Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, February 21, 2011

Akhirnya ke Seria juga

Hari yang sibuk.  Pelbagai situasi.  Pelbagai orang ditemui.  Pelbagai rasa dialami.

Situasi awal pagi - bangun dan bersiap, macam hari-hari persekolahan juga walaupun hari ini hujung minggu.  Goreng nasi semangkuk kecil yang dihiasi pelbagai sayuran.  Kami semua menuju ke kawasan perumahan berhampiran Perpustakaan Pandan.  Kalau dapat duduk di kawasan ini, setiap hari akan ke perpustakaan ini sahajalah, getus hati.  Juga dekat dengan kawan-kawan baru, dan insyaallah akan lebih mudah mengikuti majlis taklim setiap dua minggu itu.

Kunjungan disambut baik. Kami diajak bersembang sambil minum air kotak.  Tuan rumah tinggal bersendirian selepas suami meninggal dunia sekitar dua tahun.  Anak-anak ramai semua tinggal berhampiran dan selalu menziarahinya.  Rumah yang ingin disewakan juga baik cuma teramat pelik kerana ruang bilik air terlalu besar dan mesti dilalui setiap kali mahu ke ruang dapur.  Ini gara-gara penambahan tanpa perancangan, atau tiada perancangan untuk keselesaan penyewa, atau juga kerana terbatas oleh reka bentuk rumah di bahagian atas.  Kesimpulannya, ia kurang sesuai bagi kelamin seperti kami.

Menjelang tengahari, kami terima panggilan telefon yang masuk ke telefon bimbit yang khas digunakan semasa ke Miri sahaja.  Wah, dua saat menjawab sudah ditolak $2.  Patutlah mak selalu kata panggilan tak dijawab kerana abah tekan nombor 019.  Hehehe ...  Kemudian bersembang selama 1 jam di telefon awam dengan Muhammad Naqib yang dijemput mak dari madrasah bawa balik ke Sijangkang dengan makluman penuh pihak pengurusan di situ.  Semalam petang dia menelefon mak meminta dijemput.  Ada borang yang perlu diisi dan dipulangkan semula esok berkaitan zakat.  Abah terus membatalkan semua urusan di kampung dan mereka bertolak ke Sijangkang jam 4 petang semalam bersama uwan juga.

Macam-macam ditanya dan diberitahu oleh Along.  Dia sudah hampir menguasai sepenuhnya juz 23-30, dan akan mula menghafaz juz 22 pula.  Alhamdulillah.  Peperiksaan juga dilaluinya dengan baik, katanya.  Juga kisah pelajar yang meninggal dunia itu, adalah kawannya.  Menurut Along, jenazah telah disembahyangkan di Masjid Seri Petaling.  Rezeki anak itu disembahyangkan oleh ramai jemaah yang hadir untuk solat Jumaat.

Kiriman saya minggu lepas juga telah diterima.  Katanya, Chocolatos dua kotak sekejap sahaja sudah langsai dek teman-temannya dan masing-masing mahu berkirim minyak attar yang saya kirimkan untuknya itu.  Lagi katanya, dia menunggu dengan penuh harapan untuk dijemput oleh Izun ke rumahnya di Kajang semasa jamuan house warming Sabtu dua minggu lepas.  Dan dia juga sudah siap menunggu uwannya datang mengambilnya sebaik selesai peperiksaan tempohari.

Kasihan mendengarnya.  Nak buat macamana, Along.  Cik Izun silap faham dengan kata-kata kamu tentang denda tidak boleh keluar selama tiga bulan itu.  Tambahan pula dia mahu menjemput kamu pada hari Jumaat, kerana pada Sabtunya itu dia sudah sangat sibuk menerima tetamu.  Uwan pula, semakin sibuk menemani atuk dengan macam-macam urusan formalnya itu.  Jadi, Along faham-faham sahajalah ya.  Sabarrrr ... senyummmmm.

Setiap orang bercakap dengan Along.  Sampai giliran Hurilain, dia turut berbual dengan onyangnya.  "Onyang nangis ke?"  tanyanya selepas dia memberitahu dia sayang onyang.  Matanya serta-merta memerah.  Lahh ... dua orang ini sudah menangis pula di talian.  Mungkin onyangnya terharu mendengar bicara Hurilain.  Minggu lepas katanya dia menangis tiba-tiba di sekolah ugama kerana teringatkan onyangnya.  Lalu dia menjadi bahan usikan oleh ustaz dan kawan-kawan.  Hmm ... saya pun rasa hiba jadinya :)


Situasi petang.  Tengahari kami merasmikan oven yang dibeli tempohari.  Bakar ayam seekor yang dirempahkan dengan rempah masala ~ oleh abah Naqhuhines.  Selesai solat, ketika sedang berkira-kira mahu keluar, hujan turun membasahi bumi.  Kami beredar juga kerana sudah ada janji untuk melihat sebuah lagi rumah di sekitar ini.


Dari kejauhan melihat rumah itu, pilu hatiku piluuuu ...! kata saya apabila ditanya oleh abah Naqhuhines.  Saya jadi sangat rindu kepada rumah  di Sijangkang.  Dan saya teringatkan filem Ibu Mertuaku tatkala P.Ramlee dan Sarimah berpindah dari pelbagai penginapan sehingga akhirnya mereka tinggal di bawah rumah sahaja.  Ketika pintu dibuka, ada bangkai tikus yang masih segar terdampar di hadapan pintu.  Ada banyak barangan yang disimpan di situ, termasuk beberapa desktop tersadai berhabuk.  Beberapa keping tingkap kaca sudah pecah lalu ditutup buat sementara dengan plywood.  Kami menjengah hingga ke dapur.  Bau berkuap hapak menerpa hidung.  Saya benar-benar jadi sangat rindu kepada rumah di Sijangkang!  Dari kejauhan sudah pilu, apabila berada di dalam rumah ini bertambah pilu hiba rasanya.  Ditambah pula dengan cuaca begini yang kehujanan.


Hidayat asyik memberi makan dua ekor arnab berbulu tebal di dalam sangkar.  Di sudut lain ada sepuluh ekor kura-kura di dalam sangkar berkunci yang berisi sedikit air.


Mungkin kawan yang mencadangkan rumah ini pun serba-salah agaknya.  Tidak mengapa.  Saya menetapkan hati.  Keputusan mesti dibuat segera.

Usai solat Asar, saya dengan rasa kurang sabar memberitahu abah Naqhuhines.  "Kita pindah jugak ke rumah tu.  Kita semua sudah mind-setting semenjak datang. Budak-budak pun sudah siap-siap sekolah di Seria.  Kenapa mesti kita cari rumah lain?  Semua orang kata Seria kawasan paling sukar mencari rumah sewa.  Bos pulak suruh kita cari sendiri lagi?"

Terbayang dua rumah yang dikunjungi tadi.  Ohh ... saya amat rindu kepada rumah di Sijangkang.  Di sini kami tidak memiliki dan tidak dimiliki.  Kami adalah musafir.

Rupa-rupanya abah Naqhuhines juga berfikiran sama.  Dan Hurilain tersenyum gembira.  Dia sudah tidak sabar mahu menapak ke AAC dari rumah.  Hidayat dan Hanessa juga begitu.  Saya juga!

"Ok, jom kita tengok rumah bos"
"Jommm!!!"  Awal pagi tadi, saya jual mahal ketika abah Naqhuhines mengajak melihat-lihat rumah itu.  Fikir saya, kalau sudah tak jadi pindah ke situ maka tak ada keperluan untuk saya melihat-lihat.  Bahkan saya terus mengambil kesempatan melelapkan mata hingga terlentok-lentok di dalam kereta sementara abah Naqhuhines, Hidayat dan Hanessa pergi menjenguk-jenguk.

Ternyata rumah ini jauh lebih baik daripada dua rumah tadi, juga rumah yang sedang kami diami sekarang.  Jadi anak-anak akan ke sekolah berjalan kaki sahaja. Kami berada di tengah-tengah antara Sekolah Rendah Muhammad Alam dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Saadatul Bolkiah.  Dan amat hampir dengan Anthony Abell College.  Ringkasnya, kami akan mendiami perumahan di tengah pekan Seria.  Bermakna saya semakin hampir dengan kawan-kawan baru di Kuala Belait juga.

Dalam kepala terbayang sekiranya mak dan abah datang nanti, tentu abah akan menapak menyusuri kedai-kedai di tengah pekan Seria di pagi-pagi hari untuk mencari roti canai, macam yang selalu dibuatnya di Sijangkang.

Hanya enam tahun lagi.  Seorang demi seorang akan kami usahakan menyambung pelajaran di tanahair juga. InsyaAllah.  Sehingga enam tahun lagi, apabila Hanessa tamat darjah enam di sini ...

Kita semua adalah musafir di dunia ini, sebagai tempat persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan ke alam yang kekal di sana.  Di perantauan ini, perasaan bermusafir semakin berganda.  Apa yang sangat menawan hati di sini bagi saya adalah ~ Kuliah Mufti di Nur Islam, antaranya.  Juga teman-teman yang baru dikenali, terasa serasi dan sehati.  InsyaAllah.  Ketika hati semakin rindu kepada tanahair, perasaan kembali terubat.  Kami akan pindah ke Seria, yeeeeeehhh!

Alhamdulillah, syukur kepadaMu ya Allah. Kami bermohon takdir yang baik selalu. Tetapkanlah kami di atas jalanMu dan tetapkanlah kami di dalam ugamaMu.  Ameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing