Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 22, 2011

Lohh udah 40!

Wanita Temboro berkaca mata menghadiahkan saya senyuman mesra. Saya pun tersenyum juga, mukaddimah perkenalan.  Kami sedang menanti bayan dari ustaz di sebalik dinding sana; kami baru selesai dengan majlis taklim.

Wanita berpakaian labuh serba gelap ini mula menanya saya; siapa nama, siapa nama suami, tinggal di mana, sekolah di mana, tak sekolah ke ... lebih kurang itulah soalannya.  Saya menjawab, macam la dia tahu benar selok belok kawasan Seria ni.  Hihi ... ye lah, dah ditanya, jawab je.  Hurilain di sebelah kelihatan resah, mengantuk la tu.

Pelik juga apabila dia menanya nama si abah.  Lalu dia memperkenalkan dirinya; Ibu Nizam.  Rupa-rupanya budaya orang sana memanggil wanitanya dengan nama suami.  Jadi, saya ni Ibu Meon (keh keh keh ... Ibu Meon ya pak ya!!).  Ohh ... saya mengulum senyum je.

"Berapa umur?" tanyanya.

"Dia baru tiga belas tahun," jawab saya.  Wanita ini kelihatan tercengang.  Ohh biasa la tuh, bila saya memberitahu usia Hurilain.  Orang selalu menyangka dia sudah pertengahan remaja atau pra dewasa.  "Belum haid," bisik saya.  Lagi tercengang dia.  Anak saya masih sunti yang belum menanggung tanggungjawab.

Lalu dia berkata, "Lohh, kamu berapa orang anak?"
"Empat.  Dua pasang."
"Aku kira kamu masih belajar!"
Saya pula tercengang.  Kini saya baru menangkap ketercengangannya seketika tadi.  Dia menoleh kepada temannya di sebelah, "Aku kira dia masih belajar ..."  Dan dia terus menanya usia saya.
Lurus sahaja, "Saya sudah 40."
"Lohh, rupanya muda bangat.  Umurnya sudah 40!" katanya lagi kepada temannya sambil menepuk-nepuk mesra tangan saya dengan tersenyum lebar.  Saya pun hilang rasa cuak serta-merta.

Saya sudah empat puluh tahun.  Kepada anda yang lebih muda dari saya, saya adalah kakak atau makcik anda.  Hari lahir ke 41 bakal menjelang tiba.  Mengikut ukuran usia Rasulullah Sallalah alaihi wa salam, baki umur saya sekitar 24 tahun sahaja lagi, mungkin kurang.

Sebenarnya wanita Temboro itu sedang menyaksikan silap mata.  Ruang tempat kami duduk disinari cahaya lampu kuning yang melimpah dari lampu yang indah.  Jadi matanya telah tersilap pandang.

Buat pengetahuan semua, saya dikelilingi wanita-wanita serba hitam (melainkan tetamu dari Temboro dan tuan rumah yang berpakaian lebih santai).  Di pertengahan majlis, muncul dua wanita dari Bangalore dan Pakistan.  Salah seorangnya sangat indah parasnya.  Wanita-wanita di  sini semuanya menutup wajah dengan cadur hitam.  Apabila cadur diangkat, terserlahlah seraut wajah.  Saya perhatikan wajah mereka jernih, bersih dari noda dunia, dan indah bercahaya; nampak begitu segar dan muda; walaupun saya anggarkan usia mereka tidak lebih kurang saya andai dinisbahkan kepada umur dan bilangan anak-anak mereka.  Tidak ada jeragat dan jerawat.  Terkadang nampak agak letih, tetapi tetap tekun mendengar, tetap manis muka dan tenang.  Sesekali kedengaran suara-suara perlahan mengucapkan selawat ke atas nabi, istighfar, bertasbih dan bertahmid bersesuaian dengan para yang diperdengarkan.

Saya juga diresapi ketenangan berada bersama mereka.  Rumah banglo tempat kami singgahi ini bak istana, tetapi tidak ada riak keangkuhan di mana-mana.  Di sini, mereka dan saya datang dari arah yang berbeza, bertemu untuk mendapatkan ilmu buat menjadi cahaya di hati.  Bersama mereka, saya menyelami suasana asli dakwah awal Rasulullah sallallah alaihi wa sallam bersama para sahabat.  Kami mendengar mafhum firman Allah Taala, hadis dan hikayat para ulama untuk membangunkan iman di hati.  Semuanya bertujuan hanya satu, iaitu Allah Taala.

Salah seorang muslimah Temboro yang duduk paling depan berdekatan dengan speaker, mengetuk lantai memberi isyarat pihak wanita sudah bersedia.  Bayan pun bermula.  Suara ustaz kedengaran dengan jelas, tetapi nadanya perlahan.  Satu persatu ayat disusun.  Sesekali kedengaran slang Indonesia.  Tentu jemaah lelaki dari sana juga.  Mereka datang berpasang-pasangan.  Alhamdulillah, mata saya segar sehingga ustaz membaca doa di akhir bayan (di luar kebiasaan; kerana saya sangat mudah mengantuk sebenarnya ...)  Semua pengisian sangat menjawab persoalan dan memberi dimensi baru kepada pemikiran saya.  Lalu saya terimbas di zaman persekolahan dan zaman di ITM Melaka.

Saya pernah bertemu dengan Ustaz Idris Ahmad, salah seorang pensyarah saya di ITM Melaka dulu.  Saya pernah ditanya oleh Ustaz Lokman Hakim; sekiranya ada persoalan yang mahu dikhabarkan.  Cikgu Zainal Abidin di STS selalu saya temui untuk menanyakan tentang buku rujukan Kimia, seterusnya beliau menyampaikan tentang Saidina Ali kwj. dan Ahlul Bait semuanya.  Di kutubkhanah Canossian Convent yang diceritakan ada mayat diawet di ruang bawah tanahnya, saya mencari buku-buku tasauf dan sufi, yang kini baru saya kenali istilah Israelliyat.  Di UKM, saya 'bergelandangan' bersama kawan-kawan berpurdah juga, merata-rata.  Sempat juga berpurdah sehari dua cuma, sebelum purdah itu lenyap di rumah.

Sebenarnya itu hanya sebahagian dalam pencarian.

mereka yang itu
aku
mereka yang ini

mereka yang ini dan aku
mereka yang itu dan aku

perjalanan hanya satu

Apakah pencarian sudah menghampiri pertemuan ...?

Wallahua'lam.  Apa yang pasti, ilmu mesti dicari.  Iman mesti diusahakan.  Macam kata ustaz dalam bayan tadi, suami tidak dapat menambah iman isteri.  Ibu bapa tidak dapat menambah iman anak-anaknya.  Perihal hati, hanya Allah yang berkuasa melakukan perubahannya.  Kita semua adalah pembantu ugama Allah.  Di mana pun anda berada; tukang sapu sampahkah; isteri di dapurkah; doktor di dewan bedahkah; angkasawan di bulankah; di mana sahaja; peranan anda tetap sama.  Pembantu kepada agama Allah.  Jadi, kita perlukan kepada usaha, dan natijahnya pada Allah Taala.  Usaha itulah yang dinilai oleh Allah Taala.

Hati saya lapang dan mata saya berkerdip tenang sepanjang bayan tadi.  Walaupun pagi tadi saya terjaga jam 330 pagi, alhamdulillah. Bagi saya ini satu keajaiban dan bantuan dari Allah Taala.  Dia membantu saya bertenang dan memasang telinga dengan sebaiknya, walaupun macam selalu hati berbilur-bilur simpang siur apabila ia berkata-kata sendirian.  Hatiku oh hatiku ...

aku dan mereka
mereka dan aku

kita sama sahaja

tetapi berbeza

tahap iman dan taqwa


bersama menuju keselamatanNya

kasihNya
redhaNya
hari abadiNya
pengampunanNya
pimpinanNya

dan syafaat kekasihNya

Rasulullah penghulu dan cahaya.

Insyaallah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing