Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 15, 2011

Tak mau cium!

Saya memikul beg kuning Hanessa dan memegang pergelangan tangan kanannya yang halus.  Mata pula dilontarkan sejauh-jauh pandangan sepanjang jalan ke sekolah tetapi bayang Hidayat sudah hilang.  Laju betul dia berjalan.  Mudah-mudahan dia berhenti seketika di pinggir jalan sebelum melintasi zebra corssing itu, supaya pemandu kereta pun ada peluang menghentikan keretanya.

"Kita melintas kat sini je." Saya menarik tangan Hanessa.  Kami berhenti di hadapan simpang, memerhati kiri dan kanan jalan.  Ada banyak kereta tetapi tidak terlalu laju, dan banyak pula yang memberi isyarat untuk masuk ke perkarangan Sekolah Rendah Muhammad Alam menurunkan anak masing-masing.  Sejenak, kami sudah berada di seberang jalan.

"Salam je!!" kata gadis kecil saya.  Dia enggan dicium.
"Mengapa?  Malu ke?"
Dia mengangguk-angguk.  Sudah beberapa kali dia bersikap begitu tetapi tidak saya perdulikan.
"Adik, kenapa nak malu?  Adik masih ada ibu yang nak cium adik.  Ada orang tak ada ibu tau."  Emo la pulak makcik ni. Saja je ... dia memang perlu tahu hakikat ini, kan.

Dia meronta kecil apabila saya tetap mencium kedua pipinya yang terasa dingin, kumat-kamit meniup ubun-ubunnya dan melabuhkan tangan kanan saya di atas kepalanya.  Saya peluk dia.  Gerammmm ...  Kemudian dia pun berpaling setelah melambai-lambai,

Saya terus berdiri macam model di atas laluan kaki, tidak memerhatikan sebarang kereta yang lalu tetapi terus melihat ke arah si kecil yang berjalan ke perkarangan sekolah.

Hanessa berlari-lari anak, hendak mendapatkan kawannya barangkali.  Tiba-tiba, "Ya Allah!" seru saya sendiri.  Saya nampak dari kejauhan, anak saya tersungkur di atas jalan tar.  Namun secepat itu juga dia bangun dan terus berjalan. Lagaknya seperti tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi hati saya berkata, tentu dia sedang menahan air mata dan perasaan malu yang membuak-buak.  Sudah ramai pelajar Prasekolah yang sedang duduk berderet di tepi pintu kelas, menunggu cikgu datang membuka pintu kelas.  Tentu mereka semua nampak kejadian tadi.

Saya terus berdiri.  Hati serba-salah.  Perlukah saya ke kelas Hanessa menjenguknya atau terus pulang ke rumah.  Biasalah tu, budak-budak jatuh bila berlari.  Biarkan je la ...

Kaki saya melangkah, hala ke perkarangan sekolah.  Menghampiri kanak-kanak prasekolah yang duduk di kaki lima itu, masing-masing memandang saya dengan pandangan yang ... saya tak pasti.  Tentu mereka sudah nampak bayang saya dan Hanessa dari tepi jalan tadi lagi.  Saya berikan senyuman, mata mereka yang indah menyejukkan hati.

Menghampiri kelas Hanessa, saya ternampak pula kelibat beg biru di dalam satu kumpulan pelajar di tepi longkang, berhampiran tangga naik ke tingkat atas.  Macam beg Hidayat!

"Dayat! Dayat!" Suara memanggil Hidayat sampai ke anak telinga.  Huh, tentulah si beg biru tadi tu Hidayat, dan kawannya sudah terpandangkan saya.  "Mama kau!"

Hidayat segera datang mendapatkan saya.
"Buat apa tu?"
"Ada labah-labah besar."

Hmm ... memanglah budak-budak namanya.  Sentiasa hairan dan penuh dengan perasaan ingin tahu. Labah-labah, katak, semut, belalang, apa sahaja ... namakan dan mereka akan mengenalpasti hingga puas.  Namun yang pasti belum pernah puas.  Terlalu banyak Allah Taala jadikan dan ciptakan makhluk di dunia ini.  Maha Besar Allah yang Maha Pencipta. 

"Mama datang tengok adik.  Tadi mama nampak dia jatuh."
Dengan "Oohhh ...", Hidayat mendaki tangga dan menghilang.

Kelihatan Hanessa sedang duduk berdekatan dengan pintu masuk.  Guru kelasnya pula sedang tunduk menyemak sesuatu di meja, nun di sana bersetentangan dengan pintu.  Saya terus capai tangannya, belek kedua tapak tangan.  Cuma ada sedikit kesan calar tetapi tidak berdarah.  Wajahnya ... wajah orang menahan tangis.  Tidak ada kesan air mata.  Tentu dia telah berusaha sedaya upayanya mengawal airmatanya daripada tumpah ke pipi.  Ya, tentu malu terjatuh begitu.  Ramai pulak orang yang ada.  Tentu empunya diri menyangka semua mata singgah melihatnya jatuh. 

Angguk tak geleng pun tak.  Pertanyaan saya sekiranya ada luka di lutut atau mana-mana tak dijawabnya.  Saya toleh ke arah cikgunya.  Cikgu sedang memerhatikan kami.   Cikgu tersenyum tatkala saya khabarkan hal Hanessa.  Mudah-mudahan Hanessa dapat belajar dengan baik dan ceria hari ini, seperti hari-hari yang sudah.  Andai dia kurang bersemangat, semoga cikgunya dapat membantu dia mengembalikan semangat yang mungkin hilang akibat terjatuh tadi.

Al Fatihah buat suami dan anak-anak; semoga hari ini terlebih baik dari semalam yang kita tinggalkan.  Semoga kita semua sentiasa di dalam limpahan rahmat Illahi yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Ya Allah, ampunilah kami dan tolonglah kami membaiki diri.  Tolonglah kami agar sentiasa tetapi di dalam agamaMu dan jalan yang benar yang Engkau redhai.

Catatan : sudah tiga kali membaca kitab Fadhilat Amal usai solat bersama anak-anak.  Memanglah ... tentu ada cabarannya.  Bayangkan, membaca di celah-celah anak-anak yang sempat bertelagah ... uhhh gerammmm!  Semoga dapat meneruskan apa yang telah dimulakan.  Insyaallah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing