Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, March 2, 2011

Hadir yang pertama


As salam.

F13, rumah nombor 4.  

“Mana ni?  Salah nombor kot.”  Saya berpusing-pusing beberapa kali, mana mungkin tuan rumah tersilap nombor rumahnya sendiri. Ishh!

Masuk lagi ke lorong yang sama dan alhamdulillah akhirnya tiba di perkarangan rumah Kak Ti.  Inilah rumah yang dari kejauhan sudah terlihat tadi, tetapi tak menyangka pun ia rumah Kak Ti.

Hampir 10 buah kereta pelbagai jenis bersusun lebih kurang di jalan tar hitam menyusur ke pintu rumah Kak Ti.  Saya menjenjeng beg plastik berisi tiga jenis kuih yang dibeli di klinik Seria sebentar tadi ~ tempat paling mudah nak beli kuih.  Tanpa mematikan enjin, saya meluru ke dalam klinik memeluk beg sandang (tak sempat  nak sandang), dan kabel headphone laptop (dengar Nur Islam dari hp) bergulung di tangan bersama telefon bimbit.  Huh, looks complicated this woman!  Tapi pasti ada wanita lain yang lebih complicated dari dia ni.

Sudah pun jam 9.  Majlis ilmu tentu sudah bermula.  Saya tiba di pintu masuk banglo setingkat yang sedikit renggang itu hampir jam 9.30 pagi.  Telinga menangkap suara-suara wanita tanpa mengecam buah butirnya.  Arghh ... saya terlupa memberi salam di luar pintu.  Mata pula terpaku kepada meja bulat dengan pasu besar yang menyambut sebaik sahaja saya meloloskan diri di celah pintu putih itu.  Lupa ... lupa ... masyaAllah.  
  
Wanita-wanita dalam 10 orang mendongak memandang saya sekilas.  Saya terus duduk di sisi  wanita paling hampir.  Mereka membuat bulatan bujur, dan seorang wanita muda berwajah kacukan sedang memberikan pengisian.  Terkulat-kulat. Wanita di sisi menoleh lalu saya hulurkan tangan untuk bersalaman.  Kemudian saya duduk senyap, memasang telinga.  Kelihatan majlis ini tidak terganggu dengan kehadiran makcik yang lambat setengah jam. Alhamdulillah.   

Beberapa ketika kemudian, seorang wanita berjubah dan bertudung labuh serba hijau pucuk pisang pula mengambil alih majlis.  Ohh dia Kak Ti rupanya.  Bertemu di waktu malam tempohari, membuatkan saya tidak cam wajahnya.  Lantas Kak Ti memperkenalkan saya secara ringkas kepada tetamu yang lain.

Kak Ti meneruskan dengan tazkirahnya.  Laptop yang tersedia ditekan, dan muncul slide demi slide dengan tajuk Fiqh Ad-Din, iaitu tajuk pengisian semenjak beberapa minggu ini untuk refreshing dan memberikan saya gambaran sepintas lalu apa yang telah mereka bincangkan.  Antaranya adalah hadis 40 dari Imam Nawawi, dari Saidina Umar r.a. berkenaan kedatangan Jibril ke majlis Rasulullah SAW sehingga bertemu lutut dan bertanyakan tentang Islam, Iman dan Ihsan kepada baginda SAW.  Hadis ini baru disebutkan oleh juruhebah Nur Islam ketika saya dalam perjalanan tadi.   

Hati mula rasa terikat.  Terpikat.  Terpesona juga ada.

Seketika, majlis pun disudahi dengan Ummul Kitab dan surah Al-Asr.  Wanita di sisi saya yang aktif bersuara di dalam perbincangan tazkirah tadi menoleh dan berbicara kepada saya.  Saya amati seketika.  Ohh patutlah macam pernah tengok tahi lalat besar di batang hidungnya itu.  Dialah Kak Hawa, ibu kepada Hussein dan Ali yang memperkenalkan Muhammad Naqib kepada ayah mereka tempohari.  Saya telah pun ke rumahnya, ada saya catatkan dalam entri sebelum ini.  Tetapi kali ini hilang daya pengecaman saya terhadapnya.  Kami terlalu hampir duduk bersebelahan, dan dia memakai pakaian serba hitam.  Hari tu, saya melihatnya dari hadapan.  Ada meja di tengah-tengah kami.  Dan dia memakai tudung labuh berwarna ungu berbaju kurung.  Berbeza benar penampilannya kali ini.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya menghadirkan diri ke majlis ilmu ini.  Kata Kak Ti yang teramat iras dengan Kak Ina ( jiran sebumbung di rumah Sijangkang tapi telah berpindah ke Batu Pahat), kelas ilmu akan diadakan setiap hari Rabu jam 9 pagi.  Dia lalu menjemput saya agar mengikuti majlis ilmu ini, yang saya terima dengan lapang dada dan hati terbuka.  InsyaAllah, inilah yang saya cari-cari selama ini.   

Teringat pesanan My Akak tersayang semasa kami bakal berangkat ke sini setahun yang lepas ~ agar berusaha membaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.  Walau hampir setahun berada di sini, dengan kenalan lama semuanya berada jauh di Bandar Seri Begawan, tanpa disangka-sangka anak-anak ~ Muhammad Naqib, Hussein dan Ali ~ telah menjadi asbab pertemuan kami dengan muslimah dari tanahair.  Betul kata abah Naqhuhines; ada ramai warga Malaysia di kawasan kami tinggal, hanya belum diizinkan oleh Allah. Akhirnya bertemu jua, alhamdulillah.

Kini, jadual hidup saya semakin terisi.  Menunaikan kewajiban menguruskan waktu untuk diri, suami dan anak-anak.  Sedikit untuk menulis novel Sakinah.  Sedikit untuk majlis ilmu setiap Rabu dan Ahad (insyaAllah bersama Kak Hawa pula).  
.
.
.
.
.
.

HAHHH??
Oh Tuhanku, dah 12.30!! Nak ambil Hidayat dan Hanessa di sekolahhhhh ...
Noktah.


Sambungan ~ Perpustakaan Seria yang teramat sejukkk ...
 
Kesempatan mengikuti usrah hanya semasa di ITM Melaka dulu.  Bersama Kak Yan, Raihan, Zam dan Hisan.  Serta usrah dalam Kelab ADASI.  Di UKM, tak ada masa untuk berusrah.  Pun hanya seketika di kolej.  Selebihnya mendiami rumah sewa sebelum menangguhkan pengajian atas alasan kesihatan (Nephrotic Syndrome, dan keguguran tiga bulan kandungan).  

Alhamdulillah.  Semoga hijrah kali ini lebih besar manfaatnya untuk kami sekeluarga.  Bukan sahaja manfaat duniawi, bahkan yang lebih utama adalah untuk ruh ukhrawi.  

* Tanpa sebab tidak akan ada akibat.  
* Terlebih baik menghidupkan jiwa dan menerangi hati dengan cahaya Illahi, jauh lebih baik daripada pesona duniawi yang hanya sementara ini.
*  Perlu memandang hidup dengan konsep yang benar yang diajarkan oleh Allah dan RasulNya.  Semua itu sudah disediakan di dalam kitab al-Quran dan diiringi dengan sunnah baginda Rasul.

Marilah keluar daripada kelompok orang-orang yang rugi dan leka.  Berhijrah kepada golongan yang sentiasa mengingati Allah, sentiasa membaiki diri; takutkan balasan neraka dan mengharapkan ganjaran syurga.  

Hidupkan hati dengan iman.  Segarkan hati, jangan biarkan ia kosong dan sunyi dari ingatan dan rindu kepada Allah.  Marilah ... sementara masih ada kesempatan dan masa untuk berbuat demikian.  Dikhabarkan malaikat Israfil sudah duduk bersila dan meletakkan trompet sangkakala di bibirnya, sekadar menunggu perintah Allah untuk meniup sekuat-kuatnya di suatu Jumaat.  

Apabila tiba ketika itu, sudah tidak berguna pernyataan iman ...

Wassalam.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing