Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, January 30, 2011

Bah! Ke belakang tah dulu!!!

Hari yang sejuk sebenarnya dengan hujan turun menjelang waktu Zuhor.  Saya dan anak-anak sibuk dengan tugasan masing-masing.  Tetapi keinginan untuk meninjau pasaraya Hua Ho Tutong masih membara.  Belum pernah ke situ, kata orang kat situ barang-barangnya lebih murah dari di tempat lain.

Ramai orang yang berkunjung.  Bangunan yang besar dan penuh dengan pelbagai gerai di bahagian terbuka di tengah-tengah dan deretan kedai.  Kami singgah survey notebook yang pelbagai warna dan comel sangat.  Uhh gerammmmmnya nak memiliki satu.  Boleh masuk dalam beg galas je ni.

Abah Naqhuhines pun sporting aje lagaknya.  Membuatkan saya dan anak-anak seronok sakan meninjau ke sana sini, window shopping.  Dan di luar jangkaan, dia membelikan saya oven yang sangat comel, $60 selepas diskaun, dan merupakan unit yang terakhir masih ada.  Walaupun dia macam nak beli mikrowave oven, tetapi saya tetap nak oven sahaja.  Saya sudah bercadang mahu mengurangkan penggunaan alat gelombang mikro dalam pemanasan dan penyediaan makanan harian.  Lagipun kami sudah ada mikrowave oven yang besar di rumah Sijangkang.  Biarlah kali ini beli oven sahaja.  Saya mahu bebas membakar kek (ewahhh!  besar cita-cita ...) tanpa risau mikrowave menjadi terlalu panas dan terhenti berfungsi seketika (dah pernah berlaku kepada mikrowave saya tu).  Tambahan, kalau boleh kita elakkanlah makanan yang bermalam untuk mengelakkan kesan sampingan jangka panjang kepada kesihatan.  Makanlah makanan yang segar dan lebih besar khasiatnya daripada makanan yang bermalam kemudian dipanaskan.  Tak caya, tanya orang-orang yang baru sembuh dari sakit.  Macam-macam petua mereka akan beri.

Okay, dan selesai membeli sedikit barangan dapur, kami sudah mahu beredar apabila tiba-tiba anak dara kami (Hurilain) mendesak mahu membeli pewangi Syahirah yang harum dan berbau lembut itu.  Saya dan dia masuk semula ke dalam pasaraya dan mencari-cari di serata rak.  Hmm tak ada nampaknya.   Produk Syahirah pun setakat pencuci dan skrub muka sahaja.  Akhirnya dia memilih mahu mencuba pewangi Shurah untuk digunakan buat sementara.  Nanti di Miri boleh cuba cari di pasaraya sana, kata saya.  Insyaallah, minggu depan akan ke Miri untuk urusan tertentu.  Alamak, saya terpandang ramai orang di barisan kaunter pembayaran sedang menanti giliran untuk membayar barang masing-masing.

Saya menghampiri satu kaunter.  Ada sebuah troli yang padat dengan barangan di sisi seorang lelaki separuh umur.  Orangnya kecil dan rincing sahaja.  Ada seorang kanak-kanak perempuan sekitar dua tahun di dalam tempat duduk troli dan seorang lagi yang agak besar berdiri di tepi troli.  Melihat lelaki itu baru mahu mengeluarkan barang pertama dari trolinya, saya berkata, "Boleh saya tumpang membayar dahulu?"

"Kita beli apa?"  tanya lelaki itu tanpa memandang ke arah saya.

Saya mengunjukkan pewangi di tangan dengan perasaan ganjil.  "Ini ...  boleh saya tumpang membayar dulu?"  Ulang saya sekali lagi dengan rasa mengharap.  Saya pernah memberi laluan kepada orang yang mahu membayar beberapa barangan sahaja kerana barang saya lebih banyak daripadanya.  Saya juga pernah meminta laluan untuk membayar dahulu kerana barang saya hanya satu dua sahaja dan permintaan saya dipenuhi tanpa soal jawab, walaupun dari bangsa yang tidak sama dengan saya.  Kami sama-sama senang hati dan di sini hari ini di negara orang, saya menjangkakan dan mengharapkan akan mendapat respon yang sama seperti di negara sendiri.

Lelaki itu masih tidak memandang kepada saya, "Berapa harganya?" Dia mula mengeluarkan barang-barangnya satu persatu tanpa henti.

Saya jawab dengan rasa yang semakin ganjil, "Tiga ringgit sahaja." Masih berharap.  Saya tidak mahu abah Naqhuhines terlalu lama menunggu kami di dalam kereta.  Tambahan lagi Hanessa sudah mula meragam dan merengek-rengek.  Mereka semua tentu sedang tertunggu-tunggu kami muncul.  Lagipun kami juga perlu mengejar waktu Asar yang sudah hampir dua jam berlalu.  Nak singgah makan rojak special lagi di KK Koya, rojak yang terkenal dengan keenakannya di seluruh Brunei itu.  (Nanti sesiapa yang datang bolehlah kami bawa makan rojak special ni, insyaAllah.)

Apakah dia fikir saya mahu menumpang bayar kepadanya?  Hmm saya pernah juga melalui pengalaman ini dengan wanita Cina di Tesco Klang.  Dia membayarkan barangan saya dan saya hulurkan wang kepadanya tanpa kisah dengan wang baki.  Wanita yang ramah! 

Tetapi nampaknya ia tidak seperti pengalaman lepas itu.  Lelaki ini mengatakan, "Bah, ke belakang tah dulu!!!" sambil mengunjukkan tangan kanannya ke arah belakang saya (waktu bercakap itu saya amat hampir dengan trolinya sambil mengunjukkan pewangi itu kepadanya) tanpa memandang ke arah saya pun.  Tiada kontak mata antara saya dan dia.

Serta-merta saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan berlalu ke kaunter di sebelahnya yang dijarakkan oleh rak makan titbits, beratur di belakang dua pelanggan yang membawa barangan bakul tidak banyak.  Saya perasan gadis kaunter itu tertawa kecil, mungkin berbalas tawa dengan lelaki itu.  Saya menunggu giliran sambil memandang-mandang ke arah lelaki itu yang sedang sibuk memunggah barangannya ke atas kaunter.  Hanya nampak kepalanya sahaja yang botak tengah (kerana dia rendah sahaja).

Tak pasti perasaan saya waktu itu.  Hurilain menyuruh saya meletakkan sahaja pewangi dan keluar dari situ tetapi saya mendiamkan diri.  Saya sedang cuba mentafsir keadaan dan membaca perasaan sendiri.

Kalau anda, bagaimana?

Saya pujuk diri dan hati.  Hari ini adalah hari yang baik dan ceria walaupun hujan dan suhu dingin.  Saya tiba di pasaraya ini dengan hati yang girang.  Syukur ke hadrat Allah yang memberikan rasa girang dan bahagia ini.  Dan hanya tidak sampai lima minit satu peristiwa yang mengejutkan itu berlaku, janganlah ia merosakkan hati saya pula, kerana dibandingkan hampir setengah hari (dan alhamdulillah hingga saat ini) saya masih dalam situasi yang baik dan tenang; maka amat tidak wajar saya mengikut perasaan tidak enak yang cuba mengasak-asak jiwa.

Terlalu banyak kebaikan yang Tuhan berikan yang mesti dan patut saya syukuri.  Saya disapa oleh seorang gadis kakitangan kedai buku Teras Maju di Lumut tempat kami selalu membeli dengan amat ramah, tanpa saya perasan kehadirannya di situ.  Jadi setakat seorang manusia yang tidak ada toleransi tadi, biarkanlah dia tenggelam dengan labu-labunya.  (Ada lagi seorang salesgirl Melayu di tingkat atas tempat permainan yang tidak bersikap ramah sebaliknya seperti sedang tertekan, ketika kami sedang memilih laptop mainan untuk Hanessa.  Kerana kurang berpuas hati dengan kualitinya, tiga laptop pelbagai harga dan jenis itu kami batalkan membelinya dan ucapkan terima kasih sahaja.  Tetapi gadis itu tidak masuk dalam fikiran saya pun.)  Lupakan sahaja!  Lagipun, Allah yang menjadikan ia berlaku.  Seandainya Allah tidak mengizinkan, lelaki itu tentu tidak bersikap seperti itu.  Mungkin ada sesuatu yang tidak beres pada diri saya.  Atau mungkin Allah mahu menegur perbuatan saya membelikan anak gadis saya pewangi.  Sejak akhir-akhir ini, ciri-ciri kegadisannya semakin menonjol, dan sikapnya semakin feminin.  Ah, apakah dia mahu memakai pewangi itu ke sekolah???  Saya pun memperingatkan dia hukum dan keadaan seorang perempuan yang memakai pewangi ketika keluar rumah adalah dilarang bahkan haram  berwangi-wangi untuk lelaki ajnabi.  Di sekolah dia bergaul dengan guru lelaki dan pelajar lelaki yang semuanya ajnabi.  (Sebenarnya saya juga kadang-kadang menyembur sedikit pewangi tetapi hanya apabila keluar bersama abah Naqhuhines, atau semasa ingin berwangi-wangi ketika mahu solat.  Kebanyakan masa, mungkin berbau gulai ikan, bau ikan masin goreng atau bau sambal tumis hahaha ... atau "Masam!!" kata abah Naqhuhines 'berbau menghena...').

Saya adukan kepada abah Naqhuhines, ingin berkongsi cerita.  "Bodoh sombong!" komennya ringkas.  Saya pun tidak mahu memanjang-manjangkan kisah yang tidak menyenangkan.  Biarlah ia berlalu begitu sahaja.  Namun saya mahu berkongsi juga di sini.  Semoga saya dan ahli keluarga termasuk anda semua tidak melakukan hal seperti itu kepada orang lain.  Bersikap baiklah sesama insan.  Menyenangkan hati orang lain, hati kita turut berasa senang.  Itulah hukum alam.  Apa yang kita berikan akan kita terima semula.  Anda berikan kasih-sayang, anda akan menerima kasih-sayang.  Anda membenci, anda akan dibenci dan hati anda juga tidak tenang.  Kasih sayang ada fitrah insani yang dikurniakan oleh Allah.

Mungkin pendekatan saya tidak sesuai dan tidak disenanginya.  Mungkin lebih afdal saya mulakan dengan memberi salam dan meminta izin dengan penuh hormat.  Mungkin saya perlu memperhaluskan lagi bicara saya.  Lebih baik saya mengkoreksi diri sendiri daripada mengkoreksi diri orang itu.  Ya, mungkin saya ada silap di mana-mana dan terlepas pandang.  Mungkin saya tidak tersenyum (tapi orang itu tidak memandang saya pun!). 

Sebenarnya saya juga mahu berkongsi satu nilai yang murni berkenaan orang Brunei.  Mereka merupakan pemandu yang sangat berhemah.  Mereka tidak pernah membunyikan hon kereta.  Saya pernah dua kali setakat ini menekan hon dan beberapa kali tertekan hon tanpa sengaja.  Mereka akan berhenti di tengah-tengah jalan hingga berderet-deret kereta di belakang, untuk memberi peluang kepada kereta yang sedang menanti di simpang masuk ke jalan utama.  Mereka juga sangat patuh kepada had laju yang dibenarkan.  Kalau 40km/j dan jalan double line, maka akan berderet-deret kereta kecil besar mengekori.  Mereka tidak akan cuba memotong di jalan double line itu.  Terkadang ada pula kereta besar dan mahal yang sepatutnya memang boleh berdesut laju bergerak dengan amat perlahan tanpa sebab, dan masih tetap diekori oleh berderet-deret kenderaan di belakangnya dengan penuh sopan.  (Saya termasuk pemandu Malaysia yang belum pernah kemalangan dan kadangkala melepaskan keterujaan dengan memandu laju, pada awal dulu rasa ganjil teramat dengan 'fenomena' ini.  Tetapi sudah mula menerima 'fenomena' ini sebagai satu kebaikan.

Lagi satu, mereka juga adalah pemandu yang sangat patuh kepada undang-undang memakai tali pinggang keledar.  Anak saudara saya dari Brunei yang menumpang sebentar di rumah saya dulu (di Sijangkang) mesti akan menarik tali pinggang keledar dan melekatkannya walaupun sekadar berkereta di dalam kawasan kampung sahaja.  Saya ketawa kerana tidak ada orang yang memakai tali pinggang keledar sekadar nak ke Kedai Yamah atau Pasar Sabtu.  Akhirnya dia yang dah terbiasa naik kereta mesti pakai tali pinggang keledar berkata, "Tak apalah, untuk keselamatan."  Saya ketawakan dia. 

Hmm saya sudah meluahkannya.  Saya sudah berkongsi dengan anda di sini.  Sekali lagi buat sekian kali, marilah kita berbuat kebaikan tanpa mengharapkan balasan.  Biarlah Allah yang membalasnya, tidak semestinya kebaikan itu akan dibalas dengan cara yang sama seperti yang kita berikan.  Mungkin ia Allah simpan untuk dibalas kepada anak cucu cicit atau generasi kita yang akan datang.  Berbuatlah dengan seikhlasnya, semoga Allah menerima dan menghargai niat untuk mendapatkan keredaanNya semata.  Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui 'segala mata-mata yang berlaku khianat dan apa yang disembunyikan oleh dada-dada'.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu kebaikan hari ini dan kebaikan yang ada pada hari ini dan kami berlindung kepadaMu daripada keburukan hari ini dan keburukan yang ada pada hari ini.  Selawat dan salam buat Junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat. Ameen.

(Kami gembira dengan bayaran makanan di KK Koya yang lebih murah dari jangkaan kami.  Kami juga gembira menghulurkan sedikit jajan yang dibeli kepada Mujahiddin, pembantu baru Kak Leha yang sedang duduk menanti petang berlalu di buaian di hadapan rumah.  Kasihan pemuda 21 tahun itu.  Dia baru sebulan berada di sini dan resah apabila saat kami mahu berpindah ke Seria akan tiba tidak lama lagi.  Saya menyokong abah Naqhuhines mahu menghadiahkan dia radio kecil untuk halwa telinga dan pengganti bicara abah Naqhuhines yang rajin berborak dengannya di petang hari.)

Gembira, dan biarkanlah yang tidak menggembirakan berlalu pergi begitu sahaja dengan iktibar jangan melakukan yang sama kepada orang lain pula!  Alhamdulillah, terima kasih padaMu ya Allah yang menjadikan hidup ini sentiasa dalam keadaan baik dan semakin baik.

Wassalam.

2 comments:

nh said...

Pastinya orang itu berpegang pada peraturan dan undang-undang. Di jalan raya macam tu so di kaunter pembayaran pun sepatutnya macam tu lah..no potong queue. Patutnya ada fast lane utk less than 10 items. Looks like itu budaya mereka. Di Malaysia ikut budi bicara, mungkin lebih rasional sikit...

Naqhuhines said...

Ya, lagipun kita tak boleh memikirkan setiap orang akan memberi feedback yang sama seperti yang kita berikan atau harapkan. Actually, pengalaman di jalan raya tu hanya tepat di sepanjang laluan ke Seria yang apabila berdekatan tempat penapisan minyak hampir 2km adalah lorong double line. Namun ada juga yang memotong sebenarnya tetapi kes terpencil je, mbe rushing. Ya, terfikir juga mengapa tidak ada fast lane. Namun hari ini lebih baik dari semalam sebab dapat kawan baru yang sama suka menulis. Syukur alhamdulillah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing