Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, September 30, 2010

Tadi

Tadi;
  • tengok Hanessa naik pentas peraga baju kebaya hijau ramai-ramai satu kelas walhal dia canang nak naik pentas buat aksen jalan ke depan ke belakang lepas tu depang tangan.  Ingat menyanyi rupanya jadi model.  Sengih je tengok aksi.
  • tiba-tiba masuk pertandingan asingkan kuih tradisional Brunei bersama para ibu untuk acara PIBG; sah tak menang sebab tak kenal semua kuih termasuk sedikit gabra.  Dapat tapau kuih tak menang.
  • ada cikgu menyapa 'dulu pengetua ke?' yang membuatkan aku mengaduhhh sendiri.  Ada muka ke?  Lepas ni nak buat surat mohon jadi cikgu kat sekolah swasta tapi ... 
  • Balik dari sekolah sempat membebel dalam kereta sebab tak sampai setengah saat bersua dah bergaduh tiga kepala hanya dengan sebab ciput je.  Kali ini bersyarah panjang sampai terkena jugak pada batang hidung sendiri.  Allah bersama orang yang sabar, Hurin!  Kenapa tak boleh sabar?  Jangan bercakap.  Diam ~ ni yang paling susah buat dia bila naik hot dengan adik-adik.  
  • sebab tu hati berkata pula, hanya Rasulullah SAW contoh terbaik buat kita.  Bukan watak-watak dalam tv, novel apatah lagi para artis yang ala-ala sempurna segala.
  • dan cukuplah terasa betapa aku begitu leka.  oh Tuhan!
  • petang walkaton lagi kat pantai.  Huh hujung bulan mesti turun 4 kilo - satu minggu satu kilo tapi nampak nasi dah penuh satu senduk tu napa tak luakkan?  Dalam perjalanan ke pantai, Hurin minta maaf sebab "tadi masa mama berceramah pendek, Hurin terlelap."  Memang bukan setakat terlelap rasanya siap tutup telinga lagi.  Betul?  Tuhan menyuruhku bermuhasabah rupanya.
  • nak edit blog list tapi napa tiap kali melepasi jam 10 asyik loading problem baik facebook baik blog?
  • temankan Hurin study subjek Sains dengan penuh kesabaran dan dia nampak seronok tengok mamanya merah mata menahan kantuk dan terlepas cakap merepek dalam mamai.  Tapi mata segar bugar bila dapat 'offer' gunakan internet dari abah dia malangnya Hurin pulak dah mengantuk, letak kepala terus berdengkur halus.  Kesian.  Cuba la setakat yang mampu, kami tak paksa.  Jalan masih jauh.  Nanti cuba lagi.  Semoga kejayaan menjadi milik Naqhuhines, kejayaan dunia dan akhirat.  InsyaAllah.
Sekarang ni, tiba masa nak merehatkan mata. 

Wednesday, September 29, 2010

Bye mama, i love u


“Bye mama, i lav u.” Gadis kecil itu mula menapak. “Bye, i love you too.” Comelnya dia bertudung kain kapas dengan sarung kepala warna putih rapat ke alis mata.
(letih menunggu downloading gambar ke Picasa web album akhirnya dapat juga, tapi apasal lain ha?)

Sepuluh tapak dia menoleh lagi, “Bye mama ... i lav u.” Halus suaranya sedap didengar. Beg sekolah warna ungu disandang di belakang. Saya senyum untuknya. “Bye, i love you too.” Tiap-tiap pagi melihat dia menapak pergi sambil memuji kecomelannya dalam hati.  Siapa lagi nak memuji kalau tak maknya.  Menghargai indah ciptaan Tuhan.  Budak-budak memang comel.  Tulus dan suci.

(kensel add gambar lain.  Meleceh betul.)

Berbeda benar waktu dia bangun pagi. Menangis sedikit amukan juga. Mata merah dan mencuka. “Tak sayang mama,” diulang-ulang. Dia masih mengantuk.

“Hari ni Baby duduk depan. Rugilah tak sekolah.” Si kakak mengumpan dengan suara lembut. Makin pandai memujuk. Kadang-kadang menegur saya yang mula marah-marah. “Sian dia la mama.” Kadang-kadang sahaja termakan pujukan. Apa la nak heran duduk kat depan sebelah abah. Tidur lagi best.

“Baby nak nyanyi esok kan? Naik pentas?” tegur si abang pula. Ini anak yang cergas. Sekali kejut terus bangun dan mandi. Nampak sikap keabangan walaupun jarang-jarang sekali. Dia mengaku dia anak manja mama.
 “Tak nak nyanyi. Tak nak naik pentas!” sahut si adik menangis. Tersenyum teringat kerenah mereka sebentar tadi.

Saya terus memerhati sambil mengeluarkan sedikit tubuh dari bingkai pintu. Tanpa tudung, saya bersedia melompat semula ke dalam rumah bila-bila masa.  Di hujung kaki lima, gadis kecil menoleh buat kali ketiga, “Bye mama, i lav u.”

Saya jenguk setengah badan keluar dari bingkai pintu, “Bye, I love you too.” Saya lambai dia dan dia melambai semula dengan comelnya kemudian lenyap dari pandangan.

Secepat kilat saya menutup pintu sambil mengeluh lesu melihat sepintas lalu ruang yang menjamah anak mata. Huh, mesti kemas cepat. Lepas tu ... duduk mengasah kemahiran bermain kata-kata, apa lagi.

Tadi sewaktu menemani Hanessa makan nasi goreng di dapur, terdengar suara menjerit halus bernada ceria, “Bye mama, i love you too.”
Disahut suara sedikit kasar yang masih muda, “Bye mama, i love you three.”
“I love you four.”
“I love you 100.”
“I love you million.”

“Dah? Jom pakai kasut. Abah dah tunggu kat keta tu.” Hanessa sudah menggeleng tak mahu menghabiskan nasi goreng enak. Dia meneguk air teh suam.

Di pintu rumah, Hurin dan Hidayat masih tercangak-cangak. Tak bergerak lagi ke kereta. Kalau sedikit lagi lewat, tentu kena basuh karang dengan abah. Ada je yang sangkut lima enam minit melepasi 6.30 pagi. Karang petang atau esok pagi, sah sah kena sound. Lepas tu okay balik. Tulat langkat kena sound lagi.

“Mama, nak salam.” Ini set selamat tinggal kali kedua. Tadi masa serah duit poket seringgit seorang dah salam, cium pipi dan tiup selawat di dahi disudahi dengan pelukan erat. “Hidayat dulu!” amaran diberi awal-awal kepada si kakak yang gemar menyakat cari gaduh.

“Kakak dulu!!” sahut si kakak selamba menyebabkan Hidayat bergegas menghampiri saya yang sedang menyarungkan kasut hitam ke kaki Hanessa.

Gadis kecil ini tunduk membuka kasutnya semula. Jari halusnya meraba tapak dalam kasut yang agak berkedut. Saya tarik pula stokinnya hingga tegang di betis. Sudah agak longgar! Bertuah punya kakak! Kaki punya besar saiz kasut 40 sampai satu Brunei nak cari kasut sesuai pun susah nak jumpa, boleh dia pakai stokin adik yang saiz 7-9 tahun. Stokin Hidayat dah longgar dia memakainya beberapa minggu lepas tapi budak lelaki tu tak pula perasan. Sekarang dia nak melonggarkan stokin Hanessa pula.

Mujur jenis kain boleh regang sampai tahap maksima cuma tak koyak sahaja. Tapi stokin jenis lama yang tapak putih tu dia tak muat setelah berhempas-pulas cuba menyarung ke kakinya. Kalau sarung jugak tentu rabak.

Sebenarnya kasihan pada Hurin. Stokinnya sudah berlubang di tapak kaki. Ah, nak beli alang-alang. Dah hujung tahun. Nanti beli semua baru tahun depan. Tahun depan? Sekolah mana agaknya? Tapi, takkan semua berlubang. Kena check ni.

Pelik, orang pakai stokin juga tak pulak berlubang. Dia macamana boleh berlubang? Di sekolah pulak, dia kena buka kasut hanya berstokin di dalam kelas. Dah tu kelas pindah-randah mengikut subjek. Dia segan sebab Jan, ketua pengawas kawan baiknya tu nampak stokinnya berlubang di tapak kaki. Huh, peduli la, takkan sampai lubang tapak kaki pun nampak? Tak pun si C budak paling bingai nampak, lagi teruk kena kata nanti. Dah la si C cukup jaki bila dia asyik mempertahankan Jan je, “Kau la ni ajar-ajar Mira!”. Jengkel dia menyangka Jan mengajar Hurin melawan cakapnya.

Esok ada majlis jamuan hari raya bersekali hari guru. Dah tentu ke sekolah dengan pakaian lengkap hari raya. Hurin mula susah hati. Hanya kasut sekolahnya sahaja yang muat di kaki. Takkan nak pakai kasut sekolah dengan baju kurung raya. Walaupun kasut sekolah hitam, boleh sahaja sebenarnya. Lupa ke cerita Kak Nabilah dulu? Kasut raya adalah kasut sekolah, kasut sekolah adalah kasut raya jugak.  Jimat banyak.

“Cikgu suruh pakai kasut raya la mama.” Alasan. Tapi iya jugak, takkan nak pakai kasut sekolah yang hari-hari tu. Bila turun je kereta dan menapak di kaki lima sekolah, tentu semua mata bertumpu pada empunya diri dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Atas okey, tetiba bawah kasut sekolah?
Bukan dia tak ada kasut atau sandal yang okay. Kalau tak putus pun cepat betul tumitnya panjang terkeluar dari tapak. Cepat tak muat kaki. Wan dah berapa kali belikan dia selipar. Putus. Abah pun, kejap tak muat. Dah tu memilih pulak ikut citarasa. Tapi nampak sedikit demi sedikit pilihan citarasa makin luntur, yang penting saiz. Perkenan di hati tapi saiz tak ada, tak ada makna.

Hmm teringat kedai paling murah di Brunei nun di Jerudong. Setakat bawah sepuluh ringgit boleh dapat sepasang kasut. Bolehlah untuk dua kali pakai sebelum rabak. Kalau abah dia arah Bandar, bolehlah singgah situ kot.

Hanya hari ini masa yang ada nak mencari kasut atau sandal saiz 40 di bandar Seria yang comel dan tenang. Dah la kedai kasut tak banyak. Kalau tak ada? Bersedialah apa sahaja. Silap-silap gaya dia tak nak ke sekolah esok. Tapi tak mungkin, dia dah janji dengan Jan nak bawa nugget untuk jamuan dan pakai baju warna brown.

Malam tadi pun dah pilih baju nak pakai esok. Tapi bukan baju dia, baju saya. Dia hanya ada baju warna pink pink pink.

“Tapi macam baju orang tua la mama.” Citt, nak pinjam tapi banyak komen.
“Eh mana ada. Tu baju kesayangan mama tu. Cik Izun bagi masa nak kawin Cik Nozi dulu biar semua sedondon coklat.” Kainnya lembut sejuk gemalai bila dipakai. Kalau sendiri tak pilih corak daun sedikit gelap, tapi dah diberi serta-merta ia menjadi cantik dan perkenan. Dah jadi baju lagi menarik. Ada hiasan batu di sepanjang tepi baju. Cantik la tu.

Monday, September 27, 2010

MANISNYA IMAN
DAN bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa (iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang.  Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.
~ Surah Ali 'Imran ayat `134 ~

Budin vs Johanna

Apa cerita?
Mmm ... pagi ini saya memikirkan (uhh ... ? semua orang berfikir tak ada yang pelik) Jo. Seorang yang cukup menjaga tahap emosinya supaya sentiasa tenang dan di garisan horizontal yang berdenyut rata. Tidak seperti denyutan ganas di skrin nadi pesakit jantung kronik yang sedang tercungap-cungap mengambil oksigen dan melepaskan karbon dioksida.

Jo sangat ‘cool’. Tidak mudah melatah. Nada suaranya selalu rendah dan datar. Roman wajahnya tetap bersahaja dan selamba. Dia betul-betul seperti laut tenang yang menyembunyi pusaran ganas di bawah permukaan. Jo gadis pintar dan bijak. Dia ada keperibadian sendiri. Teliti menyembunyikan rahsia gejolak hati walaupun kadang-kadang dapat sahaja dikesan oleh teman-teman. Dia anak tunggal yang sudah biasa berdikari hampir semua segi.

WALAUPUN sebenarnya dia seperti sebuah gunung berapi yang hendak meletus! Dek kerana itu mungkin Jo menghidap migrain kritikal hingga mempunyai bekalan ubat sebakul untuk membantunya. Ada juga Jo bersikap pura-pura. Refleksi tindakan menyelamatkan diri dan membaiki keadaan. Kemampuan Jo bersikap tenang menjadikan dia hebat. Jadi, sesuai benarlah jurusan kedoktoran yang diambilnya. Seorang doktor yang berdamping dengan pesakit-pesakit sewajarnya mempunyai peribadi tenang dan panjang akal, berhemah, sopan dan matang serta bertanggungjawab. Secara logik akal. Dia selalu ... emono.

Anda tambahlah lagi point seterusnya sendiri. Pulak. Oh ya, semestinya mempunyai pegangan ugama yang mantap dan kukuh. Agar dengan demikian tetap teguh di atas jalan yang benar dan membantu pesakit dengan jiwa yang bersih. Jadi, Johanna anak tunggal yang hebat dan gadis yang berjiwa teguh. Dia sangat bertuah memiliki ibu bapa yang sentiasa menyokong dirinya.

Budin?
Budin anak yatim. Yatim piatu. Tak ada ayah ibu. Dia kehilangan ayah ibu serentak. Sebuah kenangan yang mengerikan. Penuh persoalan dan misteri. Dan dia baru 13 tahun ketika itu. Dia pula tidak cerdik benar. Latar belakang anak kampung. Ayah bekerja kampung. Ibu suri rumah. Makan seadanya tetapi segar dan enak. Baung tangkapan ayah.

Budin mendapat kasih sayang yang ditumpahkan sepenuhnya kepada dia seorang. Apabila tiba-tiba serentak kehilangan mak dan ayah, Budin terpaksa melalui hidup jerih dan sepi seorang diri. Dalam bodoh-bodoh alang, dia beroleh kekuatan jiwa dengan kehadiran lelaki tua berjubah putih berwajah jernih yang mula muncul selepas seminggu peristiwa hitam itu berlaku. Itu satu rahsia yang sangat besar. Ia memberi kekuatan dalaman diri yang bukan calang-calang.

Bukan mudah seorang remaja 15 tahun tinggal di rumah tempat dia melihat ibu dan ayahnya mati dengan cara yang mengerikan. Tiada lagi bekalan air dan elektrik. Hanya sawang labah-labah kait mengait di segala penjuru dan habuk debu.
Anda sanggup begitu? Huh ...

Budin tak peduli. Mana lagi dia nak pergi? Dia pun tak sudi. Dia tidak betah menukar cara hidup. Baginya, itulah kehidupan yang dia serasi. Bersama serindit yang setia. Menggali cacing kemudian melempar pancing atau lukah di sungai, dan mendapat dua tiga ringgit untuk membeli roti berinti kacang dan lilin kotak kecil.

Apakah Budin seorang yang ‘cool’, bersahaja dan selamba?
Macam tak kena soalan ni.

Hmm ... dia ‘cool’, bersahaja dan selamba dalam menjalani kehidupan daifnya, yang kalau awak, saya, tak akan dapat ‘cool’, bersahaja dan selamba. Dia selamba pergi ke perigi waktu tengah malam buta untuk mengangkat wuduk solat Isyak. Bersahaja mencedok air perigi yang payau untuk minum. Dia ‘cool’ ketika kena penendang Akob yang berang tangki motor dituang air sabun kotor walaupun sedih dan sakitnya tak terkira. Dia bersahaja pergi ziarah pusara mak ayah jam 2 pagi. Iyalah, dia bodoh-bodoh alang, tapi dia masih ada rasa takut dan menggerinding bulu roma. Walaupun bergelora jiwa, tetapi semua rasa ditekan dalam-dalam hingga dia berjaya ‘cool’, tenang dan bersahaja sempurna luar dalam. Lagipun alah bisa tegal biasa.

Hanya dia cukup tak ‘cool’ bila rasa rindu mula membuak-buak terhadap ibu dan ayahnya. Dia menangis. Dia betul-betul rindu. Dia mahu bertemu mak dan ayahnya. Dia membawa bayangan mak dan ayah ke alam nyata. Cukup kasihan!

Kasihan ...

Budin tak ada migrain. Dia tak belajar tinggi untuk jadi pandai. Dia ‘cool’, tenang dan bersahaja belajar dengan alam. Dia sangat dekat dengan alam. Dia sebati dengan alam. Azan berkumandang adalah halwa telinganya. Solatnya khusyuk dan TIDAK PERNAH tinggal solat melainkan terlelap hingga melepasi waktu. Dan dia qada’ semula dalam solat berikutnya dengan rasa berdosa. Mana ada orang yang sempurna apatah lagi si Budin ni. Dia juga tak ada kawan. Serindit adalah temannya.

Jo suka Along tapi status perhubungan yang tidak pasti menjadikan satu tekanan. Budin suka Rubiah tapi dia sedar diri. Satu ketika di alam lain dia mahu bersama Rubiah.

Jadi, apa kesimpulannya?
Mungkin lebih baik kita belajar menguasai diri dan emosi. Kata pepatah, lidah lebih tajam dari mata pedang. Jadi, baik-baiklah menggunakan lidah sementara berlidah. Kalau tak, di neraka esok lidah akan dipotong dan terjulur lagi, potong lagi berulang tak berkesudahan. Usah menyakiti hati orang dengan bahasa ‘laser’, sudahlah mulut tak berinsuran kata anak muda zaman sekarang. Ringkasnya, gunakan kepala hotak baik-baik. (Uihh kasarnya bahasa!)

Mungkin lebih baik bersikap ‘cool’. Hai makcik, bangsa Melayu ni dah terlalu ‘cool’ dah, awak lagi suruh ‘cool’?? - saya tak habis tulis lagi! ‘Cool’ makcik, ‘cool’ ...

... ‘cool’ selagi maruah tak dipijak-pijak, agama tak dihina dan diperlekeh.

Kalau sudah diperlakukan begitu, pun masih ‘cool’ jugak camana?
Kembali kepada peraturan Tuhan; apabila engkau melupakan Dia, Dia juga melupakan engkau. Kau putuskan perhubungan denganNya, Dia memutuskan perhubungan denganmu. Maka jadilah engkau seperti layang-layang terputus tali di atas bumi ciptaanNya ini. Sedangkan, walhal, sesungguhnya, sudah diberikan segala ‘guideline’ untuk engkau patuhi dan turuti dalam segala titik bengik kehidupan. Mengapa kau lupakan? Atau kau ambil sebahagian dan kau tinggalkan sebahagian?

Jadi? Apa point awak?
Dunia sudah terlalu tua. Antara hari ini dan hari akhir hanya berjarak dua jari sahaja. Itu masa Baginda SAW. Sekarang ni, lagi la tua ganyut. Perhatikan berapa banyak tanda-tanda akhir zaman yang muncul. Dunia sedang nazak. Semua pening, halal haram pun dah bercampur-baur. Lihat makanan yang disenaraikan bahan tak halal, rasa macam hanya boleh makan ubi dan tangkap ikan sendiri. Gincu awak tu okay? Bulu yang awak buat sapu kat muka tu bulu apa?

Pessimistic!

Sapa suruh pakai gincu? Sapulah kunyit hidup, merah juga. Atau sapu halia biar pijar menyala. Takpun colgate je.
Aku nak pakai jilbab.

Hah? Boleh settle ke? Boleh hidup ke?
Tolong betulkan fikiran awak sikit. Soalan tak relevan.
Oo ... please anakanda doakan bonda.
Aik, selalu anak mintak doa. Along, mama dah janji. Doakan mama panjang umur untuk melunaskan janji. Hanya bukan jilbab. Cuma lebih baik dari sekarang.

Mau tunggu lagi ka? Apa ini worang?

(Astaghfirullahalazim ... kisah Budin dan Johanna sampai ke sini? Blog apakah ini? Apa-apa pun, kembalilah bermujahadah wahai diri. Kau lupa bermujahadah. Kau lupa bertaubat. Kau tenggelam dalam leka. Tidak ada kaum yang dibantu melainkan kaum itu membantu dirinya sendiri ~ nasihat buat diri.)

Wahai Tuhanku Rabbulizzati, Hanya kepada-Mu tempat kembali dan tempat berserah diri. Engkaulah Tuhan yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami meminta tolong. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

(Sebenarnya, saya mahu jadi ‘cool’ macam watak Jo dan Budin. Tapi tak la mahu maigrain. Tak la mahu tinggal rumah bersawang berseorangan.
Tak mahu marah-marah atau cepat kecil hati. Haa ... tak tahan gurau duduk la surau~bagai terngiang-ngiang je ayat ni.
Macam-macam la pagi Isnin ni. Melalut. Dahlah, nak kemas rumah, menyapu, sidai baju harap tak hujan. Nak masak apa? Ikan kot. Bagus makan ikan banyak-banyak daripada ayam dan daging merah. Malam tadi lepas dinner, Kak Leha hantar semangkuk sup kaki kerbau dan bihun dah siap celur. Alhamdulillah, rezeki lagi. Mohon diri dulu, maaf zahir batin dan senyum selalu.)

~ sekadar catatan di waktu senggang.
~Naqhuhines~

Sunday, September 26, 2010

Cepat tidur!

(apasal lain dah ni?  tak reti la nak tambah gambar gini.  uhh!...)

Diamlah!
Napa tak faham-faham lagi?
Tinggal lagi berapa hari ni?
Pergi ambik buku sekarang!
Asyik Maths je.  Sains, Geografi, Sejarah Brunei tu bila nak baca?  Balance Seimbang la studi tu.  Mana boleh skor tu try la.  Kok ye pun nak apply tahfiz, result PSR ngan sekolah agama kena flying colours gak.  Aduh, dah memandai nak cakap campur la pulak. 

Hurin tarik muka 14.  Matanya menjeling saya.  Tajam.  Saya rasa tercabar.  Kewibawaan dan keunggulan peribadi saya dicabar oleh gadis gedempol ini. 

Bila tegur, melawan.  Marah balik.  Tak tegur tak ingat. 

Saya sambung berleter.  Saya betul-betul berang.  Tiba-tiba selepas makan malam tadi, saya berubah jadi ibu tiri yang tak berperikemanusiaan mencalar-balarkan perasaan Hurin.  Tetapi saya masih mengawal emosi dan tekanan dalam diri.  Itu berlakon aje.  Bukan betul-betul naik gila pun.  Huh, perut tengah kenyang, nak tidur je sebenarnya.  Lagi pun sudah lama saya mengenepikan akhbar hujung minggu di atas kerusi bulat di bawah meja solek itu.  Hari ni nak baca naskah yang tertinggal dek suami.  Dia membawa yang lain ke ruang luar sambil merokok di sana.  Itulah, saya tak dapat membaca dengan tenang.  Kisah Datuk Sosilawati menghadiahkan set perabot baru RM27,000 kepada ibunya.  Cerpen kuih goyang pun tak dapat baca. 

Hurin, Hidayat dan Hanessa menghimpit saya.  Saya selak muka sebelah, tangan Hidayat menyelak muka sebelumnya.  Dia mula menyusun soalan demi soalan yang memeningkan.  Menurut ilmu kanak-kanak, budak memang suka bertanya dan ibu bapa berperanan menjadi tukang jawab semuanya sebaik mungkin.  Jangan menjadikan anak keliru.  Dia sedang mencerna kehidupan, yang hari-hari adalah kehidupan serba baru yang sentiasa mengujakan.  TAPI FIKIRAN SAYA KELIRU DENGAN SOALAN HIDAYAT.

Saya rendahkan suara menjawab.  Walaupun dah naik rungsing sebenarnya.  Hidayat terus mengasak.  Soalan-soalannya mengarut (pada saya, tak pada dia tentunya) tapi saya  mesti cuba jawab, supaya dia puas hati.  TAPI SUSAH NAK MEMUASKAN HATI HIDAYAT.  Dah dapat jawapan, dia akan tanya yang lain pula.

Hidayat, nanti mama pinjamkan buku Sejarah kat perpustakaan.  Hidayat baca ya. 

Itulah janji saya yang terus tinggal janji.  Janji kepada diri sendiri. Janji kepada Hidayat. Salah satu alternatif untuk soalan-soalannya yang terfikir oleh saya, kononnya.  Macamlah budak 8 tahun tu suka sangat membaca buku akademik Sejarah menengah.  Kalau majalah Kawan tu lajulah dia.  Atau Asuh, atau apa sahaja majalah yang ada kartun.  Ni nak suruh dia baca Sejarah?  Tapi memang dia kena baca kalau nak tau, kan?  Bila tu?  Ntah.  Ke saya yang kena baca balik sebab banyak dah lupa??  Hah, apa susah, suruh je Hidayat tanya abah dia.  Biar abah dia jawab, atau terkedu atau buat tak dengar?  Kesian saya, kalau abah Hidayat buat tak layan, lepas tu saya balik yang cuba jawabkan.  Urgh ...

HOI tidurlah. 
Esok pagi susah nak bangun, siap!
Menangis pagi-pagi, siap!  Ini amaran kepada si kecil Hanessa.  Dia terus aktif.  Nanti pagi hari dia menangis.  Pagi semalam dia enggan ke sekolah.  Walaupun hanya sekali sekala dalam sebulan, tapi bukankah itu rutin yang mesti dia penuhi.  Ke sekolah setiap hari persekolahan.  Hmm ntah ntah aku dulu gitu ke?  Ke abah dia?  Mujur anak bongsu.  Layan je la.

(Ah, kenapa aku tak boleh download gambar koleksi aku sendiri?  Kenapa tiba-tiba bertukar macam ni?  Betullah ... aku tak suka tak suka tak suka!)

Nanti dah besar tak nak bagi mama duit banyak.  Baby tak sayang mama.  Mama marah Baby nape? 

Aik?  Ala, buat tak dengar je. 

Mama, napa tak dengar?  Mama ni buat-buat tak dengar ke?  Mama, nak salam.  Baby nak mintak maaf. 

Tiba-tiba si kecil yang rincing menghulur tangan pula.  Sedetik berubah 180 darjah. 

Dahlah, gi tidur.  (Mama nak off internet cepat ni.  Tak ada benda nak tulis pun. Merepek je.  Sebenarnya ada benda, tapi ...  Ada!  tajuknya Pantai Firdaus.  Tapi, tak ada feel perasaan nak tulis.  Tak suka betul.  Kenapa ada tukar-tukar?  Biar dulu dalam kepala je.  Ingat, nanti tulis bila-bila insya Allah.)

Didoakan Nusantara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Brunei terus aman damai dan dipelihara Allah Taala dari segala macam fitnah dan kekacauan dan mala petaka yang menimpa bahagian dunia yang lain.  Selamatkanlah negaraku tercinta dan negara tempat kubernaung ini, ya Allah.  Juga jiran-jiran kami yang lain; Indonesia, Singapura, Thailand, semuanya.  Apa yang pasti, tidak ada yang tidak pasti lagi keyakinan yang satu, bahawa dunia hanya sementara.  Alam akhirat yang kekal abadi perkampungan yang bakal dikunjungi.  Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami semua.  Ameen.

Friday, September 24, 2010

5 Tahun 5 Bulan

Saya rembat novel ini sebab tajuknya agak menarik.  Apa yang lima tahun lima bulan?  Taklah menarik, entah apa ayatnya.  Tapi sayang pulak nak pulangkan tanpa selak-selak sikit, dan kembali macam dulu-dulu saya perlu terpaksa mula membaca dari belakang.  Hmm macam menarik pulak endingnya.  Saya selak ke tengah sikit, boleh tahan konflik si Jo ni.  Ingat lelaki, rupanya perempuan.  Perangai pun hmm ... satu macam.

Okay, saya sudah selesaikan beberapa bab akhir.  Sekarang saya sudah mulakan dari bab satu. Waktu ini saya sudah di bab 15.  Nak tergelak pun ada.  Tersengih tu selalulah.  Kisah orang gaji yang educated.  Tak serupa langsung dengan kisah orang gaji skema macam yang selalu-selalu tu.  Ni lain sikit, sebenarnya lain banyak. Cerita lancar, tak dibuat-buat.

Cerita orang sambung pengajian ke Universiti of Aberdeen.  Banyaklah istilah omputeh yang diselitkan.  Berbeza langsung dengan novel-novel Islami dari penulis berlatarbelakang pendidikan Timur Tengah.  Manakan sama, pendidikan berbeza.  Tetapi pegangan agama tetap dijaga.  Aurat ditutup, dan perhubungan bukan muhrim masih terbatas.  Cumanya si Jo ni selalu ngaku dia putus fius, atau orang lain yang putus fius.

Banyak bermonolog langsung.  Tu yang kelakarnya.  Direct to the point.  Novel yang mendapat sambutan hangat kalau dilihat pada terbitan kali kedua.  Dicetak kali pertama tiga tahun lepas oleh Jemari Seni Publishing.  Sangat cekap dan cermat menjalinkan kata-kata. Tak cintun dan tak faham-faham, buat tak faham, atau tak peka instict.

Yang lucunya, abah Hanessa rebut buku ini dari tangan saya.  Biasalah dia kebelakangan ini.  Saya pun tak sangka, dia sudah kembali kepada diri yang seperti sudah lama hilang.  Suami saya suka membaca novel pulak!  Hihihi ... dan saya ada cadangan novel dan buku untuk dia.  Tapi bila sudah dicadangkan, memilih pulak.  Hanya novel Hlovate ni tak sesuai la untuk u, bang.  Saya je yang sesuai.  Awak, baca buku lain.  Jangan kacau.  Tetiba, dia kata dia nak mengarang novel pulak!!!

Hmm jangan cakap je, buat sama.  Jangan cakap tak serupa bikin.  Itu sudah saya peringatkan masa kita berutus surat kedua 14 tahun lepas lagi.  Tapi yang sakit sikit telinga nak mendengar dan cernanya, dia kata dia boleh buat novel sekejap je. Piirahh ...  Pengajian Am bolehlah dapat sijil penuh dulu.  Tu dulu ... Nak tanya, kalau jadi nak buat kisah apa?  Tunggu je.

'Hlovate mengungkap roman-komedi ini dalam bahasa basah serta jenaka yang selamba.  Pelajar luar negara ini mengadun 5 Tahun 5 Bulan secukup rasa; enak di mulut; berkhasiat di minda; penawar di hati ... mengisi nurani.'

Baru lepas cakap tak minat pada novel cinta.  Saya tak sangka pulak  novel lima tahun lima bulan ni masih ada cintan-cintun.  Tajuknya tak romantik pun.  Hanya macam terasa jadi orang pandai je bila baca novel ni.  Hahaha...

Tak dapat download gambar novel ini.  Ntah la, tiba-tiba macam pelik pulak blog ni.  Kalau dah ok, nanti boleh tambah je gambar dan apa-apa yang boleh ditambah.  Buat sementara waktu, inilah dia seadanya.  Buat Hlovate, cara anda memang tersendiri.

Thursday, September 23, 2010

Tergagap ...

http://zharulnizamshah.blogspot.com/2010/09/naqhuhines-dan-rengsa.html

 Hmm ... mmm ... mmmmm ...  t ... te ... ter ... terima ka ... kas ... kasihhh cikgu!

Saya rasa macam dah gagap, macam Budin pulak.  Kesian Budin.  Bertenang!  Bertenang!  Tarik nafas, lepas.  Tarik lagi, lepas.  Biar tekanan darah kembali  normal.  Okay dah?  Alhamdulillah.

Kita tinggalkan Budin dalam kerengsaannya.  Jangan lupa, memang sebuah penceritaan yang hebat.  Mengesankan.  Dunia Melayu yang misterius lagi mistik menurut penulisnya.

Kini saya menunggu Ketika Cinta Beristikharah dengan sabar.  Hanya saya bukan peminat novel cinta.  Puas juga memaksa minat tapi belum berjaya.  Siap membeli novel dua siri yang dikatakan meletup-letup seantero Nusantara, hanya dapat membaca beberapa belas helaian pertama.  Novel klasik juga ada, jangan tak percaya, hanya sekarang ditinggalkan di rumah nun jauh di sana.  Janganlah digigit lipas dan segala serangga yang sukakan kertas.  Selalu mencuba dan terus mencuba, tetapi belum nampak hasilnya pada diri.  Jadi memang saya menyimpan kagum kepada para penulis novel juga peminat cerita cinta kerana saya tidak mampu membaca apatah lagi menulisnya (sudahlah .. aku hanya blogger pinggiran).  Mungkin saudara Zharulnizam ada sesuatu yang lain tentang cinta. 

Entah mengapa, semenjak Rengsa, tiba-tiba saya terangsang membuat sedikit ulasan ringan kepada buku yang dibaca.  Azam Farid bukan pilihan saya, hanya setelah Hurin membuat ulasannya yang tersendiri, saya jadi berminat.  Dan saya dapat menyudahkan dengan laju, selaju jalan ceritanya.

Kemudian saya semak senarai novel yang dipinjam, yang mesti dipulangkan pada hujung bulan ini.  Sepertinya ada novel menarik tentang peristiwa tsunami.  Apakah saya akan turut mengulasnya nanti, wallahualam.

Ya, saya sangat terpesona dengan kisah realiti.  Dengan kata lain, menterjemahkan alam 3D ke dalam bentuk ayat untuk ditafsirkan oleh minda pembaca kepada 6D mungkin.  Dan hidup kita ini tidak lari dari terkait sama dengan alam-alam lain yang tidak mampu dijangkau oleh deria.  Naluri, gerak hati, ilham dan perasaan halus sangat besar peranannya dalam kehidupan.  Yang lebih penting dan utama, adalah peranan alam ghaib yang penuh rahsia, yang sebenarnya dari sanalah segala takdir dan doa bersatu.
lambang perasaan cinta

Kini saya semakin mengerti.  Sebuah cerita yang hebat adalah cerita yang ada semuanya.  Segala deria digunakan dan dipertajamkan sebaik mungkin.  Paling tidak, sebuah watak rekaan dengan kisah yang dirancang kelihatan hidup berdarah daging, bernyawa dan penuh perasaan.  Benarlah seperti kata sifu saya itu.  Hanya biarlah cerita itu membawa kesan yang baik kepada pembaca.  Tulisan yang membawa kebaikan kepada diri insan dan natijah yang baik sehingga ke akhirat.  Kita tidak menulis untuk komersial semata.  Bukan untuk hiburan jiwa semata.  Bukan hanya untuk meluahkan idea yang menyesakkan kepala.  Bahkan lebih dari itu.  Sebagai satu ibadah yang mudah-mudahan mendapat ganjaran di sisi Illahi.  Janganlah menulis untuk melekakan pembaca, menenggelamkan pembaca ke dalam mainan perasaan berbunga-bunga.  Lebih teruk lagi menulis untuk menjadi popular, dikenali dan diminati.

Wahai diri, ini semua untuk orang yang menulis ini sebenarnya, walaupun belum menulis apa-apa.

Wednesday, September 22, 2010

Azam Farid al-hafiz

Azam Farid

Novel motivasi remaja ini dipinjam oleh Hurin, sama tarikh dengan peminjaman Rengsa awal September dulu. Terbitan PTS One Sdn Bhd, cetakan pertama pada 2005.

Inti cerita yang menarik tentang Farid bermula dari kisah dia masuk ke pusat tahfiz hingga akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi untuk menggenggam segulung ijazah.

Penceritaannya laju, seperti kebanyakan novel-novel PTS yang lain yang pernah saya baca. Tempoh jalan cerita juga panjang. Kisah Farid anak bongsu yang manja dari 4 beradik bermula pada usianya 12 tahun, berakhir sekitar umurnya 20 tahun.

Novel yang sederhana tebal 228 muka surat ini mengandungi semua peristiwa penting sepanjang lebih kurang 8 tahun hidup Farid. Apa yang ditekankan ialah cabaran hidup apabila seseorang itu melangkah mengikut lorong para huffaz.

Farid datang dari keluarga agak berada telah menjadi anak yatim piatu dalam usia belasan tahun apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dalam sela masa yang tidak lama. Kemudian abang sulungnya turut meninggalkannya kerana penyakit hati yang tidak dapat dirawat lagi.

Namun Farid amat bertuah memiliki seorang kakak yang penyayang. Ustaz Baharin, abang iparnya yang juga gurunya ketika di madrasah pertama dulu juga sangat prihatin dan mengambil berat tentang diri Farid. Fauziah dan Ustaz Baharin tidak jemu-jemu memberi galakan dan bimbingan kepada Farid.

Dalam keadaan berduka yang masih belum hilang dan setelah hampir 6 tahun melalui kehidupan di madrasah, tibalah masanya Farid melalui ujian hafalan yang sangat penting dan amat mencabar. Jadual harian Farid semakin padat. Farid tekun melalui rutin bermula jam 4.30 pagi untuk melakukan solat-solat sunat bagi memohon bantuan Allah Taala. Kakak dan abang iparnya juga turut memberikan nasihat dan kata-kata semangat untuk menguatkan jiwanya.

Akhirnya Farid berjaya menyelesaikan bacaan 30 juzuk al Quran dalam sehari dengan melakukan dua kesilapan sahaja. Bacaan bermula sesudah solat Subuh sehingga hampir jam 11 malam dengan dipantau oleh tiga orang ustaz jemputan. Ini bermakna Farid dapat melakukan syahadah dengan cemerlang. Bacaan 30 juzuk dalam sehari hanya dicadangkan oleh ustaz kepada pelajar yang layak sahaja. Akhirnya Farid bergelar hafiz.

Kemudian Farid mengambil SPM persendirian tanpa sijil PMR. Untuk itu, Farid perlu menunggu setahun lagi untuk memenuhi syarat berumur 19 tahun pada Januari tahun dia mengambil peperiksaan. Sementara itu, Farid mengikuti kursus jangka pendek pemasangan komputer dan berjaya dengan cemerlang. Dia juga berusaha mengambil kelas tambahan di tempat tusyen. Akhirnya Farid menjalani peperiksaan SPM dan berjaya dengan kelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.

Kakaknya Fauziah sentiasa memastikan Farid mendapat kedua-dua ilmu dunia dan akhirat. Sementara menunggu panggilan ke mana-mana IPT, Farid mengambil kursus intensif Bahasa Inggeris di British Council, Kuala Lumpur. Kelas bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari selama dua minggu.

Selesai kursus bahasa, Farid menjadi guru Quran buat sementara. Kemudian Farid mencuba peluang sebagai penyelia projek pula di tapak pembinaan. Farid merasa penat dan pekerjaannya cukup meletihkan tetapi dia tetap menguatkan semangatnya. Dia merasa malu untuk menyusahkan kakak dan abang iparnya lagi. Ingatan kepada ayah dan ibunya yang telah pergi sentiasa dijadikan penguat semangat di masa dia merasa lelah.

Akhirnya Farid dapat membayar yuran pengajian pada hari pendaftaran menggunakan wang yang dikumpulkan dari hasil titik peluhnya sendiri. Bermulalah perjuangan Farid menimba ilmu dunia pula.

Novel ini tidak selesai di sini sahaja. Penulisnya, Ida Rizyani Tahir dan Nuriazam Ismail, menyambung dengan semangat niaga yang mula tumbuh di dalam diri Farid semasa di IPT. Tanpa ibu dan ayah, Farid perlu mencari sumber kewangan sendiri untuk menampung yuran dan perbelanjaan hariannya. Di bab-bab terakhir, diceritakan Farid berjualan makanan segera dan nasi lemak panas di waktu malam. Muncul aduan berbau fitnah terhadap Farid sehingga dia terpaksa menutup jualan.

Seterusnya Farid mengajukan permasalahannya kepada Dr. Firdaus, ketua jabatan Fakulti Pengajian Islam yang amat prihatin kepada para pelajar beliau. Dr. Firdaus kemudian menawarkan pekerjaan sambilan kepada Farid sekali gus mengurangkan beban kewangan yang sedang ditanggung oleh Farid. Akhir sekali, Farid merancang bersama kawannya untuk mengedarkan kerepek-kerepek yang diambil dari pembekal kepada koperasi kolej dan kedai-kedai runcit sekitar.

Apa yang menariknya, terdapat petua atau teknik tertentu menghafaz al Quran yang disertakan di dalam novel ini. Juga kisah rakan-rakan Farid yang datang dari keluarga miskin dan tidak mendapat sokongan keluarga untuk mengikuti pengajian di madrasah tahfiz. Malah ada yang memiliki sehelai jubah sahaja dan terpaksa mencari pekerjaan sambilan di dapur madrasah untuk mendapatkan wang buat membayar yuran sendiri.

‘Hanyalah kepada Allah tempat mengadu dan Dialah tempat meminta pertolongan.’

Kisah sedih rakan-rakan Farid membuatkannya terkejut dan menambah motivasi ke dalam diri untuk terus berusaha. Setiap insan tidak sama ujian yang ditetapkan iaitu bergantung kepada kemampuan empunya diri. Dan itu semua hanya Allah Taala yang Maha Mengetahui. Namun usahlah merasa bimbang, kerana ujian yang diberikan tidak akan melebihi kemampuan yang ada pada diri kita. Selebihnya berdoa dan terus berusaha serta bertawakal kepada-Nya.

Sabda Rasullullah SAW, “Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar al Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

Semasa M.Naqib datang kelmarin, saya ada menyuruh dia membaca novel ini. Entah bila dia membacanya tidak nampak di mata saya. Tetapi ketika saya bertanya lagi di petang sehari sebelum dia pulang ke Semenanjung, dia mengatakan sudah lama selesai membacanya. Mungkin waktu saya dan abahnya sibuk membuat persiapan membakar lemang di malam raya itu. Semoga dia mendapat sedikit ilham dari kisah Farid.


Kepada anda di luar sana yang masih tertanya-tanya tentang kehidupan pelajar di madrasah tahfiz, bolehlah membaca kisah Farid ini. Ia memberi gambaran umum tentang mereka dan hidup seharian bergelumang dengan rutin yang berbeza dari pelajar lain. Ia sebuah kehidupan yang tenang; diselubungi cahaya al Quran yang sentiasa basah di lidah pelajar hafiz. Para pembimbing (ustaz-ustaz) yang tegas untuk mendisiplinkan pelajar demi memastikan mereka mencapai tahap keperibadian hafiz yang berkualiti rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Masih ada kerengsaan tetapi jauh berbeza dengan kerengsaan si Budin. Namun tunggaknya tetap satu, iaitu Allah Taala yang Maha Pencipta dan Maha Pengasih.

Bacalah, dan buat komentar anda sendiri. Selamat menyelami kehidupan Farid al-hafiz bin Lokman ini. Penceritaan yang mudah tetapi kisah yang mengesankan.


~ Terfikir pula tentang Budin. Kalau Budin sempat diselamatkan (kenapa tidak? Dia sentiasa berselubung dengan keajaiban), membesar menjadi insan berhemah berkeperibadian tinggi dengan pelbagai ilmu bantu anugerah Tuhan, tentu dia adalah seorang manusia yang hebat. ~

Friday, September 17, 2010

Rengsa


Pagi Jumaat ini 17 September 2010 saya menghabiskan helaian terakhir Rengsa. Bab 45 yang sengaja saya simpan untuk pagi ini. Dua bab sebelum sudah saya baca malam tadi, ketika terjaga jam 1, sesudah solat sunat. Sengaja saya bertangguh. Seperti sayang mahu menyudahkan. Saya sudah meneka nasib Budin. Kasihan anak yatim piatu ini. Tercapai jua hasratnya, terurai juga rindunya pada ibu dan ayah. Pemergian yang tragis. Tentu Pak Ngah Kassim terkesima dan meratap. Shima menangis. Pak Long Wahid terpaku ralat. Imam Osman, Cikgu Anuar, Tuk Penghulu Leman; semua orang yang kenal Budin. Rubiah ... tentu menangis lagi selepas tangisan untuk arwah Akob, abangnya.

Kasihan Mazlan. Tidak kesampaian hajat Budin mahu menyerahkan air doa yang sudah mengalir bersama air sungai ke kuala. Bermakna Mazlan akan terus begitu, menyeru nama Nek Miah. Dia belum diizinkan sembuh. Mungkin sebagai kifarah dosa. Namun dosanya kepada Budin sudah dimaafkan. Budin sudah tidak berdendam lagi.

750 muka surat. Penerbitan Tintarona Publications Sdn. Bhd, terbitan pertama 2006.  Gambar kulit buku yang memancing tanda tanya, sebiji mata dengan bayang anak muda yang sedang terbeliak memandang sesuatu.

Semasa mencari buku di rak perpustakaan Pandan 5 September lepas, saya terpandang novel tebal ini. Saya tertarik kepada tajuknya. Sefaham saya, rengsa bermakna penat, letih, rimas, radang dan tidak tenang. Biasanya agak ngeri dengan novel tebal-tebal. Selalu memaksa diri untuk menyudahkan. Ternyata Rengsa ada kelainan. Hanya apabila diri terlalu letih (letih beraya) dan mata pegun, menjadi lembab memproses ayat yang dibaca, barulah Rengsa saya ketepikan dengan agak berat hati. Tentu sekejap lagi ia hilang dari sisi. Tapi tak sampai hati hendak menyorokkan Rengsa.

Dalam pada itu, Rengsa menemani saya semenjak itu dan sepanjang musim raya sehingga saya masuk bersalaman dengan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman, Rengsa berada di dalam tas tangan. Ada juga teman tak dikenali sama membaca di ruang menunggu, saya jeling buku tanpa memandang empunya diri yang duduk selang tiga kerusi; Nancy Drew. Mungkin remaja.


lampu hiasan di siling dewan menunggu ke ruang dalam istana Nurul Iman

Pendek kata seolah-olah Budin sama beraya bersama saya.

Semenjak bab satu, saya sudah memancing abah Hidayat dengan novel ini. Sengaja saya war warkan lokasi Gemereh dan Kampung Lubuk Batu. Nampaknya taktik saya menjadi. Anak Johor berdarah Bugis campur Jawa ini tiba-tiba seperti kuat semangat kenegeriannya. Dia mula menyelak-nyelak semasa berehat di atas katil. Dia memang tahu sangat daerah kelahirannya, Segamat. Ini novel kedua yang dibacanya yang mengangkat kisah di Segamat selepas novel Saga.


Saya tak nafikan. Laluan Segamat-Muar adalah laluan saya saban hari semasa bersekolah di Convent, kemudian di STS. Bas Khamis (pemandunya bernama Khamis) yang penuh sesak tetapi saya sudah diperuntukkan sebuah kerusi khas. Kaki menjejak sahaja tangga pertama, akan berkumandang lagu popular waktu itu, “Intanku Kesepian”. Adik angkat punya kerja. Masih terbayang wajah pakcik kurus yang berwajah sendu memakai pakaian wanita, berjalan penuh gaya tersendiri di dalam dunianya yang misteri di laluan Gemereh.

Kembali kepada Rengsa, akhirnya saya terpaksa berebut dengan suami sendiri. Dengan Rengsa dia alah. Kalau sebelum ini abah Hidayat merungut kurang senang melihat saya membawa buku ke mana pergi. Kali ini dia mengingatkan saya supaya tidak meninggalkan Rengsa di rumah. Tentu saya berlapang dada, ruang untuk Rengsa ada di dalam tas tangan.


Berhenti seketika memandu, dia mencuri baca. Di tepi pantai menemani anak-anak mandi, dia leka dengan Rengsa sehingga matahari hampir terbenam di hujung lautan menebarkan lembayung merah. Kalau tidak, tentu dia sudah berang menggesa anak-anak keluar dari air. Nampaknya dia sudah tenggelam di dalam dunia Budin yang penuh kerengsaan.


Akhirnya abah Hidayat menyudahkan Rengsa. Saya masih terkial-kial dengan rutin. Naqib pula merayu kebenaran untuk menyelesaikan bacaan kerana lusanya dia akan kembali ke Semenanjung. Dalam pada itu, Hurin mula tertarik untuk menatap Rengsa. Dia mendengar kami bertiga berbicara tentang Budin dan orang tua berjubah putih. Namun dia agak kaget kerana novel terlalu tebal buatnya. Apa pun, sekarang ini saya sudah menyelesaikan dan sudah memperbaharui tarikh pemulangan untuk Hurin pula. Ah, budak ini mengulangkaji bahasa Melayu dengan Rengsa nampaknya. Tak mengapalah, mudah-mudahan subjek Bahasa Melayu dapat A dalam PSR nanti (dalam MOCK II lepas, Hurin satu-satu yang dapat A untuk BM di sekolahnya).

Kami saling bertanya, apa yang menarik sangat Rengsa ni?

Hmm, yang pasti terasa dekat kerana saya dan abah Hidayat tahu kawasan Budin tinggal.  Naqib pula kata ada lucu, saspen, sedih dan pengetahuan. (Dia tidak dapat menyudahkan Vamphra dulu kerana katanya bahasa terlalu tinggi. Hanya saya dan abahnya yang membaca buku ini.) Bermakna Budin berjaya menarik hati kami berempat (Hurin baru mula baca - tak ada komen tapi banyak tanya) sekali gus.  Saya suka kerana ada pengisian berbentuk rohani. Menjadikan watak benar-benar berjiwa Melayu Islam. Pembaca tidak tenggelam kosong. Ada kepuasan. Cerita dan watak begitu hidup. Terasa hampir dan dekat. Tambahan pula ada sesuatu yang kami dapat tahu dan boleh digunakan.
khusyuk

Masalahnya, benarkah watak Budin wujud? Siapa pula lelaki berjubah putih yang hadir dengan bau harum serta menggentel tasbih klasik itu? Abah Hidayat dan anaknya sepakat mengatakan itu adalah watak Junjungan SAW. Saya kata, bukan. Mereka nyatakan dialog imbas kembali di bab 45, “Tidak ada fitnah yang lebih besar selepas peninggalanku melainkan wanita; belum masanya kau menggali tentang rahsia ...” tapi saya tak fikir begitu.
hampir selesai

Siap saya semak semula di bab-bab awal mencari pertemuan Budin dengan lelaki berjubah putih dan menemui pesanan orang tua itu di halaman 205 – “Ingatlah sabda penghulu kita Muhammad SAW ‘tiada fitnah yang lebih besar sepeninggalanku melainkan wanita’, waspadalah,” ujar orang tua itu lagi.

Entahlah, hanya penulisnya yang tahu. Atau mungkin dia menyerahkan kepada pembaca untuk membuat tafsiran sendiri. Walau apapun, saya merasa puas di sepanjang perjalanan cerita Budin. Ayat yang mudah tidak bombastik, penjelasan situasi yang terang dan gejolak jiwa yang cukup menyentuh perasaan. Ringkasnya benar-benar ayat orang Johor. Saya rasa cukup serasi dengan lenggok bahasanya.

Kali ini saya tidak lagi jengkel dengan kata-kata perli abah Hidayat. Beberapa ketika yang lepas, dia sangat suka menyindir saya dengan istilah ‘Bahasa Melayu Tinggi’, ada puncanya. Saya setuju memang orang Johor menggunakan bahasa Melayu Tinggi sehari-hari, hanya ada loghat daerah yang sedikit berbeza. Kalau sebelum Rengsa, saya diam tidak menyahut sindiran abah Hidayat. Sesudah Rengsa, saya merasa bangga dengan kata-kata sinisnya. Saya rasa istimewa pula, leluhur Negeri Sembilan tetapi dibesarkan di Johor Darul Takzim.

Simpati, takjub dan sayang kepada Budin. Kagum dan hormat kepada Imam Osman. Benci menyampah kepada Mazlan, Pawang Junos, Akob, Mat Nor dan Kassim. Masing-masing yang berhati busuk kepada anak yatim akhirnya mendapat balasan setimpal.

Saya betulkan sendiri di minda mana-mana typing error. Tak kesah, jalan cerita sudah cukup bagus. Bangga kerana lokasi tempat saya lalu lalang diangkat di dalam novel ini. Abah Hidayat kata cerita ini sangat menarik untuk didramakan atau difilemkan. Tapi saya kurang setuju. Bolehkah drama atau filem mengangkat cerita ini sebaik novel? Bimbang jalan cerita bertukar, sesuai dengan cita rasa penerbit dan penonton sekarang, mungkin Rubiah akan menjadi watak utama. Ini sekadar fikiran cetek saya.

Semalam di perpustakaan Pandan yang tenang, saya mencari karya lain penulis Rengsa. Tak ada. Ini membuatkan saya merungut sendiri. Walau apapun, saya gembira kerana berkesempatan meninggalkan kesan kehadiran di blog penulis, dan bertambah gembira beliau sudi menjenguk blog Naqhuhines. Ini di luar jangkaan saya. Satu-satunya penulis novel yang membuatkan saya rasa dihargai, dan satu-satunya novel terkini dalam senarai saya yang paling hebat mengatasi novel-novel yang lepas. Saya, suami, Naqib dan Hurin sama-sama setuju dengan kehebatan novel ini. Hanya kami ini bukan para pembedah buku profesional.

Bacalah Rengsa dan nikmati sendiri kisah yang diangkat tentang Budin. Budak bodoh-bodoh alang yang gagap lagi yatim piatu angkara kebejatan nafsu manusia yang menghantar santau kepada ibu dan bapanya di satu malam yang menakutkan. Serba kekurangan dan daif, tetapi sepertinya menduduki darjat yang istimewa di sisi Allah Taala. Bahawa setiap doa dan harapan pasti dikabulkan oleh-Nya. Usah berputus asa menjalani kehidupan yang penuh pancaroba. Setiap permulaan pasti ada kesudahan. Setiap derita pasti ada bahagia. Dekati alam dan belajar dari alam. Juga usah menyakiti anak yatim. Doa orang yang teraniaya amat mustajab, terus naik ke langit tertinggi tanpa halangan.

Kepulangan anakanda sulung Naqib untuk kembali ke madrasahnya, sangat membuatkan saya rasa kehilangan.  Namun Budin membuatkan saya ralit dan terhibur.  Semasa Budin menyeret selipar yang tebal dengan tanah merah melekat, saya juga rasa payah hendak menyeret selipar saya yang sama tebal bertempek tanah kubur yang basah.  Tatkala Budin duduk termangu di tangga rumah, saya pula terpandang dua lembaga berkelubung putih yang sedang tersenyum manis kepada Budin.  Budin ... Budin ...  Saya juga sama meneguk air perigi yang tawar sedikit kelat. 

Tahniah buat penulis Rengsa – saudara Zharulnizam Shah Z.A. Semoga terus menghasilkan novel-novel yang bermutu di masa hadapan. Selamat berkenalan di medan seni. Terima kasih atas kunjungan.

Wednesday, September 15, 2010

Akhirnya hujan gerimis


Naqib ceria.  Segak berbaju Melayu kuning emas, bersongkok hitam tekad tekat benang emas putih kalimah Allah di atasnya, dan memakai kasut Nike hitam hadiah Abin yang menjadikan dia tinggi sejengkal dari saya.
sarapan roti telur air nescaffe

"Naqib, kamu kembali asal pulang ke madrasah.  Kami kat sini pun macam tu.  Hurin kena struggle lepas ni nak periksa PSR lagi dua minggu.  Abah kerja macam biasa.  Mama pun macam tu."  Saya berkata dengan nada yakin.  Tak mahu ada titis air mata walau setitik.  Lebih bersikap tegas kepada diri sendiri sebenarnya.

Naqib relaks.  Malah seperti seronok mahu menaiki kapal terbang.  Dia sudah bercadang mahu membeli makanan di dalam kapal terbang nanti.  Datang 9 hari lepas dia masih berpuasa Ramadan.  "Mama, lain kali ALong nak naik MAS kelas pertama, boleh?"  Naqib sengih-sengih.

Kak Hudziah dan Ustaz datang menghantar buah tangan untuk Naqib - coklat buatan sendiri.

Saya renung Naqib sambil mengangguk.  "Insyaallah, ada rezeki nanti naiklah kamu first class tu."  Kalau dah ada hajat, mungkin ada jalannya juga.  Boleh tahan juga angan-angan anak ini.

Kami bergambar sepuas-puasnya.  Saya kucup pipinya dan dia cium pipi saya.  Adik-adiknya juga.  Abahnya juga.  Semua mahu menunjukkan dengan nyata kasih sayang yang ada di dalam jiwa.  Entah bila lagi kan berjumpa.  Jarak dan masa bukan di dalam kawalan manusia.  Tetapi kami sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Illahi menyampaikan harapan sepenuh hati, semoga pertemuan akan menyusul di dalam redhaNya jua.
ada ciri-ciri persamaan yang tst ... (sama gendut la)

Akhirnya Naqib lenyap di dalam ruang imegresen untuk ke perut kapal terbang.  Hanya pandangan mata yang sayu mengiringi langkahnya dan lambaian tangan dari kejauhan.

Kami bergerak dari kawasan lapangan terbang.  Saya dan tiga anak-anak ingin ke perpustakaan besar yang kami impi-impikan sejak lama.  Bangun seawal jam tiga pagi, saya agak jenuh melawan rasa mengantuk.  Mengambil masa satu jam membuka blog, tidak ada keselesaan kerana kedudukan membelakangkan orang lalu lalang.  Tapi sempat menjengah blog penulis Rengsa dan meninggalkan kesan kehadiran di blog beliau.

Jam 1, usus digigit-gigit rasa lapar.  Hanessa berubah perlahan-lahan menjadi anak harimau comel yang mencakar abang dan kakaknya.  Dia lapar!  Saya pun tapi lebih berdaya menguasai emosi dibandingkan anak harimau jadian.  Setelah sabar menunggu, abah Hanessa yang bermesyuarat tadi tiba juga di hadapan bangunan dan kami bergerak mencari tempat makan, tentunya Nasi Katok yang murah dan mengenyangkan.
ciuman kasih selamat jalan buat anakanda

Pulang ke rumah.  Sebelum itu singgah di cawangan B Mobile Tutong untuk reset semula telefon bimbit yang jem.  Sepanjang perjalanan pulang, saya dapatlah membuka facebook sebentar.  Sepanjang petang juga download sedikit gambar-gambar raya bersama Naqib.
Ha?

Maghrib pun menjelma.  Selepas makan malam, kami mengangkat wuduk untuk menunaikan solat Maghrib.  Rupanya saya sedang memendam rasa.  Hurin telah mencuit suisnya.  Dia tanya, mama tak sunyi ke?  Mama tak rasa apa-apa ke?  Saya faham sangat.  Budak perempuan seorang ni memang jenis cepat feeling.  Kalau tidak masakan dia boleh menangis tatkala mendengar sedikit lagu sayu ketika sedang berdiri di tepi akuarium kami dulu.  Atau menangis tiba-tiba bila terkenangkan onyangnya yang jauh nun di kampung.
bacalah buku menimba ilmu, err dah pandai rupanya

Saya diam.  Sedang perasaan mula bergelora sendu.  Mata terasa panas.  Hidung seperti sempit.  Tekak menjadi pahit.  Saya buat-buat tak faham.  Saya bentang sejadah sambil menyembunyikan wajah.  Ah, teruknya rasa.  Belum ada yang perasan.  Sehingga saat abah Naqib mengangkat takbir untuk solat, air mata pun pecah di empangan.  Benar-benar terbayang Naqib berdiri di hadapan bersebelahan dengan Hidayat.  Tapi sekarang Hidayat bersendirian di sebelah kanan belakang abahnya.
tiga bahagian; kanak-kanak, muda-mudi dan dewasa

Air mata mengalir.  Hidung tersumbat mula meleleh.  Perlu dikesat.

Assamualaikum warah matullah...  abah Naqib memberi salam ke kanan dan ke kiri.  Lalu dia berpaling terus mencari wajah saya.  "Napa, sedih ke?"  Iss, sudah gaharu cendana pula.  Mama nangis?, tanya Hidayat pula.  Ni lagi sorang!
makan tengahari jom, laparrrr

"Dah la tu, dia mesti belajar supaya jadi kuat.  Ada rezeki esok, belajar lebih jauh."  Abah Naqib cuba memujuk dirinya sendiri juga.  Saya diam.  Memang itulah harapan kami.  Cuma naluri seorang ibu.  Rupanya saya masih alah dengan perasaan.
Nasi Katok

Tak mengapalah menangis sedikit.  Tak salah... namun jangan keterlaluan.  Saya sempat membayangkan pelajar-pelajar lain yang sama belajar dengannya.  Juga berjauhan dari keluarga.  Kembali berdikari di madrasah.

Kurta putihnya yang sudah siap digosok tertinggal di dalam almari.  Juga kopiahnya.  Rasa agak terhibur tapi memikirkan perlu mengeposkan pakaian itu segera.  Untuk lebih jimat, nanti hujung bulan ke Miri pos dari sana, agak murah kerana masih dalam negara.

Hidayat masih cool.  Hanessa juga.  Cuma mereka tertanya-tanya bila ALong mahu datang lagi, dan bila kita nak balik kampung?

Friday, September 10, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431Hijrah @ 10 Sept 2010, Jumaat.

Kusyuk tunduk rapat ke dada.  Pelan-pelan ke kanan, tiba-tiba ke kiri.  Nampak mak, abah dan semua keluarga.  "Baringlah, ngantuk benar tu,"  kata abang.  Argh, memang mengantuk giler kata budak-budak sekarang.  Novel Rengsa hasil karya Zharulnizam Shah Z.A tersadai di hadapan saya.  Saya sudah tidak dapat memproses ayat-ayat yang dibaca.  Mata saya tertumpu pegun dan perlahan-lahan saya tersengguk.

Kisah Budin di Kg. Lubuk Batu, laluan saya ke Segamat waktu duduk Jementah dulu

Tadi saya siapkan kari ayam.  Kemudian menemani abang yang berseorangan membakar lemang 19 batang.  Jam sudah menghampiri 1 pagi.  Sepatutnya 20 batang lemang, tapi satu tu spoil daunnya.  10 kilo beras pulut sudah direndam seawal 11.45 pagi.  Buluh-buluh lemang dibeli di Miri oleh Kak Leha yang membeli barang-barang di sana kelmarin, besar-besar saiznya.  Dilapik daun-daun pisang muda dan tua.  Hati-hati benar abang memasukkan daun sudah digulung ke pelepah pisang agar tidak terkoyak.  Jumpa pula ulat daun berwarna putih, lembut dan gebu.

Sementara hujan terus menitis kasar ke bumi.  Saya terkenang satu waktu yang lampau sedang meneliti sekumpulan orang sedang berkumpul di sudut dapur.  Ada arwah onyang Hajah Sariah Ibrahim, wan, wan ngah, dan lain-lain.  Saling bekerjasama dan sepakat.  Hati-hati dan cermat.  Kini saya melihat suami saya pula melakukannya dengan mandiri yang tinggi.  Tak cuba tak tau.

lemang oh lemang

Kadang-kadang Abang Mansor suami Kak Leha datang menemani.  Borak tentang anak bulan yang menjengah segan.  Rata-rata orang tempatan Brunei menjangka aidilfitri pada Sabtu ini.  Hanya Naqib yang mesti berhari raya esok sebab dia sudah cukup 30 hari berpuasa.  Kami memutuskan akan menyambut bersama dia walaupun tidak nampak anak bulan.

Sementara abang menjaga bara api agar tidak terlalu marak dan tidak padam.  Dia menghentak lemang-lemang satu persatu supaya beras pulut di dalamnya menjadi padat.  Buluh-buluh panjang sehasta itu dipusing beberapa ketika supaya rata masaknya.  Perlu teliti dan cermat.  Kadang-kadang saya menegur api yang terlalu marak bimbang kerak lemang menjadi tebal.  Abang tenang sahaja, buluh ni tebal, katanya.  Hujan, ranting-ranting kayu basah, mujur sabut kelapa kering cukup untuk membakar.

Jam 2.30 pagi, lemang mula membuak.  Ada air santan yang meleleh keluar.  Santan di dalam buluh sedang menggelegak.  Sebatang lemang terpancut sumbatnya dan melambak sedikit beras separuh masak, mungkin terlalu penuh diisi tadi. 

Jam 3.30 pagi, Kak Leha datang bersama anak gadisnya Umi.  Abang membuka sebatang lemang dan kami bersama menjadi tester.  Ah, ternyata memang padat dan cukup lemak.  Manakan tak cukup lemak, sebab guna 13 biji kelapa tua yang cukup tua yang dibeli oleh Kak Leha.  Jenuh abang dan Abang Mansor mengopek kelapa secara manual.  Kemudian dikopek pula isinya, dihantar mesin ke kedai, sebiji 20sen.  Akhir sekali, saya memerah kelapa parut itu sambil Kak Leha mengisar dengan blender.  Dua round.  Lenguh rasanya, dan hujung-hujung jemari menjadi kecut.

Lemang pertama yang sangat lazat.  Saya turut menyuap lemang yang panas lemak itu ke dalam mulut dalam keadaan separuh mamai.  Kak Leha mesti diraikan.  Dua tiga suap cukuplah, saya lebih laparkan tidur.   Sudah dua kali saya rebah di tikar, di tepi bara api yang membakar lemang.  Masih tidak hilang mengantuknya.  Malam semakin dingin dan pekat hitam. 

Setelah berbuka puasa awal malamnya, kami mengadap peti tv.  Abang Mansor dan anak bujangnya Mubdi, turut sama berbincang-bincang tentang hari raya.  Berdebar juga.  Saat yang ditunggu-tunggu  pun tiba, pengumuman hari raya.  Alhamdulillah, Allahuakbar, esok sah puasa raya!

menyusur pantai
Kami puasa Ramadan 29 hari sahaja.  Semua orang Brunei berhari raya sama dengan Naqib, hehehe...
Selamat Hari Raya Aidil fitri maaf zahir batin.

menawan
Selepas solat Maghrib, kami bertakbir bersama.  Ada duka ada gembira.  Roh-roh yang datang menjenguk tanpa halangan seperti cahaya, kembali ke penempatan mereka sehingga Ramadan akan datang.  Saya mengingati arwah abah, arwah ayahanda, kekanda, nenda dan semua yang telah pergi lebih awal.  Al Fatihah buat mereka.

indah
Gembira, meraikan kemenangan menahan hawa nafsu sepanjang Ramadan.  Dan perjuangan tidak berkesudahan akan terus berkesinambungan sehingga Ramadan tahun hadapan.  Semoga panjang umur dan sihat tubuh badan untuk menikmati segala keberkatan dengan lebih baik lagi nanti, insyaALlah.

garis-garis ombak
Ya, kami pun meraikan Aidilfitri hari ini, sama seperti anda di Malaysia.

Wednesday, September 8, 2010

Naqhunines berkumpul lagi

Akhirnya 6 September 2010, Isnin, bersamaan 26 Ramadan 1431 Hijrah (di Brunei mula berpuasa lewat sehari dibandingkan Malaysia) pun tiba.  Seawal 3.30 pagi kami sudah bangun untuk bersahur dan bersiap diri.  Naqib membuat panggilan waktu itu memberitahu dia sedang bersiap untuk memulakan perjalanan.  Wan dan atuknya menghantar ke lapangan terbang LCCT dengan bantuan jiran, Encik Fadzlisham.
mana along?

Beberapa panggilan menyusul kemudian sehingga kami yakin Naqib selamat menaiki kapalterbang yang betul.  Solat subuh dulu dan terus masuk ke dalam, kata abah Naqib.  Panggilan terakhirnya mengajukan soalan, cuba mama teka along pakai baju apa, katanya.  Saya cuba meneka, tapi dipintasnya, tak apa karang mama tengok.
Pakai minyak attar?  tanya saya.
Puasa la mama, makruh.
Oh saya terlupa.  Memang kebiasaan mengingatkan dia supaya berwangi-wangi bila mahu berjumpa saya.  Sebab anak ini selalu hangit.  Biasa, cepat berpeluh.
Kemudian saya menelefon mak yang sudah dalam perjalanan pulang ke rumah.  Mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga sehingga cucunya ini selamat sampai ke penerimaan kami  bersama rendang ayam kampung yang lazat.
Mendengar pengumuman.  Sebelum itu mata kami menangkap kelibat para pramugari berpakaian kebaya krim dan kain merah hati dan tudung sudah keluar, diikuti dua orang pilot berbaju putih berseluar biru gelap.  Mereka ketawa riang dan ceria.
Kami mula meninjau-ninjau di pintu sliding yang pandai mengacah-acah orang itu.  Agaknya penat juga sebab berjuta orang sudah melaluinya sekian lama.
"Belajar kat mana?  Ke sini jumpa siapa"  begitulah tanya pegawai kastam
Sebuah airport yang cukup tenang dan relaks.  Tidak ada berpusu-pusu.  Beberapa orang kulit putih yang cantik-cantik membuat lalu lintas di hadapan kami.  Memerhati gaya pembawaan perempuan muda-muda melangkah dengan kasut tinggi sejengkal.
Jam 09.25 pagi, kami melihat kelibat anak ini sedang beratur nun jauh di dalam.  Dia sengih, memakai kurta putih bersih dan serban.  Kembang hati saya.  Dulu pernah mencadangkan dia begitu, tetapi dia seperti enggan.  Mak pun kata, pakai baju Melayu sahaja.  Rupa-rupanya ada kejutan.
Saya melambai-lambai.  Makin besar sengihnya.  Sampai di tempat pemeriksaan kastam, kelihatan dia berpatah balik mengambil beg pakaian.  Lupa la tu.
Pegawai Kastam bertanya sesuatu.  Dia memandang-mandang kami diikuti pegawai tersebut.  Tentu dia memberitahu inilah keluarganya yang sedang menunggu dia.
Add caption
Akhirnya detik-detik yang dihitung Hidayat selama ini, sampai juga.  ALhamdulillah.  Mama, lagi berapa hari, berapa jam, berapa minit dan berapa saat along sampai, begitulah tanya Hidayat hampir setiap hari dan semakin gagat bertanya kelmarin.
kedai mercun.  macam-macam jenis.  beli satu percuma satu. (Giant)
adik manja along (mula mengada-ngada)

Friday, September 3, 2010

cuti sekolah dan tali pinggang.

Cuti sekolah untuk hari raya sudah bermula, hampir 20 hari.
Semalam, Khamis 2 Ogos 2010, hari terakhir Hurin bersekolah. Juga hari terakhir peperiksaan MOCK II, kertas Science. Wajahnya berseri tatkala datang ke kereta. “Ma, Cikgu Syamri bagi duit raya,” katanya dengan nada girang sambil menunjukkan sekeping sampul duit berwarna hijau.
”Dah dapat angpow..!?” sahut saya, teruja. “Bukak la, berapa?”
Hurin meneliti sampul duit itu dan membuka dengan hati-hati. “Wow, lima ringgit!” sorak Hurin riang. Matanya terus terpaku ke dalam sarung itu. Perlahan-lahan Hurin menarik sekeping wang kertas Brunei berwarna hijau.
“Alhamdulillah, wang raya pertama.”
Cikgu itu telah mengagihkan wang raya kepada semua pelajar darjah 6 A, B dan C, ramai juga tu. Hampir 60 orang. Mereka berkumpul di dewan untuk MOCK II.
Saya seperti dapat melihat betapa seronoknya pelajar-pelajar itu mendapat kejutan tatkala cikgu menghulurkan sampul-sampul duit. Dan saya seperti dapat merasai kepuasan dan kegirangan hati Cikgu Syamri sendiri.
Ya, menggembirakan hati seseorang, kita akan turut mendapat tempias hati yang riang itu. Saling memberi dan menerima, adalah anjuran ugama. Termasuk senarai moral yang baik. Ia menimbulkan kasih-sayang dan mengeratkan ukhwah. Diutamakan orang yang hampir dengan kita, kaum keluarga dan sanak-saudara sebelum melangkaui yang lainnya. Bersedekah! Tidak heboh. Sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan sebelah lagi. Maknanya, dengan hati yang ikhlas. Tidak ada udang sebalik batu.
Sekiranya ada hajat pula, bersedekahlah juga. Amat mujarab dan cepat hajat kita ditunaikan oleh yang Maha Mengabulkan Permintaan. Ikhlas, tidak semestinya nilai yang besar.
Beberapa kali saya melihat anak-anak saya yang masih kecil dihulurkan wang satu ringgit oleh seseorang, tiba-tiba. Kami sedang makan di kedai, salah-satu peristiwa itu. Mungkin pak cik perkenan pada anak-anak yang duduk baik-baik itu. Pak cik mengusap-usap kepala anak-anak. Apakah dia teringat dan rindu pada cucu-cucunya.. Kami rasa gembira. Baiknya hati pak cik itu. Lalu saling mengucapkan ucapan terima kasih, mewakili anak-anak yang sedikit terkejut berhati senang.
Mungkin pak cik yang berwajah redup tapi riang ramah itu memang mengamalkan budaya bersedekah.
Masih tak hilang nakal, saya minta lagi satu ringgit untuk anak perempuan saya yang terkulat-kulat, yang agak jauh dari abang dan adiknya. Pak cik itu berhenti, melihat ke arah gadis kecil saya dan mengeluarkan sekeping lagi wang kertas. He he he... Dia senyum.
Memberi anak-anak kecil seronok kerana mereka tak pandai menilai kecil besarnya wang itu. Yang pasti mereka gembira menerima. Menggembirakan anak-anak kecil, kita juga rasa gembira.
Gembira, sihat dan awet muda. Bersedekahlah selalu dan usaplah kepala anak-anak.

Cuti sekolah, bermakna Hurin, Hidayat dan Hanessa berkumpul di rumah sepanjang masa. Yang paling nakal, tentunya si rambut halus lembut tegak-tegak, yang matanya sepet-sepet sedikit dan satu-satunya anak lelaki bersama kami. Sekarang, saya mengucapkan kata-kata amaran dengan nada keras dan paling tegas. “Jangan cetuskan pergaduhan.” Saya menekan nada supaya mereka tahu, saya serius dan mesti mengambil perhatian besar kepada amaran ini. “Cuti dua minggu ni, hati-hati. Jangan sampai salah satu hari itu atau beberapa hari kamu terpaksa menerima hukuman,” saya menegaskan lagi. Masing-masing diam. Mungkin memamah kata-kata saya.
“Dengar tak?”
“Dengarrrr...”
Sehelai tali pinggang hitam selebar hampir tiga jari digantung di tengah-tengah pintu bilik. Biar cukup ketara dan cepat dilihat. Itu sindiran dan amaran. Siapa mahu menempah, silakan. Siapa tak mahu, ‘jangan cetuskan pergaduhan’.
“Kalau kakak kacau Hidayat, kakak kena, kan mama?” kata si nakal ini. Sengih-sengih, nakal sungguh tapi bijak sebenarnya. Dia lebih keras watak berbanding si sulung kami yang lembut dan berhati-hati memberi respon. (Tetapi jangan mencabar sampai over limit. Kalau dah marah, teruk si adik dikerjakan juga).
“Ya, kalau kamu yang mula dulu, kamu kena.”
“Tapi kalau kakak mula dulu, kakak kena kan mama.” Dia tanya lagi, sama. Tak puas hati.
“Siapa pun yang mulakan, dua-dua akan kena.” Ini lebih mudah. Anda tahu siapa yang salah sebenarnya dan siapa yang dipersalahkan? Masing-masing tak akan mengalah. Ini biasanya kerenah di tahap paling hyper. Mungkin sudah penat, mengantuk, lapar mencucuk-cucuk dan bosan. Tentu ada sahaja kerenah yang boleh mencabar keseimbangan fikiran.
Biasanya berkesan. Masing-masing lebih waspada. Orang yang bersalah ialah yang mencetuskan perbalahan dengan membesar-besarkan isu kecil. Juga orang yang tak pandai hendak mengalah dan membezakan hal besar dengan hal kecil. Ya, kamu tak salah pun akan kena. Kamu nakal dah tentu kena. Jadi, mengalah. Susah nak mengalah sebab geram sangat? Okay, buat hal sendiri-sendiri.
Ah, sebenarnya hidup memang saling berhubungan dan memerlukan. Setakat mana tahan buat hal sendiri-sendiri. Setakat mana tali pinggang hitam itu boleh menyindir. Setakat mana boleh mengalah buat-buat tak faham kerenah.
Anak-anak ... tak mengapalah selagi ada usaha hendak mengalah walau kadang-kadang hilang sedikit kawalan diri. Kita semua belajar membaiki diri, dan sentiasa belajar. Semoga Allah mempermudahkan kita.
Tak sabar menanti Along datang. Lagi tiga hari. Isnin ni akan ke airport menanti dia. Terbayang-bayang susuk Along yang gempal dan gigi Along yang besar-besar, gigi kapak atau gigi arnab tu. Along ... Along ... Along ... kami semua rindu pada Along. Juga pada semua keluarga, wan dan atuk, onyang dan semuaaaaa.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing