Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, February 2, 2011

Kenalan Baru

Salam.

Hari-hari nan berlalu adalah lebih baik dari hari-hari yang ditinggalkan.  Alhamdulillah.  Allah Yang Maha Pengasih, hanya kepadaNya dipanjatkan kesyukuran di atas kurniaanNya yang berpanjangan.

Semalam, Isnin, adalah hari yang tenang dan dingin (hujan lagi).  Saya ada temu janji dengan Hajah Aimi yang ditemui semasa makan ambuyat kelmarinnya.  Dia akan memberi saya urutan terapi pada jam 8 pagi.  Hujan turun dan Hajah Aimi hadir lewat setengah jam kerana berkemas untuk perjalanan jauh ke Kundasang nanti.  Fuhh, lega apabila tubuh mendapat urutan yang nyaman menggunakan minyak yang harum baunya.  Memang ada bahagian yang memang sudah sakit dan ada juga yang baru terasa sakit apabila diurut, bermakna ada yang tidak beres pada urat-urat saya (sudah sembilan bulan tidak mendapatkan urutan).  Alhamdulillah, selepas satu jam 15 minit, urutan selesai.  Saya juga diberikan petua mudah untuk memanaskan badan (kerana tubuh saya selalu kesejukan).  Anda pun boleh membuatnya iaitu ;
  • tujuh keping asam jawa (asam jawa Brunei paling baik)
  • tiga helai daun sirih
  • halia muda sebesar ibu jari tangan
  • kunyit sebesar ibu jari tangan
  • air dua gelas
Rebus bahan tersebut sehingga menjadi segelas dan amalkan dua kali sehari setiap hari semasa masih suam.  InsyaAllah, mengeluarkan angin di samping khasiat lain dari daun sirih dan lain-lain itu (harap rujuk ke bahagian petua untuk maklumat lebih lanjut.)

Untuk mengubat tekak gatal pula - setiap kali mahu tidur minum perahan air limau kasturi sebanyak tiga biji bersama bijinya sekali, dimulai dengan selawat.  InsyaAllah dengan niat mahu sembuh, keyakinan dan konsistensi, gatal-gatal akan hilang.

Hari ini, Selasa juga adalah hari yang lebih baik dari semalam buat saya.  Awal jam 9 saya sudah berada di pekan Seria bertemu dengan abah Naqhuhines.  Ada sesuatu yang kami lakukan untuk mengejutkan dua puteri kami menjelang hari raya nanti.  Apa dia??  Opsss rahsia la!!

Kemudian, selesai semua urusan dan sementara menunggu waktu balik sekolah, saya santai di bawah pokok depan pasaraya Soon Lee menyelak-nyelak buku Hafiz Firdaus Abdullah bertajuk Berdakwah Melalui Penulisan Efektif yang telah saya angkut ke hulu ke hilir tetapi belum habis-habis walaupun hanya 106 muka surat.  Sila baca perenggan berikut.

Kata Penutup: Jangan Menulis Al-Qur'an.

Di alam ini hanya ada satu buku yang sempurna, iaitu al-Qur'an.  Ia adalah kalam Allah dan Maha Suci Allah daripada apa-apa kekurangan atau kesilapan.  Semua buku selain al-Qur'an akan memiliki kekurangan dan kesilapan.  Justeru apabila anda menulis buku, jangan menulis al-Qur'an.  Jika anda bercita-cita menulis buku yang sempurna seumpama al-Qur'an, anda tidak akan dapat mencapainya.

Perenggan ini membuatkan saya tersedar, bahawa tidak ada buku yang benar-benar sempurna.  Saya tidak patut menunggu lagi.

Sebaliknya bercita-citalah menulis buku yang sebaik mungkin.  Kekurangan tetap akan wujud, kesilapan tetap akan berlaku.  Kekurangan dan kesilapan ini anda dapat minimumkan, akan tetapi anda tidak akan dapat mensifarkannya.

Saya semakin bersemangat.  Saya tidak perlu menjadi Mrs. Perfect untuk mencapai cita-cita saya.

Saya menyatakan hakikat ini kerana saya memiliki beberapa kenalan yang memiliki penulisan yang amat baik, akan tetapi mereka enggan menerbitkannya kerana menganggap ia masih belum sempurna. Selain itu ada juga beberapa kenalan lain yang amat berilmu lagi berwawasan, tetapi enggan menulis kerana menganggp ilmu mereka masih belum sempurna.

Saya hanya perlu berani mencuba dan terus mencuba tanpa putus asa.

Menulis bukan bererti ilmu anda sempurna atau anda adalah penulis yang cemerlang.  Sebaliknya menulis bererti anda ingin menuntut ilmu dan ingin belajar menulis.  Ini kerana dengan menulis, anda akan mengkaji subjek tersebut secara meluas sehingga ia akhirnya menambah ilmu anda.  Menulis juga menyebabkan anda melatih menulis dan perlahan-lahan ia akan meningkatkan kecemerlangan anda sebagai penulis.  Oleh itu betulkan manhaj anda tentang menulis.  Masyarakat menunggu hasil penulisan anda dengan penuh harapan.

Ya, memang betul.  Kita sentiasa berlatih dan melatih diri melalui penulisan.  Kita menambah ilmu melalui kajian subjek.  Bukan senang nak menulis tetapi itulah cabarannya. Kepada anda terutamanya My Akak dan My Adik, jom la kita sama-sama menulis kerana masing-masing ada banyak cerita dan idea yang sudah diperam bertahun-tahun menunggu masa sahaja untuk dinukilkan di atas kertas buat tatapan pembaca.  Kak Ju sudah pun berada di bidang itu sekian lama.   Semoga Allah memudahkan dan membantu kita menulis sesuatu yang baik sebagai saham akhirat.  InsyaAllah.

Kata Penutup ini sangat memberi kesan kepada saya.  Olahan yang mudah tetapi mengesankan.  Hati saya berasa girang.  Terima kasih kepada Hafiz Firdaus Abdullah.  Tak sangka muda lagi orangnya, berbanding dengan perkongsian pengalaman beliau yang hebat ini.  Anugerah Tuhan tidak mengira usia.

Kemudian di sebelah petang di Perpustakaan Seria, saya ditegur pula oleh staf bertugas yang paling ramah dan ceria iaitu Hajah Armah Haji Bair.  Dia hairan melihat saya menekuni komputer kebelakangan ini (saya dah cerita tentang saya angkut laptop ke mana sahaja untuk novel saya yang dah tersangkut tu dalam entri lepas).  Memang wanita ini sangat ramah.  Kami rancak berbual (tak menganggu kerana boleh dikatakan tiada orang atau mungkin pengunjung berada di tingkat atas; kami di tingkat bawah) ; rupa-rupanya beliau adalah penulis dan telah menulis banyak cerpen (sudah diterbitkan) dan sudah mempunyai dua buku kanak-kanak yang ditulis semasa berbengkel dan juga untuk pertandingan, semuanya di bawah DBP Brunei.  Memang hebat orangnya, kerana dia juga terlibat dalam teater (namun terhad oleh masa bekerja), menulis puisi dan membuat illustrasi untuk buku juga.  Kini dia sedang menulis novel sulungnya yang berasal dari cerpen dan belum lagi ketemu penyudah cerita.  Jadinya cerpen yang pendek sudah menjadi panjang dan dia masih ada banyak idea untuk dicurahkan.  Mengagumkan!  Saya gembira dapat mengenalinya dengan lebih dekat dan bertukar-tukar cerita dengannya.

Jadi, hari semalam lebih baik dari kelmarin dan hari ini lebih baik dari semalam; sebuah kata-kata harapan yang menjadi kenyataan buat saya.  Semoga hari esok juga lebih baik dari hari ini, insyaAllah.  Dan semoga setiap hari adalah sentiasa hari-hari yang baik untuk kita semua.

Saya mohon permisi dahulu. Saya sudah siapkan plot yang cantik untuk novel saya ini.  Seperti Sakinah yang cantik dan ayu.  Saya akan serahkan kepada Sifu untuk pengadilan dan pembaikan beliau.  Sekiranya lulus dan mendapat sokongan, saya akan meneruskannya secepat mungkin sehingga selesai.  Saya berasa seronok berbanding waktu-waktu lepas tatkala saya tenggelam di dalam minda kosong untuk meneruskan novel itu (yang membuatkan saya tersangkut lama), kerana kalau merujuk HFA, saya sudah membina rangka untuk rumah yang bakal saya bangunkan.  Saya sudah ada bayangan rumah dan kini saya akan membina dinding mengikut rangkanya tanpa keliru dan bingung lagi.  InsyaAllah.

Sekali lagi buat sekian kali, marilah bersama menulis.  Luahkan dan tumpahkan idea anda yang berlegar di dalam minda.  Ingat pesan HFA, jangan menulis al-Qur'an tetapi menulislah mengikut kemampuan anda.  Tidak akan ada yang sempurna tetapi berbuatlah yang terbaik semampunya.  Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala membantu kita menulis sebagai saham akhirat untuk kita tuai hasilnya di sana nanti.

Psssttt ... ehem-ehem, bila abah Naqhuhines nak menulis pulak agaknya?  Dah 200 kali dengar, "Huh, abang tulis kejap je siap!"  Tulis jangan tak tulis!!!  Hehehe ...

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing