Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, June 26, 2010

Boleh ke percaya? Mengapa tidak?

Salam buat semua. Sudah lama tidak mengunjungi blog-blog lain. Malam ini alhamdulillah berkesempatan menjenguk-jenguk sambil menunggu Sifu mengedit bab 1 novel pertama tanpa tajuk. ALhamdulillah. Dan tertarik pula pada entri dengan tajuk yang menimbulkan tandatanya ini. 'Boleh ke percaya cerita sebegini?'

Bagi saya, terpulang pada anda. Tak salah menerima cerita ini kerana tidak mustahil ia berlaku. Andai benar-benar wujud seorang Syamimi yang sengsara sedemikian rupa, tidak mustahil TUHAN memudahkan dengan caraNYA yang di luar jangkauan pemikiran kita. Mengapa rasa pelik? Mengapa perlu hairan? Tetapi baguslah begitu, itu tandanya kita prihatin dan peka, bahawa ada banyak perkara yang ajaib yang tidak kita ketahui lagi. Seperti kita pelik dan hairan menatap akhbar harian, dengan pelbagai kisah dan cerita. Bukankah dunia ini juga tempat yang pelik dan ajaib? Diri kita? Sudah mengerti seluruh pelusuk hingga urat yang halus dan molekul yang seni?..

Ewahh.. melalut lebih-lebih pulak. Hanya ingin berkongsi cerita 'lama' yang disegarkan semula oleh pengirimnya (terima kasih banyak2 atas perkongsian ini) yang membuatkan bulu roma meremang, saya paste bulat-bulat dari sana. Selamat membaca..

"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
Boleh ke percaya cerita sebegini???
« pada: 18 May, 2010, 11:45:09 AM »

Aku mati kata2 untuk membuat ulasan terhadap artikel yg dikirimkan oleh seorang insan bernama sahabat yang dugaanya hampir sama dengan ku..malah aku rasakan lebih berta apa yg ditanggunnya berbanding diriku...hanya deraian air mata keinsafan yg menyedari kekilafan diri...kehinaan diri yang mula bersikap putus asa dengan pertolongan Allah swt... malah keyakinan ku makin luntur untuk meyakini bahawa Allah swt sentiasa bersama-sama denga orang yang bersabar...aku semakin tewas dengan ujian sekecil cuma...padahal ada insan lain yang dugaannya lebih hebat tetapi masih teguh keimanannya...sungguh aku menagis kerana teramat malu...mengutuk kehinaan diri...
Allah swt menguji bukan untuk menzalimi...tetapi untuk mengangkat darjat hambanya jika ia bersabar...ataupun menggugurkan dosa2 sebelumnya jika ia redha...

Aku memilih untuk berkongsi bersama-sama teman...bacalah moga kalian memperoleh kebaikan darinya...

Mimpi Pelajar UIA Bertemu Rasulullah s.a.w.

Luangkan masa kalian untuk membaca.. ambil peringatan dari Baginda Nabi sempena keputeraannya tahun ini.. tunjukkan kecintaan pada Rasulullah s.a.w...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...



Ya Allah..lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga dr seorang insan yg dipilih Allah utk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.



Nama yg dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud 'kesayanganku', jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah2an suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.



Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.



Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.



Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri. Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama' yg faqih dalam ilmu perubatan islam serta akhir sekali bertemu sorang lecturer di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.



Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi utk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yg digagahkan, beliau ke bilik air utk berwudhu' dgn memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg mungkin dah tak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd Rasulullah s.a.w. sendiri.."



Kemudian beliau pengsan. Sahabat2 sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, sahabat2nya telah pun 'forward message' pd rakan2 yg lain agar dibacakan surah Yasin kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dgn nombor2 ahli keluarganya utk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah. Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dgn tenang dalam waktu qoilullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dgn tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.



Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dgn wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2, siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, "Assalamu'alaikum, ana Rasulullah.." Subhanallah..baginda Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!


Kemudian Baginda Nabi s.a.w. berkata: QalAllahuta' ala; "InnaAllahama' assobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp diterjemahkan di sini) ; "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti pelihara di dlm hati, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana.." Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya "Ya Allah..Baginda kenal ummatnya!". Ya Rasulullah... Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.


Kemudian Nabi katakan lagi; "Sampaikan salamku buat sahabat2 seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.." Nabi s.a.w. kemudian melafazkan; "Ummati.. ummati..ummati..." dan beliau nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg suci mengalir utk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, "Jangan pergi Ya Rasulullah.." tetapi Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini? wallahua'lam...



Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya "Jangan pergi Ya Rasululah..." Beliau kemudian menceritakan kpd para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.



Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi drpd kalimah Alhamdulillah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.



Usai solat Zuhur, rasa sakit yg ditanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri utk tidak menangis. "Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ini berbanding nikmat yg Allah telah bagi utk melihat Baginda Nabi s.a.w.."



Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan "Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah..." Kemudian dgn izin Allah, datang empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; "Assalamu'alaikum Ya Syamimi..Rasulullah s.a.w. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa' ar-rasyidin. Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali.." Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yg amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yg cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.



Para Sahabat mengatakan; "Kami diutuskan oleh baginda Nabi utk membantu enti.." Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:

"Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan 'sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.' Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu.."



Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2 yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yg sakit dahulu ditukarkan Allah s.w.t. dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg setahun lebih ditanggung beliau dgn sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan; "Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.." Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi meninggalkannya.



Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dgn mudah . Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah..dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.." Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah s.w.t. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan.."



Beliau berpesan pada kami; "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar..."



p/s: sunGguh...berderaian air mataku mengalir..daku rindu akan dirimu..Ya Rasulullah!
(kisah ini dinukilkan oleh sahabat Syamimi hasil pengalaman benar yang telah dilalui..pernah disebarkan melalui e-mel & blog sebelum ini..aku hanya memaparkannya kembali buat renungan bersama, sempena keputeraan baginda Rasul tahun ini..m0ga ada hikmah pGajaran yG dapat diambil)

Wednesday, June 23, 2010

Bertemu Kenalan Lama

“Bila sampai sini? Terus menetap di sini ke?” Wanita hitam manis itu merenungku dengan matanya yang bersinar-sinar sambil tersenyum mesra, membuatkan lesung pipit yang menghiasi kedua-dua pipinya bertambah lekuk ke dalam.
“InsyaAllah. Hmm..hujung bulan Mac lepas sampai dah..” balasku juga dengan huluran senyum kepada Kak Esah yang peramah.

Kemudian aku kembali memandang Kak Hudziah, yang kami panggil Kak Fuziah sahaja, Hudziah atau Fuziah lebih kurang sebutannya. Wanita peramah dan periang yang comel ini semakin rendang tubuhnya, sekarang membuat coklat enak pula untuk diniagakan. Kak Fuziah benar-benar terkejut apabila mengetahui kami sudah lebih dua bulan berada di bumi minyak ini. Bertalu-talu dia bertanya dengan separuh sesal, mengapa aku hanya mendiamkan diri dan tidak berkunjung ke rumahnya. “Tak nak kawan Onn.. tak nak kawan Onn..” katanya dengan senyuman riang nada bercanda kerana aku disembunyikan daripadanya. Mungkin baru puas hatinya berkata begitu biarpun suamiku entah di mana tidak mendengar pun apa yang diungkapkannya itu.

“Datanglah rumah akak. Betul-betul kat bandar. Macam-macam ada! Intan pakai apa..?” tanya Kak Fuziah lagi. Nampaknya aku mendapat perhatian sepenuhnya dari tetamu Kak Piah yang seorang ini.
“Pakai apa, kak?”

Kak Fuziah ketawa lepas melihat aku yang terpinga-pinga tidak dapat menangkap maksudnya. Lantas dia menyapu-nyapu tapak tangan kanannya di pipi.. Ohh.. bedak, make-up? Kak Fuziah mengangguk-angguk dan ketawa lagi mempamerkan barisan giginya yang berderet rapi.

“Saya pakai campur-campur, entah brand apa..”
Ketawa lagi. “Haa.. datang rumah akak, macam-macam ada tau!” Tak sudah Kak Fuziah terus memancing hatiku. “Malam minggu ni, tidur sekali ya.”
“Huh, patutlah Onn takut nak bawak saya, sebab macam-macam ada!” sela ku sambil ketawa geli hati. Kami terus ketawa bersama, riang dan penuh mesra, sama seperti dulu-dulu, tidak berubah.

Kali terakhir kami bertemu ketika aku sekeluarga membuat kunjungan ‘surprise’ ke rumah keluarga Kak Fuziah di Kajang setelah mendengar khabar beliau mahu mengahwinkan satu-satunya anak perempuannya; Intan. Namun yang terjadi adalah sebaliknya apabila kami pula yang terkejut kerana majlis telah usai semalamnya lagi. Kami tidak mendapat jemputan setelah terputus hubungan hampir 10 tahun lamanya. Dan malam tadi, kami bertemu lagi. Intan pun ada bersama sambil mengendong cahayamatanya yang sudah berusia 8 bulan, yang baru menyambut ulangtahun pada petangnya tadi.

Kami semua berada di rumah Kak Piah, memenuhi jemputan beliau yang mengadakan kenduri bacaan Yassin dan Tahlil, yang dibawakan oleh Ustaz Abdul Rahman, suami Kak Esah yang berlesung pipit itu, antara orang Malaysia yang paling lama telah menetap di bumi minyak ini sejak masih muda belia. Tadinya, sebelum majlis bermula, ketika baru tiba, Ustaz Abdul Rahman yang masih segak dan tegap itu sama seperti 12 tahun lepas rupa penampilannya, seperti mencari-cari seseorang, berdiri di hadapan kami yang duduk bersimpuh di sudut ruang tamu, dan aku hanya tersenyum (tapi tidak disambut pun)sambil beragak-agak hendak menegur, tetapi segan pula kerana wibawa Ustaz (dan huluran senyum yang tidak disambut tadi) lalu hanya tersenyum separuh.

“Mana tuu.. haa.. sapa??” katanya tiba-tiba sambil terus memerhatikan kami tetapi lebih kerap melihatku. “Intan!” suara Kak Esah yang duduk di sofa bersetentangan dengan Ustaz berdiri mencelah menyambut soalan suaminya, yang kurasa dari awal memerhatikan lagak suaminya itu.
“Tuu haa…” mata Ustaz terus singgah padaku saling bertembung pandang lagi. Saling berbalas senyum dengan rasa hormat dan mesra.
“Saya Ustaz,” Aku menjawab serentak dengan sahutan Kak Esah.
“Apa khabar Ustaz?” sambungku dengan rasa segan.
“Ni yang lahir di sini dulu kah?” tanya Ustaz sambil angguk-angguk kepala, menjawab pertanyaanku sekali gus menunjuk ke arah Ain. Aku pun angguk-angguk kepala. Ustaz senyum.
“Yang lagi sorang mana? Yang sulung tu?” Naqiblah maksudnya tu, yang selalu kami kendong ke mana-mana sahaja termasuklah ketika berkunjung ke rumah beliau.
“Yang tu kat sana..”

Kemudian, Ustaz beredar tatkala semakin ramai kaum wanita muncul di sekitar mencari ruang untuk melabuhkan punggung. Aku pula merasa puas, kerana masih dikenali di kalangan kenalan lama. Mereka masih ingat seperti aku juga ingat pada mereka.

Selain Kak Esah yang terkenal dengan keenakan masakannya yang sudah lima belas tahun bekerja di dapur Istana, yang aku rasa hanya Kuih Koci Kak Esah sahaja dalam dunia ini, yang benar-benar serupa dengan Kuih Koci buatan arwah Nenda Sariah binti Ibrahim yang aku rindui yang sangat teliti dalam pekerjaannya itu sehingga aku selalu mampu menghabiskan begitu banyak kuih itu kerana terlalu enak, lembut dan lemak dengan inti kelapa muda terpilih yang diparut perlahan tidak mencecah bahagian tempurung yang bakal mencemar kelapa parut yang putih suci, kemudian dimasak bersama gula anau atau gula kabung buatan paling sedap di kampung hingga kering dan aku selalu mencuri-curi menjamahnya, kemudian dibungkus lalu dikukus sesudah menyelimutinya dengan sesudu demi sesudu pati santan lemak masin yang paling pekat.

Aku juga bertemu dengan Cik Li dan isterinya Shima yang kini ditemani anak perempuan comel berumur 8 tahun. Mereka ini di antara rakan-rakan lama yang pernah berkawan mesra sebelum kami kembali ke tanahair pada 1998 yang lepas. Shima masih ramping dan semakin ‘loyar buruk’ sepadan dengan Cik Li yang lupa-lupa ingat umur anak keduanya yang berada di bumi Malaysia sekarang ini. Katanya, dirinya haram dimakan kerana sifat dirinya dua alam. Amfibia la tu, sahutku tapi tak didengarinya. Hisy, umur anak sendiri pun tak ingat, sebab asyik menyelam sahaja, rungutnya kepada diri sendiri sambil menggaru-garu kepalanya yang berambut lurus nipis, sedang misainya bergerak-gerak terbang ditiup angin suaranya dan angin kipas di siling ruang tamu itu. Kami tergelak-gelak melihat kelucuan Cik Li, berbeza benar dengan raut wajahnya yang bermisai melintang dengan mata tajam merenung garang tapi serabai sederhana hanya memakai baju ‘Pagoda’ putih dan seluar slack coklat kelabu, seperti seseorang yang ‘melarikan diri’ sebentar dari pekerjaan yang tidak pernah selesai untuk memenuhi jemputan kenduri. Aura seorang pensyarah yang pasti digeruni oleh para pelajar beliau, namun di sisi kawan rakan, adalah seorang teman yang menceriakan suasana.

Selesai membungkus Nasi Beriani Ayam masakan Abang Ayob si tuan rumah yang juga chef di Istana, kami saling bersalam-salaman hingga ke kereta. Tiba-tiba Ain menyampuk, “Abah, Ain lum solat!”
“Hah.. masuk balik pergi solat. Karang tak payah berhenti mana-mana lagi,” arah suamiku sambil memberi isyarat supaya aku menemani Ain masuk semula ke rumah Kak Piah. Jam hampir 11 malam, tentu Ain, Hidayat dan Hanessa akan melentok-lentok ke kiri dan ke kanan di dalam kereta sebentar lagi.

Tidak lama kemudian, suamiku muncul di ruang tamu bersama-sama tuan rumah, “Assalamualaikum, kami baru sampai nii..” ucap suamiku bersahaja. Beberapa tetamu yang masih bersantai tergelak.
“Duduklah Onn, kau nak air apa? Nanti Kak Piah buatkan air kopi,” isteri Abang Ayob yang peramah dan mesra dengan senyuman menuju ke dapur.

Tidak lama kemudian aroma segar air kopi panas merebak di ruang tamu. Sementara itu, Kak Piah memanggil-manggil aku untuk mengambil lagi Nasi Beriani Ayam yang sudah dibungkusnya di dalam plastik sederhana besar, setelah aku sendiri membungkus tadi bersama-sama Kak Lang Zai sambil tergelak-gelak dengan lagak lucu Kak Lang Zai yang amat bersahaja namun boleh membuatkan tubuhku krem kerana ketawa terlalu banyak.

Setelah bersalam-salaman lagi buat kali ke dua, kami bergerak disusuli oleh Cik Li sekeluarga dan suara Kak Piah melangsing berpesan supaya jangan bawak kereta laju-laju. Sambil menuju ke kereta, masih juga berbual-bual rancak. Kata Kak Piah, kalau nak berborak lagi masuk balik. Buat teh tarik pulak, celahku. Lepas tu tarik tilam terus tidur, sahut suamiku tiba-tiba. Ketawa lagi. Abang Ayob yang mengiringi berkata, "Masih macam dulu ya!". Agak tersipu tapi Kak Piah menyambut, "Sebab tu Onn tak senang hati duduk jauh-jauh.." Mereka menggiat lagi; kata Kak Piah, dia ingatkan Onn dah putih melepak berkurung dalam rumah sahaja, tapi nampaknya sama sahaja malah makin boroi!! Hahaha... Biasala tu Kak Piah. Abang Ayob bercerita pula tentang kemuculan singkat dan tiba-tiba rakan sekerjanya Badrol yang sudah kembali ke negaranya, tapi dia pun tak sempat berjumpa hanya mendengar cerita sahaja. Kami saling mengenali dan pernah duduk berdekatan semasa di Rauyah Apatelle, Sengkurong.

Kami kembali ke Seria, sebagai tetamu paling jauh, hampir 100 km, dan hampir satu jam perjalanan lancar di lebuhraya. Tamat sudah cuti persekolahan penggal kedua 2010 selama dua minggu dan esok sesi persekolahan bermula lagi seperti biasa. Alhamdulillah. Rutin sebagai pelajar buat anak-anak dan sebagai suri rumah sepenuh masa dengan hobi menulis di sela-sela jadual harian pun berulang lagi.

Sunday, June 20, 2010

Dia berbisik-bisik..

Dia berbisik-bisik, amat perlahan sambil menarik tangan kiriku hingga aku tertarik tersenget ke arahnya,  "Mama duduk sebelah Dayat, ya!"  Aku angguk acuh tak acuh.  
"Cakap insyaallah!"
"Insyaallah." sahutku cepat supaya tidak lagi digesa-gesa dan dipaksa-paksa.
Baru puas hatinya.  Baru tenang wajahnya.  Baru ceria rupanya.
Dia berlalu ke ruang hadapan.
"Mama, duduk sebelah Ain tau!"  Muncul gadis tembam hitam manis dengan deretan gigi yang putih menawan tersenyum padaku.  
"Uhmm.." aku terus acuh tak acuh, angguk.  "Cepat bentang tikar, susun pinggan, isi air dalam gelas, ambik lauk susun.  Panggil abah.  Cepat, cepat! Duduk dapur tak boleh lembap lembap.." Aku mengeluarkan arahan supaya segera diberikan bantuan, sambil aku sendiri terkocoh-kocoh mencuci periuk dan kuali serta senduk sudip dalam sinki.  Tambahan untuk mengelakkan dari terus ditekan perasaan serba-salah oleh mereka.
Puteri kecil pula muncul tetapi dia menyenangkan hati kerana dia tidak pernah (jarang-jarang) mengeluarkan permintaan untuk duduk di sisi.  Hanya Dayat dan Ain, selalu, sentiasa, kerap, memang begitu setiap kali mahu makan di mana sahaja, baik di tempat makan di dapur rumah, di kampung, di kedai juga berebut mahu duduk di belakangku di dalam kereta.
"Kamu ni, mentang-mentang mama masih muda, masih sihat, masih cantik (uhu, perasan la pulak!)" aku mencala-cala sendirian, mengomel sambil mencuci pinggan makan yang berlapis-lapis di dalam sinki.  
"Ahah, duduklah sebelah abah pulak.." sahut Ain.
"Tapi tadi, Kakak tak bagi pun Dayat duduk sebelah mama.  Kata je nak duduk sebelah abah!" Dayat mengecam perbuatan Ain yang tidak selari dengan bicara.
"Ehh.. mana ada.  Kakak tak dapat duduk sebelah abah sebab Dayat dah duduk situ." Enggan mengalah si kakak yang semakin tembam ini.
Adik hanya diam memasang telinga dan mengambil penyapu serta penyodok sampah lalu menyapu-nyapu sekadar kudratnya yang bertubuh halus comel.  Lalu tikar dibentangkan.
Sudah selalu aku tekankan supaya duduk sahaja di mana-mana, janji kita makan sama-sama.  Lagipun mengapa perlu berebut duduk dengan mama, nanti apa pula kata abah?  Abah tak tunjuk hatinya mengecut atau mengecil kerana dia seorang lelaki, seorang suami, seorang bapa, seorang yang memiliki apa yang dinamakan ego dan tinggi hati.  Tetapi cuba letakkan diri kamu di dalam kasut abah (hah? kasut abah? besar kasut abah tu, saiz 9..).  Hmm.. atau bayangkan kamu sebagai seorang bapa yang anak-anak kamu asyik dengan ibu anak-anak kamu sahaja sedangkan kamu membelai mereka sama rata sepanjang masa (hmm.. lama lagi tu, isyh isyh..).

Okaylah.  
Dah baca doa makan?
Bismillah...
Allahumma bariklana...

Mata Dayat menjeling-jeling kepadaku.  Aku terus acuh tak acuh.  Aku terus menyelesaikan  urusan di sinki dan menuju ke tungku dapur mengambil telur mata kerbau terakhir buat diri sendiri dari pan.  Itulah helah terakhir yang selalu aku lakukan, sengaja buat sibuk dan mengambil tempat di mana-mana yang ada (biasanya sudah sedia dengan pinggan berisi nasi dan lauk-pauk) di sisi sesiapa.  Kadang-kadang aku sengaja menyakat perasaan mereka, "Kali ini mama nak duduk sebelah abah, nak suap dengan abah."  Dan mata-mata mereka bersinar-sinar melihat aku mengangakan mulut dengan mesra bersahaja tatkala abah mereka menghulurkan nasi ke mulutku.  

Bukan tidak rasa bertuah, rasa dikasihi, disayangi, rasa diperlukan.  Tetapi tidak jarang ia mencetuskan pertelingkahan dan sakit hati di antara mereka.  Aku kembali pening kepala.  Akhirnya aku catatkan di sini sebagai memori; apakah mereka akan dapat membacanya 10 tahun lagi?  Lalu tersenyum-senyum atau mengalirkan airmata?  Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Petikan Baca@LRT - Wardina Saffiyah dan 6 tip

Salam buat semua.
Ini adalah petikan dari inbox saya di facebook (hari ini teringin pula menge'chek' apa yang ada di inbox dan memadamkan apa yang tidak perlu :) )dari Baca@LRT oleh Zamri Mohamad pada 6 Jun pada 6:17pm.

Berikut merupakan nilai tambah yang para peserta Baca@LRT telah perolehi semasa program mereka bersama Puan Wardina Saffiyah di majlis buku Mama Saya Lapar dan Siapa Alien hasil tulisan beliau. Mari kita kongsikan bersama di sini. Menarik dan bagus untuk dikongsikan bersama para ibu bapa dan pengusaha nurseri yang selalu berhadapan dengan cabaran membesarkan anak-anak, sama ada anak sendiri atau anak orang.. Sebenarnya tidak mudah hendak menyelami makhluk kecil yang kian membesar dan sangat peka menyerap segala perubahan dan perkara di sekeliling mereka; bukan mudah hendak menyelami hati dan perasaan mereka tetapi kita ada cara-caranya yang sedikit demi sedikit boleh membantu sedikit sebanyak untuk mengerti, agar si manja, si comel, si lasak dan si pemalu yang lincah dalam diam dan dalam ceria bertambah sihat perkembangan fikiran dan tumbesarannya. Pokoknya mereka sangat pemerhati dan peniru, yang itulah perlu kita perhatikan dan awasi supaya tidak memberi kesan tidak baik kepada masa hadapan yang masih jauh dan panjang.

Wardina Saffiyah memang mengkagumkan di sela-sela selebriti yang pernah mewarnai dunia hiburan tanahair. Sempurna dengan kejelitaannya, keperibadiannya yang anggun dan terpelajar.

Terima kasih kepada Encik Zamri yang meletakkan nota memberi izin menyebarkan entri ini di blog.
(Saya petik. Terima kasih! :) ).

***********************************************************************************
(Petikan)

Enam perkara kami di Baca@LRT belajar daripada Puan Wardina Safiyyah.

Pertama

Selepas rakan-rakan penyokong Baca@LRT mendengar bicara buku Puan WarDina Safiyyah Fullxadd di MPH Mid Valley, barulah kami faham seni membaca buku cerita kepada kanak-kanak di rumah dan amalan pemakanan kanak-kanak serta kesan kartun televisyen yang merencatkan imaginasi juga punca kanak-kanak sukar membaca.

Kedua

Sebelum program sempat bertanya, "Mengapa hasilkan dua buah buku dengan dua penerbit yang berbeza dan dilancarkan pada masa sama." Alaf dan Telaga Biru menerbitkan buku beliau dalam genre berbeza.

Keadaan sesak sepanjang sesi bersama Puan Wardina Safiyyah melibatkan pengunjung MPH. Waktu ini Puan Wardina menyampaikan mesej memandaikan bangsa, "Mengapa saya menulis buku dalam bahasa Melayu."

Kurangnya buku dalam bahasa Melayu yang bermoral dan mempunyai nilai pendidikan tinggi menjadikan beliau berkarya.

Ketiga

Buku Mama Saya Lapar diterbitkan oleh Alaf merupakan buku panduan kepada ibu bapa bagaimana memilih pemakanan yang sihat kepada kanak-kanak.

Puan Wardina memberi pandangan, amalan memberikan pil vitamin dan suplemen tambahan kepada kanak-kanak selain daripada yang bersifat organik memberi kesan kepada pertumbuhan. Ini berdasarkan kajian klinikal yang dilakukan.

Keempat

Puan Wardina berkata, rancangan animasi dan kartun di televisyen terbukti merencatkan imaginasi kanak-kanak. Kajian di Amerika mendapati babak animasi berubah cepat dalam tempoh dua saat. Ini menekan kanak-kanak dari aspek imaginasi yang baru berkembang.

Kedua, beliau menasihati agar ibu bapa menjaga kanak-kanak di bawah dua tahun dan di'haram'kan menonton TV kerana ia mengurangkan daya tumpuan yang menjadikan mereka pembaca yang lambat.

Ini berikutan komunikasi satu hala yang tidak ada interaktif membunuh perkembangan kanak-kanak.

Kelima

Puan Wardina berkongsi tip, "Rancangan kartun di televisyen adalah selektif. Pilih animasi kanak-kanak yang perlahan sifatnya sesuai dengan kanak-kanak. Misalnya Dora the Explorer. Di mana setiap babak diulang dialog-dialognya dalam kadar perlahan. Ada babak bertanya kepada penonton sendiri. Selain itu, saya gantikan aktiviti mereka dengan aktiviti melukis, berlari dan membaca."

Keenam

Apa yang dilakukan Puan Wardina menyebabkan saya kagum. Teknik beliau sama seperti seorang trainer.

Beliau menerangkan dan menunjukkan kaedah bercerita dengan kanak-kanak, kemudian kepada ibu bapa diberitahu sains teknik itu. Kemudian dibuat satu lagi, dan diberitahu sebabnya.

Penerbit buku kanak-kanak mesti belajar daripada beliau kaedah ini.

Ini membuktikan beliau membuat sesuatu dengan sebab yang jelas. Tidak sekadar mahu budak-budak seronok dan ketawa sahaja.

Contohnya, apabila Puan Wardina bertanya kepada kanak-kanak cerita yang disampaikan dari buku, "Mengapa rumah itu tidak ada pintu, bagaimana dia mahu masuk?" kemudian kanak-kanak menjawab spontan, "Ikut tingkap."

Puan Wardina memandang ibu bapa, dan memberitahu, "Puan dan Tuan, dalam teknik menyampaikan cerita kepada kanak-kanak. Kaedah interaktif dapat dibuat dengan bertanya soalan yang menyebabkan dia berfikir misalnya...."

Kemudian dibuat satu lagi dan diberitahu, "Puan dan Tuan. Membacakan buku cerita kanak-kanak dibuat di dalam bilik. Sebab-sebabnya, mengurangkan gangguan tumpuan, menjadikan kanak-kanak lebih terbuka bertanya dan..... "

Mudah-mudahan enam tip pengalaman sesi bersama Puan Wardina Saffiyah memberi nilai tambah kepada kita semua.

Album program buku bersama Puan Wardina Safiyyah dapat dilihat di sini http://bit.ly/albumlrt

Monday, June 14, 2010

Cerpen saya di bengkel Sastera

Salam buat semua.
Syukur alhamdulillah. Cerpen terbaru saya sudah siap dengan bimbingan Sifu Azmah Nordin di bengkel online beliau, Sastera. Saya fikir ia satu cerpen berjela yang akan banyak ditanda dengan 'pen dakwat merah' oleh beliau. Ya, memang ada tokok tambah dan pembetulan di sana-sini untuk menghidupkan lagi gambaran yang ada di cerpen itu. Dan akhirnya, dengan sedikit lagi tambahan di bahagian penutup, saya berjaya menamatkan cerpen itu dengan sempurna sebagai seorang penulis yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Terima kasih tidak terhingga buat Sifu. Seterusnya saya berada di dalam situasi duk dak duk dak kerana Sifu dengan 'tegas tanpa tolak ansur' mempelawa alias mencabar saya ke thread novel pula. Sejak awal-awal lagi beliau sudah mengajak saya terus berbengkel novel, cuma saya langsung tidak ada kekuatan untuk itu. Insyaallah, setelah saya mendapat jentikan semangat dan dorongan dari Sifu dan Ummu (ketua kelas yang peramah dan penuh dedikasi itu, saya mula merasakan 'apa salahnya saya mencuba?..'

Cerpen ini bertajuk KAK LONG, yang saya garap dari kisah Kekanda Norliza Hassan yang dikasihi yang telah kembali ke rahmatullah 2 tahun lepas. Mohon maaf sepuluh jari saya hulurkan kepada kekanda-kekanda saya (dan juga satu-satunya adinda - seandainya membaca catatan ini) sekiranya dengan nukilan cerpen ini; kenangan yang menyedihkan itu menyebabkan airmata mengalir hangat semula di pipi. Entah mengapa, kenangan di ruang terakhir sebelum perpisahan buat selamanya itu selalu muncul di ingatan. Cuma, dia telah mendahului kita. Di masa lain, airmata dari tubir mata orang lain pula mungkin mengalir untuk kita. Akhir sekali, cerpen ini didedikasikan buat Bonda yang terus merindui kekanda Norliza, semoga Bonda tabah dan sabar selalu. Kita semua rindu padanya.

sedikit sedutan ...

Kak Long tersentak dalam keheningan dinihari. Kelopak matanya yang masih berat terasa ketat hendak dibuka. Suasana hening dan sepi. Sesepi hatinya tanpa belai kasih seorang insan bergelar ibu. Cahaya bulan sedang penuh menyimbah menerangi biliknya. Sesekali bunyi daun diterpa angin memecah kesunyian malam, mengingatkan dia kepada bunyi kertas pada buku bank yang diselak-selaknya semalam. Masih terbayang angka-angka yang tertera di muka buku itu. Satu persatu angka yang tersusun memanjang ke bawah itu dibelek-belek hingga ke tarikh yang terkini. Wajahnya berubah redup dan perasaannya sayu.

Thursday, June 10, 2010

Apa khabar, Along?

9 Jun 2010, Wednesday.
Assalamualaikum.
Along yang dikasihi. Apa khabar? Bagaimana dengan kudis gatal di celah-celah jemari Along tu? Kasihannya anak mama ni. Lama sudah Along diuji dengan penyakit kulit itu. Sabarlah banyak-banyak. Mungkin itu ujian untuk Along. Insyaallah lambat laun nanti akan sembuh juga. Bila kita bertemu, mama akan belikan Along multivitamin dan krim vitamin E. Tapi Along kena maintain la makan multivitamin tu, juga sapu krim tu ke tempat yang dijangkiti.
Mama, abah dan adik-adik sihat semuanya, alhamdulillah. Beberapa peristiwa semasa mama rakamkan ke blog Naqhuhines. Hingga kadang-kadang mama tertanya-tanya blog apakah itu sebenarnya? Apakah ia blog anak-anak, atau blog mama atau blog apa? Macam-macam ada di situ. Yang pasti, mama mahu ia dikongsikan bersama kita sekeluarga khususnya.
Usahlah Along rasa terpinggir pula bila lihat gambar-gambar kami di sini. Jangan sedih, ya. Walau ceria macamanapun, kami tetap ingatkan Along. Hinggakan pandang budak kecil yang putih melepak pun teringatkan Along masa kecil dulu. Terserempak dengan budak lelaki berbadan gempal memakai jubah putih langsung terkenangkan Along juga. Bukan mama seorang, tapi Hurin, Hidayat dan Hanessa juga!!
Hmm.. kalau Hidayat bergaduh dengan Hurin, dia akan sebut nama Along mengenangkan saat bergumpal dengan Along di atas katil mama. Bila Adik merajuk dengan kakak, dia pun mula menangis nakkan Along, teringat pulak waktu naik motor dengan Along ronda-ronda keliling taman. Terpaksalah kami pujuk dia baik-baik supaya rindunya tak berterusan. Karang semua akan susah, Along pun akan terkena tempiasnya.. Bila dah macam tu, Hidayat pun kata, dah la jangan sebut nama Along selalu nanti Along kat sana tak senang hati teringatkan kita pulak. Pandai dia, sebab mama yang selalu tegah dia menyebut nama Along, kemudian dia pulak menegah Adik. Menegah tu bukan tak mahu ingat Along, tentulah ingat cuma tak mahu Along jadi resah bila nama diseru-seru dari jauh.
Hari ni Along balik ke rumah ya.. Wah, mesti banyak bawak gendong baju kotor tu. Kesian Uwan kena mencuci pakaian Along. Nanti jangan lupa ucap terima kasih kat uwan dan atok. Susah payah mereka berulang alik ke rumah kita untuk jenguk Along. Mudah-mudahan perjalanan mereka sentiasa selamat, ameen. Baik-baiklah bawa diri tu. Cuti seminggu ni janganlah mengadap tv je ya. Dan jangan lewat bangun solat Subuh. Mama harap kebiasaan bangun sebelum masuk waktu Subuh di madrasah tu dah semakin sebati dengan diri Along. Tentu ustaz ada menyediakan helaian peringatan untuk pelajar di sepanjang cuti ini. Ingat segala pesanan ustaz tu. Usah leka dengan kehidupan di luar yang tentulah berbeza dengan kehidupan di madrasah yang sentiasa di bawah pemantauan mualim.
Sekian dulu catatan buat Along. Mama tak pasti sama ada catatan ini sempat Along baca sebelum kembali ke madarasah semula. Tak mengapalah, lain kali boleh baca, kan. Sedikit berita buat Along; kemungkinan besar tahun hadapan Hurin akan menyertai Along di madrasah. InsyaAllah, doakanlah ya. Keputusan di tangan abah, dan Allah Taala yang menentukan segalanya. Setakat hari ini, nampaknya hati Hurin semakin mantap untuk ke jalan yang sama. Semoga Allah yang memegang hati menetapkan hati kita semua dengan pilihan yang terbaik ini.
Selamat menghafaz. Tingkatkan usaha dan ketekunan. Sekadar makluman, mama hampir berjaya menghafal surah Al Waqiah. Cumanya pertengahan surah agak mengelirukan menyebabkan selalu mama tersasul. Bukan mudah tapi hati mama puas. Tak dapat hafal satu Al Quran hanya surah-surah terpilih pun tak mengapalah. Nanti Along dengar mama baca dan betulkan tajwidnya ya. Insyaallah selesai surah ini, mama nak sambung dengan surah lain pula. Tok Leha pun dah hafal beberapa surah terpilih, jadi mama nak menyertai dia. Kalau balik Segamat, mama nak dia dengar juga supaya dapat dibetulkannya mana yang salah. Dalam diam-diam Tok Leha jadi idola mama rupanya. Uwan Juriah dan Uwan Ramlah pun idola mama juga, dengan kelebihan masing-masing. Uwan Juriah dengan keceriaannya yang selalu menghidupkan suasana. Uwan Ramlah pula memberi contoh terbaik dengan kezuhudannya. Bertuah mama memiliki tiga orang ibu yang sangat istimewa.
Bila nak berhenti ni? Oklah, Along, mama beri noktah di sini, sehingga bertemu awal September nanti untuk menyambut Syawal bersama, salam sayang buat Along dari mama, abah, Hurin, Hidayat dan Hanessa. Salam penuh kasih dan rindu. Jaga diri dan senyum selalu. Wasalam.

Tuesday, June 8, 2010

(untukmu Naqhuhines) Tiba-tiba...

Tiba-tiba mama terjaga..
api lilin sudah tiada
semua gelap gulita tanpa seurat cahaya
mama rasa hairan dan tertanya-tanya
mengapa..?

mengapa bakar lilin?
sebab lampu tidur tak menyala
mengapa lilin habis membakar?
sebab gunakan bekas mudah terbakar

mama petik suis di dinding
lalu semuanya terang benderang
menyilaukan mata
oh baru satu jam mama bermimpi
tetapi mengapa suasana berkabus
seperti mama masih terus di alam mimpi
hanya kabusnya tidak dingin
seperti waktu kita di puncak Cameron Highland
bahkan semua berbau hangit
Ohh...

mama bangunkan abah
dengkurannya pun lenyap
abah turut termangu
mengapa oh mengapa
semuanya berkabut putih

hanya mama yang masih termangu
tatkala abah menjengilkan mata
katanya, lilin dah habis terbakar
mujur kita tak rentung sama!

alhamdulillah
Tuhan mengembalikan roh kami tepat pada waktunya
andai kami masih 'berurusan' di alam sana
mungkin kami terus di sana sampai bila-bila
kerana asap yang kami sedut bukannya oksigen

Syukur padaMu Tuhan
andai kami terus lena
anak-anak kami akan mendapat gelaran pilu
anak-anak yatim yang dirundung duka
namun belum sampai ketikanya
semoga hayat yang masih berbaki
Kau redhai

sesudah itu
batuk kami pun berbaur hitam
lubang hidung pun hitam juga
namun ada juga lucunya
tatkala mama memandang abah
dan ada wajah seseorang
yang mengerbang rambutnya hitam legam wajahnya
mama terpandang di cermin muka
memang di sebalik sesuatu peristiwa
ada suka dan ada duka


jam baru 11.30 malam
tapi kami buka pintu macam waktu siang
perlahan kabut pun berarak keluar
tapi masih berbau arang

terpaksalah mengemas segala yang berjelaga
kipas, lantai, lap meja dan barang segala
mop lantai pun entah berapa kali tak terkira
tapi tapak kaki masih hitam juga
cuma jangan hati kami hitam sedemikian.

Hidup masih ada
masih diteruskan
dan jangan lagi melakukan perkara sia-sia
sayangi nyawa yang dipinjamkan
hargai saat yang masih berbaki

sekadar catatan lilin terbakar hingga membaham meja kayu pada Rabu 2 Jun 2010 di dalam bilik tidur tertutup, jam 11.30 malam.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing