Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, June 30, 2011

Terima Kasih Cikgu!

Hari ini, sudah setahun tiga bulan kami di Brunei Darussalam.  Dan 4 bulan seminggu di rumah bernombor 63, Lot 2139, Jalan Jerambak, Seria.  Lokasi rumah yang strategik, kerana terletak di tengah-tengah laluan ke tiga sekolah anak-anak; Maktab Anthony Abell, Sekolah Rendah Muhammad Alam dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Saadatul Bolkiah. 

Hari ini bermakna hanya tiga hari lagi kami berada di Seria.  Jumaat, Sabtu dan Ahad.  Boleh dikatakan hampir 90% barang-barang sudah siap dikemaskan.  Tinggal yang remeh-temeh sama ada untuk diagihkan, dibuang atau dicampak sahaja ke dalam mana-mana kotak yang masih terbuka.  Cara menyimpan sudah tak mengikut kategori, mana yang kosong main masuk sahaja.  Di sana nanti, pandai-pandailah dan sabar-sabarlah mencari barang masing-masing.  Den dah lomeh dengan barang-barang ni ha! 

Nampaknya sudah over budget nih.  Cik abang pesan lima kotak aje yang nak diposkan di Miri kelmarin, Selasa.  Tapi, kotak yang dah siap berjumlah 12 buah.  Penuh bonet dan seat depan belakang dengan kotak.  Nah kau!  Membayarlah RM504.85 kat pejabat pos, selepas adjust berat mana yang patut.  Kalau semua nak dibawa naik flight, lagi mahal bayarannya.


Kelmarin Selasa, adalah hari terakhir anak-anak ke sekolah masing-masing.  Sabtu lepas, saya ke sekolah untuk hari menandatangani rekod peperiksaan.  Sesi pagi di Sekolah Rendah Muhammad Alam.  Sempat berjumpa dengan Guru Besar Ckgu Dayang Rabizah dan guru kelas masing-masing; Cikgu Khairunnisa (guru kelas Hidayat), dan Cikgu Azimah (guru kelas Hanessa).  Juga Cikgu Norezlynn yang mengajar Bahasa Inggeris dan MIB. Tak lupa juga mengucapkan salam perpisahan kepada Cikgu Dianawati, bekas guru kelas Hurilain tahun lepas (darjah 6), Cikgu Khadiza (guru kelas Hidayat darjah 2), dan Cikgu Sofian Penolong Guru Besar Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (maaf kalau tersilap) yang telah membantu urusan kemasukan anak-anak saya belajar pada bulan Mei tahun lepas.  Sempat juga mengucapkan bye-bye kepada kakitangan sekolah yang anak-anak panggil 'Makcik Dapur' ... di rumah panjang. 

Di sebelah petang pula, juga sesi menyain rekod.  Saya berborak panjang dengan Cikgu Awangku, guru kelas Hurilain, dan guru Al-Qurannya; Cikgu Sharul Fauzi, dan Cikgu Ikhwan guru Hidayat. Akhir sekali bersembang dengan Puan Guru Besar, Cikgu Salmi di pejabat beliau. Maaf kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dengan guru-guru kelas anak-anak tahun lepas; Cikgu Aniza dan Cikgu ... (Hidayat! sapa nama cikgu kamu tu?  Ishh tak berketik pulak tidurnya.  Bangun la anak oii ... tak baik tidur lepas Subuh!) 

Sekali lagi, di sini saya dan suami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru yang telah mencurahkan ilmu bakti dengan penuh kasih kepada anak-anak saya; Amirah Huril'ain, Muhammad Hidayatullah dan Amirah Nurhanessa sepanjang setahun ini.  Biarpun sangat singkat, seperti sekelip mata sahaja rasanya, pengalaman berada di bangku sekolah dan menadah ilmu yang cikgu-cikgu curahkan sangat besar maknanya untuk anak-anak ini dan kami sekeluarga.  Segala tunjuk-ajar dan didikan yang cikgu-cikgu berikan kepada mereka, adalah umpama cahaya yang menyinari hati nurani mereka dalam menyusuri jalan kehidupan yang masih panjang.  Semoga ukhwah kita berpanjangan.  Biarpun tidak bertemu lagi di Brunei ini (wallahu'alam), segala jasa baik cikgu-cikgu tetap dalam ingatan sepanjang masa.  Juga dimohonkan doa restu dari cikgu-cikgu semua untuk anak-anak ini, semoga dengan iringan doa dan ingatan yang baik dari cikgu-cikgu, kehidupan mereka akan mencapai kecemerlangan di hari hadapan, dunia dan akhirat.  InsyaAllah, ameen.
 


Hari ini hujan sejak awal pagi.  Langit mendung kelabu.  Seperti hatiku yang sendu ...









Monday, June 27, 2011

Excited ke? Hmm ...

Jasmi kata saya excited!
Excited ke saya nih?

Cuma mengira hari di FB.  Menyedari hari yang kian singkat sebenarnya membuatkan saya teruja nak mengemas.  Saya sorang-sorang aje tau!  Semua titik bengik saya perlu mengemasnya.  Sehingga sama seperti hari pertama saya dan anak-anak sampai ke sini.  Tetapi kali ini lebih clean dari itu.  Sebab waktu kami sampai, barang-barang perlu sudah menunggu disiapkan oleh cik abang untuk digunakan.  Kini, saya bayangkan keadaan betul-betul sementara seperti di chalet semata. 

Barang-barang dapur yang nak dibawa sudah masuk ke ruang tamu tempat saya mengemas, yang macam tongkang pecah itu.  Tinggal bahan mentah yang mahu diberikan kepada keluarga Aisyah nanti.  Tengahari ini saya siapkan ikan bilis yang digoreng garing dan disira dengan bawang bercili.  Hmm .... nyaman jua.  Tak larat la pulak nak menyuap nasi katok sahaja.

Hari ini, insyaAllah hari terakhir saya dan anak-anak ke Perpustakaan Seria.  Semua buku sudah dipulangkan tadi pagi.  Tengahari ini saya datang sebentar untuk bermaaf-maafan dengan pegawai perpustakaan ini.  Hampir setiap hari berada di sini, sudah agak mesra rasanya.  Juga untuk bertemu Adibah yang comel dan ceria.  Lepas ni tak jumpa lagi kot.  Saya snap gambar Hanessa dan Aisyah berdua.  Kalau panjang umur, mungkin bertemu lagi ketika mereka dewasa kelak.

Jam 3.30 nanti, saya akan ke Perpustakaan Pandan pula untuk mengembalikan sebuah buku yang dipinjam dari sana minggu lepas.  Sesudah ini, tidak akan berkunjung lagi ke mana-mana perpustakaan.  Saya perlu menyiapkan barang-barang di rumah dengan kadar segera.  Bermakna juga tidak akan online buat beberapa ketika, tak taulah sampai bila.  Mungkin hari terakhir di rumah Kak Piah nanti, boleh online sekejap di blog ini. 

Kepada semua rakan handai taulan dan sahabat yang saya kenali di Brunei Darussalam, di sini saya mewakili juga seisi keluarga, mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam perpisahan dan mohon kemaafan zahir batin, seandainya ada tutur kata atau perilaku kami sengaja atau tidak sengaja, yang mungkin pernah menyinggung perasaan.  Andai ada yang tersedik di sudut hati, kami menyusun sepuluh jari jua.  Walau hanya seketika, kami berasa bertuah berkesempatan berada di bumi Seria yang aman ini dan berkenalan dengan anda semua.  Semoga ukhwah berpanjangan.  Juga sempena Ramadhan yang bakal menjelma, kami mengucapkan Salam Ramadhan yang penuh berkah.  Semoga kita semua dapat menjalani ibadah berpuasa dengan penuh kesabaran dan memperolehi pahala yang berlipat kali ganda dari sisiNya, insyaAllah, ameen. 




Sunday, June 26, 2011

Hanessa ... Hanessa ...

Selonggok pelbagai barang; periuk empat beradik dalam kotak (sebuah masih di dapur), sekotak hanger pakaian, penyedut hampagas, sekotak barang-barang kecil dari meja solek, juga plastik hitam berisi sampah-sarap kering.  Ini berdekatan dengan pintu masuk.  Di belakang pintu adalah beg-beg plastik berisi pakaian untuk diagihkan kepada orang-orang yang sudah ditentukan ~ kawan-kawan Hurilain dan Hanessa.  Hidayat sudah berhenti memberi, tetapi anak-anak perempuan masih meneruskan.

Di sepanjang dinding yang kosong, berderet lima kotak yang masih menganga.  Sekotak berisi kerja patchwork, sekotak buku saya, dua kotak lagi barang campur-aduk dan sekotak kecil masih kosong.  Keseluruhan sudah selesai.  Tinggal rak buku di bilik anak-anak sahaja yang belum usai.  Juga almari dapur.  Syukurlah, kami temui kenalan yang boleh diberikan semua yang ada di dalam almari itu.  InsyaAllah lebih arfdal. 

Di bawah tingkap pula, beg-beg pakaian yang sudah sendat dengan pakaian.  Bagasi terbesar untuk pakaian abah, bagasi kedua dan ketiga untuk kain-baju saya.  Sebuah untuk tudung sahaja.  Dua kotak sederhana untuk pakaian Hidayat.  Sebuah beg sedang dan sebuah kotak sedang untuk Hanessa.  Beg pakaian Hurilain di dalam biliknya.  Pakaiannya semakin susut, jadi dia tak perlukan kotak tambahan.  Semua kotak akan dicompress supaya padat dan mengurangkan jumlah kotak; begitu kata abah mereka.

Sementara menunggu hari-hari terakhir, ruang benar-benar berantakan.  Yang menjadikan ia bersepah adalah barang-barang remeh dan kecil-kecil, apabila anak-anak ~ Hidayat dan Hanessa membiarkan alat tulis, kertas dan buku conteng di ruang laluan.  Hidayat yang sudah pandai akses internet menggunakan B-mobile, membiarkan lappy di tengah-tengah ruang yang sudah sempit.  Siapa yang perlu bebel sikit?  Saya la ... hmm ...

Tadi, hampir 60 minit saya mencari gaun kembang dan kain untuk baju kurung si bongsu.  Sambil memikir bila kali terakhir saya melihat gaun itu (baru dibeli ~ semasa buat makan-makan bulan lepas, baju kurung untuk Syawal tapi sudah dipakai berkali-kali), saya menyelongkar semua beg dan kotak pakaian.  Hanya tinggal jaket kecilnya, dan baju kurung sahaja.  Almari yang sudah kosong juga saya jenguk.  Bukan sekali dua, semuanya dibuat berkali-kali.  Termasuk meninjau bawah katil.  Mana tau, kot-kot tercampak di situ pulak.  Sambil hati mengucapkan doa, subhanaman la yanamu wala yas hu.  Semoga Allah membantuku.  Anaka-anak menolong mencari, tetapi tak ketemu.  Masing-masing menduga, saya sudah terberi pakaian itu kepada  Aisyah, kawan Hanessa.  Tetapi saya yakin, tangan saya baru memegang gaun kapas itu beberapa hari lepas dari ampaian, dan saya tidak memasukkannya ke dalam beg untuk Aisyah.  Ia mesti dicari sekarang.  Baju kurung itu akan dipakai pada Ahad minggu hadapan, ketika memenuhi jemputan kahwin nanti, insyaAllah.  Gaun kesayangannya itu juga mesti dijumpai, sangat pelik rasanya tak ketemu begini.  Entah di mana.

Hurilain meminta saya berhenti mencari.  Esok pagi aje mama cari lagi, katanya sambil golek-golek santai.  Hmm ... esok pagi saya mahu ke Perpustakaan Seria.  Sudah berjanji dengan staf untuk bergambar buat kenang-kenangan.  Tak boleh mencari pagi esok, saya terus mencari lagi dengan rasa pelik bin hairan.  Ke mana saja baju budak ni ha???

Saya kembali ke beg Hanessa.  Bersila sambil memandang beg yang bertutup dan kotak pakaian di sebelahnya.  Sambil berfikir-fikir, saya tepuk-tepuk penutup beg itu perlahan.  Terasa ada sesuatu yang padat di bahagian zip luar beg itu.  Saya buka zip, dan ... nah, gaun dan kain yang dicari terselit di dalamnya.  Tak ada orang lain, tentu dia sendiri yang menyimpannya di situ.  Aduhai, Hanessaaaaa ...  Bila di tanya, dia kata tak tau aje.  Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberi ilham untuk saya terus mencari dan akhirnya mendorong saya menepuk beg itu.  Tak terfikir langsung.  Tetapi saya yakin semasa mencari, tentu si bongsu telah meletakkannya di satu tempat yang dia sendiri sudah lupa.

Terasa ada denyutan kecil di pelipis ketika saya unjukkan gaun dan kain itu kepada anak-anak sambil senyum sumbing.  Oh, tanpa disedari mencari seperti ini telah memberi sedikit tekanan juga.  Mujur, dapatlah saya tidur dengan kelopak mata yang rapat malam ini.  Alhamdulillah.  Hehe ...  hai Hanessa ... Hanessa ...

* Catatan ~ Hari ini kami sekeluarga menyertai rombongan pengantin lelaki, saudara Muhd Nurul Hisyamsul, menghantar beliau ke majlis akad nikah di Istana Baitul Athirah, Beribi.  Alhamdulillah, pihak lelaki sungguh tenang dan dengan sekali lafaz, termeterailah sudah ikatan kedua mempelai.  Terima kasih kepada Kak Safiah Ibrahim sekeluarga dan Kak Ton (ibu pengantin lelaki) sekeluarga.  Majlis besarnya akan menyusul pada 10 Julai nanti (kami dah balik dah ...).  Didoakan kedua-dua pengantin berbahagia dan sentiasa dilimpahi rahmat Allah sehingga ke akhir hayat.  Ameen. 

Friday, June 24, 2011

Mula berkemas

Saya perlukan lebih banyak kotak.  Satu kotak yang ada ni sudah penuh dengan sebahagian buku saya.  Buku anak-anak belum dipilih lagi.  Ada sedikit di sana dan di sini, buku mereka juga.  Buku contengan karya Hidayat dan Hanessa tu sayang nak dibuang.  Angkut juga.

Almari pakaian kami sudah dikosongkan.  Semua baju sudah dipilih dan dimasukkan ke dalam beg.  Pakaian Hidayat masuk kotak dan dia tak kisah.  Itupun menjunjung tinggi tak boleh ditutup.  Memang kena cari kotak lagi.

Selonggok pakaian ada di tepi pintu bilik.  Diasingkan untuk seorang dua kawan anak-anak.  Lagi tadi beberapa helai pakaian termasuk jeans yang tidak diperlukan lagi khidmatnya sampai bila-bila, diserahkan kepada Meliana.  Sehari dua ini, Hidayat sudah agihkan pakaiannya kepada kawan-kawan baiknya.  Tadi pagi dia membawa jubah Along seusianya dulu yang ditempah khas dari wan Ramlah di kampung berwarna kuning emas.  Jubah itu segan dia mahu memakainya, lalu saya sokong dia hadiahkan kepada Arash bersama sehelai ketayap kesayangannya.  Sudah saya khabarkan kepada masing-masing, memberi yang disayang mudah-mudahan diterima Allah pemberian itu.  Hidayat langsung menghadiahkan tiga buah kereta Hot Wheels kepada kawan-kawannya, termasuk sebuah kereta kesayangannya yang boleh bertukar warna itu.  Tak mengapa, biar mereka belajar memberi apa yang mereka sayangi ketika usia rebung ini.  Mudah-mudahan ia menjadi kebiasaan yang baik.

Kalau diikutkan, semua barang disayang.  Semua nak disimpan sebagai kenang-kenangan.  Namun apabila ia diberikan kepada sahabat yang disayang, itulah nilai yang mahal harganya.  Berilah, kerana tangan yang diatas lebih baik daripada tangan yang dibawah.  Berilah hadiah, agar hati sahabat merasa gembira dan dihargai.  Saya katakan kepada Hidayat, kerana dia sangat-sangat sayang kepada permainannya itu, bahawa mungkin satu hari nanti dia akan bersua lagi dengan kawan-kawannya ini.  Dan insyaAllah mereka akan tetap ingat kepadanya.  Semoga ukhwan berpanjangan.  Ingatan yang baik juga adalah doa yang baik untuk kita.  Ameen.

Hanessa dan Hurilain juga ada pemberian masing-masing untuk kawan-kawan.  Tak banyak, sikit.  Sebagai tanda ingatan yang berkekalan. Juga saya.  Untuk Puan Jamilah adalah baju kurung biru yang saya sayang.  Mungkin sehelai dua lagi untuk seorang dua kenalan.  Semoga dihargai.  Niat saya semata untuk ukhwah dan tanda ingatan. 

Esok, ada 9 hari lagi kami di sini.  Saya mesti mula laju berkemas.  Esok hari menandatangani rekod anak-anak di sekolah sesi pagi dan sesi petang.  Agak lega kerana tidak perlu ke sekolah Hurilain lagi.  Cuma saya diberitahunya, staf akan menalifon saya untuk urusan terakhir persekolahannya.  Pada sebelah malamnya, kami ada jemputan untuk majlis tadabbur bersekali dengan farewell untuk kami di Panaga, rumah Onie.  Ahad pula ada jemputan saudara angkat Kak Piah & Abang Ayub (waris terdekat Sime Darby) di Tutong berlanjutan ke pihak perempuan (kerabat) di istana. 


Anak-anak akan bersekolah dua hari sahaja sesudah itu iaitu hari Isnin dan Selasa.  Rabu cuti Israk Mikraj (boleh mengemas lagi hari ini insya Allah). Khamis kami insyaAllah akan ke rumah Kak Hudziah Ustaz Mat Noor (tenaga pengajar Al-Quran Braille, Maahad Tahfiz Sultan Hassanal Bolkiah), dan malamnya ke rumah anak saudara saya Alai & Zali untuk bbq, insyaAllah.  Jumaat dan Sabtu sepatutnya kerja membungkus dan mengemas barang sudah hampir siap 99%.  Malam Ahad tu dah boleh simpan barang-barang dalam kenderaan yang akan digunakan.  Pagi Ahad, saya berharap dapat menghadiri majlis ta'lim buat kali terakhir, mungkin di Mumong rumah Hajah Haiapah, serta memaklumkan kepada sahabat yang hadir akan kepulangan saya ke tanahair, juga mengucapkan selamat tinggal dan mohon doa mereka sehingga bertemu lagi insyaAllah.


Dan Ahad itu kami akan ke Jerudong, transit di rumah Kak Piah lagi.  Dalam perjalanan akan singgah di Tutong untuk memenuhi jemputan majlis perkahwinan kenalan suami saya, yang merupakan jemputan terakhir untuk kami di sini.  Sesudah itu lepak-lepak di rumah Kak Piah, kalau ada Amsyar Syah, baby comel dan cerdik yang dijaga oleh Kak Piah tentu sahaja melekakan anak-anak saya melayan keletahnya yang baru berusia setahun lebih.


Dan Isnin 4 Julai 2011, check in jam 3 PM.  Maka mesti sampai airport sebelum jam 2.  Selamat tinggal Brunei Darussalam yang makmur indah, jam 4 insyaAllah. 


Thursday, June 23, 2011

Satu episod

Semalam saya sudah menerima mesej darinya.  Ingin berjumpa.  Tetapi saya sedang bersiap untuk ke rumah Puan Shamila, untuk kelas tafsir Surah An-Nuur seperti setiap Rabu yang sudah-sudah.  Saya balas mesejnya, 'insyaAllah esok bertemu.'

Kelas tafsir yang dikendalikan oleh Puan Shamila sudah berakhir semalam.  Di penghujung kata-katanya, ada nada beralun sebak bersama ucapan doa memohon keberkatan Illahi.  Suasana senyap sunyi seketika menghayati pengucapan Puan Shamila.  

Ini adalah kali terakhir saya mengikuti aktiviti Muslimah ini.  Biasanya ia dilanjutkan dengan Sembang Ilmu oleh Puan Norazati, kali ini ia berakhir lebih awal kerana Puan Norazati sedang bercuti.  Juga sebenarnya kelas penafsiran yang terakhir buat sahabat-sahabat yang lain semenjak bermula 6 bulan yang sudah.  Saya alhamdulillah direzekikan jua oleh Allah untuk bersama mereka walaupun terlewat, hanya dua bulan lebih sahaja.  Tidak pasti sama ada ia akan diteruskan dengan surah-surah yang lain pula.  Namun saya pasti, Muslimah di kawasan ini khasnya dari Malaysia sentiasa ada aktiviti bermanfaat yang akan mereka teruskan nanti.  InsyaAllah.   Bukan setakat belajar masak-masak semata.  Tetapi juga pengisian ilmu untuk membangunkan rohani dan minda.  InsyaAllah.

Saya berharap pulang ke Sijangkang nanti, dapat saya dan keluarga meneruskan berada di majlis-majlis  ilmu seperti ini.  Ia perlu dicari.  Ia tidak akan datang sendiri.  Majlis seperti inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagai taman-taman syurga. Para malaikat akan menaungi orang-orang yang berada di majlis-majlis seperti ini dengan sayapnya, dan hati akan menjadi aman tenteram dengan turunnya anugerah sakinah (ketenangan) untuk mereka.

Hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya: "Tidaklah suatu kaum berkumpul di satu rumah Allâh,  mereka membacakan kitabullâh dan mempelajarinya,  kecuali turun kepada mereka ketenangan, dan rahmat menyelimuti mereka, para malaikat mengelilingi mereka  dan Allâh memuji mereka di hadapan makhluk yang ada didekatnya.  Barangsiapa yang kurang amalannya, maka nasabnya tidak mengangkatnya. "

Tadi, jam 10 pagi, saya sudah berada di 'rumah panjang' Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.  Dari jauh Puan Jamilah, pengirim mesej semalam sudah tersenyum kepada saya.  Dialah orangnya yang ingin bertemu dengan saya.  Kami mula-mula berkenal semasa aktiviti di sekolah.  Agak kerap juga bersua, iaitu semasa anak-anak sekolah berehat jam 10 pagi.  Wanita berkulit putih kuning bertudung dan kadang-kadang agak ranggi ini mempunyai dua anak lelaki yang masih bersekolah di SRMA.  Yang kedua bongsu sama sekelas dengan Muhammad Hidayatullah.  Yang bongsu baru lima tahun, di pra sekolah.  Lama kelamaan kami semakin akrab walaupun sekadar bertegur sapa di 'rumah panjang' ini sahaja.

"Nanti karang ikut saya ke kereta.  Ada sedikit barang mahu diberikan."  katanya mesra.  Kami terus berbual-bual sambil memerhatikan anak-anak.  Sempat juga bergambar berdua buat kenang-kenangan nanti.  Kad berisi nombor telefon sudah lama saya berikan semasa kami bertemu di Perpustakaan Seria (semasa aktiviti cuti sekolah minggu lepas).  
Tidak berapa lama kemudian anak-anak kami sudah mula beredar untuk ke kelas masing-masing.  Kami juga beredar dari situ.  Saya mengekorinya ke keretanya.  Sambil itu dia bercerita, memberitahu kakaknya ada yang bekerja di Perak sebagai Ketua Jururawat dan berkahwin dengan orang Kelantan.  Namun dia belum lagi sampai ke sana.  

Di kereta, dia menghulurkan bungkusan plastik ke tangan saya.  Sebak rasanya!  Tanda kenang-kenangan, katanya.  Kami bersalaman dan saya peluk dia erat.  "Semoga kita bertemu lagi nanti! InsyaAllah."  Matanya merah.  Seketika kami beredar ke arah berbeza.

Antara sahabat yang saya sempat kenali di Brunei Darussalam.  Terkadang bertemu hanya sesekali, tetapi sudah terjalin kesatuan hati.  Kini saya memikirkan untuk berziarah ke rumah Puan Maznah pula, warga Thailand yang sudah berpuluh tahun bermastautin di sini dan berkahwin dengan warga tempatan.  Orangnya lemah-lembut, saya berkenalan semasa selalu singgah di Masjid Seria (semasa masih tinggal di Lumut dulu).  Kerap kali dia mengajak saya ke rumahnya.  Juga saya teringat seorang kenalan yang selalu 'lepak' di masjid juga.  Tapi, alah susah benar nak mengingat namanya.  Ibu tunggal anak seorang dan bekerja dengan RTB.  Mudah-mudahan nanti sempat berjumpanya sebelum pulang.  Saya fikir tentu dia tertanya-tanyakan saya juga, sebab dah lama tak muncul di masjid Seria tu.

Hari ini, 23 Jun 2011 ~ hanya 11 hari lagi untuk kami berada di sini. 

Tuesday, June 21, 2011

Tauladan dari sikap teguh Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam

Sambungan viii

(v) Tauladan dari sikap teguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Seperti juga diterangkan awal-awal tadi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat teruk menempuh berbagai kesulitan dan kesusahan dalam menjalankan tabligh dan dakwah, namun Baginda tiada sekali-kali undur dan tawar hati.  Hanya Baginda itu berdoa memohonkan pertolongan, seperti satu contoh doa yang amat indah ini:

Maksudnya:  “Ya Allah, aku mengadu lemah kekuatanku, kurang dayaku, hina aku di mata orang, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani lebih dari segala orang yang pengasihani.  Engkau Tuhan orang-orang yang lemah, Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Tuhan hendak menyerahkan aku?  Kepada orang yang jauh yang bencikan aku, atau kepada seteru yang menguasai perkaraku?  Kiranya tidak ada murka kepadaku, maka aku tidaklah peduli, tetapi yang penting itu ialah redha dan ‘afiat Tuhan terhadapku adalah maha luas dan terbuka, aku berlindung dengan cahaya nurMu yang mulia, yang dengannya menerangi kegelapan, dan sempurna segala urusan dunia dan akhirat, (dan menjauhkan) dari turun murkaMu ke atasku, aku mohon redhaMu.  Tiadalah aku berdaya menolak mudarat dan bencana, dan tiadalah aku kuasa mendatangkan kebajikan melainkan dengan limpah perkenan dan qudrah kuasaMu jua.”
                                                                        (Al-Targhib wa Al-Tarhib li Al-Mundziri)

Dari isi doa itu teringat dan tergambarlah kita lebih jelas lagi betapa penderitaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu bukan kepalang.  Baginda pernah dilontar dengan batu dan dicurahkan tanah di atas kepala Baginda yang mulia.  Bapa saudara Baginda, Abu Thalib hampir-hampir membiarkan Baginda dan menyuruh Baginda supaya berhenti daripada berdakwah menyiarkan Islam, kerana tidak sanggup melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperlakukan begitu buruk dan ganas oleh kaumnya.  Tetapi apa reaksi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?  Cuba kita perhatikan dengan hati nurani kita sabda Baginda ini:

Maksudnya:  “Wahai bapa saudaraku demi Allah, kiranya mereka itu meletakkan matahari di sebelah kananku, dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan dakwah mengajak manusia kepada Islam, sehingga Allah memberi kemenangan kepada Islam itu, ataupun aku dibinasakan kerananya, nescaya tidaklah aku tinggalkan.”

Melihat azam dan sikap serta iman yang tidak boleh dipatah-patah itu, maka Abu Thalib pun berkata:
Ertinya:  “Pergilah wahai anak saudaraku, dan katakan apa yang engkau suka, demi Allah aku tidak akan serah dan biarkan engkau sama sekali pada sesuatu yang membinasakan engkau.”

Baginda dengan tidak mencongak dan menghitung-hitung apa yang akan ditimpakan kepada Baginda, terus sahaja mara dan berjalan lurus melaksanakan perintah ini, firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:  “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan ke atasmu dari Tuhanmu (iaitu ajaran Islam), dan jika engkau tidak berbuat begitu, maka tidaklah engkau menyampaikan risalah ajaran Allah.” 
                                                                                                            (Surah Al-Ma’idah: 67)

Lepas di Makkah, Baginda berhijrah ke Madinah.  Di sini juga bersambung terus siri penentangan dan serangan orang-orang kafir ke atas Nabi dan kaum muslimin.  Serangan-serangan itu juga mempunyai tujuan yang sama untuk mematahkan perjuangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.  Tetapi Baginda tetap sabar menolakdan menangkis serangan-serangan itu, sehinggalah pada akhirnya Islam menang dan kerajaan Islam tertegak dengan berkat jihad pimpinan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak mengenal undur dan takut, tetapi penuh sabar, tawakkal dan iman kepada Allah.

Kesimpulan dan Rumusan

Demikianlah ringkasan beberapa tauladan dari kelakuan dan akhlak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang merujuk kepada sifat-sifat zuhud, tawadhu’, sabar, berdakwah dan bertabligh, tawakkal, lemah-lembut dalam bermuamalah dan bergaul, berani dan lain-lain lagi yang tidak disebutkan.

Jika ada sesiapa dari orang Islam, sama ada perseorangan atau jemaah seperti Jemaah Tabligh yang ditanyakan ini umpamanya, yang ingin meniru dan mengikut atau bercita-cita dan berusaha ingin meniru dan mengikut akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang demikian itu, maka adalah dia terpuji dan afdhal, dan adakalanya wajib, kerana apa-apa jua yang datang dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah semuanya benar dan mulia, semuanya membawa untung dan pahala, tiada rugi dan tiada cela, dan tiada terbuang hampas di dunia dan di akhirat.

Saya telah sampai dan lihat halaman 153 hingga 156 LAPORAN PENYIASATAN SULIT KEGIATAN JEMAAH TABLIGH DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, yang disediakan oleh Bahagian Penyiasatan dan Pendakwaan, Jabatan Hal Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Dalam pandanga/cadangan mereka itu, ada yang munasabah, seperti mendapatkan bimbingan dan garis panduan daripada Pusat Dakwah Islamiah, mendapatkan kebenaran bertulis daripada Majlis Ugama Islam.  Dan mana-mana yang patut dibincang, dibincangkan pula dengan semangat bertolak ansur dan persaudaraan seugama, dan niat tolong menolong di jalan kebajikan dan taqwa.  Kerana Allah sangat mendorong ke arah itu seperti firmanNya:

Tafsirnya:  “Dan bertolong-tolonglah kamu membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan permusuhan.  Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah itu amat berat seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”
                                                                                                            (Surah AL-Ma’idah: 2)

Wallahu’alam

***
Alhamdulillah selesai saya menyalin teks ini selama tiga hari dengan kekangan masa. Semoga Allah meredhai.  Ada juga ralat yang perlu saya nyatakan, iaitu ada satu dua kesilapan ejaan (sangat minima) dari teks asal yang saya betulkan sendiri, dan petikan ayat Al-Qur’an dan Hadits di dalam Bahasa Arab yang tidak mampu saya menulisnya kerana tiada perisian berkaitan di laptop yang saya gunakan ini.  Selebihnya saya sedaya upaya mengikut semua tanpa sebarang ubah suai atau penambahan sesuka hati.  Inilah tujuannya, untuk menyebar luas fatwa ini kepada pembaca, terutama untuk diri dan keluarga saya sendiri khususnya.  Semoga kita dapat mengambil manfaat yang besar daripada perkara ini.  Allah Ta’ala jua yang memberi petunjuk.  Semoga Allah Ta’ala membuka pintu hati kita untuk mengikut jalan yang benar lagi diredhaiNya.  InsyaAllah, ameen ya Rabbal alameen.


Tauladan dari sabar dan pemaaf Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam

Sambungan vii.

(iv) Tauladan dari sabar dan pemaaf Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Tidak perlu bagi dibincang mengenai sifat sabar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.  Ia sudah jelas dan memadai bila menyebutnya secara umum sahaja, iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu memang seteguh-teguh dan sesabar-sabar orang.  Baginda sanggup bersabar dari segala tekanan dan ancaman musuh.  Musuh-musuh itu tidak pernah berhenti dari mencari jalan atau membuat rancangan-rancangan jahat untuk menyakiti Baginda, bahkan untuk mengusir Baginda daripada Makkah, dan malahan kemuncak dari rancangan jahat mereka itu ialah hendak membunuh Baginda.  Namun Baginda tetapi sabar dan tidak pernah mengubah sedikit pun pendirian Baginda untuk meninggikan Kalimah Allah.

Walaupun Baginda pernah disakiti dan dipakat-pakat untuk dibunuh, namun apabila Baginda dapat masuk ke Makkah dan menawan semula Makkah, sedang tokoh-tokoh musuh yang memusuhi Baginda kini sudah berada di bawah tangan Baginda, maka sekiranya Baginda mahu membalas dengan menimpakan sebarang pembalasan, perkara ini boleh sahaja dibuat.  Tetapi Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidaklah sekali-kali berpendirian begitu, sebaliknya Baginda tetap berbuat baik dan memaafkan mereka.  Cubalah dibandingkan pula dengan pemerintah-pemerintah dalam dunia ini, mereka itu lebih cepat membalas dendam dan menganiaya musuh-musuh mereka apabila ada peluang.  Tidak seperti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda mengampunkan musuh-musuh Baginda dan menjamin keamanan mereka itu.  Baginda bersabda kepada musuh-musuh yang ditawan:

Maksudnya:  “Apa kamu fikir yang patut saya lakukan dengan kamu?”

Mereka menjawab:

Maksudnya:  “Kebajikan.  Kerana Tuan saudara kami yang baik, dan anak saudara lelaki kami yang baik.”

Sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:  “Pergilah kamu semua, kamu bebas sekarang daripada tawanan.”

Hadits tersebut diriwayatkan oleh Baihaqi.

Muamalah dengan pengikut-pengikut

Cara bergaul atau muamalah Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sahabat-sahabat Baginda, itulah dia sebenar-benar cara dakwah dan pendidikan yang terbaik, yang patut ditiru dan diamalkan oleh kita sekarang.  Baginda tidak pernah menjatuhkan air muka seseorang, walau ada kesalahan dan silap orang itu.  Contohnya satu riwayat oleh Imam Muslim, bahawa sahabat, Mu’awiyah bin Al-Hakam Al-Sulami telah berkata:  “Suatu hari ketika saya sembahyang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba seseorang telah bersin.  Saya pun berkata kepadanya:  “Yarhamukallah” sedang sahabat-sahabat lain memandang kepada saya.”  Kata saya:  “Mati ibuku!   Mengapakah kamu menoleh kepada saya/”  (Mendengar itu) mereka menepuk paha saya (dengan tujuan untuk mententeramkan saya).  Manakala saya lihat mereka ini menyuruh saya diam, maka saya pun diam.  Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selesai sembahyang, demi sesungguhnya belum pernah saya melihat seorang guru, baik sebelum mahu pun sesudah Rasulullah, yang lebih pandai mengajar, dan demi Allah, tiadalah Baginda itu menengking dan memukul saya, serta tiada juga memaki hamun.  Hanya Baginda bersabda:

Maksudnya:  “Bahawa ini sembahyang tiada harus padanya sesuatu dari kata-kata manusia.  Hanyalah sembahyang itu tasbih, takbir dan membaca Al-Qur’an.:
                                                                                                            (Hadits riwayat Muslim)

Lihatlah betapa cantiknya contoh ini, betapa itulah caranya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melayan dan bermuamalah dengan sahabat-sahabat Baginda.

Semua ini terbentuk dan terjadi dengan bimbingan dan ajaran Allah sendiri kepada Baginda.  Firman Allah:

Tafsirnya:  “Maka dengan rahmat dan kasihan belas daripada Allah kepada engkau wahai Muhammad, engkau pun bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu), dan sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka itu lari dan jauh daripadamu.  Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonlah ampun untuk mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka (dalam perkara urusan perang dan lain-lain).  Kemudian apabila engkau telah berazam setelah mendapat fikiran daripada mereka, maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
                                                                                                            (Surah Ali ‘Imran: 159)

Bersambung viii ~ (v) Tauladan dari sikap teguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam



Tauladan dari tawadhu' Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam

Sambungan vi

(iii)             Tauladan dari tawadhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Bagi pendakwah-pendakwah dan belia-belia patutlah mencontohi tawadhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.  Walaupun Baginda itu Nabi dan Rasul yang utama, namun tawadhu’ Baginda tetap unggul.  Apabila bertemu dengan para sahabat, Bagindalah yang mendahului memberi salam, dan apabila bercakap dengan mereka itu, Baginda akan mendengarnya dengan bersungguh-sungguh dengan tiada mengira sama ada muda atau tua.  Apabila berjabat tangan, Baginda pula yang akhir menarik tangannya.  Apabila Baginda ke pasar dan mengangkat barang-barang, Baginda akan mengangkatnya sendiri.

Baginda bersabda:

Maksudnya:  “Saya lebih utama mengangkatnya sendiri (barang-barang itu).”

Baginda sekali-kali tidak membesarkan diri.  Baginda juga menampal baju, membaiki selipar, menolong kerja rumah, sama-sama membuat masjid dan menggali parit pertahanan.  Baginda bersifat lemah lembut, menyampaikan hajat orang dhaif dan fakir, dan makan bersama khadam.

Allah Ta’ala yang mengajar Baginda demikian itu, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:  “Rendahkanlah sayapmu (berlemah lembut dan merendah dirilah) kepada pengikut-pengikutmu dari kalangan orang-orang yang beriman.”

Sifat tawadhu’ merendah diri yang ada pada Rasulullah ini patut dan mustahak diikut oleh para pendakwah, pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai, kerana dengan sifat-sifat begitu lebih membawa tunduk dan patuh serta setia, dan lebih cepat diterima oleh masyarakat yang didakwah atau dipimpin itu.  Kerana itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berjaya, dan tidak ada seorang setelah beriman dan menjadi pengikut Baginda yang menentang balik atau derhaka, melainkan semuanya kekal patuh dan bertambah-tambah taat setia mereka itu kepada Baginda.  Inilah hikmat dan rahsia sifat tawadhu’ itu yang menjadi pakaian nabi-nabi ‘Alaihimushshalatu wassalam serta pengikut-pengikut mereka.

Tidaklah seperti hari ini, kesetiaan orang terhadap pemimpin tidak tahan lama, kerana orang-orang apabila lama berkuasa dan menjadi pemimpin itu, semakin nipislah sifat tawadhu’ mereka, ini menjadikan orang benci dan timbulnya nafsu melawan terhadap mereka.  Sebagai contohnya cuba kita lihat keadaan pemimpin-pemimpin dunia yang sering bertukar ganti, ada setengahnya itu yang dibunuh, atau diguling, atau dihalau, atau paling biasa ditentang dengan undi dan lain-lain lagi cara.  Berbeza dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiadalah terlintas bagi orang-orang yang beriman untuk melawan dan menentang Baginda.  Demikian juga sahabat-sahabat yang datang kemudian yang mengikut jejak langkah Baginda, sama sahaja mendapat sokongan dan dokongan ikhlas daripada umat Islam, dan jika ada pun sahabat-sahabat yang syahid dibunuh, itu bukanlah atas nama penderhakaan dan penentangan daripada kalangan muslimin, tetapi dari musuh-musuh di luar Islam dan di luar iman terhadap Allah Ta’ala.

Bersambung vii ~ (iv) Tauladan dari sabar dan pemaaf Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.



Monday, June 20, 2011

Tauladan dari zuhud Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam

Sambungan v.

(ii)               Tauladan dari zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Berkata sahabat, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:  “Tidur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas tikar, kemudian Baginda bangun daripada tidurnya itu dan (telah nampak bagi kami) berbekas di sebelah badan Rasulullah.  Maka kami pun berkata:  “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau kami jadikan satu alas atau bantal yang lembut di antara Tuan dengan tikar itu?”   

Bersabda Rasulullah: 

Maksudnya:  “Saya tiada berhajat akan dunia.  Tiadalah saya dengan dunia itu melainkan umpama orang belayar berteduh di bawah suatu pohon, kemudian dia bergerak meninggalkan pohon itu.”
                                                                                          (Hadits riwayat Tirmidzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa:

Maksudnya:  “Ya Allah, jadikanlah kehidupan keluarga Muhammad itu secukupnya dengan tiada lebih dari hajat.”

Itulah gambaran keadaan zuhud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, setinggi-tinggi martabat zuhud, sebagai menyahut perintah Allah dalam Al-Qur’an, dan Al-Qur’an itu ialah akhlak Baginda.  Firman Allah:

Tafsirnya:  “Janganlah kamu panjangkan pandangan kamu kepada dunia dan perhiasannya yang telah Kami berikan kepada orang-orang kafir berupa kesenangan dengannya, kerana Kami hendak mencuba mereka atau memberi azab kepada mereka di akhirat dan kesenangan itu, dan apa pun pemberian Tuhan kami di akhirat itu lebih baik dari dunia yang diberikan kepada mereka dan lebih kekal.”
                                                                                          (Surah Thaha:  131)

Janganlah salah faham dengan zuhud Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai melarang dari kehidupan dunia dan dari rezeki-rezeki yang halal.  Kerana Baginda juga bangun menegur sikap dan pendirian setengah sahabat yang mengharamkan atas diri mereka berkahwin, makan daging, tiada berbuka puasa dan mengambil apa-apa yang patut dari kehidupan dunia ini.

Dan kita jangan salah faham menyangka zuhud Nabi Shallalahu ‘alaihi wasallam itu membawa kepada papa dan sengsara.  Sebenarnya, jika Baginda itu mahu mewah, nescaya datang dunia kepada Baginda.  Tetapi Baginda ingin mendidik dan membawa umat Islam hidup sederhana dan berpada, kerana takut nanti umat Islam akan kecewa, lengah daripada berdakwah, daripada berjihad dan daripada beribadat.  Kerana apabila lebih mewah dan lebih senang dan lebih kenyang itu boleh membawa lengah dan mundur dari bekerja menegakkan kalimah Allah, dan Baginda juga takut dengan sebab mewah hidup dunia ini akan membinasakan umat Islam sebagaimana perkara ini biasa berlaku kepada umat-umat yang terdahulu.

Cuba kita perhatikan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ini, bahawa sahabat, Abu ‘Ubaidah Radhiallahu ‘anhu telah datang daripada wilayah Bahrain dengan membawa harta.  Orang-orang Anshar pun keluar beramai-ramai untuk mengalu-alukan sahabat ini, iaitu waktunya selepas sembahyang Subuh.  Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun tersenyum melihat mereka, kemudian bersabda:

Maksudnya:  “Saya fikir kamu telah dengar Abu ‘Ubaidah datang membawa sesuatu daripada Bahrain?”  Sahabat-sahabat menjawab:  “Benar, wahai Rasulullah.”  Baginda seterusnya bersabda:  “Maka bergembiralah kamu, dan bercita-citalah dengan apa yang kamu inginkan itu.  Demi Allah, bukan papa yang saya takutkan atas kamu, tetapi yang saya takutkan ke atas kamu ialah dunia ini terbuka untuk kamu, sebagaimana dunia itu terbuka kepada umat-umat sebelum kamu.  Maka kemudian kamu pun berlumba-lumba mencari kemewahan dunia, sebagaimana mereka berlumba merebutnya.  Maka kamu pun binasalah sebagaimana mereka (umat-umat dahulu kala itu) binasa.”
(Kisah umat-umat ini tersebut dalam Al-Qur’an)

Suatu jawapan kepada musuh-musuh

Sikap zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini juga sebenarnya menjadi jawapan kepada orang-orang yang sakit hati kepada Islam yang sentiasa mengintai-intai untuk melancarkan tohmah dan tuduhan kepada Nabi dan agama Islam dengan berbagai-bagai tohmah dan tuduhan.  Mereka itu ialah orang-orang Munafiq, Nasrani dan yahudi dan Orientalis-orientalis.  Dengan sifat zuhud Nabi itu menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah orangnya yang tamakkan dunia, yang mengajak dan membawa manusia kepada Islam kerana hendakkan harta, untuk mengumpulkan harta, hendak bersenang-senang dan bermewah-mewah atas nama agama, tidak seperti perbuatan dan ajaran pemimpin-pemimpin ajaran-ajaran salah dan sesat dari dahulu sampai sekarang, yang mencari dan mengharapkan pengaruh serta harta atas nama agama.  Tetapi Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanyalah semata-mata bertujuan membawa dan menyampaikan risalah Allah dan ingin berjumpa dengan Allah dalam keadaan tiada membawa hart benda dunia, melainkan cukup Baginda itu makan, minum dan berpakaian menutup aurat, dan apa-apa yang tinggal di rumah menjadi sedekah.

Inilah juga sunnah nabi-nabi yang terdahulu.  Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:  “Wahai kaumku, aku tidak minta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menjalankan dakwah.  Aku tidaklah mengharapkan melainkan daripada Allah semata-mata.”
                                                                                          (Surah Hud:  29)

Kerana itu tidak hairan ramai sahabat-sahabat yang kaya raya akhirnya memilih hidup miskin atau cukup-cukup, dan demikian juga orang-orang yang terkebelakang kemudian turut memasuki alam zuhud itu semata-mata didorong oleh keinginan mahu bertabarruk dengan sunnah atau perjalanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perkara ini tidak akan pupus dan habis walaupun di tengah-tengah kempen keduniaan yang sehebat mana sekalipun, kerana sunnah dan millah nabi itu adalah cahaya yang sentiasa bersinar dan abadi yang tidak akan hapus dan padam, walau segiat dan sekuat mana pun usaha hendak memadamkannya.  Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:  “Mereka itu berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan mulut-mulut mereka (dengan berbagai-bagai tohmah, propaganda dan kempen-kempen), sedang Allah tidak berkenan, tetapi sebaliknya akan tetap menyempurnakan cahayaNya itu, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.”
                                                                                          (Surah Al-Taubah: 32)

Mengambil daripada alasan ini, jika kita dapati dan lihat ada orang-orang perseorangan atau kumpulan yang suka memasuki kehidupan zuhud itu (zuhud yang ada persamaan dengan zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat serta pengikut-pengikut yang datang kemudian), maka sayugialah jangan ganggu mereka itu, kerana mengganggu orang yang ingin berdamping dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah amat buruk akibatnya di sisi Allah Ta’ala.

Bersambung vi ~ Tauladan dari tawadhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam


Panduan Kepada Pendakwah

Sambungan iv.

Panduan Kepada Pendakwah.

Apa yang disebutkan di atas ini merupakan cara-cara umum yang mesti ada kepada pendakwah-pendakwah.  Yang lebih-lebih lagi penting dan mustahak, hendaklah mereka itu betul-betul meniru dan menyalin sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai yang ditegaskan oleh Al-Qur’an bahawa Baginda itu adalah Uswah Hasanah (contoh terbaik), di antaranya:

(i)                  Tauladan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang terunggul dan teratas sekali dalam beribadat.

Daripada sahabat Al-Mughirah bin Syu’bah Radhiallahu ‘anhu katanya: “  Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu bangun tidur pada malam hari lalu Baginda sembahyang tahajjud sehingga bengkak kedua tapak kaki Baginda.  Manakala orang berkata:   “Bukankah Tuan telah diampunkan segala dosa-dosa Tuan yang terdahulu dan akan datang?” 

Baginda menjawab:

Maksudnya:  “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah?”
                                                                                          (Hadits riwayat Bukhari)

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada sahabat ‘Alqamah, katanya: 

“Saya telah bertanya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:  “Adakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu menentukan satu-satu ibadat pada siang dan malam?”  (beribadat lebih pada setengah-setengah ketika).  Sayyidatina ‘Aisyah menjawab:  “Tidak, bahkan amal ibadat Rasulullah itu terus menerus tiada putus.  Mana ada seorang kamu yang berupaya membuatnya seperti berupaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membuatnya.”  (Shahih Muslim: Bab: Fadhilah Al-‘Amal Al-Da’im).

Banyak beribadat tidak menghalang kemajuan

Benar pun dalam riwayat di atas menegaskan betapa ibadat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak mampu untuk diikut bulat-bulat oleh sesiapa pun, namun konsep mengikut Sunnah Rasul itu tetaplah digalakkan dan terus kekal.  Sebab itulah ulama berkata:  “Sila kamu (wahai pemuda dan pemudi) ambil tauladan dalam ibadat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”  (lihat fatwa bekas Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullah, bilangan (36) dlm. MKB/13/1967).

Banyak dan tekun beribadat itu adalah sifat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sifat sahabat-sahabat dan sifat orang-orang mukmin yang salih.  Ia bukanlah sifat melampau. 

Sifat melampau itu adalah sebaliknya iaitu mengabaikan ibadat kepada Allah, zalim kepada diri sendiri, derhaka dan menentang perintah-perintah Allah dan RasulNya.  Inilah dia sifat melampau yang sebenar-benarnya.

Banyak dan tekun serta kuat beribadat itu tidaklah menghalang untuk maju.  Cuba kita ingati, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah penghulu ibadat, raja ibadat yakni yang paling puncak dan teratas sekali dalam beribadat.  Begitu juga sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut yang datang kemudian.  Dan kita telah pun membaca sejarah seorang khalifah Islam yang sangat kuat beribadat, yang zuhud dan adil,  Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz.  Di dalam masa Baginda itu memerintah, negeri menjadi makmur, aman dan sejahtera, sehingga kerana kemakmuran melimpah-limpah itu, sampai untuk mencari fakir miskin yang hendak diberikan zakat pun adalah susah.

Keadaan inilah, lebih-lebih lagi terakam di dalam peri hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.  Dalam pada Baginda itu tekun dan menyeluruh dalam ibadat, pada ketika yang sama, Baginda juga menjalankan kerja-kerja dan tugas-tugas dunia, kerja-kerja dakwah, kerja-kerja jihad.  Baginda mengatur tentera, mengarah dan memerintahkannya mara berjuang melawan musuh.  Baginda juga mengirim utusan-utusan kepada pemuka-pemuka pada zaman itu untuk mengajak mereka supaya menerima Islam.  Baginda memilih dan mengirim pegawai-pegawai untuk memungut zakat, fai’ dan jizyah dan membahagi-bahagikan harta-harta tersebut.  Baginda juga selaku mursyid menerangkan hukum-hukum Allah kepada manusia, menghuraikan tujuan-tujuan ayat yang ringkas dan sulit.  Baginda juga adalah hakim dan imam sembahyang.

Dari contoh-contoh ini nyatalah, bahawa bukanlah kerana banyak beribadat, seperti banyak ke masjid, banyak sembahyang dan banyak berzikir dan lain-lain itu yang membawa jumud dan mundur serta miskin.

Kita turut tumpang hairan, bahawa masa-masa yang digunakan untuk beribadat, berdakwah, berzikir dan lain-lain amal salih itu sering sahaja kita ungkit-ungkit, kita hitung-hitung dan kira dengan amat cermat dan cerewet sekali.  Tetapi waktu-waktu yang terbuang begitu sahaja, tidak pula kita suka mengungkit dan apatah lagi menyesalinya. 

Umpamanya berapa banyak sudah masa kita kerana makan angin, melancong, berpelesiran, bersukan sampai dua tiga macam jenis sukan (kadang-kadang terjejas waktu sembahyang), menonton televisyen sampai berjam-jam setiap hari dan lain-lain lagi.  Ini semua jarang kita timbulkan dan perinci.  Padahal ruginya bukan kepalang, bukan rugi masa semata-mata, bahkan muflis pahala.  Maha Benar Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berfirman:

Tafsirnya:  “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.  Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.  Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
                                                                                          (Surah Al-‘Ashr)

Apa yang dimaksudkan dengan kerugian di sini ialah dari segi penggunaan masa itu, padahal ia berlalu bersama umur kita.  Semua manusia di dalam kerugian bila ia digunakan di jalan yang sia-sia, sekalipun perkara yang harus, masih juga tetap rugi kerana tidak dapat menjadi bekal di akhirat, apatah lagi terang-terang maksiat kecuali akan terlepas daripada kerugian itu ialah mereka yang benar-benar beriman dan beramal salih, iaitu mereka yang diistilahkan oleh Al-Baidhawi sebagai orang-orang yang membeli akhirat dengan dunia. 

Mereka itulah orang-orang yang akan beruntung dan berjaya mencapai kehidupan kekal abadi dan bahagia.  Mereka berpesan-pesan mengingatkan dengan tutur kata dan perbuatan yang benar serta bersabar menahan diri daripada maksiat.  Inilah panduan dan cara menggunakan masa supaya tidak rugi itu.

Bersambung v ~ (ii) Tauladan dari zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.



Sunday, June 19, 2011

Cahaya Islam Memancar Daripada Jemaah

Sambungan iii.

Cahaya Islam Memancar Daripada Jemaah

Dalam sejarah umat Islam, pada awal-awalnya membuktikan, bahawa cahaya Islam itu memancar daripada jemaah.  Cuba kita lihat dan amati rumah Dar Al-Arqam yang terletak di kaki bukit Safa di Makkah di zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, di sinilah tempat lahir dan memancarnya cahaya Islam dan iman dan telah keluar ahli cerdik pandai, pemimpin-pemimpin, panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah yang menjadi tauladan kepada umat Islam dari zaman ke zaman sampailah ke hari kita ini.  Dari sinilah tercetusnya amanah, sifat jujur, ikhlas dan sabar, cekal hati dan kuat jiwa serta semangat untuk melihat Islam itu berkembang dan tersebar melalui jihad dan dakwah.

Cetusan dan tampias daripada Rumah Al-Arqam inilah sehingga kita umat Islam dapat berbangga memiliki panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah seperti ‘Uqbah bin Nafi’, Qutaibah Al-Bahili dan lain-lain lagi.  ‘Uqbah pernah berdiri di pantai Atlantik di akhir tanah Maghribi dengan berkata sambil kudanya mengharungi air masin:

Ertinya:          “Ya Allah Tuhan Nabi Muhammad, kiranya tiadalah lautan ini, nescaya hamba buka dunia ini pada melaungkan kalimat Tuhan hamba ( Laa illaha illallah) Ya Allah, mohon saksikan doa hamba ini.”

Qutaibah Al-Bahili pula telah menjelajah sampai ke negeri-negeri Timur Jauh, dan dia bersumpah hendak meneroka Negeri China, lalu seorang daripada pengikutnya telah memberi ingat kerana kasihan kepadanya, dengan berkata:

Ertinya:          “Tuan telah menjelajah dalam negeri Turki wahai Qutaibah, sedangkan keadaan masa itu bergelora, sekali mara dan sekali kecewa.”

Qutaibah menjawab dengan semangat dan keimanan:

Ertinya:          “Dengan penuh percaya kepada pertolongan Allah kepada saya, saya akan menjelajah dan apabila sampai tempoh, tiadalah berguna segala kelengkapan.”

Melihat ini, maka pengikutnya itu pun berkata:

Ertinya:          “Silalah tuan maju mengikut suka tuan, wahai Qutaibah.  Azam tuan tidak dapat dipatahkan melainkan Allah jua.”

Inilah gambaran panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah Islam pada zaman dahulu, dan kita pun juga tergambar, bahawa inilah juga sifat-sifat dan perilaku pendakwah-pendakwah yang membawa Islam ke rantau ini ke Tanah Aceh, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa, Borneo, Brunei, Sulawesi dan pulau-pulau Maluku.  Mereka itu dengan semangat dan cekal hati serta bertawakal serta berpegang dan percaya dengan janji-janji Allah untuk menolong mereka, maka mereka pun (pendakwah-pendakwah) daripada Tanah Arab melalui Pakistan dan India itu berhasil memikat hati raja-raja sampai kepada rakyat-rakyat mereka untuk menerima Islam dengan redha hati, bukanlah dipaksa.  Padahal pendakwah-pendakwah datang tidak dengan membawa bala tentera dan bekalan-bekalan yang cukup sempurna, bukan seperti kaum penjajah Eropah dan Jepun yang cukup dengan alat kelengkapan dan senjata mereka.  Pendakwah-pendakwah itu menawan hati raja-raja dan rakyat hanya dengan sifat-sifat yang baik, budi bahasa yang luhur dan tingkah laku muslim yang sempurna, cara hidup, ibadat dan taqwa, sehingga dengan mudahnya raja-raja dan penduduk-penduduk itu menerima Islam.

Berbanding penjajah-penjajah seperti Sepanyol, Portugis, Inggeris, Belanda, Amerika, Perancis dan Jepun yang datang ke rantau ini atau lain-lain rantau dengan cukup kelengkapan dan senjata, cukup dengan bekalan dan tentera dan armada-armada, tetapi raja-raja dan pengikut-pengikut mereka itu tidak mahu tunduk begitu sahaja, bahkan raja-raja melakukan perlawanan apabila penjajah-penjajah itu mula menunjukkan belang mereka.

Inilah perbezaan asasi di antara pendatang-pendatang yang dipanggil pendakwah, dan pendatang-pendatang yang bernama penjajah tadi.

Pendakwah-pendakwah itu adalah ahli-ahli pengorbanan yang membelanjakan harta-harta mereka untuk kebajikan dan kebenaran, sedangkan orang lain itu berbelanja untuk kebatilan dan kezaliman.  Pendakwah-pendakwah sentiasa menjaga dan memelihara nama baik serta kehormatan manusia, sedangkan orang lain datang dengan tangan yang berlumuran darah, menjadi perampas hak dan pencabul kehormatan wanita-wanita dan perempuan-perempuan yang tidak berdosa.

Pendakwah-pendakwah itu dengan iman telah bermaal dan berusaha untuk membetulkan dunia, beristiqamah membela agama dan dunia, serta menghimpunkan agama dan dunia itu untuk mencapati kehidupan yang mulia, yang bermaruah dan selamat dunia akhirat.

Jika inilah tujuan sebenar pendakwah-pendakwah, dari dahulu sampai sekarang, maka tujuan itu adalah tujuan yang betul semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah jua.

Berusaha dan berjihad dengan dakwah ini, orang-orang yang beriman tidaklah mengambil kira sama ada mereka disukai ataupun tidak.  Yang utama bagi mereka ialah Allah dan RasulNya lebih berhak disukakan (dicari keredhaanNya) dari yang lain-lain.  Inilah matlamat orang-orang beriman satu-satunya.

Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya:       “Allah dan RasulNya itu lebih berhak dan lebih utama mereka dapatkan keredhaannya, jika benar mereka orang-orang beriman.”
                                                                                                            (Surah Al-Taubah: 62)

Bersambung iv ~ Panduan Kepada Pendakwah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing