Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, February 28, 2011

Mak Long meninggal

Pagi ini, Isnin 28 Februari 2011 ~  sampai perkhabaran lewat talian telefon, bahawa mak long Ara telah kembali ke rahmatullah.  Khabarnya sudah beberapa hari mak long kurang sihat, semenjak jamuan house warming di rumah Izun pada 12 Februari lepas.

Sudah beberapa tahun mak long menghidap barah payudara.  Juga beberapa sakit lain; kencing manis, darah tinggi.  Tetapi mak long masih segak.  Suaranya semakin serak, tetapi dia masih terus menghisap rokok.  Suatu ketika di masa mudanya, dialah satu-satunya guru mengaji dan mengajar berzanji di perkampungan tempatnya menetap.  Ramai yang datang belajar dengannya. 

Tidak banyak yang saya tahu mengenai ibu saudara abah Naqhuhines ini, kakak sulung kepada bonda Hajah Zaleha Sidin.  Bersua juga tidak kerap.  Namun di setiap kesempatan menziarahinya, mak long sangat mesra dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami.  Tentu dia akan bertating dulang air dan apa sahaja yang ada di dapur.  Abah Naqhuhines paling gemarkan sambal tumis mak long.  Sambal paling sedap dalam dunia, katanya.  Sambal kacang mak long ... masak semur mak long ... apa sahaja. 

Kini mak long sudah tiada.  Semoga mak long tenang di alam sana.  Semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkan beliau bersama golongan orang-orang soleh.  Selepas ini tentu Kak Hanim sekeluarga akan terasa sangat kesunyian tanpa maknya.  Begitu juga Abang Johar dan keluarganya.  Kami pulang nanti pun tak berjumpa mak long lagi, dan tidak lagi mendengar suaranya yang serak.  Abah Naqhuhines pun tak perlu singgah kedai membelikan mak long rokok ...

Tak mengapa, masa mak long sudah tiba.  Tidak dapat dipinda-pinda walau sesaatpun.  Kita yang tinggal, menunggu masa pula.  Beringat-ingatlah selalu sementara masih diberi waktu olehNya.  Bayang-bayangkan satu ketika, kita terjaga tiba-tiba, dan duduk tiba-tiba di dalam kegelapan.  Sambil meneliti pakaian putih yang membungkus diri.  Kita keseorangan.  Maka sementara masih ada waktu diberiNya, ingatlah kepada Dia sentiasa supaya Dia ingat dan menemani kita di waktu tidak ada seorang pun yang boleh menemani kita di alam kubur  nanti.  InsyaAllah.

Ya Allah ya Tuhanku, tetapkanlah kaki kami semua di atas jalanMu, dan tetapkanlah kami di dalam ugamaMu.  Amin.

Al-Fatihah buat Hajah Zaharah binti Sidin.

Saturday, February 26, 2011

"Cuba bau, hangit!"  kata abah Naqhuhines sambil mengunjukkan lengan kirinya.

Saya hidu lengannya.  Waaa ... hohoho ... memang hangit, bulu lengannya hangus disambar api tungku dapur.  Hahahaha!!!  Tungku itu terlalu besar untuk kuali kami yang comel.  Jadi?  Kena la beli kuali besar jugak!

Dapur ini sudah disamak dengan air tanah serta enam bilasan air bersih.  Abah Naqhuhines melakukannya sendiri, mengambil tanah dari kebun Kak Leha.   InsyaAllah selepas ini kami akan memasak dengan hati yang tenang dan lapang.  Tetapi masih juga belum dapat memasak sebab kena menunggu dapur baru beli itu disambungkan kepada saluran gas bawah tanah.  Buat sementara ni, nasi katok je.  Atau masak nasi dan bakar telur dadar dalam oven, letak segala bawang besar, sayur-mayur dan tabur garam, lada hitam dan lada sulah. 

Makan dalam dulang berlima beranak, waduhhh!!!  Memang licin periuk nasi jawabnya.  Hmm ... sudah sebulan sukatan beras dikurangkan dari 3 pot kepada 2 pot.  Kata abah, cukup ke tak cukup ke masak je dua pot.  Memang la, kalau makan dalam dulang ni empat pot pun boleh licin!  Jadi, bila dah dua pot tu, ada la aksi rebut-rebut sikit nasi orang lain.  Sebutir nasi pun tak tinggal, alhamdulillah.  Nikmat sungguh, dan perut pun tak melampau kenyangnya.

Dan sambil-sambil tu, pesan pada anak-anak; berhenti semasa masih teringin nak makan.  Susah tu, sebab macam belum kenyang lagi, tapi itulah rahsia kesihatan Rasulullah SAW.  Jadi, selitkan lagi fakta sains, bahawa otak akan memberi isyarat kenyang selepas 15 minit selesai makan.  Jadi, kalau semasa makan sudah mengah, selepas 15 minit kita akan dua kali mengah.  Itu santak namanya, nasi sudah sampai ke dada.  Mana nak letak air dan udara?  Hehehe ... ambil senduk la jawabnya, senduk satu satu bagi kat orang-orang sedunia yang sedang kelaparan, petua orang tua-tua.

Alhamdulillah, hari ini rumah sudah usai sepenuhnya.  Terutama ruang tamu yang lapang itu, dan kedua-dua bilik tidur.  Yang paling seronok tentulah budak-budak bertiga.  Saya minta abah masukkan tv ke dalam bilik mereka.  Sudah ada rak tv nun jauh di atas kepala.  Kalau mahu menonton, harus sambil berbaring.  Astro belum dipasang lagi.  Jadi mereka menonton cd sahaja.  Tetapi kebanyakan masa menonton hanya selepas segala kerja sekolah selesai, atau bersama abah di waktu malam.  Di ruang tamu ada radio comel yang sudah berbelas tahun umurnya tu, yang satu ketika dulu diberikan kepada arwah abah Hj.Manaf.  Apabila malam, bacaan al-Quran akan berkumandang sehingga ke pagi.  Di siang hari pula, Nur Islam akan menemani saya dengan pelbagai rancangan menarik seperti Kuliah Mufti, Santapan Minda, soal-jawab ugama, nasyid dan pelbagai selawat Nabi serta doa-doa.

Bahu kiri terasa sakit.  Semalam petang saya mengajak anak-anak menapak ke pekan Seria.  Hurilain dalam enggan (malu kononnya tu ...) mengikut juga kerana dia nak membeli stokin lagi, yang jenis ada jari-jari tu (tergelak melihat kakinya memakai stokin tu, hahaha ...).  Dalam sepuluh minit sampai ke pondok telefon di Plaza Seria.  Saya menelefon Muhammad Naqib seperti yang dipesannya minggu lepas semasa dia balik ke rumah sebentar dengan uwannya.  Alhamdulillah, dia sihat dan ceria.  Dia sedang khidmat harian waktu itu.

Pulang ke rumah, terserempak dengan gerai-gerai menjual makanan di tapak parking berbayar. Hanessa yang sudah tak tertahan kelaparan membeli kek Biskut Marie.  Saya pula terliur melihat sate Hati Buyah yang disira dengan kicap hitam.  Selepas menghabiskan kira-kira $11 di situ, kami menapak pulang, ketika Maghrib hampir menjelma.

Terasa ada sengal-sengal di betis kiri.  11 bulan lepas, lutut kiri saya crack.  Pindah-randah macam ni, bahu kiri pula terasa sakit.  Bila menapak betis kiri juga sengal.  Kalau dapat urut badan, sedap ni... Tetapi telefon Mut isteri Piya (isteri salah seorang staf) tak berjawab pula, nak rasa dia mengurut macamana.  Rupa-rupanya dia  mengikut suaminya pulang ke Thailand. Nak urut terapi tu (yang hari tu), macam lembut sangat.  Jadi?  Urut sendiri je la nampaknya :).

Huhh!  Sudah jam 11.51 pagi.  Belum juga sempat nak membaiki bab tiga Sakinah.  Tapi sebentar tadi sempat berborak dengan Nida di Yahoo! bertukar-tukar khabar.  Sambil-sambil tu menulis blog pula.  Mungkin petang ini akan ke perpustakaan ini lagi, bersama Hanessa.  Tentu dia suka sebab dapat jumpa Adibah, dan buat bising-bising di sini hahaha ...

Jumpa lagi!

Thursday, February 24, 2011

Tidur la!

coverage lembab!  sebab pakai hp barangkali.  tapi nak jengah jugak.  blog sastera ... blog naqhuhines ... hmm ada entri keretamayat nih!  tapi ntah hapa-hapa ... 

ada komen sifu.  aduhh ... banyaknya kena buat pembetulan bab tiga nih.  siap suruh perlbagaikan ayat lagi.  adududuhhh ...  macamana nak bagi puitis nih???

blog naqhuhines sunyi je.  pun ntah hapa-hapa la entri semalam tu ...

.
.
.
.
.

tiba-tiba ada bunyi orang tergelak kat cuping telinga.

apa ke benda?

huhh abah budak-budak ni rupanya tengah tergelak sakan cuma tak guling-guling je ... sambil tonyoh hp dia kat mata

ada gambar bini dia sedang sujud kusyuk betul-betul atas keyboard laptop
pandangan kiri, kanan dan depan
ahhh ... mengapa bini dia boleh sujud atas keyboard laptop?????

dah la tido la kat katil ... kata dia.

takkk ... bukan apa, keretamayat ni lembab sangat.  tak ada kena mengena langsung sebenarnya. 

mata yang dah lembab. 

.
.
.
.
.

dah la ... tidur la.

Monday, February 21, 2011

zikir lazim-hijjaz

Alangkah Indahnya Hidup Ini - Raihan

Jagalah Hati _ Snada

Nasyid oleh Hijjaz : Dia Kekasih Allah

Hijjaz - Rasulullah

Hijjaz - Kawan

Akhirnya ke Seria juga

Hari yang sibuk.  Pelbagai situasi.  Pelbagai orang ditemui.  Pelbagai rasa dialami.

Situasi awal pagi - bangun dan bersiap, macam hari-hari persekolahan juga walaupun hari ini hujung minggu.  Goreng nasi semangkuk kecil yang dihiasi pelbagai sayuran.  Kami semua menuju ke kawasan perumahan berhampiran Perpustakaan Pandan.  Kalau dapat duduk di kawasan ini, setiap hari akan ke perpustakaan ini sahajalah, getus hati.  Juga dekat dengan kawan-kawan baru, dan insyaallah akan lebih mudah mengikuti majlis taklim setiap dua minggu itu.

Kunjungan disambut baik. Kami diajak bersembang sambil minum air kotak.  Tuan rumah tinggal bersendirian selepas suami meninggal dunia sekitar dua tahun.  Anak-anak ramai semua tinggal berhampiran dan selalu menziarahinya.  Rumah yang ingin disewakan juga baik cuma teramat pelik kerana ruang bilik air terlalu besar dan mesti dilalui setiap kali mahu ke ruang dapur.  Ini gara-gara penambahan tanpa perancangan, atau tiada perancangan untuk keselesaan penyewa, atau juga kerana terbatas oleh reka bentuk rumah di bahagian atas.  Kesimpulannya, ia kurang sesuai bagi kelamin seperti kami.

Menjelang tengahari, kami terima panggilan telefon yang masuk ke telefon bimbit yang khas digunakan semasa ke Miri sahaja.  Wah, dua saat menjawab sudah ditolak $2.  Patutlah mak selalu kata panggilan tak dijawab kerana abah tekan nombor 019.  Hehehe ...  Kemudian bersembang selama 1 jam di telefon awam dengan Muhammad Naqib yang dijemput mak dari madrasah bawa balik ke Sijangkang dengan makluman penuh pihak pengurusan di situ.  Semalam petang dia menelefon mak meminta dijemput.  Ada borang yang perlu diisi dan dipulangkan semula esok berkaitan zakat.  Abah terus membatalkan semua urusan di kampung dan mereka bertolak ke Sijangkang jam 4 petang semalam bersama uwan juga.

Macam-macam ditanya dan diberitahu oleh Along.  Dia sudah hampir menguasai sepenuhnya juz 23-30, dan akan mula menghafaz juz 22 pula.  Alhamdulillah.  Peperiksaan juga dilaluinya dengan baik, katanya.  Juga kisah pelajar yang meninggal dunia itu, adalah kawannya.  Menurut Along, jenazah telah disembahyangkan di Masjid Seri Petaling.  Rezeki anak itu disembahyangkan oleh ramai jemaah yang hadir untuk solat Jumaat.

Kiriman saya minggu lepas juga telah diterima.  Katanya, Chocolatos dua kotak sekejap sahaja sudah langsai dek teman-temannya dan masing-masing mahu berkirim minyak attar yang saya kirimkan untuknya itu.  Lagi katanya, dia menunggu dengan penuh harapan untuk dijemput oleh Izun ke rumahnya di Kajang semasa jamuan house warming Sabtu dua minggu lepas.  Dan dia juga sudah siap menunggu uwannya datang mengambilnya sebaik selesai peperiksaan tempohari.

Kasihan mendengarnya.  Nak buat macamana, Along.  Cik Izun silap faham dengan kata-kata kamu tentang denda tidak boleh keluar selama tiga bulan itu.  Tambahan pula dia mahu menjemput kamu pada hari Jumaat, kerana pada Sabtunya itu dia sudah sangat sibuk menerima tetamu.  Uwan pula, semakin sibuk menemani atuk dengan macam-macam urusan formalnya itu.  Jadi, Along faham-faham sahajalah ya.  Sabarrrr ... senyummmmm.

Setiap orang bercakap dengan Along.  Sampai giliran Hurilain, dia turut berbual dengan onyangnya.  "Onyang nangis ke?"  tanyanya selepas dia memberitahu dia sayang onyang.  Matanya serta-merta memerah.  Lahh ... dua orang ini sudah menangis pula di talian.  Mungkin onyangnya terharu mendengar bicara Hurilain.  Minggu lepas katanya dia menangis tiba-tiba di sekolah ugama kerana teringatkan onyangnya.  Lalu dia menjadi bahan usikan oleh ustaz dan kawan-kawan.  Hmm ... saya pun rasa hiba jadinya :)


Situasi petang.  Tengahari kami merasmikan oven yang dibeli tempohari.  Bakar ayam seekor yang dirempahkan dengan rempah masala ~ oleh abah Naqhuhines.  Selesai solat, ketika sedang berkira-kira mahu keluar, hujan turun membasahi bumi.  Kami beredar juga kerana sudah ada janji untuk melihat sebuah lagi rumah di sekitar ini.


Dari kejauhan melihat rumah itu, pilu hatiku piluuuu ...! kata saya apabila ditanya oleh abah Naqhuhines.  Saya jadi sangat rindu kepada rumah  di Sijangkang.  Dan saya teringatkan filem Ibu Mertuaku tatkala P.Ramlee dan Sarimah berpindah dari pelbagai penginapan sehingga akhirnya mereka tinggal di bawah rumah sahaja.  Ketika pintu dibuka, ada bangkai tikus yang masih segar terdampar di hadapan pintu.  Ada banyak barangan yang disimpan di situ, termasuk beberapa desktop tersadai berhabuk.  Beberapa keping tingkap kaca sudah pecah lalu ditutup buat sementara dengan plywood.  Kami menjengah hingga ke dapur.  Bau berkuap hapak menerpa hidung.  Saya benar-benar jadi sangat rindu kepada rumah di Sijangkang!  Dari kejauhan sudah pilu, apabila berada di dalam rumah ini bertambah pilu hiba rasanya.  Ditambah pula dengan cuaca begini yang kehujanan.


Hidayat asyik memberi makan dua ekor arnab berbulu tebal di dalam sangkar.  Di sudut lain ada sepuluh ekor kura-kura di dalam sangkar berkunci yang berisi sedikit air.


Mungkin kawan yang mencadangkan rumah ini pun serba-salah agaknya.  Tidak mengapa.  Saya menetapkan hati.  Keputusan mesti dibuat segera.

Usai solat Asar, saya dengan rasa kurang sabar memberitahu abah Naqhuhines.  "Kita pindah jugak ke rumah tu.  Kita semua sudah mind-setting semenjak datang. Budak-budak pun sudah siap-siap sekolah di Seria.  Kenapa mesti kita cari rumah lain?  Semua orang kata Seria kawasan paling sukar mencari rumah sewa.  Bos pulak suruh kita cari sendiri lagi?"

Terbayang dua rumah yang dikunjungi tadi.  Ohh ... saya amat rindu kepada rumah di Sijangkang.  Di sini kami tidak memiliki dan tidak dimiliki.  Kami adalah musafir.

Rupa-rupanya abah Naqhuhines juga berfikiran sama.  Dan Hurilain tersenyum gembira.  Dia sudah tidak sabar mahu menapak ke AAC dari rumah.  Hidayat dan Hanessa juga begitu.  Saya juga!

"Ok, jom kita tengok rumah bos"
"Jommm!!!"  Awal pagi tadi, saya jual mahal ketika abah Naqhuhines mengajak melihat-lihat rumah itu.  Fikir saya, kalau sudah tak jadi pindah ke situ maka tak ada keperluan untuk saya melihat-lihat.  Bahkan saya terus mengambil kesempatan melelapkan mata hingga terlentok-lentok di dalam kereta sementara abah Naqhuhines, Hidayat dan Hanessa pergi menjenguk-jenguk.

Ternyata rumah ini jauh lebih baik daripada dua rumah tadi, juga rumah yang sedang kami diami sekarang.  Jadi anak-anak akan ke sekolah berjalan kaki sahaja. Kami berada di tengah-tengah antara Sekolah Rendah Muhammad Alam dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Saadatul Bolkiah.  Dan amat hampir dengan Anthony Abell College.  Ringkasnya, kami akan mendiami perumahan di tengah pekan Seria.  Bermakna saya semakin hampir dengan kawan-kawan baru di Kuala Belait juga.

Dalam kepala terbayang sekiranya mak dan abah datang nanti, tentu abah akan menapak menyusuri kedai-kedai di tengah pekan Seria di pagi-pagi hari untuk mencari roti canai, macam yang selalu dibuatnya di Sijangkang.

Hanya enam tahun lagi.  Seorang demi seorang akan kami usahakan menyambung pelajaran di tanahair juga. InsyaAllah.  Sehingga enam tahun lagi, apabila Hanessa tamat darjah enam di sini ...

Kita semua adalah musafir di dunia ini, sebagai tempat persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang kekal di sana.  Di perantauan ini, perasaan bermusafir semakin berganda.  Apa yang sangat menawan hati di sini bagi saya adalah ~ Kuliah Mufti di Nur Islam, antaranya.  Juga teman-teman yang baru dikenali, terasa serasi dan sehati.  InsyaAllah.  Ketika hati semakin rindu kepada tanahair, perasaan kembali terubat.  Kami akan pindah ke Seria, yeeeeeehhh!

Alhamdulillah, syukur kepadaMu ya Allah. Kami bermohon takdir yang baik selalu. Tetapkanlah kami di atas jalanMu dan tetapkanlah kami di dalam ugamaMu.  Ameen.

Saturday, February 19, 2011

Selawat Badawi

Hep! Hep!

"Hep! Hep! Jangan bising!"  Kata staf perpustakaan kepada tiga anak gadis comel.  Hanessa, Adibah dan seorang anak staf sendiri sedang berlari-lari di celah rak buku.

"Dibahhhh ...!" terdengar suara ayah Adibah pula, bernada amaran.  Ayahnya juga merupakan staf di perpustakaan ini.  Dia sedang asyik  melayari internet dari laptop, bagai bersembunyi di balik desktop yang berderet itu yang masih belum diaktifkan.

Adibah memang cergas dan lincah.  Suaranya tertawa tidak dikawalnya, seolah-olah dia di rumahnya sendiri.  Hanessa pula, perlu diperingatkan selalu.

Di dalam kereta menuju ke perpustakaan, saya berpesan "Karang jangan bising-bising.  Beritahu sama Adibah jangan jerit-jerit.  Nanti auntie di situ marah.  Beritahu sama Lokman juga, jangan panjat-panjat rak buku, nanti jatuh dia sakit.  Kamu semua juga yang kena marah."

"Adibah tu suka jerit-jerit.  Lokman tu nakal."  Ada sahaja jawapannya.

Memang perlu peringatkan dia.  Agar dengan itu dia akan dapat mengawal perlakuannya.  Namun biasanya yang terjadi ~ lupaaaa!  Dan mereka terus dengan lagak yang ceria.  Terkadang perpustakaan di bahagian bawah ini seperti di nurseri yang perlu dipantau selalu.

Teringat kepada rencana akhbar yang pernah dibaca, mengenai perpustakaan mesra pengguna di negara matahari terbit ~ Jepun.  Mereka mempunyai sudut khas untuk ibu bapa yang datang membawa anak-anak.  Di ruang khas itu mereka boleh makan bekalan yang dibawa bersama keluarga.  Mereka tidak menganggu dan tidak terganggu.  Fungsi utama perpustakaan digunakan sepenuhnya untuk mendekatkan anak-anak kepada buku seterusnya mencintai ilmu. 

Alangkah baiknya jika perpustakaan di Malaysia dan Brunei Darussalam ini sudi mengambil paten perpustakaan sebegitu untuk diaplikasikan.  Tentu semakin meriah setiap sudut yang ada. 

Sebuah harapan.
Saya mengunci semua pintu kereta.  Aduhh ... kasut saya memijak rumput basah dan tanah hitam yang lembik rupanya.  Terasa sedikit air meresap masuk ke kaki. 

Hati menduga-duga, insyaAllah laptop saya akan selamat di bonet.  Tak sesiapa tahu dan sangka, fikir saya.  Tetapi hati yang sama menasihati sendiri.  Usah terlalu pasrah.  Eloklah saya kuncikan kenderaan ini dengan rapi dan sesudah itu bertawakkal kepada Allah.  Bukankah itu lebih afdal?

Dari kejauhan mata menangkap kelibat anak-anak berpakaian t-shirt ungu hitam berlari-lari di kawasan rumah panjang (panggilan untuk tempat makan) dan kantin.  Mata pun meliar memerhati puteri hati.  Tiba-tiba si anak menerpa dengan senyuman lebar, selebar tangan yang mendepa luas lalu dia memeluk saya.  Ada dua anak perempuan sebayanya berpegang-pegang tangan, tersenyum-senyum di belakangnya.

Saya kenal anak-anak perempuan itu.  Mereka dua gadis kecil yang sama yang saya suapkan pada satu hari kelmarin.  Waktu Hanessa memesan dengan sungguh-sungguh agar saya muncul di kantin bersama mee goreng segera. 

"Nina dan Jenny dah kawan Adik!"  katanya sungguh-sungguh ketika saya menjemputnya tengahari itu.

"Baguslah."  kata saya, senang hati.  Selalu dia mengadu orang itu dan orang ini tak mahu berkawan dengannya.

"Dorang kata mee mama sedap.  Dorang suka.  Kitorang dah macam adik-beradik, kan."  mulutnya terus berbicara petah.  Ceria sungguh dia.

Itu kali pertama.  Nampaknya hari ini berulang lagi.  Dulu mee goreng segera itu cukup banyak untuk Hanessa seorang.  Dua bungkus saya siapkan untuk abangnya Hidayat juga, yang melenting-lenting entah ke mana.  Jadi kerana banyak, saya fikir tak mengapa anak-anak comel ini menjamahnya sama.

Hari ini, mee goreng itu sedikit sahaja.  Hanya sebungkus.  Namun anak-anak ini sudah mencega saya bersama senyuman mereka yang sungguh manis itu.  Demikian tulus dan jernihnya hati dan perasaan mereka terhadap saya. 

Dan saya pun duduk sambil menyuapkan tiga mulut comel yang menganga, seperti anak-anak burung yang kelaparan.  Ketika hampir habis, barulah Hidayat muncul di belakang saya dan berebut-rebut untuk sama disuapkan.

"Aku mahu beli air.  Tetapi aku tidak ada duit."  kata Nina, selesai makan.  Bekas mee sudah licin tidak ada sehelai pun yang tinggal. 

"Kenapa?  Mamamu tidak beri wang?"  tanya saya dengan loghat Brunei.  Sama anak-anak hamtam aje la, cakap orang sini. 

Nina mengangguk-angguk.  Senyum lagi.  Jenny saya renung.  Dia sedang memegang sekotak air laici berwarna merah.   Wajah Jenny amat mengingatkan saya kepada Wan Nawal Jamilah, anak saudara saya yang sebaya Hurilain.  Ada tahi lalat di pinggir bibirnya sebelah kiri menghias wajahnya dan menambah manis senyumannya. 

"Kau mahu wang?"  tanya saya lagi.  Orang sini tak mengira usia menggunakan 'aku-kau' berbanding 'saya-awak' untuk berinteraksi, termasuk di dalam kelas juga antara guru dan murid, macam kata Hurilain.

Nina angguk-angguk lagi.  Senyuman terus terukir.  Dia seperti malu-malu.

Saya buka dompet dan hulurkan wang siling 50sen ke tangannya.  Dia dan Jenny segera berlari ke arah kantin. Hanessa terkinja-kinja mengekori mereka.  Sebentar kemudian Nina dan Jenny muncul semula.  Di tangannya ada peket plastik hirisan kentang goreng.  Hanessa menonyohkan hirisan kentang goreng di tangannya kepada saya. 

"Eh, kau kata mahu beli air!"  kata saya.  Hairan melihat anak-anak ini.  Nina tertawa-tawa, separuh berjoget di hadapan saya.

Hmm anak-anak ... tetap anak-anak walau di mana berada.  Namun anak-anak ini sentiasa manis dan ceria.  Awal kehidupan yang selalu dihiasi pelangi indah. 

Andai anda berhati gundah, hampirilah anak-anak.  Tatapilah wajah mereka yang jernih tanpa dosa.  Nikmatilah senyuman mereka yang penuh tulus.  Mata yang bundar berkilau itu adalah hati mereka yang bersih.  Tiada prasangka.  Tiada duka.  Tiada kecewa.  Semoga anda dapat tersenyum lagi. 

InsyaAllah.

Teringat kata Hanessa, "Kita dah macam anak-beranak, kan mama."  Kami bertukar senyum, puas.

Thursday, February 17, 2011

Di Hening Malam

 

Syahdu memang syahdu.  Mendayu dan menusuk kalbu.  Antara beberapa  lagu kegemaran saya yang sangat terhad.  Kalau dengar berpuluh kali pun tak jemu rasanya. 

Tak risau lagi kredit hp susut untuk melayari internet.  Saya berada di Perpustakaan Seria.  Jadi bolehlah upload satu dua video seperti ini.  Cuma suhu di dalam ini teramat sejuk, sehingga jari-jemari menjadi kecut dan pucat.  Sudahlah cuaca mendung sahaja.  Sudah beberapa hari terlalu panas hingga terasa garing di dalam kereta.  Tetapi masih hujan di sebelah malam bahkan semalam ia 'lebat giler'.  Terkenang hujan yang menimpa atap zink rumah uwan di kampung satu ketika dulu.  Kalau hujan 'lebat giler' macam tu, nak bercakap pun harus menguatkan suara melawan suara hujan.  Sekarang sudah senyap sedikit kerana sudah ditukar atap ardec. 

Sambil membuat pembaikan novel bab 1 Sakinah, sambil melayan lagu untuk halwa telinga.  Hehehe ... memang membantu menghilangkan mengantuk dan kebosanan.  Ilham pun mudah-mudahan lancar sahaja, insyaAllah dan alhamdulillah.

Ohhh ... sejuk giler!!!

Tafakur - Zikraa

Wednesday, February 16, 2011

Cerpen Alif Naik Pelamin

Alhamdulillah, setelah ia saya terlupakan, akhirnya ia diterbitkan juga.

Terima kasih buat editor Dewan Pelajar.

Ya, cerpen nukilan saya bertajuk 'Alif Naik Pelamin' kini boleh dibaca di majalah kanak-kanak Dewan Pelajar terbitan bulan Februari 2011.  Cerpen ini adalah cerpen pertama saya yang dibengkelkan di blog bengkel online Sastera, di bawah tunjuk ajar dan bimbingan Sifu Az.  

Ribuan terima kasih buat Sifu yang selalu memberi kata-kata perangsang, "gigih terus k!"

Sebuah cerita yang saya garap dari kehidupan seharian.

Kisah di dunia kanak-kanak yang penuh warna-warni indah yang ceria dan lucu.  Mungkin ada di antara ahli keluarga anda yang pernah melalui pengalaman sedemikian rupa satu ketika kelmarin.

Selamat menjengah sebentar ke alam ceria :)

Saya dapati sangat sukar mendapatkan majalah ini di Seria bahkan Miri juga.  Lebih memeranjatkan ketika teman mengatakan di sekitar Seremban juga tiada.  Kakak di Puncak Alam pun demikian jua.  Apa sudah jadi kepada bahagian pemasaran Dewan agaknya ...  Saya pun belum baca lagi cerpen yang diterbitkan ini, dan tidak pasti sama ada ia melalui pembaikan edit lagi oleh pihak editor.  Karya asli masih di dalam simpanan saya.

Sekiranya anda pun sama tak berjumpa, tunggulah saya terbitkan cerpen ini di blog pada Mac nanti, insyaAllah.  :)

Sebuah kemujuran.  Saya muncul di blog bimbingan itu selepas bertapa hampir tiga bulan dan memulakan semua apa yang sudah terhenti seketika.  Dan tiba-tiba tanpa diduga, cerpen ini juga muncul bagai mengiringi saya hehehe ...   

Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanaha wa taala yang menyusun jadual hidup sebaiknya.

Tuesday, February 15, 2011

Puteri Bidadari

Masuk je pintu, saya bertemu dengan bidai penghandang menutup pandangan ke ruang tamu.  Tidak nampak orangnya tetapi telinga menangkap suara-suara garau orang lelaki di sebalik sana.

Mana puan rumahnya ni?

Tercangak-cangak.

Tidak kelihatan bayang wanita pun.  Saya melangkah masuk ke pintu kedua.

Mungkin ini hala ke dapur.  

Sebuah ruang yang lapang menanti.  Ada sebuah meja bulat yang rendah di atas karpet di satu sudut.  Terdapat pelbagai bekas makanan bertutup sudah siap di atasnya.  Di sekeliling dinding tersandar kusyen-kusyen empuk, ala-ala Arab gitu.

Ada suara wanita di ruang sebelah.  Lalu saya menjenguk, berjabat tangan, berpelukan dan saling berkenalan.

Tidak lama kemudian, kami sudah berada semula di ruangan berkusyen untuk menikmati hidangan.

Kini kenalan baru warga Malaysia semakin bertambah.  Puan Hawa juga mempunyai dua putera yang baru sahaja memulakan pengajian tahfiz di Madrasah Bukit Changgang, di tempat Muhammad Naqib.  Bahkan melalui anak-anak inilah, abah Naqhuhines dihubungi oleh Haji Nuroll Azman, suami Puan Hawa.

Alhamdulillah.  Jika sebelum ini kenalan serumpun bertumpu di Bandar Seri Begawan, kini silaturrahim semakin berkembang ke selatan Brunei iaitu di sekitar daerah Kuala Belait pula.  Dianggarkan terdapat seramai 30 ribu rakyat Malaysia yang berada di Negara Brunei Darussalam, dan terlibat di dalam pelbagai lapangan kerja sama ada dengan kerajaan atau swasta.

Semoga perkenalan ini membawa kepada kebaikan dan meningkatkan lagi kualiti hidup kami.  InsyaAllah.

Seolah-olah jalan sudah dibukakan oleh Tuhan terhadap hasrat kami untuk menghantar Hurilain pulang ke Malaysia.  Salah seorang tetamu Puan Hawa adalah ibu kepada seorang puteri yang kini sedang belajar di Madrasah Lil Banat, Sri Petaling.  Umurnya sekitar 14 tahun.

Bahkan puteri Puan Hawa sendiri terlibat sebagai tenaga pengurusan di madrasah tersebut.  Kata Puan Hawa, anaknya itu pernah bertanya kepadanya tentang seseorang dari Brunei yang mengutus surat dengan loghat Brunei ke madrasah.


Gulp!  Surat tu aku yang tulis tu ... 

Saya diam.  Terperanjat pun ada.

Iyalah, kan ke surat tu surat formal.  Rasanya guna Bahasa Melayu Tinggi tu.  Luar biasa juga ni!  Apa yang lainnya ... entahlah.

Setelah beberapa ketika, baru saya mengaku, "Sebenarnya surat tu saya yang draf.  Letak je nama suami ..."  Hehehe ... semua pakat gelak kecil.

Tak pe, gelak sikit-sikit menambah kemesraan.

Akhirnya, Puan Hawa kata dia akan susul anaknya berkenaan surat itu.  Belum ada lagi jawapan dari pihak madrasah tentang isi kandungan surat itu kepada kami.


Gelak gelak le ... tapi harap ustazah tolong bagi feedback jugak ye...

Kini saya terbayang-bayangkan Hurilain di madrasah.  Terbayang-bayang dia memakai purdah hitam menyelubung seluruh tubuh.  Semoga keselamatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala untuknya.

Teringat kat Naqib.  "Semua pelajar perempuan pakai purdah.  Nanti Ain boleh jadi Zorro sebab semua putih hanya keliling mata je hitam," katanya menyakat adiknya semasa timbul ura-ura untuk menghantar Hurilain ke madrasah juga dulu.  

InsyaAllah semoga Allah memperkenankan niat yang baik dan memudahkan semua urusan untuk mendapatkan keredhaanNya.  

Untuk Hurilain, semoga menjadi srikandi muslimah yang sejati dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah Subhanahu wa Taala.  Semoga mendapat didikan yang terlebih baik.  Belajar bermujahadah dan muhasabah diri.  Mengenal diri dan mengenal Tuhan yang telah menjadikan kita, serta tujuan-tujuan kita dijadikanNya.  Menyelam ke dalam lautan ilmu kebenaran.  Dan akhirnya benar-benar menjadi seorang Puteri Bidadari seperti namamu yang sebenar ~ Amirah Hurilain.  Insyaallah.  Ameen. 

Monday, February 14, 2011

kami akan menyusul jua...

ketahuilah, apabila maut menjelang tiba,
tiada sesiapa yang dapat menolaknya.

ia bisa muncul secara tiba-tiba,
tanpa sebarang tanda.

ia juga boleh muncul selepas beberapa ketika,
dengan isyarat-isyarat yang dibawa olehnya.

ketahuilah, apabila maut menjelang tiba,
tiada sesiapa yang dapat menolaknya.

kepada yang masih tinggal,
redalah selalu,
atas ketentuanNya.

menangislah,
usah ditahankan airmata.

kerana sudah sunnah Allah,
setiap permulaan akan ada kesudahan,
setiap pertemuan akan ada perpisahan.

Yang Maha Kekal hanyalah Allah jua.

semoga roh mereka yang kita kasihi,
dinaungi kasih Allah dan rahmatNya,
keampunan dan redhaNya.

selamatlah kamu di alam sana, kerna sudah ketentuanmu di situ untuk kali terakhirnya.  semoga kedua ibu bapa dan ahli keluargamu reda.  semoga beroleh redaNya jua.  kembali ke pangkuanNya sebagai syahid di dalam perjuangan mencari ilmu.  selamat jalan terlebih dahulu.  kami akan menyusul jua.


catatan buat pelajar tahfiz yang meninggal dunia di madrasah. Al-Fatihah.

Makan di bawah pohon

Hidayat bersila sambil menyuap nasi penuh selera.  Hanessa sudah lebih awal duduk dan kini sedang menyuap kali ketiga.  Dia mengutil daging ayam dan menyuap nasi ke mulut hingga penuh.  Nampak seperti betul-betul lapar!  Ohhh ya, tadi semasa menjemputnya di sekolah, ayat pertamanya ialah, "Mama, Baby lapar sangat  ni!" Aroma nasi katok naik ke hidung.  Terliur pula melihat gelagat mereka berdua hehehe ...

Hurilain pula makan di dalam kereta.  Malu, katanya.  Ada beberapa kereta melimpasi tempat kami berteduh, orang di dalamnya memandang-mandang ke arah kami. 

Ala, apa nak malu.  Ntah-ntah mereka pun teringin makan macam ni, santai-santai di bawah bayang pohon, bersila di atas tikar.  Macam di tepi pantai sahaja walaupun sebenarnya di tepi longkang yang bersih ni. 

Lain kali kita makan di kantin sekolah sahaja.  Di sana ada meja dan paip air.


Tapi, makan bersila bawah pokok ni pun best apa!  Angin bertiup sepoi-sepoi aje.

Selesai makan, Hanessa membelek siput bulan yang hidup di dalam longkang yang berair jernih.  Suka sangat dia melihat siput berwarna hijau yang berbagai saiz itu bergerak-gerak.  Itu ayah dia, nak bawak ibu dia jalan-jalan.  Itu anaknya, comelnyaaaaa! kata Hanessa sambil mengajak saya sama melihat haiwan moluska itu.

Kemudian, kami menuju Masjid Seria untuk mereka masing-masing menukar pakaian.  Jemaah solat sudah bubar.  Kami tidak bertemu mereka.  Hurilain macam selalu, mencuci wajahnya dengan pencuci muka sehingga hatinya puas wajahnya sudah bersih.   Itulah sebab kedua kami perlu ke masjid.  Untuk menunaikan solat Zuhor dan anak gadis ini dapat membersihkan wajahnya.

Mungkin inilah rutin baru kami.  Hati saya lega.  Tidak bimbang anak-anak akan mengotorkan karpen merah muda masjid lagi.  Tidak juga menyimpan rasa serba salah di hati.  Walau kini meja panjang yang selama ini ditangkup dua di sisi dinding sudah tercegel di tengah-tengah serambi seolah-olah dibentangkan untuk anak-anak saya makan, rasa lebih selesa dan bebas makan di bawah pohon sahaja.

Setiap hari selalu bertambah baik, insyaAllah.

Kini kenalan semakin bertambah walaupun belum tahu nama.  Malam kelmarin (Sabtu malam) kami mendapat jemputan di Kuala Belait untuk meraikan kenalan baru yang akan berangkat ke Abu Dhabi, pasangan Syed dan Aisyah.  Di pertemuan ini, saya dikelilingi oleh warga Malaysia semuanya.  Bagai berada di tempat sendiri.

"Orang baru ke?  Tak pernah nampak pun?  Tinggal di mana?"  adalah soalan-soalan yang ditanyakan kepada saya.

Alhamdulillah ceria rasa hati kerana diterima dengan baik.  Masing-masing ramah belaka.  Dan bertambah gembira kerana ketemu Puan Norazati Hussain yang anaknya turut belajar di madrasah Naqib. Saya turut dijemput untuk mengikuti program mingguan di rumah setiap teman.

Buat sekian kali, rupanya kami tetap 'jauh' kerana tinggal di Lumut.  Hehehe ... tak mengapalah.  Janji tali silaturrahim tetap dijalinkan.  Dan tak lama lagi kami pun akan ke Seria juga :)! InsyaAllah.

Saturday, February 12, 2011

Ain malu, mama.

"Mama, Ain malulah ...!"

Ketika sedang memerhatikan skrin laptop Acer di sebelah anak gadis saya, dia bersuara begitu.

"Ehhhh tak apa tu Ain.  Kita orang perempuan mesti rasa malu.  Pakaian kita tu.  Nabi dan Rasul semuanya bersikap malu.

Hurilain memandang saya, sedetik ... dua detik ... tiga detik.  Dia tersenyum.

"Tapi, Ain rasa bersalah pulak."

"Ishh, jangan rasa bersalah kerana rasa malu.  Tak apa tu!"

Hurilain diam.  Tapi, malu apa pula ni hingga rasa bersalah??

"Tapi, mama.  Malu ni tak baik."

"Kenapa?"

"Mama ... bila abah nak beli kereta baru untuk mama?"

Ke situ pulak!

"Sabarlah.  Tak lama lagi tu.  Kan abah dah suruh pilih.  Diam-diam aje la!"

Mahu surprise kononnya.  Aku pun tak tahu tapi firasat mengatakan tak lama lagi mungkin kurang dari setahun, barangkali.

"Mama, Ain minta maaf eh!  Ain malu sangat masa mama naikkan tingkap belakang tu semalam."

Ohh sudah faham!

"Kawan-kawan nampak penyendal pintu hijau tu kat tingkap."  Tulus sahaja.

Yelah, semalam mama tinggalkan kereta sekejap di tempat parkir.  Bimbang keselamatan Acer di bonet kereta.  Sebelum ni selamba saja meninggalkan kereta tanpa tutup tingkap dan  tanpa kunci kereta.

"Napa?  Diorang ketawakan ke?"

Sudah gunakan kertas pun jatuh juga tingkap tu.  Dua penyendal pintu warna hijau tu orait jugak.

"Takkk.  Tapi diorang  nampak."

"Ala, biarkan je la."

Perasaan aje tu ...

Hurilain diam.  Memikir sesuatu.  Mahu mencari keyakinan yang berhamburan.

"Iya la mama.  Tak baik Ain malu macam ni, kan.  Ada kereta warna merah tu, lagi teruk, ma.  Cerminnya pecah dan diganti dengan plastic wrapper tu je."

Betul ke atau nak cover rasa bersalah ni, agak-agaknya ...

"Sabar.  Kalau ada kereta baru pun, tak boleh berperasaan bangga pulak."

Lalu aku terkenang satu ketika dulu, ketika sudah remaja.  Aku pun rasa malu membonceng motor vespa abah walaupun hanya sesekali sahaja.  Kerna kumalu aurat yang ternampak dari kain yang tersingsing sedikit.  Namun aku juga cemburu kepada Salmah yang berbibir merah delima itu yang selalu abah tumpangkan membonceng ke arah sekolah kami.  Di mana Salmah sekarang agaknya?

Maafkan saya, abah.  Saya sangat sayangkan abah.  Dan saya tahu bila-bila sahaja abah boleh membeli sebuah kereta waktu itu, hanya abah tidak mahu.  Dan abah tidak mahu berjalan jauh bersama-sama.  Kata abah, kalau kemalangan semua maut tiada yang akan tinggal.  Prinsip abah aneh buat saya, tetapi rupanya sekarang ni selalu terjadi demikian.  Kemalangan berlaku di mana-mana, mengerikan dan terkadang tidak tinggal seorang pun waris.

Dan kini, rupanya motor vespa macam milik abah tu mempunyai nilai antik yang sangat dihargai oleh orang yang pandai menilainya.  Saya tak pernah mengadu macam Ain.  Dia lebih luhur dan telus rupanya.  Maafkan saya, abah.

Al-Fatihah buat ayahanda Haji Manaf bin Yatim.

Friday, February 11, 2011

Mungkin tajuknya 'Kepoh'


Hati berasa girang, tanpa musabab yang keterlaluan.  Girang semata, kerana kini saya selalu melihat hari demi hari sentiasa lebih baik.  Kadang-kadang begitu ya, hati kita.  Terkadang pilu terkadang riang.  Apa yang penting sentiasa mengingati Tuhan.  Syukur ke hadratMu, ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.  

Alhamdulillah ...

Tiba-tiba petang semalam sekitar jam tiga, saya membaca kiriman pesanan dari Kak Ummu, pengurus kanan blog Sastera.  Beliau memaklumkan satu berita yang membuatkan saya bertambah riang. 

Alhamdulillah ...

Cerpen saya bertajuk Alif Naik Pelamin diterbitkan di Dewan Pelajar Februari 2011!!!

Alhamdulillah ...

Cerpen itu saya hantar melalui emel kepada editor Dewan Pelajar pada 19 Disember 2009 lepas, selepas meneliti senarai emel yang dihantar keluar.

Alhamdulillah, akhirnya keluar juga!

Sebenarnya semua cerpen yang dihantar sudah saya ambil semula.  Rupa-rupanya cerpen Alif tertinggal dari pengambilan.

Rezeki ... Alif mahu keluar di Dewan.

Saya rasa kepoh di Sastera!  Ohh ...  sebab saya tertanya-tanya cerpen yang mana yang keluar??

Memang kepoh la tu!

Segan pulak.  Keluar kat majalah kanak-kanak je.  Kepoh bukan main.

Tau tak pe!  Lain kali jangan kepoh-kepoh la makcik.

Hmm saya cuma rasa girang.  Sifu dan kawan-kawan sebengkel pun berkongsi kegirangan.

Mereka beri sokongan.  Itulah rakan seperjuangan.  Sama berkongsi rasa.

Jadi entri ini mungkin sesuai diberi tajuk ... ‘Kepoh’. 



Thursday, February 10, 2011

no title

SUDAH 10.23 AM!
Pecut pecut, wahh dah jarang sangat bawak sampai 130 nih.  Ala kesiannya Hanessa tentu dia sedang tercari-cari muka mamanya kat celah-celah parents kat kantin sekolah tu.  Alahai, sempat ke tak sempat ni?? 

Tiba-tiba kelajuan turun mendadak 50km/j.  Selepas potong kereta demi kereta termasuk sedikit garis kembar putih tu, saya ketemu belakang lori gedabak yang sedang berjalan dengan sopan-santunnya.  Ikut jangan cuba potong, sekarang di kawasan bahaya.  Jangan cuba-cuba langgar undang-undang jalanraya.  Ohh lega, lori itu beri signal ke kanan dan masuk ke simpang dengan santun. 

Pecut balik, dan bagussss sebab nun kelihatan lampu trafik berwarna hijau.  Beri signal ke kiri dan menyusuri tepi bulatan kecil, terus ke perkarangan sekolah Muhammad Alam.  Parking di belakang sebuah bas mungkin ada trip (?). 

Alhamdulillah, dan terus ternampak gadis kecil yang comel itu sedang berdiri di kaki lima bersendirian.  Dan kami saling menerpa berpelukan.  Ohh kasihannya dia.  Kan, dia memang menunggu-nunggu saya!  Saling tersenyum dan tertawa, kami menuju ke kantin.  Masih ramai pelajar berkeliaran dan berlarian di sana sini.  Jam di telefon bimbit menunjukkan baru 10.17 AM.  Tentu jam di dalam kereta sudah tercepat. 

Kami beriringan ke kedai menjual makanan.  Hanessa mahu makan meehon goreng dan air milo ais.  Saya menyuapnya hingga habis.  Dari jauh kelihatan Hidayat bermain dengan kawan-kawannya, baru perasan kehadiran saya ketika loceng hampir berbunyi.  Peluh meleleh di pelipisnya. 

Dan loceng pun berbunyi.  Saya menemani Hidayat dan Hanessa menuju kelas masing-masing.  Terasa anak-anak berdua ini dimanjakan, terutamanya Hanessa.  Rezeki dia dilahirkan sebagai anak bongsu, barangkali.  Bersalaman dan melambai-lambai mengucapkan selamat tinggal, tersengih riang.

Saya pun menuju ke kereta.  Dek mengejar si anak, saya lupa mengunci pintu kereta.  Tiba-tiba saya tidak menjumpai anak kunci kereta di mana-mana.  Argh!

Dengan laju sambil mengawal rasa cemas, saya kembali ke kantin sambil membayangkan meja tempat kami duduk tadi yang sudah kosong.  Memang tiada apa-apa di situ. 

"Kunci kereta saya hilang!" 

Puan Jamilah, kawan yang dikenali semasa persembahan akhir tahun lepas dan beberapa wanita kakitangan sekolah (bahagian dapur sekolah) yang masih ada segera mendapatkan saya.  Saya pula menyelak-nyelak sampah kertas pembungkus makanan yang membukit di dalam tong sampah hitam, kerana tadi saya membuang pembungkus meehon dan cawan plastik air milo di situ.  Seorang mengangkat plastik hitam dan mula mencari-cari di dalamnya.  Saya pula terduduk sekejap, sambil menyelongkar beg galas hitam.  Semua poket diseluk, tak ada!

Tiba-tiba terfikir sesuatu, dan jeng jeng jeng ... "Alhamdulillah, ni dia dah jumpa!"  Girang dan termalu sendiri. 

Kunci itu tersalah masuk ke ruang yang dihasilkan oleh koyakan lapik dalam poket luar beg galas saya.  Hehehe ... Kata Puan Jamilah, "Tu nak kena beli beg baru tu!"  Senyummmm ...

***
12.40 PM

Anak-anak sudah masuk ke dalam masjid untuk mengganti pakaian dan makan.  Saya menunggu di dalam kereta sambil memerhati awan di langit yang seperti kapas berlonggok-longgok.  Cuaca panas.  Bahang terasa. 

Tiba-tiba Hurilain muncul dengan tangisan.  "Jom mama kita makan di tempat lain."  Saya kehairanan.  Ohh rupa-rupanya wanita yang pernah menegur mereka dahulu muncul semula, dan menegur lagi di hadapan wanita-wanita lain yang sedang menunggu solat berjemaah.  Hurilain berasa malu kerana semua mereka memandang ke arahnya.  Dulu wanita yang sama pernah menegur 'kehitaman' anak gadis saya ini; suatu teguran yang menyentuh hatinya. 

Sudah lama saya tidak bersua wanita ini.  Hingga saya sangka dia sakit atau bermusafir lama.  Hari ini, tanpa kehadiran saya atas halangan syar'i, dia menegur anak-anak saya lagi.  Seolah-olah mereka makan dan berbuat sepah di situ.  Mungkin dia tidak tahu kumpulan mengaji di sebelah petang turut menjamu selera dengan pelbagai juadah selepas pengajian di situ. 

Saya selalu memastikan tidak ada sisa makanan yang tertinggal selepas mereka makan.  Andai saya keuzuran, pasti saya titipkan pesanan supaya mereka menjaga kebersihan di situ.  Dulu, pernah saya suruh anak-anak makan di ruang luar kaki lima masjid yang luas itu, tetapi kebanyakan masa kawasan terbuka itu dipenuhi kekotoran tahi burung layang-layang yang bersarang di sudut atap masjid dan tahi cicak.  Dan ada jemaah yang menyuruh anak-anak makan di dalam tempat solat tetapi haruslah menjaga baki makanan daripada bersepah.  Lama dulu, anak-anak makan di bawah pokok sahaja.  Kalau hujan, kena tempias air hujan, kerana tingkap belakang kiri selalu terjatuh (rosak la tu).  Kalau panas, berbahang rasa, kerana penghawa dingin kereta sudah lama rosak (alasan kecil sahaja).

Bagaimana menghadapi situasi ini?

Sabar sahajalah.  Semoga cepat-cepat dapat pindah ke Seria ini.  Tidak perlu lagi transit di masjid kerana boleh berjalan kaki sahaja ke sekolah. 

Apabila mama solat di masjid nanti, kamu makan sahajalah baik-baik jangan sepah-sepahkan makanan walaupun mama tahu kamu tidak berbuat begitu. 

Wednesday, February 9, 2011

Panggilan Telefon

Salam.
Kadang-kadang kita membuat panggilan telefon.  Kadang-kadang kita menerima panggilan melalui telefon.

Biasanya saya terima panggilan dari mak di kampung.  Bertanya khabar dan sok sek sok sek itu ini.  Akhir sekali cerita dia dan abah sibuk dan"Bila mak nak jumpa Along ni.  Dah rindu kat Along.  Ternampak-nampak Along tunduk makan nasi lemak.  Dah terdengar-dengar Along cakap "Wan, nak duit!" ..."

Sesekali saya pula buat panggilan kepada mak Juriah yang selalunya abah yang jawab kerana mak dah malas nak pakai telefon bimbit.  Juga mak Ramlah dan Mak Leha.  Bertanya khabar dari jauh.  Lega dan syukur kala mendengar suara mereka menjawab, "Alhamdulillah, mak sihat."  Kemudian mak-mak bertanya pula khabar kami sekeluarga kat sini.  Pot pet pot pet, "Ok mak, kirim salam kat si anu tu, kat si anu ni, ya.  Assalamualaikum.  Bye."

Kadang-kadang saya menelefon abah Segamat, mewakili suami bertanya khabar.  Pernah juga tersilap abah.  Sepatutnya return call ke abah Hj. Mat kg tetapi buat call ke abah Hj. Mat di Segamat. 

"Eh, ayang telefon abah mana ni?"  tanya suami kehairanan.  Laa ... salah abah rupanya.  Tapi tak mengapalah, tanya-tanya khabar. 

Uh, patutlah abah pertama tadi macam pelik aje, "Mak kau, tadi awak ada tepon Intan ke?"  tanya abah pada mak Leha.  "Tak de, Alid agaknya." jawab Mak Leha meneka-neka.  Hi hi hi ... apa mimpi Alid nak call sini pulak!

Kelmarin Ahad, 6 Februari ketika kami di Miri, tiba-tiba masuk panggilan terputus-putus dari seseorang yang tak saya sangka akan menelefon.  Nina namanya.  Salah seorang gadis yang pernah menjaga anak-anak di Pusat Jagaan Awin Cemerlang.  Satu-satunya gadis yang berani tinggal bermalam sendirian di nurseri itu.  Satu-satunya gadis yang mampu mendodoi seorang bayi yang paling kuat menangis di situ hingga si bayi melekat dengannya.  Juga satu-satunya gadis yang sangat keibuan, mengisytiharkan panggilan 'Umi' untuk dirinya.  Dan semua kanak-kanak termasuk anak-anak saya memanggil  Nina, "Umi! Umi!" dengan cerianya dan disahut dengan ceria juga oleh Nina.  Dia memang ceria, sedikit nakal dan pandai melayan kanak-kanak.

Dia berceloteh di hujung talian sekitar 7 minit.  Bertanya khabar saya dan keluarga.  Bertanya tentang Naqhuhines.  Dari suaranya, dia masih ceria seperti biasa, seperti Nina yang dulu juga. Saya tersenyum mengenangkan gadis ini.  Ada sesuatu yang mencuit hati.  Biarlah rahsia hehe ...

Sebelum panggilan dari Nina, saya juga pernah terkejut dengan panggilan luar biasa ke telefon bimbit suami  yang membangunkan dia jam 2 pagi.  Huh, memang mengejutkan.  Iyalah, panggilan tengah malam buta atau pagi buta bukan panggilan biasa-biasa.  Tentu amat mustahak dan luar biasa.  Nombor telefon pula dari telefon awam.  Siapa saja la ni ...

Kemudian beberapa panggilan menyusul, beberapa hari kemudian ke telefon bimbit suami lagi.  Hmm rupa-rupanya Fitri, pemuda yatim piatu yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.  "Aku rindu sama wak.  Bila wak nak balik sini?  Balik la terus wak, aku nak makan asam pedas wak," kata Fitri sayup-sayup.  Terus terbayang raut wajahnya yang bulat dan matanya yang bulat besar.  Timbul rasa simpati kepada Fitri.  Agaknya dia kesunyian.  Tetapi kami pun tidak selalu bergaul dengannya.  Hanya sesekali andai dia lalu di hadapan rumah dan suami sedang berkumpul dengan gengnya, tentu dia diajak singgah dan sama makan biskut cecah teh tarik atau kopi.  Yang asam pedas tu, agaknya dia teringat kenduri terakhir kami sebelum ke Brunei dulu, yang antara menunya ialah asam pedas ikan kembung.

"Heh Fitri, apa kau buat malam-malam buta telefon aku dulu?" tanya suami, teringat panggilan misteri jam 2 pagi dulu.  Fitri tertawa-tawa.  Apakah dia sangka jam dua pagi di Sijangkang tak sama dengan waktu di Brunei agaknya ...  "Wak, kirim salam Kak Intan ya, anak-anaknya sekali."  Apa la Fitri, aku kau panggil Wak, bini aku kau panggil akak, rungut suami sengih-sengih.  Boleh kata sebulan sekali Fitri akan menelefon lagi. 

Akhir sekali, ada juga menerima panggilan telefon dari unknown number.  Sekali dua terdengar suara perempuan bangsa asing bercakap dengan bahasa yang saya tak faham.  Beberapa kali berikutnya, mungkin panggilan dari beberapa orang yang mahu merahsiakan nombor masing-masing, dan asyik tersilap nombor barangkali.  Dua tiga kali rajin juga menjawabnya, mungkin panggilan penting.  Dan kredit pun terbang 20sen setiap kali menjawab, tanpa ada suara yang kedengaran di hujung talian.  Hmm ... mungkinkah Fitri sudah pandai menggunakan nombor rahsia pulak??  Mungkin kena tanya Fitri nanti.

Macam-macam dengan panggilan telefon.  Kadang-kadang salah dengar, orang cakap lain kita jawab lain.  Kadang-kadang kurang dengar, jawab "Ahh ... ooo ... haa apa dia??"  Tak dengar juga, "Talian tak clear la!" Dan panggilan tak dijawab walau sudah berkali-kali mencuba ohhh ... walaupun di waktu lengang dan dalam masa yang ditetapkan.  Mungkin mahu mendidik kita menjadi orang yang sabar selalu.  :)

Tuesday, February 8, 2011

Kemudahan

Jemari menekan-nekan tasbih elektronik dengan mata yang terpejam menahan kantuk.  Lambat pulak budak-budak ni, apa yang dibuatnya kat dalam masjid?  Tentu sedang asyik menikmati sambal petai yang 'marvelous' tu ... hmmm.

Lagi ... salin pakaian dan huh ... janganlah ada tumbuk-menumbuk!  Namun biasanya tanpa mamanya, pandai pulak masing-masing menyiapkan diri tanpa masalah.  Memang itulah namanya anak.  Kalau perlu bersendiri berdikari, boleh pun selesaikan urusan yang perlu.

Saya, macam selalu, andai tidak perlu beriktikaf di masjid, saya akan 'berdiang' di dalam kereta.  Dan sempat juga mata mengambil kesempatannya untuk berehat-rehat seketika.

Tiba-tiba muncul Hurilain di sisi dengan wajah cemas, tangannya memegang tudung di bawah dagu.  Ah, apa sudah jadi?  Tudung di bawah dagunya telah terbuka jahitan sepanjang kira-kira 4 inci!  Macamana boleh koyak, dia pun tak tahu.  Saya raba brooch di tudung saya.  Hmm kalau bagi brooch ni kat dia, tudung saya pula terbuka tapi saya boleh lari sekejap ke kedai brooch.  Hurilain enggan memakai brooch, kerana bahagian bawah brooch di tudung yang terbuka jahitan akan tetap terkangkang terbuka.

Fikir fikir fikir sambil memandang wajah Hurilain yang berkerut.  Akhirnya saya kata, "Dah jom ikut mama gi library."  Dalam kepala terfikir, Hidayat macamana?  Otak melayang-layang; kalau ada kawan duduk dekat-dekat, mungkin boleh tumpang jahit di rumahnya.  Ada, tapi entah kat kawasan mana tak tahu pula.  Atau mungkin saya boleh lari ke kedai mencari benang putih dan jarum, dan jahit tudung secepat yang boleh (tapi ambil masa juga  ni).  Apa lagi yang boleh dibuat ya?

Aha, tiba-tiba melintas ilham untuk ke kedai jahit India yang selalu saya jeling-jeling setiap kali melintasi deretan kedai, berdekatan dengan Shell kecil Seria.  Lalu kami pun menyusuri jalan sehingga ternampak papan tanda 'Kedai Jahit'.  Kedai yang selalu saya nampak bukan di sini, tapi ada papan tanda tu dah bagus.

ersama pesanan Hurilain supaya bersegera (sebab waktu masuk sekolah ugama semakin hampir), saya melangkah laju ke arah kedai yang dicari.  Yang ternampak hanya deretan kedai jualan pelbagai barang dan di sebelahnya kedai membaiki tv yang penuh dengan timbunan tv rosak.  Tudung putih berayun di tangan bersama rentak kaki saya, tercangak-cangak.

Tiba-tiba seorang lelaki India bertanya sambil memandang tudung di tangan, "Mahu jahit ka?"  Saya angguk dan terus dia menunjuk ke bahagian dalam kedai membaiki tv itu.  Ohh, rupa-rupanya kedai dua dalam satu.  Ruang empat kaki depan untuk membaiki tv dan selebihnya di belakang bersusun beberapa mesin jahit dengan tukang jahit lelaki India sedang menjahit.

Lelaki tukang jahit dengan segera menukar benang sekuci dan terus menekan tudung yang koyak di mesin.  "Berapa?" tanya saya tatkala melihat jahitan hampir selesai.  Lelaki separuh umur itu tersenyum, nampak barisan giginya kuning kemerahan.  Ada bau sireh apabila saya duduk di bangku kayu di hadapannya.

"Berapa berapa pun boleh," sahutnya.

"Seringgit boleh ka?" tanya saya lagi meminta kepastian.

"Bolehhhh ..." jawabnya dengan senyum lebar.

Saya pun berlalu sepantas datang tadi selepas mengucapkan terima kasih.  Legaaa ... tak le ada yang terpaksa ponteng sekolah hari ini.

Di dalam kereta menuju ke sekolah, ada banyak kereta yang mahu masuk ke perkarangan dan berderetan kereta yang mahu keluar juga.  Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang mengilhamkan penyelesaian dalam sekelip mata.

"Lihat betapa baiknya Allah kepada kita.  Sekejap sudah selesai urusan kita.  Mari kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang baik dan mahu membaiki diri.  Suka bersedekah dan berbuat baik dengan semua orang.  Okay!"

"Okayyy" sahut Hurilain, Hidayat dan Hanessa.  Masing-masing berwajah manis.

Dan hari ini insyaAllah akan berlalu dengan baik dan lebih baik dari semalam yang ditinggalkan.  Semoga hari esok akan muncul dengan segala kebaikan dari Allah Subhana wa taala buat kita semua.  Ameen.

Monday, February 7, 2011

Cintai Allah

Salam buat semua :).

Semoga hari demi hari akan sentiasa lebih baik daripada hari yang lepas, baik daripada segi ibadah, komitmen terhadap tanggungjawab dan pencapaian terhadap apa yang selalu anda impikan. 

Apabila bangun setiap pagi, ucapkan syukur ke hadrat Illahi yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, yang masih mengizinkan kita bernafas untuk sehari lagi.  Ingatilah Dia, hadapkan seluruh hati dan jiwa kepadaNya dan bergantung kepada Dia semata. 

Bukan mudah untuk melakukannya tetapi itulah yang dilakukan oleh para kekasih Allah.  Tanamkan keinginan, cita-cita dan hasrat untuk mengagungkanNya dalam setiap tindak-tanduk, setiap detik yang berlalu dan akan dilalui.  Semoga Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia hati memberi jalan dan ilham serta bantuan untuk mencapaiNya, mendekatiNya dan mencintaiNya dengan hati yang tulus dan bersih.

Bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan kepadaNya kita akan dikembalikan.  Dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, penghulu umat akhir zaman yang sentiasa menjawab salam kita dan mengetahui perilaku kita.  Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan ahlul bait. 

Terima kasih ya Allah, di atas segala kurniaanMu.  Masukkanlah kami semua ke dalam golongan yang tetap di atas jalan yang Engkau redai dan jadikanlah kami tetap sabar di atas segala musibah yang Engkau ujikan ke atas kami.  Namun janganlah Engkau berikan kami ujian yang tidak dapat kami menghadapinya.  Ampunilah dosa-dosa kami dan tunjukilah kami selalu, dan gembirakanlah orang-orang yang menggembirakan kami dengan balasan yang baik-baik dari sisiMu. Kasihilah orang-orang yang mengasihi kami dengan kasih-sayangMu yang tiada batasan.  Hanya kepadaMu kami berserah diri.  Ameen.

Thursday, February 3, 2011

Beres dan dapat angpow

Salam.

Tidur 1.30 am (searching any tradisional treatment for timbil ~ Hurilain got 2 timbils on her right eye.  2nd timbil swollen already even though the 1st one was there for the past 3 years, i think)

Bangun jam 5 am, solat Isyak yang tertangguh.  Set jam 4 pagi tapi terlajak satu jam lewat.  Mula ke dapur buat apa yang patut selepas selesai solat Subuh berjemaah dengan  si abah dan dua anak.  Yang bongsu masih berdengkur.

Jam 10 am - semua siap.  Gunakan peralatan setakat apa yang ada sahaja, cuma pinjam tiga periuk besar, dapur tungku besar dan dua tong nasi dari Kak Leha.  Oleh kerana dapur sangat comel, pendekatan kering - cuci, lap dan simpan semula perkakas digunakan.  Jadi ruang sinki dan dapur sentiasa terkawal tidak semak dan bertimbun dengan perkakas berminyak-minyak.  Selesai satu-satu masakan, terus salin dalam periuk dan cuci peralatan, lap terus simpan.  

Jamuan makan di rumah bos bermula jam 11am.  Makanan dihantar ke sana (dekat aje rumahnya) dan terus display bersama hidangan yang lain.  Wah, hampir semua berasaskan ayam.  Ayam kukus, ayam goreng dan sate ayam.  Tak ada sayur melainkan acar dalam set beriani kami.  Ramai sudah menunggu.  Kemudian kami dijemput menjamu selera, ladies first.  Nyam nyam nyam ... tapi sikit-sikit je.  Kontrol diet.

Tetamu bos mula berjejeran datang.  Kami pun ambil kesempatan terluang melawat masuk ke ruang dalam rumah bos.  Hanessa terkinja-kinja menari tanpa rentak di bawah cahaya lampu ala-ala disko yang tergantung berputar di ruang pintu masuk.  Huh budak ni!

Lepas semakin ramai tetamu datang (almost all Melayu), kami pun minta diri sambil ucapkan a very Happy New Year kepada bos dan sesiapa sahaja ahli keluarganya yang kami terserempak dalam masa nak balik tu. Abah Naqhuhines masih stay back, entertaining the guests sebab rata-rata mereka selalu deal dengan dia pasal kerja.  Kami masing-masing kepit angpow dua keping seorang; sekeping dari bos dan sekeping lagi dari isteri abang bos (2nd bos).  Semua staf dapat angpow.  Ada staf yang bawa tiga ekor arnab yang sudah kecut menggigil dalam kotak kecil dengan kangkung layu.  Nak bikin bos happy la tu, sempena Tahun Arnab.  Bagus punya staf.  Tapi kesian sang arnab yang tak faham apa.

Balik rumah, tengok setiap orang dapat $15.  Hurilain sudah mula merancang nak beli apa-apa, huh budak ni.  Cuba simpan je duit tu.

Angkat semua beg-beg sampah yang berlonggok di belakang rumah dan buang ke Jastre.  Lepas tu terus ke pantai lihat ombak dari dalam kereta je.  Angin pantai kuat menderu.  Keluar pulak lagu Intan Liana oleh A.Ramli.  Tiba-tiba saya teringat arwah abah yang pernah dedicated lagu ni untuk saya masa budak-budak dulu.  Saya rasa hidup ini terlalu banyak pengaruh dari zaman kanak-kanak.  Satu zaman yang ceria dan bahagia. 

Masa untuk meluruskan pinggang dan menidurkan mata sekejap.  Lagi kurang 1 jam lagi akan tiba waktu Asar.  Alhamdulillah hari yang baik.  Panas dan garing.  Ada dua budak lelaki Filipina yang boleh tahan lasak baru masuk ke penginapan kosong di sebelah.  Jadi ada budak Malaysia (Hidayat dan Hanessa), budak India (Rohith) dan budak Filipina yang lasak belaka, silap gaya boleh bikin Kak Leha pusing kalau hari cuti hehehe ...

Wednesday, February 2, 2011

Terkandas di bumbung Giant

Salam.

Tersadai di bumbung Giant Segamat adalah kakak ipar saya, Norhana Mat Arbak.  Masuk malam ini sudah empat malam dia tersadai bersama staf-staf yang lain dan juga pelanggan-pelanggan terakhir yang tak sempat pulang malam Isnin lepas.  Tragis!  Entah macamana keadaan mereka di situ, huh ... kasihannya.  Kiranya sudah tahap darurat.  Dengarnya mereka bukan sahaja tak dapat nak membersihkan diri dan menghabiskan masa di dalam kereta sahaja, nak melepaskan hajat pun terpaksa ditangguh kerana bilik air dimasuki air (paling pasti kalau air dah penuh, tentu tangki tersumbat dan air membuak apabila dipam, huh ...).  Walau bagaimana pun alhamdulillah kerana pihak Giant ada menyediakan bekalan makanan, paling tidak dapat menampung lapar mereka tu.  Pasaraya itu masih ditutup.  Air masih bergenang paras dada di tingkat bawah dan belum surut-surut lagi.  Habislah semua barang-barang jualan di tingkat bawah tu, aduhh ...

Namun syukur kepada Allah kerana walaupun banjir ini paling teruk berbanding banjir besar 2006 lepas, rumah mertua saya masih selamat dari kebanjiran.  Walau bagaimanapun, setakat hari ini sudah 10 buah rumah penduduk di tempat rendah yang biasanya selamat tapi nampaknya kali ini kena juga tempias banjir.  Mereka ditempatkan di balai raya berdekatan. 

Sesekali kami meninjau persisiran pantai Lumut.  Kalau selalunya ramai pengunjung yang datang bermain air, bermain pasir atau berjogging, kali ini pantai sangat sempit dan ombak bergulung-gulung memutih hingga laluan yang ada hanya tinggal beberapa kaki sahaja.  Dari rumah, kami boleh dengar bunyi hempasan ombak yang kuat dan  menggerunkan.  Kalau air laut naik di sini, habislah!  Tetapi setakat ini belum pernah dengar lagi kawasan Lumut dinaiki air.  Hanya hampir setiap tahun kawasan Labi di Tutong yang selalu dinaiki air, lebih kurang macam negeri Kelantan yang selalu banjir tu. Dan satu kemalangan jiwa apabila seorang wanita terkena renjatan elektrik.

Malam ini kami buat preparation untuk Beriani Kambing.  Bos abah Naqhuhines yang nak beraya esok sudah membuat pesanan, termasuk kari ayam dan acar special.  Kat dapur sekarang sudah siap bawangnya, kentangnya dan lain-lain tunggu diadun ke dalam periuk sahaja. Malam ni abah Naqhuhines nak siapkan beriani dahulu, dan sebelum Subuh esok selesaikan yang lainnya.  Semoga semuanya berjalan lancar, insyaAllah.  Saya?  Assistant dia je tapi besar peranan tau, tolong kopek bawang sampai hitam jari waduhhh.  Dan ohh bawang kecil paling ketara naik harga sekali ganda ~ yang turun hanya hujan di mana-mana!!!

Hari raya tahun ini tentu hari raya paling meriah buat bos sekeluarga.  Mereka baru sahaja masuk ke rumah (little palace) yang baru siap, ada  sekurang-kurangnya 15 bilik dan ruang privasi untuk bos sekeluarga yang lengkap dengan ruang tamu sendiri.  Hebat bangat!  Tempohari sempat la saya melawat rumah besar berbentuk L itu sebelum mereka masuk kelmarin.  Anggaran kos rumah itu hampir setengah juta dolar Brunei.  Fuhh!  Dan budaya orang Cina ~ biar ramai serumah.  Hampir seluruh keluarga bos dari parents hingga ipar duai dan anak-anak saudara tinggal di sana dan masing-masing ada bilik sendiri.  Sebelum ini 40 tahun mereka menetap di rumah banglo kayu di tengah-tengah pekan Seria di tanah TOL. 

Selepas ni kami pula akan mengisi kekosongan di rumah itu, ambil tiga bilik saja cukuplah.  Adat merantau ...  Yang penting anak-anak lelaki dan perempuan mesti ada bilik masing-masing.  Ruang belajar yang jauh dari tv dan boleh letak banquet table yang panjang tu (cadangan saya) sebab semua boleh belajar di meja itu serentak termasuk saya sendiri, hehehe ... Sambil buat novel, boleh pantau anak-anak buat homework.  Ok kan?  Abah Naqhuhines pun boleh tumpang sama mengajar Hidayat buat homework dia sebab Hidayat lebih akur dengan abahnya (tak banyak perangai).  Selain tu, banquet table tu juga boleh digunakan untuk menghidang makanan ketika jamuan berselerak.  Semua boleh letak di atas satu meja ~ makanan, minuman dan pinggan cawan sekali, periuk belanga juga kalau nak letak hahaha ...  Ala, macam kat khemah pengantin tu.  Hmm, semoga abah Naqhuhines setuju beli meja panjang ni, sedang sales kat Giant.

~ Tiba-tiba dapat teguran dari Nurin Najwa Hanafi, kawan Hurilain yang rajin berborak dengan saya di FB.  Serentak itu juga saya disapa oleh Shahamin (anak saudara saya, anak sulung arwah Kak Ja).  Jarang sangat kami bersua di alam maya.  Kembang hati saya dia sudi menegur.  Katanya dia akan kembali ke Terengganu untuk menyiapkan projek yang tersangkut sedikit.  Dan, sebenarnya Allah jua yang membuka hatinya untuk berchit chat dengan saya (dia selalu offline).  Tatkala saya katakan bahawa saya sedang menulis novel tentang ibunya, dia langsung sarankan diari ibunya untuk tatapan saya.  Masya Allah, saya terkesima dibuatnya.  Bersama diari itu, saya akan dapat menjengah jauh ke dalam hati dan jiwa Kak Ja.  Selama ini saya hanya melihat beliau secara luaran sahaja.  Amin sudah berjanji akan menyerahkan diari itu untuk tatapan saya sepulang Pak Tehnya pada bulan Mac ini nanti, insyaAllah. 

Kepada Amin, mak teh ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi berkongsi sesuatu yang sangat sentimental dan tidak ternilai harganya ini.  Semoga Amin terus gigih mendaki tangga-tangga kejayaan yang diimpikan dan menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan ibunya di alam sana. 

Akhir kata, semoga yang banjir akan surut.  Yang tersadai di atas bumbung Giant akan dapat pulang ke rumah semula, juga di mana-mana sahaja mangsa banjir yang sedang resah memikirkan keadaan rumah yang ditinggalkan di dalam air yang deras mengalir.  Semoga Amin berjaya mencapai cita-cita, seperti harapan saya terhadap novel sulung yang bakal disambung dengan penuh semangat, insyaAllah.  Semoga anda semua selalu ceria dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah walau di mana berada.  Ameen.

Nota : Naqib akan menjalani peperiksaan pada 7, 8 dan 9 Februari ini.  Mohon doa semua semoga dia dan kawan-kawannya berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan tersebut.  Semoga mereka menjadi anak-anak yang cemerlang dan berjaya dunia akhirat.  Ameen.  Terima kasih.

Kenalan Baru

Salam.

Hari-hari nan berlalu adalah lebih baik dari hari-hari yang ditinggalkan.  Alhamdulillah.  Allah Yang Maha Pengasih, hanya kepadaNya dipanjatkan kesyukuran di atas kurniaanNya yang berpanjangan.

Semalam, Isnin, adalah hari yang tenang dan dingin (hujan lagi).  Saya ada temu janji dengan Hajah Aimi yang ditemui semasa makan ambuyat kelmarinnya.  Dia akan memberi saya urutan terapi pada jam 8 pagi.  Hujan turun dan Hajah Aimi hadir lewat setengah jam kerana berkemas untuk perjalanan jauh ke Kundasang nanti.  Fuhh, lega apabila tubuh mendapat urutan yang nyaman menggunakan minyak yang harum baunya.  Memang ada bahagian yang memang sudah sakit dan ada juga yang baru terasa sakit apabila diurut, bermakna ada yang tidak beres pada urat-urat saya (sudah sembilan bulan tidak mendapatkan urutan).  Alhamdulillah, selepas satu jam 15 minit, urutan selesai.  Saya juga diberikan petua mudah untuk memanaskan badan (kerana tubuh saya selalu kesejukan).  Anda pun boleh membuatnya iaitu ;
  • tujuh keping asam jawa (asam jawa Brunei paling baik)
  • tiga helai daun sirih
  • halia muda sebesar ibu jari tangan
  • kunyit sebesar ibu jari tangan
  • air dua gelas
Rebus bahan tersebut sehingga menjadi segelas dan amalkan dua kali sehari setiap hari semasa masih suam.  InsyaAllah, mengeluarkan angin di samping khasiat lain dari daun sirih dan lain-lain itu (harap rujuk ke bahagian petua untuk maklumat lebih lanjut.)

Untuk mengubat tekak gatal pula - setiap kali mahu tidur minum perahan air limau kasturi sebanyak tiga biji bersama bijinya sekali, dimulai dengan selawat.  InsyaAllah dengan niat mahu sembuh, keyakinan dan konsistensi, gatal-gatal akan hilang.

Hari ini, Selasa juga adalah hari yang lebih baik dari semalam buat saya.  Awal jam 9 saya sudah berada di pekan Seria bertemu dengan abah Naqhuhines.  Ada sesuatu yang kami lakukan untuk mengejutkan dua puteri kami menjelang hari raya nanti.  Apa dia??  Opsss rahsia la!!

Kemudian, selesai semua urusan dan sementara menunggu waktu balik sekolah, saya santai di bawah pokok depan pasaraya Soon Lee menyelak-nyelak buku Hafiz Firdaus Abdullah bertajuk Berdakwah Melalui Penulisan Efektif yang telah saya angkut ke hulu ke hilir tetapi belum habis-habis walaupun hanya 106 muka surat.  Sila baca perenggan berikut.

Kata Penutup: Jangan Menulis Al-Qur'an.

Di alam ini hanya ada satu buku yang sempurna, iaitu al-Qur'an.  Ia adalah kalam Allah dan Maha Suci Allah daripada apa-apa kekurangan atau kesilapan.  Semua buku selain al-Qur'an akan memiliki kekurangan dan kesilapan.  Justeru apabila anda menulis buku, jangan menulis al-Qur'an.  Jika anda bercita-cita menulis buku yang sempurna seumpama al-Qur'an, anda tidak akan dapat mencapainya.

Perenggan ini membuatkan saya tersedar, bahawa tidak ada buku yang benar-benar sempurna.  Saya tidak patut menunggu lagi.

Sebaliknya bercita-citalah menulis buku yang sebaik mungkin.  Kekurangan tetap akan wujud, kesilapan tetap akan berlaku.  Kekurangan dan kesilapan ini anda dapat minimumkan, akan tetapi anda tidak akan dapat mensifarkannya.

Saya semakin bersemangat.  Saya tidak perlu menjadi Mrs. Perfect untuk mencapai cita-cita saya.

Saya menyatakan hakikat ini kerana saya memiliki beberapa kenalan yang memiliki penulisan yang amat baik, akan tetapi mereka enggan menerbitkannya kerana menganggap ia masih belum sempurna. Selain itu ada juga beberapa kenalan lain yang amat berilmu lagi berwawasan, tetapi enggan menulis kerana menganggp ilmu mereka masih belum sempurna.

Saya hanya perlu berani mencuba dan terus mencuba tanpa putus asa.

Menulis bukan bererti ilmu anda sempurna atau anda adalah penulis yang cemerlang.  Sebaliknya menulis bererti anda ingin menuntut ilmu dan ingin belajar menulis.  Ini kerana dengan menulis, anda akan mengkaji subjek tersebut secara meluas sehingga ia akhirnya menambah ilmu anda.  Menulis juga menyebabkan anda melatih menulis dan perlahan-lahan ia akan meningkatkan kecemerlangan anda sebagai penulis.  Oleh itu betulkan manhaj anda tentang menulis.  Masyarakat menunggu hasil penulisan anda dengan penuh harapan.

Ya, memang betul.  Kita sentiasa berlatih dan melatih diri melalui penulisan.  Kita menambah ilmu melalui kajian subjek.  Bukan senang nak menulis tetapi itulah cabarannya. Kepada anda terutamanya My Akak dan My Adik, jom la kita sama-sama menulis kerana masing-masing ada banyak cerita dan idea yang sudah diperam bertahun-tahun menunggu masa sahaja untuk dinukilkan di atas kertas buat tatapan pembaca.  Kak Ju sudah pun berada di bidang itu sekian lama.   Semoga Allah memudahkan dan membantu kita menulis sesuatu yang baik sebagai saham akhirat.  InsyaAllah.

Kata Penutup ini sangat memberi kesan kepada saya.  Olahan yang mudah tetapi mengesankan.  Hati saya berasa girang.  Terima kasih kepada Hafiz Firdaus Abdullah.  Tak sangka muda lagi orangnya, berbanding dengan perkongsian pengalaman beliau yang hebat ini.  Anugerah Tuhan tidak mengira usia.

Kemudian di sebelah petang di Perpustakaan Seria, saya ditegur pula oleh staf bertugas yang paling ramah dan ceria iaitu Hajah Armah Haji Bair.  Dia hairan melihat saya menekuni komputer kebelakangan ini (saya dah cerita tentang saya angkut laptop ke mana sahaja untuk novel saya yang dah tersangkut tu dalam entri lepas).  Memang wanita ini sangat ramah.  Kami rancak berbual (tak menganggu kerana boleh dikatakan tiada orang atau mungkin pengunjung berada di tingkat atas; kami di tingkat bawah) ; rupa-rupanya beliau adalah penulis dan telah menulis banyak cerpen (sudah diterbitkan) dan sudah mempunyai dua buku kanak-kanak yang ditulis semasa berbengkel dan juga untuk pertandingan, semuanya di bawah DBP Brunei.  Memang hebat orangnya, kerana dia juga terlibat dalam teater (namun terhad oleh masa bekerja), menulis puisi dan membuat illustrasi untuk buku juga.  Kini dia sedang menulis novel sulungnya yang berasal dari cerpen dan belum lagi ketemu penyudah cerita.  Jadinya cerpen yang pendek sudah menjadi panjang dan dia masih ada banyak idea untuk dicurahkan.  Mengagumkan!  Saya gembira dapat mengenalinya dengan lebih dekat dan bertukar-tukar cerita dengannya.

Jadi, hari semalam lebih baik dari kelmarin dan hari ini lebih baik dari semalam; sebuah kata-kata harapan yang menjadi kenyataan buat saya.  Semoga hari esok juga lebih baik dari hari ini, insyaAllah.  Dan semoga setiap hari adalah sentiasa hari-hari yang baik untuk kita semua.

Saya mohon permisi dahulu. Saya sudah siapkan plot yang cantik untuk novel saya ini.  Seperti Sakinah yang cantik dan ayu.  Saya akan serahkan kepada Sifu untuk pengadilan dan pembaikan beliau.  Sekiranya lulus dan mendapat sokongan, saya akan meneruskannya secepat mungkin sehingga selesai.  Saya berasa seronok berbanding waktu-waktu lepas tatkala saya tenggelam di dalam minda kosong untuk meneruskan novel itu (yang membuatkan saya tersangkut lama), kerana kalau merujuk HFA, saya sudah membina rangka untuk rumah yang bakal saya bangunkan.  Saya sudah ada bayangan rumah dan kini saya akan membina dinding mengikut rangkanya tanpa keliru dan bingung lagi.  InsyaAllah.

Sekali lagi buat sekian kali, marilah bersama menulis.  Luahkan dan tumpahkan idea anda yang berlegar di dalam minda.  Ingat pesan HFA, jangan menulis al-Qur'an tetapi menulislah mengikut kemampuan anda.  Tidak akan ada yang sempurna tetapi berbuatlah yang terbaik semampunya.  Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala membantu kita menulis sebagai saham akhirat untuk kita tuai hasilnya di sana nanti.

Psssttt ... ehem-ehem, bila abah Naqhuhines nak menulis pulak agaknya?  Dah 200 kali dengar, "Huh, abang tulis kejap je siap!"  Tulis jangan tak tulis!!!  Hehehe ...

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing