Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, January 30, 2011

Bah! Ke belakang tah dulu!!!

Hari yang sejuk sebenarnya dengan hujan turun menjelang waktu Zuhor.  Saya dan anak-anak sibuk dengan tugasan masing-masing.  Tetapi keinginan untuk meninjau pasaraya Hua Ho Tutong masih membara.  Belum pernah ke situ, kata orang kat situ barang-barangnya lebih murah dari di tempat lain.

Ramai orang yang berkunjung.  Bangunan yang besar dan penuh dengan pelbagai gerai di bahagian terbuka di tengah-tengah dan deretan kedai.  Kami singgah survey notebook yang pelbagai warna dan comel sangat.  Uhh gerammmmmnya nak memiliki satu.  Boleh masuk dalam beg galas je ni.

Abah Naqhuhines pun sporting aje lagaknya.  Membuatkan saya dan anak-anak seronok sakan meninjau ke sana sini, window shopping.  Dan di luar jangkaan, dia membelikan saya oven yang sangat comel, $60 selepas diskaun, dan merupakan unit yang terakhir masih ada.  Walaupun dia macam nak beli mikrowave oven, tetapi saya tetap nak oven sahaja.  Saya sudah bercadang mahu mengurangkan penggunaan alat gelombang mikro dalam pemanasan dan penyediaan makanan harian.  Lagipun kami sudah ada mikrowave oven yang besar di rumah Sijangkang.  Biarlah kali ini beli oven sahaja.  Saya mahu bebas membakar kek (ewahhh!  besar cita-cita ...) tanpa risau mikrowave menjadi terlalu panas dan terhenti berfungsi seketika (dah pernah berlaku kepada mikrowave saya tu).  Tambahan, kalau boleh kita elakkanlah makanan yang bermalam untuk mengelakkan kesan sampingan jangka panjang kepada kesihatan.  Makanlah makanan yang segar dan lebih besar khasiatnya daripada makanan yang bermalam kemudian dipanaskan.  Tak caya, tanya orang-orang yang baru sembuh dari sakit.  Macam-macam petua mereka akan beri.

Okay, dan selesai membeli sedikit barangan dapur, kami sudah mahu beredar apabila tiba-tiba anak dara kami (Hurilain) mendesak mahu membeli pewangi Syahirah yang harum dan berbau lembut itu.  Saya dan dia masuk semula ke dalam pasaraya dan mencari-cari di serata rak.  Hmm tak ada nampaknya.   Produk Syahirah pun setakat pencuci dan skrub muka sahaja.  Akhirnya dia memilih mahu mencuba pewangi Shurah untuk digunakan buat sementara.  Nanti di Miri boleh cuba cari di pasaraya sana, kata saya.  Insyaallah, minggu depan akan ke Miri untuk urusan tertentu.  Alamak, saya terpandang ramai orang di barisan kaunter pembayaran sedang menanti giliran untuk membayar barang masing-masing.

Saya menghampiri satu kaunter.  Ada sebuah troli yang padat dengan barangan di sisi seorang lelaki separuh umur.  Orangnya kecil dan rincing sahaja.  Ada seorang kanak-kanak perempuan sekitar dua tahun di dalam tempat duduk troli dan seorang lagi yang agak besar berdiri di tepi troli.  Melihat lelaki itu baru mahu mengeluarkan barang pertama dari trolinya, saya berkata, "Boleh saya tumpang membayar dahulu?"

"Kita beli apa?"  tanya lelaki itu tanpa memandang ke arah saya.

Saya mengunjukkan pewangi di tangan dengan perasaan ganjil.  "Ini ...  boleh saya tumpang membayar dulu?"  Ulang saya sekali lagi dengan rasa mengharap.  Saya pernah memberi laluan kepada orang yang mahu membayar beberapa barangan sahaja kerana barang saya lebih banyak daripadanya.  Saya juga pernah meminta laluan untuk membayar dahulu kerana barang saya hanya satu dua sahaja dan permintaan saya dipenuhi tanpa soal jawab, walaupun dari bangsa yang tidak sama dengan saya.  Kami sama-sama senang hati dan di sini hari ini di negara orang, saya menjangkakan dan mengharapkan akan mendapat respon yang sama seperti di negara sendiri.

Lelaki itu masih tidak memandang kepada saya, "Berapa harganya?" Dia mula mengeluarkan barang-barangnya satu persatu tanpa henti.

Saya jawab dengan rasa yang semakin ganjil, "Tiga ringgit sahaja." Masih berharap.  Saya tidak mahu abah Naqhuhines terlalu lama menunggu kami di dalam kereta.  Tambahan lagi Hanessa sudah mula meragam dan merengek-rengek.  Mereka semua tentu sedang tertunggu-tunggu kami muncul.  Lagipun kami juga perlu mengejar waktu Asar yang sudah hampir dua jam berlalu.  Nak singgah makan rojak special lagi di KK Koya, rojak yang terkenal dengan keenakannya di seluruh Brunei itu.  (Nanti sesiapa yang datang bolehlah kami bawa makan rojak special ni, insyaAllah.)

Apakah dia fikir saya mahu menumpang bayar kepadanya?  Hmm saya pernah juga melalui pengalaman ini dengan wanita Cina di Tesco Klang.  Dia membayarkan barangan saya dan saya hulurkan wang kepadanya tanpa kisah dengan wang baki.  Wanita yang ramah! 

Tetapi nampaknya ia tidak seperti pengalaman lepas itu.  Lelaki ini mengatakan, "Bah, ke belakang tah dulu!!!" sambil mengunjukkan tangan kanannya ke arah belakang saya (waktu bercakap itu saya amat hampir dengan trolinya sambil mengunjukkan pewangi itu kepadanya) tanpa memandang ke arah saya pun.  Tiada kontak mata antara saya dan dia.

Serta-merta saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan berlalu ke kaunter di sebelahnya yang dijarakkan oleh rak makan titbits, beratur di belakang dua pelanggan yang membawa barangan bakul tidak banyak.  Saya perasan gadis kaunter itu tertawa kecil, mungkin berbalas tawa dengan lelaki itu.  Saya menunggu giliran sambil memandang-mandang ke arah lelaki itu yang sedang sibuk memunggah barangannya ke atas kaunter.  Hanya nampak kepalanya sahaja yang botak tengah (kerana dia rendah sahaja).

Tak pasti perasaan saya waktu itu.  Hurilain menyuruh saya meletakkan sahaja pewangi dan keluar dari situ tetapi saya mendiamkan diri.  Saya sedang cuba mentafsir keadaan dan membaca perasaan sendiri.

Kalau anda, bagaimana?

Saya pujuk diri dan hati.  Hari ini adalah hari yang baik dan ceria walaupun hujan dan suhu dingin.  Saya tiba di pasaraya ini dengan hati yang girang.  Syukur ke hadrat Allah yang memberikan rasa girang dan bahagia ini.  Dan hanya tidak sampai lima minit satu peristiwa yang mengejutkan itu berlaku, janganlah ia merosakkan hati saya pula, kerana dibandingkan hampir setengah hari (dan alhamdulillah hingga saat ini) saya masih dalam situasi yang baik dan tenang; maka amat tidak wajar saya mengikut perasaan tidak enak yang cuba mengasak-asak jiwa.

Terlalu banyak kebaikan yang Tuhan berikan yang mesti dan patut saya syukuri.  Saya disapa oleh seorang gadis kakitangan kedai buku Teras Maju di Lumut tempat kami selalu membeli dengan amat ramah, tanpa saya perasan kehadirannya di situ.  Jadi setakat seorang manusia yang tidak ada toleransi tadi, biarkanlah dia tenggelam dengan labu-labunya.  (Ada lagi seorang salesgirl Melayu di tingkat atas tempat permainan yang tidak bersikap ramah sebaliknya seperti sedang tertekan, ketika kami sedang memilih laptop mainan untuk Hanessa.  Kerana kurang berpuas hati dengan kualitinya, tiga laptop pelbagai harga dan jenis itu kami batalkan membelinya dan ucapkan terima kasih sahaja.  Tetapi gadis itu tidak masuk dalam fikiran saya pun.)  Lupakan sahaja!  Lagipun, Allah yang menjadikan ia berlaku.  Seandainya Allah tidak mengizinkan, lelaki itu tentu tidak bersikap seperti itu.  Mungkin ada sesuatu yang tidak beres pada diri saya.  Atau mungkin Allah mahu menegur perbuatan saya membelikan anak gadis saya pewangi.  Sejak akhir-akhir ini, ciri-ciri kegadisannya semakin menonjol, dan sikapnya semakin feminin.  Ah, apakah dia mahu memakai pewangi itu ke sekolah???  Saya pun memperingatkan dia hukum dan keadaan seorang perempuan yang memakai pewangi ketika keluar rumah adalah dilarang bahkan haram  berwangi-wangi untuk lelaki ajnabi.  Di sekolah dia bergaul dengan guru lelaki dan pelajar lelaki yang semuanya ajnabi.  (Sebenarnya saya juga kadang-kadang menyembur sedikit pewangi tetapi hanya apabila keluar bersama abah Naqhuhines, atau semasa ingin berwangi-wangi ketika mahu solat.  Kebanyakan masa, mungkin berbau gulai ikan, bau ikan masin goreng atau bau sambal tumis hahaha ... atau "Masam!!" kata abah Naqhuhines 'berbau menghena...').

Saya adukan kepada abah Naqhuhines, ingin berkongsi cerita.  "Bodoh sombong!" komennya ringkas.  Saya pun tidak mahu memanjang-manjangkan kisah yang tidak menyenangkan.  Biarlah ia berlalu begitu sahaja.  Namun saya mahu berkongsi juga di sini.  Semoga saya dan ahli keluarga termasuk anda semua tidak melakukan hal seperti itu kepada orang lain.  Bersikap baiklah sesama insan.  Menyenangkan hati orang lain, hati kita turut berasa senang.  Itulah hukum alam.  Apa yang kita berikan akan kita terima semula.  Anda berikan kasih-sayang, anda akan menerima kasih-sayang.  Anda membenci, anda akan dibenci dan hati anda juga tidak tenang.  Kasih sayang ada fitrah insani yang dikurniakan oleh Allah.

Mungkin pendekatan saya tidak sesuai dan tidak disenanginya.  Mungkin lebih afdal saya mulakan dengan memberi salam dan meminta izin dengan penuh hormat.  Mungkin saya perlu memperhaluskan lagi bicara saya.  Lebih baik saya mengkoreksi diri sendiri daripada mengkoreksi diri orang itu.  Ya, mungkin saya ada silap di mana-mana dan terlepas pandang.  Mungkin saya tidak tersenyum (tapi orang itu tidak memandang saya pun!). 

Sebenarnya saya juga mahu berkongsi satu nilai yang murni berkenaan orang Brunei.  Mereka merupakan pemandu yang sangat berhemah.  Mereka tidak pernah membunyikan hon kereta.  Saya pernah dua kali setakat ini menekan hon dan beberapa kali tertekan hon tanpa sengaja.  Mereka akan berhenti di tengah-tengah jalan hingga berderet-deret kereta di belakang, untuk memberi peluang kepada kereta yang sedang menanti di simpang masuk ke jalan utama.  Mereka juga sangat patuh kepada had laju yang dibenarkan.  Kalau 40km/j dan jalan double line, maka akan berderet-deret kereta kecil besar mengekori.  Mereka tidak akan cuba memotong di jalan double line itu.  Terkadang ada pula kereta besar dan mahal yang sepatutnya memang boleh berdesut laju bergerak dengan amat perlahan tanpa sebab, dan masih tetap diekori oleh berderet-deret kenderaan di belakangnya dengan penuh sopan.  (Saya termasuk pemandu Malaysia yang belum pernah kemalangan dan kadangkala melepaskan keterujaan dengan memandu laju, pada awal dulu rasa ganjil teramat dengan 'fenomena' ini.  Tetapi sudah mula menerima 'fenomena' ini sebagai satu kebaikan.

Lagi satu, mereka juga adalah pemandu yang sangat patuh kepada undang-undang memakai tali pinggang keledar.  Anak saudara saya dari Brunei yang menumpang sebentar di rumah saya dulu (di Sijangkang) mesti akan menarik tali pinggang keledar dan melekatkannya walaupun sekadar berkereta di dalam kawasan kampung sahaja.  Saya ketawa kerana tidak ada orang yang memakai tali pinggang keledar sekadar nak ke Kedai Yamah atau Pasar Sabtu.  Akhirnya dia yang dah terbiasa naik kereta mesti pakai tali pinggang keledar berkata, "Tak apalah, untuk keselamatan."  Saya ketawakan dia. 

Hmm saya sudah meluahkannya.  Saya sudah berkongsi dengan anda di sini.  Sekali lagi buat sekian kali, marilah kita berbuat kebaikan tanpa mengharapkan balasan.  Biarlah Allah yang membalasnya, tidak semestinya kebaikan itu akan dibalas dengan cara yang sama seperti yang kita berikan.  Mungkin ia Allah simpan untuk dibalas kepada anak cucu cicit atau generasi kita yang akan datang.  Berbuatlah dengan seikhlasnya, semoga Allah menerima dan menghargai niat untuk mendapatkan keredaanNya semata.  Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui 'segala mata-mata yang berlaku khianat dan apa yang disembunyikan oleh dada-dada'.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu kebaikan hari ini dan kebaikan yang ada pada hari ini dan kami berlindung kepadaMu daripada keburukan hari ini dan keburukan yang ada pada hari ini.  Selawat dan salam buat Junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat. Ameen.

(Kami gembira dengan bayaran makanan di KK Koya yang lebih murah dari jangkaan kami.  Kami juga gembira menghulurkan sedikit jajan yang dibeli kepada Mujahiddin, pembantu baru Kak Leha yang sedang duduk menanti petang berlalu di buaian di hadapan rumah.  Kasihan pemuda 21 tahun itu.  Dia baru sebulan berada di sini dan resah apabila saat kami mahu berpindah ke Seria akan tiba tidak lama lagi.  Saya menyokong abah Naqhuhines mahu menghadiahkan dia radio kecil untuk halwa telinga dan pengganti bicara abah Naqhuhines yang rajin berborak dengannya di petang hari.)

Gembira, dan biarkanlah yang tidak menggembirakan berlalu pergi begitu sahaja dengan iktibar jangan melakukan yang sama kepada orang lain pula!  Alhamdulillah, terima kasih padaMu ya Allah yang menjadikan hidup ini sentiasa dalam keadaan baik dan semakin baik.

Wassalam.

Saturday, January 29, 2011

Makan Ambuyat

Salam.

Ambuyat merupakan sejenis makanan tradisional penduduk Negara Brunei Darussalam.  Ia diperbuat daripada sejenis tepung sagu atau ambulong, diadun dengan air panas menggelegak (bukan di atas api) sehingga ia menjadi separa kental dan berwarna jernih.  Ambuyat dimakan dengan pelbagai jenis lauk seperti lemiding goreng (pucuk paku kuning), sambal binjai, sambal belacan, ikan masak lempap, ikan tahai, daging serai dan boleh juga sambal tempoyak. 

Sudah lama saya mengidam makan ambuyat.  Kali pertama kami dihidangkan ambuyat ketika Naqib berumur sekitar empat bulan, di Perkampungan Air semasa bertamu di rumah Haji Daud.  Ia satu pengalaman yang sangat mengujakan.  Saya suka makan ambuyat kerana teksturnya yang lembut, mudah ditelan dan dipadankan dengan pelbagai lauk-pauk yang enak.  Bagi saya, ambuyat tidak padat seperti kita makan nasi, jadi saya mampu menghabiskan semangkuk ambuyat dan melicinkan semua lauk-pauknya sehingga ke suapan yang terakhir.

Kedatangan kali kedua ke negara ini sembilan bulan lepas, saya sudah menjamu selera dengan ambuyat di sebuah restoran eksklusif di Tutong.  Dan malam ini mencuba lagi kerana terus terkenang-kenangkan cara makan ambuyat yang lain dari yang lain.  Untuk menikmati ambuyat, kita memutarnya sekeliling candas (seperti chopsticks) yang diperbuat daripada buluh dan mencicahnya ke dalam sambal atau kuah yang disediakan.  Saya selalu gagal menyuap ambuyat dengan candas tetapi kali ini nampaknya semakin mahir, hehehe ...

Alhamdulillah, nyaman (enak) bah!

Mengah juga tetapi tidak semengah seperti makan nasi.  Fuhh ... dah lama tak santak macam ni, semenjak beria-ia menyukat nasi ketika makan.  Macam selalu selepas selesai makan, Hurilain mesti tanya saya, "Mama mengah tak?"  Dia sentiasa ingin tahu apa jawapan saya.  Tak macam selalu, kali ni agak penuh tetapi masih ada ruang untuk air dan udara.  Saya biasa minum air paling cepat setengah jam selepas makan.  Ikut petua orang tua-tua, actually doktor pun kata elok jarakkan masa minum dengan makan untuk membantu penghadaman makanan berjalan lebih lancar.  Boleh juga minum sebelum makan, tetapi sekadar seteguk dua untuk melicinkan esofagus supaya mudah menelan. 

Satu set ambuyat yang lengkap dengan segala lauknya adalah untuk dua orang (haaa! rupanya aku makan set ambuyat untuk dua orang la tadi???).  Kadar harga berbeza mengikut lokasi restoran.  Tadi, kami dikenakan harga $14 untuk satu set dan jumlah semua termasuk dua pinggan nasi putih (side order), tiga gelas air sirap bandung dan semangkuk sambal tempoyak (side order) ialah $33 sahaja.  Alhamdulillah, persembahan memuaskan dan siap tapau sambal belacan dan sambal binjai yang banyak berlebihan.

Sudah tentu saya mencadangkan kepada anda yang berkunjung ke sini untuk menjamah ambuyat sebagai salah satu makanan asli tempatan.  Rugi tak rasa tau!

Dan satu berita gembira yang membuatkan saya berasa girang adalah; saya sudah ketemu Sakinah.  Bukan sahaja dia, bahkan semua ahli keluarganya dan rakan-rakan serta semua yang terlibat dengan dia.  Alhamdulillah, Tuhan semakin memudahkan urusan saya.  Kini saya sedang berbaik-baik dengannya dan cuba menyelami perasaannya terhadap apa yang pernah dia lalui itu.  Dia memang cantik dan ayu!  Beberapa ketika lagi saya akan perkenalkan dia kepada Sifu kerana  walaupun sudah dua penceritaan, saya belum lagi mempertemukan mereka berdua.  Sifu hanya dapat mengagak sahaja.

Sudah sampai masa untuk berhenti.  9.19 PM. Terima kasih kepada respon untuk nota di FB, yang belum ada respond pun.  Mungkin saya tidak perlu bergantung kepada sebarang maklumbalas.  Tetapi terima kasih tidak terhingga kepada My Akak dan My Adik juga.  Hanya My Sister ZH yang sudah hilang dari FB, tidak ketemu lagi.

Just for my record ~ semalam petang call up Naqib tetapi tidak dapat bercakap (either line busy or offline already).  Rindu pada dia, semoga dia terus cekal, tabah dan gagah melalui kehidupan di sana, sentiasa di dalam perhatian Allah SWT dan perlindunganNya bersama para guru dan kawan-kawannya.  Ya Allah, permudahkanlah dia dan rahmatilah dia dengan rahmatMu yang berkah, juga guru-guru dan kawan-kawannya.  Amin.

Wassalam. 

Friday, January 28, 2011

Ya, betul-betul pulun!

Salam.

Alhamdulillah, masih ada sedikit kelapangan untuk menulis sesuatu.

1.  Saya betul-betul pulun untuk menyiapkan novel ini. Saya bekerja keras untuk menyusun plot cerita.  Akibat daripada penemuan baru mengenai watak kedua utama iaitu watak ibu kepada Sakinah, saya perlu rombak sebahagian besar plot sedia ada daripada cerpen Dedikasi Buat Ibu itu.

2.  Ia menjadi teruk dan merisaukan saya untuk 'mengadap' Sifu.  Tetapi apa boleh buat, saya mesti berhadapan dengan Sifu dan berterus-terang.  Masalah utama saya sebenarnya adalah apabila menyahut cabaran Sifu untuk menovelkan cerpen itu, dengan plot umum sahaja.  Dengan kata lain, tanpa persiapan sepenuhnya.

3.  Berkat thread saya dikeluarkan dari senarai bimbingan Sifu buat sementara (tak pasti berapa lama tetapi saya sudah menyepi hampir tiga bulan dari sana), saya mula rasa sudah sampai klimaks perbuatan saya ini.  Saya sudah cukup diberikan galakan dan kata-kata perangsang oleh Sifu, dan sudah tentu ada hadnya.  Saya perlu melakukannya sekarang!  Sebelum terlambat.

4.  Mungkin ada anak buah Sifu yang lebih teruk dari saya (saya tak mahu jadi yang paling teruk) tetapi amat ramai anak-anak didiknya yang cemerlang, gemilang dan terbilang di sana tu.  Karya-karya mereka silih berganti menghiasi dada-dada pelbagai media dan penerbitan buku, antaranya adalah kakak saya sendiri ~ Zulina Hassan.  Jadi saya mahu menjadi salah seorang daripada mereka, tentu!  Saya selalu membuang pandang terhadap pemakluman karya yang baru diterbitkan ~ ia adalah cabaran!  Cemburu ooo!!!

5.  Saya sedang dalam pencarian wajah Sakinah.  Malangnya wajah-wajah yang saya temui dalam media seperti majalah dan internet adalah wajah molek yang ceria dan penuh dengan senyuman.  Sakinah pula memiliki seraut wajah tenang yang indah dan feminine, terkadang mengandung kesayuan yang sukar diungkapkan.  Sepasang matanya sangat menarik dan mengusik perasaan.  Mata coklat cair yang ayu dan redup seperti mata ibunya.  Kuning langsat sedikit sawo matang seperti ayahnya dan licin bersih kulitnya.  Tinggi lampai seperti ibunya, sesuai dengan usianya 17 tahun.  Sopan, gemalai dan penuh kewanitaan.  Agak pendiam tetapi cergas dalam pergerakan, dan sangat bertanggungjawab.  Sakinah juga tegas mempertahankan prinsip yang dipegangnya dan hasil didikan ibu yang pertama diperolehinya di rumah menjadikan dia perawan yang kukuh keimanan.

Sakinah adalah watak utama yang memainkan peranan di sepanjang novel ini kelak.  Dia menjadi pemerhati yang tajam firasat dan bijak membaca situasi alam yang semuanya ditumpukan kepada ibu.

6.  Ibu Sakinah pula adalah seorang guru lepasan sekolah arab dan maktab perguruan.  Lemah-lembut dan sangat penyabar.  Beliau menderita kanser tulang tengkuk dan menjalani rawatan radioterapi sebanyak 35 kali selepas pembedahan pertama, disusuli dua pembedahan sesudahnya.  Sakinah sangat kasih kepada ibunya dan begitu kagum dengan kekuatan spiritual dan semangat ibu yang menanggung kesakitan.

7.  Setelah pelbagai kisah dilalui bersama, ibu Sakinah pergi jua meninggalkannya dan adik-adiknya (Hana dan Adam).  Namun ada sesuatu yang sangat mengusik perasaan Sakinah tentang ibu dan sikapnya yang menghairankan, sehingga ke saat terakhir beliau.

8.  Itulah serba sedikit plot yang sudah saya rangka.  Semoga wajah Sakinah akan muncul juga di minda saya sedikit masa lagi.  Sakinah yang berwajah redup, tiada kegirangan namun yang pasti memiliki keanggunan gadis Melayu tersendiri.

9.  Adakah ini show off?  "Haa bila nak tido ni?  Nanti lambat lagi!! Apa ni, ni dah show off namanya!!"  Sapa lagi, abah Naqhuhines la tu. Ohhhhh...  Tak pe tak pe, tunggu je la.  Saya akan akan akan!!!! InsyaAllah, ya Allah bantulah daku selalu.  Amin.

10.  Wassalam.

Di Malam Terlewat Pertama

Salam.

Di malam terlewat pertama untuk tahun baru ini.  Saya masih santai tetapi mata dah kelabu di hadapan laptopku yang agak uzur, gigih menyalin point-point penting untuk melancarkan novelku yang sudah tersngkut. 

Catatan My Akak di blog beliau, pengalaman akhir bersama Kak Ja.  Oh, banyak detik berharga yang dia lalui bersama Kak Ja.  Ternyata kakak yang menjadi orang pertama bergabung dengan ayahanda di alam barzah ini, adalah memang kakak yang sangat baik.  Lemah lembut, suka mengalah dan sangat sabar.  Kesakitannya dihadapi dengan sikap yang positif.  Bisa yang berdenyut-denyut di tengkuknya itu diladeni dengan penuh kesabaran.  Kekuatan spiritualnya sangat tinggi.  Semoga Kak Ja terus tenang dan aman di alam sana, yang tidak ada lagi pening dan kesakitan. 

Bab dua akan terpaksa saya buang.  Ia sangat meleret dan banyak bermain dengan perkataan.  Apabila saya semakin faham perjalanan pengalaman Kak Ja, ada banyak benda yang tak relevan dengan penceritaan saya.  Ia perlu dirombak seterusnya dibaiki.  Saya perlu menulis dengan lebih matang.  Tak perlu ada cintan-cintun walaupun ia boleh menjadi satu tarikan.  Macam biasa, saya mahu menulis dengan cara sendiri.  Macam selalu, citarasa adalah nombor dua tetapi saya mesti akur dengan pembaikan Sifu.  Ini adalah novel pertama dan saya sedang merangkak mahu menyelesaikannya.  (Dah 102 kali cakap benda yang sama!)

Tidak! 

Ya!

Kali ini saya benar-benar serius.  Saya angkut laptop ke perpustakaan sementara menanti Hidayat keluar dari sekolah ugama jam 3.30 PM.  Lagak saya seperti seorang korporat, guru, pensyarah, atau siapa sahaja yang kelihatan anggun dan penuh gaya bersama beg laptop itu.  Ceh! Sebenarnya masih ada lagi yang terkini bertanya, "Mahu pergi mengajar?" tatkala saya terhegeh-hegeh mengangkut beg-beg sekolah ugama budak-budak ke bonet kereta, walhal waktu itu belum terfikir mahu mengangkut laptop bersama.  Saya semakin tawar hati sebenarnya mahu menjeling ke arah sekolah tempat saya temuduga di hari kedua persekolahan bermula tempohari.  Ya, sudah pergi temuduga pun.  Dan saya letak kadar yang melampau untuk gaji yang diminta ... saja ... dan ikut saranan Abah Naqhuhines. 

Kenapa?

Hingga saat ini, sudah melekat dalam kepala saya bahawa saya hanya berketrampilan sebagai guru tetapi saya tidak berjiwa pekerja.  Saya hanya berasa tenang menguruskan kehidupan sendiri, tanpa jadual waktu bekerja yang membuatkan saya tergocoh-gocoh menyiapkan diri sepagi-pagi dan kembali dengan keletihan sepetang-petang.  Jadi, apa yang lebih sesuai untuk jiwa pemberontak melainkan kau buatlah kerja sendiri suka hati kau. Tetapi masih dalam sukatannya. 

Pokoknya, rezeki ada di mana-mana.  InsyaAllah.  Mungkin saya bakal menerima imbuhan pada hujung tahun hadapan, dengan andaian novel saya cepat siap tahun ini dan berjaya diterbitkan.  Disusuli novel kedua yang lebih dewasa, terbit dan dapat imbuhan lagi.

InsyaAllah ~ perkataan yang sangat suka saya sebut.  Dengan izin Allah, semua boleh jadi, kan!

Makcik macam desperate je ...
Mana ada, makcik ok, cool!  (kena tulis laju coz dah hampir jam dua lum masuk tidur.  Memang dah melampau!!!  Stail stay up macam dulu-dulu dah vanish.  Tidur mesti awal dan bangun pun mesti awal.  Cara hidup sihat.)

Dan saya temui sedikit kebolehan menulis.  Juga rasa ketenangan menguruskan anak-anak ini yang satu ketika akan meninggalkan saya seorang demi seorang, lalu saya kembali berdua bersama abah mereka sahaja.  Waktu itu adalah mungkin waktu saya akan membaca catatan di blog ini dari entri yang pertama sambil gelak dan tegang silih berganti, selepas mengerjakan solat sunat dan mengaji al-Quran di waktu-waktu seperti ini, insyaAllah. 

Kemudian, satu hari yang lain saya pula meninggalkan mereka dan blog ini pun menjadi sepi tanpa sebarang catatan dari seorang saya.   Maknanya, kalau sudah begitu lama blog ini tidak diupdate, silalah hadiahkan al-Fatihah untuk sang penulis ini.  Namun buat masa terdekat ini, andai blog pun masih sepi, saya sedang berjuang untuk menyelesaikan novel sulungku.  Ohh saya mesti menyelesaikannya!!!!!!!!!!!!!!

Ya Allah, bantulah daku selalu buat sekian kalinya.  Agar tulisanku menjadi manfaat.  Seperti kata my Adik, jangan melekakan tetapi hendaklah membuatkan pembaca merasakan kebesaran Tuhan.  Semuanya mesti dikaitkan dengan Yang Maha Agung.  Dan Kak Ja adalah satu watak yang insyaAllah tidak akan kuubah semata-mata untuk menyedapkan cerita.  Dia akan wujud seperti dirinya sendiri ~ dengan keibuan dan kasih-sayangnya selalu.

Wassalam.  Jam 1.42. 

Thursday, January 27, 2011

Bukan entri sebenar

Salam.

Baru habis chatting dengan adik, dari 10.13PM - 11.50PM melalui Skype.  Haa, tu dia sesekali jumpa kat alam maya.  Dia nak video conf, tapi sebab sume dah berdengkur, tulis je la.  Lagi pun abah Naqhuhines dah lena tu, biarla dia lena dan kita boleh berborak dengan aman hehehe ... Ni lagi tiga minit ke 12 malam, nak tulis kepada Sifu sekerat jalan je ni.  Nak message my Akak pasal Kak Ja untuk 'soklan berikutnya' pun macam dah tak sempat je.  Tapi kena hantar message gak, nanti tangguh esok malam dah lupa pulak.  So sorry to u!

Adik baru bagitahu sesuatu tentang pembedahan Kak Ja dulu, tiga kali pembedahan.  Ni kena buat kepastian dengan my Akak.  Fuh, ada banyak benda yang saya ketinggalan mengenai Kak Ja, al-Fatihah untuknya.  Semoga Kak Ja sentiasa berada di dalam cucuran rahmat Allah, ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman.  Semoga Allah melapangkan dan menjadikan pusaranya sebagai satu daripada pintu-pintu syurga.

Tak sampai hati nak buka kisah duka ini dengan mak.  Kata adik tadi, sure mak nangis nanti.  Hmm tak pe la semoga my Akak still kuat dibandingkan dengan mak, emosi dan ingatan pun masih fresh.  

Achoo!!

Alamak, kena tahan bersin ni.  Suasana dah sunyi sepi, hanya zikir-zikir dan selawat yang berkumadang dari siaran Nur Islam yang setia menemani.  Dingin dinihari mula meresapi...

Aduhh Ain menderam-deram dalam tidurnya.  Kalau orang tak biasa dengar tentu seram giler.  Hai Ain... Ain ... bila la nak berhenti menderam-deram tu.  Kalau duduk asrama nanti, terkejut orang dibuatnya.  Mungkin dia ni kena buat rawatan intensif resdung kot.  Agak-agak je, entah la.  Abih, kalau tekak gatal macam tu, tak ke berkait dengan resdung?

Haa, memang sah thread saya kat blog Sastera dah kena ketepikan.  Huhu (tak suka buat bunyi ni!) tapi semalam Sifu dah masukkan balik.  Kata Kak Ummu cum assistant Sifu, mungkin sebab saya tak bayar hutang sewa bilik ...  Hehe Kak Ummu ni memang sangat pandai berkias dan lemah-lembut perkataannya,  saya suka dia! 

Memang la pun, hampir tiga bulan saya senyap dari sebarang kemajuan di blog bimbingan penulisan novel tu.  Pening!  Saya betul-betul merangkak untuk menjadikan cerpen saya kepada novel.  Saya terasa sedang berada di tempat paling corot, paling sepi, paling muram di dalam dunia penulis.  Makcik nak jadi penulis gak???  Patut la pun Sifu berhak berfikiran untuk mengeluarkan anda dari senarai bimbingannya.  Padan muka! 

Tapi Sifu dah buka balik thread tu ...  terima kasih Sifu.  I really miss u! (Sifu ni perempuan ~ untuk makluman).

Ye la, belum terbukti apa-apa.  Maka terasa la hati ini, terasa la diperlekehkan.  Bukan orang lain pun, diri sendiri jugak.  Atau orang sebelah tu ha!  (Abah Naqhuhines la, sapa lagi?).

Tapi, sebenarnya dia tak la teruk sangat.  Dia malah mencabar saya sebenarnya.  Dan paling seronok, dia macam setuju je bila saya kata saya NAK LAPTOP BARU!  Ya, ni bab paling menarik setakat ini, selain Cefiro hitam yang dia kata "Kurang sesuai la, kita enam orang elok pakai MPV."  Alahai, hari tu dia tanya-tanya jenis apa yang ok.  Lepas saya perhati-perhati-perhati (yang selama ni saya tak kisah apa jenis pun janji ada empat tayar, boleh bergerak  walaupun antik) dan mula jatuh hati dengan keanggunan dan kemegahan Cefiro, alih-alih dia cakap begitu pulak.  Hmm ... ok la tu karang Along datang duduk sempit-sempit pulak, kesian dia.  MPV pun tak kisah la, dan alhamdulillah. 

Semoga tercapai cita-cita dan dipermudahkan Allah selalu.  Amin. 

Jadi, semoga nanti saya akan lebih bersungguh-sungguh (pulun! pulun! pulun!) untuk menyelesaikan novel ini.  Ohh ... sebenarnya hati sangat-sangat geram, cemburu dan arghhh apabila melihat senarai karya-karya mereka yang terus diterbitkan satu persatu.  Aku punya mana??? Kau punya lum siap la!!!! 

Ohh ...

Ini bukanlah entri yang sebenarnya mahu saya tulis.  Bukan! Tidak begini!  Ia lebih lembut dan sedap dan menarik, bukan dengan penutup seperti ini.  Maaf zahir batin. 

Cool!

Sunday, January 23, 2011

Ntah apa-apa la ...

Salam dinihari...  baru jam 11.41 PM.  Namun dalam samar begini, mata yang bosan boleh terkatup juga sesekali.

"Buat apa tu? Internet ke?  Kata dah tak nak bukak internet!"
"Ye la, check sikit-sikit je ..."
Hehehe ...

Bulan lepas, "Lepas ni nak sambung balik novel tu."
"Huh, dah seratus kali cakap macam tu!"
"Ok la tu, yang ni baru 101 kali!!"
Hehehe ...

Inilah hikmahnya barangkali.  Tika hilang keinginan 'merapu' di Jurnal Naqhuhines, timbul pula hasrat untuk menyambung semula penulisan yang sudah lebih dua bulan tidak disentuh sangat.  Iya, kalau tak dijenguk, bilanya nak siap.  Kalau hari-hari mampu dan mahu peruntukkan sedikit masa, misalnya satu jam yang sepi dari sebarang aktiviti, rasanya insyaAllah boleh siap juga.  Sebab rangka keseluruhan sudah ada, cuma nak perhalusi sahaja.

Meja ini sudah dibersihkan daripada perkara-perkara yang menyemakkan pandangan.  Tetapi mata sempat menjeling kepada kitab lama tebal sejengkal yang di'pinjam' dari Masjid Seria beberapa minggu lepas.  Hajat di hati mahu berhenti sebentar daripada membuat pinjaman buku dan mahu menghabiskan kitab itu, lalu memulangkannya semula.  Tetapi perancangan tinggal perancangan semata, apabila sekadar duduk-duduk di tepi rak buku-buku baru di Perpustakaan Pandan semalam, berkenan pula kepada beberapa buku yang bersusun di situ.  Aduhhh ... pinjam lagi. 

Kemudian teringat pula kepada blog penulis yang baru dilink, Sri Rahayu Mohd Yusop.  Blog beliau sangat menarik dan membuatkan saya tertarik untuk membaca novelnya juga.  Hampir waktu perpustakaan ditutup, saya bergegas ke tingkat atas perpustakaan ini dan mencari novel Sri Rahayu.  Huh, jenuh juga.  Mungkin tidak ada?  Hmm akhirnya ketemu juga di barisan novel-novel remaja, bertajuk Bukan Legasi Lalang.  Belum baca lagi.  Sekarang kena agihkan masa dengan baik untuk empat buku perpustakaan dan sebuah novel dari Yasmin, rakan kerja abah Naqhuhines.  Yasmin berminat meminjamkan novel yang dibelinya tatkala melihat saya membaca buku semasa company annual dinner awal bulan kelmarin, bertajuk A Thousand Splendid Suns - Khaled Hosseini.  Saya sudah mula membacanya suku muka surat.  Cerita yang menarik tentang gadis Mariam yang dikahwinkan pada usia 15 tahun.

Jadi, kitab itu yang baru diselak-selak sedikit masih diam di tempatnya.  Saya sudah sampulkannya dengan sampul plastik jernih dan tampal salafon tape di muka-muka surat yang tidak berapa kukuh gamnya.  Rasa sayang, semoga kitab ini akan dapat dibaca oleh lebih ramai orang kelak.  Sudah tentu insyaAllah akan saya kembalikan semula ke rak al-Quran di masjid itu nanti.  Semoga Allah SWT memberi pahala yang besar kepada insan yang telah bermurah hati mewakafkannya untuk bacaan orang ramai.  (Sebenarnya saya sangat ingin memiliki kitab ini.  Tetapi tentu perbuatan menyimpannya untuk dijadikan hak milik sendiri tidak sah dan tidak diredai Allah.) 

Saya rasa macam dah mula nak merapu dan merepek je ni.  Silap gaya keluar cerita hantu pulak kat sini.  Hantu?  Hmm ada la tapi nanti di lain entri ...  kalau teringat.  Bukan apa, napa la nak besar-besarkan pasal hantu syaitan, kan ke lebih afdal memikirkan kebesaran Tuhan yang Maha Pencipta, juga tentang perjuangan Rasulullah SAW.  Tak apa la ... di ketika orang syok nak tengok makhluk halus, kita pun nak juga tapi makhluk yang diciptakan dari cahaya tu ... bukan yang dari api.  Time orang nak berapat-rapat dengan api, kita bermesra-mesra dengan cahaya.  Tapi mana yang lebih besar afdal dari segala-galanya kalau tidak kita mendekatkan diri kepada yang Maha Pencipta itu sendiri.

Gulp!  Makcik cakap apa ni? 
Wassalam.  Err jom hafal bacaan doa selamat lagi biar lancar hehehe ... betul ni!  Ok, jumpa lagi. 

Tuesday, January 18, 2011

Minggu ini

1.  Hanessa demam.  Meracau di awal malam.  Kasihan.  Hari ini dia cuti sekolah.  Semoga cepat sembuh.  Esok sekolah ya ...

2.  Hajah Rosiah dan suami sudah kembali ke kampung semalam jam 3.30 pm.  En. Meon sempat bertemu di airport.  Tolong bayarkan tax untuk dua beg ~ tak beli apa untuk buah tangan. 

3.  Cuaca mendung dan dingin.  Hujan memanjang.  Idea menulis pun ikut dingin.

4.  Ain semakin kuat semangat mengurangkan berat badan.  Semakin tinggi tetapi 'detik ditunggu-tunggu' belum kunjung tiba.

5.  Bahu kanan sakit.  Mungkin badan banyak angin.  Semakin sakit selepas sentuhan jari Pak Meon, aduhhh sakitlah!!

6.  "Mama ni asyik internet je.  Period internet, tak period pun internet!"   Hidayat membebel pulak. Buat tak dengar je ...

7.   Misteri nusantara ~ ada dastar ajaib muncul beberapa ketika di atas kabinet tv rumah kampung, dan hilang tiba-tiba tanpa jejak.  Bukan abah punya.  Kemudian muncul kucing kuning hitam bulu panjang ekor kembang, terus abah simpan dalam kandang lama.  Ishh, nak bela kucing lagi ke bah?  Sapa punya, ntah-ntah ada pemiliknya ...

8.  Malam tadi bersembang dengan adik di Skype.  Sesekali bersembang, memang seronok.  Kus semangat, beratnya boleh tahan dah 73kg.  Hehe ... Katanya nak datang ke sini, dah alang-alang di Bintulu beberapa hari lagi.  Hmm sangat dialu-alukan.  Jom makan ambuyat, jangan termenung aje depan ambuyat nanti hahaha ...

9.  Naqib 'bingung' terima kunjungan tak disangka dari Mak Ngah Ani dan Pak Ngah Z pada Sabtu lepas 15hb, bersama satu kotak jeli kelapa yang enak tu ... tamar dan zam-zam.  Hehehe ... pertemuan 5 minit aje.  Terima kasih banyak atas ziarah.

10.  Mengapa saya macam tak tahu nak menulis pulak ni?? Ada!! Tapi cuma nak ambil petikan sahaja.  Tanda-tanda kematian.  InsyaAllah entri akan datang.  Noted makcik!!! Buat peringatan diri. 

11.  Oh ya, terakhir barangkali, juga kelmarin disapa kakak di Yahoo chatting, yang selalu sibuk dengan dunia penulisan dan editingnya.  Kalau dia tegur, mesti saya jawab dengan suka hati.  Sebab bukan mudah nak berchit chat dengan dia ni.  Borak borak lepas tu ting! dia bagi salam dan terus hilang.  Ohh anak kecilnya selalu meragam bila hari malam.  Hehehe ... 

12.  Baiklah, elok saya berhenti dulu daripada terus mengarut tak menentu.  Sebenarnya ada sesuatu yang mahu saya catatkan, tentang bicara mulut dan budi bahasa, juga tentang perjalanan takdir manusia yang penuh keajaiban.  Ada pula sangkut pautnya dengan situasi terkini.  Tetapi belum tiba masa barangkali untuk perkara ini dicatatkan di sini. 

Semoga bertemu lagi. 

Friday, January 14, 2011

Ya Allah, selamatkan kami dari fitnah.

Pagi ini jam 7, gadis kecil Hanessa sudah siap berpakaian lengkap ~ baju kurung putih, kain hijau pucuk pisang dan mini telekung yang baru dibeli semalam.  Manis sekali dia.  Sedang kakak dan abangnya masih santai-santai menonton tv.  Kelas mengaji akan bermula pada 8 pagi nanti.  Hanya setelah melihat saya bergegas menyelesaikan diri, barulah mereka bergegas pula.  Jam 7.30 pagi saya sudah duduk di meja, mahu memberi fokus kepada Kuliah Mufti.  Baru beberapa minit, masuk pula panggilan telefon dari mak di kampung. 

Pot pet pot pet ... bla bla bla ... "mak nak ke Sijangkang ni jumpa Along, dah rindu benar pada dia ... tapi tunggu abah selesai semua urusan, mak tak dapat telefon budak tu nak minta kunci Pajero tu sebab tak dijawabnya, dia sekarang kerja di Batu Pahat..."  Lebih kurang begitulah sebahagian kata-kata mak di telefon tadi, dan silalah alihbahasa kepada loghat Negeri Sembilan kalau anda mahir.

Masih ada lagi komen yang dispam untuk entri 'Jamuan Beriani Kambing di madrasah'.  Entah apa-apa, saya tak faham bahasa yang digunakan.  Tajuk ini pulak yang selalu mendapat komen spam.  Mujur saya masih rajin mendelete komen.  Apa lagi nak buat, memang pun kena delete. 

Eh eh follower bertambah lagi.  Terima kasih syukran thank you! Follower memang menceriakan blog saya yang ... mmm ... apa-apa la.  Saya tak belajar secara formal tentang apa yang dinamakan BLOG serta segala berkaitan dengannya.  Tetapi ada terbaca petua untuk menambah follower iaitu berpakatlah dengan sanak saudara serta sahabat handai supaya follow blog kita.  Ini petua je, tetapi mungkin blog anda memang hebat sehingga ramai orang yang follow, contohnya macam blog keretamayat tu ... saya pun teringin nak follow.  Blog ini biasa-biasa je, jadi bila ada orang yang sudi nak follow, kembang rasa gak.  Hehe ...  Saya tak pernah menyampaikan 'pesanan penaja' supaya follow blog saya kepada ahli keluarga hatta kepada suami.  Huh, dia tu!  Bagi komen pun dia malas.  Tapi saya tau dia selalu berkunjung ke blog ini untuk membaca apa yang telah saya luahkan di sini.  Iyalah, kekadang kita lebih mudah menulis daripada berkata-kata.  Saya salah seorang yang macam tu barangkali. 

Mungkinkah ada follower yang mengharapkan kita membayar dengan follow blog mereka juga?  Mungkin ini kebiasaan di kalangan bloggers.  Saya ada juga follow tetapi kurang rajin.  Saya juga suka link blog kerana ada entri-entri yang dirasakan bermanfaat dan menarik perhatian.  Namun telus sahaja, hanya beberapa blog yang saya benar-benar ikut setakat hari ini kerana entri yang sentiasa dikemaskini dengan info yang benar-benar hangat dan fresh.  Selebihnya tentu saya pernah berkunjung bersama harapan akan berkunjung lagi pada satu hari nanti untuk merenangi lautan ilmu yang tidak bertepi dan mendapatkan pelbagai maklumat yang bermanfaat.  InsyaAllah.

Rindu benar nak bercakap dengan Naqib.  Jumaat lepas tidak berkesempatan menelefon dia dari telefon awam.  Semua telefon awam yang saya kunjungi sudah penuh dengan 'penunggu'.  Hari ini pun sudah merancang akan ke telefon awam untuk bercakap lama-lama sikit dengan Naqib.  Menjelang jam 5 petang, hujan mula turun barai-barai langsung kasar-kasar.  Huh, takkan nak keluar juga.  Akhirnya saya gunakan telefon bimbit sahaja menghubungi ustaz di madrasah.  Ketika panggilan dijawab, ustaz memberitahu Naqib sedang khidmat mingguan dan akan miss call sebentar lagi.  Tak sabar rasanya menunggu ... tapi sabarrrrr.  Setengah jam kemudian, saya mendapat miss call dan menelefon semula ke nombor yang tertera. 

Alhamdulillah syukur kepada Allah, Naqib sihat dan sudah khatam juz 24.  Akan mula menghafal juz 23 pula nanti.  Buat masa ini ustaz masih memberi dia masa untuk benar-benar mahir dan hafal juz 24 itu yang katanya agak sukar sedikit.  Dan memang benarlah dia tidak dibenarkan keluar bersama Cik Izunnya yang datang tempohari kerana dia telah didenda oleh ustaz.  Dia keluar bersama wan dan atuknya seminggu sebelum itu, dan menghantar sms kepada telefon ustaz setelah gagal bertemu dengan ustaz di pejabat.  Namun kata ustaz, tiada sms yang diterima.  Cik Izun membawa tiga helai t-shirt yang dibelikan oleh Mak Ngah Ana dan menghulurkan RM50 sebagai duit poket.  Alhamdulillah.  Terima kasih sekali lagi kepada Izun dan Zul (adik ipar dan biras saya).

Baldi hilang lagi!  Kata Naqib, bajunya terlambak atas lantai.  Entah insan mana yang telah mengambil baldi itu.  Lepas ni Naqib mahu wannya bawakan tong cat sahaja buat baldi.  Hmm ... lain kali tulislah nama besar-besar gunakan cat kat baldi.  Semua orang mandi di tempat yang sama, kena la cekap perhatikan baldi sendiri.  Macam-macam la ... masih tak habis kisah baldi hilang. 

Itu semua hanya sekelumit kisah di madrasah.  Semoga Naqib tidak luntur semangat untuk terus menimba ilmu dan menghafaz al-Quran dengan bersungguh-sungguh.  Bersama iringan doa semua, semoga anak ini dan rakan-rakan seperjuangannya dapat menapak jejak para huffaz dengan hebat dan cemerlang.  InsyaAllah. 

Ya Allah, selamatkan anakku dan kawan-kawannya di madrasah daripada segala fitnah.  Bantulah mereka menghafaz ayat-ayatMu.  Kasihanilah mereka dan pimpinlah hati mereka dengan pimpinan kebenaranMu.  Hanya kepadaMu tempat mengadu dan mengharap, wahai Tuhanku.

Abah Naqhuhines membawa pulang akhbar Media Permata bertarikh hari ini, Jumaat. 14 Januari 2011.  Mata saya menangkap tajuk kecil di sudut kanan atas yang berbunyi 'Pendedahan Berani 29 'Gay' riuhkan Dewan Canselor UBD. muka 3.'  Daripada artikel setengah muka penuh ini, adalah sangat mengerikan apabila statistik kajian mendapati:


* ibu bapa kepada 18 daripada 29 orang 'gay' mengetahui dan menerima status 'gay' anak-anak mereka.
*  25 daripada 'gay' tersebut adalah beragama Islam dengan 24 orang berbangsa Melayu.
*  17 daripada mereka mempunyai kelab 'gay' masing-masing dengan salah seorangnya mendedahkan keahlian kelabnya melebihi 20 orang. 
*  13 daripada mereka belajar sehingga ke peringkat kolej/universiti.
*  Datang daripada pelbagai sektor pekerjaan seperti swasta, kerajaan dan bekerja sendiri seperti pegawai pentadbir, kerani, askar, polis, guru, juruteknik, pramugara dan lain-lain serta tidak mempunyai pekerjaan juga.
*  Antara faktor keterlibatan ialah keinginan sendiri untuk mencuba, pengaruh kawan, pengaruh keluarga, suka kepada kaum sejenis, secara semulajadi dan akibat putus cinta.


Inilah antara fitnah di antara sekian banyak fitnah akhir zaman.  Perlakuan kaum Nabi Luth kembali ke tengah masyarakat di antara sekian banyak perlakuan jahiliah yang kini diistilahkan sebagai jahiliah moden.  Walhal masing-masing sudah heboh dengan tarikh keramat 2012!  Walhal bukan kali ini julung-julungnya sebuah teka-teki dipersiapkan oleh agenda tertentu untuk menggoncang jiwa manusia.  Walhal sudah jelas bahawa hanya Allah SWT yang mengetahui bila kiamat akan berlaku. Sudah ada senarai peristiwa yang bakal berentetan sebagai tanda-tandanya. 


Maka biarkanlah mereka dengan keadaan mereka.  Kembalilah kita kepada al-Quran dan Sunnah Rasul SAW.  Melihat suasana umat hari ini, tentu Rasulullah SAW tidak menyukainya. 


Sekadar pemerhatian dan sedikit cetusan fikiran.  Saya bukan orang yang selayaknya mengulas perkara ini dan bukan di blog ini.  Cuma, apabila fitnah semakin gelap menyelubungi sehingga menyesakkan pernafasan, semoga masih ada ruang cahaya untuk Naqhuhines dan kita semua buat menyuluh langkah yang diambil, agar tidak tersungkur ke dalam jerat keruntuhan peradaban peribadi dan kemanusiaan.  Peradaban yang tidak akan musnah adalah al-Quran dan pelengkapnya adalah as-Sunnah.  Oh Tuhan, berilah kami ilmu dan berilah kami iman yang teguh dan kukuh.  Kurniakanlah kami hati yang hidup dan bersih,


Ya Allah, selamatkanlah aku daripada dosa munafik dan pimpinlah daku ke jalan yang Engkau redai iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang yang sesat.  Ameen.

Thursday, January 13, 2011

Angin Diet

Salam buat semua.

Alhamdulillah, Hurilain dapat menyampaikan puasa sunat Khamis sehingga azan Maghrib berkumandang pada jam 6.38 PM tadi.  Saya pulang dari menjemput mereka tadi, terus tergocoh-gocoh ke dapur, tanak nasi dan keluarkan ikan kembung yang masih beku.  Ikan itu saya rendam dengan air basuhan beras, dan usai menyiapkan bahan rencah, ia sudah hampir lembut dan siap dimasak.  Masakan yang paling cepat dan mudah ialah Ikan Masak Pindang. 

Hmm ... asam keping sudah hampir habis rupanya tinggal saki baki sahaja.  Boleh la tu!  Saya jerang di atas api kecil dan masuk ke bilik air untuk membersihkan diri.  Selesai urusan di bilik air, saya jenguk periuk di atas dapur.  Ohhh gas dah habis rupanya!  Nak tumpang dapur Kak Leha, tak mungkin rasanya.  Masa dan keadaan saya tidak mengizinkan.  Nasi dah pun kering, jadi saya keluarkan nasi dan cuci periuk, lalu memasukkan ikan beserta kuah dan perencah ke dalam rice cooker pula.  Tutup dan on plug.  Alhamdulillah, ketika saya dan Hurilain mahu berbuka puasa, lauk sedang elok menggelegak. 

Nasi?

Err ... adalah sikit, suku senduk je tapi ikan dua ekor.  Air jus epal baki sarapan mereka pagi tadi yang sudah dingin dari peti ais.  Enak bangat dong!  Alhamdulillah.  Laa, lupa nak masukkan halia, patutlah rasa sedikit hanyir.  Baru menyuap sekali dua, saya bangun mencari halia, tumbuk bagi pecah dan masukkan ke dalam lauk.  On lagi plug.  Harap-harap Wak Meon tak komen la karang ...

Tidak lama kemudian, ketika kami sedang solat Isyak, Wak Meon pun pulang dari perjalanan yang jauh.  Nampaknya dia agak kelaparan, sementelah hujan kasar sedang menimpa bumi di luar sana.  Wah, nampaknya sedap dan laju je abah Naqhuhines ni menyuap.  Wahhh, dia pun ambil nasi sedikit aje, jauh kurang daripada kadar biasa.  Alhamdulillah buat sekian kali, sebab lauk pindang ni menjadi.  Harap-harap si abah ni bukan sekadar nak mengambil hati je ...  anyway makasih le... sebab kata sedap tadi hehe ...  Bukan apa, kekadang macam tak menjadi je masak tu.  Kekadang terlebih enak pulak rasanya.  Hehe ... biasa la tu kan. 

Nampaknya angin diet sedang melanda kami sekeluarga.  Bengkung kain panjang berjela, lepas tu bengkung segera dari farmasi yang menerbitkan peluh lencun di perut, krim halia, dan sekarang masing-masing mula mengurangkan pengambilan karbohidrat.  Hanessa yang badan secekak pun sibuk memakai bengkung getah juga.  "Baby nak diet!" katanya selalu. 

Apa yang penting ~ beroleh sihat rohani dan jasmani, dan semakin tekun melaksanakan ibadah yang diperintahkan Allah, semakin tekun mendekatkan diri kepadaNya.  Mati bila-bila masa sahaja.  Semoga kita tergolong dalam golongan yang bertaubat di atas segala dosa-dosa dan diampuniNya, diberi hidayah dan taufik serta mengikut jalan yang diredaiNya.  Hidup dalam iman dan mati dalam khusnul khatimah.  Bahawa hati yang mengingati Allah tidak akan pernah susah!

Semoga ketemu lagi, salam manis dan ceria selalu.  Wassalam

Wednesday, January 12, 2011

Nasi? Takkk ...

Tak lapar pun!  Aneh rasanya.  Tetapi mungkin apabila minda sudah menetapkan target, maka tubuh pun menerima signal demi signal dari otak.  Memanglah hati mempengaruhi diri!

Kiranya sudah tiga hari saya tidak makan nasi.  (Tetapi sebenarnya ada juga la ... copet nasi sesudu dua dari periuk hehe).  Pelik bila tak makan nasi rupanya ya!  Makanan ruji la katakan.

Ya, saya katakan pada diri bahawa saya mesti berani merasai kelaparan.  Ini pernah saya nikmati dengan semangat yang kuat semasa remaja dulu.  Apabila lapar, pembakaran lemak berlaku dan tubuh akan berpeluh.  Saya berasa lebih ringan!  Saya juga ada geng yang rajin berpuasa setiap Isnin dan Khamis.  Orang-orangnya tak ramai, dan bertukar-tukar mengikut keadaan.  Saya juga lebih rela menapak ke stesen bas yang jauh dari sekolah berbanding menunggu bas sekolah datang untuk pulang ke rumah. Tambahan lagi selalu riadah bermain badminton di depan rumah dengan mak yang ketika itu masih cergas sebaya saya kini.

Kenapa saya tak ambil cara mudah untuk meringankan badan?  Hmm memang saya sangat rajin melihat iklan produk mengurangkan berat badan di pasaran.  Seronok melihat gambar wanita yang mula-mula begitu montel kemudian sudah kurus cantik dalam pakaian kebaya, berposing dengan penuh gaya.   Tak perlu berlapar, itulah kata kuncinya yang menarik perhatian pelanggan, dan berlaku perubahan di dalam masa yang singkat sahaja. 

Anda berikan wang yang secukupnya dan anda dapat tubuh yang cantik.  Lebih sihat, lebih cergas.  Tetapi saya selalu berfikiran ortodoks.  Saya sukakan petua-petua lama dan cara semulajadi.  Lagipun, apabila saya berasa lapar, maka akan teringatlah kepada orang-orang yang lapar kerana tidak mampu hendak membeli makanan.  Dan teringatlah kepada baginda Rasulullah SAW yang melilit perutnya dengan kain yang dilapik batu-batu hingga mengeluarkan bunyi apabila saling berlaga.  Keluarga baginda tidak pernah menyimpan baki makanan melainkan semua disedekahkan.  Inilah yang akan saya ingat-ingatkan kepada diri, insyaAllah.  Tambahan pula Allah tidak suka kepada hamba-hambaNya yang selalu kekenyangan.  Wadah yang paling buruk pada anak Adam adalah kantung perutnya.  Sebenarnya lebih afdal bermujahadah menguasai hawa nafsu, kerana hawa nafsu sangat sukar diuruskan sementelah ia berada di dalam diri kita sendiri.  Itulah perang yang lebih besar dan hebat daripada peperangan melawan musuh di medan, kata Rasulullah SAW.

Tetapi percayalah, apabila sudah biasa berlapar, ia bukan lagi perkara luar biasa kepada kita.  Bahkan makan sedikit sudah berasa puas dan kenyang.  

Namun, tahniah kepada peserta-peserta program yang berjaya menurunkan berat badan.  Saya juga mungkin tergolong tidak cukup mampu untuk mengikuti program sebegitu.  Namun saya ada juga mahu mencuba sebenarnya, tetapi tidak istiqamah.  Saya pernah membeli Jus Mate 5.  Terkini saya sedang menunggu patch foot untuk mengeluarkan toksin dari tubuh melalui tapak kaki.  Apabila harga slimming patch foot yang ditawarkan sama dengan patch foot biasa, saya fikir lebih baik saya beli yang itu.  Mungkin ia turut membantu saya di ketika kadar metabolisme badan semakin menurun ketika usia semakin bertambah begini.

Tiba-tiba adik saya timbulkan pertanyaan tentang berat saya sekarang. Hehe ... mungkin adik saya sudah semakin bulat agaknya.  Rangka dan tinggi kami lebih kurang sahaja.  Dia dulu adalah kanak-kanak yang kurus dan comel, remaja yang cantik dan sekarang sudah menjadi ibu yang montel barangkali.  Sudah lama tak bertemu dia.  Soalan saya tentang beratnya sekarang belum dijawab lagi, jadi tak tahulah siapa yang lebih lemak dalam badan ni ...

Entah berapa lama akan bertahan tak menyentuh nasi, saya tak tau.  Kawan sekolej dulu pernah mengaku dia tak makan nasi selama dua tahun dan saya rasa macam tak percaya je dia adalah gadis yang sangat montel dua tahun sebelum itu.  Bekas staf saya di PJAC juga begitu, bezanya dia masih mengambil nasi cuma dia mengamalkan minum air asam jawa setiap hari selama setahun.  Sebotol air asam jawa sentiasa sedia di dalam peti ais untuk diminumnya pada bila-bila masa.  Saya rasa tak larat nak minum air asam jawa selalu walaupun katanya perut akan terasa kenyang.  Mungkin minum Anelene lebih membantu mengurangkan rasa aneh di perut di samping membaiki kondisi tulang-temulang saya.   InsyaAllah.

Namun saya tetap mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.  Juga biskut dan sedikit roti.  Saya juga sudah bercadang membuat sup telur tanpa minyak bersama sedikit quaker oat untuk bersahur nanti.  Hmm semoga saya dapat bangun untuk menyiapkan Hurilain sahur juga.  Anak gadis saya ini semakin berkobar-kobar semangatnya untuk sama berpuasa sunat.  Mampukah dia berpuasa esok ~ hari pertama berpuasa setelah kembali ke sekolah dan turun naik kelas di tingkat tiga, bukan di bulan Ramadan?  InsyaAllah, saya doakan dia dapat menyampaikan hingga ke waktu berbuka nanti.

Ok, stop kisah ini.  Tadi pagi saya menerima panggilan tidak disangka-sangka daripada 'Abang Bong' yang baru tiba bersama isterinya, Hajah Siah.  Agak terperanjat tetapi teringat ketika kami singgah ke rumahnya raya tahun lepas dan memberitahu akan ke Brunei, dia ada mengatakan akan datang menjejak anak-anak buahnya di sini nanti (dulu dia bekerja dalam army di sini).  "Tentu Intan tak sangka kan Abang Bong sampai ke Brunei?"  katanya di dalam telefon.

Semoga perjalanan mereka berdua lancar dan selamat kembali ke tanahair pada Isnin nanti.

Ohhh hanya 8 min power balance.  Sudah jam 11.58 pun.  Tak yah plug in la, nak masuk tidur dan nak bangun sahur nanti. Insyaallah.

Ketemu lagi ya...

Tuesday, January 11, 2011

Sudah ketemu Sakinah!

Semalam, saya berbuka puasa dengan mengadap lima biji epal merah yang rangup dan sebiji lobak merah.  Kemudian anak-anak sama mengunyah epal dan lobak merah yang rangup itu.  Hanya Hanessa yang terkial-kial menggigit epal kerana giginya yang jarang di bahagian hadapan dan perlu dibantu. 

Saya memang selalu menggunakan lobak merah di dalam hidangan bahkan saya menjadikannya sebagai ulam juga.  Ternyata kini Hidayat lebih ketara gemarkan lobak sebagai kudapan terutama setelah dia terpandang Rohith mengunyah lobak merah dengan bersahaja.  Cakap saya dia kurang terima, tetapi kini keyakinannya pada manfaat pengambilan lobak merah semakin meningkat.  Lobak merah membekalkan zat penting untuk kesihatan mata terutamanya.  Ia kaya dengan vitamin A dan korotena.  Ia juga mengurangkan risiko penyakit barah, katarak dan serangan jantung.  Selain mengunyahnya begitu sahaja, saya juga gemar mengisarnya dan diminum dengan sedikit susu.  Enak dong!!

Sehingga malam ini, saya masih belum sudah menyampul buku anak-anak.  Naik sengal bahu saya dibuatnya.  Tetapi mulai tahun ini, satu semangat baru muncul untuk memantau pelajaran anak-anak dengan lebih teliti.  Semua buku-buku sama ada teks dan workbook saya sampulkan dengan sampul plastik supaya kemas.  Tahun-tahun sudah tidak begini pun, sederhana aje.  Kali ini, siap dengan nama masing-masing yang dicetak oleh abah mereka menggunakan komputer, dulu tulis je dengan pen.  Mana-mana teks yang sudah terbogel kerana tercabut kulit luarnya, saya tampal kertas keras supaya mudah disampul dan helaian dalam lebih selamat.  Semoga pelajar-pelajar yang menggunakan buku yang sama di masa akan datang juga mendapat manfaat dari penyampulan buku ini.

Buku Hidayat ada beberapa buah lagi yang belum dapat disediakan kerana kedai sudah kehabisan stok.  Buku Darjah Tiga tahun ini menggunakan buku baru dengan silibus yang baru.  Hanya Sabtu kelmarin kami menerima senarai buku yang perlu dibeli untuk pelajar Darjah Tiga.  Apabila buku Hidayat selesai dibeli kelak, tugas menyampul buku pun tamat.  Ah, lega rasanya.  Semua buku kelihatan kemas apabila disampul dengan sampul plastik.  Semoga semangat anak-anak untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan lebih tekun juga akan meningkat lagi pada tahun ini.  InsyaAllah.  Setakat minggu-minggu awal ini, mereka masih di dalam saki-baki mood percutian lagi.  Guru-guru juga masih sibuk dengan pelbagai pelarasan dan kemas kini kelas masing-masing.  Beban homework masih belum terasa.  Pendek kata, masih boleh enjoy bah!

Saya semakin mengurangkan peminjaman buku di perpustakaan. Kini saya beralih semula ke Perpustakaan Seria tetapi rupanya perpustakaan ini masih lagi di dalam pembaikpulih atau peningkatan taraf kepenggunaan ke arah yang lebih baik.  Berbasa-basi dengan pegawai berkenaan, bangunan akan dibesarkan sedikit masa lagi.  Deretan komputer sudah bersusun rapi di atas meja namun belum ada sambungan internet, bahkan keyboard pun belum disambung dengan sempurna.  Namun saya memang suka sangat apabila meneliti buku-buku yang bersusun rapi di rak-rak tingkat atas perpustakaan ini.  Ada banyak buku yang mahu saya baca (bukan novel) insyaAllah.

Saya juga sudah kembali menjenguk bab-bab yang berbaki untuk novel saya yang sudah dua bulan tersangkut.  Saya mantapkan hati untuk menyelesaikan juga novel ini pada tahun ini insyaAllah.  Dulu saya canangkan kepada Sifu mahu menyudahkannya pada Disember lepas.  Habuk pun tarak!  Abah Naqhuhines pun selalu mencemik apabila saya katakan, saya akan akan akan ... setakat akan!  Tetapi, insyaAllah kali ini seterusnya telah saya tetapkan hati dan tingkatkan usaha untuk menyudahkannya.  Semoga dua bulan lagi impian saya untuk memiliki laptop baru dengan akses internet yang lebih murah akan tercapai jua.  InsyaAllah, semoga Allah kabulkan.   

Sangat sukar buat saya membayangkan watak dan perjalanan cerita dengan jelas dan terang, sehingga seolah-olah kita menonton wayang, kata sifu.  Saya kembali cuba membayangkan dan terus mencari-cari watak yang selari dengan Sakinah, heroin novel saya tu.  Semalam saya terserempak Cikgu Diza, guru kelas Hidayat pada tahun lepas.  Sangat lembut dan manis orangnya.  Memang mempesonakan dengan penampilan lain dari yang lain di kalangan guru-guru di sekolah itu.  Hmm ... saya fikir saya sudah bertemu wajah dan watak untuk Sakinah!  Alhamdulillah.  Semoga Sakinah benar-benar hidup di dalam novel saya itu nanti.

Hingga ketemu lagi di lain entri.  Salam manis dan senyum selalu. 

Himpunan Cerita-Cerita Agama Siri 1 oleh Luqman Hakim, penerbitan Jahabersa 2000 sangat-sangat menarik!

Monday, January 10, 2011

Rezeki Ular Buta

Kuliah Mufti semalam antara kuliah yang sangat menarik perhatian. Ia berkenaan apa yang dipanggil rezeki itu adalah perkara yang besar di sisi Allah, termasuk ialah rezeki yang tidak disangka-sangka. Lalu Tuan Mufti mengutarakan suatu kisah yang luar biasa berkenaan urusan rezeki ini.

Pada suatu hari, Imam Malik bin Dinar sedang mahu menjamah makanan yang terdiri daripada hidangan daging. Namun belum pun sempat daging itu dicapainya, seekor kucing telah terlebih dahulu menyambar daging di dalam pinggan lalu membawanya lari.

Hairan dengan perlakuan kucing yang tidak memakan daging itu, lalu Imam Malik mengekori haiwan tersebut yang membawanya ke sebuah lubang di permukaan tanah. Sampai di situ, kucing tersebut meletakkan daging di mulutnya di tepi lubang tersebut. Beberapa ketika kemudian, muncul seekor ular dari dalam lubang, bergerak-gerak tidak menentu sehingga sampai ke tempat daging lalu memakannya.

Subhanallah! Ternyata ular itu buta. Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah telah menetapkan rezeki ular buta itu melalui khidmat si kucing tadi. Ia adalah antara peristiwa luar biasa sebagai bukti kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Memberi Rezeki kepada makhlukNya.

Mungkin anda juga pernah membaca kisah seekor burung gagak yang mencuri roti seorang hamba Allah dan menyuapkannya ke mulut seorang lelaki yang sedang terikat kaki dan tangan di satu kawasan yang tersembunyi dari laluan manusia. Lelaki ini asalnya adalah pedagang yang telah dirompak dan ditinggalkan supaya mati kebuluran. Allah SWT telah menyelamatkannya daripada kebuluran melalui khidmat si burung gagak sehingga akhirnya dia diselamatkan oleh hamba Allah yang dicuri rotinya tadi.

Ini berkenaan cara rezeki yang luar biasa datangnya dan tidak disangka-sangka. Rezeki yang sudah ditetapkan untuk seseorang juga tidak akan dapat ditolaknya.

Saya teringat kisah seorang hamba Allah yang mahu menguji tentang hakikat rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah untuk sekelian makhlukNya. Hamba Allah ini pun keluar bermusafir dan duduk mendiamkan diri di satu kawasan yang sunyi dan tidak pernah dikunjungi manusia lalu duduk berzikir. Tidak berapa lama kemudian, tiba-tiba lalu satu kafilah dan telah ternampak lelaki yang duduk bersendirian ini. Ketua kafilah dan orang-orangnya cuba mengajak lelaki itu berbicara tetapi tidak disahutnya. Orang-orang itu mula mengandaikan dia sedang sakit lalu menyuakan makanan, namun tidak dijamahnya. Akhirnya setelah berbagai usaha mereka untuk membuatkan lelaki itu bercakap tidak berjaya, mereka mencuba membuka mulutnya untuk menyuapkan makanan, dengan andaian dia terlalu sakit sehingga terlalu lemah untuk membuka mulut dan bersuara. Melihatkan kesungguhan kumpulan manusia yang terlalu prihatin dengan keadaannya itu, sang lelaki yang mahu mencari bukti kebesaran Allah tidak mampu menahan dirinya daripada tertawa lalu menjelaskan keadaan dirinya yang sebenar.

Ternyata rezeki setiap makhluk telah siap di dalam senarai Allah SWT dan Dia tidak pernah cuai menguruskan makhlukNya. Dek kerana itu, sekiranya tidak ada rezeki, pinggan hidangan di depan sila pun boleh tertolak dari capaian tangan kita. Sebaliknya, kalau sudah direzekikan buat kita oleh Allah, walau bagaimana aneh jalannya, akan sampai juga kepada kita. InsyaAllah.

Dan sebaik-baik rezeki adalah rezeki iman di hati, pancaran hidayah dan taufikNya serta taqwa. Inilah rezeki yang berpanjangan tidak berkesudahan 'mengenyangkan' roh manusia di sepanjang perjalanan hidup. Alangkah sedih dan ruginya andai hati sepi dari mengingati Allah, sehingga jiwa menjadi kosong dan terus mencari hiburan sementara yang melalaikan. Dengan hati yang lalai, mudahlah musuh utama manusia iaitu syaitan menghasut dan menganggu fikiran sehingga terus menerus leka dengan keduniaan yang sementara. Timbullah perlakuan yang tidak mendapat pimpinan Allah. Jadi ingatlah apabila lupa kepadaNya, Dia pun akan melupakan kita.

Semoga kita semua termasuk umat akhir zaman yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Walaupun jalannya sangat sukar, sehingga mungkin terpaksa merangkak di atas salji untuk mendatangi kebenaran. Di ketika waktu berputar semakin laju dan Islam kembali menjadi sangat asing. Dan orang-orang berbuat kebaikan hanya untuk berbangga-bangga, menyimpan mushaf di rak yang berdebu dan terpesona dengan urusan dunia.

Ya Allah, terimalah solat kami dan berilah kami nikmat kusyuk dalam solat. Selamatkanlah kami daripada fitnah akhir zaman. Jadikanlah kami orang-orang yang sabar demi keredaanMu. Sembunyikanlah keaiban kami dan ampunilah segala dosa-dosa kami. Pimpinlah kami dan janganlah biarkan kami. Hanya kepadaMu tempat kami mengadu dan berserah diri, tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

• Menangislah kerna tangisan itu mengingatkan kita kepada dosa-dosa yang dilakukan.
• Bersabarlah di atas musibah, mungkin ia kifarah dosa.
• Anak-anak adalah cahaya mata, penyejuk hati penghibur jiwa. Pimpinlah anak-anak supaya menjadi Mukmin sejati, bukan Nasrani atau Yahudi atau Majusi.

Sunday, January 9, 2011

Qirdun akan pergi

Hmm sedikit demi sedikit kawan-kawan lama muncul di FB dan bertukar khabar diri masing-masing.  Mula la terkenang zaman persekolahan dulu hehe ...

Jam dinding sudah melepasi 6.30 pagi. Hurilain masih terkial-kial memasang brooch di tudung putihnya. Saya turut membantu. Ada baki benang masih terlekat pada tudung di tepi pipinya. Tadi, saya menjahit lencana kain ke atas tudung itu, agak-agak sahaja. Ternyata apabila tudung dipakai, lencana itu terlalu tinggi betul-betul di tepi pipinya. Saya tergelak sendiri tetapi anak perempuan saya mula menangis. Dia membentak dan saya tahu perasaannya rusuh. Ah, pagi ini baru dia maklumkan mahu lencana itu dijahitkan ke tudungnya. Tudung itu pula dipakai bersama brooch, style pelajar Maktab Anthony Abell.

Saya katakan kepadanya, bahawa tudung ini lebih baik dijahit siap untuk memudahkan dia memakainya setiap pagi. Seminggu persekolahan, Hurilain merupakan orang yang terakhir menyiapkan diri gara-gara tudungnya itu. Walaupun dia seperti berat hati, saya yakinkan dia bahawa tudung yang sudah siap dijahit memang lebih memudahkan dia dan tidak mustahil cara itu menjadi ikutan pelajar lain juga nanti. Tambahan lagi tahun ini merupakan tahun pertama penggunaan lencana kain yang perlu dijahit terus ke tudung. Sebelum ini pelajar menggunakan bagde yang boleh dipin dan ditanggalkan, macam badge sekolah zaman saya dahulu. Lagipun kalau masih mahu mengekalkan style pelajar AAC, boleh sahaja dia mengenakan brooch di bahagian hadapan tudungnya. Tudung juga tidak terkangkang hingga menampakkan bahagian leher apabila ditiup angin.

Harap-harap isu tudung ini akan selesai dengan baik tanpa banyak soal nanti. InsyaAllah.

Semalam, Jumaat, Hidayat dan Hanessa sudah memulakan kelas mengaji (setiap Jumaat) di Masjid Zainab. Alhamdulillah. Jam 8 pagi, saya menghantar Hurilain untuk kelas mengajinya dan kebetulan terserempak dengan guru mengaji di tangga masjid. Sebaik sahaja Hurilain menghulurkan borang permohonan mengaji adik-adiknya itu, Cikgu Haji Bakar yang juga salah seorang imam Masjid Zainab terus memberi isyarat kepada saya yang masih memerhatikan dari dalam kereta, “Mana anak kita yang mahu mengaji itu?” Terus disuruhnya masuk mengaji, maknanya permohonan mengaji terus diterima. Tahun lepas tatkala saya ajukan permohonan, hanya Hurilain yang diterima untuk pengajian al-Quran sedangkan pengajian kelas mukaddam sudah terlalu ramai dan permohonan baru terpaksa ditolak.

Alhamdulillah, tahun ini Hidayat dan Hanessa diterima mengaji di situ. Kami pulang semula ke rumah (tidak sampai 1 km dari masjid) untuk Hidayat menukar pakaian ke uniform sekolah ugama. Hanessa pula memakai baju kurung raya tahun lepas. 

Semasa di Sijangkang, gadis kecil saya selalu bahkan sebenarnya sentiasa mengelat daripada mengaji dengan Ustaz Aizat.  Ada sahaja alasannya, antaranya dia masih kecil lagi dan terlalu malu.  Tetapi dia juga yang kadangkala menganggu dan menimbulkan huru hara kecil di ruang tamu tempat kelas mengaji sedang berjalan.   Akhirnya saya cuba mengajar dia sendiri, tetapi asyik terhenti-henti kerana bergantung kepada kelapangan saya (kerap kali terlupa pulak tu!) dan setiap kali terpaksa mengulang dari muka surat awal mengikut kehendaknya.  Bukan kerana apa, tetapi dia berasa sangat yakin dan seronok mengulang-ulang huruf-huruf yang sudah dikenalnya tanpa rasa bosan.  Tetapi bila nak bertambah kalau asyik ulang huruf yang sama sahaja!  Jadi saya amat berharap dia akan enjoy dengan suasana pengajian di masjid ini.  Hidayat, macam biasa sentiasa teruja dan seronok mahu belajar. Hanya Hanessa yang separuh enggan dan malu. 

Ketika saya tanyakan cara mengaji mereka kepada Hurilain, ternyata mereka belajar secara serentak beramai-ramai.  Bukan secara individu seperti kaedah yang biasa di tempat kita.  Sama ada pelajar itu lebih cekap atau tidak, mereka akan mengikut pengajian sama rata mengikut ayat yang ditentukan oleh guru.  Macam cara pembelajaran di sekolah juga. 

Kelas mengaji tamat pada jam 10 pagi. Rupanya ramai pelajar baru yang memakai pakaian biasa. Hanessa kelihatan ceria tatkala saya mengambil dia di tangga masjid. Kemudian kami terus ke kedai baju untuk menempah baju kurung putih dan kain hijau pucuk pisang untuk Hanessa, juga kain hijau untuk kakaknya. Tahun lepas Hurilain masih diberi kelonggaran untuk menggunakan kain biru sekolah pagi.   Tahun baru jadi kenalah ikut peraturan sedia ada.  Jadi Hidayat juga akan memakai kain sampin hijau nanti.

Sedikit cerita tentang si Qirdun.  Setelah beberapa lama saya sekadar menghulurkan roti planta bergula tanpa melihat luka di kantung pipi kanannya, tadi saya jenguk sebentar kepada luka itu.  Alhamdulillah, sudah bercantum rapat dan kelihatan sangat baik.  Monyet kurus ini, kata Kak Leha akan diambil oleh pemilik barunya.  Mungkin esok atau lusa, kami tidak akan melihat Qirdun lagi.  Semoga dia lebih selesa di tempat barunya nanti.  Juga semoga apabila sudah sampai masa dia berdikari, dia akan dilepaskan menjalani kehidupan semulajadi di dalam hutan Brunei ini.

Pak Jowo (warga Indonesia, saya tak tahu namanya) yang sedang menyiapkan projek kecil Kak Leha di sekitar rumahnya ini sempat bercerita kepada saya dan Kak Leha, tatkala saya menjenguk Qirdun tengahari tadi.  Katanya, pernah ada seorang pemburu menembak ibu monyet yang sedang beranak kecil.  Biasa la tu, pemburu memang kerjanya menembak haiwan hutan.  Hah, yang ini memang pengajaran untuk si pemburu, apabila kata Pak Jowo lagi, ibu monyet yang jatuh terjelepuk dari dahan pokok dan sudah luka parah itu merangkak mendapatkan si pemburu lalu meleraikan pelukan si anak di dadanya.  Perlahan-lahan dengan penuh susah payah ibu monyet yang hampir mati ini terus menyerahkan anaknya yang masih kecil yang sedang melekap di dadanya itu kepada si pemburu tersebut dan langsung rebah, mati.  Terlongolah manusia ini, berdebar kencang jantungnya dan barulah tersentuh apa yang dinamakan perikemanusiaan di dalam hatinya, tatkala menyaksikan sikap makhluk Allah yang dianggapnya tidak berakal fikiran itu.  Lantas barulah berjujuranlah airmata meleleh keluar dari sepasang mata milik si pemburu tersebut bersama kesalnya.

Saya sama-sama geleng kepala dengan Pak Jowo.  Apakah seperti itu juga sebenarnya sejarah si Qirdun???  Hanya wanita bernama Rina yang tahu.

Wednesday, January 5, 2011

Atasi takut itu, Hidayat!

Saya geram betul dengan Hidayat.  Mengapa dia penakut sangat, sampai nak pergi tandas masjid Seria yang terang benderang di hari siang bersama adiknya pun tak mahu.  Bukan saya tak boleh nak temankan, tetapi sampai bila mesti saya ikutkan rasa takutnya tu??

Saya dan seisi keluarga tak pernah memomokkan dia dengan sebarang cerita seram dan ketakutan yang tak berfaedah.  Kami pun teramat jarang menonton drama-drama seram di tv.  Cuma abah dia aje yang kekadang menonton kisah mencari hantu setan tu, dan melihat efek-efek yang dikatakan dilakukan atau kesan dari kehadiran hantu tu.  Saya tak heran sangat dengan siri itu.  Kenapa mesti syok nak tengok orang mengendap hantu dalam gelap? 

Saya hairan juga, kenapa orang selalu teruja dengan hantu.  Nak lihat hantu, nak ambil gambar hantu.  Kalau ada objek aneh yang muncul dalam gambar, jadi heboh seantero dunia tentang betapa seorang hantu telah muncul dalam gambar itu, jadi sebenarnya ada hantu di belakang mereka sewaktu gambar itu dirakamkan.   Eiii seramnya!

Sewaktu Hidayat berumur sekitar dua tahun lebih, dia bukan budak yang penakut.  Dia sanggup duduk bersendirian di ruang tamu rumah untuk menyudahkan tontonan Ultraman kegemarannya, tutup tv sendiri dan naik sendiri ke tingkat atas di waktu malam, ketika waktu kami mahu tidur. 

Saya ceritakan perlakuannya itu kepada dia sekarang tetapi,  argghhhh ... hanya matanya terkedip-kedip memandang saya.  Mengapa? Mengapa Hidayat jadi begini??

Ikut siapa?  Saya bukan seorang yang penakut tahap gaban.  Normal sahaja.  Abah dia pun insyaAllah, kalau dengar cerita berbagai pengalamannya, terkadang si abah ini saya fikir hanya mendabik dada sahaja tetapi itulah yang dilaluinya.  Naqib, Hurilain dan bahkan Hanessa sendiri lebih berani dari dia.

Oh, bilakan Hidayat dapat melepasi titik ketakutan itu dan menjadi diri yang hebat?

Tadi di Masjid Seria yang mesra jemaah itu, budak lelaki ini sama-sama berhajat ke tandas bersama adiknya.  Saya masih bertelekung dan baru terjumpa sebuah kitab hadis tentang fadhilat zikir.  Terpesona dengan kitab yang diwakafkan ini, saya enggan melepaskan telekung dan terus duduk menyelak-nyelak kitab lama itu.  Itulah, dia buat permintaan.  Matanya menatap saya dengan wajah yang seperti tidak mengerti betapa saya mahu dia jadi seorang yang PEMBERANI.  Sampai di muka surat fadhilat zikir, saya panggil dia datang hampir dan suruh dia membacanya.  1.  Zikir dapat menumpaskan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.  Saya suruh dia baca terus hingga ke fadhilat ke 10.  Kemudian dia berlalu seperti tidak ada apa-apa yang menyentuh fikirnya.  Namun, semoga apa yang dibacanya tadi sudah melekat kuat di dalam memori jangka panjangnya, dan semoga satu ketika yang tepat nanti semua itu bergabung menjadi ilmu bantu yang akan menjadi benar-benar berguna kepada dirinya, itulah harapan saya tatkala memerhatikan anak ini.   Seterusnya, sambil menahan rasa sendiri, saya minta dia tunduk menghulurkan ubun-ubunnya.  "Mama nak doakan supaya Hidayat jadi berani dan hebat."  Dan dia terus tunduk akur sambil saya bertakbir beberapa kali dan melintaskan doa di hati lalu meniup ubun-ubun Hidayat.

Terkadang kasihan kepada dia.  Entah apa yang telah menganggu fikirannya.  Dia begitu obses terhadap makhluk Allah yang bernama iblis dan syaitan.  Apakah cara saya salah kerana selalu mengingatkan dia tentang kegemaran syaitan mendiami bilik air?  Mungkinkah dia membayangkan semua bilik air dipenuhi oleh syaitan?  Sudah saya jelaskan bahawa syaitan dan iblis hanyalah makhluk Allah yang diberi sedikit kelonggaran untuk menggoda manusia.  Tetapi tetap Allah SWT yang Maha Berkuasa dan kepada Allah jua kita memohon perlindungan dari godaan syaitan yang direjam.

Ya Allah, bantulah Hidayat memiliki peribadi yang mulia dan hebat.  Berilah dia keberanian dan kehebatan peribadi Saiyidina Umar al-Khattab, yang mana syaitan pun tidak berani melalui jalan yang telah ditempuh oleh sahabat nabi yang juga dikenal dengan julukan al-Farouq ini.  Juga keunggulan peribadi Saiyidina Abu Bakar ra, sahabat nabi yang penuh berhikmah.  Dan kelembutan Saiyidina Osman ra, serta keluasan ilmu Saiyidina Ali ra.

Semoga Muhammad Hidayatullah akan mencapai keperibadian yang cemerlang satu ketika nanti, dan melepasi segala ketakutannya ini dan meletakkan rasa takut dan harap hanya kepada Allah SWT yang Esa, bukan kepada makhlukNya dan apa sahaja selainNya.  InsyaAllah.

Kepada Allah jua tempat dipanjatkan segala harapan.  Semoga Allah mengabulkan, amin.

Tuesday, January 4, 2011

Azam yang diperbaharui

Salah satu azam saya yang diperbaharui tahun ini ialah ingin menguruskan emosi dengan lebih baik lagi daripada yang sudah-sudah.  Hmm ... dalam skop melayan anak-anak khususnya.  Semalam, sudah saya imbas-imbaskan kepada Hidayat betapa 'musim cool sudah tamat, dan musim garang sedang kembali'.  Dia tanya, "kenapa mama nak jadi garang?" 

Hidayat, memang mama garang tetapi bila musim cuti, mama pun seolah-olah bercuti juga.  Macam harimau tidur ...  Tapi, tak juga cuti sebab rasanya mmm ... kamu kena marah juga kan.  Jadi, bukanlah macam harimau tidur, cuma harimau yang sedikit baik menguruskan emosi dan menguasai marah.  InsyaAllah.  Kan mama dah jarang-jarang menggunakan rotan, jadi itu petanda yang bagus. 

Ya, memang saya berjanji kepada diri untuk membaiki sikap kepada anak-anak.  Saya mahu dan akan pantau mereka dalam pelajaran dengan lebih dekat lagi, bukan main suruh-suruh dan arah-arah sambil-sambil layan blog (ohhh ... jadi mesti kurangkan aktiviti ini, maksud saya lewatkan setelah semua kerjasekolah selesai).  Saya akan semak buku-buku latihan mereka setiap malam dan pastikan mereka selesaikan semua homework.  Bab Matematik, saya akan dan mahu jadi lebih sabar kalau mereka tak faham secepat yang saya mahu.  Tunjuk sahaja jawapan secara membimbing sampai mereka faham dengan baik (oh Tuhan, berilah aku kekuatan untuk bermujahadah).  Saya akan duduk di samping Hurilain ketika dia mengulangkaji pelajaran, dan bantu dia sebaik mungkin.  Tidak marah-marah macam dulu-dulu sampai saya dan dia sama-sama jadi bingung dan bengang.  Huh, teruk betul rasanya bila jadi begitu.

Saya akan mandikan Hanessa setiap pagi dengan air suam, beruskan giginya dan lapkan tubuhnya hingga kering.  Sapukan bedak baby yang harum dan pakaikan unifom sekolah hingga ke stokinnya.  Kemudian pujuk dia supaya bersarapan sebab dia susah nak minum pagi.  Ohhh ... setakat ini dia sama membantu,  Dia tak mahu mandi air suam, berus gigi sendiri dan pakai stokin sendiri.  Dan dia tetap tak mahu bersarapan sebaliknya minta saya datang ke sekolah waktu dia rehat jam 10.10 AM macam ibu-ibu kawan-kawannya yang tinggal sekitar Seria.  Uhh!!! 

Tetapi saya tidak mahu berubah jadi ibu yang baik sorang-sorang aje.  Hasrat ini tentu mahu dikongsi juga bersama abah mereka.  Jadi, saya tetapkan abah akan bantu salah seorang anak ketika selesaikan homework dan turut menyemak buku mereka.  Wahhhh!!!  Abah Naqhuhines memang turut menyemak buku dan membantu anak menyelesaikan homework, tetapi lebih kerap apabila lagi dua tiga hari menjelang peperiksaan.  Selain itu, mama yang suka marah-marah ini yang selalu membantu mereka hingga terkadang keluar airmata si anak.  Hmm kesiannya!

Saya sudah tetapkan target untuk mereka.  Saya sudah tampal jadual harian, jadual belajar dan jadual sarapan di dinding bergantung kepada perubahan tanpa makluman awal.  Memang berkobar-kobar nampaknya minggu pertama ini.  Semoga semangat dan azam ini terus berkobar dan bersemarak hingga ke hujung tahun nanti, dan semoga anak-anak ini akan menjadi insan yang cemerlang EQ dan IQ, rohani dan jasmani, mental dan fizikal serta keseluruhannya beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Seperti sebuah anjakan paradigma.  Setelah beberapa lama, saya pasti hidup mesti sentiasa bermotivasi.  Dapatkan motivasi dan jana motivasi dari luar dan dalam diri.  Dan motivasi yang paling saya suka adalah motivasi insan cemerlang Rasulullah SAW, yang dipuji akhlak dan keunggulan peribadi baginda oleh Allah SWT sendiri.  Pemimpin dan penghulu umat yang agung dan tiada tandingan sepanjang zaman. 

Oh Tuhan, janganlah jadikan kami orang-orang yang hipokrit dan berangan-angan panjang semata.  Tunjukilah kami jalan kebenaran yang Engkau redhai dan pimpinlah kami selalu.  Janganlah biarkan kami tetapi kasihanilah kami.  Ampunilah kami dan kurniakanlah kami hasanah di dunia dan hasanah di akhirat.  Dengan berkat NabiMu, Muhammad SAW.  Amin.

Hurilain bersekolah di Maktab Anthony Abell Seria.  Hari ini hari pertama dia ke sekolah.  Ibu bapa diberi taklimat ringkas tentang subjek diambil dan peraturan sekolah secara umum di dewan sekolah tadi.  Kemudian pengagihan kelas dilakukan.  Minggu suaikenal akan berlangsung sehingga 12 hb nanti.  Sepanjang itu, pelbagai aktiviti sudah disusun mengikut jadual.  Yuran termasuk pakaian sukan dan diary berjumlah 77 Dolar sahaja.  Kami dikenakan bayaran bulanan sebanyak 15 Dolar sebagai pemegang kad pengenalan hijau (warga asing yang tinggal di Brunei). Alhamdulillah, masih didalam kemampuan.  Sekolah ugama pula, hanya 5 Dolar setiap orang sekali pembayaran sahaja. 

Semoga Hurilain, Hidayat dan Hanessa akan belajar lebih bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang tahun ini.  Naqib juga, semoga dia dibantu Allah SWT dalam menghafaz sehingga menjadi mudah untuknya.  Amin.

Monday, January 3, 2011

Kembali ke sekolah

Sesi persekolahan 2011 bermula lagi.  Hanessa masuk darjah 1B dan Hidayat masuk darjah 3A.  Mereka satu bangunan, Hanessa di kelas bawah tepi tangga dan Hidayat naik satu tingkat dari kelas lamanya ke tingkat tiga.  Apa yang pasti, Hidayat paling ceria dan bersemangat untuk ke sekolah, macam selalu.  Dia memilih meja paling depan sekali.  Beg baru, botol air baru dan kasut serta stoking baru.  Kasutnya macam kasut abahnya, bukan kasut kain, tetapi dia belum mahir mengikat tali kasut. 

Hanessa, kesian dia kerana ke sekolah dengan tercungap-cungap seperti orang ampus (semput).  Kelmarin Sabtu 1Januari, kami ke Pantai Seri Kenangan berkhemah di tepi pantai.  Dia telah meneguk air kelapa ais yang dibeli di gerai tepi pantai dan nampaknya anak ini tidak kuat dengan ais.  Kami memang sudah jarang minum ais melainkan mereka tidak pernah miss untuk order milo beng jika makan di kedai. 

"Baby demam tadi.  Napa mama tak datang?  Dia nangis.  Dayat tengok dia nangis, Dayat pun nangis sikit.  Tapi kelakar tau ma, sebab Solehan nampak Dayat macam nangis, jadi dia tanya 'Dayat, kenapa kau menangis?' tapi Dayat kata 'Mana ada aku nangis, habuk masuk mata aku.'  Tapi sebenarnya Dayat nangis sikit hehe ..  Lepas tu ada kakak darjah empat bagi Baby mee hon goreng satu bungkus.  Dia kata 'kesian budak ni, demam.'

Lebih kurang macam itulah Hidayat melontarkan ayat demi ayat tanpa berhenti tatkala kami berkeliling bangunan sekolah mencari Hanessa waktu balik tadi.  Kelasnya sudah lengang.  Guru kelasnya pula kata dia ke bangunan lain di hujung pagar sekolah.  Mendekati kereta, ternampak begnya berwarna kuning sudah terletak di tempat duduk belakang.  Tentu dia sedang mencari kami di kantin. 

Si abang ini, nakal dan punya kerenah sendiri tetapi ternyata dia sangat sensitif dan prihatin kepada adiknya, dan kakaknya juga ... Hurilain.  Sebetulnya gadis kami ini pun nakal juga, sama suka menyakat si adik yang cepat terasa dan perasa.  Uhh kamu berdua ni sama sahaja sebenarnya.

Selamat belajar.

Sunday, January 2, 2011

Sebenarnya dia sayang

+ sebenarnya dia sayang kat Ain.
-  mana tau?
+ kekadang tu Ain sedang gaduh dengan dia, tapi bila Baby buat Ain, dia mesti marah Baby.
-  hmm yang tu mama perasan.
+ dia kata, "Baby, jangan buat kakak.  Rongak!"
-  hmm, hari tu kamu bergaduh terjerit-jerit dalam bilik air, dia dari depan terus datang dan 'sound' Baby
+ kalau Baby buat dia, Ain pun marah Baby
-  tapi still bergaduh?
+ haah (gelak) tapi Ain lebih sayangkan Baby
-  uhh
+  Baby pulak mesti marah dia kalau dia buat Ain, Baby lebih sayangkan Ain dari dia
-  abis sapa lebih sayangkan dia?
+ entah! (kecian budak tu)

- tau tak kenapa dia marah sangat pada Ain?
+ entahlah
-  (sebut dua perkataan tanpa suara)
+  ohh (tiru sebut perkataan tanpa suara) (senyum)
-  jangan sebut perkataan itu
+  tak de, kekadang tak sebut pun dia kata Ain sebut
-  lagi satu mata tu
+ (terus buat aksi menjeling)
-  sebab tu dia marah
+  dia ... kalau buat atau sebut apa-apa mesti pandang Ain, nak tengok Ain marah dia ke tak
-  dia nak menguji kesabaran Ain la tu
+  memang dia cewek, pengecut
-  dia pulak kata kamu gemuk
+  dia kata gemuk je, dia tak kata hitam sebab dia pun hitam hihihi


Anak-anak, sebenarnya di dalam hati kamu ada kasih dan sayang yang mengikat.  Itulah fitrah yang sudah ditentukan oleh Allah.  Hanya hawa nafsu yang menenggelamkannya.  Apabila amarah menguasai diri, seolah-olah hilang semua kebaikan seseorang.  Ketika kamu di dalam waras, hati kamu tetap mengakui bahawa di sudut yang paling halus tetap ada kasih dan sayang.  Jadi, usah biarkan amarah menenggelamkannya.  Apa yang pasti, kamu lahir dari rahim ibu yang satu.  Tidak akan putus tali yang mengikat selamanya.

Mungkin kamu rasa lebih sayang kepada adik perempuan berbanding adik lelaki.  Lumrahnya begitu, kerana kamu berdua lebih rapat.  Dia pula mungkin rasa lebih rapat dengan Along, jadi dia anggap keakraban itu bermakna lebih sayang.  Ada kamu terfikit, dia selalu sensitif kerana dia anggap dirinya berseorangan kini tanpa mentornya (Along)?  Hmm inilah agaknya salah satu cabaran anak selang bunga dua pasang ...  

Firman Allah SWT, surah Ali Imran ayat 134, "Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain."

Sabda Rasulullah SAW, "Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya.  Sebaliknya yang gagah adalah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya."


Bukanlah tidak boleh marah sebenarnya.  Ada ketikanya kita perlu merasa marah kerana menurut Imam Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin, "Sesungguhnya ketiadaan marah sama sekali adalah tercela.  Yang terpuji adalah perasaan marah yang disuluhi oleh akal dan agama."  Jadi marilah kita uruskan sikap marah ini dan menguasainya, jangan biarkan ia menguasai kita.

Semoga sentiasa didalam pimpinan dan rahmat Allah, insyaAllah.  Mama dan abah tetap sayangkan kamu berempat.  Setiap kamu ada keistimewaan tersendiri. Dan Ain, jangan beza-bezakan adik-adik kamu tu.  Dua-dua tetap adik kamu walaupun yang seorang tu ... terlebih nakal sedikit.  Adik lelaki, macam tu la agaknya.  Sabar ye Ain...  Satu hari nanti kamu akan tahu betapa istimewanya dia sebagai adik lelaki yang nakal.  Senakal-nakal dia, dia tetap caring terhadap kamu, mama tau tu.  Dan mama rasa, dia sebenarnya mahu mencuri perhatian kamu semata tetapi dia juga tidak mahu mengganggu perhatian kamu kepada adik bongsu itu.  Betul tak? Cuba Ain fikir-fikirkan.  Semoga Ain dapat melihat situasi ini dari sudut yang positif.  Senyum selalu.

Saturday, January 1, 2011

Kerabu Kaki Ayam Berceranggah

Bahan-bahan:
2 kilo kaki ayam -  dibersihkan dan direbus hingga empuk
bawang merah, bawang putih, cili padi, halia muda - dihiris halus
limau sambal - perah airnya dan hiris halus kulitnya
serai - hiris halus
tomato -potong dadu
timun - hiris kulitnya
lobak merah - sagat memanjang dengan alat penyagat
cili besar merah - potong panjang untuk hiasan
gula
garam
cuka
kicap cair
brokoli - direbus


Cara:
Campur semua bahan dan masukkan kaki ayam, rasakan gula garam hingga cukup enak dan bolehlah dimakan bersama brokoli dan nasi putih.  Bismillah ...  Sediakan tisu untuk mengelap air hidung dan air (minum setengah jam selepas makan).

Jemput-jemput Nyaman

Bahan-bahan:
tepung gandum
serbuk cili
serbuk kari
serbuk jintan manis
serbuk kari kurma
serbuk beriani
serbuk ketumbar
serbuk jintan putih
bawang besar (dihiris)
mayonis beberapa sudu
garam
gula
kicap manis (1 camca kecil)
tauhu (dipotong dadu dan direbus supaya keras, boleh juga dikeluarkan isinya sahaja)
kobis (dihiris halus)
ikan bilis
air secukupnya

Cara:
Panaskan minyak di dalam pan dan biarkan api kecil.  Sambil itu gaul semua bahan ke dalam tepung gandum bersama air sedikit demi sedikit hingga sebati, pastikan tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.  Kemudian ceduk sesudu demi sesudu ke dalam pan yang sudah panas dan goreng hingga kekuningan.  Boleh dimakan cecah sos Lingham.  Memang  nyaman!  Bismillah ...

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing