Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, January 5, 2011

Atasi takut itu, Hidayat!

Saya geram betul dengan Hidayat.  Mengapa dia penakut sangat, sampai nak pergi tandas masjid Seria yang terang benderang di hari siang bersama adiknya pun tak mahu.  Bukan saya tak boleh nak temankan, tetapi sampai bila mesti saya ikutkan rasa takutnya tu??

Saya dan seisi keluarga tak pernah memomokkan dia dengan sebarang cerita seram dan ketakutan yang tak berfaedah.  Kami pun teramat jarang menonton drama-drama seram di tv.  Cuma abah dia aje yang kekadang menonton kisah mencari hantu setan tu, dan melihat efek-efek yang dikatakan dilakukan atau kesan dari kehadiran hantu tu.  Saya tak heran sangat dengan siri itu.  Kenapa mesti syok nak tengok orang mengendap hantu dalam gelap? 

Saya hairan juga, kenapa orang selalu teruja dengan hantu.  Nak lihat hantu, nak ambil gambar hantu.  Kalau ada objek aneh yang muncul dalam gambar, jadi heboh seantero dunia tentang betapa seorang hantu telah muncul dalam gambar itu, jadi sebenarnya ada hantu di belakang mereka sewaktu gambar itu dirakamkan.   Eiii seramnya!

Sewaktu Hidayat berumur sekitar dua tahun lebih, dia bukan budak yang penakut.  Dia sanggup duduk bersendirian di ruang tamu rumah untuk menyudahkan tontonan Ultraman kegemarannya, tutup tv sendiri dan naik sendiri ke tingkat atas di waktu malam, ketika waktu kami mahu tidur. 

Saya ceritakan perlakuannya itu kepada dia sekarang tetapi,  argghhhh ... hanya matanya terkedip-kedip memandang saya.  Mengapa? Mengapa Hidayat jadi begini??

Ikut siapa?  Saya bukan seorang yang penakut tahap gaban.  Normal sahaja.  Abah dia pun insyaAllah, kalau dengar cerita berbagai pengalamannya, terkadang si abah ini saya fikir hanya mendabik dada sahaja tetapi itulah yang dilaluinya.  Naqib, Hurilain dan bahkan Hanessa sendiri lebih berani dari dia.

Oh, bilakan Hidayat dapat melepasi titik ketakutan itu dan menjadi diri yang hebat?

Tadi di Masjid Seria yang mesra jemaah itu, budak lelaki ini sama-sama berhajat ke tandas bersama adiknya.  Saya masih bertelekung dan baru terjumpa sebuah kitab hadis tentang fadhilat zikir.  Terpesona dengan kitab yang diwakafkan ini, saya enggan melepaskan telekung dan terus duduk menyelak-nyelak kitab lama itu.  Itulah, dia buat permintaan.  Matanya menatap saya dengan wajah yang seperti tidak mengerti betapa saya mahu dia jadi seorang yang PEMBERANI.  Sampai di muka surat fadhilat zikir, saya panggil dia datang hampir dan suruh dia membacanya.  1.  Zikir dapat menumpaskan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.  Saya suruh dia baca terus hingga ke fadhilat ke 10.  Kemudian dia berlalu seperti tidak ada apa-apa yang menyentuh fikirnya.  Namun, semoga apa yang dibacanya tadi sudah melekat kuat di dalam memori jangka panjangnya, dan semoga satu ketika yang tepat nanti semua itu bergabung menjadi ilmu bantu yang akan menjadi benar-benar berguna kepada dirinya, itulah harapan saya tatkala memerhatikan anak ini.   Seterusnya, sambil menahan rasa sendiri, saya minta dia tunduk menghulurkan ubun-ubunnya.  "Mama nak doakan supaya Hidayat jadi berani dan hebat."  Dan dia terus tunduk akur sambil saya bertakbir beberapa kali dan melintaskan doa di hati lalu meniup ubun-ubun Hidayat.

Terkadang kasihan kepada dia.  Entah apa yang telah menganggu fikirannya.  Dia begitu obses terhadap makhluk Allah yang bernama iblis dan syaitan.  Apakah cara saya salah kerana selalu mengingatkan dia tentang kegemaran syaitan mendiami bilik air?  Mungkinkah dia membayangkan semua bilik air dipenuhi oleh syaitan?  Sudah saya jelaskan bahawa syaitan dan iblis hanyalah makhluk Allah yang diberi sedikit kelonggaran untuk menggoda manusia.  Tetapi tetap Allah SWT yang Maha Berkuasa dan kepada Allah jua kita memohon perlindungan dari godaan syaitan yang direjam.

Ya Allah, bantulah Hidayat memiliki peribadi yang mulia dan hebat.  Berilah dia keberanian dan kehebatan peribadi Saiyidina Umar al-Khattab, yang mana syaitan pun tidak berani melalui jalan yang telah ditempuh oleh sahabat nabi yang juga dikenal dengan julukan al-Farouq ini.  Juga keunggulan peribadi Saiyidina Abu Bakar ra, sahabat nabi yang penuh berhikmah.  Dan kelembutan Saiyidina Osman ra, serta keluasan ilmu Saiyidina Ali ra.

Semoga Muhammad Hidayatullah akan mencapai keperibadian yang cemerlang satu ketika nanti, dan melepasi segala ketakutannya ini dan meletakkan rasa takut dan harap hanya kepada Allah SWT yang Esa, bukan kepada makhlukNya dan apa sahaja selainNya.  InsyaAllah.

Kepada Allah jua tempat dipanjatkan segala harapan.  Semoga Allah mengabulkan, amin.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing