Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, October 5, 2011

Mak ke IJN esok

Assalamualaikum.

Akhirnya ...

esok, mak saya akan ke IJN sekali lagi iaitu temujanji yang paling sesuai telah didapatkan oleh Doktor Amir, doktor muda yang mengendalikan kes mak.

"Nanti kat sana, makcik bincang dengan doktor di sana pula ya."

Mak angguk-angguk senyum kecil.  Mak dah berbincang dengan kami, nak buat operasi pemasangan pace maker tu dekat-dekat hujung minggu sebab budak dah cuti hujung minggu.  Dia risau (masih fikir macam-macam) memikirkan saya dan pengurusan anak-anak sekolah, nanti terganggu semua tu semata-mata nak jenguk dan temankan mak di hospital.


"Apo kau buek kek belakang rumah tu?  Nampak selintas ni ha ..."

Mak tercengang seketika.  Pertanyaan Ulong Mansor membuatkan dia teringat sesuatu.  Mak ada ke belakang rumah Mak Ramlah pagi Isnin kelmarin, memungut buah mangga yang berjatuhan di pangkal pokok.  Waktu itulah, tiba-tiba mak terasa seperti ditolak sesuatu hingga hampir tersungkur.  Mak mula dihinggapi sakit angin, tak buang angin dan tak sendawa.  Pagi Selasa, mak nak bawa uwan ke klinik untuk dapatkan rawatan kudis uwan di belakang pehanya tu, akhirnya mak tak dapat bertahan lagi.  Mak surrender, terus dibawa ke hospital dan ditahan wad.  Mak rasa pening yang berat hingga nak buka mata pun tak mampu.  Hasil pemeriksaan mendapati tekanan darah mak melambung tinggi hingga tak dapat dibaca oleh alat penyukat manakala denyutan jantung mak terlalu lemah di bawah kiraan normal.  Pelik ... mak tak pernah ada rekod darah tinggi dan lemah jantung.  Ia mendadak berlaku tanpa sebarang simptom dan tanda.  Luar biasa!

Setelah sedikit upacara ringkas, Ulong Mansor yang juga bapa saudara dua pupu mak, membaca sesuatu dan menghembus air mineral 1 liter yang perlu diminum nanti oleh mak.  Mak disuruh membaca surah Al-Ikhlas 13 kali, dan ayat dari Surah Yasiin untuk amalan zikir bagi mengelakkan penyakit urat-saraf (saya tak sempat nak tanya mak).

Jadi, mak akan ke IJN dengan keputusan pemeriksaan pertama semasa mak mula ditahan wad.  Tak pasti keputusan akan berubah sekiranya ujian dijalankan sekali lagi selepas rawatan oleh Ulong Mansor.  Tapi, tak mengapalah, nanti doktor di IJN tentu akan membuat pemeriksaan yang lebih teliti kepada mak.  Lagipun, saya menduga, sekiranya gangguan telah lenyap, kesan-kesannya kepada tubuh fizikal tidak akan hilang secepat itu.  Tambahan pula, ah ... mak tak mahu makan hidangan hospital.  Ubat?  Pun wallahu'alam.  Hmm ... itulah mak saya. 

"Mak jangan fikir banyak sangat.  Budak sekolah ni Onn boleh uruskan.  Nanti Intan jaga mak kat IJN.  Uwan ikutlah balik Sijangkang.  Nanti mak dah masuk IJN, tau la kami nak panggil sesiapa ambik uwan."

Mak tetap tak senang hati.

"Mak tak nak susahkan kau.  Mak tak nak anak menantu mak susah.  Ada anak cucu lain, yang lebih tepat, lebih wajar, lebih dekat."

Dah lah, tak mau kisahkan panjang-panjang.  Malam tadi, saya dah maklumkan kepada saudara terdekat yang wajar tahu tentang kondisi mak.  Biarpun selepas seminggu mak dalam hospital, baru saya sampaikan berita ini.  Dengan kepastian doktor yang mak memang perlu buat pace maker dan tidak dibenarkan langsung meninggalkan wad untuk pulang beberapa jam ke rumah, ia adalah serius!  Dan seterusnya, andai mereka berfikir mahu tahu lebih lanjut, bolehlah menelefon pula.

Ini bukan kes jauh hati atau apa-apa.  Cuma, (sambil tarik nafas panjang ...) kasihan kat uwan.  Orang tua yang tak tau nak ke mana.  Serba-salah, katanya.  Tak mahu menyusahkan sesiapa. 

Terima kasih ya Allah, kerana memberi hati yang belas kasihan kepada seorang yang mendampingi hidup saya buat sementara ini.  Seorang suami yang selalu merasa belas kepada seorang tua bernama uwan.  Seorang tua yang umpama sudah tiada guna, sekadar makan minum untuk menjenguk matahari pagi esok sahaja.  Hanya belas kasih Allah semata, yang mengembalikan nyawa-nyawa yang dipegangNYA buat sementara, untuk meneruskan amal ibadah dan mengharapkan  keredhaanNYA selalu.

"Mak tak nak ke Sijangkang, membebankan kau.  Biar mak balik rumah lepas IJN.  Kalau tak pun, biar mak ke Batu Kikir."  La pulak ...

Saya dan suami merancang, mak pun merancang juga!

Kan baik mak abah di Sijangkang.  Dalam tempoh dua minggu selepas buat pace maker, mak tak boleh kerja lasak.  Tangan kiri tak boleh diangkat melebihi bahu.  Abah pun uzur, selalu krem.  Uwan pun uzur juga dengan ketuaannya, dengan tongkat ketiaknya, dengan tongkat kaki empatnya.  


Alah, bukan mak abah nak makan sedap-sedap manjang.  Bukan uwan nak makan enak-enak selalu.  Kita makan apa yang ada, yang insyaAllah makanan sihat dan mengenyangkan.  Yang kami makan, mak abah dan uwan makanlah sama.  Abah suka magge, ayam goreng, acar dan nescafe susu.  Uwan apa sahaja yang tak pedas.  Mak lepas ni kena la jaga makan, tak boleh minyak-minyak sangat.

Kami anak-beranak pun jenis tak kisah.  Anak-anak memang dididik makan tak memilih.  Dan tak dijamu ayam selalu.  Dua minggu sekali barulah jumpa ayam kat periuk.  Daging, bisanya musim raya aje.  Selalunya menu kami ikan ikan dan ikan.  Ikan cencaru bakar cicah kuah kicap yang diperah asam limau dengan hirisan bawang, budak-budak ni suka.  Sup sawi campur telur dan sohon, buat hiru-hirup.  Ikan goreng, ikan asam pedas, ikan gulai, ikan kari ... macam-macam resepi ada.  

Kami minta balasan dari Allah Taala semata.  Biarlah kami jadi orang yang memudahkan, bukan menyusahkan atau buat-buat pejam mata.  Tak boleh pejam mata ni, sebab kami cuba nak faham situasi yang melanda.  Walaupun susah nak faham, mengapa mengapa dan mengapa?  Akhirnya kami serahkan kepada Allah semata.  Tak semua perkara di dunia ni dapat kita fahami.  Allah sahaja yang Maha Mengetahui segala yang nyata dan segala yang ghaib.  Walaupun hati kami menduga-duga, tentulah ada sebab-musababnya.  


Inilah ujian dan dugaan hidup yang diberi Allah, supaya kita menjadi orang-orang yang berserah diri dan memohon merintih kepadaNYA semula, berharap kepadaNYA semata-mata.  Kun fayakun!  Sekiranya Allah menghendaki, sekelip mata segala ujian dan masalah bertukar menjadi rezeki, kesenangan dan kebahagiaan.  Tetapi tentulah amat perlu kita bermohon kepadaNYA.  Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah juga menanti-nanti dan menunggu-nunggu kita mengadu dan bermohon segala limpah kurniaNYA.  Rahmat Allah teramat luas, jauh lebih luas daripada segala keresahan dan kedukaan kita.  Pada siapa lagi nak memohon, mengadu dan mengharap?  Kepada manusia yang sentiasa bersikap keluh-kesah?  Pot pet pot pet ... kemudian sama-sama pening.  Bertambah pening dan kusut adanya.  Jadi, hanya kepadaNYA semata.  Tidak kepada yang lain.  PadaNYA ada jawapan dan penyelesaian.  Yang penting adalah kesabaran.  Allah bersama-sama orang yang sabar.  InsyaAllah.


Ini semua adalah bukti, bahawa Allah telah menetapkan takdirNYA.  Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.  Zaman akhir ni, memang dah akhir zaman, kerana nabi kita sudah nyata adalah nabi yang terakhir, memang semakin banyak tanda-tanda akhir.  Zaman dulu tak tahulah pula, tapi kita tahu kisah sedih ibu si Tanggang.  Dalam suratkhabar, ada kisah ayah yang baru keluar dari wad dihantar semula ke tempat menunggu bas.  Kalau di rumah kebajikan, ada orang tua yang beranak ramai, tak seorang pun anak-anak yang mengambil kisah dirinya.  Kesimpulannya, kita tak berkusa nak menentukan dan memastikan orang yang pernah kita tatang dan bela, akan menatang dan membela kita dengan cara yang sama.  Memang di luar bidang kuasa kita!


Ini juga bukti, bahawa sebaik-baik jalan hidup adalah jalan yang mengikut perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA, jalan yang ditempuh oleh orang-orang yang inginkan keredhaanNYA, cinta dan rindu kepadaNYA.  Sentiasa bergantung kepadaNYA.  Tidak membesarkan dunia, tidak mengecilkan akhirat.  Sebaliknya mengecilkan dunia, dan membesarkan akhirat.  Jalan ke syurga itu memang dihiasi dengan segala kesusahan dan derita.  Sedangkan jalan ke neraka itu dihiasi dengan senyum gembira gelak ketawa dan kenikmatan dunia yang melalaikan.  Itulah ketetapan Allah.  Bukan mudah mahu mendapatkan syurga, sebaliknya teramat senang terjun ke neraka, nauzubillah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah kamu ditimpa kesedihan, dia (Allah) menurunkan rasa aman dan tenang kepadamu. Ada golongan yang telah mencemaskan diri mereka sendiri kerana prasangka buruk terhadap Allah SWT seperti sangkaan orang jahiliah dulu di mana mereka berkata: Adakah ada sesuatu di sebalik urusan ini. Apa maknanya semua ini? Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya segala urusan itu di tangan Allah SWT.” (Surah Al-Imran, ayat 154)

Maka marilah kita sentiasa mempraktikkan sikap berbaik sangka kepada Allah, dan berbaik sangka sesama kita manusia.

Mak masih pening-pening.

"Mak tak makan ... sebab tu badan tak kuat.  Sebab tu pening."

Mak senyum je.

"Ubat pun rasanya mak tak makan."

Mak senyum macam tadi juga.


"Mak makan.  Tadi Kak Lia belikan mak nasi goreng kampung.  Mak makan."

Atas kabinet rendah di sisi katil, ada jag kecil merah jambu berisi air masak.  Ada magge segera perasa pedas dalam mangkuk yang belum dibuka.  Juga sebotol besar air mineral yang sudah didoakan oleh Ulong Mansor. 

Baiklah, mak.  Kita ikut mana yang baiklah ... mak tenang-tenang aje.  Tentang uwan jangan dirisaukan.  Yang penting ialah mak sembuh dan sihat semula.  Uwan tentu suka nak balik kampung.

Yang pasti, Hurilain seperti sengih panjang dalam telefon ketika bercakap-cakap dengan onyangnya tadi.  Dah tak menangis dah dalam telefon.  Sebaliknya mendadak minta dijemput dari madrasah pada petang Jumaat ini, selepas taklim.  Bermakna dua malam dia akan tidur di rumah.

"Bolehhh ... pandai-pandailah bagi alasan baik punya."

"Sapa kena siapkan alasannya??"

"Mama la!" Huhh ...

Okeylah, mungkin alasan ziarah nenek yang baru jalani operation memasang pace maker sangat munasabah ... kalau nenek masih berada di IJN!


Kami juga akan ziarah Naqib.  Anak remaja tu memberitahu mahu makan bersama.  Berita gembiranya, dia sudah khatam juz 20 pagi semalam.  Kini mula menghafal juz 19 pula, alhamdulillah syukur kepada Allah!


Sekian dahulu, saya mohon maaf zahir batin di atas sebarang khilaf tutur kata yang mungkin menyinggung perasaan sesiapa jua yang sudi menjenguk blog ini.  Sehingga ketemu lagi, ceria-ceria selalu.



No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing