Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, May 30, 2010

Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.

Semenjak saya beroleh kunci kereta, hampir setiap pagi kami mengintip sekolah ini, memerhatikan kereta yang berderet masuk keluar yang menurunkan  pelajar berpakaian krim coklat dan berkasut hitam.  Ada beberapa guru menunggu di kaki lima.  Kami lihat setiap pelajar akan mengadap guru, diambil suhu badan di dahi, diperiksa tapak tangan barulah pelajar berlalu ke kelas.
Kami terus mengintip.  Tiap-tiap pagi.  Saya mahu trio ini bersemangat kembali ke sekolah.  Memang mereka semakin bosan dan tertunggu-tunggu detik melangkah kaki ke bangunan itu, tetapi kami perlu tunggu sehingga urusan dengan pihak imegresen selesai.  
Akhirnya saat dinanti pun tiba.  Sebaik cop 'dependent pass' tertera di pasport masing-masing, kami anak-beranak menuju ke bilik guru besar dengan penuh sukacita.  Alhamdulillah, walaupun pas penuntut belum diperolehi, namun dengan kerjasama baik di antara pihak sekolah dan pejabat pelajaran yang terletak hanya di belakang bangunan sekolah, trio dibenarkan memulakan persekolahan serta-merta. 
Sudah hampir sebulan trio ke sekolah.  Sudah seminggu pula hubby mengambil alih tugas menghantar mereka ke sekolah, seperti rencana asal.  Memang sekolah mereka sama lokasi dengan pejabat hubby, di daerah comel Seria.  Trio pun menurut sahaja mengikut jadual yang telah ditetapkan; jadual 'siapa duduk depan hari ini?'.  Maka kadang-kadang Hurin duduk di sebelah abahnya.  Kadang-kadang Hidayat dan kadang-kadang Hanessa.  Kalau tidak, tentulah Hidayat semata yang melekat di kerusi depan dengan bangganya.  Semenjak mereka bersetuju jadual disediakan, Hidayat tidak lagi boleh menbantah.  Cumanya, masing-masing selalu membodek Hanessa untuk menumpang duduk bersama apabila tiba gilirannya di depan.  Mentang-mentang si kecil tu memang halus tubuhnya.  Boleh muat duduk berdua.  
Kembali kita ke kisah SRMA ini.  Muridnya tak ramai.  Kelas Hurin pun hanya 18 orang sahaja.  Tahun 6 ada tiga kelas.  Wajah guru-gurunya tenang dan manis belaka.  Semasa menghantar trio ke kelas masing-masing, saya lihat suasana kelas yang bersih, tenang dan dalam kawalan.  Setiap meja ditutup dengan alas meja dan sususan di buat dengan menarik.  Tidak la lurus tegak dan sempit seperti di sekolah lama dulu.  Iyalah, murid tak ramai, boleh la buat susunatur sebebasnya.  Namun tak semua kelas ada penghawa dingin.  
Keseluruhannya persekitaran sekolah juga tenang.  Tidak nampak kelibat guru-guru dan pelajar di merata kawasan walaupun waktu rehat.  Bentuk bangunan yang tertutup menyembunyikan pelajar dan guru-guru di sebalik bangunan dengan rapi.  Hanya semasa balik barulah nampak pelajar berjejeran di sepanjang kaki lima, pun tidak kelam-kabut dan merimaskan.  Tenang semuanya.  
Sedikit kisah tentang Hurin.  Sebenarnya kami suami-isteri agak bimbang andai trio mendapat kejutan terutamanya Hurin.  Dia akan menghadapi peperiksaan besar PSR (seperti UPSR juga) pada bulan Oktober nanti.  Tidak meletak beban harapan keterlaluan, kami mahu dia enjoy ke sekolah seperti biasa.  Al maklum semasa di sekolah lama, dia selalu jadi mangsa buli.  Tahun 4 diikuti tahun 5, dan akhir sekalil di tahun 6; dia selalu disakat pelajar lelaki.  Tak ramai, seorang sahaja. Hari-hari pulang rumah dengan cerita orang yang sama mengusik dan menyakat dia seorang sahaja.  Seorang sakat seorang... Orang hitam manis memang manis agaknya, makin dipandang makin ingin diusik barangkali.
Sebagai persediaan, kami usahakan air doa dari seorang kiai di penempatan.  Untuk Naqib yang akan ditinggalkan, dan untuk trio yang akan menempuh situasi baru di sini.  ALhamdulillah, di samping doa-doa yang dipanjatkan dan kata-kata perangsang yang dirangkaikan untuk anak-anak ini, serta dengan pertolongan Allah yang Maha Pengasih, minggu pertama dan seterusnya begitu ceria dan mudah untuk mereka.  Hurin sama sekelas dengan Ketua Pengawas paling periang dan paling kelakar, yang telah membantu menghilangkan segala kerungsingan di hatinya.  Bahkan setiap pagi Hurin semakin bersemangat hendak ke sekolah walaupun pernah dia hampir menangis kerana tidak memahami ucapan guru Bahasa Inggerisnya.  Sebenarnya saya merasa satu keajaiban.  Selama ini Hurin disakat dan dibuli hingga menangis pulang sekolah, kali ini dia sentiasa riang dan ceria.  Setiap hari masih bercerita, tetapi dengan nada berbeza.  Nada keriangan dan ceritanya pun cerita yang meriangkan. 
Syukur ke hadrat Illahi yang mencorakkan lakaran indah buat kami di sini.  Alhamdulillah..

Saturday, May 29, 2010

Mentari merah di ufuk barat


Semakin hari semakin terusik dengan pemandangan matahari tenggelam di laut Lumut.  Semenjak anak-anak mula bersekolah, rutin harian agak padat hingga seakan terlupa dengan pinggir laut yang menggamit dalam diam.  Akhirnya kami kembali meninggalkan jejak-jejak bersimpang siur di pasir halus waktu air surut, sekembali dari sesi sekolah petang.   Anak-anak dengan masih menyarung uniform dan kasut hitam, berlari-lari riang umpama baru beroleh kebebasan dari kepungan dinding batu tatkala menyorot pandangan guru yang lembut berhemah menyampaikan ilmu.  

Terasa sungguh bebas, lapang dan amat menyenangkan tatkala menebarkan pandangan saujana mata dapat memandang ke garisan di penghujung lautan, dan anak telinga menangkap desiran ombak yang menampar pantai beralun lemah-lembut umpama sebuah irama yang semulajadi bersatu dengan degupan jantung mendamaikan jiwa.  Kelihatan dari kejauhan kapal-kapal yang halus beroleng-oleng di buai air laut yang hijau biru.

Memandang ke langit, begitu indah lukisan alam langit petang dengan gumpalan awan berlonggok-longgok dan berserakan, serasa dapat dicapai tangan namun hakikatnya jauh hanya dapat memandang.  
Kian waktu berlalu, kian mentari ingin bersembunyi, kian merah lembayung senja menebarkan cahaya merah kuning oren, yang kadangkala menjulur keluar meninjau dari sebalik awan seperti seorang perawan yang menjeling menyimpan dendam penuh keriangan.

Pasti, lembayung senja di Lumut tidak akan dilupakan.  Itulah anugerah Maha Pencipta yang melakarkan alam seindah-indahnya buat tatapan orang-orang yang suka menikmatinya; maka bayangkan di 'sana', yang pasirnya dari intan permata, perumahannya dari mutiara berongga, udaranya harum menawan sukma; bagaimanakah orang-orangnya, segala yang tak terbayang dek fikiran, tak terdengar dek telinga, tak terpandang dek mata, tidak oleh segala pancaindera.  Dan yang paling nikmat mengatasi segala nikmat yang tak terungkap, ialah memandang kepadaNya.  

Apabila memandang alam, pandanglah dengan hati dan pautkan kecintaan yang dalam kepadaNya.  Semoga kenikmatan mata ditambah dengan kenikmatan jiwa, ditambah dengan kenikmatan iman buat membina rohani menyantuni kehidupan sementara dengan sewajarnya, insyaAllah.

Gerombolan di langit Serasa

Panorama 1


Tika mentari kian tenggelam
di persisiran pantai menghitam
kelabu warna awan gemawan
cengkerik makin bersorak riang
berzikir mengagung Tuhan
tidak pernah tenggelam
walau sering terkedang
kala ditimpa hujan
sepanjang...

Wednesday, May 26, 2010

Hidayat dan angan-angan

"tak de apa-apa"

.
Semalam Hajah Nuramalina, ustazah saya call mama.  Saya disuruh datang sekolah hari ini untuk ujian Al Quran.  Hanya saya!  Bayangkan..

.
Kat sini kami panggil cikgu.  Kat Sijangkang kami panggil ustazah.  Lepas ujian, cikgu ajak saya gi kantin.  Cikgu belanja kentang goreng, sedap... sebab free, hehehe.

.
Tapi... macam selalu lupa la nak cakap tima kasih.  Tak sengaja, memang tak ingat.  Mama mesti tanya saya cakap ke tak.. alahai... sorila lupala mama...

.
mama jangan marah-marah nanti cepat tua...

.
Lambatnya kakak ni, mesti terhegeh-hegeh turun tangga.  

.
baca buku pun bagus gak..fuh buku apa mama pinjam ni??

.
jauh tak nampak dekat pun tak nampak..err bukan tak nampak cuma ntah apa kisahnya mama je yang suka

.
mama..mama..Hidayat ada $4 ni abah bagi untuk esok sekali. Boleh tak beli toy?  Boleh laaa...

.
nak beli toy 20 sen boleh?  $1 boleh? $4 boleh? Ala...takkan sume tak boleh.

.
Hidayat, cuba kalau anak Hidayat pun asyik mintak toy je kat Hidayat sok...
camana?
.
Hidayat tak nak kawin boleh tak?  Mana boleh, kawin tu sunnah. 

.
Ok la, kawin tapi tak nak anak la..  
Pulak? Nanti sapa nak tunggu Hidayat balik kerja? Tengok abah, dia balik mama tunggu, Hidayat tunggu.

.
Sian adik, dia demam.  Toya je mukanya...

.
Kalau cam tu boleh la ada anak.. tapi Hidayat tak nak rotan dia.
Napa?
Sebab Hidayat sayang dia..


Hidayat nak belikan anak Dayat PS2, lepas tu main sama-sama dengan dia...
Pulak?!!


Mama... boleh tak Hidayat beli toy lepas ni?
Aii.. tak lupa-lupa lagi toy? Tanya abah.

.
Nanti Hidayat nak suruh Along bawak sume keta ngan lori Dayat kat Sijangkang.
*Tatkala menunggu Hurin balik sekolah ugama jam 5 petang di Sekolah Ugama Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah Seria, Daerah Belait, Brunei Darussalam; 26 Mei 2010.

Sunday, May 23, 2010

Selamat kembali ke sekolah!!!



k

setelah lama merdeka
sehingga kamu jadi jemu
tiada kawan untuk bergurau
tiada teman untuk berkongsi cerita
balik-balik muka yang sama
kakak, abang dan adik
rumah kita pun jadi nurseri
mama pula jadi pengasuh
yang garang dan selalu pening kepala
hingga kadang-kadang hilang kata-kata

mama dan abah pun sukacita
tatkala melihat kamu menyarung uniform baru
baju warna krim dan kain warna coklat
hmm pandai cikgu
memang tak mudah nampak kotor
walaupun terpaksa bayar hampir $200
wah memang banyak tu
kalau convert duit Ringgit Malaysia
kira sendiri laa...

ada juga baju sukan
warna purple seluar hitam
kemas dan bersih
untuk buat aktiviti riadah dan kokurikulum
supaya kamu seimbang jiwa dan perasaan

sebelum tu cikgu bagi senarai buku
yang mesti kita beli di kedai buku Bismi
nampaknya sekolah tak ada kedai koperasi
kita beli je kat kedai mana-mana
mudah dan memang tak payah
kalau di sekolah lama
mesti beli buku yang ada cop sekolah
tak sampul pun tak pe
orait la tu sebab bantu tabung sekolah kita juga

yuran mesti bayar
macam biasa la
tapi tak la mahal sangat
yuran PIBG $12 untuk seorang penjaga
total semua kamu bertiga $44 sahaja
sampai sekolah cuti panjang bulan Disember

Oh ya pas pelajar jangan lupa
syukur kerana sekolah dan pejabat pelajaran
saling beri kerjasama
nanti bayar pas kat imigresen
entah berapa la pulak


bila pertama kali bertemu dengan guru besar
seorang wanita yang anggun ceria
sudah dapat ditangkap dari slangnya
sah la memang ada darah warga Malaysia
orang Batu Pahat asal usulnya

bila tengok wajah guru-guru di sini
terpandang-pandang cikgu-cikgu di Sijangkang
ada iras Teacher Yus juga
cikgu kesayangan Hanessa
kalau di perpustakaan Seria
wajah pustakawan sebijik macam dia
sapa lagi... muka Cik Pah Amran kita
sebab tu kekadang rasa
macam masih di Sijangkang jee...
hehehe...

sekian le dulu coretan petang ini
mencoret sambil duduk dalam kereta
baru pulang dari Muara dan Serasa
mengekor hubby jenguk staf kerja
seronok jugak
tapi jauh serupa balik kampung 
cuma tak terasa sebab ada highway
langit pun memang cantik dipandang
penuh awan yang gebu putih kelihatan
macam-macam bentuk
kata Hurin macam kapas
Hanessa kata macam gajah
Hidayat lain sikit
dia kata macam transformer 
sekejap jadi kereta sekejap jadi raksasa
macam-macam la...




Friday, May 21, 2010

Awas Wabak Demam Berbahaya amaran WHO

Saya membaca tajuk rencana dengan penuh minat.  Ia mengandungi amaran, bahawa satu wabak baru penyakit demam akan melanda seluruh dunia secara menyeluruh tanpa pengecualian. 
"Haa... dengar mama baca ni... bla..bla..bla.." saya membacakan ayat-ayat penting tanpa menjejaskan maksud yang dibawa dalam setiap paragraf.  Bagi saya yang lebih utama ialah mesej itu dapat disampaikan kepada anak-anak saya dengan berkesan.
Hurin (nama baru Ain), Hidayat dan Hanessa masing-masing mula tertarik memberi perhatian apabila saya tekankan intonasi pada ayat-ayat tertentu.

"Inilah tanda-tanda akhir zaman... akan muncul penyakit yang pelik merebak.  Sebab tu kita kena kuatkan antibodi diri kita.  Kena makan makanan seimbang, makan multivitamin.  Jangan dah dapat sakit baru nak makan tu semua," kata saya lagi, sebenarnya berniat menekankan pengambilan vitamin yang baru dibeli oleh suami, malangnya mereka enggan mengambil vitamin tersebut.
"Pahitlah!" kata Hidayat.
"Eeee... peliknya rasa!" kata Hurin pula.
"Tak nak!" Hanessa menggeleng-gelengkan kepala.

Masing-masing diam mendengar.  Kemudian satu persatu berbagai soalan mula berjela-jela keluar dari mulut ketiga-tiga mereka sehinggalah sampai ke tajuk Hari Kiamat, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kiamat.  Saya pun makin bersemangat memberi penjelasan.  Bukan selalu dapat menyampaikan info sebegini kepada anak-anak.  Kiranya dah kena la tajuk ni dengan apa yang perlu mereka ketahui.
Hurin mencemik.  Ada riak ketakutan di wajahnya.  Hidayat terus memberikan saya berbagai soalan saling berkait sehingga saya rasa mengah hendak menjawabnya.  Belum sempat habis menjawab sudah diburu dengan soalan lain pula, yang kadang-kadang tidak relevan langsung.  Hanessa pula aktif menyampuk dengan pandangannya yang tersendiri dari dimensi yang turut berbeza kanak-kanak 5 tahun.

"Okay, dengar! dengar! Mama sambung lagi.  Syyyy...." saya memberi arahan supaya masing-masing memberi tumpuan kepada bacaan saya semula.  Kalau terus bersoal jawab, memang tak dapat nak menghabiskan rencana ini.

Saya terus membacakan rencana itu dengan menggunakan bahasa yang mudah.  Memang memberi impak kepada saya dan anak-anak.  Fuh!
Pada perenggan terakhir tertulis Bermacam-macam nama diberikan, tetapi bagi kita di Malaysia demam ini dikenali sebagai...Demam bola sepak Piala Dunia.

Ciss!! Terkena lagi! Mati-mati la ingatkan betul... demam bola rupanya.  Walau bagaimana pun jangan lupa, wabak H1N1 masih belum reda sepenuhnya dan masih ada mangsa terkini yang menemui ajal ekoran wabak ini.  Ketika para guru diraikan sempena Hari Guru, seorang dari pendidik ini telah kembali ke rahmatullah akibat demam H1N1.  Sama-samalah kita berhati-hati selalu.  Gurau gurau juga, tapi kalau demam betul-betul, segeralah dapatkan rawatan sewajarnya.

Thursday, May 20, 2010

Selamat Ulangtahun Perkahwinan untuk kita

Tiba-tiba,
'Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan ke 15 sayang.  X da bunga, makan2, brg kemas yang dpt diberi, cuma doa muga kita kekal bahagia ke akhirat nanti.  Amin.'

Lalu,
'Doa yang ikhlas ini lbh berharga dari selainnya.  Semoga cinta kasih terus MEKAR HIDUP SUBUR di hati kita bdua.  Mberi warna indah kpd keluarga yang diimpikan, diusahakan dan dipinjamkn olehNya ini.'

Syukurku padaMu, Ya Allah.
kerana dia,
selalu memaafkanku
sedia memaafkanku
masih memaafkanku
atas segala kesilapan
...kesalahan
...kelemahan
...kekurangan
...keterlanjuran
...dosa-dosa

dia
masih menerimaku
masih merai diriku
masih merinduiku
masih redha padaku
walau kadang-kadang,
ada geram
ada bengang
ada pening
ada risau
ada curiga
ada marah jua...

maafkanku
atas segala kelemahan
segala kekurangan
segala kesalahan
segala dosa-dosa
segala keterlanjuran

Selamat ulang tahun perkahwinan untuk kita berdua
bersama saling memaafkan dan saling merindukan.

sekadar catatan yang ringkas
kerana aku tak tahu bagaimana
hendak menamatkan mogok bisu ini, hehehe...

Friday, May 14, 2010

Kepulangan Abadi

13 Okt 1935 - 13 Mei 2010

detik
tiba jua
kepulangan yang dinanti
bersama senyuman menghiasi wajahmu
sedang kami menanti jua
dengan jiwa yang lara

malu 
dengan dosa dan keaiban diri
pulangmu 
menyentak rasa
ada sesuatu yang kuketepikan
kini kukehilangan

selamat jalan wahai abuya
menikmati kebebasan sejati di sana
kami tidak melupaimu
bahkan kami merinduimu selalu

Al Fatihah..

sejalur cahaya


hujan turun
 lebat membasahi bumi
dan debar berjangkit di dada
black out akan berlaku lagi
hilang penglihatan sementara
cukup membuatkan jiwa jadi lara



muncul wajah-wajah aneh
bermain di tubir mata
mencipta bayang menakutkan
rupanya hitam malam 
memang mengerikan


sehingga muncul sejalur cahaya
meliuk lintuk menari-nari
sebatang lilin membakar diri

cahaya abadi 
dari lautan cahaya melimpah kasih Illahi
menerobos ke hati
hati yang mekar bercahaya
itulah hati yang tidak mati


Awan gemawan di Kuala Belait


putih awan gemawan
di langit Kuala Belait
indah ..
cerah..
megah..
dengan bahasa tersendiri
betapa luas kasihMu
seluas langit tidak bertepi...

perak di langit Lumut


pelbagai warna kehidupan
perak di langit Lumut
tika lembayung kian menghilang
esok akan muncul lagi
mencurah kasih Illahi
sarat tidak bertepi...

Tuesday, May 11, 2010

Lembayung Senja di Pantai Lumut


Masih ingin berkongsi rasa kagum kepada alam ciptaan Tuhan.
Ini adalah gambar yang saya snap sekitar jam 6.30 petang di tepian pantai Liang Lumut, menggunakan telefon bimbit b-mobile.  Ternyata telefon bimbit ini berupaya merakamkan gambar dengan jelas dan amat memuaskan, walaupun tidak secanggih kamera yang mahal-mahal milik jurukamera profesional.

Menatap koleksi ini, seolah mendengar deruan ombak yang kadangkala ganas menampar pantai...
Dan mentari mewarnai kaki langit di penghujung dunia dengan warna emas magentanya
Sementara alam kian hitam diselimuti warna malam
Cengkerik pun berbunyi riang mengucapkan zikir memuji Pencipta yang Maha Hebat
Bahawa sesungguhnya, begitu besar kurniaanMu Illahi
Jadikanlah aku hamba yang sentiasa bersyukur memujiMu setiap masa.
Allahuakbar...

Indah Pelangi Petang


Musim pelangi petang...
Hampir setiap petang kami dihiburkan dengan pemandangan alam biru dihiasi pelangi petang yang indah, separuh penuh bahkan kerapkali melingkari langit dari hujung ke hujung dengan begitu megah dengan warna-warna yang jelas terang.  Sesuatu yang mengujakan, kerana di bumi bertuah ini, kami  kerap melihat langit dihiasi awan gemawan putih bersih memenuhi dada langit.  Juga pelangi yang jarang-jarang kami tatap di tanahair.  Kalau adapun, pelanginya sekerat dan nun jauh kelihatan, namun sudah cukup membuatkan anak-anak terjerit-jerit kesukaan.  Makanya di sini, bahkan mereka separuh histeria menatap pelangi hampir setiap petang, sehingga menjadi aksi yang melucukan.  Betapa indahnya, sehingga mampu menawan dan mengusik perasaan anak-anak juga.
"Siapa yang menjadikan pelangi?"
"Allah!" jawab Hanessa dengan suara ala-ala Doeremonnya itu.
"Pelangi di bumi pun sudah sedemikian indah, syurga tentu jauh teramat indah, kan."
Kami masing-masing terus melongo menatap pelangi sementara suasana perlahan-lahan kian suram.
"Mama, ada orang lelaki sedang tangkap gambar pelangi dengan kamera," Ain berbisik kepadaku.  Kejiranan depan rumah Kak Leha rupanya.  Aku tidak nampak sesiapa kerana aku sendiri asyik merakamkan dengan telefon bimbitku.  Mungkin suara ceria anak-anakku turut mengusik nalurinya untuk merakamkan sama gambar alam yang real ini, walaupun jangkaanku waktu itu warna pelangi kian pudar.

Tuhanku,
Indahnya alam ciptaanMu untuk kami tatap
Penuh warna-warni biarpun hanya sedetik cuma
Bahawa hidup penuh kesementaraan
Detik yang datang akan berlalu pergi
Bersama warna-warni kehidupan yang baru
Sentiasa bersifat baharu
Hanya Engkau yang kekal selamanya
di atas segala keindahan
bahawa hanya Engkau yang Maha Indah.
Terima kasih wahai Tuhan..
Di atas segalanya yang Engkau kurniakan.

Sunday, May 9, 2010

Lorong sepi di Tasik Anduki

Pagi Ahad,  tiada perancangan yang hebat.  Sekadar memenuhi hajat lama untuk mengunjungi Tasik Anduki yang kerap kami lintasi setiap kali menyusuri Seria.  Masing-masing memakai kasut untuk aktiviti brisk walk.

Sebuah tasik yang terbiar, hanya sekali kami berpapasan dengan dua lelaki separuh usia yang masih tegap baru menyelesaikan perjalanan mereka mengelilingi tasik.  Bersama semangat yang marak untuk membakar kalori dan ketulan lemak yang berkumpul di tubuh, kami memulakan langkah dengan bacaan Al Fatihah.  Melihat kepada kesan-kesan 'sejarah' yang masih utuh, tasik ini sudah pasti amat meriah dan menjadi tumpuan pengunjung pada masa lalu.  Namun kini, ia kelihatan bersendirian dan kesepian.  Beberapa bahagian pejalan kaki yang dibina menggunakan batu-bata bermutu tertarik ke arah anak sungai bertakung air mati berwarna kehitaman, ada juga kesan runtuhan di pinggirnya.  Daun-daun kering berserakan bersama ranting-rantingnya.  Di kiri kanan, lalang setinggi berdiri rimbun tumbuh subur.  Air tasik tenang dengan riak ombak yang lesu kemalasan.  Kami meniti jambatan reput yang ditampal notis 'jambatan sudah ditutup' dengan rasa curiga dan debaran di hati.  Separuh perjalanan, Hanessa sudah merengek-rengek kepenatan dan kehausan.  Aku yang berjalan akhir bersamanya akhirnya mendukung dia di belakang.  Mujur anak ini masih agak ringan.  Syukur juga kerana keadaan lutut kiri semakin pulih walau masih tidak sepenuhnya.  Masih beragak untuk berjalan pantas.  (Setiap malam Ain tolong urutkan terutama di bahagian belakang lutut; urutan yang lembut dan selesa).  Aku membayangkan tentu thrill berjalan di sekitar tasik ini pada petang atau malam hari...  Kembali ke kereta, kelihatan dua keluarga sudah memenuhi dua gazebo di tepi tasik.  Satu dari keluarga ini membawa anak kecil dan seekor anak kucing yang berloceng di lehernya, juga kelihatan alat-alat menangkap ikan, mungkin keluarga Filipino
Satu jam berjalan mengelilingi Tasik Anduki sejauh 2 km, diikuti dengan heavy branch di Restoran KKK, agak menyeronokkan untuk memenuhi pagi Ahad kali ini.

Saturday, May 8, 2010

Kak Leha

Alhamdulillah, sudah satu bulan satu minggu kami di bumi bertuah yang sentiasa biru indah bumbung langitnya, sentiasa putih bersih berbagai bentuk awannya dan hampir setiap hari pelangi melingkari pinggir langit.  Hampir setiap petang pula kami menatap mentari merah yang menyebarkan lembayung senja yang menghamparkan lukisan alam nan indah begitu hidup di tepian pantai Liang Lumut.  Sempat juga merakamkan beberapa detik matahari tenggelam dengan langit yang kebiruan, sambil mengucapkan betapa indah dan hebatnya alam ciptaan Tuhan buat hamba-hambaNya di bumi ini.  Kadang-kadang kami bersua dengan tubuh obor-obor yang berdampar kaku di pasir halus, dan sekali bersua dengan lingkaran ular laut yang sudah maut.  Hanessa dan Hidayat semakin galak bermain air laut, biarpun ombak kadangkala ganas menghentam pantai.  Bermain pasir, mengutip kulit kerang dan menangkap ketam yang menyorok di dalam kulit siput, itulah aktiviti anak-anak dalam percutian yang agak panjang ini.  Aku menjadi pengusaha nurseri privasi dengan pelbagai aktiviti untuk menghilangkan kebosanan dan melalui hari dengan sesuatu yang masih merangsang pemikiran.
Hampir setiap hari kami akan menghantar beg sampah ke Jastre lalu terus ke Seria untuk menghafal jalan ke sekolah dan kedai-kedai di sepanjang pekan.  Beberapa hari lepas kami berjaya menemui perpustakaan Seria yang agak tersorok di hujung Lorong Bolkiah, dan penemuan itu amat menggembirakan kami, namun sehingga hari ini belum pula berkesempatan untuk menjenguk tambahan pula cuaca agak lembap dengan hujan di malam dan pagi hari.  Sebaik sahaja menerima kereta tiga minggu lepas, aku menyediakan jadual giliran 'Siapa Duduk Di Seat Depan' untuk Ain, Hidayat dan Hanessa dan alhamdulillah membantu anak-anak ini untuk patuh dan mengurangkan persaingan.  Syarat tambahan ialah sesiapa yang duduk di seat depan turut bertanggungjawab mengambil sampah dan membuang sampah di Jastre.  Cuma kadangkala kasihan kepada sikecil Hanessa, Ain membantunya dan mengenakan syaratnya sendiri iaitu 'kakak duduk depan dengan kamu'.  Hanessa pula bukanlah adik yang terlalu mengada-ngada dan cerewet bahkan tutur bicaranya selalu lebih matang daripada usianya.  Maka kadangkala Hidayat turut mengambil kesempatan memujuk Hanessa untuk membenarkan dia duduk di seat depan bersama-sama.  Aneh, mengapa seat depan sangat menarik perhatian... Apakah semua anak-anak begitu?  Atau hanya bersama aku sahaja...
Kami juga semakin mesra dengan tuan rumah yang kupanggil Kak Leha dan Abang Mansur.  Watak Kak Leha saling tak tumpah seperti mak yang sentiasa aktif dan mesti melakukan sesuatu, diamnya bererti kurang sihat.  Manakala wajahnya amat mirip dengan Mak Lang Bidah, adik mak di Rasah Jaya (Hei, namanya pun sama la! Zaleha jugak!!) .  Setiap kali aku melihat dia, segera aku teringat kepada Mak Lang yang jarang-jarang ditemui.  Bila mendengar pelbagai rencana yang disusunnya, aku teringat pula kepada mak.  Dia dan mak sama-sama sayang kepada kucing.  Kucing-kucingnya banyak dan sihat-sihat belaka dengan bulu yang bersinar.  Ada seekor bernama Moyeng yang paling manja, paling besar dan paling istimewa.  Kak Leha turut berbicara dengan Moyeng, sama seperti mak yang berbual-bual dengan kucing-kucingnya.  Sayangnya Hanessa semakin arlegik kepada kucing menyebabkan aku terpaksa selalu memperingatkan dia agar tidak memeluk Moyeng yang manja.  Kak Leha turut membela pelbagai jenis tikus.  Haiwan-haiwan inilah yang menjadi hiburan anak-anak.  Juga ada seekor itik yang telah selamat dikorbankan dua minggu lepas, apabila Kak Leha meminta suamiku menyembelih langsung memasak rendang itik. Nyaman juak walaupun agak liat. 
Semalam, Kak Leha membawa kami ke BSRC di Seria.  Anak-anak mandi sepuas-puasnya di kolam mandi sehingga sukar hendak diajak balik.  Hmm.. Kak Leha pula suka melayan anak-anak.  "Biar tah!" kata Kak Leha setiap kali aku merungut kerana sukar hendak membuatkan anak-anak keluar dari kolam.  Apa tidaknya, masih ramai yang terus mandi-manda biarpun suasana semakin suram petang. 
Mudah-mudahan catatan ini dapat disiarkan tanpa masalah.  Menggunakan b-mobile semata, coverage internet kurang memuaskan.  Salam buat semua dan ketemu lagi.  InsyaAllah.
testing....

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing