Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, August 29, 2010

Lawak Suami Isteri

Seorang suami sedang mencari-cari helah untuk membolehkan dia berkahwin lagi.
Antara alasan yang diberikannya:

Suami : Lelaki kawin 3 baru lah sah

Isteri : Kenapa pula?

Suami : Cuba terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, "satu" is one, "dua" is two, "tiga" isteri (is three). Baru betul dan sah!.

Isteri : Tapi abang kena faham Bahasa Inggeris, terutama tentang "singular" dan "plural".

Suami : Berkenaan apa tu?

Isteri : Satu tu "Singular"; dua atau lebih "Plural".

Suami : Contohnya?

Isteri : One car sebagai singular, two cars sebagai plural. Apa bezanya?

Suami : Ohhh... tambah huruf "s" untuk yang plural.

Isteri : Betul tu. Sama juga la untuk abang.

Suami : Macam mana pula boleh sama?

Isteri : Satu isteri abang MAMPU, jika dua isteri dah jadi plural, maka abang MAMPUS, tambah "s" je,kan?

Lepas daripada tu, si suami tidak pernah lagi berceritakan hasratnya untuk berkahwin lagi.

Friday, August 27, 2010

Teringat Munaliza

Satu ketika saya berusia 17 tahun.  Emak menghantar saya mengikuti kursus pendek di Seremban.  Tinggal menumpang di rumah ibu saudara.  Di kolej, saya berkenalan dengan Munaliza.  Gadis bandar yang cantik, manja dan serasi pula.  Baik dan semakin rapat.  Hingga tiba-tiba kursus pun tamat.  Saya pun pulang semula ke pangkuan mak abah.  Di satu-satu ketika, saya rasa begitu mengingati Munaliza.  Entah di mana dia sekarang.

Waktu itu, saya ingin menulis sesuatu.  Dan saya mencatatnya secara langsung di kertas.  Lalu saya kirimkan ke majalah Gila-Gila, majalah kegemaran waktu itu.  Tidak lama kemudian, saya tersenyum  gembira.  Terkejut pun ada, kerana Munaliza tertera di helaian Gila-Gila.  Tak sangka sungguh.


Semenjak itu saya fikir sajak adalah spontan.  Tidak perlu edit dan fikir.  Ia aliran yang muncul dari gelodak perasaan.  Dan ia hanya terjadi tiba-tiba.  Maka saya jarang-jarang menulis.  Lama-kelamaan saya bagai lupa untuk mencurahkan perasaan seperti itu.

Rupa-rupanya,  tidaklah demikian.  Kadangkala ia perlu renungan, memikir-mikir dan membaiki di mana yang perlu.

Munaliza, di mana dia sekarang..  Sajak itu pun entah di mana hilang.  Tidak dapat dibuktikan tetapi saya benar-benar menulisnya satu ketika dulu.

LST - antara faktor kegagalan pengarang puisi

a.  Idea, isu dan tema yang terbatas dalam karya; terlalu bersifat setempat dan peribadi.

b.  Kurang pendedahan pada peringkat nasional.

c.  Tidak mengikut perkembangan kesusasteraan luar dan antarabangsa.

d.  Tiada pegangan yang kukuh; pemikiran dan karya.

e.  Tiada kecenderungan ke arah memperkasakan budaya ilmu.

f.  Tidak serius; mengarang sambil lewa, iseng-isengan sahaja.

-Lim Swee Tin, muka surat 101.  Berkelana di belantara kata.

samb. LST - berkelana di belantara kata

Idea dalam karya - idea yang samar-samar akan mengaburkan karya menjadikan karya itu hilang punca sekaligus bercelaru.

Puisi sebagai pernyataan indah - bukan idea semata-mata.  Dalam puisi bukan semua bahasa digunakan.  Ia dapat diterjemahkan dengan licin dan baik menggunakan kata-kata yang sesuai dan tepat iaitu dengan memanipulasikan bahasa.  Dalam puisi ada imej, perlambangan dan kata-kata simbolik.

Penciptaan Puisi : satu proses kreatif - mahukan puisi yang baik mesti serius.  Ia mungkin muncul tiba-tiba atau difikirkan tentang sesuatu.  Namun ia tidak muncul sempurna sekali gus.  Murnikan sebaik mungkin, simpan dan baca lagi hingga ia benar-benar sebati.

Buku yang membuka dimensi baru buat saya terhadap puisi.

Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
ia berkata kepada kekasihnya
"Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta."

Di hari perkahwinannya
ia berkata kepada kekasihnya
"Perkahwinan ini hanya ikatan
tapi kita tak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta."

Di hari-hari kemudiannya
ia berkata kepada dirinya
"Perkahwinan kadang-kadang mengajar kita
melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama."

(memetik petikan salah satu puisi dari kumpulan 'Keberangkatan' di sini)

Thursday, August 26, 2010

Lim Swee Tin berkelana di belantara kata..

Tarikh pulang ialah 28 Ogos 2010.  Beberapa 'menjak' saya mula tinjau-tinjau buku puisi.  Ada sedikit di rak, dan kebanyakannya milik penulis tempatan Brunei.  Saya fikir buku ini boleh membantu membuka pintu akal saya yang begitu daif tentang puisi. 

Saya pun cuba baca.  Sambil duduk, sambil mengereng, sambil baring, atau dalam kereta sambil tunggu tiga H keluar dari bangunan sekolah.  Beberapa muka surat, saya terlelap.  Terjaga semula, ulang muka yang sama, mamai.. Baiklah, lima minit.  Saya pun lelap semula. Kelemahan diri.

Selepas beberapa ketika, saya terjaga dan baca lagi.  Aduh..  Sebenarnya ada yang menarik dan memotivasikan.  Antaranya, penulis ini memberitahu hasil penelitian beliau terhadap puisi, syair dan sajak.  Saya petik sepenuhnya.

'Daripada pantun dan syair saya mengenali cara pemakaian bahasa yang halus.
Pertama, kata-kata yang dipilih tepat dengan gambaran yang mampu dijangkau fikiran kita.
Kedua, kata-kata ini amat indah sebenarnya.
Ketiga, susunan baris yang kemas boleh membangunkan apresiasi.
Keempat, maksud yang hendak disampaikan terang.
Dan akhirnya, dari segi kesan estetik.'
(muka surat 42-43)

Belum habis membacanya tetapi suka saya memetik kata-kata ini - Karya yang baik akan digemari pembaca, menghiburkan serta bermakna.

Thursday, August 19, 2010

Selamat Kembali buat Cik Mat yang diingati

Cik Mat nama panggilannya.  Baik tua baik muda memanggil begitu.  Setiap hari rutin beliau mengambil kanak-kanak untuk dihantar ke sekolah.  Tengahari beliau sudah siap-siap parkir dekat dengan pintu pagar untuk memudahkan kanak-kanak mendapatkan vannya.  Tugas berakhir apabila tamat sekolah ugama pada petang hari.

Tatkala hari hujan Cik Mat menunggu dengan payung.  Kalau ada yang merayau, Cik Mat tunggu dengan sabar.  Kalau ada yang terlewat bangun waktu pagi, lambat bersiap, Cik Mat tunggu juga.  Anak-anak saya pernah menggunakan perkhidmatan beliau.  Hurin pernah kelewatan.  Cik Mat tunggu juga walaupun kanak-kanak lain mula merungut.  "Sabar.. sabar.."  kata Cik Mat.  Pernah Cik Mat memujuk Hurin yang menangis terkejut ketika nak naik van.  Ada katak dalam kasutnya.

Selasa, 7 Ramadan di Malaysia.  Kami mendapat panggilan hampir jam 4 pagi.  Berita disampaikan oleh Cik Nafi, mengabarkan Cik Mat telah kembali ke rahmatullah.  Innalillah hiwainna ilaihirajiun..

Cik Mat rupa-rupanya sakit jantung.

Cik Mat mengadu sakit dada jam 12 malam, dihantar ke klinik dan terus ke hospital Klang.  Arwah menghembuskan nafas yang terakhir jam 1.15 pagi.

Tatkala bertukar-tukar berita dengan Cik Nafi, pengerusi Taman Sijangkang Permai 1, dikhabarkan arwah pernah bertemu doktor.  Doktor telah menasihatkan beliau ke hospital untuk rawatan lanjut.  Bermakna arwah memang ada mengalami simptom serangan jantung. 

Itulah yang membuatkan kami terharu.  Arwah kata, dia banyak tanggungjawab. Tak boleh memudah-mudahkan ambil dan hantar kanak-kanak nak belajar di sekolah.  Mereka nak menuntut ilmu untuk menyuluh hidup di masa depan.  Besar pengorbanan Cik Mat.  Beliau korbankan diri sendiri.

Jadi, arwah mengenepikan keperluan dirinya sendiri.  Sepatutnya beliau sedang mendapatkan rawatan dari doktor.

Kalau masuk wad, siapa pula nak ambil dan hantar kanak-kanak ke sekolah.  Bukan dua trip, tapi banyak trip sampai ke petang.  Bukan kanak-kanak taman sahaja, tapi serata kawasan sekitar.  Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan Cik Mat.  Beliau sahaja yang menolak kadang-kadang kerana lagi jauh lagi banyak masa untuk sampai ke sekolah.  Nanti lewat pula.

Saya pun pernah bawa van tetapi hanya untuk bawa anak-anak sendiri juga anak-anak nurseri.  Itupun tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja.  Tidak bersaing dengan Cik Mat pun.

Cik Mat peramah orangnya.  Kalau bertemu, pasti angkat tangan dan bertukar senyum.  Kerap juga Cik Mat menyalakan lampu sebagai isyarat menyapa.  Paling tidak angkat kepala sedikit.

Mak saya cukup suka mengusik Cik Mat.  Cik Mat pula pandai menyambut gurauan mak.  Kemudian terdengarlah suara Cik Mat yang besar garau ketawa berdekah-dekah.  Mak pula terkekeh-kekeh.  Pantang nampak Cik Mat lalu di depan rumah, tentu terpaksa berhenti kerana ditahan mak.  Ada-ada sahaja storynya..  Sebab tu mak dapat gelaran tak formah, Mak Ngah Joyah.

Jam 10 pagi semalam, jenazah arwah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Sijangkang.  Pergilah seorang insan yang baik budi.  Hanya tinggal kenang-kenangan seorang bekas pengerusi taman yang budiman.  Tinggal ingatan Cik Mat yang besar tinggi agam orangnya.

Kini terpaksalah beberapa orang menjadi bidan terjun mengorbankan masa mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah.  Itulah tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi.

Selamat jalan dulu Cik Mat.  Kami utuskan doa semoga Cik Mat ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman.  Semoga Cik Mat tenang di sana.  Dengan rahmat Allah yang Maha Pengasih mencucuri rohmu.  Semoga Cik Mat berada di satu tempat yang adalah satu daripada pintu-pintu syurga.  Al Fatihah buat arwah Muhammad Tarmizi bin Tajul Arof.

Tuesday, August 17, 2010

Alhamdulillah syukur ya Allah

Satu petang kami menghulurkan sepinggan mee goreng hailam basah
tanpa diduga balasannya ialah kolo mee
nasi yang ditanak pun tak terusik
macam dah terlalu lama tak jumpa mee goreng sedap.

kemudian petang esoknya 
kami  punya nasi goreng dan kari ikan
tiba-tiba kami dihulurkan nasi goreng juga
rupanya nasi semalam yang tak disentuh oleh sesiapa
digoreng campur macam-macam.


tadi ada jemputan dari AJK Masjid Seria
malam ini malam istimewa
pegawai Kementerian Ugama akan sungkai bersama
solat terawih 20 rakaat 
khemah biru dan kerusi biru sudah tersusun rapi
siap dengan pinggan mangkuk sudu dan senduk
angan-angan mahu bersama merai jemputan

tapi rezeki dihulurkan ke tangan sendiri
sedulang hidangan menjelma
ada ayam sambal, ayam goreng butter, gorengan pucuk paku
ditambah lagi dengan membeli mee lambak, kue teow lambak
nun jauh di Restoran Amanah Harith
nampaknya hanya kukus nasi semalam je
dan buat air teh o nipis manis-manis buah
Alhamdulillah

kuih tradisional Kuih Cucur pun ada di sini tau!  Teringat kuih cucur yang pernah uwan buat

sedang selera dijamu
tiba-tiba pintu diketuk perlahan
burger berlapik keju dan kek dihulurkan
Alhamdulillahhhh syukur ya Allah
teringat pula tak semena-mena
tadi ada beli kuih donut
berbagai rupa dan rasa
memenuhi hajat anak yang keletihan berpuasa

bagai rezeki dari langit
yang turun terhidang
disampai-sampaikan oleh huluran tangan-tangan
rezeki yang murah di bulan penuh berkah
Alhamdulillah syukur ya Allah.

Sunday, August 15, 2010

Satu hari, Hanessa dan telatahnya.

Sejuk menggumpal diri di sudut

Tunggu cikgu.  Masih awal. 


Gaya bebas




Nama saya Hanessa



Main pasir, aktiviti kegemaran -  Pantai Seri Kenangan, Tutong.

Tudung berbunga baru beli pilihan sendiri - Miri.

Letihnya




Asyik


Gambar mama saya


Puteri Solehah


Selesai solat berjemaah

Mama, nanti kejut saya nak solat terawih.. (tapi berdengkur-dengkur tak mampu buka mata langsung akhirnya)

Panorama Alam 2


Bercanda di lopak air, di tengah-tengah jalan.  Indahnya suasana.




Pelbagai corak awan yang selalu mengindahkan langit Brunei

Di bawah jaluran pelangi 

Di puncak tinggi merenung alam

Thursday, August 12, 2010

Terima kasih sekali lagi

Hmm.. blog ni bukanlah blog yang mengejar populariti.  Tidak sarat dengan fakta ilmiah atau nasihat-nasihat, atau kata-kata orang alim, atau petikan maksud firman dan hadis.  Cuma ada sedikit di celah-celah, teramat sedikit.  

Kadang-kadang cemburu melihat blogs popular yang sangat cepat mendapat respon dan komen melambak dari bloggers.  Ada puji-pujian terhadap entri yang dikeluarkan.  Memang bagus, kerana ia mengisi kelaparan bloggers yang 'lapar ilmu pengetahuan' seperti kata pembimbing blogger di buku mari belajar membuat blog.  

Tetapi seperti tujuan asal, walaupun sedikit cemburu, tidak mengapa blog ini sunyi dari komen.  Cukuplah melihat ada pengunjung yang datang di 'Tang mana wehh.." tu.  Sebenarnya dah nak delete yang itu, tetapi tidak digalakkan.  Lagipun boleh juga menjadi penguat semangat, ohh ada juga yang baca blog sepi aku ni, hehe.. iyalah, maksud saya selain bapak diorang ni, kakak dan rakan bloggers yang follow.

Oh ya, terima kasih banyak to all followers.  Saya sangat menghargai kesudian anda, dan saya akan terus mengucapkan terima kasih kerana anda menjadikan blog ini sedikit lebih bererti buat saya sendiri.  Ada kenalan baru nampaknya; Rose.  Saya dah ziarah dan follow blog dia pulak.  Terima kasih Rose.  Dan ada  jugak orang yang kejap hilang kejap ada.  Hehe.. Kalau nak tambah followers jadi lebih ramai, boleh.. caranya macam petua bloggers  - selain bloggers luar yang tertarik untuk add dan follow, juga kita pakatlah dengan suku-sakat sedara mara dan sahabat handai supaya saling meng'add'..  

Saya sudah jarang dapat ziarah ke blog lain.  Hanya buka Naqhuhines dan fb.  Nak buka email pun selalu sangkut, payah nak bukak dari sini.  Saya menggunakan B-mobile, sekitar $1 untuk satu jam.  Di perpustakaan boleh juga tapi nak ke sana selalu tu payah sikit.  Jadi macam cuti-cuti ni dapatlah menumpang laptop abah Hanessa, atau sebelah malam dia pulang dari kerja.  Laptop sendiri belum upgrade lagi.  Cuma untuk menulis dan save dalam thumbdrive.  Itulah payahnya, bila diedit dari laptop suami, nak tengok di laptop sendiri dah tak boleh.  Leceh betul, tapi sabar saja la...  

Sebenarnya saya lebih selesa berada di blog yang 'cool' macam ni.  Saya tidak tertekan oleh tuntutan menulis.  Bila ada idea, tulis.  Tak de idea, tunggulah dulu.  Slow tapi steady.  Yang lebih penting, ada sesuatu untuk dibaca oleh Naqhuhines nanti bila-bila masa, tentang diri mereka, tentang ibu dan abah mereka, tentang apa sahaja yang berkaitan atau tidak.  

Baiknya menulis di blog ialah, saya sendiri merasakan dorongan untuk menulis dengan berhemah dan sebaik-baik cara mengikut kemampuan. Kadang-kadang sesuatu peristiwa itu kalau tidak dirakamkan, ia akan berlalu begitu sahaja.  Salah satu cara ialah menulis pengalaman itu dengan segala perasaan yang ada, sedikit komen dan penilaian.  

Kadang-kadang ia peristiwa lucu, sedih, indah dan luar biasa yang hanya sekali sekala berlaku.  Sayang andai dibiarkan peristiwa begitu berlalu tanpa mengambil sedikit peringatan dan pengajaran kalau ada.

Namun tidak dinafikan, tajuk-tajuk yang menjerat memang menjadi.  Entri-entri dengan tajuk sedemikian sangat banyak dikunjungi oleh bloggers.  Itu satu teknik mempopularkan entri sekaligus blog juga. 

Hanya saya suka menulis apa yang saya suka tulis.  Berjuta blog di luar yang padat dan sarat dengan segala informasi berguna.  Ini hanyalah blog picisan berbentuk kekeluargaan.  Apa yang pasti, ia menjadi rakaman perjalanan sebuah kehidupan, dan sesuatu yang menarik apabila saya seperti semakin mengenali diri sendiri setelah beberapa ketika menulis di sini. 

Setelah menulis, biarpun sudah terlalu lama entri itu, kadang-kadang ia muncul dalam ingatan dan saya memikirkannya semula.  Seolah-olah cuba menganalisa pula.  Benarkah?  Ok kah?  Betulkah?  Macamlah penting sangat.  Tapi penting juga, supaya tidak menjadi biawak yang lidah bercabang.

Itulah, saya keluarkan entri mengenai Facebook Melalaikan.  Kutuk la tu.. time terkena.  Tapi bila dah duduk jauh-jauh dari sanak saudara dan sahabat handai macam sekarang, saya akuilah fungsi fb  mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang renggang.  Manakan tidak, hampir semua kenalan  kecil besar sudah ada fb.  Walaupun tidak aktif, tapi kalau ada sesuatu nak dibicarakan, mudah sahaja.  Klik di hujung jari, gitu.  Jimat belanja jugak, bil telefon dan top up.

Kalau pepatah lama mengatakan perbuatan macam ni macam meludah ke langit. Hmm walau bagaimana pun penggemar fb perlu terus berhati-hati dengan kemudahan ini.  Semakin lama semakin menarik isu dan games di sana.  Anda lebih mengerti daripada saya.  

Saya hanya membayangkan andai satu hari tiba-tiba semua ini tidak ada.  Buka laptop klik connection berjam-jam tapi tak ada internet.  Atau klik facebook tak ada apa yang keluar, kosong je.  Lebih haru kalau klik http://naqhuhines.blogspot.com, skrin hitam je... apa dah jadi dan apa akan jadi?  Seluruh dunia pasti terkejut dan gempar!!

Sekian, selamat berpuasa, selamat berblog, selamat berfb, selamat semuanya.  Selamat melayari kehidupan dengan sebaik-baiknya.  Senyum selalu.


Tahap Kritikal

  Bulu matanya lentik seperti anak bulan..


Dia berasal dari India.  Ketika ibunya bertanya kelas tusyen Bahasa Melayu, saya pun menawarkan diri.  Sudah masuk bulan kedua dan dia sudah sampai ke buku 6.  Saya cerewet tetapi dia tidak mengulangkaji di rumah.  Ibunya pun tidak fasih Bahasa Melayu.  Hanya angguk dan geleng yang lebih.  Maka 'tahu' menjadi 'tahi'.  Kadangkala saya tidak dapat menahan diri tergelak kuat mendengar dia menyebut perkataan yang salah.  Tetapi cepat-cepat saya berhenti kerana amatlah tidak baik mengetawakan murid saya yang comel ini.  Biasanya saya serius sahaja dan saya agak dia merasa sedikit gerun.  Cuma Hurin suka membuat aksi lucu yang menyebabkan dia tertahan-tahan ketawa.

Sejak akhir-akhir ini saya lihat tulisan berangkai yang cantik istilah BI di atas beberapa perkataan. Saya mengerti sendiri tentu Rohidh tidak memahami apa  yang dibacanya selama ini, jadi ibunya telah menuliskan makna perkataan itu untuknya.  Saya pun sejak itu cuba menerangkan makna-makna perkataan dengan menggunakan Bahasa Inggeris, memek muka, aksi atau suara yang boleh membuatkan dia faham.  Rohidh selalu mengangguk-angguk, mengulang semula perkataan saya perlahan dan ketawa melihat aksi saya berlakon-lakon. 

Kadang-kadang saya agak putus asa kerana dia tidak begitu mahir Bahasa Inggeris.  Tetapi daripada tak faham langsung, sekurang-kurangnya puas hati juga melihat dia ketawa dan macam faham. 

Kini sudah ada tiga pelajar kritikal, iaitu Hurin, Rohidh dan saya sendiri. 

Hurin perlu menggandakan usaha untuk menyaingi kawan-kawannya di sekolah.  Nampaknya ada peningkatan dalam subjek bacaan seperti Sejarah.  Bahasa Melayu masih skor.  Matematik dan lain-lain kurang memuaskan.  Memang kritikal, PSR akan bermula selepas riang ria hari raya, iaitu 4 Oktober nanti.

Rohidh juga perlu menggandakan usaha untuk menguasai Bahasa Melayu.  Namun kesnya tidak terlalu kritikal.  Dia ada banyak masa untuk membaiki penguasaannya.  Cuma dia kenalah banyak membaca dan menyemak perkataan di kamus bergambar.

Saya pula? 
Ohh.. saya memang di tahap serius lagi kritikal.  Apa tidaknya... setelah ke sana ke sini terlonta-lonta, barulah saya sedar saya menyukai Sastera.  Tatkala meneliti tajuk-tajuk buku di rak, saya teruja melihat buku-buku rujukan aliran Sastera untuk PMR, SPM dan STPM.  Saya beli untuk rujukan sendiri sebuah buku peribahasa yang agak lengkap untuk pelajar SPM.  Apa yang pernah dipelajari waktu sekolah dulu tentulah tidak cukup untuk melengkapi penulisan.  Saya hanya menyedari ini tatkala saya sudah beranak 4, setelah saya mendaki usia dewasa. 

Itulah yang pelik lagi menghairankan.  Waktu sekolah dulu, saya dimomokkan dengan pandangan aliran Sastera untuk pelajar kurang berpotensi atau kurang pintar.  Kini saya rasa ia adalah sesuatu yang jauh dari benar. 

Saya mencintai Bahasa Melayu.  Hingga saya berangan-angan satu ketika nanti bahasa ini akan muncul lagi menjadi bahasa antarabangsa.  Orang bermata sepet berkulit kuning, orang tinggi besar berkulit putih, orang berhidung mancung berambut perang, orang berambut ikal bermata jeli; mereka semua berbicara menggunakan Bahasa Melayu!

Terlalu banyak yang saya tidak tahu tentang Sastera.  Jadi, memang saya pelajar kritikal di tahap kritikal dan perlu mengganda-gandakan usaha untuk memasuki kelompok orang-orang Sastera. 

Dan saya sedang memulai langkah awal.  Kini, beberapa ketika kebelakangan (baru sahaja), saya mula asyik membaca.  Saya pinjam buku-buku dan novel-novel yang memenangi hadiah.  Barulah saya menyedari, ada banyak yang saya tidak ketahui.  Terasa begitu kerugian membiarkan bertahun-tahun berlalu tanpa buku, atau tidak dapat menghayati pembacaan.

Kini saya di tahap kehidupan yang agak tenang.  Si kecil sudah 5 tahun.  Kami perlu menggalakkan mereka membaca sebagai jambatan ilmu.  Namun dalam ketenangan ada semangat dan kegusaran juga. 

Mungkin perlu meneroka fikiran bawah sedar.  Apakah yang telah dirancang oleh diri tanpa sedar?  Andai ia merugikan diri, perlu dibaiki dan ditanam azam-azam baru yang membawa kebaikan.  Usah takut mengejar kejayaan.  Usah ngeri mendaki puncak. 

Sempena Ramadan yang mulia penuh berkah.  Marilah bersama mengorak langkah.  Mencapai cita-cita dan impian yang diinginkan. 

Bismillah.. dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

Kejayaan ummah dunia dan akhirat buat semua; kami, kamu dan kita bersama.  Insyaallah.

Tuesday, August 10, 2010

Bulan Penuh Rahmat menjelma lagi

Alhamdulillah.  Masih ada umur untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan berkah. 

Marilah bersama menguatkan azam untuk memenuhi malam-malam Ramadan dengan amal ibadah yang sudah dijanjikan Tuhan pahala berlipat kali ganda berbanding malam-malam lain.  Bulan di mana sudah dijanjikan keampunanNya, pintu-pintu neraka ditutup tanpa satupun dibiarkan terbuka.  Syurga-syurga dihiasi seindah-indahnya dan udara harum bertebaran merata, semua pintu-pintunya dibuka selebar-lebarnya tanpa satu pun dibiarkan tertutup.  Para bidadari pun berhias diri dengan segala perhiasan yang disediakan untuk mereka.  Jadilah mereka permata marjan yang kepalang indah, semakin indah jadinya.

Hidayat akan bercuti sekolah ugama selama satu bulan sepanjang Ramadan.  Pelajar pra, darjah 1-3 semuanya.  Manakala pelajar darjah 4-6 akan ke sekolah mulai jam 12.30 pm - 2 pm.  Separuh hari lagi mereka akan berada di rumah.  Semua pejabat kerajaan ditutup jam 2 manakala swasta bermula jam 4 pm.  

Demikianlah jadual harian sebulan ini.  Dengan kelapangan masa yang panjang untuk merehatkan diri yang lelah, semoga kita semua dan anak-anak dapat lebih menghayati ibadah di Ramadan yang mulia.  

Alhamdulillah juga, Hurin semakin sembuh dari sakit tekaknya.  Sejak semalam dia memberitahu tekak semakin kurang perit.  Dia kini sedang menghabisi set tiga botol ubat Homeopathy yang didapatkan dari satu-satunya (sepanjang pengetahuan kami) klinik homeopathy di sini, milik rakyat Malaysia.  Kata cikgunya, dia perlu mendapatkan lagi ubat-ubat itu sehingga sakitnya benar-benar sembuh.  

Buat masa ini, sehingga dibaiki apa yang tak kena, internet tidak akan dapat dibuka dari rumah.  Entah di mana silapnya, error memanjang apabila try connection or redial.  Hmm.. kena la tunggu ia dibaiki oleh rakan sekerja cik abang.  

Kemungkinan hari ini hari terakhir makan siang.  Esok atau lusa akan berpuasa.  Selamat berpuasa buat anda!  

Psst.. puasa qada dah settle ke?  Gurau je, hehe..

Friday, August 6, 2010

Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait

Gembira sungguh rasanya apabila mata terpandang bangunan biru tercegel tidak jauh dari roundabout paling hening. Tertera perkataan memperkenalkan statusnya iaitu Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait, Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei Darussalam dengan logo khas di puncaknya. Hurin bersorak-sorai. Akhirnya bertemu juga kami dengan bangunan yang ingin dicari-cari semenjak 5 bulan lepas.
Moden dan serba lengkap

Mudah sahaja rupanya lokasi perpustakaan ini. Ikut sahaja laluan ke Kuala Belait melalui jalan lama dari Seria. Tegak ke angka 12 di dua bulatan besar yang akan ditempuhi. Cukup mudah!

Sudah dua kali saya ke situ. Pertama kali bersama Hurin, ketika membawa dia pulang dari hospital Kuala Belait tempohari. Kami meminjam empat buah buku sahaja kerana saya khuatir tidak sanggup menghabis baca buku-buku itu seperti selalu.
Masjid berkubah hijau di bahagian belakang perpustakaan

Kali kedua pada Isnin lepas, 1 Ogos, untuk memulangkan buku-buku itu yang lebih awal dapat diselesaikan membacanya. Hanya 15 minit dari Seria. 15 minit dari rumah saya pula. Cuma pemanduan berhemah membuatkan perjalanan singkat menjadi lambat. Jalan begitu lurus membuatkan saya menahan geram. Kenderaan bergerak berkumpulan saling mengekori di kedua-dua lorong jalan lama ini. Saya perlu menjaga imej pemandu Malaysia yang antara paling terpercaya di sini. Kalaulah di sana, tidak saya, pasti ada pemandu-pemandu ranggi yang sudah berdesup jauh lalu menghilang. Di sini pun ada, Ferrari, Porche, Lotus yang lebih kerap ditemui di BSB.

Saya sudah menetapkan buku-buku yang perlu dipinjam seterusnya. Apa yang pasti, buku karya kreatif FT mesti saya pinjam. Aneh, saya tidak mengantuk membaca buku tulisannya. Itu petanda saya amat tertarik dan tulisan itu berjaya menarik hati saya. Padanlah dia memenangi hadiah novel sastera. Ada pengetahuan dan perjuangan dengan bahasa yang lancar indah.

Kali ini saya meminjam lapan buah buku. Tatkala mengambil buku puisi, saya rasa resah. Novel hantu berbahasa Inggeris. Buku panduan hak cipta penulisan. Buku cerita rakyat dan edisi khas trilogi cerpen yang tebal hingga menakutkan saya pula.

Dan, alhamdulillah, saya berjaya menghabisi karya kreatif FT pada hari pertama. Buku kedua dan ketiga pada hari seterusnya. Saya mula menikmati bahan bacaan dan melihat perbezaan-perbezaannya. Ada karya hebat dan ada karya sekadar hiburan. Dengan mata yang kabur, saya akan terus membaca, insyaallah.

Kini kembali kepada novel hadiah dari penulis tersohor yang amat saya hormati. Saya berhenti membaca novel beliau beberapa ketika, dan memulai semula dengan penghayatan yang lebih baik. Dapat dibayangkan gambaran ceritanya, dan mendengar debaran jantung sendiri. Saya berkali-kali menahan kemahuan melompat terus ke perenggan di muka sebelah. Saya mesti membaca dengan berhemah. Menjadi pembaca yang baik, dan tidak membuat konklusi cerita memandai-mandai. Memang beliau penulis yang hebat. Patutlah kerap menggondol tempat terbaik di pertandingan.

Maaffff.. saya berkata apabila mata melirik ke novel-novel tebal bersadur potret wajah romantik. (Mengapa kebelakangan ini saya kerap melihat novel-novel berwajah Pan Asian bertudung dan berkopiah di kulit luar novel-novel ini? Muka orang Melayu asli dah tiadakah?) Apakah satu ketika saya wajib meminjam novel tebal ini pula? Hmm..mungkin juga, dan membacanya dengan penghayatan yang cukup tinggi. Mampukah aku tanpa rasa terseksa?

Buku hantu itu! Kadang-kadang awak perlu berpura-pura suka, dan awak benar-benar akan suka. Saya pun menghadap buku hantu itu dengan penuh selera lalu menghabisinya tidak sampai ke petang. Tiba-tiba celakanya elektrik putus, ruang rumah yang bertutup rapi menjadi gelita dan terbayang-bayang muka hantu di kulit buku. (Seram sangat ke..? Tak pun, novel remaja je. Habih tu?)

Koleksi puisi yang tebal itu! Biarlah aku berpura-pura sendiri. Akan kuteliti setiap perkataan dengan ghairah yang hebat hingga ke noktah terakhirnya. Moga-moga memberi kebaikan dan tidak lagi kepura-puraan yang menyeksakan.

Kata seorang editor persendirian, saya mesti banyak membaca karya sasterawan. Menulis sesuatu perjuangan dan mengeluarkan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan sejagat melalui tulisan. Itulah yang ditekankan oleh penulis pembimbing saya. Itulah yang saya sedang fikirkan. Apakah perjuanganku?

Saya terhenti usaha menyiapkan bab di novel. Saya baiki cerpen awal remaja dengan bahasa yang saya fikir sesuai. Namun kata pembimbing, bahasa saya masih tidak secocok untuk remaja. Dia menyuruh saya memikir-mikir untuk novel dewasa atau akhir remaja.

Waktu ini, hati saya melonjak-lonjak hendak membaca karya Pak Hamka dan Kisah 1001 Malam. Masih belum berjumpa di perpustakaan Kampung Pandan. Ada ke tak ada, wallahualam.

Wednesday, August 4, 2010

Dia Tak Kisah..

"Lain kali kalau ada orang cakap macam tu, lempang je!"
Dia tertawa.  Pipinya yang tembam semakin tembam kelihatan.  Matanya bercahaya dan giginya terpamer putih bersih.

"Kamu ni lurus sangat!!"
"Kamu tak kesah ke budak sebaya ingat kamu makcik?  Sampai panggil kamu auntie lagi."  Saya sedikit sesal.

"Takkkk.."  sahutnya bersahaja, masih gelak-gelak.

Macam tak ada perasaan je.

"Kamu suka, orang tanya kamu ni bibik abah?  Atau orang ingat kamu adik mama?  Lebih teruk orang keliru antara mama dan kamu!"

Saya diam.  Satu ketika pasti kekeliruan tidak akan berlaku lagi.  Perbezaan akan semakin ketara.  Yang muda semakin remaja dan yang tua semakin menuju tua.  Namun buat beberapa ketika kekeliruan mungkin berlaku beberapa kali lagi.  Hehh..

Dia ketawa lagi. 

Saya tak terkata apa.  Abahnya pun tertawa sama.  Dia belum ada perasaan segan dengan keadaan dirinya.  Kami semua sayangkannya.  Tidak ada istilah pilih kasih.  Insyaallah setakat hari ini kami sayang sama sahaja.  Semuanya anak-anak yang kami kasihi.  Walau sekali sekala ada juga mulut-mulut mongel yang gatal mulut bertanya siapakah yang paling dikasihi di antara mereka.  Termasuklah dia.  Jawapannya tetap sama.  Oleh itu dia tidak pernah rasa terpinggir.

Hanya kami, lebih tepat, saya sendiri, terperasan kadangkala ada juga sikap-sikap memilih tetapi tidak perlu diendahkan kerana ia dari orang luar.  Bukan dari kami.

Dia memang tidak kesah dengan keadaan dirinya yang montel.  Hanya dia selalu marah kalau adik-adiknya mengata-ngata keadaannya yang begitu dengan perkataan-perkataan berbisa yang menyakitkan hati, apabila mereka berselisih pada waktu-waktu tertentu.  "Gemuk, gedempol, hitam berkilat, gemuk, gemuk, gemuk" yang diulang-ulang semata-mata untuk menyakitkan hati si kakak yang sedang berang.

Itu waktu gaduh-gaduh.  Kalau waktu berbaik-baik, adik-adik yang bermulut lancang tadi akan duduk dekat-dekat sebelah kiri dan kanan kakak menganga mulut.  Lalu kakak yang sedang menyuap pun dengan senang hati menyuapkan adik-adik yang tiba-tiba jadi manja tak menentu.

Ada pula kalanya Hanessa begitu teringin berbuai kain.  Dia pun dengan rela hati mengendong si adik dengan kain pelikat yang disandang di bahu sampai dia kelelahan.  Kadangkala kakinya yang tegap dipeluk si adik yang meniarap di lantai sekuat-kuat hati.  Apabila kakak menarik kakinya, adik pun menjadi 'mop lantai' sambil tertawa-tawa.  Kekadang juga usai solat, si adik terus menerpa ke pangkuan kakak berbaring mengada-ngada. 

Kadang-kadang rasa amat kasihan padanya.  Hatinya tercalar oleh kata-kata dan usikan yang berbagai.  Pernah ada yang bertanya tentang warna kulitnya.  Mereka banding-bandingkan dia dengan abangnya, yang hanya dilihat di gambar sahaja.  Mereka bertanya mengapa dia terlalu hitam.  Mereka mencemuhnya.  Macamlah mereka tu putih sangat.

"Tak mengapalah, biar kulit hitam asal hati putih.  Mulut tempayan tak mungkin dapat ditutup.  Kadangkala kita tak tahu mengapa orang suka pada kita, demikian juga akan ada orang yang tak pasal-pasal benci kita.  Itu lumrah biasa.  Mama pun sama.  Semua orang begitu.  Rasulullah s.a.w. pun menghadapi perihal serupa.  Yang penting kita tunjukkan akhlak yang baik dan, belajar sungguh-sungguh,"  pesan saya setiap kali dia mengadu dicemuh-cemuh kawan-kawan.

Sungguhpun demikian, syukur kerana di celah-celah kelompok yang buta warna, ada juga yang baik dan sangat menghargai kehadirannya.  Maka setiap hari dia menceritakan perihal kawan-kawan yang baik dan menggembirakannya dengan pelbagai telatah lucu.  Selepas dia mengalirkan airmata kesedihan, dia akan tertawa pula.

Sesungguhnya, yang memuliakan kita ialah Yang Maha Mulia, Yang Memiliki Segala Kemuliaan dan milikNYA lah segala kemuliaan.  Ya Allah, muliakanlah kami di dunia dan di akhirat,.  Selamatkan kami dari kehinaan dan sembunyikanlah keaiban kami.  Ampunilah segala dosa-dosa kami dan kasihanilah kami.  Ameen ya Rabbal Alamin.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing