Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, November 30, 2010

Hidayat berkhatan

Ceria.  Tak ada gaduh-gaduh.  Makin malam beransur dingin, makin galak dia bercempera.  Ishh budak ni... Esok, semoga tiada aral dan dimudahkan urusan oleh Pemilik Waktu, Hidayat akan berkhatan di Hospital Tutong.

Anak yang paling murah kos bersalinkan dia, RM390 sahaja tanpa bermalam pun.  Abahnya bukan kakitangan kerajaan, dan pada kami di antara empat anak-anak, kos Hidayat adalah paling murah.  Waktu itu, kami menetap di TTDI Jaya U2, Shah Alam.  Berbicara dengan rakan-rakan, saya tertarik untuk mencuba bersalin di Hospital Putrajaya.  Setelah congak-congak jarak dan masa dari rumah, abah Hidayat menjangkakan laluan tidak sibuk untuk kami bergegas ke sana apabila sampai masa nanti.  Sekitar 30 minit dan boleh sampai lebih awal kalau tekan minyak dan nyalakan lampu isyarat kecemasan sekiranya perlu.

Jadi, kami pun pergi ke hospital yang masih baru itu untuk membuka fail.  Staf menyuruh kami kembali ke hospital hanya apabila saya sudah sampai masa.  Mudah je.  Siang hari 9 Julai saya memulakan aktiviti menolak almari dan memindah katil.  Tiba-tiba datang mood nak mengubahsuai kedudukan perabut dalam bilik.  Buat kerja sorang-sorang dan senyap-senyap supaya tak ketahuan.  Mudah-mudahan taktik ini menjadi sebab tarikh jangkaan bersalin sudah tiba.  Hanya saya tidak mendapat apa-apa tanda, jadi apa kata saya cuba mendatangkan tanda.

Menjelang tengah malam saya mula rasa sengal-sengal di pinggang.  Semakin lama semakin kerap.   Jam 2 pagi, kami bergerak ke hospital  Putrajaya setelah memaklumkan kepada mak.  Perjalanan selesa dan tenang, tidak terburu-buru.  Alhamdulillah, akhirnya 10 Julai 2002, Rabu bersamaan dengan 29 Rabiul Akhir 1423Hijrah,  Hidayat lahir seiring dengan suara azan Subuh dari masjid berdekatan.   

Ketika itu, belum banyak kes bersalin di hospital ini kerana ia baru dibuka.  Kami yang beralamat Shah Alam pun diterima tanpa soal jawab.  Setelah selamat bersalin dan dibersihkan, saya dihantar ke sebuah bilik yang nun jauh berbelok-belok, memang terasa jauhnya.  Timbul rasa pelik menerima pandangan kehairanan dari pekerja pembersihan dan jururawat bertugas yang datang menjenguk.  "Dik, kalau boleh balik hari ni, baliklah ye.  Tak payah la tido sini."  kata jururawat pangkat kakak kepada saya dengan ramah sambil tersenyum.  Hari masih siang terang benderang, dan saya menangkap sesuatu di sebalik kata-katanya.  Sempat saya berehat bersama bayi kecil di sisi.  Tidak lama kemudian abah Hidayat muncul bersama mak, Naqib dan Hurilain.  Setelah diperiksa oleh doktor bertugas sambil mendengar soksek soksek jururawat dengan doktor, saya dilepaskan pulang kerana tidak ada sebarang  komplikasi yang membimbangkan.

Sebelum pulang, saya bertemu jiran bilik sebelah, menjenguk dan mengucapkan selamat tinggal. Sudah tak ingat dengan jelas setelah lapan tahun berlalu, namun rupa-rupanya saya bukan ditempatkan di bilik untuk wanita bersalin.  Bilik itu sudah lama tidak berpenghuni, kata jiran bilik sebelah.  Syukurlah, kalau sudah jururawat sendiri menasihati saya supaya tidak tidur di situ, saya pun memang tak sabar nak balik ke rumah. Dan saya tak mahu fikir atau bayangkan apa-apa pasal bilik itu. 

Petang hari kembali dari hospital, abah Hidayat menerima sebahagian tunggakan payment yang sudah lama ditunggu-tunggu.  Alhamdulillah.  Kelahiran yang membawa rezeki kerana waktu itu kami berada di dalam kesempitan sebenarnya.  Biasalah, perniagaan yang ada turun naik dan surut pasangnya.

Usia Hidayat tiga minggu, majlis akikah untuknya dijalankan di Masjid TTDI Jaya.  Dua ekor kambing hitam dikorbankan, yang setinggi berdiri apabila digantung selepas disembelih.  Ramai tetamu yang datang - jiran dan kenalan serta sanak-saudara.  Tiga orang ustaz memulakan tahnik dengan menyuapkan cebisan kurma dan sedikit madu ke mulut  Hidayat iaitu Ustaz Ramli, Ustaz Zaki dan Ustaz Sujak bagi mengambil berkat mereka, semoga Hidayat menjadi anak yang soleh dan bertakwa insyaAllah.

Serasa masih baru berlalu majlis berkhatan Naqib, dua tahun lepas.  Sebuah majlis yang meriah.  Kali ini giliran Hidayat pula.  Dia agak kecewa kerana tidak ada majlis yang pasang khemah seperti majlis Along.  Tak ada sesiapa yang datang menjenguk dia.  Iyalah, kalau di Sijangkang insyaAllah majlis sebegitu boleh diaturkan untuk meraikan dia.  Tak apalah, Hidayat.  Wan dah janji masukkan RM100 ke dalam akaun TH Hidayat, atuk pun.  Kalau bagitau Tuk Leha dan Tuk Arbak, tentu ada bahagian untuk kamu tu.  Atuk tengah kayo tu, duit getah naik melambung-lambung hehehe ...

Apa yang penting ialah kamu tak lagi membawa najis bersama.  Boleh solat dengan abah di masjid.  Kamu patut bangga sebab empat tahun lebih awal berkhatan berbanding dengan Along.  Memang kamu perlu dikhatankan sekarang sebab selalu ikut abah ke masjid.  Lagipun  perkara yang baik eloklah kita segerakan.  Okay Dayat!  Tadi Uncle Yahya dah info abah suruh bawa kamu awal pagi esok ke hospital.  Mama, kakak dan adik akan ikut untuk bagi sokongan.  Mama mesti ambil gambar kamu, sebab nanti wan tak caya kamu dah sunat hehehe ...

Akhir sekali semoga kamu cepat sembuh.  Kalau dah okay, Ahad nanti kita ke Miri dan naik ke atas sejauh 90 km lagi untuk ke Gua Niah.  Rehlah melihat kejadian alam ciptaan Tuhan iaitu gua terbesar di Malaysia dan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia.  Ia dianggarkan seluas 12 hektar atau seluas tiga kali padang bola sepak.  Kamu tentu tak sabar nak tidur di chalet, penginapan yang memang kamu suka sangat.  InsyaAllah.  Janji kena jaga pemakanan dan ... segera sembuh.

Monday, November 29, 2010

Akak

“Tak adil untuk dia kerana dia tak bermula dari darjah empat macam pelajar lain.  Tetapi keputusan ini di luar bidang kuasa sekolah.”  Pengetua membelek borang permohonan memperbaharui pas pelajar di tangan beliau, silih berganti dengan memandang wajah saya.  “Biasanya sekolah akan mengadakan peperiksaan khas untuk pelajar seperti ini.  Pernah ada pelajar yang tinggal di luar negara seperti Morocco, mengikut keluarga bertahun-tahun, perfect dalam Mathematics, Science tapi Bahasa Melayu guna bahasa Brunei.  Jadi kami bagi peperiksaan khas.”  Pengetua yang berpenampilan ramah dan mudah didekati mengulum senyum.

Pengetua malah memberi pendapat peribadinya.  Kata beliau, seandainya dia, dia akan membiarkan pelajar ini melalui UPSR terlebih dahulu barulah bertukar sekolah ke Brunei. Saya menghargai pandangan beliau.  Saya hanya bertanya  sekiranya benar ada peperiksaan khas bagi pelajar yang gagal Matematik seperti yang diwarwarkan oleh nenek Yus.  Ada lagi beberapa ibu yang bersungguh-sungguh memberitahu saya tentang PEPERIKSAAN KHAS itu, sepertinya saya baru keluar dari bawah tempurung.  Kata mereka peperiksaan akan diadakan pada 4 Disember ini.  Abah Hurilain turut terpengaruh dan menyuruh saya membuat pertanyaan tentang hal ini.  Namun staf di kaunter AAC hanya meminta pelajar datang untuk sesi persekolahan baru pada 4 Januari 2011.  Pengetua pula angkat bahu sambil senyum lebar dan mengatakan sekiranya saya bersungguh-sungguh, dia boleh membincangkan hal ini dengan pihak sekolah.

(Dari mana timbul idea tentang peperiksaan khas ini?  Ada pula yang mengatakan sebuah peperiksaan khas untuk SEMUA pelajar untuk subjek Mathematics akan diadakan sekali lagi.  Lohh ...  tapi macamana kalau tiba-tiba betul-betul ada ... saya akan jatuh naïf lebih baik betul-betul duduk bawah tempurung pasang piring satelit untuk siaran India. Bukan kerana arrgh ada peksa lagi tapi kerana arrgh aku dah tanya pengetua sendiri tak de apa-apa.)  Apa makcik mengarut ni?

Jadi, sebenarnya tidak ada peperiksaan khas untuk pelajar gagal.  Mulai tahun ini semua pelajar akan masuk darjah 7 dan keputusan peperiksaan PSR akan menjadi tanda aras penempatan subjek pilihan selain subjek utama.

Ramai yang ralat dengan keputusan PSR Hurilain.  Alhamdulillah, 1A BM, 1B BI, 1C Science, 1D GP (Geografi dan Sejarah Brunei) dan 1U Mathematics, bagi saya adalah keputusan yang cantik dan sempurna (pengisytiharan berani mati ..  Ain, jangan rendah diri.  Kamu hebat sebenarnya.  Geng yang menyombong tu pun dapat 2A je hehh.)  Tak ada pelajar yang dapat keputusan sama dengannya di sekolah ini.  Sikap saya sempat membuatkan kawan-kawan anak saya tercengang.  Mathematics gagal la!!!  Apa kena makcik ni?  Sepatutnya saya mengamuk gila atau melempang dia barangkali.  Hehh...  Oh Tuhan, alangkah kasihannya kepada anak ini.  Tidak patut saya tambahkan dukanya dengan cercaan dan kemarahan. 

Saya kembali kepada sebab-musabab.  Atas sebab-musabab bermula dengan ketetapan hati untuk kembali ke Brunei di pertengahan sesi persekolahan dan keyakinan pada apa juga kesan akibatnya, amat tidak wajar disusuli dengan penyesalan sebagai kesudahan.  Redha dan usaha lagi.  Semuga Hurilain dan adik-adiknya, juga Along akan terus merintis kejayaan di dalam usaha mencari ilmu dan menggunakannya di sepanjang hari-hari yang dilalui.  Insya Allah.

Dan semoga abah Naqhuhines cepat sembuh.  Dah lama sihat, sesekali sakit tandanya agar dapat merintih kepadaNya dan bersyukur buat sekian kalinya.   Jom kita kunyah habbatus sauda - ia ubat segala penyakit kecuali maut, baginda Rasul SAW yang memberitahu ini.  Takkan cuak kot.  Surah al-Fatihah tu rupanya ubat untuk 70 penyakit, apatah lagi kalau seluruh al-Quran.  Hebatnya makalah dari Tuhan Rabbul Jalil.  Sempurna untuk kita.  Mari kita amalkan.  Tuhan tidak pernah mungkir janji.  Ya Allah, sembuhkanlah kami dan jadikan kami orang yang sabar lagi redha.  Ameen.

Tadi siang sedang layan mengantuk di ruang majalah Perpustakaan Pandan sambil baca Al Islam, tiba-tiba masuk panggilan dari jauh.  Ohh orang Muar telefon.  Aemy tanya macamana nak buat ambuyat.  Err aku pernah buat ambuyat ke?  Aiseh, makan pernah la.  "Jerang atas api kecik sampai jernih." Aemy kata adunan masih berwarna keruh.  Dan saya terkenang kuih biji sagu pula.  Teringat pada Alai lalu memanjangkan soalan Aemy padanya.  'Tak pernah pulak orang buat ambuyat jerang atas api. Tapi tambah je air panas sampai jernih.  Lepas tu kacau supaya rata jernihnya.' jawab Alai melalui sms.  Huh, saya pun kirim sms semula kepada Aemy cara yang betul untuk buat ambuyat.  Patutla tak menjadi, tapi dah menyuap dah, kata Aemy membalas semula.  Hehe maafla Aemy bagi ajaran salah pulak.

Aemy baru berusia 20 tahun, pelajar dari Labuan yang sedang rehlah di Brunei bersama kawannya Aida.  Kami bersua di Masjid Seria ketika solat Zohor Khamis kelmarin. Ehem saya terus teringat kisah Juha dan usianya yang kekal apabila gadis-gadis ini memanggil saya 'akak'.  Apa pun, saya tak le tue bebeno ... hanya beransur semakit singkat umur sama macam semua orang dan semakin dekat dengan kampung abadi.

Jom nyanyi 'Insya-Allah', Maher Zain.  Sesekali lepaskan suara yang serak-serak basah untuk memanggil hujan.  Ops dah turun kot, biar makin lebat hehhh.





                                                                                                                                                                            

Sunday, November 28, 2010

Majlis Penutup Sesi Persekolahan 2010

Pagi ini saya bersiap sama dengan anak-anak untuk ke sekolah.  Hanya Hanessa yang masih belum berketik dari tempat tidurnya.  Abahnya yang sudah selesai bersarapan roti cicah kambing masak semur bikinan saya semalam, sambil bersiap sambil memanggil dia bangun. 
"Bangun Adik, mama dah pergi sekolah dah ..."  Suara dia menangis tersedu-sedu mula kedengaran.  Segera tersedar bila mendengar ayat-ayat ini dari mulut abahnya.  Saya masih menyuap bersama Hurilain dan Hidayat di dapur.  Untuk menambah effect, saya beri isyarat kepada abahnya untuk menutup lampu dapur juga.  Kami kini menyuap makanan dalam samar pagi.  Ceh, gertakan yang ganas.  Apa komen Dr Fadzillah Kamsah agaknya kalau tau hal begini?
"Jangan ketawa kat dia.  Serius."  bisik saya sambil mencari mata Hurilain dan Hidayat. 
"Kesian dia, mama."  sahut kakaknya perlahan.  Cepat belas cepat pula membalas, karektor kakak ini.
"Shhh jangan cakap kuat-kuat ... nak mengajar dia tak mengapa."

Tidak lama kemudian Hanessa muncul dengan unifom lengkap di sebelah saya.  Air matanya makin lebat.  Mungkin geram.  Seperti yang sudah dipinta, tidak ada seorang pun yang ketawa.  Masing-masing selamba.  Jam 7.30 pagi kami sudah bersedia menuju sekolah.

Di dewan Sekolah Rendah Muhammad Alam, acara berlangsung dengan lancar.  Kami dipersembahkan dua tarian dari lagu Korea; "Nobody But You" dan satu lagi tak tau apa tajuknya (nak tanya Hurilain, dia sudah lena saat ini).  Ada instructor di bawah pentas sama menari, memandu anak-anak perempuan pelbagai usia yang sedang menari di pentas.  Akhir sekali ialah Dikir Barat Ulik Mayang Diulik dengan tukang karutnya adalah seorang guru lelaki.  Mengapa bukan pelajar yang 'mengarut' ... Saya suka dikir barat tetapi yang ini berentak slow.  Tapi, menarik dan tahniah kepada pelajar yang membuat persembahan.

Ada seorang wanita sudi duduk di sebelah saya.  Sejenak berbual, akhirnya kami bertukar nama dan nombor telefon.  Wajahnya 'sebijk' iras Puan Saripah, ibu Hakim yang pernah saya jaga di nurseri dulu.  Peramah dan boleh serasi.  Dia isteri pegawai polis bahagian jenayah Seria. 

Tengahari kami berkejar pulang ke rumah.  Batal rencana ke Perpustakaan Pandan untuk memulangkan buku.  Perlu mengejar masa makan dan solat, dan kembali ke sekolah semula untuk acara seterusnya - sukaneka.  kami memakai pakaian sesuai untuk acara yang banyak pergerakan.

Saya mendapat nombor 91 untuk cabutan nombor bertuah.  Tetapi nombor yang disebut hanya berdekatan dengan nombor saya ; 89, 92, dan 16 yang serupa tapi tak sama.  Tak mengapa, yang penting adalah penyertaan dan semangat kehadiran yang besar kesannya kepada anak-anak.   Kalau tidak kerana telah berjanji dengan Yus kawan Hurilain yang meminta saya datang, dan kerana Hurilain sudah berjanji dengan Mary, serta janji saya sendiri dengan Puan Jamilah kawan baru tadi, nenek Yus sendiri dan ibu Mary untuk hadir tengahari yang garing ini, rasanya dah lama saya lena qailullah.  Fuh, sabarrr dan rupanya sempat juga saya tersengguk di kerusi tatkala acara padang begitu hambar buat seketika.  "Mama ngantuk ke?"  tanya Hurilain sambil melakonkan gerak luar kawal saya.  Huh, budak ni memerhatikan saya rupanya dari jauh.

Kad kecil berwarna kuning dengan nombor 91 di tangan saya belek-belek.  Sesekali saya bercakap dengan Puan Jamilah di sebelah.  Sebentar lagi acara untuk ibu akan tiba, iaitu memasukkan bulu tangkis ke dalam kotak.  Geng saya sudah setuju akan menyahut cabaran ini.  Tiba-tiba anak telinga menangkap nombor 91 diumumkan.  Alhamdulillah, dengan senyum teramat lebar saya melangkah merentasi padang untuk mengambil hadiah di khemah urusetia.  Cikgu Dianawati, guru kelas Hurilain menyerahkan Jug Kettle Cornell ke tangan saya.  Terima kasih cikgu.   

Angin bertiup kuat.  Tentu susah nak masukkan bola tangkis ke dalam kotak kalau begini.  Memang pun.  Hanya berjaya memasukkan satu bola tangkis yang terbang melayah mengikut angin petang.  Nampaknya rezeki Puan Jamilah pula untuk membawa pulang hadiah tempat kedua.  Bola tangkis saya malu mahu masuk ke dalam kotak ketika saringan kedua. 

Jam 5 pm, selesailah acara Majlis Penutup Sekolah tahun 2010M/1431H dengan jayanya.  Semoga tahun hadapan bertemu lagi.  Saya sudah menambah beberapa kenalan baru lagi.  Makin mesra dan serasi dengan suasana.

Masih agak letih.  Sekadar sedikit catatan.  Tadi saya sudah lelap dan terjaga ketika mendengar telefon bimbit berbunyi.  Sungguh mamai, saya keliru sama ada ia adalah bunyi alarm atau panggilan masuk.  Saya jadi terpinga dan mengambil masa untuk sedar sepenuhnya.  Ishh macamlah apa, walhal hanya masuk acara sukaneka je ...  Akibatnya panggilan mak terputus beberapa kali hingga abah Hanessa terpaksa membantu saya.  Akhirnya dapat juga berbicara dengan mak, "Kenapa telefon ekau, asyik putus jo?"  mukaddimah mak.   Hehehe ...  Bertukar-tukar berita dan pastinya bertanya tentang cucu-cucunya di sini dan macam-macam lagi. 

Tiada feel yang biasa ada ketika mahu menulis.  Uhh ...  terasa hambar dan ... baik tidur, dah jam 12.14 pagi rupanya. 

Jangan tukar jadual harian anda termasuk waktu tidur - kesilapan biasa ramai orang lakukan di hujung minggu - kerana ia menyebabkan jam biologi anda keliru dan bercelaru lalu menjadikan anda semakin letih sebenarnya.  Makcik faham?

Makcik noted : surat-surat sudah diposkan siang tadi - kepada Naqib bersama lukisan dan keychain pistol celupan emas tiruan dari Hidayat sebagai hadiah hari lahir Along, dan dua lagi kepada pihak madrasah.  Minggu depan sampailah tu, insya Allah. Udah le tu, moh tido!

Friday, November 26, 2010

Bahasa Tubuh

As salam.

Jam 11.37 PM baru mampu membuka blog ini dengan agak lancar.  Kedengaran di luar seperti suara hujan.  Alhamdulillah, hujan rahmat di malam Jumaat setelah siang tadi panas berdenting!

Hidayat sudah dapat permainan lagi dengan wang $20 pemberian khas dari abahnya, sempena mahu berkhatan pada Rabu depan.  Nampaknya si abah menurut sahaja permintaan anak jantannya ini.  Dan budak ini pula memang pandai membeli hati abahnya dengan gurau senda dan gelak ketawa yang ceria.  Mujur dia menerima saranan abah supaya membeli permainan cantum pasang lagi, maknanya tak la mahal sangat.  Dia sudah rancang membeli jet perang untuk melengkapi koleksi.  Tiba masanya, jet impian sudah tidak ada di rak kedai.  Agak kecewa tentunya tetapi mana boleh lepaskan peluang, Hidayat membeli mainan cantum pasang istana yang lengkap dengan tentera berkuda bermisai lentik berharga $23.90.  Perlu tambahan duit dan saya tolong korek tabung duit yang ada dibawanya di atas kaunter bayaran, dan tolong tambah sedikit lagi dari dompet saya.  Teruk eh?  Hehe ...

Kalau ikutkan prinsip saya, dia mesti beli mainan yang tidak melebihi $20 itu kerana hanya wang itu yang dia ada.  Tetapi sesekali (yang kesekian kalinya) rasa kasihan menerpa andai harapan dia dihampakan.  Tambahan bukan semua permintaan dia yang tertunai sebenarnya.  Sudah bertahun dia berangan-angan memiliki PS2, PS3, PSP, komputer, basikal bla bla bla ... hanya basikal yang dia pernah miliki dan sekarang tinggal di Sijangkang, mungkin sudah beransur reput.  Juga desktop untuk dia bermain games setelah lama meminta.  Rekomen saya juga.  Saya cukup tak suka melihat dia tekun berjam-jam mengadap skirn komputer untuk bermain games, walaupun buat seketika kakaknya merasa tenang.

Semua tinggal di sana.  Di sini belum dapat dibelikan lagi.   Mana boleh dia seorang sahaja.  Kakak dan adik dia tentu menuntut sama, saya pun nak juga cuma isyarat semata!  Ishh...  Tapi firasat saya mengatakan Hidayat akan dapat basikal baru tak lama lagi.  Anak abah ...

Seperti yang sudah-sudah, si kakak yang bertahi lalat di jari telunjuk kiri itu yang beria-ia memasang binaan istana hingga siap.  Sepanjang masa itu, Hidayat sangat baik terhadap kakaknya.  Ternyata kakak dapat mengambil alih peranan Along yang jauh di sana.  Perhubungan yang saya katakan selalu di tahap kritikal umpama Israel dan Palestin ini sudah berubah menjadi kerjasama yang baik antara Jepun dan Malaysia untuk mengeluarkan kenderaan nasional kita. Satu pemandangan yang sangat menyenangkan hati saya.  Gelak tawa dan gurau-senda.  Ada tolak-ansur dan pemahaman.

Tetapi sebenarnya ia hanya sementara sahaja.  Si kakak dan adik lelakinya kadang-kadang seperti kutub utara-utara atau selatan-selatan yang bertentangan pada dua magnet yang dipertemukan sedemikian.  Pasti ada penolakan.

Kepada Hurilain yang lebih matang dan tua 4 tahun dari adiknya, saya sarankan supaya dia menghadiahkan al-Fatihah kepada adiknya yang agak keras setiap kali selepas solat, paling kurang tiga kali.  Selalunya saya cuba kendurkan ketegangan dengan mengusap-usap belakang Hidayat dengan lembut, dan alihkan kakaknya jauh-jauh.  Apakah keadaan itu seperti seekor cerpelai dengan tedung selar?  Atau ahli sumo yang saling bertolakan?  Apa lagi?  Dahsyat tu...  Sebenarnya tidak seteruk mana sekiranya ada yang mahu mengalah dan menahan dari membuat bahasa badan yang meningkatkan rasa geram.

Bahasa badan sangat penting untuk menjadi isyarat kepada orang lain yang memandang kita.  Renungan dan jelingan mata, kumat-kamit mulut tanpa suara - adalah dua bahasa yang sangat diperhatikan oleh Hidayat terhadap kakaknya.  Malangnya sehingga saat ini si kakak masih merasakan itulah satu-satu cara dia meluahkan perasaan yang membara.  Ohh ...

Untuk menghasilkan anak yang cemerlang  menurut Dr Fadzilah Kamsah ialah dengan mendoakan mereka tanpa jemu, terus mendidik mereka dengan hikmah dan visual yang jelas terhadap mereka bahawa mereka memang cemerlang.  Ubah persepsi ibu bapa terhadap si anak dari negatif kepada positif.  Persepsi yang baik juga merupakan doa ibu bapa terhadap si anak. 

Semoga Naqhuhines ; Muhammad Naqib, Amirah Hurilain, Muhammad Hidayatullah dan Amirah Nurhanessa benar-benar menjadi anak yang cemerlang dan pandai bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Tadi siang, saya menunaikan janji untuk membawa Hanessa ke klinik gigi.  Dia semakin rimas dengan sebatang gigi kacip bawahyang sudah setengah bulan goyang, yang menyukarkan dia mengunyah makanan.  Anak ini sangat toleransi ketika saya terlupa membawa surat beranaknya semalam.  Tadi, dia dengan tenang dan penuh keyakinan mengikut saya masuk ke bilik bedah gigi untuk operasi mencabut gigi.  Rezekinya baik kerana mendapat layanan mesra dari jururawat bertugas yang sangat ramah yang pernah mengunjungi sekolahnya.  Ternyarta beliau sangat berpengalaman dalam bidang tugasnya dan pandai mencuri hati Hanessa.  Hanessa naik sendiri ke atas kerusi pesakit tanpa riak takut sedikit pun. Dan tidak ada setitis air mata untuk gigi kacip yang dicabut.  Sebelum pulang, jururawat peramah memberi beberapa keping stiker kartun untuk ditampal di dinding bilik air.  Perkhidmatan adalah percuma tetapi pihak berkenaan sedang dalam perancangan untuk mengenakan bayaran yang bersesuaian kepada pemegang kad pengenalan hijau seperti kami.  "Jaga gigi baik-baik ah, kalau sudah kena bayar nanti mahal atu harganya."  kata jururawat kepada Hanessa.  Saya tumpang seronok dan bersyukur kepada Allah yang memudahkan urusan ini.  Ini adalah kali kedua Hanessa mencabut gigi.  Kali pertama ketika dia berumur sekitar dua tahun apabila gigi hadapannya patah tebu gara-gara terhentak ke siku saya tatkala dia melakukan mainan rebah-rebah di atas katil.  Waktu itu dia cukup takut dan menangis, bahkan meronta.

Anak mama semakin cerdik dan matang.  Alhamdulillah.  Semoga Hurilain dan Hidayat juga belajar saling kasihan mengasihani, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.  Hidayat jangan tendang dan tumbuk kakak lagi ya, sakit dia.  Dia kakak kamu sampai bila-bila.  Kamu mesti jaga kakak dan adik baik-baik.  Jangan sakiti kakak, kasihan dia.  Ain, tolonglah kawal bahasa tubuh kamu tu.  Tunjukkan bahasa tubuh yang menyenangkan.  Kamu sangat sweet kalau bermuka manis.  Pergi tengok cermin kalau buat muka masam, cantik ke?  Mama tak rasa macam tu.  Pesan mama, jangan kerut dahi ya.

Salam sayang buat Naqhuhines.

Thursday, November 25, 2010

Catatan

"Sepupu saya yang berumur 12 tahun berangkat ke Yaman esok. Misinya menjadi hafiz dan mahir berbahasa Arab. Apakah hadiah paling sesuai diberikan? Mohon cadangan."   Ini adalah entri saudara Irfan Jani di Facebook.  Saya berminat merakamkannya di sini untuk tatapan bersama.  Tentu ada yang baik untuk difikirkan.
Sebelum itu saya menerima kiriman emel dari seorang sahabat di Malaysia, berkaitan dengan Kaedah Jibril untuk hafazan al-Quran oleh Ustaz Asyraff, hanya berharga RM45 untuk set lengkap. Saya mahu memilikinya.  Insyaallah.
Saya sudah selesai draf surat permohonan untuk kemasukan 2011 ke pusat tahfiz, juga surat memohon sokongan dari pengetua madrasah Naqib, serta sepucuk surat untuk Naqib sendiri.  InsyaAllah akan diposkan secepat mungkin dan fax juga barangkali.  Semoga permohonan ini diluluskan oleh pihak madrasah.
Hari lahir Naqib ke 14 tahun akan menjelma tiga minggu lagi.  Tetapi tiba-tiba saya mahu bertukar kepada tarikh Hijrah untuk membesarkan bulan Islam.  Sudah lama bercadang tetapi selalu lupa.  Ah, manusia memang selalu lupa.  Kini saya sudah tampal tarikh lahir kami sekeluarga di atas meja dan boleh rujuk dengan segera.  Maka tarikh lahirnya jatuh pada 3 Syaaban 1431H, hmm dah berlalu pun.  Maknanya dia sudah pun berumur 14 tahun pada Julai lepas.  Selamat hari lahir, anakku sayang!  Semoga menjadi anak yang berguna dan memberi manfaat kepada semua.
Hanya abah Naqib sahaja yang tetap mempertahankan tarikh lahirnya pada 1 Safar walaupun jika menggunakan aplikasi internet, dia lahir pada 30 Muharram.  Tak ada masalah, dia dah lahir pun dengan selamatnya walaupun punggung yang keluar dulu ... Berkebolehan mengurut - lelaki sahaja.
Siang tadi saya sudah menghantar borang pendaftaran untuk kemasukan ke Tahun 7 (Tingkatan 1) Hurilain di Maktab Anthony Abell Seria (AAC) dan mendapatkan borang untuk perbaharui pas pelajar mereka bertiga untuk tahun 2011.  Sekiranya pusat tahfiz menolak (ohh tidak!) maka Hurilain akan belajar di AAC setahun dua lagi atau sehingga abahnya benar-benar berkeyakinan untuk 'menghantar' dia balik ke Malaysia.  Ada beberapa perkara berkaitan kesihatan Hurilain yang perlukan perhatian. Semoga cita-citamu mengikut jejak Along dibantu Allah SWT.
Selepas solat Isyak tadi, saya menunaikan janji yang tertangguh untuk bikin biskut cornflakes.  Cairkan coklat, campur butter dan gula aising.  Curah cornflakes dan gaul.  Letak sesudu demi sesudu dalam cupcakes dan Hanessa hias dengan kismis doa.  Sedap tapi macam tak cukup cornflakes maka jadi macam terlebih coklat.  Sedap sangatttt!  kata anak-anak.  Hmm lain kali kamu boleh buat sendiri.  Sekejap sahaja dah siap dan boleh suap dalam mulut terus ganti jajan yang masin-masin tu. 
Jam 1.15 pagi.  Salam Awal Muharram - lagi 12 hari.. Jumpa lagi.

Wednesday, November 24, 2010

Memikir

As salam.

Apabila menulis cerpen, kita perlu memikir.  Fikir luar kotak...  Fikir secara kreatif ... fikir tema yang boleh membantu masyarakat bagi penulis mapan ... sesuatu yang bisa membantu masyarakat (yang membaca) berfikir pula bagaimanakah caranya yang patut lagi sepatutnya untuk membaiki gejala, permasalahan, kepeningan, persoalan dari isu titik bengik hinggalah perkara sejagat seantero dunia. 

Saya bukan penulis cerpen dan novel sejati, hari ini saya rasa begitu.  Anda tak tahu, sambil menggosok pakaian bapa Naqhuhines, saya terfikir bagaimana saya perlu tulis untuk panjangkan penulisan novel saya.  Selepas satu bab ke satu bab.  Sebenarnya ia mudah sahaja jika saya bersikap semberono dan ambil mudah.  Tulis sahajalah ... nanti Sifu akan beri sentuhan Midasnya.  Kau perbaiki dan hantar lagi hingga Sifu kata 'sangat sangat sangat sangat sangat baik'.  Lalu masuk bab baru.  Tapi bukankah ia memang mudah, kerana tema ini saya ambil dari pengalaman saya sendiri.  Kisah seorang kakak yang melalui saat getir rawatan dan kesakitan barah tulang hingga beliau dijemput Illahi.  Kakak saya sendiri. 

Cuma padan muka saya, kerana sudah kacau bilau.  Saya perlu memikir bagaimana mencipta jalan cerita sendiri kerana sudah tersilap di awalnya, gara-gara tema bertulis di dalam kepala sahaja.  Noktah.

Saya sekadar mahu merakamkan sebuah kehidupan nyata.  Khususnya tentang anak-anak yang saya lahirkan dan belai semenjak sebesar dua jari.  Ia menambah nikmat jiwa apabila saya menulis.  Saya belajar melihat anak-anak dengan lebih teliti, belajar menyelami nurani mereka, cuba mengerti perasaan mereka apabila ada tindakan-tindakan yang membuatkan saya tertanya-tanya 'mengapa?'.  Mereka adalah permata yang berharga.  Juga membantu saya lebih peka kepada perasaan manusia di sekeliling khasnya ahli keluarga.  Saya terus mencuba.

Bahawa saya selalu mengingatkan diri, satu ketika akan ada pemutusan.  Dan ini semua menjadi tatapan dalam kenangan. 

Wassalam.  Terima kasih dan ketemu lagi. 

Tuesday, November 23, 2010

Kiswah

Alhamdulillah.  Dapat juga log masuk ke blog. 

Saya sudah tergolek tidur-tidur ayam bersama buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh pendakwah Dr. Danial Zainal Abidin, edisi kemas kini cetakan kelima 2007.  Tiba-tiba, "Mama, abah suruh buat teh tarik nak cecah biskut.", Hidayat bersuara di telinga membuatkan saya terjaga semula.  Saya berbisik kepadanya, "Cakap dengan abah, mama dah tidur!" dan saya terus 'tidur dengan lenanya'.  Hidayat kembali kepada abahnya yang sedang mengadap channel Discovery, "Abah, mama dah tidur!"  Saya seperti nampak dia sedang tersengih dan angkat-angkat kening dengan abahnya.  Sudah hampir jam 11 malam laa ...  "Mama, sebenarnya Dayat yang nak la sebab Dayat rasa lapar."  sekali lagi Hidayat mendekat pada saya.  Uhh, tu la tadi makan nasi sikit sangat.  Dan saya pun menuju dapur untuk memenuhi permintaan anak cum bapaknya juga tu.  Mereka sedang makan biskut Hup Seng cecah teh tarik sekarang. 

Kiswah adalah novel terakhir yang saya habisi petang tadi, mungkin, kerana saya berkeputusan menghentikan pinjaman sebarang novel selepas ini.  Tercatat di helaian bahagian hadapan; sebuah novel dewasa "KISWAH" karya Isa Kamari, terbitan Pustaka Nasional Pte, Ltd., Singapura.  Cetakan pertama 2002.  Sebuah sayembara novel watan.

Saya tak pandai mengulas tetapi sedikit pandangan, ayat-ayatnya tinggi dengan makna yang cukup tersirat.  Sebuah perjalanan bulan madu sepasang pengantin ke negara eksotik dan mistik India lalu disudahi dengan umrah di Tanah Suci Mekah yang mulia.  Seorang isteri muda yang diterpa kejutan di ambang gerbang perkahwinan oleh perlakuan si suami yang sangat mencintai dan dicintainya.  Wanita yang bermata hijau zamrud indah yang akhirnya hilang di pinggir Kota Mekah akibat kecuaian sang suami.  Dan setelah dilambung pelbagai ombak kehidupan selepas lima tahun berlalu dari saat pengantinnya lesap tanpa kesan (dilarikan teksi pengangkut penumpang), Iryadi kembali ke sisi Kaabah sekali gus membatalkan janji pada diri untuk tidak menjejakkan kaki lagi ke sana.  Keterpaksaan kerana kekasih hatinya Nazirah hanya mahu dinikahi di dalam Masjidil Haram.  Setelah puas koreksi diri dan berusaha menghapuskan ketakutan beriring dosa yang melingkungi diri, akhirnya Iryadi mengecap nikmat kepuasan dan ketenangan yang abadi di sudut jiwa. 

Kisah berakhir dengan sebuah tragedi; "Tariq!  Tariq!  Rooh!  Rooh!"  Suara 'keretapi kayu' menganggu lamunannya.  Dia menoleh ke kiri.  Sekilas pandangan sesuatu yang keras menghentak kepalanya.  Kepalanya terasa amat sakit.  Rambutnya menjadi basah.  Sebahagiannya tercampak di lantai bersama tempurung kepala yang terkupas.  Pandangannya kabur.  Kemudian menjadi hitam pekat.  Sepekat lembaga berkerudung hitam yang menyambutnya.  Lantai marmar putih ditetesi cecair merah yang menyerap ke alam antara.  Hangat merekah dalam kedinginan.  Sedingin zamrud yang bersemadi di dalam bumi. 

Masih menerima sokongan buat Hurilain.  Teringat Ustazah Aisyah lagi.  Kemasukan ke pusat tahfiz itu sangat terhad, hanya sekitar 20 orang sahaja dan jumlah pelajar keseluruhan sehingga A Level hanya 98 orang.  Kuota pelajar luar pula hanya tiga kekosongan, manakala jumlah permohonan keseluruhan ialah lebih 300 permohonan. 

Siang tadi semua anak-anak ke sekolah untuk mengetahui penempatan kelas tahun hadapan.  Saya muncul di perkarangan sekolah Muhammad Alam jam 10 pagi.  Bertembung dengan Timbalan Guru Besar, kemudian terserempak pula dengan Puan Guru Besar sendiri yang peramah.  Masing-masing ralat dengan kegagalan Hurilain di dalam mata pelajaran Mathematics, yang turut 'membantu' kejatuhan peratusan keseluruhan.  Hmm keputusan Sekolah Kebangsaan Sijangkang pun merosot dengarnya, walaupun keseluruhan paling baik semenjak 2007.  Keputusan PSR Hurilain 'cantik dan sempurna', hanya dia satu-satunya calon yang beroleh keputusan sedemikian rupa.  Tak tega saya berkongsi di sini, tentu dia tak rela.  Namun dia akan naik pentas pada Sabtu 27hb ini untuk menerima hadian peningkatan kerana beroleh 'A' di dalam subjek Bahasa Melayu sebagaimana yang dijangka. 

Borang permohonan ke sekolah menengah sudah diterima berserta sijil peperiksaan dan sijil tamat sekolah.  Guru Besar memberi pandangan supaya kami bertemu dengan Timbalan Pengetua @ Pengetua sekolah menengah bagi menerangkan kedudukan Hurilain yang hanya sempat belajar tak sampai lima bulan, untuk membantu penempatan kelas nanti.  Cadangan yang dihargai dan boleh diambil perhatian.

Hidayat akan ke Darjah 3A, manakala Hanessa masuk Darjah 1B; masing-masing naik darjah mengikut kelas sekarang. 

Semalam Ahad, 21hb, Naqib sudah pulang ke madrasah.  Walau menjelang petang, mak saya sambil gelak-gelak mohon Naqib 'dicutikan sekejap' sehingga esok (hari ini) kerana Ummi Faridah bersama Amirul mahu berkunjung dari Shah Alam dan makan sate pada sebelah malam nanti .  "Tak diluluskan!" terdengar suara mak dari corong telefon, mungkin dia mengabarkan kepada abah dan wan, apabila saya dan abahnya sepakat dia mesti dihantar pulang semalam juga.  "Kan Along sendiri kata, siap nasihat kat Ain - mesti patuh pada peraturan dan arahan ustaz supaya belajar diberkati."  kata saya dan abahnya.  Anak ini, tentu mati akal dengan wannya sebentar tadi.  Apa la nak heran dengan sate, hanya mungkin tak dapat jumpa Amirul.  Dan dia pulang ke madrasah bersama barangan asas yang dibelikan wannya, serta bekalan rendang ayam dan sambal udang.  Uhh rezeki kamu la Naqib sementara wan masih gagah memasak rendang untuk kamu. 

Hidayat sudah conform akan dikhatankan pada 1 Disember ini.  Dia gerun dan berkali-kali meminta ditangguhkan sehingga darjah 6 nanti.  Tetapi ketika bersembang dengan Alongnya di corong telefon semalam, dengan bangga dia mengabarkan akan berkhatan pada hari pertama cuti.  Kemudian dia berdiskus tentang hadiah yang mahu dituntut dari abah nanti, sambil meminta 'nasihat' Along yang lebih pandai darinya.  PS2, PSP, basikal, komputer bla bla bla...  Saya pasang telinga saja.  Akhir sekali, dia meminta abah usah menggunakan perkataan 'sunat' tetapi digantikan dengan 'permainan' untuk menghilangkan gemuruhnya.  "Haa nanti abah bawak Dayat gi 'permainan' kat hospital hari Rabu tu.  Dayat akan di'permainan'kan heeee!!"  kata abahnya.  Ntah apa-apa la budak ni ...  Dan insya Allah Ahad iaitu hari kelima selepas itu kami akan ke Gua Niah pula. Semoga waktu itu Hidayat sudah sembuh sepenuhnya.

Naqib bertanya rancangan kami dan adik-adiknya pada cuti ini.  Teringat pesan mak supaya jangan bercerita tentang perjalanan yang telah dirancang, tetapi tidak sanggup menyembunyikannya.  Saya berterus-terang dengan Naqib disusuli dengan kata-kata perangsang buatnya.  "Along jangan fikir sangat tentang kami kat sini.  Usah merasa ralat tidak bersama.  Kalau ada rezeki kita ke sana nanti.  Menghafaz sungguh-sungguh. Semoga Along akan berehlah serata pelusuk dunia nanti sebagai da'e untuk amar ma'ruf nahi mungkar."  Saya ceritakan tentang sekali sekala saya menjenguk blog pelajar-pelajar luar negeri dalam pengajian ugama dan perubatan.  Saya khabarkan tentang rakannya Mukhlis yang kini berada di Afrika, jauh dari keluarga demi menimba ilmu.  Semoga Naqib mendapat suntikan semangat dari kisah-kisah sedemikian. 

Menjelang Muharram yang bakal menjelma.  Ya Allah, masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang sentiasa bertaubat padaMu dan mengharap rahmatMu; jadikanlah kami orang-orang yang berbahagia di dunia dan di akhirat.  Ya Allah, sambunglah silaturrahim yang terputus angkara keegoan dan bicara lidah yang tidak bertulang di kalangan kami.  Semoga biduk berlalu kiambang bertaut.  Untuk apa harta dunia dan usia yang panjang, sekiranya doa tertahan kerana ada dendam.  Ya Allah, jemputlah mak abah untuk menunaikan ibadah umrah pula.  Semoga hasrat mereka membawa Naqib bersama diterima Allah.  Semoga wan juga dapat mengunjungi Tanah Suci sekali lagi.  Sekiranya Allah SWT berkehendak, tidak ada yang dapat menghalang.  Semoga doa kekanda Noraini di hadapan Kaabah, Raudah dan semua tempat-tempat yang makbul di waktu yang makbul diterima di sisi Allah SWT.  Ameen ya Rabbal Alameen.

Err panjang ke?

Saturday, November 20, 2010

Mama, nak tanya boleh?

As salam.

Syahdu?

Sekadar cerita keluarga ...  bila dah keluar macam ni, rasa hmm ... 'kenapa tulis itu di sini ya?  Sekarang dah habis dibaca.  Awak tak segan ke makcik?' 

Itu adalah air mata yang saya tak fikir ada untuk kegagalan anak saya ke pusat tahfiz itu, tak sangka rupa-rupanya air mata itu sudah siap menunggu masa sahaja untuk terbit dari hati saya.  InsyaAllah hati kami semakin sembuh.  InsyaAllah ada tempat lain yang sedang kami intai.  Satu tempat yang pernah abah Hurilain nyatakan untuk menghantar dia ke sana kepada tenaga pentadbiran satu ketika dahulu.  Surat sudah saya draf untuk dimajukan ke pihak berkenaan.  Kali ini saya sudah bersedia untuk menghantar surat-surat rayuan sekiranya permohonan kami mendapat jawapan yang mengecewakan.  Saya akan lakukannya!  Ini hanya tindakan zahir.  Selebihnya didahului dengan doa dan harapan ke hadrat Allah.  Semoga Allah menerima doa kami.  Semoga tempat ini lebih baik dan terbaik buat Hurilain.  InsyaAllah.

Saya sedang download 'Seekor sapi menyebut Allah, sesaat sebelum disembelih' di FB sahabat.  Saya deactivate akaun Naqib tapi sebelum tu buka dulu dan terjumpa video ini.  Jenuh menanti, 'habih la duit hp ni ...' sebab downloading memang memakan duit.  Tak praktikal memasang telefon rumah di sini.  Kami tidak berniat mahu bermastautin di daerah ini.  Esok lusa mungkin berangkat ke daerah lain.  Tunggu la Kak Leha pasang telefon rumah, boleh tumpang semangkuk nanti guna line dia. Kak Leha sedang dalam semangat berkobar-kobar mahu memasarkan produk airnya nanti di internet.  Syabas Kak Leha!  Kali ini Hidayat mendesak mahu melihat lembu yang boleh bercakap menyeru nama Allah yang Maha Pencipta.  Masih boleh dilayan.  Dia sangat teruja nampaknya.

Tapi tadi Hidayat telah bertanya soalan yang saya tidak mahu mendengar dan menjawabnya.  Kerana saya tidak yakin jawapan yang boleh memuaskan hati budak lelaki 8 tahun ini.  "Mama, rogol tu apa?"  Maaf, saya tulis saja ni.  Tanpa niat buruk.  Ia menjadi catatan saya sendiri tentang anak saya, satu-satunya anak saya yang telah bertanya kepada saya tentang ini.  Oh ya, Hurilain pun rasanya pernah bertanya.  Dulu.  Mata saya bulat, buntang melihat Hidayat dengan dahi berkerut (walhal saya tak suka kerut dahi, tapi kali ini saya mesti kerut kening!).  Ada rasa seperti ... sedikit ngeri.

"Itu perbuatan tak baik oleh lelaki kepada perempuan."  Hidayat sengih.  Tentu dia memikir lagi.
"Buat tu berdosa, masuk neraka."  Ada respon dan soalan susulan lagi. 

Saya tak jelaskan apakah perbuatan itu, bagaimanakah ia dan sangat berharap Hidayat puas hati setakat itu.  Tapi, mungkinkah dia dapat mengesan di sebalik jawapan saya?  Maksud saya, dia sebenarnya mungkin sudah faham tapi mahu lebih faham dengan yakin dari saya? Nasib baik dia tak tanya 'buat tu' tu buat apa?  Saya akan tanya dia balik!  Huh ... 

Saat ini dia sedang bermain bantal dengan Hanessa.  Baik, saya tanya dia sekejap. 

Hmm ... dia mengaku tidak pernah berbicara 'tajuk' ini dengan kawan-kawannya.  Saya pun tak mengharap budak 8 tahun berbincang hal ini sesama mereka.  Walau saya masih ingat, mungkin anda juga, kes murid Tahun 1 buat praktikal video yang ditonton di rumah dengan rakan-rakan di bawah meja sekolah.  Ya Allah, selamatkan anakku dan kawan-kawannya dari fitnah akhir zaman. 

Saya rasa saya tahu bagaimana nak menghadapi pertanyaan sebegini, apabila bertembung dengan artikel atau soal jawab dari para ibu yang menghadapi dilema dari soalan anak-anak.  Dan tadi, saya kaget pula.  Apa yang penting adalah menyatakan prinsip perbuatan baik dan perbuatan buruk, dosa pahala dan natijah perbuatan yang dilakukan.  Dengan Hidayat, saya perlu menjawab dengan tegas.  Tidak boleh 'lari' dari soalannya.  Dia akan tanya macam-macam selagi dia tak puas hati.  Jadi, kena tegas juga.  "Nanti dah semakin besar Hidayat akan tahu hal ini."  Sebenarnya saya mahu cakap, "dah stop.  Jangan tanya lagi.  Mama nak tulis blog ni."  tapi tak sampai hati pulak.  Tak patut begitu.

Tadi siang dia adik-beradik menonton cerekarama Aidiladha 'Quran Buruk' dan dia mendengar perkataan 'sula'.  Hidayat dan kakaknya mempamerkan raut ngeri apabila mendengar maksud sula daripada saya. 

Saya pun suka bertanya pada mak dan abah dulu.  Tetapi mak selalu beri amaran, saya rasa.  Mak akan cuit saya kalau saya 'menyampuk cakap orang tua.'  Akhirnya saya berhati-hati daripada menyampuk dan lebih suka diam memerhati.  Saya tidak melakukan yang sama kepada anak-anak, hanya mengingatkan mereka supaya dengar dan jangan sama-sama bercakap waktu orang bercakap,  "Sapa nak dengar sapa ni?"  Lagi satu, kalau mama abah sedang bercakap, tunggu berhenti dulu baru mencelah.  Heee ... mungkin mereka ada idea yang mahu dikongsikan selari dengan tajuk kami, tapi oppss tunggu, jangan menyampuk!  Ada faham?

Nampaknya Hidayat macam puas hati.  Perkataan yang ditanyanya itu sudah ketara dan mudah ditemui di muka depan media, di rak buku kedai tempat dia membelek majalah Asuh dan Ujang.  Cukuplah dulu, Hidayat.  Kita hafal sifir dan doa Qunut cuti ni betul-betul, ok! 

Anak-anak sekarang...  Saya dulu pun jadi anak-anak juga.  Tapi pernahkah saya bertanya itu pada mak agaknya?  Pada arwah abah, tidak mungkin.  Sebab saya sangat segan pada abah.  Secara naluri, saya rasa kita boleh teka sesuatu itu perlu/sesuai ditanya atau tidak kepada orang yang sesuai.  Hurilain pun pernah bertanya sesuatu yang, saya tak pernah tanya mak.  "Mama, perhubungan suami-isteri tu bila boleh dilakukan?  Apakah sebaik sahaja selepas akad nikah?"  Sebenarnya dia sudah menjawab soalannya sendiri.  Saya tolong jelaskan sambil membantu dia menjawab sendiri dengan betul. 

Ada lagi soalan-soalan lain yang sesekali muncul dengan pendahuluan, "Mama ... nak tanya sikit boleh?"  Bila keluar ayat intro sebegini, saya rasa cukup cuak dan ... saspen.  Abah Hurilain tersengih sahaja apabila saya kisahkan hal ini.  Anak tak pernah atau belum lagi bertanya isu sensitif pada dia sebenarnya.  Dia senang je nak berhentikan soalan si anak.  "Dah, abah nak tengok tv ni."  atau "Jangan banyak tanya la!" Atau kadang-kadang abah akan tanya balik si anak sehingga dia terdiam pula.  Boleh ke?  Boleh kot, tapi kadang-kadang mereka pun loyar buruk juga pandai mengenakan si abah semula.

Sudah 9 malam Hurilain memakai bengkung selepas dioles kapur berperah air limau.  Cadangan saya, yang risau melihat tumbesarannya yang begitu laju.  Anda faham?  Dia masih rendah daripada saya semasa kami bercuti di Melaka tahun lepas.  Hari ini dia sajak memakai baju kurung saya.  Sama tinggi dan dia lebih berat dari saya.  Dia sudah tidak cemburu pada Along yang selalu mengukur tinggi dengan saya.  "Bila mama nak pakai bengkung pulak?"  tanya Hurilain.  Mama akan pakai selepas kamu pakai 40 hari nanti.  Hee ...

Esok Naqib akan pulang ke madrasah.  Esok pagi saya akan bersembang panjang dengannya menggunakan kadphone di telefon awam.  Cukup murah dan boleh bersembang lama-lama.  Ya Allah, bantulah anakanda Naqib selalu.  Lancarkan lidahnya dan terangkan hatinya, lapangkan dadanya dan kuatkan imannya.  Berilah dia kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.  Sembuhkan penyakitnya baik yang rohani mahupun yang jasmani.  Pimpinlah dia jangan biarkan dia ya Allah.  Ameen.

Hanessa pula telah melukakan pergelangan tangannya sepanjang 6 inci melintasi urat hijau di situ.  Mujur luka tidak dalam tetapi tetap mengeluarkan darah sedikit.  Dia bermain dengan cutter saya dan memotong-motong kotak air tebu yang sudah kosong.  Tiba-tiba dia mengembalikan pisau itu dan masuk ke dalam bilik lantas menutup pintu.  Jarang amat dia begitu.  Tidak lama kemudian dia menghampiri saya, "Mama, kalau Baby cakap jangan marah tau!"  katanya dengan muka sedih bergenang air mata.  Lantas dia mengunjukkan pergelangan tangan yang berdarah.  Ooo patutlah berani masuk bilik siap tutup pintu lagi.  Anak bongsu ini lebih kuat semangat dan berani.  Kalau Hidayat, saya rasa sudah menangis dan tak mahu mandi seminggu kerana takut rasa pedih.  Hanessa diam tatkala saya menyapu krim, dan dia berpesan "Mama jangan bagitahu abah ya."  Dia rasa bersalah kerana tadi enggan menurut tegahan saya.  Dan dia tak mahu 'dipadanmukakan' oleh abahnya.  Abahnya tentu akan ketawakan dia. 

Cuti akan menjelma.  Isnin ini masing-masing akan ke sekolah seperti biasa dan akan dimaklumkan kelas baru pada tahun hadapan.  Hurilain akan mendaftar di sekolah menengah berhampiran.  Jadual masa cuti perlu dibaiki.  Kemas tempat tidur, cuci pinggan sendiri, lipat baju sendiri dan kita pergi Gua Niah! InsyaAllah.  Oh ya, fax dan pos surat permohonan Hurilain ke Malaysia.  Tunggu jawapan dalam debaran sekali lagi, dan harapan yang tinggi.  Anak gadis ini suka nak balik ke sana tetapi bila ditanya "sanggup ke nak berpisah ni?", dia terdiam dan geleng kepala.  Saya tak akan tanya lagi sampai bila-bila. 

Wassalam dan jumpa lagi.

Wednesday, November 17, 2010

Mencari Keyakinan

Jam 4.30 pagi.  Semua lampu dinyalakan dan penghawa dingin di'off'kan.  Alhamdulillah sempat solat tahajjud dan tidak lama kemudian azan Subuh pun berkumandang.  Semua dijera bangun, mandi sunat aidil adha dan bersiap untuk memulakan perjalanan.  Kami sempat menjamah kari ayam bersama ketupat, dan selebihnya sudah diasingkan untuk dibawa ke tempat tujuan - Kedutaan Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Alhamdulillah selamat sampai dan dapat parking di dalam kawasan tempat letak kereta pelawat.  Belum ramai yang datang nampaknya.  Oh belum pukul 7 pun.

Saya dan anak-anak perempuan menuju ke tempat solat muslimah bersebelahan dengan ruang solat lelaki di dewan Kedutaan.  Wajah pertama yang terpampang ialah wajah manis Ustazah Aisyah, kenalan baru di aidil fitri yang lalu.  Saya sudah menetapkan tidak akan menyentuh langsung tentang hal temuduga Institut Tahfiz tempohari.  Beliau adalah salah seorang tenaga pengajar di sana dan turut terlibat di dalam mesyuarat pemilihan pelajar (baru diketahui).

Kami solat bersama.  Wajah Hanessa berubah riak.  Dia asyik merenung telekung cantik anak ustazah yang sebaya dengannya.  Gadis kecil itu memakai telekung putih yang dipenuhi bunga merah jambu, warna kegemaran Hanessa.  Sedang telekung yang disarungnya hanya ada renda pink di sepanjang tepinya - telekung murah $10 yang tak boleh tidak dimahunya ketika kami ke Giant bersama Naqib dulu.  "Mahu telekung macam tu?"  tanya saya.   Hanessa mengangguk perlahan, matanya masih tertumpu pada anak ustazah yang duduk bersama kakaknya.  "Insyaallah, nanti mama belikan, ya."  Hanessa mengorak senyum.  Dia sudah ada telekung renda biru bikinan saya sendiri tetapi "suka pink jugak!"  Apasal budak perempuan ni terpesona sangat dengan warna tu eh?

Telekung saya pun telekung yang sangat simple.  Kain kapas yang tidak jarang dengan renda putih di sekeliling bahagian muka dan tepi telekung.  Sudah bertahun saya menggunakannya, dipadankan dengan kain samarenda biru corak kotak-kotak. Sangat selesa memakainya.  Saya ada beberapa telekung lain, dua helai diberikan kepada Hurilain dan yang lain adalah pemberian suami yang dibeli di tanah seberang.  Namun telekung renda putih ini juga yang menjadi kegemaran.  Saya dah tak ingat tetapi kemungkinan saya membelinya 8 tahun lepas di Rawang.

Air mata tanpa sedar terbit sendiri tatkala mendengar kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah agar mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail.  Macam biasa, ada sahaja yang terperasan hal ini, "Mama, kenapa menangis?"  Huh, malas nak jawab.  Syyyhhhh! Dengar kisah nabi tu.

Usai solat, kami menuju ke tempat jamuan.  Sudut hadapan kanan Kedutaan dan bilangan kerusi yang terhad.  Sangat sederhana.  Kami makan berdiri setelah menjeling-jeling orang lain yang berbuat demikian juga.  Ada yang berlabuh di atas tong gas, ada juga di atas tungku dapur yang belum digunakan. Hmm ... tak semeriah sambutan aidil fitri.  Duta baru pun belum datang lagi.

Ah,  terserempak lagi dengan Ustazah Aisyah.  Dia berkata, "Kak, abang kata akak frust!".  Hah, frust?? Mana ada, biasa je.  Yang cakap frust orang lain, orang lain pulak yang kena.  Pak Meon saja nak mengenakan saya nih ...  Kan saya dah kata tadi, saya tak akan buka cerita tu dengan ustazah ni.  Nampaknya dia yang buka cerita dulu.  Saya pun kata, "Tak apa, dah tak de rezeki.  Cuma Hurilain yang nampak frust, menangis dia."  Saya tenang, monotonous, dan merenung jauh ke dalam anak mata ustazah di sebalik kaca matanya.  Saya ... lupa nak pakai kaca mata hari ini.  Bayi comel dalam pelukannya mula resah.  Melintas bayangan anak gadis saya menangis tempohari.  Di luar sedar sambil terus merenung mata ustazah, mata saya kabur sendiri.  Dan saya terus sungguh-sungguh melihat anak mata ustazah yang jernih hitam dengan sebuah ketenangan yang mula tergugah.  Sekali ... dua  kali ... tiga dan "Kak, janganlah sedih.  Insyaallah ada yang terbaik untuk dia.  Bla bla bla ..."  ujar ustazah dengan lemah-lembut sambil membetulkan gendongan si comel yang mula merengek kepanasan.  Hahhhh?? Saya sedih?  Mana ada!  Tapi eh, awat macam ...  Menangis ke ni?  Laaaaaaa ....  dan dengan selamba saya tarik sehelai tisu (mujur ada tisu spare) dari tas tangan dan bersahaja mengelap air mata yang bergenang.  Ishhh ... buat malu betul.  (Apasal air mata keluar ni ha?  Entah, tak tau!) Ok,  cool!

Tak sengaja.  Kan saya dah kata, no more story about that, no more and never ever!  Kami bersama melangkah dan melabuhkan punggung di kaki lima.  Nun di hujung padang belakang Kedutaan, seekor kerbau dan dua ekor lembu yang terikat di pokok sedang tegak kehairanan melihat manusia yang mula berpusu menghampiri.  Beberapa ketika, kerbau dan lembu dua ekor masih termenung entah memikirkan apa.  Terdengar, "Pisau nak sembelih tak de."  Uhm ... no komenlah.

Saya sambung sedikit lagi bicara dengan ustazah.  Tenang dan dalam kawalan.  Kemudian kami menuju tempat penyembelihan untuk melihat dengan lebih dekat lagi secara berasingan.  Pak Meon memberi isyarat supaya saya snap shot sudut menarik.  Uh, tak de mood dah.  Akhirnya Hurilain dengan wajah kelat, klik klik sana sini dalam terik matahari pagi yang kian garang.  Dan saya, apa yang dah terjadi pun terjadi sendiri.  Tapi saya rasa orang ramai di situ lebih memberi tumpuan pada kerbau dan dua ekor lembu yang satu persatu mengeluh, mengeruh dan mendengus melepaskan nyawa terakhir di atas lubang berdarah daripada wanita serba hitam bertas merah yang juga bermata merah yang asyik mengelap matanya hingga hilang celak mata.

Harapan, impian, dan tertanya-tanya.  Puas mencari keyakinan tentang hikmah dan rahsia takdir Allah.  Mesti ada hikmah yang tersembunyi.  Pasti, tidak ada yang tidak pasti melainkan kepastian yang jitu dan benar belaka.  Tentu Allah SWT yang Maha Pengasih mahu memberi yang terbaik.  Belum terlewat dan tidak terlambat lagi.  Namun mengapa ustazah kata ada panggilan kedua dan dia tanya mengapa saya tak hubungi dia.  Saya dah buat tapi panggilan tak diangkat.  Mahu menghubungi sekadar ingin memaklumkan dan membuat sedikit pertanyaan, itu sahaja.  Tak lebih.

Sambil terus mengelap air mata yang susah benar nak kering dan berkeadaan macam saya seorang diri sahaja di situ, bayangan Hurilain terus menjelma silih berganti dengan wajah ustazah yang sudah kembali duduk di kaki lima nun di sana.  Ah, dah segan nak ke sana kembali dengan mata yang merah begini.  Pak Meon langsung tak perasan hal saya.  Tiba-tiba, "Meon! Meon! Meon!", suara Kapten memanggil-manggil dia.  Sejenak kemudian saya nampak tiga lelaki saling membantu menyalakan rokok.  Arghh!!  (Menyampahnya aku bab merokok ni!)

Satu hal yang susah nak kawal ialah mata anak-anak yang sangat peka dengan perubahan saya.  Hidayat terutamanya bertanya berkali-kali mengapa saya menangis.  Hurilain juga.  Menangis pasal lembu kena sembelih ke?  Ingat kampung ke?  Ingat Along ke?  Elok orang tak tau jadi tau.  Aparaaa ...  dan akhirnya Pak Meon pun tau.  Intan sedih ingat kampung ... katanya pada Abang Azmin yang tersenyum-senyum memandang.

Sekadar catatan.  Sudah tiba masa kami memikirkan tentang masa depan anak-anak dengan lebih serius.  Lebih serius berdoa dan memanjatkan pengharapan kepada Allah SWT.  Lebih fokus dan tidak mementingkan diri sendiri lagi hingga mengabaikan kepentingan anak-anak.  Bukan tidak serius sebelum ini tetapi perlu ada perubahan yang lebih baik.  Bina impian positif dan cemerlang untuk mereka. Semoga menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada insan lain dan menjadi hamba Allah yang pandai bersyukur atas segala nikmatNya.

Semoga Naqhuhines menjadi anak-anak yang soleh; menjadi 'mentari yang menyinar di ufuk ilmu' dan kehidupan.  InsyaAllah.  Kita merancang, Allah pun merancang dan Dia adalah sebaik-baik Perencana.  Hanya kepada Allah tempat berserah diri.

Tuesday, November 16, 2010

Dapatkan Kunci Ilmu

As salam.

Esok 9 Zulhijjah 1431H.  Umat Islam yang mengerjakan haji di Tanah Suci sedang berwukuf di Arafah.  Selamat berpuasa sunat esok, semoga segala dosa setahun lepas dan setahun akan datang diampunkan Allah, hapus dari buku catatan dan beroleh pahala yang dijanjikan.  Semoga dapat berpuasa dengan sempurna, insyaAllah.  Pemandangan di Padang Arafah yang ditonton di kaca tv sangat mengagumkan dan menyentuh perasaan.  3 juta umat Islam dan dua orang daripadanya adalah kekanda saya dan suaminya.  Juga Tuk Uda, Kak Yeen dan Mak Mbong Siah.  Semoga mereka semua beroleh haji yang mabrur dan dibantu Allah hingga selesai beribadah, seterusnya kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat dalam keadaan suci bersih umpama bayi yang baru dilahirkan.  InsyaAllah. 

Naqib membuat kejutan dalam diam.  Dia menunggang motosikal ke Sri Menanti berseorangan.  Macamana boleh terlepas, wallahua'lam.  Belum mencapai 14 tahun pun usianya.  Guna motosikal kawan atuknya, tanpa lesen dan agak bagus sebab memakai topi keledar.  Saiz badannya seperti sudah 16 tahun walaupun wajahnya masih agak keanak-anakan (Hurilain selalu disangka kakak dan dia adik).

Tembelang pecah apabila dia 'ditemui' di Facebook oleh abahnya.  Jarak dari rumah ke Sri Menanti dalam 5-6 km.  Memang berani melulu budak ni.  Si abah pun tak terkata apa, cuma menasihati dari kejauhan begini.  Apatah lagi si abah muncul di akaun saya, dan menjadi saya sehingga selesai dia berchatting dengan anaknya itu.  Ayat-ayat yang disusun tentulah menyerupai ayat-ayat saya sehingga Naqib langsung tak menyedari bahawa mamanya itu adalah abah.  Citt ... 'Mama' menasihati anaknya supaya belajar sungguh-sungguh dan kesian kat abah yang kerja keras keluar pagi balik malam ...  Namun apa yang penting ialah nasihat disampaikan dan diterima pula dengan hati yang bersih dan ikhlas.  Rahsia 'mama' yang masih di pejabat hampir bocor apabila Naqib mahu berchatting dengan Hurilain, tapi 'laa ... Ain dah terlelap kat kerusi tu ha...!' kata 'mama' beri alasan.  Huh! 

Hurilain pula masih bersedih walaupun semakin berkurangan, kerana gagal ke Institut Tahfiz al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah seperti yang diharapkan.  Selepas mendapat tahu melalui telefon, surat pun tiba dari pihak berkenaan tetapi tidak saya unjukkan kepada dia.  Dia terjumpa sendiri surat itu dan sekali lagi menangis hingga membuatkan kami tercengang.  Kuat sungguh kemahuan dan harapannya tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat dia.  Emosinya diluahkan melalui tangisan dan kata-kata yang menggambarkan perasaannya di facebook.  Dan dia mendapat komen-komen positif yang insyaAllah dapat membantu membina semangatnya semula.  Dalam pemerhatian sebagai orang tua, dia mungkin belum sesuai untuk hidup berasingan dari keluarga.  InsyaAllah doa sentiasa mengiringi dia.


Mak Sunya (adik saya) baru dimaklumkan sebentar tadi melalui Skype.  Katanya, "ilmu Allah ada di mana-mana dan macam-macam jalan untuk mendapatkannya.  Yang paling penting, ialah kunci ilmu ~ iaitu apa sahaja yang dipelajari atau diperolehi dikatikan dengan Pemiliknya; Allah SWT.  Dengan kunci ilmu ini, walau di mana sahaja belajar menuntut ilmu seseorang pelajar itu akan tahu tanggungjawabnya yang berada di pundak.  Apakah tanpa sebarang pengorbanan, kita terasa hampir dengan syurga?  Itu adalah penipuan diri sendiri."  Ringkas sahaja tetapi mendalam.  Berbicara di Skype, dengan tulisan yang diringkas-ringkaskan.  Hanya yang penting sahaja.  Adinda saya di Kuching tetapi sehingga hari ini belum ada rezeki bersua muka walaupun berada di tanah yang sama Kepulauan Borneo


Yang berdua lagi; Hidayat dan Hanessa terus membesar dengan ceria bersama aktiviti harian masing-masing.  Bergurau, menonton TVIQ dan bergaduh, baik balik dan ketawa lagi.  Semoga setiap saat memberi pengajaran dan natijah yang baik dalam diri mereka.  Namun tetap perlu ada pemantauan dan paling penting adalah doa khusus buat setiap anak. 

Kata Dr. Hj Fadzillah Kamsah, jangan berdoa pukul borong sahaja untuk semua anak.  Berdoalah dengan menyebut nama setiap seorang anak secara khusus.  Setiap anak memiliki keperibadian tersendiri dan permasalahan tersendiri juga.  Kelebihan dan kelemahan yang berbeza. Dan itulah peranan ibu bapa.  Kalau tak kita, siapa lagi nak doakan anak kita ni ...  Doa senjata Mukmin.  Allah menyuruh kita berdoa dan meminta kepadaNya.  Maka marilah kita berdoa dan nyatakan sepuas-puasnya hingga terasa ia dikabulkan Allah, insya Allah. 

Kerana itu saya cukup suka meminta doa dari mak-mak saya.  Dan masing-masing Bonda Ramlah, Bonda Juriah dan Bonda Zaleha (terasa beruntung memiliki tiga bonda, alhamdulillah) akan kata mereka sentiasa mendoakan kami setiap masa.  Cukup menyenangkan hati.  ALhamdulillah, terima kasih buat bonda semua.  

Sekian dahulu sehingga ketemu lagi insyaAllah.  Selamat berpuasa sunat esok.  Semoga diterima Allah amal ibadah yang sekelumit ini.  Ameen. 

Oh Naqib, jangan buat kejutan lagi!!

Sunday, November 14, 2010

Naqib dah cuti

Salam.
Akhirnya dapat juga buka 'posting' blog ni, selepas hilang mood segala ... Yang ada hanya nak terus cuba log in sampai dapat. 

Terima pesanan ringkas dari kakak memberitahu dia dan suami sudah menuju ke Arafah.  Semoga dia dan Abang Zek serta seluruh umat Islam yang mengerjakan haji tahun ini mendapat haji mabrur dan pahala yang berganda untuk ibadah yang dikerjakan ini.  Semoga kami pun akan menyusul beberapa tahun lagi, insyaAllah.

Naqib dah cuti raya aidil adha satu minggu.  Wan dia jemput dari madrasah terus bawak balik kampung.  Simcard 014 yang valid sampai 2013 tu dah hilang.  Semalam atuk dia belikan simcard baru, malangnya kat rumah kampung tak ada coverage pulak.  Kena la naik loteng atau keluar dari kawasan rumah.  Patut la call tadi tak dapat.  Ish! Pot pet pot pet mak saya mengadu perihal cucu kesayangannya tu.  Bingkai kaca mata patah lagi, dan dia beli jam tangan lagi.  Oh anak ...  tapi wan dia kata insyaAllah setakat bawah RM500 boleh la spend money untuk dia seorang; huh!  Saya kata jangan la mak layan sangat kehendak dia.  Kali ni dia nak trade in telefon bimbit yang ada dan nak beli yang baru anggaran Rm400 punya.  Amboiii!  Memang takkan diluluskan walaupun wan sudi nak sponsor. 

Tadi call dia lagi.  Agak lama lebih 10 minit.  Naqib memberitahu pelajar madrasah tidak dibenarkan membuka facebook.  Selepas cuti aidil adha, pelajar yang dikesan memiliki akaun facebook akan menanggung risiko.  Bagus la macam tu, kata saya.  InsyaAllah kami sentiasa menyokong peraturan yang ditetapkan oleh pihak madrasah. 

Setelah berjanji akan menelefon lagi esok lusa, saya titipkan pesanan demi pesanan untuk anak ini.  Jangan tonton tv (tapi ni susah nak kawal sebenarnya), solat mesti awal waktu dan jangan lupa niat istinjak.  Juga teruskan hafalan tiga muka surat lagi juz 25 yang masih berbaki, dan masuk juz 24. Bapa Mukhlis jangka dia akan khatam insyaAllah lagi tiga tahun; sekiranya hafal satu juz satu bulan dan setahun lagi untuk syahadah. 

Sempat dia bertanya plan kami balik ke sana cuti Disember ini.  Uhu yang ni kesian sikit sebab plan batal.  Hidayat nak dikhatankan di minggu pertama nanti insyaAllah.  Lepas tu rencana akan ke Gua Niah berkereta melalui Miri untuk tiga hari dua malam.  Peta sudah dibeli.  Tapi mak pesan kalau jalan-jalan ke mana-mana tak perlu diwarwarkan pada Naqib agar hatinya tak terusik.  Huh mak cukup jaga hati cucu sulungnya ni ...  Terima kasih mak abah. 

Tak apa la Along.  Mudah-mudahan rezeki kamu lebih baik lagi, berjalan di bumi Allah ke mana sahaja apabila sampai masanya kelak.  Semoga tercapai cita-cita kita yang sudah direncanakan.  InsyaAllah.

Adik-adiknya di sini sudah mula bercuti sendiri.  Perkarangan sekolah lengang kerana ada kelas yang kedatangan zero.  Pelajar 'digalakkan berehat' di rumah.  Hanya pelajar yang terlibat dengan persembahan yang datang untuk membuat latihan.  Kini hanya menunggu keputusan peperiksaan PSR tempohari.  UPSR sudah diumumkan dan keputusan kawan-kawan Hurilain sudah diketahui.  Mereka pun mahu tahu sangat keputusannya tapi tu la lum keluar lagi ...  

Semoga lepas ni terus mudahlah nak posting entry insyaAllah.  Buat Naqib, kami semua memang rindu pada Along. Ingat pesan ustaz masa nak balik cuti kelmarin.  Jaga diri, jaga hati dan jaga iman.  Doa mama abah sentiasa mengiringi Along.  InsyaAllah semoga berjaya dan menjadi hafiz yang bertakwa dan hebat.  Salam sayang buat Along dan jumpa lagi.

1.  Pss kurangkan sikit berat badan tu ya! 2.  Tak payah ajak atok gi KFC.  Minta je wan beli ayam kat Tanjung Ipoh n goreng sendiri lagi sedap.  3.  Ingat jangan leka dengan tv.  Stop watching! (better)  4.  Pi la borak-borak ngan Onyang.  Dah la sesekali je jumpa.  Sian Onyang tu.  5.  Bawak motor kat luar tu hati-hati, bukan tak de polis kat sana tu.  Tak pasal kena saman kang.  6.  nanti mama sambung lain kali ... doakan Hurilain dan Hidayat insyaAllah lagi 4 tahun akan menyusul Along.  Doakan mereka berdua ni ya!

Terima kasih kepada semua yang terus mendoakan Naqib dengan doa dan harapan yang terbaik.  Semoga dimakbulkan Allah insyaAllah. Ameen.

Salam sayang buat Along dan jumpa lagi (huh bila nak berhenti ni makcik oi)...

Thursday, November 11, 2010

Harap maaf, tetapi kami tidak dapat melengkapkan permintaan anda

Salam penuh ceria.

Dengan ceria saya beronline di sini setelah lima hari terbeku gara-gara masalah yang telah beberapa kali berulang sebulan sekali kepada telefon bimbit B-mobile.  Setelah resetting semula dengan pesanan "abang jangan lupa tanya apa masalahnya?  Kenapa sebulan sekali jadi macam ni?  Apasal jadi macam ni?  Abang tanya sampai dia bagi tahu macamana nak buat sendiri, ok bang!" alhamdulillah semua dah ok.  Terima kasih banyakkkkk  kepada suami saya yang juga telah siap-siap top-upkan $30, dan sekarang membiarkan saya berblog sepuas-puas hati walaupun dia sudah mempelawa untuk menonton Ulik Mayang di tv.  (pss... sekejap lagi ya!).

Petang tadi hati saya tersenyum lebar walaupun wajah tidak beriak.  Mana boleh tunjuk-tunjuk sangat, nanti buat hal balik tentu "padan muka ekau hehehe...".

Oh ada lagi unmoderated comment dari pembaca tapi 'Harap maaf, tetapi kami tidak dapat melengkapkan permintaan anda' sama ada komen mahu diterbitkan atau dihapuskan - ada sesiapa yang boleh bantu saya atasi keadaan ini?  Terima kasih didahulukan.  Ribuan terima kasih. 

Terima kasih sekali lagi kepada pembaca yang sudi meluangkan beberapa saat menulis sesuatu baik di shoutmix atau di ruangan komen.  Ia adalah penghargaan yang amat saya nilaikan.  Ada sepotong ayat ringkas berbunyi 'rajin akak baca novel'.  Sudah saya tuliskan sesuatu tentang hal ini tetapi belum sempat dipaparkan di sini  (macam ada rasa hati dan nah ternyata ada).

Saya baru sahaja berstatus peminat novel jika benar begitu.  Tetapi saya bukan pembaca novel cinta.  Maaf, saya tak berselera walaupun pernah memaksa diri.  Saya tak mampu menghabisinya.  Bukan hanya kini, sejak saya pandai membaca barangkali.  Saya masih ingat kata-kata arwah Cikgu Mat Amin bin Salamon semasa dia mengajar kelas tambahan Matematik Tingkatan tiga ~ "Orang yang suka baca majalah hiburan mentalitinya rendah!".  Saya tambah sendiri, termasuk novel cinta dan rancangan hiburan di tv.  Bukan mengaku mentaliti tinggi.  Tapi semasa cuba-cuba baca novel begitu, saya selak tengah dan tinjau belakang, tak mengapalah kalau saya tak baca.  Dan saya selalu ketinggalan tentang artis.   Suami saya lebih kemaskini tentang Siti Nurhaliza atau mana-mana artis yang baru bercerai.  (pengakuan berisiko nih... ).

Belum jumpa tapi mungkin ada.  Atau saya silap kerana pukul rata semua.  Maaf.  Saya sudah tonton CD Ketika Cinta Bertasbih dan saya sukakannya.  Tetapi nampaknya Hurilain yang sedang menghabisi novel kedua yang saya beli dulu.  Saya tak berminat nak membacanya walaupun bersemangat ketika membelinya.  Saya anggap ini satu kelemahan yang perlu dibaiki.  Semoga ada kisah cinta yang tidak membuatkan saya terawang-awang dan hilang tak ketahuan.  Aha, saya baru meminjam Kekasih Sam Po Bo oleh Faisal Tehrani semalam.  Saya terjumpa di rak buku puisi dan kompilasi cerpen.  Nampaknya berterabur susun aturnya, tak setempat.  Apa yang menarik agaknya?  Antara beberapa yang dipinjam dan sekarang sedang menyudahkan '99 Peristiwa Ajaib yang Mengubah Dunia' oleh Hj Hasan Muhd al-Khairun bin Gozali, penerbitan Jahabersa cetakan ketiga 2005 iaitu himpunan pelbagai mutiara hadis Rasulullah SAW berkaitan peristiwa akhir zaman, bersama beberapa buku nipis lain yang mesti dipulangkan Sabtu ini.

Saya kembali 'serius' membaca semenjak saya terpaksa meningkatkan pembacaan -sekiranya mahu menjadi penulis novel - iaitu semenjak kakak mendorong saya menulis novel - juga semenjak Sifu yang menggurui saya terus mengatakan bahawa cerpen saya sudah siap dan boleh dinovelkan - mereka semua kata saya MESTI banyak membaca untuk memperkayakan tulisan saya kelak.

Ambil masa menanam azam.  Satu gaya hidup yang sudah lama saya tinggalkan semenjak menjadi ibu.  Tetapi cinta membaca membuatkan saya terus membeli buku terutamanya buku motivasi dan pengetahuan Islam sehingga pernah terbeli dua buku Sirah Nabi SAW yang sama (hanya disedari bila mencari untuk menyiapkan kerja, apasal ada dua?), dan tiga buah Tafsiran Al-Quran, serta dua buah buku yang sama tajuk.  Sebab?  Saya beli tapi tak baca sangat.  Hanya hati saya berkata, satu hari aku akan baca semua ni.  (Dan saya memang kedekut dan berhati-hati mahu meminjamkan buku saya.  Ada dua buku hilang tanpa kesan - IMAM dan RABIATUL ADAWIYAH kisah sufi wanita.  Tidak ada sesiapa yang mohon pinjam.  Bila mencari tiba-tiba sudah tak jumpa walau berkelintau cari segala corok yang ada.  Saya anggap ia satu amaran kerana saya beli tapi tak baca dengan sepenuh hati.  Oh janganlah ada yang hilang lagi.  Ya Allah yang Maha Pemelihara tolonglah.) Satu sikap yang amat merugikan.  Tapi hari ini di sini saya rasa seperti mahu terbang balik ke rumah saya semula dan mengadap rak buku yang ditempah aoleh suami saya itu semata-mata untuk mengisi semua buku yang ada dan betapa risaunya kerana mak yang datang menjenguk sebulan sekali kata ada berbagai haiwan yang dah berumahtangga di sana - tupai, tikus, lipas dan sebagainya. 

Kini setelah beberapa ketika membaca, saya rasa sudah agak pandai memilih berdasarkan tajuk.  Yang ada terselit perkataan 'cinta' belum saya berkeinginan nak menyentuhnya.  Sakit juga leher menelek buku yang tegak berdiri.  Saya belum dapat mengesan citarasa sebenar tetapi bukan ada bau-bau cinta, setakat ini.  Nampaknya mungkin novel serius menjadi pilihan tapi tak semua, ada yang terlalu sayup tak kesampaian saya ke mana apabila membacanya.  Disamping buku-buku yang boleh menjana kemantapan rohani.

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit petikan dari novel SN Abdullah Hussain yang suka saya membacanya di muka surat 343;

“Tulisan atau buku akan terus tinggal sampai dunia kiamat sehingga Allah menarik naik semua tulisan ke hadirat-Nya. Kalau sudah begitu orang yang berjumpa tulisan kita akan membaca, kalau yang baik pahalanya sampai kepada kita kalau yang tak baik dosanya juga sampai kepada kita. Masa hidup ini bolehlah kita meminta ampun kepada Allah taala dan Allah seperti yang sudah dijanjikan akan mengampunkan dan menerima taubat kita, tetapi apabila kita sudah mati dan tulisan kita masih dibaca orang, bagaimana? Nauzubillah.”
Dia teringat salah sebuah ayat dalam surat Yasin yang selalu dibaca: Sesungguhnya Kami (Allah) menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala apa yang mereka kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang ditinggalkan oleh mereka; dan tiap-tiap sesuatu Kami catatkan akan dia satu persatu di dalam ibu surat yang jelas nyata. Itu yang amat menakutkan.

 Maaf zahir batin, jumpa lagi.

Sunday, November 7, 2010

Dan Malam Apabila Ia Berlalu; hampa tidak kecewa

Salam.

Selesai sudah novel Dan Malam Apabila Ia Berlalu oleh SN Abdullah Hussain, dinihari ini.  Karya yang hebat dan dipenuhi unsur saspen sehingga menjelang helai-helai terakhir baru saya terfikir betapa saya tidak dapat menjangkakan jalan ceritanya sebegitu.  Ayat-ayat yang panjang untuk dinoktahkan.  Novel berunsur Islamik tetapi saya tertanya-tanya jika kisah ini kembali ke 70-80an apabila bukan muhrim masih bersalaman dan fesyen bertudung yang mengizinkan anak rambut terjulur keluar.   Oh sekiranya kini masih berterusan sebenarnya keadaan ini dan ia dinyatakan bersahaja di dalam novel.

Walau apapun, saya semakin mengerti dan menikmati apa yang dimaksudkan oleh Sifu tentang unsur saspen di dalam novel. Apabila wujud unsur ini menyebabkan pembaca semakin laju membaca dan timbul rasa ingin tahu yang membuak-buak untuk meneruskan pembacaan hingga selesai.  Hilang rasa penat dan timbul satu kepuasan setelah menghabisinya.  Ada beberapa novel sahaja yang saya kira sangat memberi kepuasan kepada selera pembacaan saya.  Ia mengesankan.  Yang pasti, bukan cerita cinta atau penuh dengan kejadian ajaib yang direka-reka.  Ia mesti ada pengajaran, pendidikan dan ilmu kepada pembaca.  Ada nilai-nilai murni dan mengangkat martabat akhlak mulia dan moral vs perangai buruk.  Ganjaran baik untuk perbuatan yang baik dan sebaliknya.  Semua penulis akan menulis mengikut peraturan ini, hanya yang membezakannya ialah cara penulisan mengikut keperibadian dan ilmu penulisan.

Membaca untuk membangunkan jiwa.  Menulis untuk membangunkan bangsa.

***

Hampa tetapi tidak sampai kecewa.  Keputusan temuduga Institut Tahfiz al-Quran belum sampai ke tangan, dan apabila disusuli melalui telefon - kami diberitahu "Maaf, anak tuan tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sini."  Rupa-rupanya awal minggu ini sudah berlangsung kursus singkat membaca al-Quran untuk calon-calon yang berjaya.  Salah seorang ustazah di sana yang adalah isteri kepada kenalan kami menelefon bertanyakan status Hurilain, yang kemudian meminta kami menghubungi pihak berkenaan untuk makluman lanjut.

Ia menghampakan.  Hurilain menangis.  Si abah juga terpalit rasa.  Saya terpaku.  Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah tetap dipanjatkan ke hadrat Illahi.  Tentu dengan keyakinan bahawa ada hikmah yang tersembunyi.  Si abah pun mengulas satu persatu kebaikan dan hikmah yang dapat dicapai akal.  Sedangkan ada banyak lagi rahsia tersembunyi.  Selepas dipujuk-pujuk dan diberikan semangat keyakinan, anak gadis ini kembali mengukir senyuman.

Sebuah pusat pengajian yang berprestij tentunya - berdasarkan nama sahaja sudah tergambar prestijnya.  Dan bukan Hurilain seorang sahaja yang gagal.  Tentu pemilihan adalah ketat dan kouta pelajar luar pula adalah terhad.  Tahniah kepada semua calon yang berjaya.  Semoga mereka terus berjaya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Demikian juga kepada Hurilain, walau di mana menyambung belajar selepas ini mama dan abah akan terus membantu dan memberi sokongan.  Mama dah tak sabar nak mencuba resepi makanan otak yang diperolehi dari blog DarwishnDarwisya tu.  Kamu ni semua memang mengelat kalau disuruh hatta mahu disuapkan kurma, kismis dan biji goji tu.  Mungkin dengan resepi Puan Lina yang enak dan lemak tu, insyaallah dapat membantu membaiki prestasi kamu adik-beradik dalam penghafalan dan pemahaman pelajaran.  Insyaallah.

Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan.  Kita hanya berusaha dan berdoa, natijahnya tetap di tangan Allah SWT.

Kegagalan adalah perkara biasa yang perlu diterima dengan redha.  Walau seperti sudah berbuih berdoa kepada Allah SWT, diikuti dengan nazar dan sedekah, apabila belum tercapai bermakna perlu terus koreksi diri. Usahlah pula terlalu berlapang dada, 'ah, sudah tak ada rezeki'. Tanyakan pada diri ~  Permohonan ampun ke hadratNya bagaimana?  Rintihan dan pengharapan yang paling kudus dari sudut hati paling tersembunyi di malam yang sunyi, bagaimana?  Doa sesungguh hati sepenuh jiwa, apakah benar-benar sudah dipanjatkan kepadaNya?  Istiqamahkah dalam berdoa dan berusaha begitu?  Bagaimana dengan dosa-dosa kecil yang berkumpul menjadi dosa besar, terfikirkah yang itu?  Bagaimana pula dengan dosa besar yang memerlukan taubat nasuha dan memohon ampun hingga mengalir airmata keinsafan, sudahkah?  Ini semua soalan untuk diri sendiri.

Ya Allah, tunjukilah kami selalu.  Janganlah jadikan kami kaum yang lalai.  Selamatkanlah kami dari golongan orang-orang yang menyesal di hari yang tidak ada kesudahan.  Masukkanlah kami dalam golonga orang-orang yang bertaubat dan memohon keampunanMu.  Ya Allah, tiada tempat untuk kami mengadu dan bermohon, melainkan hanya kepadaMu.  Ya Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Tetapkanlah iman kami dan langkah kami di atas jalan yang Engkau redhai.  Hidupkan hati kami, janganlah matikannya.  Berilah kami takdir yang baik dan selamatkanlah dari takdir yang buruk.  Sampaikanlah cita-cita kami yang baik dan selamatkanlah dari cita dan harapan yang buruk.  Jadikanlah kami pencinta ilmu kebenaran dan selamatkanlah kami dari ilmu yang menyesatkan lagi melalaikan.  Ya Allah, hanya kepadaMu tempat kami kembali dan hanya kepadaMu tempat kami berserah diri.  Kabulkanlah doa kami dan ampuni kami.  Ameen ya Rabbal alameen.

 ***

Quote ~  "Terus! Jgn berhenti. memang menulis begitu seperti belayar! Lemas, tenggelam, berjuang pd diri sendiri utk terus menulis.."


Wassalam.  4am/ Ahad.

Saturday, November 6, 2010

Uhh tak ada hati?

Salam pagi Sabtu.

Ya, betul kata-kata -menulis dari hati kelak akan jatuh ke hati.  Hati tunggak diri, maka berbuatlah menggunakan hati.  Baik di hati, baiklah natijahnya.

Kebelakangan ini saya tidak ada hati nak menulis.  Pagi ini pun ... cuma saya jenguk sekejap blog Naqhuhines dan melihat ada tiga komen yang perlu dimoderate.  Dua darinya saya mahu paparkan dan satu lagi saya mahu hapuskan tetapi sayangnya saya tidak berjaya melakukannya (ada error). 

Beberapa ketika saya hilang kata-kata untuk menulis.  Pada 'musim gila', saya menjadi blogger sepanjang masa; sentiasa menyusun ayat di kepala biarpun sewaktu memegang penyapu di tangan.  Di ketika seperti ini, tidak ada keghairahan langsung biarpun nak merangkai sepotong kata-kata.  Mental block?  Mood? Perubahan hormon?  Hmm ... apa sahaja la. 

Namun saya masih membaca.  Sekarang sedang mahu menghabisi Di Malam Apabila Ia Berlalu oleh Abdullah Hussain SN, DBP 2006 berkulit tebal dengan muka surat 512 tak termasuk bibliografi.  Tak dapat download gambar, masalah yang saya hadapi sejak lama.  Maaflah.

Ia sebuah buku yang serius dan menarik tentunya.  Saya membaca perlahan untuk memahamkannya.  Kelmarin pinjam lagi, walaupun novel tadi baru di muka surat 330.  Tetapi 'Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad' (edisi kemas kini) oleh Dr. Danial Zainal Abidin terbitan PTS 2007 sangat menarik untuk ditangguhkan membacanya. Alahai, buku cerita kanak-kanak Bahasa Inggeris yang nipis berkulit tebal pun ada 10, nak baca juga.  Pinjam untuk Hidayat dan Hanessa tapi nak tumpang baca juga, geram bila mereka mengelak membacanya. 

Dan ada satu buku untuk keluarga bertajuk Kisah-Kisah Hewan dalam al-Quran oleh Ahmad Bahjat (terjemahan oleh Yendri Junaidi di bawah Gema Insani, Jakarta).

Walaupun mulanya saya anggap perpustakaan Pandan tak banyak buku (ia perpustakaan baru dan sedang melengkapkan koleksi), kini saya rasa biarlah saya cuba menghabisi apa sahaja buku yang ada khasnya buku di rak ugama.  Sebenarnya ada banyak buku yang saya 'ketepikan' secara tak sengaja, sengaja dan menurut selera. 

Wajar kita mencari buku yang mampu 'mengasuh' diri ke arah kebaikan.  Kembali kepada buku-buku lama bertinta emas karangan para Imam yang mampu menjadi suluh perjalanan kita jauh lebih baik dari membaca novel dan majalah bulanan (TANPA PUKUL RATA, tentunya).  Jangan sampai ada novelis, penulis dan pengarang yang marah pula. 

Ah, sudah jam 5.47 pagi.  Tiba masa saya meletak noktah di sini.  Sebuah catatan pendek yang saya rasa sudah melebihi jangkaan.  Hanya apabila menulis sambil berfikir dengan editing singkat, memang ada sahaja yang mahu dibetulkan sesudah ia dipaparkan.  Sayangnya, semua sudah terpapar dan itulah seadanya. 

Maaf zahir batin.  Menulis biarlah dari hati kelak akan jatuh ke hati.  Hanya saya tak ada hati menulis, dan di pertengahan hati saya sudah separuh menulis :) dan di ketika saya mahu terus menulis, oh saya terpaksa memberi titik kepadanya.  Ada urusan keluarga yang lebih utama.  Abah Naqhuhines tiba-tiba bikin dadih ala-ala Vitagen perisa lemon yang enak, wow!  Memang bagus untuk perut yang bergelora dan rengsa.  Sudah ada mee segera dan air teh panas untuk sarapan.  Jom makan!

Ketemu lagi dan wassalam.

Tuesday, November 2, 2010

Ada bau rokok lagi la ...

Salam.

Apa perasaan anda apabila buat sekian lama sehingga saat ini, anda benar-benar yakin bahawa nama anda memang hanya anda seorang yang memakainya, tidak ada seorang insan pun yang mempunyai nama 'sebijik' macam nama anda tu? Tiba-tiba, tanpa disangka-sangka, rupa-rupanya ADA orang yang namanya memang 'sebijik' macam nama anda, bahkan tinggalnya pun sama daerah dengan anda!!!

Saya dah kata, tentu ada orang nama serupa dengan dia, tapi dia tak percaya.  Sebab dia dah semak kat senarai nama pengundi dulu, tak ada pun!!! Yelah, dia semak kat senarai pengundi daerah Segamat di Johor.  Pemilik yang berkongsi nama tu tinggal kat Banting, Selangor.  Ha ha.  Tapi dek kerana teguhnya keyakinan dia, hingga setengah saat ini saya sendiri masih termangu bila lihat nama empunya diri yang berbintikan nama 'sebijik' macam nama suami saya.  Macam tak caya.  Cuma, bila tegur dia tak berjawab pula, macam tak sudi je (ish tak baik buruk sangka!  Friend request saya pun dah lama diajukan, baru ni diterimanya.  Sibuk barangkali.)

Hmm ... sebenarnya dalam keluarga pun ada nama yang iras-iras nama dia, tapi yang 'sebijik' memang tak ada.  Macam nama saya juga, tak ada yang serupa terutama tang 'double z' tu.  Yang bunyi sama tu banyak.  Walau apa pun, hatta entah apa maksudnya (jangan maksud yang buruk udahlah), nama itulah yang akan dipanggil nanti ketika di Padang Mahysar.  Dan alhamdulillah sebab nama itu bukan Mentol bin Lampu atau Seman bin Cacing atau yang serupa sepertinya.  Tetapi kalau dah itu yang tersurat, oh, betapa pentingnya apa yang dinamakan ILMU PENGETAHUAN.

Barangsiapa yang mahukan kebahagiaan di dunia maka hendaklah dia BERILMU.  Barangsiapa yang mahukan kebahagiaan di akhirat maka hendaklah dia BERILMU.  Barangsiapa yang mahukan kebahagiaan di dunia dan di akhirat maka hendaklah dia BERILMU.

Tadi, abah Naqhuhines pulang tatkala kami sedang solat Isyak.  Dia sudah solat jamak di masjid Tutong.  Usai solat, saya menghampirinya untuk bersalaman dan bertemu pipi.  Saya ambil kesempatan menghidu baunya, hmm ... macam ada bau rokok yang nipis.  Saya berbisik dengan Hurilain menyuruh dia mencium pipi abahnya juga, dan kami sepakat memang masih ada bau rokok.

Apa dah jadi?  Semalam usai solat Mahgrib, dia tiba-tiba berkata, "Abang nak berhenti merokok la!" sambil menggosok-gosok dada kirinya.  Sakit dada kot.  Saya tenang saja.  Ini adalah satu pengucapan yang ke ... (tak ingat) kalinya.  Namun saya tetap rasa teruja.  Rokoknya itu sudah saya hembus dengan al-Fatihah supaya hilang rasa dan kosong hambar.  Saya memang berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dia BERHENTI MEROKOK biar apa pun kata pencinta rokok dan siapa pun pencinta rokok.  Sakit hati bila ada fakta (kononnya) yang disampaikan dengan tawa ceria oleh kaki rokok tentang 'kebaikan' (sebenarnya perangkap kemusnahan kesihatan) merokok.

Fatwa sudah dikeluarkan dengan jelas.  Pakar kesihatan Islam dan bukan Islam sudah sepakat tentang keburukan merokok.  Merokok itu HARAM.  Sesuatu yang memudaratkan kepada kesihatan empunya diri, kesihatan orang lain juga (perokok kedua) dan memberi kesan kepada ekonomi keluarga.  Tak payahlah saya tulis fakta-faktanya. Dah selalu keluar kat akhbar hari Ahad tu.

Huh, bila ditanya, merokok ke hari ni?  Jawapannya sudah dijangka pun.  Hmm,. pelan-pelan ... katanya lagi.  Adalah 2-3 jam bertahan.  (HUH, lagi 10 jam siang tu berkepul-kepul la ya.)

Agak pelik bila dia sendiri mampu menghilangkan kesedapan rokok itu hingga rasa hampas je.  Dengan bersahaja dia kata kalau mahu dah lama berhenti dah ... TAPI KENAPA TAK MAHU BERHENTI LAGI?  Tak macho ke kalau tak merokok?

Insyaallah saya berazam akan terus mendoakan abah Naqhuhines akan berhenti merokok tidak lama lagi.  Berhenti dengan kesihatan yang semakin baik (bukan sebaliknya, macam kata perokok tegar yang sentiasa ada 1001 alasan untuk terus merokok.)  Saya sudah pesan pada anak-anak lelaki (yang perempuan memang nauzubillah janganlah sesekali cuba-cuba merokok) jangan merokok sampai bila-bila.

Isu rokok ni agak sensitif pada sesetengah orang.  Mungkin abah Naqhuhines pun kurang seronok apabila saya keluarkan entri begini (ampun maaf ya bang! :) ).

Ya Allah ya Tuhanku, kabulkanlah doaku kerana Engkau sebaik-baik yang memperkenankan doa.  Dan hanya kepadaMu tempat memanjatkan segala harapan dan tempat mengadu.  Kami meminta demi kebaikan, bukan keburukan.  Kami meminta demi kebahagiaan dan keredhaanMu jua.  Tetapkanlah kami di atas jalan yang satu iaitu jalan yang benar lagi Engkau redhai.  Tidak ada tempat lain lagi untuk kami bermohon dan berserah diri melainkan hanya kepadaMu, Tuhan yang Satu, Maha Esa, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui.  Ameen ya rabbal alamin.

Maka berdoalah, kerana doa pasti akan diperkenankan lambat atau cepat.  InsyaAllah.

JANGAN PANDANG BELAKANG.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing