Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, July 28, 2011

Ya Badrotim - BEST



Pagi yang agak mendebarkan

As salam.
Pagi yang agak mendebarkan buat saya.
Pertamanya, saya disuruh membawa motor menghantar Hanessa ke sekolah.  Saya agak fobia dengan kenderaan dua tayar ini (melainkan basikal).  Kurang yakin mengawalnya, namun dalam keadaan terdesak sebegini, hmm ... saya bertawakkal kepada Allah.  Alhamdulillah, sampai juga ke sekolah.  Saya pernah hampir terjun ke dalam longkang besar satu ketika dulu, kerana teruja hingga motor melompat ke hadapan.  Pernah juga hampir melanggar mak saya.  Itu semua ketika berumur belasan tahun.  Semangat selalu teruja dan berkobar-kobar.  Kata orang tua-tua, usia gilan-gilan.  Anda tau gilan-gilan?  Saya cari di Pusat Rujukan Persuratan untuk makna yang tepat, tak ada perkataan ini di situ.  Sefaham saya, ia hampir seperti terejal, gila-gila dan kak nam.  Itu dulu.  Sekarang insyaAllah semakin waras dan matang.

Pasal motor.  Saya selalu terbayangkan motor melompat lagi.  Atau saya bergesel dengan motor lain yang dipandu oleh budak-budak muda yang memandu laju.  Atau motor menimpa betis saya, lalu terkena di ekzosnya aduhh ...  Betis saya pernah melecur terkena ekzos motor bapa ketika kanak-kanak dulu, kerana tak menyedari ekzos masih panas.  Kenang-kenangan ini selalu menghantui saya.  Fikir saya, kereta lebih seimbang kerana tayarnya empat.  Tapi tak mengapalah, alhamdulillah saya sudah selamat balik dan sekarang sedang menulis di blog lalala ...

(Tapi hati teringin pulak pada motor comel jenis skuter tu, yang picit je hidup.  Selesa aje memandang gadis-gadis dan wanita menunggangnya, kaki letak depan terselindung.  Saya nak motor tu boleh?)


Di sekolah, saya mencari Cikgu Anuar, guru kelas Hidayat.  Saya terserempak dengan guru disiplin, Cikgu Laili, ketika saya mencari Cikgu Anuar di luar kantin guru.  Cikgu Laili sangat prihatin dan dia nampaknya tidak mengenali saya sama sekali.  Dah lama tak jumpa ... saya pun dah bertambah dewasa hahaha ...   Walhal beliau bersama Penolong Guru Besar pernah berbicara dengan kami sekeluarga di ruang tamu rumah pada 2008 dulu, berkenaan anak kami Muhammad Naqib.  Ia satu kenangan yang sangat bererti dan memberi kesan kepada perjalanan hidup anak sulung kami.  Semoga Muhammad Naqib berjaya dan berbahagia dalam kehidupannya, dunia dan akhirat.  Ameen.

Dan akhirnya kelihatan kelibat Cikgu Anuar yang sedang menatang printer menuju pejabat.   Kami berbicara panjang di meja batu di luar pejabat.  Luwes dan santai.  Panjang bicara cikgu muda yang kurus tinggi ini.  Segak, bicara yang bermaklumat dan teratur kata-katanya.  Sekiranya suami saya turut serta, mungkin perbualan menjadi lebih rancak dan hangat.   Menyentuh tentang Hidayat, tugas dan bebanan guru, pertukaran dasar kementerian, suasana semasa dan sedikit tentang Brunei Darussalam.  Akhir sekali saya meminta nombor telefon beliau untuk sebarang urusan di masa akan datang.  Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan kerjasama Cikgu Anuar.  Inilah yang saya dan ibu bapa lain harapkan.  Perhubungan yang baik untuk kebaikan semua pihak, khususnya untuk anak yang sedang berada di bangku sekolah.  Menjadi kebiasaan saya meminta nombor telefon guru-guru anak-anak saya.

Selesai bicara dan berbalas salam, saya menuju ke pagar sekolah dengan dada yang lapang.  Debaran saya semakin surut.  Makcik steady je ...  Di pertengahan jalan saya melencong ke kelas Hidayat, kelas 3 Efisiyen.  Mengah juga mendaki tangga.  Saya minta izin pada guru berbaju batik biru laut yang sedang duduk di meja guru untuk berjumpa Hidayat.  Saya khabarkan kepadanya, bahawa dia tidak memerlukan buku Workbook seperti yang sudah saya bincangkan dengan Cikgu Anuar tadi.  Serta-merta wajah anak saya menjadi muram.  Dia risau!  Ya, saya tahu dia sangat bimbang dengan guru Matematiknya, Cikgu Y, setelah kena tampar semalam.

"Sekarang cikgu siapa di dalam?" tanya saya.
"Itulah Cikgu Y."

Saya sembunyikan dak duk dak duk di dada sedalam-dalamnya.  Kelihatan guru hitam manis ini sangat sibuk dengan kerjanya, menanda buku murid.  Saya kurang diperuahkan.  Saya bercakap sambil dia terus menanda buku, sesekali mendongak kepada saya, dan memberi arahan kepada murid yang duduk berkampil meja dengan meja guru.

Cuba menyusun kata-kata dengan sebaik mungkin.  Saya tanyakan tentang keperluan workbook untuk Hidayat, walaupun tadi sudah berbincang dengan Cikgu Anuar yang lebih luwes.  Wajar bertanya, fikir saya, kerana berpeluang bertemu dengan guru Matematik ini.  Saya tidak mahu Hidayat berasa ragu dan risau datang ke sekolah.

Dan dengan rasa serba-salah - bimbang beroleh nilaian yang negatif - yang kelak boleh memberi kesan kepada anak saya - seperti yang kadang-kadang saya dengar dari ibu-ibu - bahawa anak yang ibu bapanya banyak komplen - di mesyuarat PIBG atau kepada guru - membuatkan guru 'tawar hati' terhadap si murid - saya mengambil risiko - buat pertama kali dalalam hidup.

Saya terus berbicara sambil berdiri rapat ke tepi meja, sehingga saya dapat melihat senyuman tawar di bibir cikgu itu.  Dia mula 'berminat' untuk mendengar dengan seadanya.  Dia masih sibuk, saya faham. Benar, dia ada menampar anak saya yang baru beberapa hari melalui iklim baru di sekolah lamanya ini,  tetapi tamparan perlahan sahaja, sambil cikgu menggayakan lenggok gaya dia menampar.  Saya memang garang, katanya jujur.  Senyuman cikgu semakin mekar apabila mendengar saranan saya supaya menggunakan rotan di bahagian tubuh yang dibenarkan.  Serta-merta saya terbayang cikgu ini melangkah membawa buku-buku dan tersisip rotan.  Di rumah saya sentiasa ada rotan, kata saya. Dan saya dengan perasaan berbaur, meminta cikgu tidak memberi hukuman dengan tamparan lagi.  Saya cuba bercakap seringkas dan setelus mungkin.    Selebihnya ayat-ayat beratur di dalam fikiran sahaja. 

Akhirnya, alhamdulillah, saya dengan penuh hati-hati menunggang motor dan selamat sampai.  Tanpa fokus kepada reaksi cikgu Matematiknya di masa-masa akan datang, saya berharap Hidayat lebih gembira dan berlapang dada di setiap pagi dia mengayuh basikal ke sekolah.  Saya tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang terbaik.  Cuma, saya terfikir kesan kepada peratusan keseluruhan kelas 3 Efisiyen.   

Jam 11 pagi, saya akan ke sekolah lagi.  Perlu ke kedai koperasi sekolah (tadi ia ditutup sebentar) untuk mendapatkan salinan workbook Mathematic Year 3 dari muka surat 98-138, seperti yang dicadangkan oleh Cikgu Y.  Enam kelas tahun 3 dengan murid setiap kelas lebih 40 orang (kelas Hidayat - 45 murid), menyebabkan bantuan buku teks dan buku latihan tidak mencukupi. Ditambah dengan kesibukan cikgu yang perlu download data-data murid ke dalam laman web, Hidayat baru beroleh dua buku teks sahaja (Science & Bahasa Inggeris).

Akhir sekali, saya ingin masuk kelompok ibu bapa yang sentiasa berlapang dada dan jernih fikiran dalam urusan anak-anak.  Ketenangan dan kedamaian yang sempat saya kecapi di pekan kecil Seria ingin saya kendong ke mana-mana, biarpun saya tidak lagi berada di sana.  Hakikatnya, Allah yang Maha Pemurah telah memberi rasa itu sebagai anugerahNya. Alhamdulillah.  Semoga negara kita ini juga akan kembali tenang, aman dan damai tanpa sebarang prasangka atau prejudis, dan bukan seperti pepatah orang tua-tua; 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya', dengan memanjangkan harapan buaya-buaya itu buaya beriman yang tidak mengambil melebihi haknya.  Dan apabila terpandangkan buaya-buaya yang berzikir mengingat Allah, kita pun sama teringat kepadaNya, apatah lagi andai kaki kita yang sedang disepit oleh rahangnya.  Nauzubillah, mohon dijauhkan oleh Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, peliharalah anak-anak kami yang sedang belajar di bangku sekolah.  Selamatkanlah mereka daripada segala musibah dan kesusahan, kemalangan dan bala bencana. Peliharalah perjalanan mereka pergi dan balik sekolah.  Engkaulah yang Maha Pemelihara.  Tiada kepada lain tempat kami mengadu, hanyalah kepadaMu yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.  Lapangkanlah dada mereka, lancarkanlah lidah mereka berbicara, kuatkan ingatan mereka dan mudahkanlah kefahaman mereka terhadap penerangan guru-guru.  Jadikanlah mereka pencinta ilmu kebenaran.  Kasihanilah mereka, ya Allah.  Pimpinlah mereka dan guru-guru mereka.  Permudahkanlah segalanya untuk mereka mendengar dan taat, dan permudahkanlah guru-guru mereka menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan serta tunjuk-ajar dengan kasih sayang dan keikhlasan.  Hanya Engkau sebaik-baik pemberi ganjaran.  Ganjarilah guru-guru itu dengan pahala yang besar dan segala kebaikan dari sisiMu dari dunia hingga ke akhirat.  Kurniakanlah takdir yag baik-baik dan selamatkanlah dari takdir yang buruk-buruk.  Masukkanlah anak-anak kami ke dalam golongan orang-orang yang berjaya dan berbahagia dalam kehidupan dunia dan akhirat.  Selamatkanlah mereka dan kami semua dalam perjalanan yag penuh pancaroba ini.  Ameen.

Sehingga ketemu lagi, insyaAllah.

Wednesday, July 27, 2011

Mak abah dah balik semalam.  Uwan diangkut sama.  Lama juga uwan di sini.  Dia datang bersama mak abah pada 3 Julai lepas.  Kemudian kami tumpangkan sebentar di Kg Delek, kerana ada pertemuan keluarga dari Singapura dan US pada Jumaat - Sabtu , 15 & 16 Julai.  Kemudian Bang Ngah Iwan 'memulangkan' uwan semula ke rumah kami pada Selasa, 19 Julai.  Hinggalah semalam, baru dia pulang ke kampung.


Bergaya dengan spek Pak Meon
 Alhamdulillah, semoga uwan enjoy duduk di rumah ini.  Ain sentiasa membelai onyangnya. Jalan berpimpinkan. Makan dipersiapkan.  Masa mula-mula bertemu kembali dari Brunei tempohari, dia meleleh airmata bersalam dengan onyangnya.  Rindu sangat barangkali.  Pelik juga anak perempuan saya ni.  Dalam garang dan kemeringnya, banyak songeh dan bogek (dogil kata onyangnya), masih dia berlemah-lembut dengan si tua 86 tahun itu.  Kalau dia terleka, si adik akan menjerit-jerit memanggil kakaknya supaya segera mendapatkan onyang untuk dipimpin.  Walhal selama ini onyang itu bertatih dengan tongkat duanya ke mana-mana.  Kata mak pula, usah dimanjakan onyang tu.  Tapi Ain masih tekal dengan kebiasaannya yang baru bermula.  Uwan mula bergantung pada tongkat seusia Hanessa; paginya si bongsu lahir ke dunia, petangnya uwan tersungkur di belakang rumah di kampung, bersendirian.
Senyum sikit Wan!  Uwan dah ready nak balik.

Alamak, ada orang nak ikut balik kampung gak ...
Kali ini mak balik dengan hati senang.  Telefon rumah sudah ada.  Perhubungan menjadi mudah dan percuma.  Bila-bila aje boleh berborak tanpa risau bil melambung atau berkira-kira pasal top-up telefon. Saya pula mula berkira-kira nak minta nombor talian rumah dari kawan-kawan.  Percuma dong!  Bercakap sampai panas telinga aje jangan.  Melampau la pulak kalau gitu.
Mak dan abah

Sekarang saya sedang berdiri sambil menaip. Di dapur.  Masak?  Dahhh ...  keluarga pun dah makan.  Saya je yang belum makan.  Cadangnya nak kawal makan.  Paling tak pun, saya nak tunggu Hidayat pulang, temankan dia makan hehe ...  Sat lagi sampailah dia tu, insyaAllah.
Kecian cucu atok.  Hujung minggu balik ngan abah yo!!!  Minyak sponsored by uwan hehe ...

Dan saya sedang mendengar Nur Islam di lappy ini!!!
Ohhhh seronoknya rasa.  Saya rasa rindu betul nak dengar Kuliah Mufti jam 7.30 pagi dan 4.30 petang di siaran itu.  Juga tausyeh yang enak didengar.  Maknanya tak tau, tapi tentulah lafaz memuji-muji Allah dan RasulNya.  Mencuba-cuba, alhamdulillah dapat juga mendengarnya. 
Boleh caya ke nak ikut balik?? Half way meraung kang, sapo nak jawab?

Saya ada membeli set Ceramah Kuliah Subuh Bersama Mufti.  Sudah mendengar bersama uwan, sebahagiannya.  Hanya DVD yang pertama, kuliah subuh di Masjid Kg. Masin yang tak berfungsi.  Juga ada VCD ceramah beliau di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1428/2007 belum dapat ditengok kerana tidak berusaha menyambungkan player yang berada di ruang tamu kepada tv yang berada di ruang menonton.  Saya bercadang mahu mengembalikan kedua-dua DVD dan VCD ini ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei secepat mungkin dan menukarnya dengan yang lain.  Moga-moga beres nanti, insyaAllah.

Semasa menyemak CD-CD lama, saya ketemu VCD Siri Kuliah Bulanan oleh Dato' Ismail Kamus tapi itulah, tak dapat membukanya di lappy.  Di siaran Nur Islam, kadang-kadang ada disiarkan slot ceramah Dato' Ismail Kamus.

Selamat jalan.  Semoga selamat sampai ke kampung.

Hmm ... kenapa saya suka mendengar Nur Islam???  Nanti ada masa saya cite ...




Ia masih sangat istimewa

Kiranya ini entri pertama saya di bumi Malaysia.  Hari ini bermakna sudah 22 hari kami berada di bawah bumbung rumah sendiri.  Dan hampir setiap hari mata saya terpandang tajuk-tajuk besar akhbar yang dibeli oleh suami.  Dengan perasaan mual dan bengkak, saya kutip ia dan sisipkan di bawah meja.  Ia akan menjadi pembungkus buangan di dapur atau akan memberatkan timbangan barang-barang terbuang nanti.  Beberapa hari ini, tetamu yang muncul terpaksa 'disapa' oleh timbunan plastik hitam dan 'entah apa-apa' yang berada di ruang tamu, betul-betul di depan pintu pulak tu.  Peniaga barang-barang terpakai yang sudah beberapa kali berjanji dan dituntut janji hingga kami ke rumahnya, masih belum muncul sedangkan setiap hari hati berharap demikian.  Jadinya, tidak ada sesiapa yang mengeluarkan komen tentang benda-benda ini yang terletak  di situ.  Ia selamat hihi ... dari kencingan kucing jantan berwarna oren itu, yang selalu berbuat sesuka hatinya di mana-mana.

Saya rindukan ketenangan di sana.  Pekan kecil bernama Seria.

Setiap kali saya mendongak mencari awan-gemawan beragam, ada tapi tak sama.  Hanya sesekali, jarang amat.  Kata suami saya yang rimas mungkin, tentulah tak sama, tempat berbeza, angin pun tak serupa.  Ya, selebihnya saya disambut bau asap ketika membuka tingkap di pagi hari seminggu pertama sampai.  Langit kosong dan kelabu.  Jarak penglihatan menjadi pendek.  Inilah Malaysia, tempat tumpah darahku.

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertahta

*sambung sendiri!

Dalam diam, saya rasa seperti kurang selamat dan ada tekanan yang amat perlahan.  Mengapa?  Saya bertanya sendiri.  Mungkinkah berita-berita sadis yang setiap hari terpapar itu telah memberi kesan tidak langsung kepada saya?  Bagaimana dengan orang lain?  Tidakkah mereka sama terasa dan mendapat efek sehingga fikiran terasa sempit dan dada bagaikan sesak menekan?

Saya membuat perbandingan.  Dulu, setahun lepas dan hari ini.  Saya di Seria yang tenang dan di Sijangkang yang ... bukan ... tetapi di Malaysia yang ... semoga akan tenang dan makmur damai satu ketika tak lama lagi, insyaAllah.  Sijangkang masih ok (lah ...).  Saya sudah buat pilihan.  Sekiranya keadaan memerlukan saya keluar, saya akan ke Banting sahaja.  Ia masih agak tenang.  Cuma perjalanan tidak akan sunyi dari kenderaan besar bas dan lori yang banyak. 

Oh kalau boleh saya enggan memandu.  Cukuplah sekadar menjemput Hanessa dari sekolahnya sekali sehari.  Alhamdulillah Hidayat berbasikal ke sekolah.  Semoga anak saya dan kawan-kawannya selamat pergi balik dan sentiasa di dalam perlindungan Allah.  Hidayat, jangan lupa baca doa.  Itulah pesanan yang dititipkan kepadanya setiap hari.  Kepada Allah berserah.  Kata suami saya, dia anak lelaki memang perlu lasak dan berani.   Dan dia ada kawan sekelas pagi dan petang, Idham, anak Wak Lan taman sebelah yang cool orangnya. 

Kembali ke rumah ini.  Tak lama ditinggalkan, hanya setahun lebih sikit je.  Ia masih macam dulu.  Cuma ada anai-anai yang baru dua bulan menginap di belakang kabinet dan sempat menyerang buku-buku kami.  Ia sangat pantas dan ganas.  Hampir semua buku saya ketika menuntut dulu sudah menempati plastik hitam kerana tidak wajar disimpan lagi.  Barang semakin bertambah sedangkan rumah ini tidak mengembang pun walau seinci.  Jadi, saya akur kepada undang-undang alam.  Ada barang lama yang tidak sesuai dijadikan harta karun walaupun semua itu ada sentimental value

Saya dapati ada cenderahati dari majlis perkahwinan yang tidak efektif sebenarnya untuk jangkamasa tertentu.  Jadi kepada sesiapa yang mahu memberi cenderahati kepada tetamu di hari berbahagia anda, fikirkan sesuatu yang bermanfaat.  Selain bekas-bekas atau kipas-kipas, saya sukakan hadiah lilin bersama cawannya.  Ia boleh digunakan di atas meja makan untuk menghalau lalat yang tak faham arahan.  Bekas telur tu memang cantik dan bergaya, tapi saya tak akan simpan telur saya di situ.  Tambahan pula saya tak fikir nak request kabinet kaca yang khas untuk menyusun segala cenderahati di situ.  Kabinet yang ada ni sarat dengan buku.  Oh buku, nak kubuang terasa sayang.  Nak kusimpan terasa sayang juga ... ada sesiapa nak kumpul buku-buku lama?  Buku aruah abah masa dia muda-muda dulu pun ada.

Ohh sudah jam 12.18 pagi.  Sudah kelewatan.  Masih belum berkesempatan ke Sastera menyusun bicara khabar ...

Akhir sekali.

Dalam kehidupan yang sementara ini.  Aku menguak pintu alam fana dari kandungan ibu.  Kini aku sedang menapak langkah demi langkah menuju pintu di hadapan.  Pintu ke alam barzah.  Pintu kematian.  Pintu permulaan kehidupan yang sebenar.

Begitu banyak yang tidak kumengerti.  Dalam bertanya-tanya sendiri, hati berbicara pula.  Berfikirlah.  Andai tak dimengerti, bersabarlah.  Dunia ini memang selalu demikian.  Ia bukan tempat mengharap ganjaran.  Ia adalah medan ujian.

Dan usah kau berkata, "Tak ada sesiapa yang mengerti keadaan saya."  Ia sangat cetek, bodoh dan menjengkelkan.  Usah bertuhankan manusia.  Kerana yang Maha Mengetahui dan Maha Mengerti adalah Allah Subhanahu wa Taala.  Andai kau ingat kepadaNya, tentu tidak gamak kau berkata sedemikian.

Ya Allah, yang sudah ditinggalkan tak akan dijenguk lagi.  Ia menjadi kenangan yang sangat istimewa.  Terbayang di mata teringat di hati terlintas di fikiran.  Terima kasih wahai Tuhanku, kerana memberi sedetik rasa yang istimewa di satu sudut bumiMu yang makmur.  Pekan itu pun semakin dibangunkan berkat kemajuan dan keprihatinan pemerintahan.  Tidakku pasti andai akan sama keadaannya beberapa tahun akan datang.  Namun syukur alhamdulillah, tanpa perlu kuperduli kepada anggapan manusia, rasa itu adalah suatu anugerah.  Dan yang pasti, tidak ada anugerah yang paling mahal jika dibandingkan dengan anugerah IMAN DAN TAQWA.  Juga sahabat-sahabat yang apabila dipandang wajah mereka, mengingatkanku kepada Maha Pencipta.  Ya Allah, berilah kami iman dan taqwa.  Juga sahabat-sahabat yang terbaik.

Sedetik.  Tempat itu tidak akan kekal.  Tiada yang kekal selainMu.  Masih ada itu dan ini ... namun ia masih sangat istimewa.  Alhamdulillah.

12.37am.

*Gambar-gambar adalah rakaman sendiri menggunakan kamera digital.  Lokasi ~ Pantai Lumut, Seria.  Pantai tercantik di Brunei Darussalam.


Monday, July 25, 2011

As salam semua :)

As salam rakan-rakan bloggers semua :)

Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Hari ini, 25 Julai 2011, Isnin,  kontraktor TM telah datang untuk menyambung talian bersama Streamix. 

Sudah boleh berblog lalala ... 

Terima kasih kepada kakak saya, Noraini Hassan.  Tetiba laju aje semua proses.  Kalau tak, bagai menunggu buah yang tak gugur-gugur. 


Monday, July 4, 2011

Salam sayang teramat sayang

Hari pertama saya melemparkan pandangan ke pohon-pohon hijau ketika melepasi imigresen Sungai Tujuh dan gerombolan awan-gemawan yang putih melepak di langit Seria, seperti di alam mimpi rasanya.  "Bang, macam mimpi aje ..." kata saya kepada suami.

Hari ini, selepas setahun 3 bulan 3 hari saya di sini.  Dan masih dalam mimpi, sebentar lagi jam 4 petang, saya dan keluarga akan pulang ke tanahair. 

Sekadar online sebentar.  Semua perasaan masih dibiar terpendam.  Cuma nak rekod, bahwa pagi ini 7.30 am kali terakhir saya mendengar Kuliah Mufti di Nur Islam.  Sebentar lagi kami bercadang nak pusing-pusing Bandar Seri Begawan buat kali terakhir untuk 2011.

Cuaca sejuk dan redup.  Hujan rahmat turun jam 4.30 pagi tadi.  Kami dijamu lasagna bikinan Atirah (special request hehe ... terima kasih Atirah ye!) dan berbagai lagi hidangan sarapan pagi oleh Kak Safiah sekeluarga.

Catatan terakhir di Brunei Darussalam. 

Salam kenangan salam ingatan, salam manis salam rindu berpanjangan.  Semoga bertemu lagi dengan semua kenalan, sahabat handai taulan di mana jua berada, insyaAllah.  Terima kasih atas segalanya dan maaf zahir batin.

Esok, fajar siddiq langit Sijangkang akan menyapa pandangan.  Saya tertanya-tanya, apakah sama awan Sijangkang seperti di sini agak-agaknya ...  (hobi baru bermula di Brunei sebenarnya).

Salam sayang dari kami sekeluarga ~ ~ ~.



Friday, July 1, 2011

Terima kasih lagi!

Err terkojut den!  Biasanya follower bertambah, ni berkurang plak hehe ... tak kisah la tu. 

Nak menyambung sikit lagi Terima Kasih Cikgu! semalam.  Terima kasih juga kepada semua guru-guru yang mengajar subjek-subjek lain kelas 6C, 2A dan Pra B tahun 2010, juga kelas 3A dan 1B tahun 2011 di Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria; Cikgu Zamri, Sir Bobby, Cikgu Saiful, Cikgu Rabecca, Cikgu Hajah Jarah, Cikgu Dayangku, Cikgu Rosni dan semua guru-guru yang tak disebutkan namanya di sini. 

Juga terima kasih kepada guru-guru di Maktab Anthony Abell 2011 khasnya kepada Pengetua, Cikgu Rahagi binti Deli, Cikgu Dayangku Nurhidayati binti Pengiran Abdul Rahman (guru kelas 7E), Sir Nelson (Science), Cikgu Rohani (kraftangan), Cikgu Rosdiana (History), Cikgu Fedly (Geografi), Cikgu Hiriani (Ugama), Cikgu Siti Aszuraira (English), Cikgu Noralenie (MIB), Cikgu Anizan (Art), Cikgu Yusrina (PE) dan kakitangan sekolah umumnya.  

Segala tunjuk ajar dan ilmu yang cikgu-cikgu curahkan diucapkan ribuan terima kasih.  We will miss u all, kata Amirah Hurilain ...

Salam sayang dari Amirah Hurilain, Muhammad Hidayatullah dan Amirah Nurhanessa buat semua cikgu-cikgu.  Semoga kehidupan cikgu-cikgu dilimpahi rahmat Illahi dan ceria selalu.  Sehingga ketemu lagi ... senyum selalu.


Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing