Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, July 28, 2011

Pagi yang agak mendebarkan

As salam.
Pagi yang agak mendebarkan buat saya.
Pertamanya, saya disuruh membawa motor menghantar Hanessa ke sekolah.  Saya agak fobia dengan kenderaan dua tayar ini (melainkan basikal).  Kurang yakin mengawalnya, namun dalam keadaan terdesak sebegini, hmm ... saya bertawakkal kepada Allah.  Alhamdulillah, sampai juga ke sekolah.  Saya pernah hampir terjun ke dalam longkang besar satu ketika dulu, kerana teruja hingga motor melompat ke hadapan.  Pernah juga hampir melanggar mak saya.  Itu semua ketika berumur belasan tahun.  Semangat selalu teruja dan berkobar-kobar.  Kata orang tua-tua, usia gilan-gilan.  Anda tau gilan-gilan?  Saya cari di Pusat Rujukan Persuratan untuk makna yang tepat, tak ada perkataan ini di situ.  Sefaham saya, ia hampir seperti terejal, gila-gila dan kak nam.  Itu dulu.  Sekarang insyaAllah semakin waras dan matang.

Pasal motor.  Saya selalu terbayangkan motor melompat lagi.  Atau saya bergesel dengan motor lain yang dipandu oleh budak-budak muda yang memandu laju.  Atau motor menimpa betis saya, lalu terkena di ekzosnya aduhh ...  Betis saya pernah melecur terkena ekzos motor bapa ketika kanak-kanak dulu, kerana tak menyedari ekzos masih panas.  Kenang-kenangan ini selalu menghantui saya.  Fikir saya, kereta lebih seimbang kerana tayarnya empat.  Tapi tak mengapalah, alhamdulillah saya sudah selamat balik dan sekarang sedang menulis di blog lalala ...

(Tapi hati teringin pulak pada motor comel jenis skuter tu, yang picit je hidup.  Selesa aje memandang gadis-gadis dan wanita menunggangnya, kaki letak depan terselindung.  Saya nak motor tu boleh?)


Di sekolah, saya mencari Cikgu Anuar, guru kelas Hidayat.  Saya terserempak dengan guru disiplin, Cikgu Laili, ketika saya mencari Cikgu Anuar di luar kantin guru.  Cikgu Laili sangat prihatin dan dia nampaknya tidak mengenali saya sama sekali.  Dah lama tak jumpa ... saya pun dah bertambah dewasa hahaha ...   Walhal beliau bersama Penolong Guru Besar pernah berbicara dengan kami sekeluarga di ruang tamu rumah pada 2008 dulu, berkenaan anak kami Muhammad Naqib.  Ia satu kenangan yang sangat bererti dan memberi kesan kepada perjalanan hidup anak sulung kami.  Semoga Muhammad Naqib berjaya dan berbahagia dalam kehidupannya, dunia dan akhirat.  Ameen.

Dan akhirnya kelihatan kelibat Cikgu Anuar yang sedang menatang printer menuju pejabat.   Kami berbicara panjang di meja batu di luar pejabat.  Luwes dan santai.  Panjang bicara cikgu muda yang kurus tinggi ini.  Segak, bicara yang bermaklumat dan teratur kata-katanya.  Sekiranya suami saya turut serta, mungkin perbualan menjadi lebih rancak dan hangat.   Menyentuh tentang Hidayat, tugas dan bebanan guru, pertukaran dasar kementerian, suasana semasa dan sedikit tentang Brunei Darussalam.  Akhir sekali saya meminta nombor telefon beliau untuk sebarang urusan di masa akan datang.  Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan kerjasama Cikgu Anuar.  Inilah yang saya dan ibu bapa lain harapkan.  Perhubungan yang baik untuk kebaikan semua pihak, khususnya untuk anak yang sedang berada di bangku sekolah.  Menjadi kebiasaan saya meminta nombor telefon guru-guru anak-anak saya.

Selesai bicara dan berbalas salam, saya menuju ke pagar sekolah dengan dada yang lapang.  Debaran saya semakin surut.  Makcik steady je ...  Di pertengahan jalan saya melencong ke kelas Hidayat, kelas 3 Efisiyen.  Mengah juga mendaki tangga.  Saya minta izin pada guru berbaju batik biru laut yang sedang duduk di meja guru untuk berjumpa Hidayat.  Saya khabarkan kepadanya, bahawa dia tidak memerlukan buku Workbook seperti yang sudah saya bincangkan dengan Cikgu Anuar tadi.  Serta-merta wajah anak saya menjadi muram.  Dia risau!  Ya, saya tahu dia sangat bimbang dengan guru Matematiknya, Cikgu Y, setelah kena tampar semalam.

"Sekarang cikgu siapa di dalam?" tanya saya.
"Itulah Cikgu Y."

Saya sembunyikan dak duk dak duk di dada sedalam-dalamnya.  Kelihatan guru hitam manis ini sangat sibuk dengan kerjanya, menanda buku murid.  Saya kurang diperuahkan.  Saya bercakap sambil dia terus menanda buku, sesekali mendongak kepada saya, dan memberi arahan kepada murid yang duduk berkampil meja dengan meja guru.

Cuba menyusun kata-kata dengan sebaik mungkin.  Saya tanyakan tentang keperluan workbook untuk Hidayat, walaupun tadi sudah berbincang dengan Cikgu Anuar yang lebih luwes.  Wajar bertanya, fikir saya, kerana berpeluang bertemu dengan guru Matematik ini.  Saya tidak mahu Hidayat berasa ragu dan risau datang ke sekolah.

Dan dengan rasa serba-salah - bimbang beroleh nilaian yang negatif - yang kelak boleh memberi kesan kepada anak saya - seperti yang kadang-kadang saya dengar dari ibu-ibu - bahawa anak yang ibu bapanya banyak komplen - di mesyuarat PIBG atau kepada guru - membuatkan guru 'tawar hati' terhadap si murid - saya mengambil risiko - buat pertama kali dalalam hidup.

Saya terus berbicara sambil berdiri rapat ke tepi meja, sehingga saya dapat melihat senyuman tawar di bibir cikgu itu.  Dia mula 'berminat' untuk mendengar dengan seadanya.  Dia masih sibuk, saya faham. Benar, dia ada menampar anak saya yang baru beberapa hari melalui iklim baru di sekolah lamanya ini,  tetapi tamparan perlahan sahaja, sambil cikgu menggayakan lenggok gaya dia menampar.  Saya memang garang, katanya jujur.  Senyuman cikgu semakin mekar apabila mendengar saranan saya supaya menggunakan rotan di bahagian tubuh yang dibenarkan.  Serta-merta saya terbayang cikgu ini melangkah membawa buku-buku dan tersisip rotan.  Di rumah saya sentiasa ada rotan, kata saya. Dan saya dengan perasaan berbaur, meminta cikgu tidak memberi hukuman dengan tamparan lagi.  Saya cuba bercakap seringkas dan setelus mungkin.    Selebihnya ayat-ayat beratur di dalam fikiran sahaja. 

Akhirnya, alhamdulillah, saya dengan penuh hati-hati menunggang motor dan selamat sampai.  Tanpa fokus kepada reaksi cikgu Matematiknya di masa-masa akan datang, saya berharap Hidayat lebih gembira dan berlapang dada di setiap pagi dia mengayuh basikal ke sekolah.  Saya tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang terbaik.  Cuma, saya terfikir kesan kepada peratusan keseluruhan kelas 3 Efisiyen.   

Jam 11 pagi, saya akan ke sekolah lagi.  Perlu ke kedai koperasi sekolah (tadi ia ditutup sebentar) untuk mendapatkan salinan workbook Mathematic Year 3 dari muka surat 98-138, seperti yang dicadangkan oleh Cikgu Y.  Enam kelas tahun 3 dengan murid setiap kelas lebih 40 orang (kelas Hidayat - 45 murid), menyebabkan bantuan buku teks dan buku latihan tidak mencukupi. Ditambah dengan kesibukan cikgu yang perlu download data-data murid ke dalam laman web, Hidayat baru beroleh dua buku teks sahaja (Science & Bahasa Inggeris).

Akhir sekali, saya ingin masuk kelompok ibu bapa yang sentiasa berlapang dada dan jernih fikiran dalam urusan anak-anak.  Ketenangan dan kedamaian yang sempat saya kecapi di pekan kecil Seria ingin saya kendong ke mana-mana, biarpun saya tidak lagi berada di sana.  Hakikatnya, Allah yang Maha Pemurah telah memberi rasa itu sebagai anugerahNya. Alhamdulillah.  Semoga negara kita ini juga akan kembali tenang, aman dan damai tanpa sebarang prasangka atau prejudis, dan bukan seperti pepatah orang tua-tua; 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya', dengan memanjangkan harapan buaya-buaya itu buaya beriman yang tidak mengambil melebihi haknya.  Dan apabila terpandangkan buaya-buaya yang berzikir mengingat Allah, kita pun sama teringat kepadaNya, apatah lagi andai kaki kita yang sedang disepit oleh rahangnya.  Nauzubillah, mohon dijauhkan oleh Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, peliharalah anak-anak kami yang sedang belajar di bangku sekolah.  Selamatkanlah mereka daripada segala musibah dan kesusahan, kemalangan dan bala bencana. Peliharalah perjalanan mereka pergi dan balik sekolah.  Engkaulah yang Maha Pemelihara.  Tiada kepada lain tempat kami mengadu, hanyalah kepadaMu yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.  Lapangkanlah dada mereka, lancarkanlah lidah mereka berbicara, kuatkan ingatan mereka dan mudahkanlah kefahaman mereka terhadap penerangan guru-guru.  Jadikanlah mereka pencinta ilmu kebenaran.  Kasihanilah mereka, ya Allah.  Pimpinlah mereka dan guru-guru mereka.  Permudahkanlah segalanya untuk mereka mendengar dan taat, dan permudahkanlah guru-guru mereka menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan serta tunjuk-ajar dengan kasih sayang dan keikhlasan.  Hanya Engkau sebaik-baik pemberi ganjaran.  Ganjarilah guru-guru itu dengan pahala yang besar dan segala kebaikan dari sisiMu dari dunia hingga ke akhirat.  Kurniakanlah takdir yag baik-baik dan selamatkanlah dari takdir yang buruk-buruk.  Masukkanlah anak-anak kami ke dalam golongan orang-orang yang berjaya dan berbahagia dalam kehidupan dunia dan akhirat.  Selamatkanlah mereka dan kami semua dalam perjalanan yag penuh pancaroba ini.  Ameen.

Sehingga ketemu lagi, insyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing