Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, July 27, 2011

Ia masih sangat istimewa

Kiranya ini entri pertama saya di bumi Malaysia.  Hari ini bermakna sudah 22 hari kami berada di bawah bumbung rumah sendiri.  Dan hampir setiap hari mata saya terpandang tajuk-tajuk besar akhbar yang dibeli oleh suami.  Dengan perasaan mual dan bengkak, saya kutip ia dan sisipkan di bawah meja.  Ia akan menjadi pembungkus buangan di dapur atau akan memberatkan timbangan barang-barang terbuang nanti.  Beberapa hari ini, tetamu yang muncul terpaksa 'disapa' oleh timbunan plastik hitam dan 'entah apa-apa' yang berada di ruang tamu, betul-betul di depan pintu pulak tu.  Peniaga barang-barang terpakai yang sudah beberapa kali berjanji dan dituntut janji hingga kami ke rumahnya, masih belum muncul sedangkan setiap hari hati berharap demikian.  Jadinya, tidak ada sesiapa yang mengeluarkan komen tentang benda-benda ini yang terletak  di situ.  Ia selamat hihi ... dari kencingan kucing jantan berwarna oren itu, yang selalu berbuat sesuka hatinya di mana-mana.

Saya rindukan ketenangan di sana.  Pekan kecil bernama Seria.

Setiap kali saya mendongak mencari awan-gemawan beragam, ada tapi tak sama.  Hanya sesekali, jarang amat.  Kata suami saya yang rimas mungkin, tentulah tak sama, tempat berbeza, angin pun tak serupa.  Ya, selebihnya saya disambut bau asap ketika membuka tingkap di pagi hari seminggu pertama sampai.  Langit kosong dan kelabu.  Jarak penglihatan menjadi pendek.  Inilah Malaysia, tempat tumpah darahku.

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertahta

*sambung sendiri!

Dalam diam, saya rasa seperti kurang selamat dan ada tekanan yang amat perlahan.  Mengapa?  Saya bertanya sendiri.  Mungkinkah berita-berita sadis yang setiap hari terpapar itu telah memberi kesan tidak langsung kepada saya?  Bagaimana dengan orang lain?  Tidakkah mereka sama terasa dan mendapat efek sehingga fikiran terasa sempit dan dada bagaikan sesak menekan?

Saya membuat perbandingan.  Dulu, setahun lepas dan hari ini.  Saya di Seria yang tenang dan di Sijangkang yang ... bukan ... tetapi di Malaysia yang ... semoga akan tenang dan makmur damai satu ketika tak lama lagi, insyaAllah.  Sijangkang masih ok (lah ...).  Saya sudah buat pilihan.  Sekiranya keadaan memerlukan saya keluar, saya akan ke Banting sahaja.  Ia masih agak tenang.  Cuma perjalanan tidak akan sunyi dari kenderaan besar bas dan lori yang banyak. 

Oh kalau boleh saya enggan memandu.  Cukuplah sekadar menjemput Hanessa dari sekolahnya sekali sehari.  Alhamdulillah Hidayat berbasikal ke sekolah.  Semoga anak saya dan kawan-kawannya selamat pergi balik dan sentiasa di dalam perlindungan Allah.  Hidayat, jangan lupa baca doa.  Itulah pesanan yang dititipkan kepadanya setiap hari.  Kepada Allah berserah.  Kata suami saya, dia anak lelaki memang perlu lasak dan berani.   Dan dia ada kawan sekelas pagi dan petang, Idham, anak Wak Lan taman sebelah yang cool orangnya. 

Kembali ke rumah ini.  Tak lama ditinggalkan, hanya setahun lebih sikit je.  Ia masih macam dulu.  Cuma ada anai-anai yang baru dua bulan menginap di belakang kabinet dan sempat menyerang buku-buku kami.  Ia sangat pantas dan ganas.  Hampir semua buku saya ketika menuntut dulu sudah menempati plastik hitam kerana tidak wajar disimpan lagi.  Barang semakin bertambah sedangkan rumah ini tidak mengembang pun walau seinci.  Jadi, saya akur kepada undang-undang alam.  Ada barang lama yang tidak sesuai dijadikan harta karun walaupun semua itu ada sentimental value

Saya dapati ada cenderahati dari majlis perkahwinan yang tidak efektif sebenarnya untuk jangkamasa tertentu.  Jadi kepada sesiapa yang mahu memberi cenderahati kepada tetamu di hari berbahagia anda, fikirkan sesuatu yang bermanfaat.  Selain bekas-bekas atau kipas-kipas, saya sukakan hadiah lilin bersama cawannya.  Ia boleh digunakan di atas meja makan untuk menghalau lalat yang tak faham arahan.  Bekas telur tu memang cantik dan bergaya, tapi saya tak akan simpan telur saya di situ.  Tambahan pula saya tak fikir nak request kabinet kaca yang khas untuk menyusun segala cenderahati di situ.  Kabinet yang ada ni sarat dengan buku.  Oh buku, nak kubuang terasa sayang.  Nak kusimpan terasa sayang juga ... ada sesiapa nak kumpul buku-buku lama?  Buku aruah abah masa dia muda-muda dulu pun ada.

Ohh sudah jam 12.18 pagi.  Sudah kelewatan.  Masih belum berkesempatan ke Sastera menyusun bicara khabar ...

Akhir sekali.

Dalam kehidupan yang sementara ini.  Aku menguak pintu alam fana dari kandungan ibu.  Kini aku sedang menapak langkah demi langkah menuju pintu di hadapan.  Pintu ke alam barzah.  Pintu kematian.  Pintu permulaan kehidupan yang sebenar.

Begitu banyak yang tidak kumengerti.  Dalam bertanya-tanya sendiri, hati berbicara pula.  Berfikirlah.  Andai tak dimengerti, bersabarlah.  Dunia ini memang selalu demikian.  Ia bukan tempat mengharap ganjaran.  Ia adalah medan ujian.

Dan usah kau berkata, "Tak ada sesiapa yang mengerti keadaan saya."  Ia sangat cetek, bodoh dan menjengkelkan.  Usah bertuhankan manusia.  Kerana yang Maha Mengetahui dan Maha Mengerti adalah Allah Subhanahu wa Taala.  Andai kau ingat kepadaNya, tentu tidak gamak kau berkata sedemikian.

Ya Allah, yang sudah ditinggalkan tak akan dijenguk lagi.  Ia menjadi kenangan yang sangat istimewa.  Terbayang di mata teringat di hati terlintas di fikiran.  Terima kasih wahai Tuhanku, kerana memberi sedetik rasa yang istimewa di satu sudut bumiMu yang makmur.  Pekan itu pun semakin dibangunkan berkat kemajuan dan keprihatinan pemerintahan.  Tidakku pasti andai akan sama keadaannya beberapa tahun akan datang.  Namun syukur alhamdulillah, tanpa perlu kuperduli kepada anggapan manusia, rasa itu adalah suatu anugerah.  Dan yang pasti, tidak ada anugerah yang paling mahal jika dibandingkan dengan anugerah IMAN DAN TAQWA.  Juga sahabat-sahabat yang apabila dipandang wajah mereka, mengingatkanku kepada Maha Pencipta.  Ya Allah, berilah kami iman dan taqwa.  Juga sahabat-sahabat yang terbaik.

Sedetik.  Tempat itu tidak akan kekal.  Tiada yang kekal selainMu.  Masih ada itu dan ini ... namun ia masih sangat istimewa.  Alhamdulillah.

12.37am.

*Gambar-gambar adalah rakaman sendiri menggunakan kamera digital.  Lokasi ~ Pantai Lumut, Seria.  Pantai tercantik di Brunei Darussalam.


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing