Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, December 19, 2011

hari yang 'hectic'

Sampai rumah jam 8 pm.  Gelap!  Sah Chef Meon tengah pengsan kepenatan.  Baguslah, alhamdulillah saya rasa lega, sebab kes balik lambat macam last week berulang lagi, cuma kali ini ia memang tak boleh dielakkan.  Tak dapat mengagih tugas.  Saya kena menghantar dua-dua anak pulang ke madrasah.  Sebenarnya pun dia tak boleh marah.  Bahkan abah seorang ni dah tak larat nak marah-marah, sebab seluruh tenaganya sudah dicurahkan untuk tugasan di gerai Briani Masternya tu ... Saya tau hatinya berdendang ria, sebab masakannya habis licin dan diberi thumbs up oleh tetamu.  Hehe ... alhamdulillah. 

Kemudian terpandang cadar biru dan sarung bantal peluk biru atas lantai.  Sah Naqib akan tidur atas tilam tanpa cadarnya.

Ke dapur, terpandang pulak baldi penuh dengan kain baju yang terlupa disidai tengahari tadi (cucian terakhir).  Saya masuk bilik belakang dan gantung satu persatu.  Jubah Laila Ain, baju Muslimah dan seluar panjang hitam.  Dia ada pakaian lain, tak mengapa.  Minggu lepas dia sudah mengangkut empat lima helai baju kurung saya.  Jadi dia ada banyak baju gantian.

***

Pagi tadi saya sampai tepat jam 7 di hadapan madrasah Laila Ain dan tepat jam 8 di madrasah Naqib.  ALhamdulillah syukur kepada Allah yang memudahkan urusan hari ini.

Macam biasa, dua-dua anak ini menyediakan gendong pakaian kotor untuk dicuci di rumah.  Yang paling banyak ialah pakaian Naqib.  Baunya ... huhh!

Lima trip cucian, yang terakhir selesai menjelang tengahari (dan terlupa nak disidai).  Cuaca redup tanpa angin.  Awan kelabu, seperti ditahan sesuatu, menunggu waktu untuk menggugurkan air hujan ke bumi.  Alhamdulillah, doa Haji Hamid sekeluarga dimakbulkan Allah.  Majlis perkahwinan anak perempuannya berjalan lancar sehingga majlis selesai menjelang jam 5 petang.  Cuaca yang redup-redup tidak berapa panas benar-benar memberi keselesaan kepada tetamu.

Tetapi pakaian anak-anak yang agak tebal seperti seluar Naqib masih sejuk lembap ketika diangkut masuk ke kereta.  Memang beginilah biasanya apabila mereka diambil dari madrasah.  Sudah siap-siap pakaian yang sengaja tak dicuci mungkin sehari dua sebelum pulang ke rumah, mahu dimasukkan ke dalam mesin pencuci.  Maka, baunya memang kurang enak hehe ...

Hai anak ... anak ... kadang-kadang terasa lucu memikirkan sikap mereka.  Gelihati dan terharu juga.  Baik yang lelaki, baik yang perempuan.  Tak mengapalah, dengan penuh rasa kasih tetap saya layani mereka ini.  Selagi kudrat masih ada, segala tanggungjawab yang dipikulkan di pundak terhadap hak-hak ahli keluarga akan cuba ditunaikan sebaik mungkin insyaAllah.

Jadi hari ini mesin cuci itu,  andai boleh bersuara mungkin ia sudah mengeluh kepenatan hehe ... Terima kasih mak, sebab hadiahkan mesin pencuci 14 kilo automatik brand LG ni.  Mak membelikan saya mesin ini setelah mesin cucian pintu depan buat kerenah.  Muatan yang besar membolehkan toto jenis ringan pun boleh masuk.  Alhamdulillah.

***

lapisan brownies setelah masak dalam 20 minit

mencurahkan cheese

cheese yang sudah rata meliputi seluruh brownies

kek lembap perisa nescafe.  Alhamdulillah cantik naiknya.  Mesti 1 jam masak supaya masak betul.

siap untuk diletak topping

marble cheese brownies yang sudah disimpan dalam peti ais semalaman, tapi lorekan hitam tu tak cantik sebab adunan agak kental (butter tak sepenuhnya cair atas api) tapi okla ... (memuaskan hati sendiri hehe)

inilah dia dua buku kek untuk Naqib sempena hari lahir dia yang ke 15 (dah lima hari berlalu).  Kek lembap tu ditaburi kacang badam panggang dan choc.rice.  Yang sepelet2 kat tepi tu kerja Hanessa ...


tengok la muka abah!  Belum hilang penat la tu!  Lepas tu sambung balik kerja kat gerai Briani Master ...
Saya sempat buatkan dua buku kek untuk Naqib.  Sebuku marble cheese brownies dibakar malam semalamnya, dan dimasukkan ke dalam peti ais supaya cheesenya keras.  Sebuku lagi kek lembap coklat dibuat awal pagi semalam, selepas kedua-dua anak sampai di rumah.  Sebabnya, saya teringatkan kawan-kawan Naqib yang menyebut-nyebut 'kek ... kek ...' semasa saya singgah menjenguknya bulan lepas.  Mungkin kawan-kawan Naqib sudah menjangkakan kek sebagai buah tangan.  Sementelah hari lahir Naqib baru sahaja berlalu lima hari lepas.

"Diorang macam ikan piranha, ma.  Kalau letak kat tengah-tengah, kejap je licin ni." kata Naqib.  Hehe ... saya dapat bayangkan meriahnya suasana itu.  Kek sudah siap dipotong-potong kecil, cuma tinggal ambil dan masuk mulut.

Tapi cuma kek sahaja yang dapat dikirimkan.  Permintaan Naqib untuk membungkus nasi beriani dan lauk kambing yang dimasak abah, tak kesampaian.  Menumpang risau suami sekiranya hidangan tak cukup, saya kata kita utamakan tuan rumah dulu.  Sekiranya ada baki, baru boleh bungkus untuk Naqib.  Dan ternyata macam yang dijangkakan, menjelang jam 1.30 tengahari, hampir licin nasi briani master yang ada di gerai tu. Briani ni sebagai back-up sebenarnya selain gerai-gerai yang menyediakan cendol, tauhu bakar, aiskrim dan macam-macam lagi,  sebab jamuan utama ialah dari Selera Asnah.  Apa pun, syukur alhamdulillah diucapkan ke hadrat Allah.  Tetamu di peak-time memang padat.  Seketika, semua kerusi dalam 11 buah khemah penuh serentak.  Memang ramai yang datang memenuhi undangan Haji Hamid.

Kata suami, sebaik DJ mempromosi Briani Master, makin ramai yang datang menyerbu ke gerai. 

Naqib pun faham.  Tak mengapalah, kalau sekadar nak merasa, kawan-kawan dan ustaz satu madrasah dah rasa masa hari raya aidil fitri hari tu.  Ni dah tak ada extra, memang tak boleh dibungkuskan.  Memang kita mesti utamakan tuan rumah dulu.  Tak perlulah bungkus siap-siap, tak manis buat macam tu.  Tak baik.

***

Petangnya pula kami sampai tepat jam 6 di madrasah Bukit Changgang, dan sampai di hadapan pagar madrasah Bukit Naga ketika Maghrib sudah lama berlalu (lebih kurang jam 7.40 malam).  Sebelum tu kami singgah pula di MyMaidin Jenjarum untuk membeli keperluan Naqib dan Laila Ain, kemudian singgah lagi sekali di MyMaidin Bukit Naga untuk barang Laila Ain yang tak ada di kedai Jenjarum tadinya.

Bila anak-anak mahu pulang ke madrasah, seboleh mungkin saya cuba memenuhi hajat mereka, melainkan kehendak yang membazir dan boleh diketepikan.  Biasanya setelah dua tiga kali permintaan, barulah saya beri can untuk mereka membelinya.  Biarlah anak-anak mengerti keperluan kewangan, bukan mintak sekali terus dapat.  Kecuali kalau Naqib dengan uwannya, mungkin cepat aje dapat.  Tapi kalau dengan kami, tak sedemikian.

Laila Ain membelikan Kak Solehahnya bekas pensel sebagai hadiah.  Amboi sayang sungguh dia kepada kakaknya tu.  Biasanya kalau anak-anak ni nak membelikan hadiah untuk kawan, kami memang sangat menggalakkan.  Hadiah untuk merapatkan silaturrahim dan menjalinkan kasih-sayang.  Semoga ukhwah anak-anak dengan rakan-rakan akan berpanjangan dan diredhai Allah.  Rasulullah SAW juga menyarankan pemberian hadiah sebegini.  Cuma jangan pula kita mengharapkan balasan.  Cukuplah pertautan hati yang terjalin dengan kasih-sayang.  Itulah yang lebih afdal.  Selebihnya biarlah Allah yang memberi ganjaran.  InsyaAllah.

Naqib dan Laila Ain masing-masing saya bekalkan peket-peket cookies.  Ada yang harus diberi sahaja kepada kawan-kawan, ada yang boleh mereka jual kepada kawan-kawan yang berminat.  Juga sebekas cookies yang sudah ditempah oleh Shana, anak angkat saya tu hehe ...

***

"Ma, tengok muka along, masam aje."  bisik adik-adik kepada saya.  Saya yang sedang mengundurkan kereta untuk pulang memandang Naqib.  Mukanya serius.  Muka orang nak ditinggalkan dek keluarga ...

"Along, senyum!"  Dia sengih sedikit.

"Senyum lagi!"  Sengihnya lebih lebar.

Saya belum puas hati.  "SENYUM BETUL-BETUL!!"  Saya tergelak bila Naqib tersengih hingga nampak gusinya.  "Eh apa yang hitam kat gigi tu?"

Puas rasa hati melihat dia tersenyum begitu.  Baru rasa lapang dada.  Saya tak mahu meninggalkan Naqib dengan wajahnya murung, muram dan sedih.  Saya mahu anak ini sentiasa gembira dan ceria.

"Lambai along lambai along!"  Adik-adiknya pun sibuk melambai-lambai ketika kereta sudah beredar keluar dari pagar madrasah.  Nanti kita jumpa lagi ya along.  Mungkin minggu depan otw ke Senai kena singgah sekejap untuk membawakan cadarnya yang tertinggal tu ...

***

Saya pegang tangan Laila Ain.  Selepas Naqib turun, dia menempati seat sebelah.  Undang-undangnya, siapa punya urusan dia akan duduk depan.  Hidayat dan Hanessa sudah faham.  Sekarang nak hantar kakak pulak.

Sepanjang perjalanan saya menjadi pakar kaunseling.  Macam pakar psikologi pun ada.  Macam fasilitator untuk pelajar baru pun ia.

Laila Ain tak sudah menceritakan perihal sebahagian kawan-kawan yang tak sehaluan, dengan kata lain tak ngam la tu.  Ada aje.  Dia prihatin dan teliti betul dengan kerenah kawan-kawan yang begitu.  Mujurlah ada Solehah, detik hati saya.  Semoga Solehah dapat menjadi pengikat hatinya di madrasah tu.

Macam-macam yang saya cakap sebagai penguat semangatnya.  Saya mahu dia faham keadaannya sekarang.  Saya berikan dia tempoh minima 6 bulan maksima setahun sebagai tempoh menyesuaikan diri di situ.  Saya ulang-ulang kebaikan dan faedah jangka panjang.  Juga berikan harapan, berkongsi harapan kami kepada anak-anak dan ceritakan plan jangkapendek serta jangkapanjang kehidupan.

Rasa berbuih mulut.  Laila Ain diam, tapi masih juga hendak memikirkan kerenah kawan-kawan.  Gadis ini memang wajib diberikan dorongan berterusan.  Nampaknya memang bukan mudah untuk dia berhati lapang di madrasah.  Dalam diam-diam saya amat bersyukur kepada Allah yang menempatkan seorang Solehah di madrasah itu.  Memang saya tak teragak-agak untuk menyukakan Laila Ain tentang kak Solehahnya tu.  Semoga Solehah dapat membimbing Laila Ain, menjadi temannya dan membantunya menjalani kehidupan sebagai pelajar di situ.  Terima kasih Solehah!

***

Akhirnya, rumah ini kembali asal dengan empat anggota keluarga sahaja.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing