Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, October 29, 2010

Musafir di dunia

Sedetik saya menyesal kerana anak-anak saya sudah besar ... yang bongsu sudah lima tahun.  Astaghfirullah!  Tidak sepatutnya saya berasa kesal.  Bukankah saya sepatutnya berbahagia dan bersyukur kerana mereka tumbuh membesar dengan sihat.  Jadi, mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada saya untuk urusan remeh-temeh, walaupun kadangkala masih bersuap dan menemani mereka ke bilik air.

Kesal ini bukan kerana yang lain, melainkan kerana kelemahan diri saya sendiri.  Saya sudah agak lewat untuk menggunakan keistimewaan seorang bayi yang mampu menyerap segala rangsangan mengikut acuan yang saya mahukan.  WALHAL saya mengetahuinya kerana pernah mengikuti kursus khas pendidikan awal kanak-kanak.  Ini gara-gara amat terkesan dengan kisah Darwisya. 

Baiklah, namun saya berjaya dalam usaha hendak menghantar Naqib ke madrasah tahfiz walaupun tidak semudah itu pada awalnya, termasuk dari empunya diri sendiri.  Sehingga hari ini, dia sudah boleh menjawab dengan tegas "tak berkat tukar-tukar guru" apabila mak saya kadang-kadang masih 'menyucuk jarum' halus supaya dia berpindah ke sekolah yang 'lebih baik'.  Mujur mak pun tak meneruskan usaha yang lebih gigih, walaupun mak sudah 'ziarah' sekolah yang dia maksudkan. 

Dan lagi, abah Naqib pun sealiran fikiran, bahkan dia sangat menggalakkan anak lelaki 'keluar' jauh dari keluarga untuk berdikari dan mencari ilmu sebanyak-banyaknya seperti yang dia pernah lakukan.  Hidayat bakal menanti giliran, lagi empat tahun.  Insyaallah, kini dia baru lapan tahun.  Kalau ikutkan kehendak saya, tahun lepas lagi dia mesti masuk madrasah dan dia pun mahu sahaja mengikut alongnya belajar.  Tetapi abahnya tidak bersetuju, dengan alasan biar dia menguasai kemahiran 3M dulu sekurang-kurangnya. Jangan sampai hafaz al-Quran tetapi membaca rumi merangkak-rangkak.  Dan boleh mengira dengan baik serta pelbagai kemahiran yang lain.  Mungkin ini lebih baik, dan dalam pada itu saya terus memberikan galakan dan bayangan bahawa dia akan mengikut jejak alongnya nanti.  Ya Allah, permudahkanlah ...

Kini, kami sekeluarga sedang menanti keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah tahun 6 (macam UPSR) untuk dimajukan kepada pihak Institut Tahfiz.  Hurilain sedang menghabiskan empat kertas lagi untuk peperiksaan sekolah ugamanya tahun 4 (dia terpaksa turun dua kelas - di sini sistem sekolah ugama macam Johor, masuk pra darjah dua sekolah pagi.  Guru Besar memohon supaya kami tidak merayu dia membenarkan Hurilain meneruskan di tahun 6 - ada keluarga dari tanahair yang berbuat demikian dan menyulitkan pihak sekolah sebenarnya) dan ada subjek baru yang dia tak belajar secara khusus di sekolah lama dulu.  Saya jangka kami perlu menulis surat sokongan dan pernyataan lagi beserta kedua-dua keputusan peperiksaan ini ke pihak tahfiz nanti, sekiranya tidak melepasi syarat kelayakan.  Dia hanya lima bulan duduk belajar dan terus periksa.  Namun subjek sekolah ugama lebih mudah kerana dia sudah belajar lebih awal di sekolah lama.

Moga-moga dipertimbangkan dan semoga tetap ada rezeki Hurilain belajar di situ, yang pada saya jauh lebih baik dari semua sekolah di sini.  Saya mahu dia berada dalam persekitaran yang murni dan jernih fikiran, kerana dia BUDAK HITAM yang telah selalu menangis dan menahan hati oleh ejekan di sekolah.  Semoga di sekolah yang saya yakin terbaik ini (di sini), dia bakal merintis jalan menjadi bidadari yang berhati bersih dan bergantung kepada Tuhannya semata.  Semoga tidak ada kesedihan lagi melainkan kesedihan tentang kesalahan dan dosa yang dilakukan.  Tidak ada lagi ejekan dan kata-kata yang menyakitkan hatinya, melainkan teguran-teguran yang membetulkan dia terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan untuk membaiki diri.  Insyaallah. 

Hanessa, juga sudah dibayang-bayangkan untuk mengikut jejak langkah along.  Walaupun ada yang pernah berkata, hebat sangat kalau keempat-empat anak menjadi hafiz (maksudnya lebih kurang mustahil ...), tetapi hati saya berkecenderungan untuk mereka mengikut jalan ini.  Pada saya, inilah jalan yang terbaik buat mereka sebagai asas kehidupan sebelum menempuh kehidupan yang lebih mencabar lagi apabila semakin meningkat usia dan semakin jauh perjalanan.  Apa yang sudah terlintas di hati, adalah dari Allah SWT juga. 

Saya menulis dalam cahaya samar-samar.  Lampu utama sudah dipadamkan.  Semua sudah nyenyak tidur.  Saya mendengar siaran Nur Islam Radio Brunei, yang saya dengar mulanya gara-gara nak mendengar nasyid Maher Zain semata.  Akhirnya saya 'lekat' dengan siaran ini yang rupa-rupanya ada banyak pengisian rohani yang menyegarkan jiwa.  Buat masa ini Nur Islam menyampaikan banyak informasi tentang umrah dan haji, sempena musim haji ini.  Ia membuatkan saya terbayang-bayangkan Tanah Suci dan Kaabah yang mulia.  Sms dari kakak yang sudah masuk ke Mekah membuatkan saya seperti melihat dia sedang berjalan mengelilingi Kaabah.  Maka semakin kuatlah rasa hati terhadap satu lagi cita-cita yang lama.

Kami adalah musafir.  Dan akan terus bermusafir.  Bina matlamat dan kuatkan tekad.  Dan janganlah bersusah hati.  Semoga Allah Taala membantu mencapai cita-cita yang baik.  Insyaallah.  Hanya kepada Allah SWT tempat bergantung hati dan berserah diri dan aku hanyalah hamba yang lemah dan banyak berbuat dosa.  Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami. 

Wednesday, October 27, 2010

Prolog dan Dialog

Salam.

Berikut adalah soalan dari saya kepada Sifu http://azmahnordin.blogspot.com berkenaan 'prolog' dan 'dialog'. 

Saya hanya pernah sekali mengikut kursus penulisan iaitu Kursus Surah Yusuf oleh Puan Ainon (PTS) pada 2009.  Selepas mendaftar untuk kursus-kursus seterusnya, saya terpaksa membatalkan kehadiran kerana sentiasa ada urusan mendatang dan akhirnya mengikut suami ke Brunei Darussalam.  Ya, cemburu rasanya mengikuti perkembangan kursus demi kursus tentang penulisan di tanah air melalui FB.  Justeru saya merasa amat bertuah kerana Sifu sudi menggurui saya walaupun secara online, belum berkesempatan bersua muka. 

Mulanya saya menyelitkan dialog-dialog di dalam bab tiga, dengan sangkaan dah terbaik la apa yang saya buat.  Apabila Sifu meminta saya membuang dialog tidak perlu, saya rasa sedikit resah dan tertanya-tanya sebabnya.  Dan inilah soalan-soalan yang sempat saya fikirkan buat masa ini, dan sudah dijawab dengan pantas oleh Sifu.  Saya paparkan di sini untuk tatapan bersama dan semoga bermanfaat kepada sesiapa yang berminat dengan penulisan awal seperti saya.  

Soalan.
1.  Apa itu prolog, epilog dan bagaimana nak buat prolog dan epilog?

 Jawapan:  Lazimnya, kita memulakan karya ¾ daripada karya, atau mungkin ada yang akan memulakannya 2/4 daripada keseluruhan cerita, ketika cerita sedang mencapai pokok persoalan, ketika watak-watak cerita tgh membuak2 dengan pelbagai gelojak perasaan yg berkaitan dgn pokok persoalan.

Sebabnya, pada ketika inilah pengarang biasanya mendapat lebih banyak ilham apabila dia memandang balik ke ¼ - 2/4 – ¾; maka apabila anda sudah dapat melihat karya anda di sini, dan mungkin menggarap karya anda di bab pertama, dgn sendiri anda sudah dpt mewujudkan prolog yg menggambarkan hampir seluruhan cerita, (lazimnya anda sudah pun membayangkan dasar plot dari awal hingga akhir cerita kan?) dan kemudian anda akan menyiapkan novel ini dan bahagian akhirnya barulah anda tulis epilog yg menggambarkan keseluruhan cerita dan penutup novel.

Prolog = bagaimana bibit-bibit konflik bermula

Epilog = berakhirnya sebuah plot cerita kerana berakhirnya klimaks

Jadi susunannya jadi beginilah; prolog – klimaks - epilog

2.  Apakah kesannya kpd keseluruhan novel jika ada prolog?

Jawapan : Kesannya, ia hanya salah satu daripada banyak cara pengarang menyajikan “rentetan cerita yang kemudian menjadi lengkap-memanjang” pada pembaca.

Pendek kata, ia hanya sebuah teknik cuma. Suatu ketika dahulu, DBP tidak begitu menggalakkan penggunaan, maka kerana itu saya tak pernah menggunakan teknik ini. Sekarang saya tak berapa pasti, tapi boleh tanya pada pihak editornya.


3. Apakah dialog boleh mengurangkan kesan kepada sesebuah novel?

Jawapan :  Kita tak mau novel bertukar menjadi skrip drama yang dipenuhi dialog melulu. Antara novel dengan skrip drama (pentas,tv, wayang), martabat novel dan cerpen jauh lebih tinggi lagi.

4. Bagaimana sekiranya dialog itu boleh membantu mengembangkan penceritaan secara tidak langsung/langsung?

Jawapan :  Apabila terlalu banyak dialog, dengan sendiri membuatkan karya tersebut bersifat permukaan cuma dan ini memperlihatkan seolah-olah pengarangnya tidak berjaya masuk dan menghayati jika watak yg diangkat sebagai watak utama. Padahal, sebagai pengarang, kita bukan hanya patut simpati, tapi kita mesti empati juga, baru karya boleh hidup

5. Apakah lebih bagus mengembangkan plot melalui monolog berbanding dialog?

Jawapan : Apabila terlalu banyak dialog, karya kelihatan ringan dan teknik penulisan seperti ini boleh dilihat banyak pada karya-karya picisan yang menunjukkan pengarangnya tidak buat homework atau buat kerja sambil lewa je.


6. Dialog yang bagaimana yang sebenarnya patut/perlu ada di dalam sesebuah penceritaan?  Bilakah yang sepatutnya kita masukkan dialog?

Jawapan : Dialog berfungsi sebagai mempelagaikan persembahan dlm karya, supaya kelihatan lebih menarik dan hidup. Untuk novel remaja dan kanak2, seeloknya, dalam setiap muka surat, perlu wujud dialog, tapi pendek-pendek  je, sekadar untuk menyokong monolog atau gambaran gelojak perasaan watak utama saja, misalnya;

"Jadi, betullah apa yang saya fikirkan selama ini?" soal Sakinah, tersinggung.

"Apa yang awak fikir selama ini?" soal Jan kembali, sambil membulatkan matanya, seolah-olah tidak mengerti apa yg dimaksudkannya.

"Huh!" dengus Sakinah, sebelum bergegas pergi..

Begitulah lebih kurang, biar ada unsur suspen jika boleh.

7.  Dialog bagaimana yang tidak merosakkan mutu karya kita bahkan membantu membaiki karya?

Jawapan : Dialog hidup, macam kita bercakap di dunia realiti, tapi jangan meleret-leret, hingga bagai berkhutbah gitu. Dialog yang membantu karya kita adalah dialog yg ada unsur-unsur suspen, atau dialog yg menunjukkan watak tu watak yang cerdik dan tak berbicara perkara remeh-temeh, sebaliknya terus kepada pokok persoalan.

8.  Dialog yang banyak tu akan saya edit, tetapi adakah akan mengurangkan mutu juga kalau dialog ditukar kepada imbas kembali atau monolog watak utama?

Jawapan : Tidak akan mengurangkan mutu, kalau diimbas kembali. Dialog memang perlu, tapi terhad. Gambaran perasaan lebih menarik jika dibuat perbandingan atau cipta perumpamaan sendiri yang berkaitan dengan tema karya anda.

9.  Wajarkah kalau watak utama banyak bermonolog?

Jawapan : Monolog bukan monolog kosong, sebaliknya adalah isi/data daripada ilmu bantu yang kita angkat dan sampaikan secara kreatif. Apabila dipelbagaikan dengan monolog, dan dalam fikiran, dengan  sendiri cerita hidup dan kuat. Tmbah kuat jika watak utama sentiasa memikirkan tentang isu/masalah utama (penyakit ibu kan) selang 3 - 4 paragraf karya anda dan kaitkan dengan perasaan watak tersebut.

Dari saya ~  Terima kasih buat sifu yang sangat sabarrrrr :). Insyaallah dengan sokongan dan bimbingan sifu, saya akan teruskan sehingga berjaya. Saya dah cukup cemburu dengan peserta bengkel lain, yang sudah terbit cerpen dan novel mereka.

Jawapan Sifu ~ saya juga menunggu terbitnya cerpen Dedikasi Buat Ibu tu, sebab ia sebuah cerpen yang hebat gambaran gelojak perasaan dan tekanan psikologi watak utamanya :)

Tuesday, October 26, 2010

Ibnu Yaacob, Darwisya dan Hamka

Salam.

Catatan ringkas sahaja.

Kelmarin, Ahad, saya mencuri masa untuk membuka blog Ibnu Yaacob http://ibnuyaacob.com yang sudah lama tak saya jenguk.  Ada banyak isu kegemaran saya di sana yang belum habis dibaca.  Kali ini saya teringin nak baca tentang teori yang mahu didedahkan mengenai Imam Mahdi dan bala tentera yang diketuai pemegang panji-panji hitam dari Timur.  Saya belum berkesempatan nak melayari blog ini sepenuhnya, jadi saya anggap diri saya belum terbaca teori yang dimaksudkan.  Saya teruskan membaca komen dari para pembaca blog yang tak sudah lagi bertikai dan mengutarakan pendapat masing-masing, sehingga tarikh terkini. 

Dan saya amat tertarik dengan ketelusan Puan Lina yang mengulas dan menjawab secara berhikmah lagi bijaksana di situ.  Beliau memang berani, tidak bersembunyi di sebalik nama semata.  Lalu saya klik http://darwishndarwisya.blogspot.com.  Saya amat tertarik bahkan terpesona sebenarnya.  Amat bertuah kanak-kanak ini memiliki ibu yang sangat kental semangat mencapai matlamat yang sudah ditetapkannya.  Rupa-rupanya kisah mereka sedang meletup di tanahair, hanya saya yang ketinggalan tidak mengikuti perkembangan semasa. 

(Aiseh, blackout la plakkkk ...)

Dipendekkan cerita, blog http://keretamayat.blogspot.com mengeluarkan entri terkini beberapa waktu tadi dan saya ambil kesempatan ziarah.  Ini pun blog 'meletup' juga.  Kisahnya boleh baca sendiri kat situ. 

Dipendekkan masa sebab dah gelap, hanya nampak skrin laptop je ni, dah mula bahang panas, dan (opps, dah ada api balik hehh...)

Sambung balik. 

1.  hanya al-Quran dan Sunnah yang ditinggalkan untuk digigit dengan geraham buat umat akhir zaman.

2.  Muliakan al-Quran, baca dan fahamkan (nasihat buat diri).  Memang menyakitkan hati melihat apa yang mereka lakukan dengan ayat-ayat yang mulia, tetapi itu pun taktik juga.  Saya dipesan untuk menjadikan Islam kuat, mulakan dengan solat.  Fahamkan inti pati solat.  (Nasihat buat diri)  Ya Allah, terimalah solatku, jangan dicampakkan ke mukaku di akhirat nanti.  Bersikap seperti kita melihat Dia, kalau tak pun yakinlah Dia sentiasa (Maha Melihat) melihat kita.  Banyakkan solat malam juga.

3.  Jangan prejudis hantar anak ke tahfiz tak dapat makan nanti.  Adakah Allah akan mensia-siakan orang-orang yang menghafaz ayat-ayatNya di dada dan di lidah? Saya dan suami sudah sepakat, walaupun sebenarnya hari depan bukan di dalam tangan kami, namun Allah Maha Mengetahui.  Mudah-mudahan Naqhuhines menjadi hafiz dan hafizah yang benar-benar bertakwa kepada Allah, masuk dalam golongan kecil yang ke syurga tanpa hisab, dan masuk golongan orang-orang yang berjuang demi syahid di jalan Allah.  (nasihat buat diri).

4.  Biarlah dajjal dan konco-konconya berbuat apa sahaja.  Saya sokong ke'boring'an Keretamayat.  Dulu satu ketika saya pun rasa tersentak bukan main-main dengan kisah dajjal ni.  Sejak sekolah ugama darjah satu sudah diceritakan tentang Hari Kiamat dan dajjal.  Memang berkesan cerita cikgu.  Ditambah lagi melalui pembacaan.  Mutakhir ni lagi melambak-lambak di pasaran.  Pelbagai ramalan dikeluarkan.  Buku-buku begitu meletup-letup seluruh dunia (yang ntah ya ntah tidak).  Tapi saya sudah dimaklumkan dengan nada biasa sahaja ~ tak payah la nak fikir dan renung pasal dajjal laknatullah tu.  Sekadar pengetahuan dan makluman, okay la.  Tumpukan pada membaiki diri dan meneguhkan ikatan hati dengan Allah Taala.  Perbaiki solat dan amal ibadah untuk bekalan di dalam kubur, di hari akhirat nanti.  Jadi saya fikir, konco-konco dajjal laknatullah memang sangat mewar-warkan pasal ketua mereka ni, supaya dapat menyuntik ketakutan dan kegentaran di hati.  Secara tidak langsung meningkatkan imej dajjal dan merisaukan hati umat Islam yang umpama buih di lautan.  Itu taktik psikologi.  Dia memang pakar dalam hal ni.  Sedangkan dia tetap hamba Allah yang cuma diberikan sedikit kelebihan untuk menguji umat Islam akhir zaman. 

5.  Ya Allah ya Tuhanku ... selamatkanlah kami dari fitnah akhir zaman, dari fitnah dajjal laknatullah.  Selamatkanlah kami dari huru-hara hari kiamat dan selamatkanlah kami dari kesakitan sakaratulmaut.  Ya Allah yang Maha Pengasih, pimpinlah kami mengikut jalan kebenaran yang telah Engkau tetapkan.  Jalan yang satu, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri rahmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau laknat.  Tiada Tuhan melainkan Engkau ya Allah.  Kasihanilah kami dan ampuni dosa-dosa kami.  Hanya kepadaMu tempat kami berserah diri. 

Nampaknya ini taklah ringkas sangat.  Sudah dua hari saya memeram sesuatu di kepala tetapi nampaknya saya menulis on the spot je ni.  Apa yang difikir-fikirkan semua hilang entah ke mana bersama kekangan waktu.

Sunday, October 24, 2010

Jeneral Mahdi and the Last Generation Army

Salam.

Buat makluman, blog ini tidak ada kepentingan komersial langsung. Lihat, tak ada iklan apa-apa yang boleh menguntungkan saya kan (kecuali iklan yang tak aktif tu)! Jadi, tidak adalah niat hendak menarik perhatian bloggers dengan entri panas. Hanya sanya saya secara peribadi sudah lama tertarik dengan isu yang akan saya link ini. Sementelah pula blog ini ditulis khusus untuk Naqhuhines dan ahli keluarga, tetapi terbuka untuk dibaca juga oleh sesiapa. Justeru saya suka memetik entri yang saya fikir bermanfaat untuk tatapan Naqhuhines dan ahli keluarga, juga buat diri sendiri khasnya.

Jeneral Mahdi and the Last Generation Army

Blog yang padat dan sarat dengan komen-komen mengejutkan. Ada pro dan kons. Sederhana ada dan melampau pun ada.  Pendek kata macam-macam komen ada. Ada juga yang menyertakan blog peribadi yang menarik, tentu saya akan ziarah dan berkenalan dengan empunya blog. Selamat membaca buat Naqhuhines dan semua. Fikir-fikirkan.

Catatan saya ~ semua orang tertanya-tanya kini tetapi sudah ada orang (atau golongan atau kelompok kecil) yang amat pasti, yang sudah diberikan tanda-tanda yang jelas tentang siapa yang dimaksudkan, walaupun empunya diri sendiri masih belum tahu sehinggalah dia dibaiah pada hari yang sudah ditentukan itu, walau di mana pun mereka.  Sudah siap sedia mengikut janji Allah SWT.  Sementara itu, teruskanlah kehidupan mengikut jalan yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT, '... Engkaulah Tuhan yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami meminta tolong.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.'  (al Fatihah). Untuk menghadapi kiamat kecil (kematian) dan Kiamat besar, serta soal-jawab di Padang Mahsyar nanti.

Terima kasih kepada Ibnu Yaacob.  Entri yang panas sehingga tarikh terkini sudah satu tahun lapan bulan tetapi masih terus mendapat perhatian, dan ramailah yang 'bergaduh' di sana.  Tapi saya lum sempat cari entri teori yang dijanjikan ... lum jumpa lagi.

Friday, October 22, 2010

Askarnya hilang tangan

Salam.
Semenjak add image dah berubah cara, mood untuk meletak sebarang gambar telah terbantut.  Ia mengambil masa yang lama membuatkan rasa jemu dan 'mencuri' kredit B-mobile saya dengan menunggu kosong begitu.  Boleh sahaja muat turun siap-siap gambar kat Picasa Web Albums, pun tidak membantu sangat kerana saya perlu memilih gambar yang bersesuaian.  Tambahan lagi saya tidak sentiasa dapat mengadap blog ini.  Secara tidak langsung, hobi merakam sudut menarik turut menjadi dingin.  Sudah lama saya tidak merakam gambar yang menarik.  Langit Seria pun tidak seindah selalu.  Apatah lagi sehari dua ini turut mendapat tempias jerebu  yang menghalang cahaya matahari dan turut mematikan angin.  Semoga cuaca akan pulih semula seperti biasa.

**
Hidayat sudah dapat menyiapkan permainan cantum pasang dengan bantuan kakaknya.  Kelmarin waktu mereka sepatutnya sudah lena, si kakak masih menekuni sekotak permainan itu dan berjaya menyiapkan binaan kereta dengan sempurna seperti yang tertera di kertas yang disertakan.  Hmm agak mengagumkan juga.  Tak sangka si budak perempuan ini boleh membina kereta itu seperti abangnya juga.  Yang lebih baik lagi, Hidayat mula menghormati kakaknya lebih dari waktu-waktu lepas.  Memang dia gembira sangat.  Binaan kereta tentera berwarna hijau dengan kepingan kecil-kecil itu kelihatan tegap dan sama seperti gambar di kotak.  Tetapi ada lagi kepingan yang masih lerai belum dibina.

Terasa mahu menitik air mata apabila binaan kedua asyik mahu patah di jari-jemari saya.  Memanglah ia BUKAN mainan orang dewasa!  Tetapi saya 'dipaksa' oleh Hidayat untuk membuat binaan kereta yang sebuah lagi.  Dia merengek, mendesak dan hampir menangis kerana mainan itu juga asyik tercabut di tangannya.  Saya cukup malas mendengar rengekan dan desakannya, jadi mahu tak mahu turun tangan mencuba dengan segala kepakaran yang ada.  Tidaklah menitik pun air mata, hanya satu manifestasi betapa geram dan agak tertekan juga.  Si kakak tiada selama dua jam kerana mengaji di masjid berdekatan. 

Tetapi akhirnya dapat juga mengelak diri apabila sampai masa menjemput si kakak dan masuk ke dapur untuk memasak.  Mainan kedua itu sampai saat ini belum menjadi lagi.  Yang baiknya, dia semakin tekun dengan permainan itu.  Bermacam bentuk kereta yang dapat dicipta darinya.  Dia lupa mengajak saya ke perpustakaan untuk bermain games di komputer, dan tidak lagi terintai-intai Rohith yang masih berkurung dalam rumahnya kerana masih kurang sihat.  Kembang hatinya kerana abahnya memuji permainan itu bagus kerana boleh merangsang perkembangan otak.

Waktu ini Hidayat sudah pun lena.  Lena bersama air mata ... Tadi selepas abah membantu dia menyiapkan homework Matematik, dia pun bermain kereta askar yang dipasang oleh kakak malam semalam.  Abah pun menumpang sama, saja nak menyakat sebenarnya.  Tiba-tiba si abah bergurau dengan 'merotan' tiga orang askar yang sedang berdiri tegak di atas kereta askar itu hingga terpelanting ke atas lantai.  Askar yang terpelanting dikutip semula dan dipasang di atas kereta seperti tadi.  Tiba-tiba Hidayat berubah wajah dan mula menangis.  Laa ... rupa-rupanya sebelah tangan satu askar dah tercampak entah ke mana.  Askar itu telah cacat hilang tangan sebelah.  Masing-masing mula tolong mencari termasuk saya juga.  Sedangkan si abah santai sahaja membaca majalah kegemarannya sambil memujuk-mujuk Hidayat dari jauh.  Cepat-cepat si abah menawarkan wang $7 untuk tambang trip sekolah ke Bandar Seri Begawan yang diminta Hidayat semalam untuk menyejukkan hati si anak.  Hmm ...

"Tak apa la, askar tu cacat kena la baring kat stretcher, masuk dalam ambulan askar"  kata si abah.  Makin sedih Hidayat mendengarnya ... 

Siapa sangka tangan askar akan hilang?  Esok mama menyapu nanti mama akan jumpa tangannya dan pasangkan, okay.  Macamana kalau tak jumpa tangannya?  tanya Hidayat lagi.  Dia sudah merancang nak beli permainan baru.  Dia menangis dengan suara tertahan-tahan, takut abah jadi berang.  Kasihan padanya.  Itulah, pujuk pujuk pujuk akhirnya terlelap juga.
**

Tiba-tiba masuk panggilan telefon dari nombor madrasah Naqib.  Terdengar suara anak sulung saya meminta return call.  Rupa-rupanya bungkusan mengandungi kurtanya yang tertinggal semasa bercuti Syawal tempohari sudah sampai.  Sungguh cepat!  Hari Selasa 19hb jam 350pm saya ke pejabat pos dan membuat kiriman pos laju dengan wang setem $20, siang tadi 22hb sudah sampai ke penerimaan Naqib dengan selamat.  Alhamdulillah.  Selain kurtanya, ada dua helai t-shirt dengan gambar Masjid kubah emas untuk kawannya, key chain dan coklat.  Beratnya 2.19 kg.  Lagi katanya, ustaz sudah menetapkan kelasnya boleh menerima panggilan pada hari Jumaat jam 5.40 petang ke atas.  Dia juga baru beberapa hari mula menghafaz juz ke enam (juz 25).  Selepas berpesan-pesan dan menyampaikan khabar keluarga yang terkini, kami memutuskan perbualan.

Seronok hati saya apabila mendengar suara Naqib yang ceria dan tegas bunyinya.  Terbayang kini dia sudah serasi dengan kehidupan di madrasah.  Semoga dia menjadi hafiz yang hebat.  Kisah dia dihantar ke madrasah dengan tajuk 'Selamat Datang ke Madrasah Miftahul Ulum' menjadi entri yang paling popular di blog Naqhuhines.  Kekadang saya rasa bersalah, andai entri ini telah mencuri masa pelayar yang sebenarnya mencari info tentang madrasah tetapi sebaliknya terjumpa kisah budak lelaki  yang kesedihan pula.  Tetapi komen-komen yang muncul dengan doa-doa untuk Naqib adalah doa yang mujarab dan sangat berkesan.  Alhamdulillah dan terima kasih buat anda.

Alhamdulillah, lega rasanya kerana bungkusan selamat sampai ke tangan Naqib.  Saya sudah mula terfikir-fikir hari ulang tahun kelahirannya pada Disember ini, apa hadiah yang boleh kami kirimkan untuknya dan bersesuaian dengan dirinya kini ...  mungkin sesuatu yang dapat membantu dia membaiki hafazan dengan lebih efektif lagi, insyaAllah.  Tentu abahnya sudah ada idea yang lebih baik, kan ...  :)

Wednesday, October 20, 2010

Temuduga dan ustazah nan ayu

Pagi ini, 11 Zulkaedah 1431H bersamaan 19 hb Oktober 2010 (Selasa) – Hurilain menjalani temuduga bacaan al-Quran bagi pengambilan pelajar-pelajar baru untuk sesi pengajian 1432H/2011M di Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kami menjangkakan akan ada temuduga kedua, wallahualam.

Beberapa detik selepas jam 8.30 pagi, saya menerima panggilan telefon dari abahnya yang mengabarkan dia tak sempat nak parkir kereta pun. Sudah ada pegawai bertugas yang mengarahkan supaya Hurilain ditinggalkan dan jemput semula jam 11 pagi nanti.

Saya melakukan kerja rumah dengan debaran di dada. Berbagai bayangan dan jangkaan muncul silih berganti. Andai dia berjaya, bagaimana ... Andai dia tidak, bagaimana pula ... Macamana jika dia gabra dan tertekan. Pendek kata, macam-macam yang muncul menambahkan debaran saya semata.

Imbasan negatif cepat-cepat saya tepis. Ia boleh melemahkan jiwa dan membuatkan rasa putus asa yang tidak dibenarkan oleh Tuhan. Kita tidak boleh berputus asa. Tidak sekali-kali. Rahmat Tuhan menanti di mana-mana, sentiasa tersebar di seluruh pelusuk hati dan alam. Mulut saya tidak putus membaca al-Fatihah berselang seli dengan doa ke hadrat Illahi - semoga Tuhan membantu gadis saya dan memudahkan segalanya buat dia. Sesudah itu saya mengucapkan selawat ke atas Junjungan Rasululullah SAW sepuas-puasnya.

Saya capai bawang putih, bawang merah dan mula mengupasnya untuk memasak makanan tengahari. Gadis kecil saya yang ponteng sekolah mampir ingin membantu. Tiba-tiba saya terfikir, mengapa tidak saya berkongsi rasa dengan seseorang. Serta-merta saya teringat kepada kekanda-kekanda dan adinda saya. Sebenarnya ini adalah satu kebiasaan saya untuk ‘bermanja-manja’ dengan mereka. Lalu saya utuskan pesanan ringkas melalui telefon bimbit; ‘Ain sedang temuduga Pusat Tahfiz sekarang. Mohon doa untuknya. Terima kasih.’ Satu permintaan yang ‘urgent’.

Tidak berapa lama kemudian masuk dua pesanan ringkas berturut-turut. Kata kakak sulung, ‘Ya Allah ... mudahkan urusan temuduga Ain n berilah yang terbaik untuknya ... ameen' – saya rasa ‘fuh, leganya.’ Kakak ketiga pula ringkas sahaja tetapi mengesankan, ‘InsyaAllah berjaya.’ Adinda saya belum membalas lagi. Tetapi tentu sudah ada doa untuk Ain darinya. Respon dari kakak-kakak membuatkan saya rasa lapang dan tersenyum. Saya juga yakin semua nenek dan atuk Ain sudah menitipkan doa kepada Allah Taala untuk kejayaannya. Begitu juga onyang yang disayangi, dikasihani dan dirinduinya, sudah mengucapkan harapan yang terbaik buatnya.  Sebenarnya ada ramai yang turut mendoakan Hurilain dan memberi kata-kata perangsang.  Terima kasih buat semua.

* Alhamdulillah, hidup penuh keajaiban sebenarnya.

Tengahari ini, seperti biasa saya menyiapkan bekalan makan tengahari, mengambil Hidayat (Hanessa – sejak akhir-akhir ini selalu enggan ke sekolah dengan alasan orang tak nak kawan dengannya) dari sekolah dan menuju Masjid Seria. Di perkarangan masjid, saya bertembung dengan Hurilain dan abahnya yang baru sudah solat Zuhor. Dari kejauhan, saya lihat gadis saya tersenyum manis sekali. Tak sabar rasanya nak mendengar cerita dia ditemuduga tadi.

Selepas bersalaman dan si abah beredar untuk ke pejabat semula, kami masuk ke ruang solat wanita dan saya mula mengajukan pertanyaan demi pertanyaan. Dan si gadis ini pun bercerita dengan penuh bersemangat. Perkataan pertamanya, “Senang!” Alhamdulillah. Terima kasih wahai Tuhan Sekelian Alam yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tak saya duga perkataan ini yang akan diucapkannya.

Dek risau, saya pesan sungguh-sungguh pada dia pagi tadi tika mahu ke sana – “Ingat, jangan risau kalau lihat ada pelajar yang berkumpulan dan berteman. Ingat, berteman dengan Tuhan lebih baik. Ingat, Tuhan sentiasa lihat kamu dan tak biarkan kamu sendirian. Kalau baca Quran karang jaga tajwid terutama sabdu (sebab saya fikir dia selalu baca tak perhati tanda sabdu). Ingattttt!!! Dan sentiasa berselawat, al-Fatihah dan berdoa.” Anehnya, gadis yang selalunya cepat gabra ini tenang-tenang sahaja. Wah, ini sudah terbalik nampaknya. Tapi tak mengapalah. Janji dia tenang dan yakin diri, yakin kepada bantuan Allah Taala.

Saya rapatkan muka ke wajahnya, merenung dia dan memasang telinga sungguh-sungguh. Dan dia mula bercerita ... selepas diberi nombor giliran, dia dipanggil masuk ke bilik temuduga. Dadanya berdebar kencang, dak duk dak duk dak duk. Terasa hati dan jantung bagai mahu melompat keluar dari rongga dadanya. Dua orang ustazah yang cukup ayu bertudung litup dengan wajah bercahaya sudah sedia menanti. Mereka memberikan senyuman mengalu-alukan kehadirannya. Terpegun dia menatap wajah ustazah hingga tanpa disedari debarannya lenyap sendiri. Dia memberi salam dan mengucup tangan ustazah. Kenudian dia duduk di sebuah meja besar bertentangan dengan mereka. Selepas memperkenalkan diri, dia diminta membuka al-Quran muka surat 14 dan membaca ayat 90 dan sebuah surah yang lain. Kemudian dia ditanya sekiranya ada menghafal sebarang surah. Dia membaca surah Yassin beberapa ayat hingga diminta berhenti. Benarlah jangkaan abahnya tentang temuduga ini. Abahnya kerap kali mengingatkan supaya dia membaiki bacaan surah Yassin..

Kata Hurilain, “Ustazah saling pandang-memandang satu sama lain, angguk-angguk dan catat sesuatu di atas kertas di hadapannya.”

Beberapa soalan lain menyusul seperti ‘full’ tak solat, niat mandi hadas besar dan benar-benarkah berminat belajar di situ.

Ketika dia memberi jawab ‘full’ solat, ustazah memberi senyum sinis. Alhamdulillah, dua waktu (Zuhor dan Asar) wajib bersolat di sekolah manakala solat Maghrib dan Isyak berjemaah di rumah. Tetapi dia mengerutkan kening tatkala mendengar soalan niat mandi wajib. Alahai anak aku ni ... Ustazah tanya lagi, dah uzur ke belum. Geleng kepala. Hmm ... patut la kerut kening tadi. Ustazah tersenyum-senyum. Hurilain tersipu-sipu.

Akhir sekali dia memberitahu ingin mengikut jejak abangnya yang belajar di pusat tahfiz di Malaysia, sebagai dorongan dia memohon belajar di situ. Ustazah angguk-angguk lagi.

Kata Hurilain, respon kedua-dua ustazah itu seperti positif dan meyakinkan. Riak wajah mereka juga seperti agak terkejut apabila dia menyatakan akan membaca surah Yassin tadi. Dia sempat berkenalan dengan Nurul, seorang pelajar yang berasal dari Malaysia juga dan sudah lama menginap di Brunei. Nurul membaca surah tiga Qul dan beberapa surah pendek lain. Dia juga terpandang ahli keluarga Mufti pertama Brunei turut hadir, mungkin menghadiri temuduga seperti mereka juga.

Saya akan terus berdoa dan memohon kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan jawapan yang bakal diterima kelak adalah jawapan yang kami harapkan. Semoga dua tahi lalat manis di dagu kirinya itu menjadi tanda dia sentiasa berbicara perkataan yang baik-baik dan sentiasa membaca kitab yang mulia di bibirnya dan hatinya di sepanjang kehidupan yang sementara ini. Mudah-mudahan dia dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia yang menghafaz dan mempraktikkan isi al Quran di dalam kehidupan. Insya Allah. Ameen.

* Alhamdulillah, hidup penuh keajaiban sebenarnya.

Tuesday, October 19, 2010

Panggilan Temuduga

10.20 pagi.
Baru selesai memasak untuk tengahari ini. Baru on plug laptop dan baru duduk beberapa detik. Tiba-tiba masuk panggilan – macam biasa, dari abah Naqhuhines. Dia dalam perjalanan ke Tutong dan BSB, dan tidak sempat singgah untuk makan tengahari. Dia hanya mahu mengabarkan baru sahaja menerima panggilan dari Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Hurilain dikehendaki hadir ke pusat tersebut esok pagi jam 8.30 pagi untuk temuduga bacaan Al-Quran sebagai saringan pertama bagi pengambilan pelajar-pelajar baru untuk sesi pengajian 1423H/2011M. Saya tak pasti, tetapi kata abahnya mungkin mereka mahu melihat sejauh mana kemampuan pelajar membaca Al-Quran. Mungkin juga terus dengan ujian hafalan satu muka surat dalam setengah jam itu.

(Selepas abahnya ajukan pertanyaan tentang keperluan buat pemeriksaan kesihatan seperti syarat dinyatakan di borang semasa mengembalikan borang itu tempohari, barulah kami tahu bahawa borang ini 'borang lama' sebenarnya.)

Jadi esok, Hurilain akan ke BSB bersama abahnya. Saya pula yang rasa gementar. Tak sangka begitu cepat panggilan untuk ditemuduga. Bersama abahnya, kami jangkakan paling awal pun temuduga akan diadakan selepas keputusan PSR diumumkan, mungkin hujung bulan November ini. Tetapi saya sembunyikan rasa gementar itu dari abah Naqhuhines, walaupun dia dapat mengesan dari suara terkejut saya tadi.

“Tak apalah, ini saringan pertama. Kalau suruh hafaz pun, buat sahajalah. Alhamdulillah, cepat dia panggil.” Katanya dengan suara tegas. Haah, ye tak ye juga. Tiba-tiba muncul perkataan ‘redah je la’ dalam kepala. Ish, mana boleh main redah-redah. Ya Allah, bantulah kami, bantulah Hurilain, ameen.

(Naqib pun pernah lalui ujian yang sama dan dia 'lepas'.  Saya kurang risau tentang kemampuan Naqib waktu itu kerana dia sudah ada pengalaman menghafaz di sekolah lamanya.  Berbanding gadis saya ini ... hanya tahu tentang sikit-sikit kaedah hafazan cepat dari cerita Alongnya dan novel Alif semata.)

“Petang ni suruh dia sekolah macam biasa. Malam ni suruh dia baca Yassin macam biasa. Esok pakai baju sekolah ugama terus. Lepas temuduga nanti abang terus hantar dia gi sekolah ugama. Senang gitu.” Abah Naqhuhines bercakap lagi. Sedikit tersentak dan segera memasang telinga, lalu mengiyakan kata-katanya. Panggilan diputuskan setelah dia mengucapkan “I Love You” yang kali terakhir bulan Mac lalu diucapkannya. Entah, mungkin hatinya teruja dengan panggilan pusat tahfiz itu. Saya pun “I Love You too” juga dengan rasa sedikit pelik dan angkat kening sedikit. Saya tahu dia akan kata “Cakap kat orang lain kang!” kalau saya tanya balik.  Ha ha ...

Kepada ahli keluarga terdekat khususnya ketiga-tiga ibu di sana, sudah kami maklumkan tentang rencana Hurilain ke pusat tahfiz. Alhamdulillah, mereka semua mendoakan dengan setulusnya. Doa ibu yang amat berkat. Malam tadi, Hurilain bercakap pula dengan onyang kesayangannya dan memohon doa restu onyang untuknya. Tersedak-sedak orang tua itu yang sedang menjamah makan malam apabila dihulurkan telefon bimbit oleh mak. Mujur Hurilain tidak tenggelam dalam perasaan. Bahkan dia tertawa mendengar onyangnya terbatuk-batuk dan sempat menyuruh onyang minum air dulu baru bercakap. “Ain sayang onyang!” itulah katanya. Doa orang tua yang sudah 85 tahun, insyaAllah diterima Allah. Dan tak sangka, pagi ini sudah dijadualkan Tuhan untuk menerima panggilan pusat tahfiz itu.

Mak Ngah Ani yang bakal berangkat ke Tanah Suci pada 21hb ini pun sudah diminta doanya untuk Hurilain. Doa orang yang akan menjadi tetamu Allah dan menunaikan ibadah haji, semua kata-kata dan ibadahnya sudah dianggap sebagai orang yang sedang berhaji. Mak Su Hasni turut menyokong, dengan ucapan “Insyaallah mudahan Ain berjaya di jalan untuk sentiasa mendekatkan diri dan kehidupan seharian dengan Tuhan.” apabila Hurilain memberitahu tentang pusat tahfiz dan permohonan ke sana di wall FB mak sunya. Pada Along pun sudah banyak kali berpesan supaya doakan adiknya itu.

Di Masjid Seria nanti, ketika singgah untuk solat Zuhor dan anak-anak tumpang bertukar pakaian sekolah ugama dan makan, saya akan masukkan sedikit wang ke dalam tabung masjid diiringi doa. Mudah-mudahan sedekah ini diterima Allah. Mudah-mudahan Allah memudahkan hajat disampaikan. Sejak beberapa lama, setiap kali singgah di masjid, saya memastikan akan masukkan wang ke dalam tabung masjid. Saya berniat untuk istiqamah walaupun jumlahnya kecil sahaja. Hanessalah yang paling rajin memasukkan wang itu dengan penuh riang. Apabila abang dan kakaknya kemudian menyedari perbuatannya itu, masing-masing pun mula meminta wang dari saya juga.

Umpama benih yang disemai, sikap suka bersedekah sudah mula tumbuh subur di dalam diri anak-anak. Di negara ini, JARANG, sebenarnya TIDAK PERNAH bertemu orang yang meminta sedekah. Tetapi kalau di pasar Sabtu di Sijangkang, pasti bertemu dengan seorang dua yang menadah tangan meminta belas ihsan dengan pelbagai kecacatan tubuh masing-masing. Dan anak-anak mencuit saya meminta wang untuk dimasukkan ke dalam kole si peminta sedekah.

Ia sangat digalakkan. Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Saya sangat terkesan oleh sikap pemurah arwah abah dulu. Dia membeli barang makanan untuk beberapa orang tua yang tinggal bersendirian terasing dan sudah rebeh rumah masing-masing, tanpa sebarang ikatan persaudaraan melainkan sama seIslam. Abah sangat pemurah hati. Saya juga terikut-ikut. Semasa kanak-kanak, saya cabut semua peket jajan kekacang dari tempat jualan mak untuk diagih kepada kawan-kawan tanpa pengetahuannya. Tin kuih raya mak yang paling sedap pun pernah kosong sekelip mata dek perbuatan saya. Kata mak, saya jenis bagi sampai habis tak menyimpan. Seronok dapat memberi kawan-kawan sebenarnya sambil membeli jiwa barangkali. Sekarang saya rasa sudah pandai sukat ikut kemampuan.

Dan saya beruntung kerana peribadi suami saya juga sedemikian. Bahkan dia pernah DINASIHATI oleh maknya sendiri supaya berpada-pada dalam menghulur supaya tidak keterlaluan. Saya diam sahaja. Semoga sedekah itu diterima di sisi Allah. Dia pun masih mengutamakan ahli keluarga sebagai penerima yang utama. Dan itulah cita-citanya pun, mahu jadi JUTAWAN DERMAWAN. Hanya belumlah lagi dapat menjadi jutawan. Insya Allah ...

Kembali kepada anak-anak ... mereka juga pemurah hati. Sekolah mereka memberi peket makanan, minuman dan buah-buahan untuk dimakan semasa waktu rehat. Tidak perlu duit poket pun walaupun ada kantin yang kecil sahaja menjual beberapa makanan dan minuman. Jadi anak-anak saya yang terbiasa menerima duit poket telah ‘mensedekahkan’ wang kepada kawan-kawan, terutamanya Hidayat dan Hanessa. Kini, setiap kali memberi wang poket saya turut berpesan supaya jaga duit tak payah bagi kawan, kalau tak guna masukkan dalam tabung. Saya berfirasat kawan-kawan mereka hanya mengambil kesempatan di atas ‘kekayaan’ budak baru yang bawak duit ke sekolah ini. Beransur-ansur saya kurangkan menghulur wang poket sehingga sekali dua sahaja seminggu. Nampaknya mereka tak kisah sangat. Kalau ditanya pun kadang-kadang mereka tidak mahu atau hanya “50 sen je la...”

Hmm, baiklah. Diam-diam sudah hampir jam 12 dan saya belum bersiap satu apa pun. Sekejap lagi tentu jadi Charlie Chaplin dan menjadi alasan memecut laju di jalan raya. Ya Allah, selamatkanlah perjalananku pergi balik. Ameen.

Sunday, October 17, 2010

Sejak semalam Hidayat meminta saya berjanji untuk membawanya ke Plaza Seria.  Mukaddimahnya, hanya dia anak lelaki di rumah ini dan dia tak ada kawan.  Rohith tidak nampak bayang lagi, mungkin masih demam.  Kereta kawalan ada sedikit kerosakan.  Semua CD sudah ditonton.  Mainan lain sudah jemu.  Jadi dia mahu membeli permainan dan sudah mengira wang yang ditabungnya berdikit-dikit itu.  Dia sudah melupakan pesanan Along dua bulan lepas supaya jangan beli mainan lagi, nanti abah tak cukup duit nak bayar tiket kapal terbang untuk Along.  Nak beli, guna duit sendiri!  Jadi dia mula mengira duit yang baru disimpan selepas raya.  Termasuk saki-baki duit raya dan duit poket, sudah ada $15.  Jadi budgetnya di bawah $15.

Mahu tak mahu, saya terpaksa menerima janji.  Jam 9.30 pagi ini kami akan ke Seria.  Tetapi tepat jarum jam sebegitu, saya baru memulakan tugas memasak di dapur.  Hari ini saya bercadang mahu membuat kuah kacang untuk dimakan bersama ketupat segera baki juadah hari raya tempohari.  Sambil itu teragak pula membuat kuih biji sagu untuk dimakan bersama air gula dan santan, kegemaran Hurilain.  Hidayat mula keluar masuk dapur menuntut janji.

Akhirnya setelah semua selesai, saya dan Hidayat sambil diiringi dua puteri pun menuju ke Seria.  Abah mereka santai di rumah.  Dia benar-benar mahu menggunakan setiap saat pada hujung minggu dengan sebaik-baiknya buat melunaskan segala 'dendam' sekujur tubuhnya pada 6 hari bekerja.  Kasihan si abah!

Seperti yang sudah dipersetujui, saya menunggu di dalam kereta di tepi kaki lima Plaza Seria.  Parking di hujung minggu memang sukar.  Hidayat turun dengan penuh bersemangat ditemani oleh si bongsu Hanessa.
Beberapa minit berlalu.  Saya tutup dashboard dengan penahan matahari, membuka novel Geisha dan memasang radio channel Nur Islam Radio Brunei ke telinga.  Hurilain masih terpaku di tempat duduk belakang.  Dia juga membawa sebuah buku di tangannya.

Tidak lama kemudian, muncul kelibat Hidayat.  "Mama, Baby terkencing kat kedai."

Hah!  Ini sangat memeranjatkan sebenarnya.  Baru saya teringat, budak perempuan itu hanya bersalin pakaian tidur sahaja tadi.  Dan dia tentu sudah penuh perut dengan bercawan-cawan air teh cicah biskut ketika menemani abahnya berfb di depan tv tadi.  Aisehmen ...  Tapi saya dapat bertenang.  Saya suruh Hidayat bawa adiknya yang lukus basah itu ke kereta.

Gadis kecil itu mampir dengan wajahnya yang biasa tulus dan mulus selamba.  Saya pandang dia pun dengan bersahaja.  Dia memakai tudung besar kakaknya yang dipasang brooch di bawah dagu, sekali pandang macam gadis Indonesia yang comel.  Nak tergelak pulak.  Tetapi tiba-tiba dia menangis di tepi kereta.  "Dahhh ... mama tak marah!"  kata si kakak memujuk.  Ehh ... memandai je kata mama tak marah yek!!  Sebenarnya malas nak marah-marah.  Tapi gadis yang sudah buat silap ini mesti diberitahu apa yang sepatutnya dia buat lain kali.  Si kakak melapik kusyen kereta dengan akhbar lama untuk dia duduk.

"Lain kali nak keluar ke mana-mana pun juga, mesti buang air dulu."  kata saya, datar je.
Dia menyahut pun datar, antara dengar dengan tak je, "Baby tak rasa nak kencing tadi."
"Hah, mama tahu kamu dah minum banyak air teh tadi tu.  Mesti ada bercawan-cawan teh dalam perut kamu.  Lain kali nak keluar ke mana-mana mesti buang dulu tak kira ada rasa nak kencing ke tak.  Faham!"  Datar saya dah naik sedikit sahaja.
Sambung lagi, "Cuba bayangkan tiba-tiba kamu terkencing kat tengah jalan nuu ... semua orang nampak air keluar dari seluar kamu.  Mesti malu!"  Mata saya memandang ke jalan raya.  Tentu dia juga sedang membayangkan perkara itu terjadi.
Tiba-tiba terbayang kejadian yang sama yang saya SENDIRI pernah alami.  Masih kanak-kanak, dan benar-benar tak tahan nak buang air kecil.  Saya, mak dan kakak sedang menunggu bas.  Tandas entah di mana.  Cuaca pula panas terik.  Saya boleh ingat lagi!  Dan saya boleh dengar ceceran mak yang marah-marah.  Ohh, hari ini saya mengalaminya sebagai seorang ibu.  Hanya saya cuba mengawal diri dari mencecer macam mak.  Sebenarnya sakit kepala kalau mencecer atau membebel tau!  Kerana itu saya suka berkata-kata mendatar sahaja.  Yang penting mesej sampai kepada dia supaya hal yang sama tak berulang lagi.

Diam.  Saya toleh sejenak.  Gadis kecil sudah terlentok lelap. Saya fokus kepada novel dan Nur Islam semula.  Tidak lama kemudian muncul Hidayat bersama sesuatu seperti kotak di dalam beg plastik di tangannya.  Tentu sudah jumpa idaman hatinya.

"Dah bagitahu orang tu?"  tanya saya.  Tadi saya suruh dia memberitahu penjual tentang adiknya yang sudah terlepas hajat di lantai kedai dan meminta maaf.  Hidayat mengangguk.
"Bagitahu macam mana?"
"Adik saya terkencing ..."  Hidayat mengabarkan dia terpaksa mengulang beberapa kali kerana gadis penjual tidak memahami perkataannya.  "Lepas tu Dayat kata adik saya berkameh!"  kata Hidayat lagi dengan kembang hati.  Dia berjaya membuatkan gadis penjual itu mengerti dengan menggunakan bahasa tempatan.  (Kameh - buang air kecil).  "Lepas tu dia kata no problem!"  Saya tersenyum sama.  Sengaja saya tidak mahu turun dari kereta, sengaja tidak menyuruh Hurilain menjenguk kedai itu dan sengaja memberi tanggungjawab itu kepada Hidayat.  Alhamdulillah, dia dapat menanganinya dengan baik, sesuai dengan usianya.  Tahniah buat Hidayat!

2.10 pm.
Waktu ini semua sudah makan dan solat.  Dan, permainan yang baru dibeli tadi masih melambak di atas lantai.  Hidayat merayu seorang demi seorang (melainkan adiknya) supaya menolong dia memasang permainan itu hingga siap.  Tetapi semua orang pula ada tugas masing-masing.  Kalau Along ada, tentu Along sudah siap memasangkan mainan itu untuknya.  Si abah sudah berdengkur halus.  Dan tiga beradik sedang mengadap permainan cantum pasang bersama.  Belum siap-siap lagi...

Tuesday, October 12, 2010

Alhamdulillah, hari ini Selasa 12hb, saya rasa semakin kebah. Walaupun ingin mengelak tetapi malam tadi saya sudah menelan dua biji panadol buat kedua kalinya. Alhamdulillah, seiring dengan masa perlahan-lahan antibodi dalam tubuh sudah kembali gagah melawan segala anasir penyangak penjahat dan perosak sel-sel baik dengan izin Allah SWT. Kahak tebal yang likat pekat berwarna hijau sesekali tersedak di tekak dan perlu dibuang segera. Mungkin mahu minum air perahan limau bersama madu atau gula batu lagi untuk mencairkan kahak itu. Tetapi cukuplah tujuh biji limau sambal, jangan sampai 11 biji macam kelmarin, masam membuatkan saya berkerut-kerut menelan air masam itu. Sendiri buat sendiri la minum. Nak buang, sayang. Jangan membazir. Tak besar mudarat, telan aje la.

Saat ini ada air masin peluh meleleh di pelipis. Tubuh rasa hangat. Tidak buka ekon atau kipas. Mahu tubuh mengeluarkan lebih banyak peluh. Petang semalam sudah bersiap mahu ke pantai Lumut untuk brisk walk tetapi saat akhir usai solat Asar, hujan gerimis turun. Kasihan anak-anak yang hampa. Saya pujuk dengan memberitahu esok (hari ini) akan ke sana, tambahan lagi saya masih kurang sihat sambil terus buat-buat semput terbatuk-batuk.

Si kakak macam selalu sangat cepat menaruh simpati dan menguatkan kata-kata saya dengan, “Dah la tu ... kan mama asthma tu!” kepada Hidayat yang terus merengek. Dia terus melompat ke atas katil membawa novel KCB episod 1 yang sudah berbulan saya beli tapi belum habis baca. Jilid 2 pun ada. Saya sedang kegilaan dengan buku-buku perpustakaan hingga membiarkan buku-buku dibeli tidak dibaca. Ohh ... tak boleh jadi macam ni! Satu sikap yang tidak positif. Kalau si abah tahu, tentu dia BISING. Beli tapi tak baca, buat apa? Ya, saya sudah tidak membeli. Saya hanya pinjam, perbaharui tarikh pinjam, pulangkan dan pinjam lagi. Tetapi kalau ada buku yang saya mahu beli, tentu akan beli juga. Hehe... setakat ini semua masih dalam kawalan. Kawal selagi mampu dikawal.

Untuk menyelamatkan keadaan jangan tambah kalut, saya segera membuka cd Chipmunks. Tak tengok pun tak apa. Tetapi nampaknya umpan saya menjadi. Hidayat mula menyusun kereta kertas spakomnya yang sudah penuh satu kotak kasut itu sepanjang lantai dengan gaya susunan tersendiri dan ada cerita tersendiri juga. Sebuah peperangan antara berbagai kereta dengan pangkat dan jenis masing-masing. Sekejap lagi tentu saya dipanggil untuk mendengar kisah peperangan antara askar baik dan askar jahat serta keajaiban kereta-kereta tertentu yang terlebih kuasa hebat.

Hanessa mengeluarkan tepak, kotak pensel warna dan buku dari beg – mula menulis, melukis dan mewarna. Mata masing-masing mengerling ke tv apabila mendengar suara tiga ekor Chipmunks yang tergedik-gedik itu nyaring menyanyi.

Itu kisah semalam. Sebenarnya saya baru selesai menyapu. Aktiviti yang membuatkan peluh merenik di dahi. Pelik ya! Setiap hari menyapu pun tetap ada butiran pasir dan habuk. Sampah kertas tu lain cerita la. Ni, yang habuk halus-halus ni. Oh ya, kulit kita sendiri sentiasa mengeluarkan kulit baru dan kulit lama akan tanggal. Kelemumur lagi, ohh ... Hmm, patutlah ... Cuba kejap lagi sapu, masih ada juga. Begitu juga kalau mop dua tiga kali, air mop tetap berwarna keruh. Saya salah cara ke atau pencuci lantai itu yang membuatkan air keruh? Erk, melalut.

Saya pula bukan rajin sangat. Hanya kerana ia sudah rutin dan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan. Bukankah Islam mencintai kebersihan ... dan mak saya sangat sangat sangat pembersih. Kalau balik kampung sampai sekarang mak akan ambil pakaian kotor kami sekeluarga untuk dicuci, sekiranya mak ada masa lapang. Hanya sekarang mak terkejar-kejar mengikut abah ke sana ke sini dengan urusan. Tapi mak akan curi masa juga. Tengok sahajalah! Mak pembersih tetapi mak mengaku dia tidak terperinci dalam bab mengemas menyusun. Janji bersih! Tidak ada habuk dan bebas dari kuman. Sebab tu mak suka guna air panas mendidih untuk jirus-jirus apa sahaja.

Oleh itu saya lebih suka ambil sikap sederhana sahaja. Bersih dan kemas seadanya. Pendek kata, tak lah terlalu malas dan tak lah terlalu rajin. Islam juga sukakan kesederhanaan. Itulah saya cuba berbuat. Kalau kawin dengan lelaki Arab, tentu saya goyang kaki dan tangan sahaja. Semua sudah dibereskan oleh pembantu rumah. Si abah pun Arab juga, cuma Arabnya hanya pada perasaan semata. Kalau iyapun sudah terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang yang paling tipis. Hanya tinggal nama sahaja pada bapanya, Mat Arbak sempena huruf keempat dalam Bahasa Arab; arba’a ... jadi Mat Arbak bin Abdul Wahid empat campur satu! Hehe gurau je ..!

Tetapi bukan kisah pembersihnya mak atau kekurangrajinan saya atau perasaan keAraban si abah yang sudah terlebih Jabu atau Buja (Jawa campur Bugis) yang nak didedahkan di sini. Selalu, kerap dan seringkali sebenarnya saya akui inilah hidup di dunia. Penuh habuk dan sampah-sarap. Penuh debu dan kekotoran. Penuh kuman dan bakteria walaupun ada bakteria baik macam dalam Vitagen tu. Sambil-sambil menyapu dan mengemop, saya memikirkan ini. Dan ...

Bagaimana agaknya kehidupan di syurga sana?

Mungkin berhabuk juga. Debu dan pasir juga. Sebab ada sungai dan lautan. Tetapi debu dan habuknya tidak mengotorkan. Bahkan semakin menambah indah kejadian. Kalau kediaman yang dikhabarkan adalah mutiara yang lompang, maka habuknya pun mutiara. Kalau istana dari permata yakut marjan, maka debunya adalah butiran halus permata merah juga. Berterbangan bersama angin syurga yang sepoi mengharum, yang apabila menerpa wajah semakin menambah seri paras ahli syurga. Dan kulit ahli syurga yang dari segala bahan yang wangi harum semerbak itu, tentulah habuk debunya juga sedemikian. Maha Hebat Allah yang Maha Pencipta dan Memberi Ganjaran sebaik-baiknya kepada hamba-hambaNya yang mendapat kebaikan!!!

Tatkala satu pagi saya termengah-mengah berlari-lari anak membawa kaki yang dirasakan semakin berat, saya terpana oleh kilauan pasir pantai yang dipanah matahari pagi. Begitu indah, seolah-olah pasir-pasir itu adalah pecahan batu-batu permata yang berserakan berkilau-kilauan. Itulah munculnya istilah di fikiran ~ pantai Firdaus. Lalu cuba pula membayang-bayangkan persisiran sungai syurga Firdaus. Sungai arak yang tidak memabukkan, sungai susu yang seputih salju dan sungai madu yang manis tidak memuakkan.

Ini hanyalah satu imaginasi ringan yang tentu tidak dapat sama sekali menggambarkan suasana syurga yang dirahsiakan oleh Allah dari segala pancaindera manusia ~ tidak dapat digambarkan oleh fikiran, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah dihidu oleh hidung dan tidak pernah dijengah oleh sesiapa melainkan Baginda Rasulullah SAW ketika Israk Mikraj perjalanan yang penuh keajaiban itu (dan kalangan hambaNya yang dikehendaki olehNya).

“Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia) ~ yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak). Mereka itulah orang-orang yag didampingkan (di sisi Allah), (tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia terdahulu. Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata. Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka ~ dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tidak pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan : “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain.)”

Sekadar mengambil beberapa detik membayangkan hari yang kekal dari sudut ini. Hari-hari memikirkan hal dunia ~ dari celik mata hingga nak tidur balik malam. Hari-hari pula tetap perlu menyapu rumah walaupun kadang-kadang sahaja mengemop, dan terbayang-bayang persisiran tebing sungai di syurga... Bagaimana pula dengan NERAKA dan segala KHAZANAH SIKSAAN di sana? Allahumma ajirna minannarrrr .... sekali kita mengucapkan doa ini maka sekali neraka akan menjawab memohon kepada Allah semoga kita diselamatkan darinya... Ya Allah, selamatkan kami dari api neraka! Ameen.

Monday, October 11, 2010

Jangan Lurus Bendul

Tengahari ini  : Kami beredar dari Masjid Seria.  Naqhuhines sudah makan, solat dan ganti baju sekolah ugama.  Hanessa sudah tukar baju kegemaran Ana Muslim yang macam dah mula sempit tu hehehe...  Mula-mula hantar Hurilain dan Hidayat ke sekolah ugama.
"Ain gi cakap ustazah kita nak gi klinik wat medical check-up."
Hurilain enggan.  Alasannya, "Cikgu lum datang time ni la mama ..."  Kat sini dipanggil cikgu jugak, dek kerana itu saya selalu sasul menyebut ustazah macam kat sekolah lama mereka.  Hidayat cepat-cepat memohon untuk bersalam.  Tak sabar dia melihat si kakak yang masih tenang-tenang.
"Okaylah, kita pi klinik dulu.  Abah kata setengah jam je."  Resolusi dicapai.  Hurilain cepat-cepat angguk kepala.  Suka la tu ...


LOKASI - PUSAT KESIHATAN SERIA
Saya letak kad putih bertulis nama Hurilain dalam raga kecil di kaunter pendaftaran.  Duduk sambil perhati petugas.  Kad diambil dan nama diseru.
"Sakit apa?" tanya pemuda itu.  Tak pakai seragam pun.  Nampaknya petugas pendaftaran di situ semuanya pakai baju biasa je.
"Saya nak buat medical check up untuk dia ni (sambil tunjuk hala Hurilain yang tercangak-cangak pandang ke lain), nak mohon pusat tahfiz."
Dia belek-belek fail yang sudah diambil.  "Kerja apa?"
"Swasta."
"Kena bayar $10."
"$5 tak boleh ke?"  Abahnya kata dua ringgit je ...
"Tu untuk dentis check up je."
Tanpa banyak soal, saya hulurkan wang kertas licin warna merah.  Kemudian dapat nombor giliran angka 1.

... beberapa minit berlalu.  Lama juga sebenarnya, Hurilain sempat ke ladies room untuk qada hajat.  Tidak lama kemudian kelibat doktor wanita dari India itu muncul.

Nurse menyuruh Hurilain timbang berat badan dan bertanya apa masalahnya.  BILA SAYA JELASKAN TENTANG KEPERLUAN PEMERIKSAAN KESIHATAN, siap tunjuk borang hijau tu pada dia dan dia berbincang pula dengan nurse sebelahnya, dia kata ~ "nda boleh dibuat nih nanti tak diterima.  Ni kena ke Hospital Belait." Ohhhhhh ...

Saya terus buat keputusan mendadak ke hospital Belait pula.  Kalau ditangguh lagi, entah apa pula cerita lain.  Bimbang masa kian suntuk, hari Khamis tarikh akhir pemulangan borang ini.  Call si abah, suara minah manis yang menjawab.

Dalam perjalanan, saya hantar sms 'cl me' sambil memandu.  Ewah, memang mahir menaip sms walaupun sebenarnya bahaya.  Jangan tiru!  Tidak lama kemudian panggilan masuk dan saya beritahu kami sedang melalui kawasan perumahan kayu Shell hala ke Belait.  Kalau duit tak cukup nak bayar karang, sekurang-kurangnya saya tahu prosedur yang betul.  Esok boleh datang lagi bersama wang yang mencukupi.  Kata Hurilain, "Ain dah susahkan mama dan abah ke?"  Dia dah susah hati.
"Hmm tak apa la, susah-susah dahulu.  Kamu tu kena serius nak mohon ni.  Try hafal ayat-ayat dalam setengah jam tu, okey?"
Dia angguk-angguk, cuba memberi harapan kepada saya.  Nak menyenangkan hati saya.

LOKASI - HOSPITAL KUALA BELAIT (15minit dari Seria).
Saya meluru laju meninggalkan Hurilain dan adiknya Hanessa.  Tercari-cari kaunter pendaftaran tapi tak kelihatan.  Yang ada ialah pelbagai signboard klinik untuk penyakit tertentu.  Saya nampak seorang nurse sedang berjalan dengan beberapa kertas di tangannya.  Saya meluru ke arah wanita itu dan terus bertanya.  Kami diminta mengikutnya.  Akhirnya kami sampai ke tempat pendaftaran yang agak berkelok tempatnya.  Dan saya terus mengajukan pertanyaan sambil mengunjukkan borang tahfiz berwarna hijau.  Rupa-rupanya anak staf kaunter itu juga mahu memohon ke pusat tahfiz yang sama.  Anaknya juga perempuan bersekolah di sekolah Arab dan belum habis peperiksaan tahun 6.  Untuk pemeriksaan kesihatan dikenakan bayaran $50 dan siap dalam sepuluh hari.

AKHIRNYA KAMI PULANG TANPA BUAT SEBARANG PEMERIKSAAN KESIHATAN kerana apabila dirujuk kepada pegawai yang lebih arif, perlu dapatkan surat khas dari Pusat Tahfiz berkenaan keperluan pemeriksaan kesihatan yang dikehendaki.  Bermakna borang hijau ini dihantar dahulu tanpa surat pemeriksaan kesihatan.  Tunggu temuduga dan kalau dah dapat tempat (berjaya diterima belajar) barulah buat.  Okay dah faham ...

TAPI MENGAPA DAH SIAP-SIAP TULIS DALAM SYARAT-SYARAT KEMASUKAN ke i. Mempunyai akuan kesihatan dari pusat perubatan yang diiktiraf ??

Termenung memikirkan.  $30 terbang hanya untuk Hurilain duduk beberapa minit dan kemudian dimaklumkan kena buat di tempat lain ($20 bayaran di pusat kesihatan Lumut dan $10 di pusat kesihatan Seria).  Sayakah yang terburu-buru kerana tak bertanya betul-betul?  Atau mereka yang tidak arif tentang prosedur sebenar?  Tak pernahkan mereka menerima pelajar yang datang mahu buat pemeriksaan kesihatan di sana sebelum ini?  Dan kenapa tak buat panggilan pertanyaan kepada pihak pusat tahfiz sendiri tentang syarat ini yang agak mengelirukan kami.  Sedangkan sudah disertakan segala nombor telefon sampai tiga sambungan itu ... 

Satu saat terasa benarlah pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri ...'  Di sini kami adalah orang asing.  Kami kena bayar lebih macam orang-orang warga Indonesia yang kena bayar berganda di klinik Sijangkang tu jika nak dapatkan rawatan.  Bukanlah merungut, tetapi hanya hendak memberitahu diri bahawa seindah dan setenang mana negeri orang, kami tetap tidak boleh melupakan negeri tempat tumpah darah nun di sana.  Tempat leluhur kami menitiskan keringat dan menghembuskan nafas terakhir.  Aduh syahdu pulak ...

PENGAJARAN
Lain kali amalkan sikap bertanya sekiranya terasa ada kemusykilan.  Malu bertanya sesat jalan.  Usah bersikap ambil mudah dan terlalu mengikut prosedur.  Kadangkala kita kena berfikiran kritis dan di luar kotak.  Dengan kata lain, jangan lurus bendul.  Supaya tidak terasa menjadi mangsa keadaan.  Wah ni cakap berdegar-degar ni ... Lagi sekali, rajin-rajinlah ringankan mulut untuk bertanya ye ...  dan tanyalah pada yang berkenaan jangan ditanya pada yang tak faham.  Karang awak tanya dia, dia tanya awak balik!

TADI usai Isyak, saya menemani Hurilain cuba menghafal ayat dalam setengah jam.  Saya ambil satu muka surat dan dia muka surat sebelah.  Ulang ... ulang ... dan ulang ... penuh konsentrasi sampai budak dua beradik tu yang bising-bising bergurau kena marah dengan si abah.  Si abah pun konsentrasi baca Anis dekat kami sambil jeling-jeling kami yang berkerut-kerut wajah.  Stop!  sudah 8.30 malam  Time's up!

Saya pun testing Hurilain.  Dapatlah dua ayat sangkut-sangkut.  Dia dengar saya baca pulak, pun sama je.  Aduhhh ... camana ni.  SYARAT KEMASUKAN NO e.  Mampu menghafaz ayat-ayat Al-Quran tidak kurang (7) baris dalam tempoh masa 30 minit semasa temuduga.  Hurilain mula mengeluh ...

Dia sudah hafaz Yassin dengan kesilapan kecil bila menyambung ayat yang salah di beberapa tempat.  Juga beberapa ayat surat Al Waqiah.  Dan sedikit doa-doa lain.  Dia bukan dari sekolah aliran Arab.  Hanya sudah beberapa kali khatam Al Quran dan tulisan Jawinya sangat cantik dan kemas.  Dan dia mahu mengikut jejak Along.  Ini sahaja kekuatannya selain dari kekuatan doa dan harapan kami untuknya. 

Firman Allah, mafhumnya; "Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberi kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Surah Yunus; 107.

Yakin kepada pertolongan Allah.  Ini sahaja pegangan kami.  Kami mahu Hurilain menjadi orang baik-baik, tinggal bersama orang baik-baik, menuntut ilmu yang penuh berkah dinaungan para malaikat dan dipandang dengan pandangan rahmah oleh Allah,  beroleh jodoh yang baik dan melalui hidup di jalan yang terbaik.  Bahkan mahu yang terbaik buat Naqhuhines sebenarnya. 

Buat Naqhuhines ~ permata yang mahal harganya itu perlu digilap dari permata mentah yang digali di dalam bumi.  Setelah melalui proses demi proses barulah menyerlah cahayanya memancar walaupun jatuh ke kelimbahan tetap gemilang.  Orang yang berilmu itu jauh tinggi darjatnya di sisin Tuhan dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu, seperti bintang-bintang yang terang di langit yang hitam. 

SELAMAT MAJU JAYA DUNIA DAN AKHIRAT BUAT ANAK-ANAK TERCINTA~ NAQHUHINES.

pelbagai.com

berita pendek - adik saya keluarkan entri tentang blog menarik ini di facebooknya.  http://www.pelbagai.com.  Bermula di entri tentang gaya hidup Yahudi yang melahirkan keturunan bijak pandai sehingga berjaya menguasai separuh perniagaan dunia.  Saya nak copy paste entri tu kat sini, tak berani pulak.  Sudah ada amaran oleh penulisnya.  Saya tidak berapa faham etika copy paste walaupun selalu saya ajukan permohonan izin dan menyertakan nama penulis sekali (kalau tak terlupa, tu la masalahnya ... hehe ).  Jadi saya sarankan, jom kita pi sana tengok.  Macam-macam ada!!

Saturday, October 9, 2010

Semoga ... semoga ... dan semoga ...

Hari ini ketiga-tiga ahli Naqhuhines di sini tak sekolah.  Hurilain dapat cuti dari sekolah selepas usai PSR.  Hidayat dan Hanessa dapat cuti dari abah hehehe ...  Kata Hidayat, cikgu sekolah ugama pun bagi cuti pada dia satu kelas.  Jadi, hari ini kami akan menemani Hurilain untuk pemeriksaan kesihatan seperti mana yang dinyatakan di dalam borang pusat tahfiz.

Mula-mula kami ke Hospital Tutong sementelah abah mereka ada urusan di situ.  Rakan sejawatannya yang mencadangkan pemeriksaan kesihatan untuk Hurilain dibuat di situ.  Kami suakan borang hijau pusat tahfiz kepada staf bertugas.  Dia seperti hairan ... gadis 12 tahun mahu buat medical checkup!  Okay, dia sudah mengerti, alhamdulillah.  Tetapi dia masih keliru tentang bayaran.  Lalu borang hijau itu dirujuk kepada seseorang yang nampak lebih arif.  

"Nda boleh di sini nih!  Ini alamatnya lain, Seria ... mesti dibuat di kawasan tempat tinggal." Oh, okay begitu.  Kami mengucapkan terima kasih dan menerima kata-kata maaf.  Tetapi si abah ni kurang puas hati.  "En Yahya yang beritahu kami boleh buat di sini..." katanya dengan hormat.  
"Nda ... prosedurnya begitu.  Kena buat di Lumut atau Seria."  Kami pun berundur dengan wajah manis.

Tidak lama kemudian Encik Yahya muncul.  Dia menelefon Dr Saniah dari Malaysia dan si abah berbasa-basi tetapi tidak ada rezeki berjumpa kerana doktor yang sopan itu bercuti (oncall).    

Kami bertolak ke Bandar Seri Begawan dan pusing semula ke Lumut mengikut jalan lama, melalui Kg Pad Nonok, Lemunin dan macam-macam nama lagi yang kadang-kadang kedengaran aneh.  Dari kejauhan kelihatan awan gelap, tentu kawasan kami sudah kehujanan.

Sekitar jam 2 kami tiba di Pusat Kesihatan Lumut.  Tenang dan bersih.  Bangunan baru.  Pegawai di kaunter mesra.  "Sudah ada kad?" tanyanya.  Saya geleng.  Lupa bawa kad kesihatan Hurilain yang dibuat di klinik Seria.  "Jadi saya buat satu.  $20 ya."  Itu bayaran untuk bukan rakyat Brunei.  Kami senang hati.  Tidak lama lagi urusan akan selesai.  Insyaallah.

Kami diberi kad kecil berwarna hijau bertulis 6.  Sambil menunggu giliran, borang hijau pusat tahfiz dilengkapkan lagi dengan data-data yang perlu.  Borang ini ringkas dan mudah.  Ceria dan lega.  Ada dua wanita duduk tidak jauh dari kami. Seorang berwajah bulat penuh, seorang kecil molek manis sekali.  Bertudung menutup aurat.

Tidak lama menunggu, nama Hurilain dipanggil.  Saya menunggu di kerusi biru yang berderet di tepi dinding.  Hanya si abah dan Hurilain yang pergi ke bilik doktor.  Beberapa minit berlalu.  Si abah muncul dengan senyuman, "Dah!  Jom!"


Saya terkesima.  Sekejap jugak!  Tetapi tidak banyak bicara, terus menurut langkah si abah.  Anak-anak mengekori.  "Tak boleh buat.  Kena gi Seria gak..."  sambung si abah.  Ohh ... jadi senyuman tadi tu plastik sahaja.  Dia sudah terbakar sebenarnya.  


Mula-mula di hospital Tutong.  Kini di pusat kesihatan Lumut, sudahlah kena bayar $20 lebih kurang RM40 tu ... namun,

 "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Di dalam kereta, suasana senyap sunyi.  Masing-masing sudah membaca mood si abah.  Sudah bermula, satu persatu ... mula-mula tentang kad kesihatan Hurilain yang saya kurang peka dan tidak diingatkan supaya bawa.  Kemudian saya kena tegur kerana tak isi borang awal-awal walaupun ada bertanya tentang sesuatu di dalam borang.  Seterusnya keasyikan saya dengan komputer juga disentuh.  Tak sangka jugak saya.  Aduhhh ... dengar je la telinga tak ada pintu.  Tak boleh buat pekak, nanti betul-betul pekak naya.  Dan saya disuruh menyelesaikan urusan ini pada Isnin nanti.  Tetapi Isnin ni Hurilain ada trip ke Suri Hospital.  Selasa la ~ jawab saya.  

Hmmm ... akhirnya saya akan melakukan semuanya.  Cari sijil berhenti dan buat kopi kalau perlu.  Cari cikgu ugama atau guru besar sekolah pagi dan petang, dan minta surat sokongan permohonan.  Cari gambar dan tampal.   Cari hari sesuai untuk medical check up.  Si abah hanya tahu semua lengkap dan dihantar pada 14 haribulan ini sebelum jam 4.30 petang.  Kalau tak, borang peram je dalam fail.  Dan Hurilain tak ada peluang menghadiri temuduga.  Seterusnya tak ada peluang ke pusat tahfiz.

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberi kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya... dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Surah Yunus; 107.

Semoga Allah Taala membantu memudahkan semua urusan sehingga selesai dengan lancar.  Insyaallah.  Bayaran kad tadi yang sebenarnya tidak perlu dianggap sebagai sedekah, semoga Dia menerimanya.  Semoga cikgu-cikgu dan guru mengaji di Masjid Zainab akan memberi kerjasama membuatkan surat yang tepat.  Semoga pusat kesihatan Seria melakukan medical check up terhadap Hurilain dengan cekap.  Semoga keputusan medical check up pula tip top.  Semoga saya jumpa semua perkara yang perlu ~ gambar dan salinan sijil.  Semoga borang permohonan ini dapat dihantar tepat pada masanya lebih awal sebelum minit terakhir 14 haribulan itu.  Semoga nanti Hurilain dapat jawapan supaya datang ditemuduga.  Semoga Hurilain dapat menjawab semua soalan dengan tenang dan berjaya menghafal sekurang-kurangnya  7 baris dari satu muka surat al Quran dalam setengah jam.  Semoga Hurilain dapat menyambung pengajian ke pusat tahfiz ini.  Semoga dia diberi izin oleh Allah Taala mengatur langkah demi langkah di atas jejak para huffaz.  Amennnnnn.

 

Dan tak lupa juga semoga saya dapat meneruskan minat di dalam penulisan dan menyiapkan novel sulung ini dengan jayanya.  Insyaallah, mudahkanlah wahai Tuhan...  


Buat si abah ; senyum-senyum selalu bahhhhh ...  we love u very very very much!

Thursday, October 7, 2010

Nabi SAW bersabda, "Tidaklah berkumpul orang di salah satu rumah-rumah Allah (masjid), membaca al-Quran dan membaca seorang daripada mereka kepada yang lain melainkan diturunkan 'sakinah' ke atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah SWT menyebut-nyebut mereka di kalangan malaikat yang berada di sisiNya."  (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Kicap putih?

“Mama, nak coklat.” Maksudnya Ferrero Rondnoir.

Saya bangun lagi dari kerusi. Belum sempat panas tempat duduk, sudah berkali-kali saya bangun. Duduk dan bangun. Duduk dan bangun lagi.


“Mama, nak buang air.”

Saya petik suis lampu bilik air. Hanessa meluru masuk sambil berkicau, “Mama tunggu kat sini.” Jarinya lurus menunjuk arah mesin basuh di pintu bilik air. Huh ...

“Mama jangan tipu, bohong dosa. Jangan pergi mana-mana, tunggu sini tau.” Sambungnya lagi. Ishhhh ... tunggu je la kejap.

Saya perhatikan dia sesekali. “Buka paip air tu. Ehem ehem ehem tiga kali. Cuci bersih-bersih.”


Nak jengah ruang masak pun, hmm ... ikan jenahak tu masih keras lagi, sedang defrost atas sinki. Karang je potong bawang.


Hari ni Hurilain keluar dewan peperiksaan lewat sedikit, 11.45am sebab ada tiga kertas ~ BM2, Science 1 dan Science 2. Mudah-mudahan dia dibantu Tuhan menjawab soalan-soalan. Jadi boleh la masak lambat sikit.


Hanessa sudah selesai. Saya betulkan seluar birunya dan serah semula pada dia. Pakai sendiri.

“Mama, nak quaker oat.” Saya ke dapur menyiapkan bubur quaker oat yang diminta.

Saya sedang edit Sakinah, tetapi hampir setiap lima minit atau kurang saya perlu bangun gara-gara si bongsu ini. Pagi tadi dia menangis enggan ke sekolah. Walhal pakaiannya sudah saya tanggalkan, tinggal masuk bilik air dan dimandikan sahaja. Dia mengeraskan badan. Kata abang Hidayatnya ketika mahu melangkah ke sekolah, "Tak pe la mama ... bukan belajar sangat pun dia tu ..." Sporting la cik abang ni, buat keputusan yang memihak pada adiknya. Mentang-mentang prasekolah.


Katanya, “Tak mahu pergi sekolah. Faizah tak kawan Baby ...” Ohh, Faizah lagi. Kenapa tak garang dengan dia, kat rumah boleh garang dengan kakak. Dia mengadu Faizah menampar pipinya. Saya tak pernah lihat Faizah lagi. Benarkah Faizah begitu dominan di dalam kelas? Atau sekadar alasan. Semalam Hidayat kata kawan sepermainannya Rohith tak sekolah kerana demam. Entah-entah ...


Saya letak mangkuk hijau dan sudu bongkok kaca di hadapannya. “Panas tu.” Saya duduk lagi dan edit beberapa baris ayat di bab tiga. Argh, bila nak hantar bab dua kat sifu ni. Jangan tunggu pertanyaan sifu muncul lagi di blog! Sifu yang baik dan penuh dedikasi.


“Mama, nak tuala lap mulut.” Bangun ke dapur. Lampu dapur tidak dinyalakan. Dalam samar saya capai tuala hijau di hujung meja kayu putih bertutup kain kotak-kotak hijau.

Saya perhatikan si bongsu yang sedang menyudu bubur quaker oat ke mulutnya. Selamba dia, sambil mata menatap tv menonton cerita Upin dan Ipin kegemaran. Tulus dan mulus. Belum ada dosa. Bersih hati dan jiwa.


(Tiba-tiba teringat pula pada adik Nurin Jazlin yang pernah menggemparkan seluruh negara dengan kisah yang menyayat hati. Dalam hati ada getaran. Semoga orang yang melakukannya sudah mendapat BALASAN di atas perbuatannya yang di luar batasan kemanusiaan itu. Sehingga hari ini dia masih selamat bersembunyi. Mungkin sebenarnya dia ada di mana-mana, di kalangan kita dengan wajah bertopeng ketenangan.


Berhati-hatilah selalu, wahai rakan taulan semua. Jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Adik Nurin adalah kes luar biasa yang cukup mengesankan diikuti beberapa kes lain. Andai si pelaku terlepas dari hukuman dunia, hukuman akhirat tetap menanti. Bahkan cukuplah hatinya menghukum dan mengutuk perbuatannya sendiri. Andai dia seorang yang tidak waras, oh Tuhan, tahankanlah dia dari melakukannya lagi.)


Ada rantai emas berloket bujur di leher Hanessa. Apakah kerana itu agaknya? Tak tau la, kerana saya tidak membenarkan dia memakai rantai ke sekolah, jadi dia enggan ke sekolah. Kalau tidak rantai akan dilucutkan dari leher.


Sesekali dia meminta saya membuka rantai leher dan menyarung ke lehernya pula. Kanak-kanak pun pandai bergaya, mengerti perhiasan diri. Dia pernah bercerita kawannya memakai dua utas rantai emas halus dan anting-anting emas. Tetapi saya tetap tidak akan membenarkan dia berhias-hias ke sekolah. Pihak sekolah pun tidak menggalakkan, bahkan sudah jelas peraturan tentang barang kemas. Ah, kanak-kanak ...


Saya kembali duduk mengadap laptop yang sudah berusia 6 tahun ini. Tidak ada internet. Koleksi lagu yang sudah jemu didengar ...

“Mama ...” Saya segera menoleh. Dia sedang duduk di penjuru dinding, dengan gaya seorang pemain akrobatik amatur. Sudah bosan agaknya.


“... nak makan nasi.” Mangkuk hijau sudah kosong tapi belum dihantar ke sinki lagi.

“Lauk lum masak lagi.”

“Baby laparrr ...”

“Letak kicap?”

“Okay.” Ish budak ni, asyik lapar je duduk kat rumah. Sebelum quaker oat dan coklat tadi, dia dah minum secawan milo dan tepi-tepi klim karipap segera yang rangup itu.



Saya ke dapur lagi. Senduk nasi panas (mujur nasi masak awal) dan buka kicap baru beli semalam. Saya renjis-renjis kicap Habhal stiker hijau perisa manis ke atas nasi panas berasap tipis. Jari saya menjamah ketulan ikan di dalam besen kecil. Nampaknya ikan masih keras walaupun ketulan paling atas sudah lembut. Tidak direndam dalam air supaya manisnya tidak hilang. Jam 10.30 akan mula masak ikan jenahak masak kari. Fuhhh ... mudah-mudahan sedap. Perut yang diikat dengan niat puasa sunat Syawal bernyanyi pula. InsyaAllah hari keenam. Esok raya, hehe...


Saya letak pula pinggan merah samar berisi nasi panas berkicap di hadapannya. Duduk lagi. Hanessa mula menyuap nasi dengan sudu quaker oat tadi.

“Mama, tak nak la nasik ni.” Hanessa menolak pinggan.

“Napa?”

“Kicap ni rasa pelik.” Saya kerut dahi.

“Kicap biasa yang mama beli tu.” Kicap Habhal stiker warna hijau. Tak payah baca dah tau mesti kicap soya manis. Apa yang lain pulak ni? Huh, dah kenyang la tu. Dulu-dulu mana ada kicap manis. Semua masin. Tapi budak zaman sekarang ni ada banyak pilihan. Pengusaha makanan pun cukup pandai menginovasikan keluaran mereka untuk memenuhi selera pengguna yang tak pernah puas.


Saya bangun lagi (kan betul tak sempat nak memanaskan kerusi!) ke dapur, belek botol kicap. Laa, stiker hijau juga tapi tulisnya kicap lemak masin. Jadi, yang merah tu lemak manis? Nak cari botol lama dah buang pulak semalam. Hmm ... dah selalu tapi sasul juga. Nampaknya macam kena beli kicap lagi. Pastikan tengok stiker dulu. Memang kali ini saya capai sahaja botol kicap tanpa melihat stikernya. Dan kali ini saya tersilap. Apakah pengilang sudah menukar stiker hijau dengan perasa masin dan stiker merah dengan perasa manis tanpa pengetahuan?


Memikirkan tentang kesilapan diri pula. Entah berapa banyak saya melakukan kesilapan tanpa disedari agaknya ... oh Tuhan. Memang sah, terang lagi nyata, jelas dan hakikat kenyataannya bahawa manusia tidak pernah lari dari berbuat kesilapan. Tak banyak sikit mesti ada. Macam orang yang tersasul baca permulaan doa makan semasa tadah tangan untuk doa qunut Subuh. “Allahumma bariklana fiman hadait ...” Nak makan apa dalam solat?


“Mama salah beli la sayang.” Saya mengaku. Hanessa memandang saya. “Mama terbeli kicap masin.”

“Mama tanya la dulu kat orang tu kicap masin ke kicap manis.” Amboi pandainya dia. Sudah ada tanda kemahiran menyelesaikan masalah.

“Selalunya mama beli botol merah ke botol hijau ye?” Ingin mengajak dia berbincang cara orang dewasa.

Hanessa berkerut kening seolah memikir. “Botol putih jugak!” Jujur dan bersahaja dia. Lurus dan yakin diri.


Hahaha ... hihihi ... tapi berhaha hihi dalam hati sahaja. “Ooo ...” sambil menahan tawa. Kalau terbongkar gelak, tentu dia akan menerkam memberikan cakaran anak harimau berkuku kontotnya itu.


Tergambar botol kicap berwarna hitam kesukaan ramai bertukar jadi putih. Kicap apa tu? Tentu tak boleh lagi usik Hurilain kalau botol kicap warna putih. Sebab selalu orang kata makan kicap banyak kulit jadi hitam. Hurilain kan hitam manis, makin dipandang semakin manis. Dan selalu kena kata dengan mulut-mulut jahat di kelasnya.


Saya asyik semula dengan Sakinah. Mata mengerling si anak. Nampaknya nasi berkicap masin itu sudah luak perlahan-lahan. Menonton Barbie pula. Senang hati, tak la membazir.


Tiba-tiba, “Mama, nak kek coklat.” Hah?!!!

Tuesday, October 5, 2010

Memohon Takdir Terbaik

Paper paling tough Mathematics sudah berlalu pada hari pertama 4hb kelmarin.  Bila tanya je, "Sume ok tapi susah sikit laaa ..."  kata Hurilain.  Tak ada rungutan berlebih-lebihan.  Tetap optimis.  Keputusan sebenar tunggu sahaja la nanti.  Yang pastinya, keyakinan empunya diri membuatkan kami pun senang di hati.  Namun dia resah juga.  Tahun-tahun lampau, tak lulus core subjek bakal ditahan dan terpaksa mengulang.  Bermakna tak naik ke Tingkatan satu.  Tetapi dapat berita dia termasuk batch terakhir sebelum perubahan oleh Kementerian pada tahun hadapan.  Sesiapa yang tak lulus pun akan terus naik tingkatan.
Tadi hari kedua peperiksaan kertas Bahasa Inggeris paper 1 & 2.  Jawapannya tetap optimis.  Esok BM dan General Paper (Geografi & Sejarah) dan disudahi dengan BM 2 serta Science 1 & 2  pada Khamis nanti.

Dalam pada itu abahnya sudah merangka surat permohonan untuk disertakan bersama borang permohonan ke Pusat Tahfiz Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang tamat tarikh setelah dianjakkan oleh pihak berkenaan pada 14 Oktober ini.  Nampak ada kecenderungan ke arah yang sama seperti abangnya.  Itulah harapan yang amat besar sebenarnya.  Dia sudah ada rasa gerun dan risau terhadap tanggungjawab dan soaljawab di padang terakhir tempat berkumpul para manusia.  Dia sudah mula memikir-mikir dan membayang-bayang suasana di dalam alam kubur ~ bersendirian, kegelapan dan ketakutan.  Satu bayangan yang mengerikan.  Oleh itu dia mahu kuburnya bercahaya, dan menjadi satu pintu dari pintu-pintu syurga.

Semoga Allah Taala memudahkan urusan ini.  Semoga Allah Taala membuka seluas-luasnya lorong dia ke arah sana dalam keredhaan-Nya.  Istajibillahumma dua ana ... istajibillahumma dua ana ... istijibillahumma dua ana ... jadikanlah harapan kami menjadi kenyataan dan masukkan kami ke dalam benteng anugerah-Mu yang kukuh, dengan rahsia firman-Mu.  Sesungguhnya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah dengan Dia berfirman kepadanya, jadilah, lalu terjadilah.  Maha Suci Tuhan yang ditangan-Nya kekuasaan segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan, yang melepaskan setiap yang menanggung kesusahan, Maha Suci Tuhan yang melepaskan setiap yang terbelenggu hutang.  Maha Suci Tuhan yang urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai hanya dengan Dia mengatakan kepadanya "jadi" lalu terjadilah.  Wahai Tuhan yang melepaskan dukacita ... Wahai Tuhan yang melepaskan, lepaskanlah.  Hai yang melepaskan, lepaskanlah daripada kami dukacita kami.  Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri dengan sendiri.  Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan.  Semoga Allah Taala mencucuri kesejahteraan ke atas Junjungan kami Muhammad SAW, para ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian.  Dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Ameen ameen ameen ya rabbal alameen...

Andai ini perjalanan takdir buat Hurilain.  Semoga dia beroleh takdir yang baik-baik bahkan yang terbaik.  Hanya sempat lima bulan memanaskan bangkunya di kelas 6C, akhirnya dia menduduki peperiksaan PSR.  Kami bukan tidak risau tetapi setakat ini kami bukanlah tergolong ibu bapa yang desperado mahu anak mesti 5A dan memantak si anak dengan tusyen dan jadual belajar yang ketat.  Ada, bukan tak ada.  Leter juga.  Tentu tidak suka melihat masa terbuang dengan golek-golek senang hati macam tak ada apa-apa, atau leka tertonton cerita Chipmunks yang dipasang oleh si adik yang tak puas-puas melihat tupai tanah itu menari.  Kekadang terasa sedikit over bila dirasuk oleh amarah.  Tapi bila dah kendur, kesian dia ...

Entah, mungkin takdir dia yang membawa kami kembali ke bumi ini.  Tempat kelahirannya.  Dan kini bakal dikongsikan segala keberuntungan hidup di perantauan bersama ibu ayah dan adik-adiknya.  Walaupun pepatah mengatakan 'hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di tempat sendiri' namun ternyata sehingga hari ini Brunei Darussalam adalah negara yang mendapat rahmat yang berkah dari Tuhan.  Di sini ada ketenangan dan kedamaian.  Tentulah tidak ada tanah sebaik Tanah Haram tempat bertamu para tetamu-Nya.  Kini Brunei Darussalam dalam perjalanan menjadi sebuah Negara Zikir yang meletakkan Islam sebagai tunjang segala kehidupan.  Di mana-mana masjid disediakan kelas mengaji untuk semua peringkat usia secara percuma.  Juga kelas-kelas zikir.  Dan saudara-saudara baru amat diraikan dengan majlis khas, dihebahkan di dalam semua media yang ada.  Insyaallah ada peluang masa dan kesempatan saya akan coretkan lagi tentang Brunei Negara Zikir ini.

Buat anakanda Hurilain ;  semoga berjaya di dalam segala usahamu.  Mama abah dan semua sentiasa mendoakan yang terbaik buat kamu.  Semoga laluanmu dipermudahkan Allah Taala, terbuka seluas-luasnya walaupun sepertinya sesuatu yang mustahil.  Namun tidak ada yang mustahil di sisi-Nya.  Keajaiban mungkin bakal berlaku lagi kerana tidak ada yang lebih ajaib selain dari kekuasaan Allah Taala.  Dengan berkat kekasih-Nya Junjungan kita Rasulullah SAW, para nabi dan rasul, para wali-wali-Nya.  Semoga hajat yang besar ini tertunai jua.  Kepada Allah tempat berserah.


(entri yang tak sempat nak dicunkan dengan gambar-gambar pilihan sebab bertanduk rasanya menunggu downloading aduhhh... rakaman pemandangan indah di Brunei Darussalam sebenarnya...)

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing