rasanya Hanessa ...  dia suka melukis orang.
bila tengok anak kunci replika ni, sakit hati je sebab ... hampeh la kalau dapat!!!  punya la rajin follow masa tu.  kembang hati dah dapat anak kunci kereta tapi rupa-rupanya ... rasa dipergunakan je.

ni memang lukisan Hanessa tahun lepas, terjumpa celah fail

Hari ini juga saya telah menerima kiriman terakhir yang dipesan secara online, iaitu tiga helai tudung Akel bidang 60.  Wah! memang betul-betul besar untuk saya.  Okeylah, ia akan menjadi tudung raya untuk tahun ini.  Tapi rasa-rasanya saya akan menerima sedikit komen daripada mak hehe ...  Khamis kelmarin, pesanan tiga helai abaya telah diterima.  Hanessa teramatlah gembira dan seronok mencuba abaya ungunya tu.  Semalam semasa kami ke madrasah Naqib di Bukit Changgang, dia awal-awal pagi dah siap memakai abayanya.  Akhirnya  kami sampai ke madrasah sekitar jam 6.30 petang, jadi di antara waktu itu terpaksalah dia membuka abaya dan menyarung baju lain.  Abaya saya dan Hurilain terpaksa dikerat sedikit bahagian bawahnya kerana terlalu labuh.  Manakala lengan abaya saya juga terlalu panjang dan perlu dipendekkan sedikit.  Saya meminta bantuan jiran selang beberapa buah rumah untuk membaikinya, walaupun dia sudah teramat sibuk membuat baju tempahan.  Pah, minta maaf sangat-sangat ye sebab menganggu tugas awak.  Entah mengapa, hati bagai dikait-kait untuk ke rumah awak pulak berlainan dari kebiasaan ke kedai sahaja.  Terima kasih Pah ...

Rasanya, Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang paling sederhana buat kami sekeluarga.  Dan memang itulah yang diharapkan sebenarnya.  Elakkan pembaziran, semoga beroleh berkat dengan makanan yang dimasak sendiri.

Sudah azan Asar.  Sebentar lagi saya perlu mengambil Hidayat dari sekolah (bulan puasa dia balik setengah jam awal).  Selepas itu kami akan solat berjemaah insyaallah.  Sehingga ketemu lagi. 

Thursday, August 4, 2011

Terima kiriman

Belum pernah membeli pakaian secara online.  Semasa di Brunei, saya hanya pernah membeli produk kesihatan yang sampai sebulan kemudian.  Hehe ... banyak pulak songeh yang timbul waktu itu, melibatkan pihak pos.  Alhamdulillah, akhirnya sampai juga.

Kali ini saya ingin mencuba membeli tudung dan abaya pula.  Keinginan yang sudah membara dalam diam semenjak di sana lagi, apabila saya ditag oleh penjual-penjual pakaian muslimah di FB.  Sangat cantik dan menggoda!  Itulah dia.  Kemudahannya, saya tak perlu mengajak suami ke kedai pakaian, yang dia sangat-sangat ingin mengelakkannya hahaha ...  Fobia la tu!  Saya tak perlu habiskan masa membelek-belek sampai suami naik rimas dan Hanesa jadi lapar.  Sebenarnya tak le teruk macam tu.  Saya jenis grab at the first sight.  Kalau dah suka, sekali pandang saya perkenan.  Kalau tak, tak payah belek-belek memang tak jadi ambil insyaAllah.  Kategori cerewet jugak makcik ni dik oii ...  Yang jadi masalahnya, yang cantik tu selalu over the budget hehehe ...  jadi, kita akan berpindah ke kedai lain pulak.

Tapi di FB, beleklah sepuas hati dan cari ukuran yang sepadan, pastikan ia belum sold out.  Info je cik adik yang berkenaan, pasti dilayan dengan baik.  Lepas tu pandai-pandailah menjawab kalau abang tanya bla bla bla ...

Tadi kiriman pertama sudah sampai.  Dua glove warna beige dan sepasang tudung bersama niqab berwarna pink untuk Hurilain.  Dia sukakan merah jambu, dan ada dua pilihan yang tinggal iaitu pink dan purple.  Jadi saya belikan dia warna pink.  Saya tak beli niqab untuk diri sendiri kerana sudah ada sehelai berwarna hitam pemberian Kak Hawa, semasa mahu pulang dari Brunei tempohari.  Glove itu penting semasa hari raya nanti, kerana kemungkinan untuk harus menyambut huluran salam lelaki di luar senarai muhrim (saudara-mara yang dah lama tak jumpa, dengan gembira bertemu lagi, akan menyuakan huluran tangan untuk bersalaman) adalah tinggi.  Saya masih amat lemah dalam bab ini.  Ia berlaku spontan dan selepas itu saya akan jadi sangat menyesal.  Jadi saya akan menyarung glove ini, juga Hurilain.  Tambahan pula sekarang ni kalau nak bergerak dari rumah, saya cuba menjaga wuduk.  Glove ini dapat sedikit sebanyak membantu saya tidak bersentuhan dengan cik abang di sebelah.  Insyaallah.

Hurilain sudah mencuba tudung yang betul-betul besar itu dan niqabnya.  Hmm okey.  Tetapi dia tidak akan menggunakan warna ini apabila sudah masuk madrasah nanti.  Pelajar akan menggunakan purdah hitam tanpa sebarang hiasan manik atau sulaman.  Mungkin saya pula akan menggunakannya.  Ohh saya sangat ingin memakai niqab tetapi kelemahan iman ini membuatkan saya menunggu-nunggu turning point di mana-mana.  Ada, tetapi untuk sampai ke tarikh itu terlalu lama rasanya.  Sementara itu, biarlah saya di dalam rumah sahaja.  Semoga Allah memelihara kami dan muslimah semua dari segala fitnah akhir zaman.  Warna hitam adalah warna sunnah, dan pakaian purdah adalah pakaian ister-isteri Rasulullah Shalallahu alaihi wasallam.  Tak mahukah kita mencontohi wanita-wanita Ummul Mukminin ini?

Ya Allah, bantulah kami, wanita-wanita akhir zaman ini mengikut jalan yang pernah ditempuhi oleh para Ummul Mukminin itu.  Muliakanlah kami dan selamatkanlah kami dari segala musibah, dan selamatkanlah kami dari seksaan api nerakaMu yang amat mengerikan itu.  Ameen.

Kini saya sedang menunggu kiriman untuk tiga helai tudung bidang 60 yang sudah dipesan di FB, juga tiga helai abaya hitam untuk kami tiga beranak (saya, Hurilain dan Hanessa - warna purple sebab warna hitam dah habis stok).  Kami akan memakai abaya untuk hari raya ini.  InsyaAllah abaya akan menjadi pakaian rasmi kami mulai tahun ini.  Semoga Hanessa yang sangat teringin memiliki abaya akan tercapai hasratnya.  Ini semua adalah langkah-langkah awal ke arah memakai niqab tak lama lagi, juga dalam usaha meninggalkan amalan tabarruj dalam penampilan dengan pakaian berwarna-warni yang terang dan menarik mata memandang.  Kata wanita-wanita yang sudah lama berabaya dan berpurdah, tanpa warna pelbagai pun (hitam sahaja) masih boleh menampilkan ciri-ciri yang lebih bergaya, kemas, elegan dan yang lebih utama adalah memenuhi syarat-syarat menutup aurat.  

Hitam itu menawan.

Ya Allah, pimpinlah kami ke arah jalan yang Engkau redhai.  Ameen.

Sehingga ketemu lagi.  Terima kasih kerana sudi berkunjung.  Saya belum berkesempatan blogwalking.  Ohh nak repair Sakinah bab dua ni.  Wassalam.

Nak tolong cik abang masak mee hailam.

Wednesday, August 3, 2011

Orang dapur

Biasa ... kalau tak keluar tak ada cerita.  Tapi cara gaya hidup terkini saya adalah lebih 'berkurung' dalam rumah sahaja.  Keluar hanya untuk mengambil anak di sekolah.  Maka tak ada input untuk dikongsikan dari sekitar.

Hari ini saya mengambil alih peranan di dapur.  Orang dapur ... dua hari tugas di'rampas' oleh suami saya yang berkobar-kobar menyiapkan hidangan berbuka puasa.  Hari pertama dengan menu mee kari, dan semalam dengan menu nasi ayam.  Hari ini, saya hanya bakar ikan cencaru enam ekor.  Tiga ekor hanya digaram-kunyitkan, dan tiga ekor lagi disumbat dengan inti kelapa berserai lalu dibungkus dengan aluminium foil.  Hurilain suka sayur kangkung, jadi tadi sekembali dari Bukit Tinggi kerana urusan ke BSN dan MBB, kami singgah di pasar Pandamaran (kali kedua ~ atas rekomen jiran kerana murah dan segar) untuk membeli ikan dan sayur-sayuran termasuk dua ikat kangkung.  Ia digoreng belacan, dan rasanya amat nyamannnn ...  Suami yang pantang berjumpa petai jering, telah membeli sedikit jering muda.  Haa, itulah antara menu berbuka puasa kami petang ini.  Sederhana dan semoga diberkati Allah.

Itupun dah penuh meja.  Ketika menjemput Hidayat dari sekolah (bulan puasa ni dia dihantar dan dijemput, tak naik basikal), Hanessa membeli air batu perisa oren.  Menjelang senja, suami 'terbeli' pula mee goreng.  Kemudian dia sekali lagi 'terbeli' roti sardin (permintaan si kecil juga) dan kuih wadey di gerai Wak Eton.   Kuih-muih Wak Eton comel-comel dan berharga 20sen satu.  Kata Hanessa, roti sardin Wak Eton sedap.  Jadi, beli lagi!  Nah, dengan tambahan sebegini, meja menjadi sarat.  Ada juga semangkuk kuah asam untuk cicah ikan bakar, sepiring sambal katok yang dibikin suami kelmarin untuk stok seminggu dan sepiring mee goreng itu.  Kuih Wak Eton terselit di celah-celah pinggan dan mangkuk, di dalam plastik sahaja.  Air otomatik menjadi tiga jenis ~ air teh panas, air tebu (beli semalam, beku di freezer) dan air oren si adik.  Saya punya ialah air Anelene yang sudah dingin dari peti ais. 

Demikianlah.  Dalam pada mahu bersikap sederhana, masih terasa nikmat rezeki melimpah di bumi Allah ini.  Alhamdulillah.  Esok, suami mencadangkan kami berbuka dengan segelas air dan tamar, lalu menunaikan solat, macam yang diamalkan oleh bapanya, Haji Mat Arbak.  Itulah juga cadangan dan hasrat saya di setiap kali Ramadan.  Tetapi sentiasa tertangguh kerana kasihan dengan anak-anak yang berpuasa.  Namun sebenarnya, andai dijadikan kebiasaan, ia tidak menjadi masalah.  Sekiranya kita berbuka puasa di surau atau masjid, demikian juga caranya.  Usai solat, barulah jemaah akan menikmati hidangan yang ada.  Ada masalah?  Tak derrrr ... boleh je pulak!

Melihat awan di langit, malam tadi bulan sedang tersenyum.  Cantik manis sekali.  Lalu terpandang-pandang awan gemawan yang indah ragam di langit Brunei.  Hurilain masih berhubung dengan rakan-rakan sekolahnya melalui FB, sehingga dia akan pasti bersekolah di mana selepas Syawal nanti.  Mohon doa semua untuk anak gadis kami, semoga dia dapat menyambung pembelajaran di madrasah Bukit Naga untuk sesi baru pada September 2011 ini.  Semoga dia akan menjadi antara bintang-bintang yang bercahaya di langit ilmu satu masa nanti.  InsyaAllah.  Dan semoga tonsilnya yang bengkak semakin surut dan tidak berulang lagi sampai bila-bila.  Pertemuan kali kedua dengan pegawai perubatan klinik Sijangkang  mengesahkan dia tidak perlu dibedah (walaupun Hurilain mahu membuang tonsilnya itu).  Semoga itu lebih baik untuk dia.  Sudah beberapa kali pembedahan dibatalkan.   Dia hanya diberi antibiotik dan paracetamol.  Kasihan kepada dia.  InsyaAllah kami akan bantu dia dengan perubatan produk Muslim, khususnya Air Zam Zam yang memang tak dinafikan peranan pengubatannya.  Semoga dia sembuh sepenuhnya.  InsyaAllah.

Okeylah, setakat ini dulu.  Tak bercadang pun nak update blog.  Hati bagai digaru-garu untuk kembali membaiki dan menyambung kisah Sakinah.  Cuti ihsan yang diberikan oleh Sifu sudah tamat.  Saya perlu meneruskan yang tergendala dua bulan lepas.  Sementelah Sifu sudah 'mencuit' dan menegur saya di FB hehe ...  Sayang sifu!

Jumpa lagi, salam manis. 



Monday, August 1, 2011

Selamat berpuasa

Salam Ramadan Kareem.
Alhamdulillah, rakyat Malaysia mula berpuasa hari ini.  Kami menerima beberapa sms dari sahabat-handai di Brunei Darussalam, mengucapkan selamat berpuasa.  Kami masih terkenang-kenangkan suasana di sana, dan mereka juga masih terpandang-pandangkan kami bersama.  Negara Zikir itu akan mula berpuasa esok.  Hari ini anak-anak di sana masih bersekolah seperti biasa.  Menariknya, sekolah ugama akan dipendekkan sesi pembelajarannya sehingga jam 2 sahaja.

Hari ini kami akan berbuka puasa dengan hidangan mee kari bikinan suami saya.  Semasa masih duduk-duduk atas sejadah usai solat Zuhor tadi, kami berbincang-bincang sebentar.  Saya akan siapkan susu kegemaran Hidayat untuk berbuka nanti.  Susu putih Eveready itu akan disejukkan di dalam peti ais.  Air batu yang dijual di pasar Ramadan tidak digalakkan membelinya.  Begitu juga dengan makanan. Mahu hidangan sihat di meja, membeli makanan juga tidak digalakkan.  Satu atau dua kuih atau murtabak, cukuplah tu!  Hanya satu lauk dan sejenis sayur, ulam dan minuman. 

Sebenarnya terlalu besar keistimewaan Ramadan.  Ia bulan pengampunan dosa dan pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya setelah dihias seindah-indahnya.  Semoga ibadah kita pada Ramadan yang baru ini akan lebih baik dari Ramadan yang lepas.  Berpuasa pula hanyalah pertukaran waktu makan sahaja.  Kita masih makan seperti biasa. Jadi tidak perlulah melampau sangat menyediakan hidangan semasa berbuka.  Inilah azam kami sekeluarga untuk Ramadan kali ini. Tahun-tahun yang lepas, ia tidak berjaya.  Naqib akan membawa adik-adiknya membeli sesuatu.  Kalau dihulurkan RM5, tak cukup.  RM 10 pasti habis.  Saya pun begitu.  Terkadang hampir RM50.  Air soya pasti akan dibeli, yang sejuk dan yang panas.  Nampak itu nampak ini, grrr ... semuanya nak dibeli juga.  Sampai sakit hujung jari membimbit makanan kembali ke kereta.

Semasa di Seria, jualan pasar Ramadan sangat sederhana.  Jenis juadah tidak terlalu banyak.  Tetapi kalau di kawasan Bandar Seri Begawan adalah sebaliknya.  Saya dimaklumkan, ramai juga peniaga orang Malaysia yang menjual makanan, antaranya nasi lemak bersama pelbagai lauk-pauk dan rendang yang betul-betul mengikut 'tekak' orang kita.

Melihatkan kesederhanaan di Seria, kami terikut sama semasa menyiapkan juadah berbuka. Cuma kekadang kasihan melihat Hurilain dan Hidayat yang keletihan berpuasa, mereka diberi pilihan untuk membeli kuih kegemaran yang dimahu.  Hanessa, hmm ... hanya berpuasa beberapa jam sahaja, tak perlu dipelawa dia akan memilih sendiri.  Hampir semua makanan berharga $1.  Mudah mengira dan mudah pula membayar. Kuih tiga ketul $1.  (Di Batu Kikir, kuih satu 45sen.  Di Sijangkang pun sama.  Tapi ada satu dua tempat yang masih menjual kuih harga lama).  Cakoi Brunei di'kahwin'kan dengan planta dan kaya, dimakan panas-panas, enak dong!  Pulut panggang inti daging Hajah Jaharah yang selalu kami beli di kedai JE, Lumut sangat lembut dan sedap.  Hampir semua makanan berharga $1.  Mudah mengira dan mudah membayar. 

Akhir kata, semoga kita semua akan tabah menjalani ibadah menahan lapar dan dahaga ini, dan semoga beroleh pahala serta kegembiraan yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa taala untuk orang-orang yang berpuasa; iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu denganNya nanti, insyaAllah. 

Eh, err dah nak berbuka rupanya.  Jom kita siapkan meja makan.  Nak rasa mee kari?  Meh la sini ...

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing