Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, April 12, 2011

Perasaan Perasan

As salam.

1.  Sudah resend bab tiga Sakinah pagi ini.  Semoga publish dengan selamat, seterusnya mendapat sentuhan Sifu untuk dibaiki menjadi lebih murni. Insyaallah.

2.  Hari ini mesti buat puding bakar.  Resepi terjah sudah bermain-main dalam kepala sejak tadi.  Semoga sempat buat untuk minum petang nanti.  Insyaallah tentu Hurilain, Hidayat dan Hanessa suka.  Teringin nak buat cucur nasi ikan bilis tetapi tekanan air paip rendah, jadi bersarapan biskut dengan air teh tarik je pagi tadi.  Sesekali bikin teh tarik, setiap cawan habis diminum.

3.  Saya selalu perasan saya adalah menantu kesayangan.  Suami saya adalah anak kesayangan, dan anak-anak kami adalah cucu-cucu kesayangan.  Ia perasaan istimewa kerana sikap ibu mertua  yang tidak pandai membeza-bezakan antara anak dan menantu.  Semua dilayan sama rata, dan baik belaka.  Ia adalah perasaan dan perasan.  Tak mesti benar tapi mungkin betul.  Mereka yang lain juga boleh sahaja berperasaan perasan sebegini.  Kerana sebenarnya bukan mudah seorang ibu meladeni 10 anak, 10 13 menantu dan 33 35 cucu (maaf kalau tersilap kira ..., tapi rasanya betul).

Semoga mak semakin sembuh dari kelelahan dan keletihan, sihat dan kuat untuk kembali mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran dan melakukan hobi mak; menyapu-nyapu keliling rumah seperti selalu ~ bukan lagi sebagai kewajiban tugas harian tetapi sekadar senaman untuk menggerakkan urat saraf dan melancarkan peredaran darah sahaja.

4.  Saya juga selalu perasan seperti itu bersama bonda Ramlah, kerana ... 'keterasingan' saya barangkali.  Bonda yang tidak pernah marah dan tulus mulus sentiasa.  Teguran diberikan bagai berlapik kain baldu dari syurga.  Tidak pernah menghiris hati walau secubit.  Namun saya yang selalu bimbang telah melukainya.  Oh Tuhan, bantulah daku selalu melalui takdir dengan lebih baik.  Semoga bonda reda sentiasa kepada kami. Diri ini terlalu lemah untuk membalas segala jasanya.  Ya Allah, kasihilah dia seperti dia mengasihiku sewaktu aku kecil, mudahkanlah urusannya dan cukupkanlah keperluannya.  Sihatkanlah dia dan sembuhkan sakit-sakitnya.  Amin ya rabbal 'alamin.

5.  Saya memang selalu perasan begitu bersama Mak.  Dia marah-marah kemudian memujuk.  Dia bising-bising kemudian membelai.  Dia geram-geram kemudian mendodoi.  Dia bagai melukakan tetapi membubuh ubat paling mujarab kemudiannya.  Dia meluahkan tanpa penapisan, tetapi kemudian kami mula mengerti.  Mak memang begitu tetapi itulah mak.  Pokoknya, mak membuatkan saya perasan sayalah anak kesayangannya, suami saya adalah menantu kesayangannya dan anak-anak kami adalah cucu-cucu kesayangannya.

Hmm ... kali ini  ia mungkin betul dan bukan perasan.  Mak hanya ada saya seorang anaknya, suami saya seorang menantunya dan anak-anak saya empat orang cucu-cucunya.  Mengikut hukum akal, begitulah.  InsyaAllah. Sebenarnya memang begitu, sehingga hal titik bengik tentang kami, selalu mak sebut-sebut dan besar-besarkan, hehe ...  yang baik yang buruk yang masam masin manis lemak tawar pahit payau semua diadun lengkap sempurna.  Iyalah, kalau semua baik belaka, tipulah namanya tu.  Tak kisahlah mak ... kita memang sayang kat mak.  Dan kasihan pada mak.  Simpati dan sentiasa cuba memahami mak.  Orang lain tak faham, biarkanlah.  Orang lain menjauhkan diri, lantak dialah.  Orang lain pening kepala dengan mak, hmm ... ada pulak orang yang lain yang pening kepala kalau tak jumpa mak.  Tak pelik kan.

Sebenarnya, kami sudah ketemu 'kembar' mak kat Brunei ni.  Fiilnya sebiji tak tumpah dengan fiil mak.  Hobinya, kepoh-kepohnya, tak semua sisi sama tetapi bila bersamanya selalulah kami terkenang pada mak.  Hihi ...  Cuma parasnya tak macam mak, sebaliknya saling tak tumpah macam adik mak; Mak Lang Bidah di Rasah Jaya tu.  Jadi, watak klon mak ni bagai dua dalam satu.  Paras macam adik mak, sikap macam mak (sebenarnya macam adik mak juga).  Mak dan adik mak tu pun lebih kurang juga kan, dah adik-beradik namanya.

Semoga mak sihat selalu, abah juga.  Semoga ceria dan selalu menceriakan.  Apabila kita menggembirakan orang dengan perkataan yang baik, Allah juga akan menggembirakan kita dengan ucapan yang baik dari sisiNya.  InsyaAllah.

6.  "Mama, abang Hidayat tu tak takut anjing kan.  Dia lelaki sejati, kan mama!"
Dari tadi dia diam mendengar cerita si kakak yang diacah-acah anjing ketika pulang dari sekolah tengaharinya.  Dari dalam kereta menuju ke sekolah ugama, kami melihat anjing besar itu masih berkeliaran di tepi jalan raya.  Hidayat dengan semangat kelelakian yang menggunung mencelah dengan kisah dia berlagak berani dengan anjing.  Dia akan baling batu, dan anjing mengongoi-ngongoi melarikan diri ketakutan.

Tiba-tiba si adik yang sekadar memasang telinga mengucapkan demikian, nadanya yakin dan terselit kekaguman kepada si abang yang sudah dua kali gagal dikhatankan.  Semoga rencana ketiga kali untuk mengkhatankan si abang yang berumur 9 tahun ini pada cuti sekolah pertengahan tahun nanti berjaya, insyaAllah, bertemankan Alween budak Iban bukan Muslim itu (yang sudah tidak sabar-sabar untuk berkhatan seperti bapa dan abangnya).

Semoga Hidayat yang suka main perang-perang dan tembak-tembak benar-benar menjadi lelaki sejati yang membantu agama Allah dewasa nanti.  Semoga sehebat menantu Nabi SAW, Saidina Ali karamallahu wajhah yang melibas leher musuh dengan sekali libas pedang dua mata Zulfiqar.  'Tiada pedang selain Zulfiqar dan tiada pahlawan selain Ali'. Alhamdulillah, Muhammad Hidayatullah sudah naik al-Quran walaupun apabila abah suruh baca mukaddam, masih terkial-kial hanya menghafal di mulut yang lebih. 

7.  Didoakan sentiasa semoga Muhammad Naqib dapat meningkatkan penghafalan al-Quran dari satu muka surat sahaja kepada satu setengah - dua muka surat sehari.  Perlu ambil berat dan ambil perhatian terhadap kata-kata ustaz.  Usah merasa selesa dengan tahap  yang dicapai sekarang.  Mesti tingkatkan usaha dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh lagi.  Mama dan abah serta adik-adik sentiasa mendoakan kamu, insyaAllah semoga Allah memperkenankan dan memudahkan urusan kamu.  Mesti cuba dan usah memandang rendah kepada kemampuan diri.  Kamu adalah manusia yang Allah jadikan hebat, jangan memperlekehkan ciptaanNya iaitu diri kamu sendiri.  Kita semua mesti terus berusaha di jalan masing-masing sedaya mungkin.  Bersama saling mendoakan.  InsyaAllah semoga Allah membantu kita selalu.

8.  Juga didoakan sentiasa agar Amirah Hurilain dapat memasuki madrasah yang diintai-intai itu untuk pengajian hafalan al-Quran juga.  Semoga Allah memudahkan semua urusan sebelum, semasa dan sesudahnya.  Ya Allah, tolonglah dan bantulah kami dengan urusan ini.  Tidak ada tempat lain lagi untuk mengadu, hanya kepadaMu.  Sembuhkanlah dia, dan mudahkanlah dia.  Semoga hidupnya nanti berbahagia dunia dan akhirat.  Amin ya rabb.

9.  Si bongsu Hanessa memang semakin naik lemak pagi-pagi.  Dia tentu akan menangis berteriak, dengan mata yang enggan dibuka; tak mahu sekolah, tak mahu mandi, mandi dengan mama sahaja, atau tanpa alasan apa-apa.  Pagi ini dia ceria dan tersengih tertawa mempamerkan gigi hadapan atas yang rongak.  Semoga berterusan begitu di pagi-pagi berikutnya.  Dan tangisan semalam tidak berulang lagi, biarlah menjadi tangisan penamat di hari semalam.  Pagi semalam, saya naik hot dan melepuk bahunya (pelan je, tapi tangisnya beria-ia) diikuti ceceran seorang ibu yang perasan kelam-kabut.  Iya, sesekali kena bagi rasa sikit, kan.  Dalam pada menangis tu, masih meminta pakaikan stokin yang sudah senget sebelah.  Macam-macamlah, perangai orang bongsu.

Dalam pada itu, saya tentu teringat pesanan arwah abah dulu supaya jangan marah anak pagi-pagi, biarlah anak ke sekolah dengan hati ceria barulah dia dapat belajar dengan hati yang tenang dan lapang, dan mudahlah ingat dan faham pelajarannya.  Itulah yang arwah abah kata, ketika saya selalu kena marah dengan mak pagi-pagi lampau ketika terkial-kial pakai stokin sedang bas sekolah sudah menunggu di tepi jalan.  Tapi mak tetap akan mencecer juga.  Hehe ...

Jadi, saya dukung si bongsu yang baru mencecah 6 tahun ini menuruni tangga (tak penah-penah berdukung, dia diam je pulak tu), dalam hati berkata janganlah aku tersungkur jatuh tangga pulak.  Alhamdulillah, dia berdukung hingga ke kereta.  Mujur masih agak ringan dan rincing.  Tak le semangat sangat.  Akhirnya dia ke sekolah dengan senyuman ceria menayangkan gigi rongaknya itu.  Lambaiannya masih kelihatan ketika kereta abah sudah jauh.  Alhamdulillah, Hanessa ke sekolah dengan hati yang suka dan sudah lupa barangkali pada ocehan saya sebentar tadi, juga lupa barangkali pada tamparan kecil di bahunya itu.  Semoga dia dapat belajar dengan penuh tekun dan dapat menggarap ilmu yang disampaikan oleh gurunya, insyaAllah.  Oh ya dia sudah pandai membaca dan sangat suka melukis untuk dihadiahkan kepada mamanya.

Jumpa lagi, insyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing