Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, October 22, 2011

buat medical checkup

Assalamualaikum serta salam pagi.

Alhamdulillah, semalam mak dah selesai buat dressing luka pembedahan kecil implan pace maker.  Sudah lewat tiga hari sebenarnya, tapi syukurlah kerana luka itu tidak ada sebarang masalah jangkitan.  Cuma mak pernah mengadu ada denyut-denyut gatal selepas mak makan hidangan lauk telur.  Selepas tu mak tak cuit lauk telur dah.

Lauk telur dan ayam berselang-seli, perlu ada.  Itulah kegemaran abah, atau dengan kata lain itulah lauk rasmi abah.  Tentulah bersama sos.  Sekarang ni Hidayat dah mula nak bersos juga meniru atuknya, tetapi saya kawal kerana tak mahu ia menjadi kebiasaan (sehingga nanti kalau tak ada sos tak boleh jadi).

Kami pergi ke klinik kesihatan Telok Panglima Garang, kerana di sana sentiasa ada doktor.  Mulanya saya bawa mak ke klinik kecil Sijangkang, tetapi mak mengadu rasa pening.   Dresser yang bertugas mengatakan hari ini (Jumaat) tiada doktor yang datang ke klinik.  Ooo patutlah lengang je, kata hati saya.  Jadi itulah, dresser mencadangkan kami ke klinik kesihatan TPG.

Di klinik TPG pun tak ramai orang.  Saya ke kaunter, menyatakan tujuan dan menyerahkan surat dari IJN.  Selesai urusan untuk mak, saya ke kaunter sekali lagi.

"Ada apa lagi dik?"  tanya staf wanita yang iras-iras Kak Shimah, isteri Azali.  Alahai, muda sangat ke muka aku ni ... hehe.

"Saya nak buat checkup."  Lalu saya ceritakan sejarah kesihatan sejak zaman tok kaduk dulu.  Nephrotic sindorm dan bengkak hati sebaik sahaja melahirkan Hurilain (yang menurut doktor pakar, terjadi sendiri tanpa penyebab ~ kadang-kadang terjadi kepada wanita yang baru melahirkan anak.  Ia sangat menyakitkan, mata dan kulit saya menjadi kuning.  Hurilain pula 'dipos' ke ICU beberapa hari, syukurlah dia tak ada apa-apa masalah yang serius) harus ada sejarahnya sebagai alasan mudah untuk melakukan checkup.  Sejarah keluarga pula ada penyakit kencing manis di sebelah arwah bapa.  Saya bukan nak buat checkup atas keperluan kerja.  Terakhir kali kesihatan saya diperiksa, ialah semasa melakukan rutin bertemu doktor semasa mengandungkan Hanessa 6 tahun lepas, dengan Doktor Safiah di TTDI Jaya.  Saya peroleh kad darah dan kad kecil yang menyatakan kesihatan saya ok.

Jadi, sambil menyelam minum air.  Hantar mak buat dressing, bolehlah saya buat pertanyaan tentang checkup.  Cadangan nak menelefon dari rumah sahaja asyik tertunda.  Apatah lagi klinik lengang seperti ini, eloklah saya tak melepaskan peluang yang ada.

Selepas menunggu beberapa waktu, (walaupun tidak ramai yang datang mendapatkan rawatan, namun apa yang dinamakan 'menunggu' tetap menyiksakan heee ...) akhirnya mak dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah.  Uhh, darah mak naik!  Patutlah mak kata pening.  Saya teringat lauk goreng terung yang kata mak agak masin dan mak usik sikit aje.  Teringat juga goreng ayam yang terlebih sedap yang saya campurkan dengan bawang, ketumbar dan jintan manis selain garam dan kunyit.  Teringat dua hari berturut-turut saya masak gulai lemak cili padi.  Pertamanya gulai telur itik campur bacang cincang, dan esoknya gulai ayam campur kentang pula.  (Sebenarnya mak maksudkan buat gulai cair je gunakan segenggam kelapa parut, macam 'masak lompap' daging, tapi mesej mak tak sampai sepenuhnya.  Saya buat gulai ayam macam biasa.) 

Teringat Pak Meon kata, "Aik, semalam mak kata tak nak makan gulai-gulai selalu, ni ... semalam gulai, hari ni gulai ..."   Suami saya dah menyenaraikan jenis masakan yang sepatutnya mak makan dalam waktu terdekat ni.  Kaedah bakar, kukus dan sup kurang minyak je, katanya kelmarin.  Elakkan santan dan lemak, katanya lagi macam pakar pemakanan pulak. 

Maka selepas balik dari klinik, saya masak macam biasa dan mengurangkan garam di dalam masakan.  Tapi saya sediakan sepiring cencaluk bersama rencahnya untuk Pak Meon. Anak dara kecil pun sukakan cencaluk ...

berapa BMI awak?
Okay, pasal checkup saya pulak.  Tekanan darah saya normal.  Denyutan nadi 70 per minit.  Normal juga.  Check urin, pun ok.  Alhamdulillah.  Tapi tang BMI, saya dah terlebih berat walaupun bukan obesiti.  Err ... saya sekarang ni 63kg.  Dengan ketinggian 153cm, SEPATUTNYA berat saya sekitar 51kg sahaja.

"Itulah berat ideal akak, tapi ... yalah, susah nak capai tu."  ujar nurse yang mengira BMI saya.  Zuriani namanya, nampak seperti sedang berbadan dua.  Manis dan baik orangnya.

"Kalau setengah jam bersenam, setakat bakar gula je kak."  katanya lagi.  Senaman perlu dibuat selama satu jam tiga kali seminggu, untuk pembakaran lemak seterusnya mencapai berat badan yang ideal

Dia mengukur pinggang saya pula.  "Ukurlilit pinggang akak dah lebih 7 cm ni!"  Nurse menunjukkan jadual ukurlilit pinggang yang wajar iaitu untuk lelaki < 90cm, wanita < 80cm.   Serta-merta semangat saya nak bersenam jadi berkobar-kobar!!!

Sebelum itu saya diberikan borang saringan status kesihatan untuk diisi.  Kemudian nurse Zuraini mengisi REKOD PEMERIKSAAN SENDIRI untuk saya.  Saringan kesihatan sendiri ini boleh saya lakukan bila-bila masa sahaja di masa akan datang.  Isi rekod dan letakkan di dalam tray disediakan, tinggalkan dan berdasarkan rekod itu, pihak klinik akan menghubungi saya sekiranya perlu untuk pemeriksaan yang lebih terperinci. 

"Wah, senangnya macam ni.  Nanti saya nak ajak anak-anak saya buat checkup jugak."

"Ambil borang ni dan isi di rumah.  Kalau boleh biar anak-anak akak yang isi sendiri borang tu, kita nak tengok ada tekanan ke tak.  Kalau ibubapa yang isi, tak dapat nak tengok."  kata nurse Zuraini sambil menyerahkan borang saringan status kesihatan untuk remaja sebanyak dua keping.
InsyaAllah balik cuti aidiladha ni, saya akan bawa kedua-dua anak ini ke klinik TPG.  Bolehlah saya ajak suami sekali.  Sejak akhir-akhir ini, dia sering mengadu tangan kirinya kebas-kebas.  Iyalah, sebelum menjadi lebih kronik, eloklah kita ambil tahu status kesihatan diri kita.  Biar sama-sama sihat walafiat.  Paling penting, saya nak suami saya berhenti merokok.   Apatah lagi ia percuma.  Cuma bayar RM1 sahaja.  Kalau ada kad pencen, tak perlu bayar apa-apa.

"Kalau dah warga emas, susah sikit.  Kadang-kadang kita terpaksa tanya anak, tanya cucu ..."  begitulah kata nurse Zuraini lagi.  Saya segera teringat kepada uwan.  Kalau dia datang ke Sijangkang lagi, bolehlah saya bawa dia buat checkup juga.  Tentu uwan suka.  Uwan memang prihatin tentang kesihatan.  Saya teringat mak Ramlah.  Mungkin mak Ramlah boleh berbuat yang sama di klinik berdekatan di Batu Kikir.

Jumaat ini, saya akan datang lagi ke klinik TPG untuk ambil darah.  Dua minggu selepas itu, saya akan menerima hasil pemeriksaan darah itu.  Untuk seterusnya, saya akan melakukan pemeriksaan sendiri sahaja, seperti yang sudah diberitahu oleh nurse Zuraini, insyaAllah.  Semoga Allah mempermudahkan.

Saya tak kisah tentang 9 tahun yang 'mendebarkan'.  Ia bukan 9 tahun sebenarnya, tetapi setiap detik mulai keinsafan saat ini adalah sentiasa dalam debar dan cemas.  Sejak semalam, kelmarin, dulu-dulu ... seharusnya begitu!  Tua akan terus membesar dan dewasa.  Muda akan beransur pergi dan menghilang.  Maut akan sentiasa menampakkan bayang.  Izrael tak pernah alpa menjenguk daun-daun yang mula kekuningan di pohon itu, 'mengutipnya' dan menziarahi penamanya.

(SQDia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Permisi dulu, semoga bersua lagi esok lusa insyaAllah.  Saya nak mengusai bab 7 Sakinah.  Ia sudah 9 mukasurat tetapi saya mahu menokok-nambah perenggan lagi dan membaikinya sehingga benar-benar memuaskan hati saya sebelum diusai pula oleh sifu saya :).  Selamat berjaya, semoga Allah sentiasa membantu kita di dalam segala usaha dilakukan, serta beroleh redhaNYA. Ameen. 




No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing