Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, August 1, 2011

Selamat berpuasa

Salam Ramadan Kareem.
Alhamdulillah, rakyat Malaysia mula berpuasa hari ini.  Kami menerima beberapa sms dari sahabat-handai di Brunei Darussalam, mengucapkan selamat berpuasa.  Kami masih terkenang-kenangkan suasana di sana, dan mereka juga masih terpandang-pandangkan kami bersama.  Negara Zikir itu akan mula berpuasa esok.  Hari ini anak-anak di sana masih bersekolah seperti biasa.  Menariknya, sekolah ugama akan dipendekkan sesi pembelajarannya sehingga jam 2 sahaja.

Hari ini kami akan berbuka puasa dengan hidangan mee kari bikinan suami saya.  Semasa masih duduk-duduk atas sejadah usai solat Zuhor tadi, kami berbincang-bincang sebentar.  Saya akan siapkan susu kegemaran Hidayat untuk berbuka nanti.  Susu putih Eveready itu akan disejukkan di dalam peti ais.  Air batu yang dijual di pasar Ramadan tidak digalakkan membelinya.  Begitu juga dengan makanan. Mahu hidangan sihat di meja, membeli makanan juga tidak digalakkan.  Satu atau dua kuih atau murtabak, cukuplah tu!  Hanya satu lauk dan sejenis sayur, ulam dan minuman. 

Sebenarnya terlalu besar keistimewaan Ramadan.  Ia bulan pengampunan dosa dan pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya setelah dihias seindah-indahnya.  Semoga ibadah kita pada Ramadan yang baru ini akan lebih baik dari Ramadan yang lepas.  Berpuasa pula hanyalah pertukaran waktu makan sahaja.  Kita masih makan seperti biasa. Jadi tidak perlulah melampau sangat menyediakan hidangan semasa berbuka.  Inilah azam kami sekeluarga untuk Ramadan kali ini. Tahun-tahun yang lepas, ia tidak berjaya.  Naqib akan membawa adik-adiknya membeli sesuatu.  Kalau dihulurkan RM5, tak cukup.  RM 10 pasti habis.  Saya pun begitu.  Terkadang hampir RM50.  Air soya pasti akan dibeli, yang sejuk dan yang panas.  Nampak itu nampak ini, grrr ... semuanya nak dibeli juga.  Sampai sakit hujung jari membimbit makanan kembali ke kereta.

Semasa di Seria, jualan pasar Ramadan sangat sederhana.  Jenis juadah tidak terlalu banyak.  Tetapi kalau di kawasan Bandar Seri Begawan adalah sebaliknya.  Saya dimaklumkan, ramai juga peniaga orang Malaysia yang menjual makanan, antaranya nasi lemak bersama pelbagai lauk-pauk dan rendang yang betul-betul mengikut 'tekak' orang kita.

Melihatkan kesederhanaan di Seria, kami terikut sama semasa menyiapkan juadah berbuka. Cuma kekadang kasihan melihat Hurilain dan Hidayat yang keletihan berpuasa, mereka diberi pilihan untuk membeli kuih kegemaran yang dimahu.  Hanessa, hmm ... hanya berpuasa beberapa jam sahaja, tak perlu dipelawa dia akan memilih sendiri.  Hampir semua makanan berharga $1.  Mudah mengira dan mudah pula membayar. Kuih tiga ketul $1.  (Di Batu Kikir, kuih satu 45sen.  Di Sijangkang pun sama.  Tapi ada satu dua tempat yang masih menjual kuih harga lama).  Cakoi Brunei di'kahwin'kan dengan planta dan kaya, dimakan panas-panas, enak dong!  Pulut panggang inti daging Hajah Jaharah yang selalu kami beli di kedai JE, Lumut sangat lembut dan sedap.  Hampir semua makanan berharga $1.  Mudah mengira dan mudah membayar. 

Akhir kata, semoga kita semua akan tabah menjalani ibadah menahan lapar dan dahaga ini, dan semoga beroleh pahala serta kegembiraan yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa taala untuk orang-orang yang berpuasa; iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu denganNya nanti, insyaAllah. 

Eh, err dah nak berbuka rupanya.  Jom kita siapkan meja makan.  Nak rasa mee kari?  Meh la sini ...

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing