Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, October 12, 2011

Mendengar Lega

Assalamualaikum dan salam pagi yang hmm ... nampaknya beransur terang tetapi awan yang tebal telah menghalang sinar matahari jatuh ke bumi Sijangkang.

Terasa ada kelegaan.  Ternampak ada kelegaan.  Terdengar ada kelegaan.

Alhamdulillah.  Selesai mak menjalani implan pace maker semalam, wajah masing-masing beransur lega dan tenang.  Kelegaan itu semakin ketara di meja makan di rumah ini.  Sudah berani untuk sedikit gurau senda penyedap rasa.  Jika sebelum itu, walau tidak ketara, tetapi dibandingkan dengan situasi selepas mak selamat keluar dari bilik pembedahan, terasa ada sedikit tekanan yang tersembunyi.

Semua mengucapkan syukur ke hadrat Allah.

"Mak, mak dah selamat."  Saya menelefon mak Ramlah.

"HAHH??!!!"  terdengar suara mak Ramlah terkejut.

"Err ... dah selamat operate pasang bateri tu."  Saya terkesima sedikit.  Terasa ada tersalah cakap.  Pada saya, 'mak dah selamat' tu bermakna dah selamat keluar dari bilik pembedahan.  Teringat pula, itu juga ayat yang kadang-kadang disampaikan apabila seseorang telah 'selamat' dikebumikan.  Gulpp!

***

Di atas meja makan, sentiasa ada semangkuk air pencuci tangan berlapik tuala kecil.  Sebiji cawan dengan piringnya, serta sebatang sudu.  Botol merah jambu berisi air masak mati.  Tarmos kecil berwarna merah, milik arwah Kak Ja (semoga pahala terus mengalir kepada beliau).  Itulah peralatan asas yang sentiasa tersedia di hujung kanan meja makan kaca kami.

Sekiranya menghampiri waktu makan, saya letak pinggan kaca berbunga coklat yang sekarang ni orang kategorikan sebagai pinggan antik.  Ada sebiji di dalam kabinet.

Di sisi meja, di atas kerusi plastik, ada satu bakul kecil berwarna merah jambu.  Itu semua khazanah uwan.  Di dalamnya ada botol kecil susu Anelene dan gula.  Ada bekas kenit berisi serbuk teh.  Ubat-ubatan iaitu beberapa jenis pil untuk gatal-gatal mata, alahan kulit dan jantung berdebar-debar.  Juga beberapa botol kaca berisi minyak untuk sapuan.  Itulah bakul 'wajib angkut' ke mana sahaja milik uwan.

Kerap kali uwan makan malam bersendirian.  Uwan makan usai solat Isyak.  Keadaan di rumah ini memang mengikut keperluan.  Cuma makan tengahari, selalu kami makan bersama.  Pagi, uwan mesti minum Anelene secawan.  Sebelum menjelang waktu makan, uwan akan minum teh o nipis bersama biskut atau baki sarapan pagi.  Sebelum Maghrib, uwan minum secawan Anelene lagi.  Itulah jadual uwan.  Jadi, untuk memudahkan uwan, saya siapkan semua keperluan uwan di atas meja sepanjang masa.  Saya rasa, uwan akan berasa serba-salah untuk meminta cawan, air cuci tangan dan sudu, tetapi tidak boleh mengelakkannya kerana uwan tidak cergas untuk bergerak ke ruang dapur mengambilnya sendiri.  Lutut uwan sudah tidak dapat menampung tubuhnya melainkan dengan dua tongkat itu.  Berdiri lama-lama, uwan rasa menggigil.

Uwan bahagia tinggal di sini?

Entahlah, ia sangat abstrak dan subjektif.  Saya tidak mahu fikir perasaan sebenar uwan.  Cukuplah saya berbuat sedayanya dan seadanya.  Alhamdulillah, sekiranya benar uwan happy di sini bersama kami.  Kasihan uwan!  Syukur Hidayat dan Hanessa pun boleh 'bekerjasama' dengan uwan.  Hanessa pernah menghulurkan duit rayanya RM10 kepada uwan.

"Kesian onyang tak ada duit."  kata budak perempuan yang rongak gigi atas tu sambil hulur duit kertas merah.  Dia memusing-musingkan kerusi sambil tersengih.

"Huhh, tak hingan den duit ekau doo ..."   jawab uwan.  Uwan sudah meminta saya menukar not RM50, dan petang itu juga dia agih-agihkan kepada budak bertiga itu, serta RM10 sudah dikirimkan untuk Naqib ketika saya membawanya outing Ahad kelmarin.  Err ... sebenarnya saya pun dapat juga, sebelah tangan.

"Duit apo ni wan?  Duit boreh ko, duit sewo bilik ko, duit ..."  Saya melawak. 

"Ambik jo la wan dah bagi tu,"  kata uwan.

Bila saya sampaikan kepada suami, dia kata duit itu nanti buat beli lauk uwan.  Of course, kalau uwan tak bagi pun kami beli lauk juga.

Orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa.  Hehe ... makasih yo wan.  Timo kasih daun keladi ... gurau jo.

Hurilain pernah memberi onyangnya duit raya, semasa kami akan pulang ke Segamat untuk beraya di sana pula pada hari raya kedua yang lepas.  RM10 sahaja.  Onyangnya tak mahu, tetapi 'terdesak' juga menerima selepas terus diunjuk oleh Hurilain.  Di dalam kereta, matanya merah (lagi ...).

"Kesian onyang."


***

Saya belajar kata-kata kiasan dari uwan.  Cara orang-orang tua menyuarakan isihatinya dengan cara tidak langsung.

"Kalau wan chik kau, dio goreng dulu kontang tu."

Uwan cakap begitu sambil membelek lauk kentang goreng yang saya buat.

"Haah, adak gak buat macam tu.  Tapi semalam tu nak copek, nak kojar maso."

Saya sagat kentang itu nipis-nipis dan terus dicampur bersama perencah, letak sedikit air, tutup dan kecilkan api.  Saya dan suami nak ziarah mak di IJN petang kelmarin tu.  Kalau nak goreng dulu, tentu mengambil sedikit lagi masa.

Sebelum itu, semasa menceduk nasi, "Kalau nasi lombik macam ni, sodap makan ngan lauk goreng kontang."

Suami saya tergelak.  Hati saya berkata, memang kena buat kentang goreng la sat lagi.  Semenjak uwan datang, memang belum dibikin lagi lauk kentang dicincang dan digoreng bersama perencah bilis dan bawang itu.  Hanya ayam dan ikan.

Suami terbeli dua buku kobis panjang berturut-turut.  Ada juga sayur lain, tetapi sepertinya kekerapan menggoreng kobis panjang agak kerap.  Uwan unjukkan sayurnya kepada kami untuk dimakan.  Sayur uwan di mangkuk khas, kerana ia dimasak lama dengan api kecil dan sedikit air supaya cukup empuk tak perlu dikunyah beria-ia.  Lepas tu masak lagi kobis panjang.  Akhirnya uwan berterus-terang, "Tak ado kobih bulat ko?  Uwan kobih panjang ni tak gomar amek."

Pulang dari IJN petang semalam, kami singgah di gerai India tepi jalan dan suami beli beberapa jenis sayur termasuk sebuku kobis bulat yang besar.  Malam tadi goreng kobis bulat la pulak. Hehe ...

Uwan ni mudah sahaja lauknya.  Paling leceh pun kalau nak buat gulai-menggulai sebab tentulah perlu ada kelapa parut yang diperah (saya blend aje, kalau ikut uwan tak real tu) dan kunyit hidup.  Kalau dah nak menggelegak, kena timbuk jangan kuah pecah minyak.  Itu aje.  Tak bolehlah nak menyambil-nyambil buat kerja lain (temasuklah jenguk FB ke ... contohnya hihi).  Kalau kami anak-beranak, cukup dengan makan salad aje.  So, kiranya ada la lebih tugas di dapur buat beberapa ketika ini.

***

"Abah, magee dalam laci tu ya."

Abah lagi mudah.  Air nescafee dia buat sendiri (sukatan dia sendiri).  Makanannya terpaling mudah, telur atau ayam goreng, dan magee.  Ikan dan lain-lain teramat kurang digemari.  Kalau magee, sebungkus tu hmm ... mungkin dua tiga kali buat baru habis satu bungkus.

Saya harap abah tak segan di sini walaupun tanpa mak di sisi.  Cuma mungkin sunyi tanpa celoteh mak.  Kami macam biasa aje.

Sekian dulu, jumpa lagi insyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing