Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, February 19, 2011

Saya mengunci semua pintu kereta.  Aduhh ... kasut saya memijak rumput basah dan tanah hitam yang lembik rupanya.  Terasa sedikit air meresap masuk ke kaki. 

Hati menduga-duga, insyaAllah laptop saya akan selamat di bonet.  Tak sesiapa tahu dan sangka, fikir saya.  Tetapi hati yang sama menasihati sendiri.  Usah terlalu pasrah.  Eloklah saya kuncikan kenderaan ini dengan rapi dan sesudah itu bertawakkal kepada Allah.  Bukankah itu lebih afdal?

Dari kejauhan mata menangkap kelibat anak-anak berpakaian t-shirt ungu hitam berlari-lari di kawasan rumah panjang (panggilan untuk tempat makan) dan kantin.  Mata pun meliar memerhati puteri hati.  Tiba-tiba si anak menerpa dengan senyuman lebar, selebar tangan yang mendepa luas lalu dia memeluk saya.  Ada dua anak perempuan sebayanya berpegang-pegang tangan, tersenyum-senyum di belakangnya.

Saya kenal anak-anak perempuan itu.  Mereka dua gadis kecil yang sama yang saya suapkan pada satu hari kelmarin.  Waktu Hanessa memesan dengan sungguh-sungguh agar saya muncul di kantin bersama mee goreng segera. 

"Nina dan Jenny dah kawan Adik!"  katanya sungguh-sungguh ketika saya menjemputnya tengahari itu.

"Baguslah."  kata saya, senang hati.  Selalu dia mengadu orang itu dan orang ini tak mahu berkawan dengannya.

"Dorang kata mee mama sedap.  Dorang suka.  Kitorang dah macam adik-beradik, kan."  mulutnya terus berbicara petah.  Ceria sungguh dia.

Itu kali pertama.  Nampaknya hari ini berulang lagi.  Dulu mee goreng segera itu cukup banyak untuk Hanessa seorang.  Dua bungkus saya siapkan untuk abangnya Hidayat juga, yang melenting-lenting entah ke mana.  Jadi kerana banyak, saya fikir tak mengapa anak-anak comel ini menjamahnya sama.

Hari ini, mee goreng itu sedikit sahaja.  Hanya sebungkus.  Namun anak-anak ini sudah mencega saya bersama senyuman mereka yang sungguh manis itu.  Demikian tulus dan jernihnya hati dan perasaan mereka terhadap saya. 

Dan saya pun duduk sambil menyuapkan tiga mulut comel yang menganga, seperti anak-anak burung yang kelaparan.  Ketika hampir habis, barulah Hidayat muncul di belakang saya dan berebut-rebut untuk sama disuapkan.

"Aku mahu beli air.  Tetapi aku tidak ada duit."  kata Nina, selesai makan.  Bekas mee sudah licin tidak ada sehelai pun yang tinggal. 

"Kenapa?  Mamamu tidak beri wang?"  tanya saya dengan loghat Brunei.  Sama anak-anak hamtam aje la, cakap orang sini. 

Nina mengangguk-angguk.  Senyum lagi.  Jenny saya renung.  Dia sedang memegang sekotak air laici berwarna merah.   Wajah Jenny amat mengingatkan saya kepada Wan Nawal Jamilah, anak saudara saya yang sebaya Hurilain.  Ada tahi lalat di pinggir bibirnya sebelah kiri menghias wajahnya dan menambah manis senyumannya. 

"Kau mahu wang?"  tanya saya lagi.  Orang sini tak mengira usia menggunakan 'aku-kau' berbanding 'saya-awak' untuk berinteraksi, termasuk di dalam kelas juga antara guru dan murid, macam kata Hurilain.

Nina angguk-angguk lagi.  Senyuman terus terukir.  Dia seperti malu-malu.

Saya buka dompet dan hulurkan wang siling 50sen ke tangannya.  Dia dan Jenny segera berlari ke arah kantin. Hanessa terkinja-kinja mengekori mereka.  Sebentar kemudian Nina dan Jenny muncul semula.  Di tangannya ada peket plastik hirisan kentang goreng.  Hanessa menonyohkan hirisan kentang goreng di tangannya kepada saya. 

"Eh, kau kata mahu beli air!"  kata saya.  Hairan melihat anak-anak ini.  Nina tertawa-tawa, separuh berjoget di hadapan saya.

Hmm anak-anak ... tetap anak-anak walau di mana berada.  Namun anak-anak ini sentiasa manis dan ceria.  Awal kehidupan yang selalu dihiasi pelangi indah. 

Andai anda berhati gundah, hampirilah anak-anak.  Tatapilah wajah mereka yang jernih tanpa dosa.  Nikmatilah senyuman mereka yang penuh tulus.  Mata yang bundar berkilau itu adalah hati mereka yang bersih.  Tiada prasangka.  Tiada duka.  Tiada kecewa.  Semoga anda dapat tersenyum lagi. 

InsyaAllah.

Teringat kata Hanessa, "Kita dah macam anak-beranak, kan mama."  Kami bertukar senyum, puas.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing