Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, January 9, 2011

Qirdun akan pergi

Hmm sedikit demi sedikit kawan-kawan lama muncul di FB dan bertukar khabar diri masing-masing.  Mula la terkenang zaman persekolahan dulu hehe ...

Jam dinding sudah melepasi 6.30 pagi. Hurilain masih terkial-kial memasang brooch di tudung putihnya. Saya turut membantu. Ada baki benang masih terlekat pada tudung di tepi pipinya. Tadi, saya menjahit lencana kain ke atas tudung itu, agak-agak sahaja. Ternyata apabila tudung dipakai, lencana itu terlalu tinggi betul-betul di tepi pipinya. Saya tergelak sendiri tetapi anak perempuan saya mula menangis. Dia membentak dan saya tahu perasaannya rusuh. Ah, pagi ini baru dia maklumkan mahu lencana itu dijahitkan ke tudungnya. Tudung itu pula dipakai bersama brooch, style pelajar Maktab Anthony Abell.

Saya katakan kepadanya, bahawa tudung ini lebih baik dijahit siap untuk memudahkan dia memakainya setiap pagi. Seminggu persekolahan, Hurilain merupakan orang yang terakhir menyiapkan diri gara-gara tudungnya itu. Walaupun dia seperti berat hati, saya yakinkan dia bahawa tudung yang sudah siap dijahit memang lebih memudahkan dia dan tidak mustahil cara itu menjadi ikutan pelajar lain juga nanti. Tambahan lagi tahun ini merupakan tahun pertama penggunaan lencana kain yang perlu dijahit terus ke tudung. Sebelum ini pelajar menggunakan bagde yang boleh dipin dan ditanggalkan, macam badge sekolah zaman saya dahulu. Lagipun kalau masih mahu mengekalkan style pelajar AAC, boleh sahaja dia mengenakan brooch di bahagian hadapan tudungnya. Tudung juga tidak terkangkang hingga menampakkan bahagian leher apabila ditiup angin.

Harap-harap isu tudung ini akan selesai dengan baik tanpa banyak soal nanti. InsyaAllah.

Semalam, Jumaat, Hidayat dan Hanessa sudah memulakan kelas mengaji (setiap Jumaat) di Masjid Zainab. Alhamdulillah. Jam 8 pagi, saya menghantar Hurilain untuk kelas mengajinya dan kebetulan terserempak dengan guru mengaji di tangga masjid. Sebaik sahaja Hurilain menghulurkan borang permohonan mengaji adik-adiknya itu, Cikgu Haji Bakar yang juga salah seorang imam Masjid Zainab terus memberi isyarat kepada saya yang masih memerhatikan dari dalam kereta, “Mana anak kita yang mahu mengaji itu?” Terus disuruhnya masuk mengaji, maknanya permohonan mengaji terus diterima. Tahun lepas tatkala saya ajukan permohonan, hanya Hurilain yang diterima untuk pengajian al-Quran sedangkan pengajian kelas mukaddam sudah terlalu ramai dan permohonan baru terpaksa ditolak.

Alhamdulillah, tahun ini Hidayat dan Hanessa diterima mengaji di situ. Kami pulang semula ke rumah (tidak sampai 1 km dari masjid) untuk Hidayat menukar pakaian ke uniform sekolah ugama. Hanessa pula memakai baju kurung raya tahun lepas. 

Semasa di Sijangkang, gadis kecil saya selalu bahkan sebenarnya sentiasa mengelat daripada mengaji dengan Ustaz Aizat.  Ada sahaja alasannya, antaranya dia masih kecil lagi dan terlalu malu.  Tetapi dia juga yang kadangkala menganggu dan menimbulkan huru hara kecil di ruang tamu tempat kelas mengaji sedang berjalan.   Akhirnya saya cuba mengajar dia sendiri, tetapi asyik terhenti-henti kerana bergantung kepada kelapangan saya (kerap kali terlupa pulak tu!) dan setiap kali terpaksa mengulang dari muka surat awal mengikut kehendaknya.  Bukan kerana apa, tetapi dia berasa sangat yakin dan seronok mengulang-ulang huruf-huruf yang sudah dikenalnya tanpa rasa bosan.  Tetapi bila nak bertambah kalau asyik ulang huruf yang sama sahaja!  Jadi saya amat berharap dia akan enjoy dengan suasana pengajian di masjid ini.  Hidayat, macam biasa sentiasa teruja dan seronok mahu belajar. Hanya Hanessa yang separuh enggan dan malu. 

Ketika saya tanyakan cara mengaji mereka kepada Hurilain, ternyata mereka belajar secara serentak beramai-ramai.  Bukan secara individu seperti kaedah yang biasa di tempat kita.  Sama ada pelajar itu lebih cekap atau tidak, mereka akan mengikut pengajian sama rata mengikut ayat yang ditentukan oleh guru.  Macam cara pembelajaran di sekolah juga. 

Kelas mengaji tamat pada jam 10 pagi. Rupanya ramai pelajar baru yang memakai pakaian biasa. Hanessa kelihatan ceria tatkala saya mengambil dia di tangga masjid. Kemudian kami terus ke kedai baju untuk menempah baju kurung putih dan kain hijau pucuk pisang untuk Hanessa, juga kain hijau untuk kakaknya. Tahun lepas Hurilain masih diberi kelonggaran untuk menggunakan kain biru sekolah pagi.   Tahun baru jadi kenalah ikut peraturan sedia ada.  Jadi Hidayat juga akan memakai kain sampin hijau nanti.

Sedikit cerita tentang si Qirdun.  Setelah beberapa lama saya sekadar menghulurkan roti planta bergula tanpa melihat luka di kantung pipi kanannya, tadi saya jenguk sebentar kepada luka itu.  Alhamdulillah, sudah bercantum rapat dan kelihatan sangat baik.  Monyet kurus ini, kata Kak Leha akan diambil oleh pemilik barunya.  Mungkin esok atau lusa, kami tidak akan melihat Qirdun lagi.  Semoga dia lebih selesa di tempat barunya nanti.  Juga semoga apabila sudah sampai masa dia berdikari, dia akan dilepaskan menjalani kehidupan semulajadi di dalam hutan Brunei ini.

Pak Jowo (warga Indonesia, saya tak tahu namanya) yang sedang menyiapkan projek kecil Kak Leha di sekitar rumahnya ini sempat bercerita kepada saya dan Kak Leha, tatkala saya menjenguk Qirdun tengahari tadi.  Katanya, pernah ada seorang pemburu menembak ibu monyet yang sedang beranak kecil.  Biasa la tu, pemburu memang kerjanya menembak haiwan hutan.  Hah, yang ini memang pengajaran untuk si pemburu, apabila kata Pak Jowo lagi, ibu monyet yang jatuh terjelepuk dari dahan pokok dan sudah luka parah itu merangkak mendapatkan si pemburu lalu meleraikan pelukan si anak di dadanya.  Perlahan-lahan dengan penuh susah payah ibu monyet yang hampir mati ini terus menyerahkan anaknya yang masih kecil yang sedang melekap di dadanya itu kepada si pemburu tersebut dan langsung rebah, mati.  Terlongolah manusia ini, berdebar kencang jantungnya dan barulah tersentuh apa yang dinamakan perikemanusiaan di dalam hatinya, tatkala menyaksikan sikap makhluk Allah yang dianggapnya tidak berakal fikiran itu.  Lantas barulah berjujuranlah airmata meleleh keluar dari sepasang mata milik si pemburu tersebut bersama kesalnya.

Saya sama-sama geleng kepala dengan Pak Jowo.  Apakah seperti itu juga sebenarnya sejarah si Qirdun???  Hanya wanita bernama Rina yang tahu.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing