Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 1, 2011

Mama jadi cikgu

As salam.

"Eiii Baby suka!!!" jeritnya sambil tertawa kecil.  Dia melompat-lompat keriangan.  Sebentar kemudian Hanessa duduk semula di bangku kayu bulat di sebelah saya, meminta lagi latihan seterusnya.  Tengahari tadi sebaik sahaja sampai di rumah, dia mengunjukkan sekeping kertas bertaip.  Rupa-rupanya kertas itu adalah surat dari sekolah menyatakan peperiksaan penilaian 1 bagi tahun 2011 akan bermula esok (hari ini baru nak bagi surat!!) beserta jadual peperiksaan.  Terasa rajin, saya tiru soalan-soalan dari buku kerja Matematiknya, disalin semula dengan tangan ke atas buku kosong saiz A4.  Nah, seronok sakan dia rupanya.  Kami duduk di meja belajar; dia membuat latihannya dan saya membaiki bab tiga Sakinah berdasarkan pembaikan dari Sifu Az yang sudah dicopy-paste ke Words 2007. 

Sekejap-sekejap dia bertanya.  Tanya dan terus bertanya.  Seperti tidak yakin dengan jawapannya. 

"Okay, macam ni.  Kita pura-pura macam kat sekolah.  Mama jadi cikgu, Adik jadi murid."  Saya mahu dia cuba menjawab sendiri sedaya-upayanya (sebenarnya kurang suka menggunakan perkataan 'pura-pura').  Semua latihan itu sudah dibuatnya dengan guru di sekolah.  Saya hanya mahu melihat kefahamannya sahaja. 

Hanessa angguk kepala.  Dia mula berlagak seperti murid dan saya sebagai guru. 

"Mama .. mama .. eh, cikgu! Ni macamana?"

"Syyyhhh ... kan kita pura-pura macam kat sekolah.  Kalau dalam periksa mana boleh murid tanya cikgu macam ni."

Hanessa terdiam.  Sudahlah tersasul, kena tegur pula dek 'cikgu' ni.

Sebenarnya saya agak terganggu kerana kosentrasi kepada bab tiga selalu diputuskan oleh gadis kecil ini.  Ah, satu ketika dia akan membesar dan meninggalkan saya.  Jadi apa salahnya ketika masa itu belum menjelma, saya layani sahaja kerenahnya dengan sebaik mungkin ... Lalu saya pun melayaninya lagi, "Adikkk ... " Tentu sahaja saya mahu memberikan teguran seterusnya.

"Ehh ... mana boleh panggil Adik!  Mesti panggil nama!" kata gadis kecil saya.  Dia sangat seronok melihat saya betul-betul berlagak seperti seorang guru tetapi sudah tersasul sama.

"Mmm ... Hanessa.  Cikgu tak boleh beri jawapan.  Hanessa mesti cuba jawab sendiri.  Nanti, kalau salah cikgu ajar macamana nak jawab yang betul, yaaaa ..."  Wahh ... saya sudah diserapi aura seorang guru yang sangat dedikasi, penyabar dan penyayang kepada anak muridnya.  Pada masa yang sama ekor mata saya masih menjeling kepada skrin laptop. 

Selepas satu siap, Hanessa menyuruh saya menanda jawapannya dan dicop dengan cop 'GREAT!' yang saya beli ketika Rohith belajar dengan saya dulu.  Dia juga mahu saya tuliskan markah latihannya.  Dia benar-benar menikmati sesi pembelajaran singkat bersama saya.  Dan saya pula dapati ada banyak latihan yang kurang difahaminya.  Kemudian dia mula mengerti selepas latihan yang sama di dalam buku kerja itu saya tulis semula untuk diselesaikannya. 

Saya teringat  petua-petua Kumang Gawai, seseorang di alam siber yang telah berkongsi pelbagai informasi berguna sekitar sepuluh tahun lepas.  Ketika itu kami masih menetap di TTDI Jaya, Shah Alam.  Belum ada FB dan blog. 

Antara kaedah Kumang Gawai untuk menarik perhatian anak-anak agar gemarkan latihan dan pelajaran adalah dengan memberikan latihan on the spot yang ditulis sendiri.  Anak-anak akan sangat menghargai penat jerih tangan anda menulis latihan untuk mereka.  Anak-anak berasa dihargai dan diberikan perhatian oleh anda.  Insyaallah tentu mereka akan cuba sedaya upaya menyelesaikannya, biarpun latihan itu sekadar latih tubi yang mudah.  Telah pun terbukti kepada Hanessa.  Cuma mungkin ada kekangan dari segi kesempatan dan masa untuk kita melakukannya selalu (biasa la tu ... alasan memang banyakkk.

Ada banyak lagi kaedah yang dikongsikan oleh saudar Kumang Gawai, yang saya cetak dan simpan di dalam fail.  Terima kasih kepada Kumang Gawai di atas informasi berguna tersebut.  Semoga saudara dan keluarga sentiasa sihat dan diberkati Allah selalu. 

Hidayat juga sempat saya berikan dua latihan.  Tetapi dia seperti kurang sihat.  Jadi dia diberi pelepasan untuk berehat awal selepas makan ubat batuk dan selesema.  Semoga esok pagi Hidayat akan lebih segar dan ke sekolah seperti biasa untuk sama-sama menjalani peperiksaan bersama kawan-kawannya.  InsyaAllah.

Cuma yang kurang menyeronokkan saya, ketika saya 'sibuk-sibuk' bersama Hidayat dan Hanessa, si kakak juga 'sibuk-sibuk' dengan matanya di atas tilam empuk, di dalam bilik yang dingin sambil lagu Maher Zain menjadi halwa telinganya.  Amboiii ...!!!  Ini sudah lebeyyyy ni!  Mentang-mentang tak ada homework, study pun tidak.  Mentang-mentang mama sibuk jadi cikgu sekejap, kakak sudah ambil kesempatan pula ya!

"Dah! Dah! Bangun sekarang, pergi ambil wuduk dan solat Isyak.  Lepas tu kemas buku dan siapkan tempat tidur adik-adik."  Satu nafas.  Si kakak terkebil-kebil, terkejut separuh mamai mendengar saya menjerkahnya.  Ish ish ish ... cikgu sudah jadi garang!

Saya berlalu ke meja belajar.  "Tak bergerak lagi, siap!!!"  kata saya memberi amaran.  Sebentar kemudian ekor mata saya menangkap bayang kakak menghampiri.  Dan sejenak saya mengizinkan telinga mendengar luahan hati anak gadis yang sedang menuju remaja ini tentang teman-temannya di sekolah, tentang teguran guru PE agar dia mengawal berat badannya, juga tentang seseorang yang seperti agak istimewa padanya. 

Teruskan bercerita, usah sembunyikan apa-apa.  Dan Hurilain terus bercerita.  Hatinya menjadi lapang walaupun seketika sepasang matanya kemerahan.  Tak mengapalah, teruskan bercerita.  Itu semua rencah kehidupan.  Kita manusia, sentiasa menjalani proses sosialisasi.  Binalah jati diri sejati seorang gadis solehah yang bertakwa.  Ingat Allah selalu, semoga Allah mengingatimu dan memeliharamu selalu, wahai anak.

Wassalam.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing