Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, October 28, 2011

Mak Ramlah patah tangan

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang penuh berkah.

Cerita pendek je.

Kring kring ...

"Intan!  Ada Amin tepon tak?"
"Tak ado!"  Mimpi la kalau budak Amin nak telefon saya.  Tapi ...

"Aaa nak bagitau ni,"  kata kakak nombor dua saya, Noraini namanya, tapi saya panggil dia Mak Ngah Ani.  Napa?  Kendian citer.  Panjang susah nak dipendekkan.  "Mak patah tangan ...!"

Lho!  Astaghfirullah!

"Mak gi masjid pagi tadi.  Lopeh tu dio gi pasarayo.  Jatuh kek dopan pasarayo tu.  Orang kodai tu hantar di Juasseh.  Lopeh tu gi Kolo Pilah.  Dah simen dah.  Tak tau la kono tahan ko tak.  Esok ado team building kek Taiping lak.  Tak tau la nih ..."  (err ... sebenarnya kakak saya tak de la sepekat ini loghat Negeri Sembilannya ... )

Teringat mak.  Mak Ramlah.  Ibu kandung saya.  Wanita yang melahirkan saya sebagai anak ke-5.  Dengan kakak, kami mention Mak R, sebab saya terlebih mak.  Sekadar sebut mak, boleh keliru. Orangnya kurus kecil, sudah lebih 70, mungkin 72 tahun.  Alhamdulillah tiada sakit berangkai, sekadar gatal-gatal kulit yang tak berkesudahan (tapi tidak berjangkit, hanya alahan) yang membuatkan mak tak makan ayam.  Ikan pun jenis tertentu sahaja.   Kasihannya pada mak ... Terbayang pula mak duduk di kerusi dengan tangan bersimen putih bersih.  Tak akan ada sesiapa yang berani menyain kat situ, mak tentu tak suka begitu.

Syukurlah, pergelangan tangan kanan mak je yang patah.  Semoga patahnya pun tak serius.  Tapi tentu kena simen juga, supaya tulang bersambung semula dengan cantik.  Mujurlah badan mak pun ringan.  Mungkin tangan mak patah ketika nak menampung badan yang melayang.  Harap-harap anggota badan yang lain khususnya bahagian kepala tidak cedera.  Saya masih tak tahu status kecederaan mak dengan tepat.  Telefon rumah, tak berangkat.  Nombor Amin cucu mak yang tinggal bersamanya tak ada dalam simpanan.  Huh, teruk la.  Lepas ni kena tukar-tukar nombor dengan Amin.  Sekarang ni setakat add FB je.  Macam tak berguna sangat je, lebih baik pakai telefon je.

Oh ya, terima kasih setinggi-tinggi terima kasih kepada pemilik pasaraya yang sangat prihatin lagi bertanggungjawab itu.  "Makcik ni customer saya, memang jadi tanggungjawab saya ni,"  begitulah lebih kurang katanya, macam yang diceritakan oleh mak Ramlah dalam telefon sebentar tadi.  Empunya pasaraya membawa mak ke klinik Dr.Nasir, kemudian ke Klinik Juasseh seterusnya ke Hospital Kuala Pilah dan akhirnya dia terus tersangkut di Kuala Pilah dan menunaikan solat Jumaat di pekan itu juga.  Kemudian dia menelefon Amin, anak saudara saya, yang kemudian datang bersama ayahnya menjemput mak Ramlah pulang ke rumah.  Semoga Allah memberkati kehidupan tuan pemilik pasaraya sekeluarga, insyaAllah.

Nanti telefon lagi, insyaAllah.

***
Mak Juriah, yang dengan kakak, kami mention Mak J, sudah pulang ke rumahnya semalam jam 11.30am bersama abah.  Pulang juga!  Sampai di sana, mak menelefon memberitahu dia sudah selamat sampai selepas singgah di klinik Seri Menanti, mengambil bacaan tekanan darah.  130/90, berat 60kg, kata mak.  Abah 140/70, berat 45kg. Lebih sikit dari berat Hidayat, kata saya.


Triffle untuk mak.
bancuhan kastard terpekat sikit

baki masuk bekas jeli kelapa

air botol, kanta pembesar untuk baca paper, telefon bimbit dan duit tol disediakan siap-siap.  Lepas ni pakai touch n go je.

happy nak balik kampung!  semoga mak abah selamat sampai.

ma-as-salamah

Lepas tu mak beritahu, sebenarnya kepala mak masih pening-pening tapi mak sengaja tak nak beritahu saya atau sesiapa.  Dia makan juga sup gear box yang Pak Meon bikin tu, dan masih pening.  Saya masih tak tau.  Mak dah mula lincah hingga saya mula peringatkan mak supaya jangan terlalu banyak bergerak.  Mungkin mak nak testing diri sendiri.  Hmm ... rupanya mak melawan peningnya!

Kenapa pening-pening?  Kata mak, pagi tadi mak bangkit dari katil pun pening-pening. 


"Mak kena kurangkan bercakap telefon!" 

Saya rasa mak terlalu kerap menggunakan alat itu untuk bercakap dengan kawan dan kenalannya. 

Saya bimbang.  Mak kadang-kadang tak boleh dijangka.  Macam tak dijangka mak akan 'lari' dari wad tempohari.  Syukurlah tak ada apa-apa yang buruk berlaku, dan mak muncul semula di pintu wad dengan senyum selamba.  Sedangkan doktor muda yang 'menjamin dengan terpaksa secara rahsia' saya fikir tak senang hati dibuatnya sehingga wajah mak ada semula di katilnya. 

Lari sekejap balik ke rumah, mak sempat mencuci baju abah dan mengambil sehelai dua pakaian.  Mak memang tak bersedia ditahan di wad semasa datang membuat pemeriksaan.   Datang sehelai sepinggang.  Rumah ditinggalkan begitu sahaja. 

"Tu dah menyapu dehh ..." rungut abah semalam petang dalam telefon. 

"Buat sikit-sikit tak pe la bah, tapi jangan aktif sangat."

"Intan nasihatkanlah omak tu.  Cakap abah tak dihapek eh." 

Gulp! 

Hmm ...

***
sinar mentari pagi yang cemerlang

Malam tadi malam Jumaat.  Hidayat dan Hanessa tidak mengaji dengan Ustaz Aizat. 

"Ambik Yasiin tu, duduk sini cepat."  Saya panggil mereka berdua yang mula nak mendekati laptop.  Minggu lepas sudah bermula.  Ini Khamis kedua, insyaAllah.

"Mari kita berdoa untuk semua; untuk diri kita, untuk keluarga kita.  Supaya silaturrahim yang terputus akan bersambung semula.  Semoga semua dosa-dosa kita diampuni Allah.  Lepas tu untuk negara kita juga.  Semoga kita mendapat pemimpin yang adil dan bertaqwa.  Semoga harga barang-barang keperluan rendah semula.  Semoga barang-barang yang syak dan haram dapat dikenalpasti dan tidak termakan oleh kita.  Supaya semua orang mendapat keimanan yang kuat dan teguh.  Jangan lagi ada orang yang membuang-buang bayi dan menganiaya haiwan.  Untuk semua umat Islam bla bla bla ..."  Itulah antara yang saya sebut di hadapan anak-anak. 

Airmata mengalir, teringatkan mak.  Hanessa membelek wajah saya sambil menepuk-nepuk bahu saya, "sabar ya mama."

"Doa supaya Hidayat jadi berani ..." sahut Hidayatullah.

"Haah, biar abang Dayat tak takut nak bersunat!"  sampuk si adik cepat-cepat.

Si abang tak perduli.  "Biar Dayat jadi pandai belajar, dapat hafal sifir.  Dapat khatam quran.  Dapat masuk madrasah."  Matanya seperti merah macam mengantuk.

"Biar uwan sihat.  Atok pun.  Supaya abah berhenti merokok.  Supaya kudis adik ngan along baik.  Supaya adik dapat baca iqra sampai quran."  kata si adik.  Sudah sebulan badannya gatal-gatal seperti cacar, tapi bukan cacar, tidak banyak tapi merisaukan juga.

Kemudian kami mula membaca 'bersama-sama'.  Saya baca dengan lambat supaya Hidayat dapat mengikut perlahan-lahan, biarpun hingga ke akhir saya terpaksa menahan ngantuk pula.  Tak mengapalah, yang penting setiap Khamis malam Jumaat sesi ritual ini akan sentiasa berjalan tanpa kecundang.  Saya insyaAllah jika tiada keuzuran akan tetap membaca surah ini sesudah Maghrib, kini saya mahu Hidayat dan Hanessa bersama-sama menjadikannya sebagai amalan berterusan.  InsyaAllah.

"Dia salah muka surat," bisik Hanessa kepada saya.  Berkali-kali dia memberi isyarat kepada si abang tetapi tidak diperdulikan.  Memang la tak sama muka surat, sebab si abang menggunakan kitab berbeza dengannya.  "Adik tak pandai baca ni, adik baca bawahnya je ye."  Dia menunjukkan terjemahan surah dalam Bahasa Melayu di bawah ayat-ayat surah Yasiin itu.  Saya angguk.  Nak menjinakkan anak kepada hal-hal seperti ini, hendaklah banyak bersabar dalam melayani kerenah mereka.  Semoga saya akan terus bersabar, dan anak-anak saya terus berminat dan suka untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang kecil ini seterusnya.  InsyaAllah.  Semoga majlis kami diberkati, dan semoga doa-doa kami diterima Allah dan dimakbulkan insyaAllah.

Alhamdulillah.  Dengan berdoa hati menjadi lega.  Dengan membaca al-Quran hati menjadi tenang.  Marilah membaca Al-Quran yang mulia.  Tak pandai membaca, boleh dipelajari.  Carilah orang yang mahir dan boleh mengajar untuk belajar.  Usah menjadi orang angkuh.  Setakat mendengar surah, memang ada pahalanya.  Tapi tentu tak sebanding dengan membacanya.  Marilah menjadi ahli al-Quran.  Semoga di akhirat nanti, Allah memanggil nama kita dari kelompok ahli dan pecinta al-Quran, insyaAllah.  Saya menyeru kepada diri saya sendiri juga.  Wahai diri!  Bersegeralah berwuduk dan mengerjakan solat!  Apa yang kau dapat mengadap facebook tu?  Cuba jawab!!!  Sekadar glamer di dunia maya je. Cuma kalau ada share link-link yang bermanfaat, okay la juga.  Itupun, baca lepas tu share, lepas tu like, lepas tu lupa, ye tak?  Lepas tu share yang lain pulak.  Share share dan share tak sudah-sudah, yang sebaliknya ialah facebook facebook facebook tak sudah-sudah.

(aku le tu yang rajin share, tapi share yang bermanfaat tentunya, bukan cerita merepek, insyaAllah.)

Sekian dulu, permisi dan maaf selalu. 

Nampaknya ini bukan cerita pendek, bahkan panjang berjela-jela pulak.




No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing