Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, October 14, 2011

errrkkkkk ... errrkkkk ... errrkkkk ...

Assalamualaikum dan salam petang Jumaat.

Kisah uwan lagi.

Sekadar untuk tatapan ahli keluarga yang jadi silent readers di sini. Juga untuk rujukan sekiranya satu ketika nanti ada anak cucu uwan yang tiba-tiba nak tau rutin uwan dan apa yang uwan buat dari pagi ke petang.  Bolehlah jenguk dan baca di blog ini.

Tadi, saya letak siap-siap tiga ketul kentang bersama pisau dapur berdekatan tempat uwan selalu duduk di meja makan.  Biar hari ini uwan cincang kentang itu untuk dibuat tambahan lauk tengaharinya. 

Patutlah uwan komen kentang yang saya goreng.  Uwan tak mahu terlalu lembik (saya letak air dan kecilkan api).  Cara potong kentang pun tak disukai (menggunakan sagat menyebabkan kentang terlalu  nipis).  Lain cara hiris lain rasanya, kata uwan. 

Selepas cincang, cuci air lalu dan tumis dalam kuali bersama perencah.  Jadi tak payah goreng, tanya saya.  "Ado banyak caro eh ... yang tu lain, yang nia lain.  Ni ekau campur jo ngan roncah eh tu karang."

Ooo jadi tak semesti kena goreng kentang.  "Ni macam yang Intan buat hari tu la!"  Wah, rasa tak puashati nih!

"Iyo la, tapi den tak suko kontang lombik macam tu." 

Iyo la, kentang sagat mana la boleh garing, digoreng jadi melekat-lekat pulak.  Jadi, lain kali cincang, cincang aje le.  Tak payah banyak soal.  Itulah cara yang uwan warisi dari emaknya dulu.  Atau hiris kecil-kecil, yang begitu pernah saya buat dan uwan tak komen apa-apa. 

Tadi pagi saya mengurut belikat dan bahu uwan.  Ada bunyi gedek gedek gedek ... urat masuk angin la tu.  Lengan uwan kiri dan kanan terasa ada bonggol.  Itulah yang sakit agaknya.  Saya belajar, kalau nak urut lengan mesti dari hujung jari bawa ke bahu.  Kalau sebaliknya itu songsang.  Uwan diurut begitu kalau dengan tukang urut di kampung, atau dengan Cik Itam di Batu Kikir.  Sesekali uwan mengaduh dan tejerit kecil.  Muka uwan berkerut.  Sakit la tu.  Saya syok je mengurut.  Kalau uwan sakit lagi, saya pindah urut bahagian lain pulak.

"Yang ekau urut dulu tu (lama dah, masa baru balik Julai lepas kot) lamo den raso logo.  Nia co kao urut lagi kek bahu den.  Nak mengereng payah amek.  Sakit. Takkan nak nolontang jo."

"Wan, ni kena cas lebih ni.  Pakai minyak kambing gurun.  Sebotol kocik pun dah RM100 ni ha." 

"Den baya ..."  Uwan melayan Pak Meon.  Minyak kambing gurun pemberian Haji Jefri, kawan baiknya di Shah Alam.

Saya disuruh urut, boleh la urut sikit-sikit.  Pak Meon yang ajar cari point untuk diurut.  "Ekau ni ado la ngikut macam nek moyang dulu.  (Nenek moyang dulu dengarnya bidan besar)."

Kemudian uwan suruh saya urut bahagian pinggangnya.  "Wiii, teraso sampai ko poho den.  Agak eh urat tu dah koreh (keras) la kan."

Patut pun kalau urat uwan keras.  Adat manusia macam tu la wan, kata saya.  Kocik-kocik lasak kemain.  Dah tuo apo laie yang boleh dibuek.

Kalau tak silap saya,  arwah Kak Ja pun pernah mengurut uwan. 

"Errkkk ... errkkkk ... errrkkk ..."  itu bunyi uwan sendawa.  Uwan urut-urut dan tarik-tarik kulit gelambir di bawah dagunya hingga ke tekak.  Uwan susah nak sendawa.  Kalau sendawa, dia berasa lega sungguh.  Bila ditarik-tarik bahagian tekak yang dah menggelambir tu, angin pun keluar dari mulut uwan.

"Tak kontut ko?"

"Kontut ... tu la kekadang duo tigo kali masuk balik bilik air amik air semayang.  Ayooo hai.  Sobab tu den lamo dalam bilik air.  Berghojam-ghojam (berjam-jam)."

Uwan ketuk-ketuk perutnya dengan hujung jari hantu.  Ada bunyi.  "Poghut den ni kombong jo."

Kesian uwan.  Memang sulit kalau dah berwuduk, terlepas angin. 

Sudah tiga pagi uwan rendam kaki dalam air suam.  Kali kedua dan ketiga saya letak garam kasar dalam air rendaman. Kata uwan,  bengkak kakinya dah susut selepas dua kali rendaman.  Kalau sebelum itu, kulit kaki uwan terik menandakan bahagian kaki bengkak.  Pagi ini uwan tak rendam kaki, cukup tiga kali sahaja.  Mungkin lagi dua minggu boleh buat lagi.  Saya pun teringin nak merendam kaki sama.  Terbayang kalau baru balik berjalan, dapat rendam kaki dalam air suam sambil pejamkan mata, dan dengar bunyi air jatuh, wahhh ... tentu sangat melegakan!

Uwan dah 86 tahun.  Seperti pokok tua.  Seperti enjin kereta Morris Minor tua.  Seperti jam tua antik Motherclock.  Pokok tua akan mereput jua.  Enjin kereta Morris Minor tua walau sentiasa diservis ikut jadual, tukar sparepart, tetap akan reput satu hari nanti.  Jam antik Motherclock pun macam tu juga.  Apa yang boleh dicontohi dari uwan, ialah rajin-rajinlah jaga kesihatan, minum Anelene dua kali pagi dan petang, peka dengan makanan yang tak serasi (dah tau tak serasi, jangan diambil lagi melainkan kalau nak juga sedikit sahaja), tak minum air batu (sesekali je boleh la), dan tidak meninggalkan solat.  Juga bersihkan hati lapangkan dada jernihkan fikiran.  Dah tak boleh nak melawan sebab kudrat dah makin kurang, redha aje apa yang berlaku.

"Banyak-banyak berdoa, wan.  Doa wan ni insyaallah tak direject.  Dah umur subsidi.  Uwan mulakan dengan selawat dan tutup dengan selawat, fuhh terus naik ke langit.  Wan dah buat solat hajat lum?"

Uwan tak malu bertanya soal-soal ugama.  "Yo den ni tak tau ..."  Sayu hati mendengar tapi rasa bangga dengan uwan.  "Kekadang tu den konfius lupo.  Tu den tanyo an tu."  Saya pun bawak laptop kat depan uwan.  Search nenek goggle la pulak.  Eden pun bukan tau sumo hehe ... so kono la tanyo uwan goggle.

"Wan, mak dah keluar."

"Iyo ko?  Ni dalam perjalanan la ni yo?"  wajah uwan cerah.  Mungkin uwan gembira. 

"Ha'ah, jap lagi sampai la tu."

Alhamdulillah, mak dah keluar dari IJN hari ini ~ 14 Oktober 2011 bersamaan dengan hari Jumaat.  Bersambung di entri lain untuk catatan seterusnya, insyaAllah.




No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing