Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, October 19, 2011

Umur sedang-sedang

gambar hiasan

As salam dan selamat malam.

Hari ni sudah pergi klinik ibu dan anak di Telok Panglima Garang.  Jeng jeng jeng ... Semua sudah settle dan saya sudah memulakan penghidupan baru yang lebih bebas merdeka ... Alhamdulillah, kepada Allah berserah.  Semoga hari-hari seterusnya tetap normal dan berjalan lancar seperti biasa.

Esok lusa saya akan buat medical checkup pula di situ insyaAllah.  Semoga tiada penyakit berbahaya yang bersarang atau bersembunyi atau sedang tidur di dalam sel-sel tubuh saya.

Nurse dan doktor juga memberi kata-kata nasihat, supaya saya bersegera membuat pemeriksaan.  "Usah sampai dah kronik atau sudah peringkat akhir, baru nak pergi check.  Nyatakan sejarah kesihatan puan, yang hati bengkak selepas melahirkan anak kedua tu ya."  Kata mereka berhemah.
 
Setakat hari ini, insyaAllah kesihatan saya masih memuaskan.  Sekadar pening atau batuk sesekali tu kira adatlah sebagai manusia yang tak bebas sepenuhnya dari persekitaran yang berhabuk dan ada asap rokok.  Faktor pemakanan, emosi dan perubahan hormon turut menyumbang.

Ah, sifat manusia memang serba lemah dan sentiasa baharu.  Hanya Allah yang Maha Kekal dan Maha Sempurna.  Kepada Allah tempat berserah diri.  Dan Rasulullah SAW menjadi teladan ikutan terbaik sepanjang zaman.  Cara hidup baginda amat wajar dicontohi kerana semuanya ada hikmah tersembunyi.  Tidak perlu dipertikaikan langsung.

Pulang ke rumah, mak menatap saya.  "Dah selesai dah?  Camana?  Napa muka pucat je ni?"  Saya senyum.  Saya nyatakan semuanya sudah selesai dan tiada apa-apa yang menyakitkan.  Saya akan mempunyai jadual baru (yang menyusahkan).

"Mak ingat laie, onyang kau kato.  Maso tu ekau tongah meloncek-loncek (maksudnya tengah nakal dan lincah di usia kanak-kanak macam Hanessa), kato eh umur ekau ni sodang-sodang jo."  Mak diam.

"Dah umur cam ni, hati-hati la ekau tu.  Kalau ado apo-apo, check copek.  Jangan dibiakan ..."

Sudah beberapa kali emak mengingatkan begitu.  Bilakah umur sedang-sedang itu?  40an kah?  Ini usia kematangan, kata pakar kaji saraf orang.  Begitulah yang selalu dimaksudkan oleh penulis ruang pojok di media cetak.

Kenapa onyang 'meramal' umur saya?  Umur siapa lagi ada diperkirakannya, agaknya?

Haah, saya masih ingat.  Onyang belek telinga saya.  Orang kata telinga macam ni orang degil.  Saya kata, degil yang positif.  Tapi onyang tak kata degil, onyang kata umur pendek.

Saya tak pernah fikir negatif tentang kata-kata onyang.  Hanya sesekali rasa sayu sendiri.  Tapi selebihnya, saya selalu ingat mati. Saya jadi pemikir, ewah!  Perasan la pulak.  Hukama kata, orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.  Saya ingat mati kerana kata-kata onyang.  Onyang mengingatkan saya kepada mati.  Saya pula masih tak cukup bijak untuk mempersiapkan diri menghadapi mati.  Masih banyak yang perlu dilakukan untuk menghadapi mati.  Masih banyak ... masih banyak ... banyak!!!
pusara arwah abah Hj Manaf Yatim di Perkuburan Lipat Kajang

Semoga saya dan kita semua akan menemuiNYA dalam husnul khatimah.  Dalam keampunanNYA, keredhaanNYA, kasihsayangNYA.  Antara hasrat yang mungkin membawa tanda-tanda yang baik, yang saya impikan, semoga demikianlah hendaknya insyaAllah, ialah kembali kepadaNYA ketika dalam sujud solat (tak kisahlah solat apa, solat fardhu ke, solat taubat ke, solat tahajjud ke ...), atau kembali kepadaNYA ketika sedang bertamu di rumahNYA, sedang dalam ibadah kepadaNYA, dan dikebumikan di sana bersama-sama tetamu lain yang menemuiNYA, atau (wah besar sungguh angan-angan!) diberi tanda-tandanya, difahami tanda-tandanya, dan boleh pulak bersiap-siap dengan membersihkan diri, menyucikan diri, siap-siap baring menghadap kiblat dan qiamkan tangan siap-siap.  "Mati dalam iman daa ..." kata P.Ramlee.

Oh ya, lupa pulak.  Tak lupa dah siap-siap bagi pesanan atau tulis wasiat dan letak bawah bantal  hehe ...

Okaylah, mati tetap mati.  Memang tak boleh elak punya.  Saya selalu membayangkan ada tali mengikat rahang saya yang ternganga (harap-harap mulut saya tutup rapat, dan senyum je kat tetamu yang ziarah hihi), dan tubuh saya terbujur di tengah-tengah rumah (kalaulah meninggal kat rumah ...).  Cuma tak larat nak bayangkan saya 'melihat' orang menjirus tubuh saya dengan air!  Segan la pulak ...  picit-picit perut, raba-raba bawah ... ish ish.  Err ... stop la dulu bab ni.

Jam 1030 pm, lagi setengah jam, saya mahu membuat panggilan kepada Hurilain di madrasah.  Hati saya asyik teringatkan dia.  Tentu dia menangis malam tadi.  Saya langsung tak perasan ada pesanan ringkas masuk ke inbox hp pada tengahari semalam, berbunyi "Amirah suruh telefon madrasah."  Pertama kali saya menerima pesanan ini.  Tentu dia meminta tolong kepada ibu kawannya untuk mengirimkan pesanan itu.  Sama seperti kawan-kawannya berbuat apabila saya menelefon dia di sana.  Ada sahaja kawan-kawannya yang meminta tolong menyampaikan sms kepada ibu masing-masing minta buat panggilan ke madrasah.

Dan saya hanya membaca pesanan itu pagi tadi, ketika mahu menyimpan telefon bimbit itu ke dalam poket jubah berwarna kelabu berbutang besar, jubah ketika belajar di UKM dulu.  Masih muat lagi ...  Aduhai, kasihannya Hurilain!  Tentu dia menangis malam tadi menunggu panggilan dari saya, yang bagai menanti buah yang tak gugur-gugur itu.

Mama mohon maaf ya.

Malam tadi saya tidur awal.  Mata mengantuk pula.  Jam 9 saya sudah memohon kepada mak untuk masuk tidur.  Mak pula rupa-rupanya menunggu slot Tanyalah Ustaz di TV9.  Hati teringat-ingat kepada Hurilain.  Memang sudah berjanji akan buat panggilan dua kali seminggu, iaitu petang Selasa dan petang Khamis.  Sekarang ini ustaz khabarnya sedang sibuk buat renovation di madrasah.  Jadi panggilan hanya dapat dijawab apabila tugas ustaz sudah selesai, dan pelajar pula sudah selesai belajar iaitu jam 10.30 pm.  Tetapi saki-baki sakit perut kelmarin dan tuntutan mata yang terlampau, membuatkan saya mengabaikan naluri hati yang teringat-ingatkan si anak.  'Esok mama akan telefon kamu.'  Itu, saya tak membaca sms di telefon.  Andai saya membacanya, insyaAllah pasti saya akan telefon dia malam tadi.  Ah, terasa-rasa hampanya dia menunggu.  Kasihan sungguh!  Ralat pula rasa hati tidak menelefonnya seperti yang selalu.

Entah mengapa, saya seperti sengaja membiarkan telefon bimbit itu tersadai di atas printer di ruang tamu.  Sementelah kini rasa-rasanya saya mudah terjaga awal pagi.  Kekadang belum sempat alarm hp berbunyi, saya sudah terkejut jaga sendiri.  Jadi kerana itulah, saya fikir tak mengapa mengabaikan fungsi alarm itu sesekali. 

Saya akan khabarkan kad raya dari guru kelas dan kawan-kawannya di Anthony Abell College, Seria yang baru sampai siang tadi.  Argh, silap gaya lagi lebat airmatanya.  Berusaha Cikgu Dayangku dan kawan-kawan kelasnya membalas kad raya, walaupun sudah lama Syawal berlalu.  Tanda ingatan yang masih kuat.  Kehilangan yang tiba-tiba, memang sangat menyentuh perasaan.  Mereka masih merasai kehilangan Amirah Hurilain.  Apatah lagi kerana bilangan murid yang tidak ramai dalam satu kelas.  Memang terasa sungguh!  Kami pun terasa juga.  Jarang pelajar Semenanjung yang belajar di situ.  Ramainya ialah dari Sabah dan Serawak.  Jadi kehadiran Hurilain agak istimewa di kelasnya.

Tiba-tiba ada panggilan telefon masuk.  Abang saya telefon dari Senai bertanya khabar.  "Apa khabar semua?" dengan nada stone. Saya agak, dia sudah membaca entri sakit perut yang saya tulis kelmarin.

"Aku pun sakit perut!  Syikin pun sakit perut.  Hapa ntah makan kat rumah ngko!"  Ehhh kat rumah ni saya sorang je yang bisa perut.  Yang lain steady je pulak.  Ha ha kesian la orang Senai datang sini kena sakit perut!  Dah le kena panjat tangga ... Kak Imah sakit perut tak?  Yang taunya, Kak Ibah je sibuk nak cari tandas masa kat Nilai tu ... hihihi!  Semoga dah sembuh sepenuhnya ya, dan jangan serik datang lagi ke sini :))

***

Sudah selesai bercakap dengan Hurilain.  Dia memang menunggu-nunggu panggilan dari saya!  Terdengar ceria suaranya di hujung talian.  T-shirt Muslimah berwarna ungu yang hilang sudah ditemui.  Bantal yang dilarikan pun dah dijumpai.  Cuma tuala pink yang masih lesap entah di mana.  "Carila, jangan harap benda-benda tu cari awak."  Sempat juga bebel sikit.  Hampir setengah jam bercakap-cakap.  Lagi lapan hari dia akan pulang.

Saya berikan amaran awal-awal, balik rumah jangan bergaduh dengan adik-adik (terutamanya dengan Hidayat)!

"Yelaa ... yelaaa ..." jawabnya bersahaja.

Sabtu malam Ahad ni, dah janji akan telefon lagi.  InsyaAllah, semoga tak ada keuzuran.  Tetapi alhamdulillah, hati saya lega mendengar suaranya yang ceria.  Walaupun di awal tadi masih ada juga sedikit slot 'terdiam dan ada bunyi esak yang sangat perlahan'.   Masih tak cukup masa lagi ... mungkin dua bulan baru stabil sepenuhnya kot ...  Apa yang penting, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru di situ, insyaAllah.  Semoga Allah sentiasa membantunya, ameen.

Hari ni menu agak berbeza, lauk telur masak kurma.  Bukan sup sayur masin manjang!  Hehe ...

Akhir kata, hidup hanya sementara.  Dan hidup di dunia ini memang sebagai tempat untuk Allah menguji keimanan kita kepadaNYA.  Agar bukan sekadar sedap ucap di bibir semata bahawa "aku sudah beriman kepadaMU, ya Allah!"  Apa buktinya?

Ujian itu ada yang seciput, ada yang sebesar gunung.  Ada yang tak terucap dan tak terbayangkan dek akal.  Macam-macam, bergantung kepada tahap keimanan seseorang.  Tetapi tidak pula Allah memberi ujian melebihi tahap kemampuan hambaNYA.  Tentu DIA Maha Tahu tahap maksima seseorang yang diciptakanNYA.  Semoga kita sentiasa dibantuNYA menghadapi segala ujian itu.  Ya Allah, kami mohon kepadaMU janganlah KAU uji kami dengan sesuatu yang tak dapat kami menghadapinya.  Bantulah kami dengan solat yang kusyuk dan dengan pemimpin yang benar.  Selamatkanlah kami dari fitnah akhir zaman, dajjal dan huru-hara hari kiamat.  Ampunilah kami dan terimalah taubat kami.  Hanya kepadaMU kami kembali dan berserah diri. Ameen.

Wassalam, hingga bersua lagi insyaAllah.

2 comments:

Noraini Hassan said...

Alhamdulillah kami escape ^:^

Naqhuhines said...

HAHAHAHA! Tergelak sendiri. Allah juga yang bagi instict kat onyang. Wah, 9 tahun yang mendebarkan nih gamaknya! Lepas ke tak lepas???

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing