Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, March 1, 2011

Ain jadi MP

Allahuakhbar, mengantuknya mata!  Lagi duduk di pekan Seria, lagi lembab coverage hingga sempat jadi tenggiling terlelap sambil duduk mengadap laptop tempohari. 

As salam.

Saya baru mahu melangkah keluar pagar untuk menjemput Hidayat dan Hanessa, sudah jam 12.32 PM.  Sampai di sekolah tentu anak-anak sekolah sudah bertebaran dan kereta ibu bapa sudah berderetan mengambil anak masing-masing.  Tiba-tiba ekor mata menangkap susuk Hurilain dari celah-celah rimbunan pohon di sepanjang pagar rumah.  Anak gadis saya yang hitam manis muncul dengan wajah berseri-seri.  Terus dia memberi salam dan menghulurkan tangan bersalaman.  Kemudian dihulur pula sepucuk surat berwarna coklat, "Ma, Ain jadi MP!!" katanya dengan senyuman lebar di bibir.

Surat itu saya belek.  Ada tulisan Urusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atasnya, tanda ini adalah surat rasmi.  Surat itu bertajuk Lantikan Sebagai Majlis Pelajar Sesi 2011/2012.  

'Yang Mulia,
Dayang Amirah Huril'Ain Binti Hasmeon
Tahun 7E
Maktab Anthony Abell

Dengan penuh hormat dan sukacita dimaklumkan bahawa Dayang telah dilantik sebagai Komiti Disiplin / Rondaan, Majlis Pelajar sesi 2011/2012. ...' antara bunyi pembukaan surat ini.

"Tahniahhh!" ujar saya pula.  Nampaknya hasrat Hurilain mahu menjadi komiti Majlis Pelajar telah tercapai.  Khabarnya hanya dua pelajar dari Darjah 7 yang terpilih, termasuk dia.

Hujung minggu lepas, dia memberitahu begini; "Mama, nama Ain tak ada dalam short list MP."  Nadanya seperti orang kecewa.  Saya hanya menyabarkan.  Katanya lagi menyambung, "Harap-harap nama Ain ada la dalam senarai panjang MP ...", dengan nada sangat mengharap.  Tak faham lagi makna senarai pendek-senarai panjang.  "Tentulah nama Ain ada dalam senarai panjang ..." sahut saya, rasa gelihati.  Mujur dia tak merajuk melihat saya tergelak.

Dia memilih komiti disiplin, mengikut saranan si abah yang dengan bangga mengulang nostalgianya di zaman persekolahan dulu menjadi AJK Disiplin di STS Segamat.  "Cikgu pun minta abah selesaikan masalah pelajar.  Pelajar Cina yang samseng pun gerun dengan abah." Tak baik, ujub tu tau.  Kisah lamaaa ...

Saya memikirkan mengapa si hitam manis saya ini mahu menyertai MP?  Mahu glamourkah dia? Mahu menonjolkan dirikah dia?  Atau dia sudah mula memupuk jati diri dalam barisan kepimpinan?  Atau dia memang bercita-cita tinggi?  Atau apa??  Saya tertanya-tanya.

Dia ada bercerita kisahnya membawa aduan tentang pelajar nakal kepada guru disiplin tempohari.  Dia juga menceritakan dialog-dialog bersama cikgu-cikgunya, baik di sekolah pagi mahupun di sekolah petang.  Mmm ... nampaknya seperti dia lebih matang, lebih menonjol dan berani ke depan berbanding rakan-rakannya yang lain.  Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa menunjuki si hitam manis ini kepada kebaikan dan keredhaanNya.

Terdetik pula kebimbangan andai rencana saya bakal tergugat nanti.  Mungkinkah hati si hitam manis akan tawar untuk ke madrasah tahun hadapan?  Perlu istikharah terus.


Saya pun meneruskan perjalanan menuju ke sekolah.  

Beberapa orang pelajar yang kelihatan sebaya dengan Hidayat menunjuk ke satu arah sambil menyebut namanya.  Kelihatan Hidayat sedang terduduk di kaki lima sekolah. Nampak letih benar.  Tentu dia terlalu banyak batuk di sekolah tadi.  "Ma ... bawakkan beg.  Tak larat la." Saya ambil beg birunya dan sandang ke bahu kanan.  Hanessa sudah berada dekat pagar sekolah, mungkin tercari-cari saya pula.  Dia terjerit kesukaan sebaik sahaja terpandangkan saya.  Kami melintasi zebra crossing bersama-sama.  

"Ma, beg Baby berat.  Mama bawakkan boleh ..." kata Hanessa pula.  Tanpa soal jawab, beg kuningnya saya ambil dan sandang ke bahu kiri pula.  Mmm ... rugged jugak bawak dua beg sekolah biru dan kuning di kiri dan kanan bahu.  Namun sekejap-sekejap mahu melorot sahaja.  Saya tunduk berjalan.  Anak-anak mengekor di belakang, kekadang berlari ke depan.  Kami menyusuri batuan pejalan kaki berwarna merah hati menghala ke simpang kecil laluan ke rumah.  Begitu banyak kereta mengensot menanti mahu masuk ke kawasan sekolah di sisi kami.  Tak perlu diperdulikan.  Tetapi rasanya semua memandang kami bertiga.  Begitu juga di jalan kecil laluan ke rumah.  Ekor mata perasan, orang dalam kereta, si emak memandang, si anak-anak di belakang memandang.  Semua pandang.  Pelik agaknya melihat orang berjalan kaki di sini ketika kereta berharga murah dan mudah dibeli, mudah ditukar silih berganti.

Saya pula suka hati dapat menapak ke sekolah.  Hanya lima minit sekali jalan sudah sampai.  Pergi balik sepuluh minit sahaja.  Memang tak berbaloi nak menguruskan badan dalam sebulan.  Mungkin makan setahun baru turun sedikit agaknya.  "Mau ke mana Lai?" tanya seorang wanita yang agak berumur dari dalam pagar rumahnya, tatkala kami berpandangan dan saya lantas memberi salam.  Alai atau Lai adalah gelaran manja untuk kanak-kanak atau orang muda di sini.   Sudah beberapa kali pula saya ditegur sebegitu.  Ah, membuatkan rasa muda gamaknya.  "Kan mengambil anak." sahut saya.  Seketika pulang, wanita yang sama menegur pula bertanya rumah kami.  Dia memandu kereta, di sebelahnya ada kanak-kanak lelaki di dalam uniform coklat cair seperti Hidayat.  Bertukar senyum lagi.  

Cukuplah sampai di sini ... sebuah entri yang tak ada kesimpulan.  Sekadar  sedikit catatan.  Mau tidur daa ... mata sudah kelat terpisat-pisat.  Salam selamat malam.  Jumpa lagi. Wassalam.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing